Khamis, 16 Mac 2017

Petua: Permohonan Permit Memandu Antarabangsa Malaysia di Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.


Permit Memandu Antarabangsa (IDP).


Memandu di negara yang kita mengembara atau melancong adalah salah satu pilihan di mana dengan cara ini, kita boleh pergi ke tempat yang kita kehendaki dengan lebih cepat dan ada ketikanya lebih murah, terutama jika pergi secara beramai. Namun, tidak semua negara di dunia ini menerima lesen memandu Malaysia terutama versi lama yang tidak mempunyai butiran di dalam Bahasa Inggeris. Bagi versi baru yang mempunyai butiran di dalam Bahasa Inggeris, ada negara tambahan yang menerimanya terutama negara-negara di dalam pertubuhan ASEAN dan juga kebanyakan negara-negara Komanwel.

Tetapi, bagi negara yang tidak tergolong di dalam kedua-dua pertubuhan tersebut, kemungkinan besar mereka tidak menerima lesen memandu Malaysia yang biasa terutama yang menggunakan bahasa selain Bahasa Inggeris. Malah di dalam ASEAN, pernah terjadi polis-polis di negara tertentu menahan dan mendenda malah ada yang mempenjara kerana tidak mempunyai lesen memandu sah negara tersebut walaupun sebenarnya terdapat satu perjanjian di kalangan negara-negara ASEAN iaitu Perjanjian Penerimaan Lesen Memandu Tempatan yang Dikeluarkan oleh Negara-negara ASEAN (Agreement on the Recognition of Domestic Driving Licences Issued by ASEAN Countries) yang ditandatangani pada tahun 1985.

Pihak syarikat sewaan kenderaan di negara yang ziarahi tersebut biasanya akan meminta lesen memandu yang sah digunakan di negara tersebut. Satu kaedah adalah untuk mendapatkan lesen memandu negara tersebut dengan mengikuti prosedur dari awal, iaitu dengan belajar memandu seterusnya menjalani ujian berkaitan. Atau kita menukarkan lesen memandu Malaysia kita kepada lesen memandu negara tersebut, jika ia dibolehkan. Kedua-dua cara ini agak mahal dan ia perlu dibuat, jika kita ingin berada di negara tersebut melebihi 3 bulan.

Langkah terbaik bagi mengelakan perkara tersebut dan juga bagi perjalanan yang kurang dari 3 bulan di negara berkenaan adalah dengan memohon Permit  Memandu Antarabangsa (IDP - International Driving Permit) di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia adalah cara yang lebih murah, iaitu hanya RM150.00 sahaja bagi tempoh setahun. Jika di Kuala Lumpur, antara pejabat JPJ yang membuat permit ini adalah JPJ Wilayah Persekutuan di Wangsa Maju, selain cawangan-cawangan lain.



Peta: Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan, Wangsa Maju.

Sebelum memohon permit ini, kita perlu tahu, apakah dokumen-dokumen yang diperlukan bersama-sama permohonan ini. Dokumen terbabit adalah:


Keperluan permohonan permit memandu antarabangsa.


1. 1 salinan fotostat MyKad (bagi warganegara Malaysia) atau pasport (bagi bukan warganegara Malaysia);
2.  1 salinan lesen memandu;
3.  1 keping gambar peribadi bersaiz pasport berlatar belakang putih (sila rujuk format di bawah);

Format gambar peribadi dalam saiz pasport.

4.  Wang tunai RM150.00 untuk bayaran bagi tempoh setahun;
5.  Borang Permohonan Lesen Memandu JPJ yang telah siap diisi. 

Borang tersebut boleh didapati di kaunter atau jika kita mahu siap-siap dari awal, boleh klik link yang ada di atas untuk memuat turun borang tersebut dan mencetak sendiri. Borang itu pun sebenarnya percuma sahaja.

Borang tersebut perlu diisi di Bahagian A (iaitu letakan kod 0 4 pada kotak berkenaan), Bahagian B (butiran diri, isi semua dengan lengkap), Bahagian C3 (isikan nombor lesen memandu kita dan kelas-kelas memandu yang telah diluluskan mengikut lesen memandu) dan Bahagian D. Kemudian tandatangan borang tersebut dan isikan tarikh.


Borang Lesen Memandu JPJ (depan)

Borang Lesen Memandu JPJ (belakang)


Kesemua itu perlu dipersiapkan awal. Pastikan membawa sekali dokumen asal (Mykad/Pasport dan lesen memandu) untuk disahkan oleh pegawai terbabit nanti. Apabila semuanya sudah siap, maka kita perlu ke pejabat JPJ untuk memohonnya.

Di pejabat JPJ Wilayah Persekutuan, Wangsa Maju, permohonan IDP ini perlu dibuat di Pintu 1, iaitu kaunter-kaunter yang berkaitan dengan lesen memandu. Ambil nombor dengan mengatakan kita ingin membuat IDP dan tunggu nombor giliran. Biasanya sekarang, orang yang menunggu di pejabat ini agak kurang berbanding masa lepas. Mungkin setelah beroperasinya banyak pejabat JPJ di UTC atau pejabat cawangan kecil, orang sudah berkurangan ke pejabat JPJ Wangsa Maju ini.


Papan tanda pejabat JPJ Wilayah Persekutuan, Wangsa Maju.

Papan tanda pejabat JPJ Wilayah Persekutuan, Wangsa Maju.

Pintu 1, JPJ Wilayah Persekutuan, Wangsa Maju.

Nombor giliran saya.

Apabila nombor dipanggil, serahkan dokumen yang diperlukan bersama-sama borang dan juga wang RM150.00 tersebut kepada petugas kaunter berkenaan. Petugas tersebut akan memasukan data ke dalam sistem komputer dan kemudian menulis butir-butir di dalam sebuah buku, iaitu IDPnya sebelum menyerahkan kepada pegawainya untuk kelulusan. 

Tidak lama, kira-kira kurang 5 minit, petugas tersebut akan menyerahkan resit bagi bayaran yang telah dibuat dan IDP kita yang telah siap. Sila periksa, agar tiada kesilapan di dalam IDP dan resit yang diberikan. Jika  sudah siap, maka siaplah IDP kita itu. Mudah dan cepat. 

Resit pembayaran bagi IDP.

Permit Memandu Antarabangsa (IDP) (muka surat depan).

Negara-negara yang menerima IDP ini (muka surat 2).

Butiran kelas memandu dan butiran diri di dalam IDP ini (muka surat 3 dan 12).


Jadi itulah proses-proses memohon IDP ini. Jadi selepas siapnya IDP ini, lesen memandu kita akan lebih luas dalam tempoh setahun. Dengan adanya permit ini, kita akan lebih tenang untuk memandu kerana ia diterima secara meluas di kebanyakan negara di dunia ini.

Selamat memandu dan selamat mengembara.


KembaraGD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan.

Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan: