Ahad, 12 Mac 2017

Hari 4 (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017) - Tạm biệt Hà Nội! (Selamat Tinggal Hanoi!).

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part);
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 

Petunjuk: Waktu di Vietnam adalah UTC +7 iaitu sejam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Hanoi pula pukul 11:00 pagi.

Hari 4 (26 Februari 2017 - Ahad).

Hari akhir kami di bumi Vietnam ini, macam biasa saya bangun agak awal. Apabila masa makin hampir hendak solat Subuh, saya mengejutkan kedua-dua orang abang saya itu, dan saya terus membersihkan diri. Selepas selesai saya, makan giliran mereka pula. Sementara menunggu giliran, masing-masing mempersiapkan beg dan saya memakai baju. Tatkala telefon bimbit saya membunyikan azan menandakan waktu Subuh bagi kawasan tempatan, maka kami pun bersolat.

Pada pukul 6:00 pagi, setelah selesai dengan persiapan kami, dan memastikan tiada apa yang tertinggal, maka kami pun terus turun ke bawah untuk mendaftar keluar. Kami terpaksa tidak mengambil sarapan pagi kerana ia bermula pada pukul 7:30 pagi, jika mengambilnya bermakna kami akan terlepas masa untuk mendaftar masuk seterusnya akan terlepas penerbangan (sebenarnya di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Noi Bai, Hanoi, Vietnam (HAN) ini, pas pelepasan melalui laman web atau aplikasi di telefon bimbit boleh digunakan, tidak semestinya perlu mendaftar di kaunter daftar masuk), melainkan jika kami mengambil perkhidmatan teksi, Uber atau Grab. Itu pun saya tidak percaya boleh sampai kerana keadaan lalu lintas di Hanoi ini kita tidak boleh jangka.

Sampai di meja pendaftaran, pekerja-pekerja hotel masih tidur di ruang lobi. Terpaksalah mereka bangun untuk proses daftar keluar. Lama juga, maklumlah mereka masih mamai, dalam pukul 6:20 pagi baru selesai prosesnya dan kami pun segera bergerak menuju ke perhentian bas (yang kami gunakan pada Hari 2 yang lepas untuk ke Stesen Bas Gia Lam seterusnya ke Ha Long), bagi mengambil bas bernombor 17 untuk ke Stesen Bas Terminal Domestik HAN. Dalam perjalanan, kami ambil jalan lain sikit, untuk mengambil sikit gambar kenang-kenangan di Old Quarter Hanoi ini.


Abang Din & Abang Zul di pintu gerbang O Quan Chuong, Old Quarter, Hanoi ketika berjalan menuju ke perhentian bas.


Peta: Perjalanan berjalan kaki dari Camel City Hotel ke perhentian bas Long Bien.

Sampai di perhentian bas, kami pun menunggu tidak lama, kira-kira tiga ke lima minit, sampailah bas yang dinantikan. Cuma susunan tempat duduknya agak lain di mana terdapat banyak kerusi satu tempat duduk di dalam bas ini, mungkin menumpukan orang berdiri agaknya. Setelah kami duduk dan bas bergerak, konduktor datang untuk bayaran tambang bas. Wang 10 000₫ (+- RM2.00) diberikan dan baki 1000₫ (+- RM0.20) diberikan.

Perjalanan bas ini ke destinasinya mengambil masa kira-kira lebih sikit dari sejam. Sampai di lebuhraya besar di hadapan kawasan terminal, bas ini bergerak perlahan pula, sebagai mana bas yang membawa kami dari Stesen Bas Gia Lam ke Ha Long dua hari sebelumnya. Kami sampai di Stesen Bas Terminal Domestik pada pukul 7:40 pagi. Sudahlah itu, tiba-tiba saya terasa terkucil hendak membuang air kecil pula. Maklumlah cuaca sejuk masa itu. Nasib baik tidak jauh, terdapat tandas. Selesaikan hajat dahulu.

Usai sahaja, kami semua terus berjalan laju menuju ke Terminal Antarabangsa yang juga dikenali Terminal 2 HAN. Jarak satu kilometer itu berjaya ditempuhi dalam masa kurang 10 minit dan terus kami naik ke aras 3 untuk ke aras balai berlepas HAN. Apabila di situ, saya melihat paparan skrin maklumat, menyatakan kaunter daftar masuk adalah di barisan A, kami di hujung satu lagi, apa lagi, masa di tangan menunjukan 5 minit lagi untuk pukul 8:00 pagi yang juga menandakan masa daftar masuk tamat.

Tiket bas bandar Hanoi nombor 17 
(dari Stesen Bas Long Bien ke 
Terminal Domestik Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Noi Bai (HAN)).


Papan iklan yang menyambut kedatangan kami ke LTA Noi Bai.


Peta: Perjalanan bas dari perhentian bas Long Bien ke Terminal Domestik, LTA Noi Bai.

Bergegas juga kami, dan apabila sampai di barisan A, kebetulan kaunter bag drop tiada orang, apa lagi, kami terus ke situ. Alhamdulillah, sempat juga. Pada masa itu, saya ditegur oleh seorang orang Malaysia yang menjadi penumpang bersedia (stand by). Ini kerana dia terpaksa pulang ke Malaysia kerana ada urusan kecemasan yang melibatkan ahli keluarganya di tanah air. Saya ucapkan takziah padanya dan semoga berjaya dalam mendapatkan tempat duduk. Perkhidmatan AirAsia ke Kuala Lumpur dari Hanoi cuma sekali sahaja sehari, namun syarikat MAS dan Vietnam Airlines juga mempunyai perkhidmatan yang sama. Cuma perkhidmatan dari Hanoi ini tidak sekerap yang ada dari Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon - HCMC).

Setelah itu, kami kemudian masuk ke dalam kawasan airside dengan mula-mula kami beratur untuk diperiksa tiket di pintu masuknya. Kemudian bila tiket disahkan, urusan keluar imigresen Vietnam pula. Alhamdulillah, tidak pula yang biasa terjadi di LTA Tan Soon Nhat di Bandaraya Ho Chi Minh (SGN), di sini pegawai imigresen memang sedar yang pemegang pasport Malaysia tiada cop keluar masuk imigresen Malaysia. Kami melepasinya dengan senang juga.

Seterusnya pemeriksaan keselamatan pula. Saya masukan semua benda-benda logam ke dalam beg saya dan sebelum masuk ke airside tadi, saya membuang segala benda cecair yang saya bawa. Sebelum melepasi pintu pengesan logam, saya membuka kasut but saya dan meletakkannya di dalam dulang disediakan yang agak kecil juga bersama-sama beg saya untuk diimbas pada mesin x-ray. Saya berjalan melepasi pintu pengesan, dan ia tidak berbunyi. Selepas itu, saya memakai kasut but saya di kerusi berhampiran dan kemudian ke pintu pelepasan 32 untuk menunggu pesawat kami. 

Jadi akhirnya, saya berjaya menyimpan 500 000₫ (+- RM100.00) yang belum saya dapat kumpul dalam koleksi matawang saya. Maka lengkaplah koleksi wang kertas/polimer Dong Vietnam saya. Bermakna, selepas ini jika ke Vietnam, maka catatan blog saya tidak lagi akan memaparkan wang Dong ini kecuali jika kerajaan Vietnam menukar rekabentuk wang Dong ini ke wang yang baru.

Sampai di pintu 32, pesawat 9M-AQP telah berada di kawasan parkirnya. Jadi bermakna, pintu pelepasan akan dibuka tidak lama lagi. Tapi ada masa lagi, jadi saya jalan-jalan di kawasan airside ini tapi tidaklah jauh, cukup sekadar sekitar pintu 32 sahaja. Diperhatikan bahawa, barang-barang dijual masih di dalam matawang Dong Vietnam, tidak seperti di SGN yang sepenuhnya menggunakan Dolar Amrika Syarikat (USD). Pada pukul 8:35 pagi, maka pintu pelepasan dibuka. Jadi kami pun masuk dan maka Tạm biệt Hà Nội! (Selamat Tinggal Hanoi!). 

Kami semua duduk sebaris di barisan 23 sebelah kiri pesawat. Setelah semua selesai, penerbangan AK517 ke Kuala Lumpur ini bergerak meninggalkan pintu pelepasan 32 untuk bersedia berlepas. Akhirnya pada pukul 9:10 pagi, berlepaslah kami menuju ke Kuala Lumpur.


Balai Berlepas Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.


Pas Pelepasan penerbangan AK517.



Cop pasport keluar imigresen Vietnam LTA Noi Bai.

Antara suasana di kawasan airside Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.


Antara suasana di kawasan airside Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.

Menghampiri pintu pelepasan 32 Terminal Antarabangsa LTA Noi Bai.

500 000 (polimer)= +- RM100.00
(dominasi lain telah saya dapati kembara saya sebelum ini 
(Oktober 2014 (Pra Kembara & Hari 5) dan Januari 2016 (Pra Kembara)))


Pesawat 9M-AQP yang sedang parkir di ruang parkir 32 LTA Noi Bai.



Video: Pesawat AirAsia AK517 berlepas dari Hanoi ke klia2. 


Oleh kerana kami tidak bersarapan, maka kami tidak sabar-sabar untuk mendapatkan tempahan makanan yang telah kami buat untuk penerbangan ini. Alhamdulillah sejam selepas penerbangan, kereta sorong yang membawa makanan yang telah ditempah tiba di barisan kerusi kami. Pembantu penerbangan membuat kepastian yang setiap kami memesan dua jenis hidangan makanan. Saya sempat berseloroh yang mana saya mengatakan kami mengambil dua hidangan kerana kami lapar. Tergelak dia mendengar selorohan saya.

Selepas makan, kami ambil kesempatan melelapkan mata kami. Apabila selepas 2 setengah jam penerbangan, pengumuman yang penerbangan ini akan tiba di klia2 diumumkan oleh petugas kabin, jadi saya melihat permandangan di luar pesawat. Memang jelas ternampak bandaraya Kuala Lumpur dari tingkap saya. Saya sempat juga mengambil gambar sebahagianya dan juga gambar KLIA dan klia2 ketika ia terbang berhampirannya sebelum pesawat ini membuat pusingan U di ruang udara Port Dickson. Akhirnya pada pukul 12:55 tengahari (waktu Malaysia (UTC +8), dan selepas ini semua waktu adalah waktu Malaysia) mendarat juga pesawat ini dan kemudiannya parkir di pintu Q7.


Ruang udara Bukit Jalil dan Puchong dari udara.

KLIA dari udara.

Berada di atas lorong teksi menuju ke terminal klia2.


Video: Pesawat AirAsia AK517 mendarat di klia2 dari Hanoi. 



Peta Laluan Pesawat AirAsia AK 517 26 Februari 2017 daripada FlightRadar24.

Kami pun selamat sampai dan keluar dari pesawat. Macam biasa, kami akan bergambar kenangan di walkalator selepas masuk ke bangunan terminal klia2. Selepas itu kami terus berjalan menuju ke kaunter imigresen. Pada masa itu saya dan abang Zul tidak sedar yang abang Din sudah tidak bersama kami. Tidak sempat nak ucap selamat jalan dan terima kasih serta meminta maaf. Pada masa sama, saya mendapat mesej dari sahabat pengembara, Zamzuri yang juga terkenal dengan blog Facebooknya, Backpackerz Beg Sekolah yang baru sampai juga dari Luang Prabang, Laos. Jadi kami akan berjumpanya di KFC gateway@klia2 nanti.

Setelah selesai melepasi pemeriksaan imigresen melalui pintu automatik, kami melepasi kastam tanpa perlu diperiksa beg kami dan saya ke CIMB Bank di aras berlepas dahulu untuk memasukan kembali wang Ringgit Malaysia yang saya keluarkan untuk kes kecemasan. Alhamdulillah tidak digunakan malah bertambah, kerana abang Zul membeli beg menggunakan kad kredit saya dan juga penggunaan kad kredit saya untuk perkhidmatan Uber yang mana bahagian kedua-dua abang saya ini telah diberikan kepada saya. Lebih baik saya masukan sebelum saya terpakai pula.

Seterusnya kami ke KFC untuk bertemu dengan Zamzuri. Dia bersama gengnya sedang memesan makanan. Agaknya rindu makanan yang diperbuat di Malaysia agaknya. Jadi kami sempatlah berborak terutama tentang perjalanan kami.

Pada pukul 2:00 petang, kami semua pun ke stesen bas di aras 1 di bawah untuk menaiki bas. Setelah Zamzuri berjaya membeli tiket bas ke Kelana Jaya untuk pukul 3:00 petang, kami bersolat dahulu di surau berdekatan. Selepas itu kami berpisah dengan Zamzuri, kerana bas ke KLIA akan bergerak bila-bila masa. Jadi kami memberikan kertas tempahan penerbangan kami yang mempunyai maklumat tempahan bas shuttle ke KL Sentral. Tepat pukul 2:20 petang, tayar bas pun bergolek meninggalkan Stesen Bas klia2.

Setelah hampir sejam, akhirnya sampailah bas ini di Stesen Bas KL Sentral. Saya berpisah dengan abang Zul di sini kerana saya hendak ke pusat membeli-belah Nu Sentral untuk menukar baki wang Dong Vietnam yang ada di dalam tangan saya. Jadi saya terus ke Nu Sentral dan menukar wang di pengurup wang GMT (Global Millennium Trading Sdn Bhd) setelah ia memberikan kadar terbaik dari tiga pengurup wang yang ada di Nu Sentral. 


 Kami akhirnya selamat tiba di klia2.



Saya dan abang Zul bersama sahabat kembara, Zamzuri di Stesen Bas klia2.

Tiket bas shuttle dari klia2 ke KL Sentral.


Resit tukaran wang baki Dong Vietnam ke Ringgit Malaysia 
di pengurup wang GMT Nu Sentral.

Setelah selesai urusan di Nu Sentral, saya pun ke Stesen LRT KL Sentral untuk menaiki LRT ke stesen LRT yang terdekat dengan rumah saya. Semasa di dalam LRT, isteri saya menelefon mengatakan saya tidak perlu menaiki bas feeder untuk sambungan dari stesen LRT ke rumah kerana dia akan mengambil saya di situ. Apabila sampai, isteri saya menunggu dan saya sampai juga di rumah pada pukul 4:10 petang.

Alhamdulillah, pengembaraan pendek saya kali ini bersama abang Din dan abang Zul telah berakhir. Rasanya saya amat gembira kerana saya telah tercapai untuk menjejaki New 7Wonders. Cuma di Asia Tenggara, saya belum sampai ke Pulau Komodo lagi. Pulau Jeju di Korea Selatan yang juga salah satu New 7Wonder berdekatan yang belum sampai lagi, insya Allah saya akan cuba mencapainya tidak lama lagi dan berusaha untuk sampai di tempat lain yang lebih jauh. Penting sekali saya telah selamat kembali ke rumah dan esoknya saya perlu bertugas di luar pejabat iaitu ke Alor Setar pula.

Jadi itu saya coretan kembara saya ke Hanoi dan Ha Long. Insya Allah saya akan menyambung catatan seterusnya, ke Mauritius yang mana diawalkan dari jadual asal yang sepatutnya bulan September 2017 tetapi pihak AirAsia X mengawalkannya kerana ingin menutup laluan pada akhir bulan Mac 2017. Nantikan ia dan sementara itu mengembaralah kita untuk mencari keredhaanNya. Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.

Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4 (this part);
  • Travel Guide - Hanoi; or
  • Travel Guide - Ha Long. 

Tiada ulasan: