Memaparkan catatan dengan label 16 Disember 2016 - Kuala Lumpur Malaysia - MRT Lembah Klang Laluan SBK. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 16 Disember 2016 - Kuala Lumpur Malaysia - MRT Lembah Klang Laluan SBK. Papar semua catatan

Isnin, 19 Disember 2016

Kuala Lumpur, Malaysia - 16 Disember 2016 - MRT Lembah Klang Laluan SBK.

Click here if want to read in English version.

Tren MRT sedang menghampiri platform Stesen MRT Sg Buloh.

Alhamdulillah, sistem pengangkutan yang ditunggu-tunggu sejak pengumumannya di Rancangan Malaysia ke-10 dan Bajet 2011, iaitu sistem MRT (Mass Rapid Transit - Transit Aliran Massa) pertama iaitu MRT Laluan SBK*, telah dilancarkan dan dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 15 Disember 2016 di Stesen MRT Kwasa Damansara dengan jayanya. Dalam ucapannya, beliau juga telah mengumumkan bahawa segenap peringkat rakyat Malaysia diberi peluang untuk menaiki MRT ini dengan percuma selama sebulan mulai keesokan harinya. Jesteru itu, saya mengambil kesempatan pada 16 Disember untuk mencuba perkhidmatan terbaharu di Kuala Lumpur ini.

(* SBK adalah singkatan dari Sungai Buloh - Kajang).

Untuk pengetahuan, pembinaan projek ini diselia oleh MRT Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan segala aset MRT ini dipunyai oleh pihak mereka juga. Pada peringkat awal, projek ini dimulakan oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad dan kemudian dipindahkan tanggungjawab kepada MRT Corp. Bagi tujuan operasi, pihak MRT Corp telah melantik Rapid Rail Sdn Bhd yang menggunakan jenama RapidKL. Jadi kita boleh merujuk laman web RapidKL untuk mendapatkan maklumat mengenai operasi MRT Laluan SBK ini. Di dalam Sistem Rel Bersepadu Lembah Klang, MRT Laluan SBK ini diberikan kod warna hijau tua dan kod nombor 9. Bagi fasa pertama MRT Laluan SBK ini, hanya 12 stesen sahaja yang beroperasi dari 31 stesen seterusnya, di mana bakinya dijangka akan beroperasi pada Julai 2017 nanti. Stesen yang telah beroperasi adalah:

1. Sungai Buloh;
2. Kampung Selamat;
3. Kwasa Damansara;
4. Kwasa Sentral;
5. Kota Damansara;
6. Surian;
7. Mutiara Damansara;
8. Bandar Utama;
9. TTDI (Taman Tun Dr Ismail);
10. Phileo Damansara;
11. Pusat Bandar Damansara;
12. Semantan.

Berikut juga adalah jadual tambang selepas perkhidmatan percuma selama sebulan ini tamat:


Jadual Tambang MRT Laluan SBK.

Melalui laman web RapidKL, saya dapat mengetahui terdapat perkhidmatan bas pengantara di Menara DBKL 2 berhampiran dengan Kompleks Membeli Belah Sogo KL, iaitu bernombor T820. Laluan ini membawa penumpang ke Stesen MRT Pusat Bandar Damansara. Terdapat 20 laluan lain yang beroperasi dari pelbagai stesen MRT. Semasa tempoh percubaan MRT percuma ini, perkhidmatan bas pengantara ini juga percuma juga, namun selepas itu, tambang sebanyak RM1.00 akan dikenakan bagi setiap perjalanan. Perkhidmatan bas pengantara ini akan beroperasi dari pukul 5:30 pagi ke 11:30 malam setiap hari.

Buat masa ini, mesin pengimbas kad belum dipasang di kebanyakan bas, namun selepas tempoh percubaan, pengguna kad Touch'nGo, boleh menggunakan kad berkenaan untuk pembayaran tambang. Kad MyRapid belum boleh digunakan lagi, namun selepas sistem MRT Laluan SBK ini lengkap sehingga ke Kajang pada bulan Julai 2017 nanti, kad ini akan boleh digunakan. 

Saya pun menunggu bas pengantara di Menara DBKL 2, dan masa yang saya tunggu tidak lama, sekitar 7 minit, bas ini pun sampai. Pihak Rapid Bus Sdn Bhd mengatakan bahawa bas ini akan mempunyai kekerapan setiap 5 ke 15 minit bergantung kepada keadaan lalu lintas. Bas yang digunakan adalah bas baru, bukan dari armada Rapid Bus yang sedia ada. Bas yang digunakan adalah dari jenama Scania dan Volvo. Badan bas ini mempunyai imej tersendiri yang boleh membezakan dengan bas-bas lain. Keadaan dalaman bas ini juga hampir sama dengan bas-bas lain di bawah armada Rapid Bus, cuma tempat duduknya mempunyai logo MRT Corp dan kerusi plastiknya agak lembut berbanding kerusi plastik bas Rapid Bus yang lain. Setelah 15 minit, akhirnya sampailah bas ini di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara. 

 Sebuah bas pengantara MRT dilihat berhampiran Sogo, Kuala Lumpur.

 Gegantung (bunting) promosi bas pengantara MRT laluan T820.

 Bas pengantara MRT (bas jenama Scania).

 Dalaman bas pengantara MRT.

Dalaman bas pengantara MRT.

 Kerusi penumpang bas pengantara MRT.

 Perhentian bas di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.

 Bas pengantara MRT (bas jenama Volvo).

Dari perhentian bas Stesen MRT Pusat Bandar Damansara, kelihatan stesen MRTnya agak besar juga, berbanding dengan stesen-stesen LRT yang sedia ada di Lembah Klang yang lain. Malah agak tinggi juga kedudukannya dengan tangga atau eskalator yang ada dirasakan agak tinggi. Sampai di aras concourse stesen, nampak agak luas juga, lebih besar dari ruang concourse di kedua-dua sistem LRT Lembang Klang. Terdapat beberapa gerai yang terletak di sini salah satunya adalah kedai serbaneka 7-Eleven & kedai farmasi Watson. Terdapat beberapa buah mesin-mesin tiket automatik dan sebuah mesin tambah nilai kad Touch'nGo juga. Oleh kerana di dalam tempoh percubaan yang percuma, jadi tidak perlu untuk membeli tiket dan terus masuk menerusi pintu hadangan yang dibuka.

Stesen MRT Pusat Bandar Damansara dari perhentian bas.

Tren MRT sedang menghampiri Stesen MRT Pusat Bandar Damansara.

 Peta Transit Rel Lembah Klang.

 Mesin Tiket Automatik dan Mesin Tambah Nilai Automatik.

 Pintu hadangan untuk masuk ke kawasan berbayar dan Kaunter Khidmat Pelanggan.

 Ruang legar kawasan berbayar di tingkat concourse.

Setelah itu, saya pun menaiki eskalator untuk ke aras platform stesen MRT ini. Suasananya agak segar dengan imej yang berbeza dari platform LRT di Kuala Lumpur yang lain. Temanya yang agak gelap, meredupkan suasana. Namun dengan pencahayaan yang minima, platform ini juga agak terang, kerana rekabentuk yang mesra alam yang menggunakan cahaya semula jadi sebagai asas pencahayaan utama. Kaedah ini juga digunakan di aras concourse tadi.

Terdapat hadangan berpintu automatik di antara platform dan landasan, di mana ini dapat mengelakan kes penumpang jatuh ke landasan berlaku. Keselamatan memang dititik beratkan di sini. Satu lagi, di tempat duduk di platform agak banyak terutama di kawasan tengah-tengah platform. Ini amat bagus sekali, kalau dibandingkan dengan stesen LRT, walaupun masa menunggu agak sekejap, kerana dikatakan tren MRT akan tiba kurang dari 5 minit, sekurang-kurangnya penumpang dapat mengurangkan kepenatan. Cuma kekurangan di sini adalah oleh kerana terdapat banyak tiang di kawasan platform ini, platform bersisi seperti di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara ini kelihatan sempit berbanding dengan platform di kedua-dua sistem LRT yang lebih luas terutama di stesen-stesen laluan sambungan baru ke Putra Height.

Selain tangga dan eskalator, terdpat juga kemudahan lif sama ada dari aras tanah ke aras concourse atau dari aras concourse ke aras platform. Ini dapat membantu orang kurang upaya yang menggunakan kerusi roda untuk bergerak. Selain itu, lantai di kawasan stesen ini juga mesra orang kurang upaya penglihatan, sampai ke platform juga terdapat jubin yang membantu perjalanan mereka ini.

 Platform menunggu tren MRT di tingkat platform.

 Platform menunggu tren MRT.

 Tempat duduk di platform menunggu tren MRT.

Saya menunggu tidak lama, kira-kira dua minit sahaja untuk tren sampai dari stesen sebelumnya iaitu Stesen Semantan. Apabila sampai, pintu tren akan serentak terbuka dengan pintu hadangan tadi. Apabila masuk ke dalam tren, saya lihat, ruang dalamannya agak luas berbanding kedua-dua sistem LRT di Lembah Klang. Malah rasanya, ia lebih luas daripada sistem MRT Singapura rasanya. 

Kombinasi warna memang agak menyegarkan dan terdapat motif geometri Islam terpapar di beberapa bahagian tren MRT ini. Tren ini adalah dari model Siemen Inspiro yang tidak mempunyai pemandu, bermakna ia sistem automatik yang dikawal daripada sistem berpusat di depoh Sungai Buloh. Sistem paparan maklumat di atas pintu tren menggunakan sistem dinamik. Ia akan memaparkan keseluruhan perjalanan, stesen-stesen yang telah dilalui, kedudukan terkini dan stesen seterusnya.  Semasa hendak berhenti, sistem paparan makluman ini akan memaklumkan pintu mana yang akan terbuka, kerana stesen-stesen dalam sistem MRT SBK ini mempunyai konfugurasi platform tepi atau pulau. Cuma bagi saya, sistem maklumannya agak lambat, iaitu ketika betul-betul hendak berhenti baru dimaklumkan. Seharusnya ia perlu dibuat lebih awal iaitu ketika tren dalam perjalanan hendak sampai ke stesen.

Kemudahan untuk orang kurang upaya juga tidak dilupakan. Selain ruang antara platform dan tren yang kecil, terdapat palang khas untuk pengguna kerusi roda berpaut. Jika tiada yang menggunakannya, palang ini mempunyai tempat khas yang membolehkan orang bersandar, ciri yang sama yang pernah rasai di Metro Taipei.

Dari segi keselamatan, memang ia menjadi titik utama dalam tren ini. Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk laman web MRT Corp.

Perjalanan dari Pusat Bandar Damansara ke Stesen Sg Buloh mengambil masa hampir setengah jam. Agak perlahan sikit, terutama di selepas Kwasa Damansara, mungkin kerana terdapat pembinaan. 

 Suasana di dalam tren MRT.

 Sistem paparan maklumat laluan tren MRT di atas pintu.

 Paparan skrin maklumat MRT di dalam tren.

 Paparan maklumat menunjukan bahagian pintu dibuka serta stesen seterusnya.

 Paparan bagi pintu yang tidak dibuka.

 Tempat khas untuk pengguna kerusi roda.

Apabila sampai di Stesen Sg Buloh, saya pun keluar. Stesen ini bersambung dengan Stesen KTM Komuter Sg Buloh, jadi ia memang agak besar. Tambahan juga, terdapat beberapa kompleks parkir kereta. Saya melihat juga beberapa kemudahan yang tidak sempat saya lihat semasa di Stesen MRT Pusat Bandar Damansara tadi, seperti surau dan tandas. Seperti spesifikasi stesen transit lain juga, cuma suraunya agak kecil sedikit dan tandasnya perlu ditambah bilangan tandas. Sinki air juga tiada mempunyai cermin. Keadaan di platform di stesen ini yang berkonfugirasi platform pulau juga kelihatan agak kecil, sama dengan konfugurasi platform tepi.

 Platform Stesen MRT Sg Buloh.

 Papan Maklumat Stesen MRT di Stesen Sg Buloh.

 Jalan menuju ke surau dan tandas di tingkat concourse di Stesen MRT Sg Buloh.


Tren MRT sedang menghampiri platform Stesen MRT Sg Buloh.

Video: MRT Laluan SBK (SBK Line) @ Sg Buloh.

 Tren MRT yang menunggu penumpang untuk masuk.

Video: Perjalanan MRT Laluan SBK dari Sg Buloh ke Kwasa Damansara.

Selepas seberapa ketika, saya pun pulang kembali ke Stesen Semantan dan kemudian berpatah balik ke Stesen Pusat Bandar Damansara. Ketika pergi dan balik, ramai yang mencuba perkhidmatan ini. Malah pengguna basikal lipat juga boleh menggunakan sistem ini di luar waktu puncak.

Bagi saya sistem ini mempunyai banyak peningkatan berbanding sistem LRT sedia ada. Namun terdapat juga beberapa perkara yang perlu ditingkatkan, agar ia setanding dengan sistem sama di negara lain. Cuma terdapat kelemahan iaitu terdapat banyak tembok penghalang bunyi yang dipasang sepanjang laluan sehinggakan menghalang permandangan pengguna yang ingin menikmati permandangan luar. Sewajarnya pihak pembina boleh gunakan bahan yang lut sinar bagi memudahkan pemandangan.

Insya Allah dengan adanya MRT ini, akan memudahkan orang di Lembah Klang untuk berhubung ke tempat lain. Juga saya amat harapkan agar kemudahan yang sama dapat dipanjangkan ke tempat-tempat lain Malaysia, tidaklah penumpuan dibuat di Lembah Klang sahaja.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Click here if want to read in English version.