Bersambung dari Pra Percutian.
If want to read in English:
- Pre Holiday;
- Day 1 (this part);
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4 & 5; or
- Itinerary.
Hari 1
12 September 2014 (Jumaat)
Setelah selesai melaksanakan tugas pada dua hari sebelumnya, hari ini saya memohon kebenaran kepada ketua saya untuk memberikan pelepasan untuk hari ini. Sebenarnya hari ini pun perlu bertugas tapi saya sudah laksanakan tugas yang lebih pada hari sebelumnya, maka saya dapat diberikan pelepasan. Lagipun hari ini merupakan hari perjalanan.
Sepanjang di Dungun, kami sekeluarga duduk di Hotel UiTM Dungun. Bagi saya, hotel ini boleh diinapi dan suasananya sesuai kerana terletak di tepi pantai. Aman dan tenteram sahaja keadaannya. Cuma bagi yang bajet, kurang sesuai kerana harganya seperti hotel biasa.
Selepas bersarapan di coffee house hotel, maka kami memulakan perjalanan kami pada jam 8:30 pagi, dari Dungun ke Hat Yai melalui Jalan Persekutuan 3. Jalan pun agak cantik dengan dua lorong setiap hala. Umpama memandu di lebuhraya, cuma perlu berhenti di lampu isyarat yang ada di pekan-pekan dan kampung-kampung tertentu. Permandangan jalan tepi pantai memang cantik. Melewati pekan Marang selepas sejam memandu dan selepas setengah jam kemudian, sampai juga kami di bandaraya Kuala Terengganu pada jam 10:00 pagi.
Kami singgah dahulu di tempat yang wajib disinggahi jika ke Kuala Terengganu iaitu Pasar Kedai Payang. Namun tidak semua kedai buka. Jika gerai-gerai barang keperluan harian memang sudah buka, tapi barang cenderahati dan pakaian seperti songket, batik dan barangan tembaga belum dibuka. Kami sempat juga membeli beberapa barang seperti buah-buahan, makanan dan minuman untuk bekalan perjalanan. Semasa berjalan di dalam pasar, sempat juga ambil gambar yang agak unik seperti sangkar-sangkar burung yang cantik buatannya.
Sebelum pulang, kami pusing lagi satu pusingan di tingkat atas, untuk lihat mana tahu ada kedai cenderahati yang sudah dibuka. Ada juga yang sudah buka, memang cantik hasil pertukangan tembaga dan lain-lain lagi. Harga pun boleh lah berpatutan. Kebetulan terdapat sebuah kedai menjual rantai kunci dan magnet peti ais telah buka. Harga pun agak murah iaitu 2 set magnet (setiap set mempunyai 3 buah magnet) berharga RM10 sahaja. Apa lagi ambillah kami 2 set magnet.
Setelah sejam berada di Pasar Kedai Payang, maka kami meneruskan perjalanan dengan bersiar-siar di pusat bandaraya Kuala Terengganu. Sempatlah memandu melalui kawasan penduduk berketurunan Cina di sini. Juga, di kawasan Tebingan (Esplanade) di tebing Sungai Terengganu. Dahulunya kawasan ini merupakan belakang kedai yang agak kotor, kini diindahkan menjadi kawasan tarikan perlancongan pula.
Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Taman Tamadun Islam, kerana kami hendak ke Masjid Kristal. Saya memang tidak pernah berkunjung ke sini, kerana kunjungan terakhir saya ke Kuala Terengganu, masjid ini belum siap pembinaannya. Agak lama tidak hadir ke Kuala Terengganu ini. Semasa perjalanan, kami menemui Muzium Negeri Terengganu, namun kami tidak singgah kerana risau kekangan masa. Kami perlu meneruskan perjalanan untuk ke Taman Tamadun Islam. Akhirnya sampai juga. Termakbul impian isteri saya untuk sampai ke sini.
Kami ambillah banyak gambar di sini. Saya juga sempat solat beberapa solat sunat di Masjid Kristal ini. Kebetulan semasa kami di sini, terdapat sebuah majlis akad nikah sedang dijalankan. Memang masjid ini agak popular dijadikan tempat majlis akad nikah. Memang masjid ini amat indah.
Lebih setengah jam diambil di sini. Kemudian kami ke Kampung Losong untuk membeli kerepok lekor yang popular itu untuk dijadikan bekalan makanan kami seterusnya. Setelah merasa beberapa batang keropok lekor baik yang rebus mahupun yang goreng, pendapat saya rasanya kurang sedikit berbanding keropok lekor di sempadan Kemaman, Terengganu dan Cherating, Pahang. Lebih kurang hampir jam 12:00 tengahari, kami meninggalkan bandaraya Kuala Terengganu ini.
Saya memandu melusuri Jalan Persekutuan 3 melalui bandar Permaisuri dan Jertih. Cuma jalan di sini menjadi jalan selorong setiap hala, kecuali selepas bandar Jertih sehingga sempadan Kelantan. Perjalanan diteruskan memasuki negeri Kelantan dan selepas beberapa kilometer, kami mengambil Jalan Persekutuan 4 menuju ke pekan Bukit Bunga, Jeli melalui bandar Machang dan Tanah Merah. Dapatlah melihat keadaan sekeliling dan juga Sungai Kelantan di mana dapat lihat jambatan keretapi.
Pada mulanya, saya ingin bersolat Jumaat dahulu, namun memandangkan bermusafir, dan lebih mudah kalau kami melakukan solat jamak qasar sahaja, di mana hanya perlu berhenti sekali sahaja, maka kami mengambil keputusan untuk solat sahaja di Thailand.
Maka, sampai di pekan Bukit Bunga pada jam 1:45 tengahari, saya mengisi minyak sehingga penuh dahulu, kerana harga minyak di Thailand lebih mahal. Setelah itu kami terus ke Kompleks ICQS Bukit Bunga untuk prosedur imigresen. Kompleks ini agak lengang dan tidak berapa banyak kenderaan. Alhamdulillah, sekejap sahaja prosesnya, dimana pasport kami dicop keluar Malaysia setelah diimbas tanpa perlu diminta. Alhamdulillah, ada juga cenderahati dari Bukit Bunga.
Seterusnya, sebelum kami keluar dari kompleks tersebut, terdapat pemeriksaan kastam dan polis. Saya memang sudah bersedia dari awal dokumen yang diperlukan terutama polis, di mana kita perlu kemukakan sama ada geran kereta atau salinan geran yang telah dicop sahkan di balai polis. Alhamdulillah, apabila diminta, dokumen tersebut ada, jadi kami dilepaskan untuk melalui Jambatan Muhibbah Malaysia-Thailand yang merentasi Sungai Golok. Jambatan ini merupakan jambatan kedua selepas jambatan pertama di pekan Rantau Panjang, Malaysia dan Sungai Kolok, Thailand.
Jambatan tersebut hanya dalam 300 meter sahaja. Di hujung jambatan tersebut, terdapat pejabat imigresen dan kastam Thailand yang hanya terdiri daripada dua buah kontena sahaja. Amat berbeza berbanding dengan sebelah Malaysia yang kompleksnya agak besar dan moden.
Kereta kami diletakan sebelum pejabat-pejabat kontena ini, dan kami semuanya (lima orang) turun untuk melaksanakan urusan imigresen sebelah Thailand pula. Pegawai imigresen tersebut seperti tidak bersedia untuk menerima pemeriksaan pasport. Mungkin kerana di sini kebanyakan pemeriksaan imigresen berkait dengan pemeriksaan pas sempadan sahaja. Selepas 5 minit menunggu, barulah kami mendapat borang imigresen atau dikenali sebagai white form yang perlu diisi bagi memasuki Thailand jika menggunakan pasport. Kami berlima tidak layak menggunakan pas sempadan kerana kami bukan asal kawasan bersempadan dengan Thailand dan alamat di dalam kad pengenalan kami di Kuala Lumpur. Setelah dapat borang tersebut, kami pun giat mengisi borang-borang tersebut. Setelah siap, perlu beratur lagi untuk pemeriksaan pasport. Perlu hadir setiap orang kerana imigresen perlu mengambil gambar setiap orang yang berkenaan.
Setelah selesai urusan imigresen, saya ke dalam pejabat kontena kastam Thailand pula. Diketuk pintu tidak berjawab. Berkali-kali dan lama juga saya ketuk, akhirnya saya ambil keputusan untuk masuk. Ternampak seorang yang berT-Shirt biasa sedang baring menonton televisyen. Dia terus memarahi saya (dalam Bahasa Melayu loghat Kelantan, nasib baik saya faham) dan kemudian mengomel-ngomel dalam Bahasa Thai pula. Saya letakan geran kereta dan pasport saya untuk diperiksa. Pastikan pasport tersebut telah dicop masuk Thailand dan pemilik pasport tersebut pemandu dan pemilik kereta tersebut. Jika bukan, perlu buat surat kebenaran daripada pemilik kereta dalam Bahasa Inggeris atau Thai (jika tahu) untuk tujuan membawa kereta.
Pegawai kastam tersebut bertanya dengan kasar kepada saya, sama ada saya hendak bawa kereta saya ke Buketa (pekan terdekat) sahaja ke, kalau ya, tidak perlu permit. Saya menjawab saya hendak bawa sehingga Ko Samui. Terus dia senyap dan memproses. Sekejap sahaja, kerana kereta saya sudah ada rekod memasuki Thailand beberapa kali sebelum ini. Semasa permit di bawah ini dicetak, seorang lagi pegawai Kastam Thailand masuk, rupanya ini pegawai yang bertugas. Terus dia mengambil permit yang sudah siap cetak, diperiksa dan disahkan. Dia menyerahkan permit ini dan senyum kepada saya serta mengucapkan selamat datang ke Thailand (dalam loghat Kelantan). Amat berbeza dengan rakan sejawat dia.
Akhirnya, secara rasmi, orang dan kereta telah disahkan masuk ke dalam negara Thailand ini secara sahnya. Lega, walaupun tidak berapa ramai orang, tapi agak lama juga. Tapi paling bagus, tiada sesen atau sebaht pun bayaran tidak diberikan. Tiada selitan RM1 dan sebagainya. Bagus.
Kami memasuki semula kereta kami dan meneruskan perjalanan. Sejurus melepasi pejabat-pejabat kontena tersebut, terdapat lencongan yang membawa kereta kami melalui pemeriksaan tentera Thailand. Alhamdulillah lepas juga. Tidak beberapa jauh dari pintu sempadan, saya berhenti di sebuah premis (hendak kata kedai tidak serupa kedai) untuk membuat insurans kereta Thailand. Perlu buat untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Di sini harganya ฿190 (+- RM19). Boleh dibayar dengan menggunakan Baht Thailand atau Ringgit Malaysia (RM). Saya memilih bayar pakai RM sahaja. Bakinya pun diberikan dengan RM.
Setelah selesai dengan urusan insurans, perjalanan diteruskan dengan kami melalui pekan Buketa. Sebenarnya jalan yang sebenar tidak melalui pekan ini, namun saya sengaja mengambil jalan ke pekan ini, untuk melihat keadaan pekan ini. Pekannya agak ringkas sahaja.
Habis sahaja melewati pekan Buketa, saya meneruskan perjalanan dan seterusnya sampai ke pekan Waeng. Kami singgah bersolat di sebuah masjid di pekan ini. Kami bersolat jamak qasar zohor dan asar.
Usai solat, kira-kira pukul 2 petang waktu Thailand (pukul 3 waktu Malaysia), kami meneruskan perjalanan kira-kira 270 kilometer dengan berpandukan Google Maps melalui pekan Sungai Padi, dan merentasi Wilayah Narathiwat, Pattani dan Songkhla. Memandangkan jalan kami lalu ini merupakan bertaraf lebuhraya, maka ia tidak merentasi bandar-bandar besar seperti Narathiwat dan Pattani, cuma lalu dipinggir sahaja. Memang cantik jalanraya-jalanraya di Thailand. Sudahlah tiada tol, kurang berlubang atau jalan bertampal. Kualitinya lebih baik dari di Malaysia. Pihak berwajib di Malaysia seperti Jabatan Kerjaraya (JKR) atau pihak-pihak berkuasa tempatan perlu belajar dari Thailand dalam kualiti jalanrayanya.
Jalan berjalan lancar, cuma cuaca ada tempat, kami tempuhi hujan lebat, dan ada tempat cerah sahaja. Semasa berada di dalam wilayah Narathiwat dan Pattani, banyak tempat juga diadakan sekatan jalanraya daripada pihak tentera dan polis Thailand. Beberapa kali juga ditahan, namun kami kata mahu ke Hat Yai, dilepaskan. Alhamdulillah.
Akhirnya, pada jam hampir 5:30 petang setelah memandu lebih kurang 3 setengah jam, maka sampai juga kami di hadapan Tune Hotel Hat Yai. Di hotel ini terdapat ruangan parkir kereta yang dijaga oleh pengawal keselamatan. Saya mengatakan kami mahu daftar masuk, lalu dijaganya kereta kami, namun dengan Bahasa Inggerisnya yang terhad, dia menyuruh kami mendapatkan pas untuk parkir kereta untuk kemudahan parkir kemudiannya di kaunter. Bagus juga khidmat mereka ini. Jadi kami pun terus mendaftar masuk hotel ini.
Kami diberikan 2 bilik yang sebelah menyebelah yang mana terdapat pintu yang menghubungkan kedua-dua bilik ini. Khidmat kaunter di hotel ini amat baik. Kepada yang biasa dengan konsep Tune Hotel ini, semuanya perlu tambah, namun alhamdulillah, kerana tempahan kami melalui Hotel.com maka semua telah masuk seperti penggunaan televisyen dan pendingin hawa sepanjang masa dan tidak dicatu. Semua maklumatnya telah dimasukan ke dalam kad kunci bilik. Juga termasuk, penggunaan tuala dan peralatan mandi. Cuma kekurangan bilik kami (dan juga bilik-bilik lain) adalah tiada cerek air, air minuman botol dan almari. Hanya palang berserta beberapa penyangkut sahaja disediakan. Boleh la, lagipun kami hanya duduk semalam sahaja.
Dapat juga dari dalam bilik-bilik kami, melihat permandangan bandar Hat Yai termasuk bangunan hotel Lee Garden. Kira hotel ini tidak berapa jauhlah dari kawasan pasar malam di kawasan sekitar Lee Garden itu.
Kami rehat sebentar dan bersolat jamak maghrib dan qasar isyak. Di Hat Yai, waktu Maghrib pada ketika itu adalah pada jam 6:10 malam, ketika ini pun sudah gelap langitnya. Pada jam 7:30 malam, kami semua pun keluar untuk bersiar-siar sambil mencari makan. Destinasi pertama adalah pasar terapung Klong Hae.
Ini kali pertama kami ke sini kerana setiap kali saya ke sini, ia tutup kerana ia hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad jam 3 petang hingga 10 malam. Saya hadir di Hat Yai di luar waktu tersebut sebelum ini.
Kami berada di pasar ini lebih kurang dalam sejam setengah dan dapatlah beli beberapa air minuman dari peniaga yang berada di atas sampan yang diisi di dalam bekas tembikar yang berharga antara ฿20 ke ฿30 (+-RM2 ke RM3) setiap satu. Sambil itu, beli makanan yang kebanyakannya halal kerana majoriti penjual di sini merupakan orang Islam Thailand. Orang pun agak ramai di sini terutama orang Malaysia. Tempat hendak makan pun ada cuma masa kami hendak duduk, seperti tiada tempat kosong. Tapi tak lama pun. Selain peniaga sampan, terdapat juga gerai-gerai di atas darat. Cuma saya rasa tidak puas makan di sini kerana ia lebih kepada street food.
Selepas itu kami menuju ke jambatan berdekatan pasar ini untuk ambil gambar. Rupa-rupanya terdapat pasar malam di hujung jambatan ini, cuma kami ambil keputusan untuk tidak ke sana.
Ada juga persembahan secara langsung di pentas di pasar ini, cuma tidak berapa nak faham kerana menggunakan Bahasa Thai. Kemudian kami pun pulang menuju hotel.
Sebelum sampai ke hotel, kami singgah ke pasaraya Big C semasa perjalanan pulang. Ini kerana kami ingin membeli beberapa barang keperluan yang ada jual di pasaraya ini. Semasa di dalam pasaraya ini, terperasan terdapat tulisan jawi yang bermaksud kurang enak didengar (boleh rujuk gambar di atas). Mungkin mereka tidak perasan...
Sampai di hotel, kami memarkir kereta dan seterusnya mencari kedai makan kerana perut seperti tidak terisi penuh. Berjumpa salah sebuah restoran ini. Alhamdulillah lega juga perut kami. Cuma seperti biasa, makanan halal di sini mahal sikit berbanding di Malaysia. Kami membayar ฿450 (+- RM45) untuk makanan yang biasanya hanya berharga RM30 lebih di Malaysia. Apa-apa pun syukur.
Selepas menjamu selera, kami ke sebuah cawangan bank CIMB Thai yang berada tidak jauh dari situ untuk mengeluar wang. Jika anda mempunyai akaun bank CIMB Bank atau CIMB Islamic di Malaysia dan mempunyai kad ATM, anda boleh mendapatkan wang Baht Thailand di mesin ATM tanpa sebarang caj sama ada di pihak CIMB Malaysia atau CIMB Thailand. Malah ia lebih murah berbanding anda menukar wang anda di tukaran wang asing. Dengan syarat, anda perlu aktifkan perkhidmatan pengeluaran wang anda di ATM atau perbankan internet CIMB Clicks atau cara-cara lain yang ditawarkan. Gunakanlah ia, sememangnya ia berbaloi.
Sudah ada duit barulah boleh ke pasar malam di Lee Garden. Saya singgah dulu ke salah sebuah 7-Eleven di sebelah pasar Pink Lady untuk membeli kad-kad SIM untuk saya, isteri dan ibu saya. Saya punya saya ambil pakej ฿299 (+-RM30) yang siap internet tanpa had untuk seminggu dan yang lainnya pakej ฿49 (+-RM5) agar mudah kami berhubung tanpa perlu perayauan antarabangsa yang mahal.
Seterusnya kami meronda sepanjang pasar malam dan membeli beberapa cenderahati seperti T-Shirt dan makanan. Setelah habis meronda dan membeli, kami pulang ke hotel untuk tidur, kerana esok perjalanan yang jauh akan kami tempuh lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan