Memaparkan catatan dengan label 11 April 2015 - Johor Bahru Johor Malaysia & Singapura. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 11 April 2015 - Johor Bahru Johor Malaysia & Singapura. Papar semua catatan

Selasa, 21 April 2015

Johor Bahru, Johor, Malaysia & Singapura - 11 April 2015 - Lawatan Pendek Ke Kota Singa.

Bersambung dari PraKembara.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; or 
  • Day 1 (this part).




Akhirnya sampai juga hari ini. Saya bangun awal pagi pada jam 5:00 pagi untuk mengemas pakaian dan benda-benda yang perlu dibawa. Tidak banyak pun kerana pergi hanya sehari namun saya perlu kemas sekali untuk bekalan empat hari kerana hari seterusnya (12 April 2015, Ahad) dan tiga hari berikutnya, saya akan bertugas di luar pejabat di pantai timur. Naik penerbangan lagi ke Kertih dengan FireFly pula, tapi cuma pergi sahaja, balik dengan menaiki kereta pejabat, huhuhu...




Berbalik kepada kembara ini, setelah solat subuh iaitu pada jam 6:20 pagi, saya bertolak dari rumah untuk ke klia2. Perjalanan mengambil masa hampir 50 minit, dan saya memakir skuter saya di ruangan parkir motorsikal klia2 di aras 1.


Setelah memarkir, saya terus ke aras 3 untuk ke balai berlepas. Di situ, saya memerhatikan papan paparan maklumat pintu pelepasan. Penerbangan saya AirAsia AK6046 akan menggunakan pintu pelepasan J1, jadi inilah pertama kali saya menggunakan sayap J di klia2. Oleh kerana saya telah mendaftar masuk, maka saya terus ke pintu masuk ke pintu-pintu pelepasan, melalui pemeriksaan polis bantuan Malaysia Airport Berhad dengan menunjukan pas pelepasan di dalam aplikasi telefon bimbit saya dan seterusnya ke pintu pelepasan J1.


Sayap J klia2 ini agak meriah juga walaupun masih awal pagi. Banyak kedai-kedai telah dibuka seperti Starbucks, Baskin Robbins dan sebagainya. Pagi-pagi Sabtu ni ramai juga di sini. Kalah terminal bas ekspres.


Sambil berjalan menuju ke pintu pelepasan J1, saya melihat di luar jendela bangunan terminal. Saya ternampak pesawat yang akan saya gunakan iaitu 9M-AHM, yang mempunyai livery penyanyi barat Taylor Swift. Teringang-ngiang pula dalam kepala saya lagu-lagu Taylor Swift, hikhikhik.


Masuk sahaja ruang menunggu di pintu pelepasan J1, tunggu tidak lama, jam 7:45 pagi, kru-kru kabin penerbangan AK6046 ini memanggil kami untuk perlepasan. Tepat jam 8:15 pagi, pesawat pun bergerak dari terminal menuju ke landasan terbang. Jadi menunjukan pertama kalinya saya menaiki penerbangan domestik AirAsia dari klia2 dan juga pertama kali menggunakan sayap J yang satu-satunya sayap terminal klia2 yang belum saya gunakan.



Penerbangan agak berjalan lancar dengan pesawat berlepas dengan baik. Penerbangan ini meluncur melalui ruang udara Selat Melaka sehingga Batu Pahat dan kemudian memasuki ruang udara sebelah darat pula sehingga Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Ini jelas kerana saya duduk di tempat duduk sebelah tingkap.



Akhirnya setelah 40 minit terbang di udara, pesawat AK6046 ini mendarat dengan baiknya di landasan terbang, Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru. Walaupun terdapat jambatan udara, namun pesawat AirAsia ini tidak menggunakannya. Kami turun di apron lapangan terbang dan berjalan menuju ke terminal. Hanya pesawat MAS sahaja yang menggunakan jambatan udara. Nampaknya kawasan airside balai ketibaan di lapangan terbang ini ada sedikit perubahan berbanding kali terakhir saya menggunakannya 10 tahun lepas.


Tiba di kawasan landside lapangan terbang ini, ada perubahan yang didapati. Ia lebih besar berbanding dahulu. Malah terdapat ruang legar besar seolah-olah seperti pusat membeli belah yang dipanggil "Airport Mall". Malah kini terdapat ruang melihat kawasan lapangan terbang di susur jalan kaki menuju ke kawasan parkir kereta. Cuma saya rasa ruangan ini semacam banyak kosongnya. Malah boleh dikatakan tiada tempat duduk di kawasan landside di sini. Jika ada pun terdapat di depan surau (hanya 8 buah sahaja) dan di dalam restoran. Bermakna jika mahu duduk, maka kena memasuki restoran-restoran ini dengan menjadi pelanggan.


Seterusnya saya ke kaunter bas Causeway Link yang terletak di ruang legar Airport Mall, tidak jauh dari Subway dan KFC. Saya ke kaunter ini adalah untuk mengesahkan penempahan bas percuma ke CIQS Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan seterusnya ke beberapa destinasi yang ditawarkan oleh pihak Causeway Link kepada pemegang tiket AirAsia. Ketika saya keluar dari balai ketibaan, masa pun sudah pukul 9:15 pagi, maka saya terlepas bas pukul 9:00 pagi. Maka saya kena menaiki bas pukul 10:00 pagi. Jadual bas boleh didapati di sini. Rupanya, kita tidak perlu mencetak e-tiket yang diberikan, kita boleh mencetaknya di kaunter ini dengan memasukan nombor tempahan AirAsia (6 aksara itu). DI sini, tiket-tiket akan diimbas kod barnya.


Seterusnya kita akan menunggu bas di terminal bas dan teksi di luar terminal lapangan terbang ini. Memang jauh berbeza lapangan terbang ini berbanding 10 tahun lepas. Terminal teksi dan bas ini pun baik fasilitinya. Lupa pula, jika bukan pemegang tiket AirAsia, masih boleh menggunakan perkhdimatan bas ke CIQS BSI, cuma kena bayar RM8.00  per orang per hala. Sambungan ke Singapura juga perlu dibayar harga lain dari RM1.90 ke RM3.40 mengikut destinasi (iaitu ke stesen MRT Kranji atau ke Newton Circus atau ke Queen Street).


Selain itu, Causeway Link juga menyediakan perkhidmatan bas percuma untuk semua penumpang yang menggunakan Lapangan Terbang Senai ke Johor Premium Outlet (JPO). Mahal ada juga perkhdimatan ke Legoland, Puteri Harbour, Nusa Jaya dan terus ke Gelang Patah. Memang perkhidmatan awam di sekitar bandaraya Johor Bahru atau lebih tepat kawasan pembangunan Wilayah Iskandar ini sudah berubah lebih baik. Jam 9:50 pagi, bas bernombor CWA yang datang dari CIQS BSI tiba, dan pada pukul 10:00 pagi tepat, bas ini bergerak dari terminal bas Lapangan Terbang Senai menuju ke CIQS BSI setelah saya dan penumpang-penumpang lain menaikinya.


Bas ini bergerak melalui pekan Senai, kemudian memasuki Lebuhraya Utara Selatan (melalui plaza tol Kempas), melalui Lebuhraya Hubungan Penyuraian Timur (Eastern Dispersal Link - EDL) dan terus singgah ke Johor Sentral sebentar, sebelum ke CIQS BSI pula.


Sampai di CIQS BSI, kami diturunkan di bay bas yang disediakan dan terus menaiki eskalator ke atas untuk pemeriksaan imigresen dan kastam Malaysia. Alhamdulillah, orang agak tidak ramai, apatah lagi di e-Gate (mesin pemeriksaan pasport Malaysia automatik). Jadi urusan sekejap sahaja, tidak perlu ke kaunter 18 untuk pemeriksaan ekspres pemegang e-Tiket bas Causeway Link CWA. Pada masa sama, saya berhubung dengan Hafiz John untuk bertemu. Akhirnya kami bertemu di bay 22 yang menempatkan bas Causeway Link ke Queen Street, Singapura.


Kami berpelukan dan menyapa, seolah-olah macam sudah lama kenal, sedangkan itulah saat pertama kali bertemu. Sebelum itu, hanya berhubung di Facebook dan WhatsApp sahaja. Kami segera menaiki bas Causeway Link bernombor CW2 untuk ke Queen Street namun singgah di Pusat Pemeriksaan Woodlands, Singapura untuk urusan imigresen dan kastam Singapura. Perjalanan mengambil masa hampir satu jam kerana terdapat kesesakan jalan raya di Lebuhraya Pan Pulau (Pan-Island Expressway - PIE), memaksa bas melencongkan laluan ke Bukit Timah Road tetapi tetap sesak juga. Sepanjang perjalanan kami berborak menyebabkan masa terasa agak sekejap sahaja. Akhirnya sampai juga ke terminal bas Queen Street di Singapura.




Kami seterusnya ke Bugis Junction, sebuah pusat membeli belah yang berdekatan dengan terminal bas Queen Street ini. Tujuannya adalah untuk membeli kad SIM prabayar. Di sini rupa-rupanya kedai SingtelStarHub dan M1 adalah sebelah menyebelah. Mudahlah saya untuk membuat perbandingan. Walaupun kalau ikutkan, M1 lebih murah, namun disebabkan susun atur kedai M1 agak mengelirukan (saya tidak tahu mana hendak beli kad SIM) dan liputan M1 yang paling kurang menyeluruh di Singapura, maka saya mengambil kad prabayar Happy dari StarHub kerana saya sudah pernah menggunakan Singtel sebelum ini. Hendak merasai pengalaman menggunakan StarHub pula. Harganya cuma SG$8 (+-RM22.40) sahaja dengan pra isian SG$10 (+-RM28.00). Kalau prabayar MCard dari M1, pek permulaannya cuma SG$5 (+-RM14.00) sahaja dengan pra isian SG$6 (+- RM16.80). Selepas itu dengan nilai pra isian yang ada, saya melanggan pakej data 1GB untuk 3 hari dengan harga SG$5.00 (+-RM14.00).



Selepas itu, kami menuju ke pengurup wang yang ada di Bugis Junction ini, kerana Hafiz belum menukar wang lagi. Jumpa sahaja, terus dia tukar RM100, dan dia mendapat SG$36.70 (iaitu kadar pertukaran SG$1 = RM2.74). Agak mahal, lebih baik tukar di Malaysia. Rasanya kalau tukar di Johor Bahru, lebih banyak boleh dapat.





Seterusnya, kami menuju ke stesen MRT Bugis untuk menaiki MRT ke Raffles Place. Saya menggunakan kad autopass (seperti di atas, sila rujuk artikel ini untuk tahu apa dia), jadi tidak perlu membeli tiket biasa, kerana sudah ada nilai prabayar di dalamnya. Lagipun akan dapat harga diskaun.




Hafiz tidak mempunyai kad prabayar, maka perlu membeli sendiri tiket biasa (seperti di atas). Ia boleh digunakan sebanyak enam kali di mana pada pembelian ketiga dan keenam, sebanyak SG$0.10 akan ditolak dari harga tambang sebenar. Dengan tiket biasa, ia perlu digunakan dengan membayar tambang dan menyentuh tiket itu untuk dimasukan maklumatnya ke dalam tiket berkenaan. Ia perlu dilakukan setiap kali sehingga maksima 6 kali.

Setelah selesai, maka kami pun ke Raffles Place dengan menaiki MRT laluan Timur Barat (East West) berwarna hijau (laluan MRT Singapura boleh dilihat di sini) untuk ke One Fullerton.



Sampai di Raffles Place, Hafiz agak teruja dengan permandangan bangunan-bangunan pencakar langit di situ. Saya cakap di sinilah pusat kewangan Singapura di mana ia juga dikenali sebagai CBD (Central Business District). Jadi tidak hairanlah jika banyak bank-bank termasuk jenama Malaysia seperti Maybank, CIMB dan RHB terdapat di sini. Di sini, kami mengeluarkan duit di mesin ATM CIMB (kerana kami mempunyai akaun CIMB Malaysia, pengeluaran di sini tiada caj tetapi perlu aktifkan pengeluaran luar negara di ATM atau CIMB Clicks atau kaedah-kaedah lain. Namun, tidak seperti di Indonesia atau Thailand, saya nasihatkan agar tidak buat pengeluaran ATM di Singapura kerana ia tidak menguntungkan berbanding menukar wang di pengurup wang di Malaysia.







Kami berjalan kaki kerana One Fullerton tidak jauh dari situ. Semasa dalam perjalanan, saya seperti pemandu pelancong (maklumlah, saya selalu ke Singapura, sudah jadi macam kampung halaman pula, insya Allah tidak sesat di Singapura, huhuhu), menceritakan serba sedikit latar belakang mercu tanda yang ada. Malah dia terkejut kerana saya mengatakan, jalan yang dia pijak ketika itu, merupakan litar perlumbaan kereta lumba F1 bagi Grand Prix Singapura. Tidak lama kemudian, kami pun sampai ke tempat mesti sampai apabila di Singapura iaitu One Fullerton. Siapa yang tidak sampai di sini, kata orang umpama tidak jejak Singapura, itu orang katalah, saya tidak kisah huhuhu...






Di sini memang pusat untuk mengambil gambar, kerana permandangan ini memang bercirikan Singapura. Ikon seperti Merlion, hotel The Sands Singapura, bangunan teater The Esplanade, Singapore Flyer dan bangunan-bangunan di Raffles Place menjadi latar belakang kami. Memang puas hati kata Hafiz. Saya macam biasa, aksi wajib saya, telan "ludah" Merlion, huhuhu...









Setelah puas bergambar di One Fullerton, kami berjalan menyusuri Sungai Singapura dan melalui jambatan tertua di Singapura iaitu Jambatan Cavanagh. Di sekitar jambatan ini terdapat arca-arca kehiduapan masa lampau di Singapura termasuk patung-patung budak-budak terjun ke sungai.







Maaf, artikel kali ini saya tidak menceritakan banyak maklumat kerana jika saya ceritakan, aritikel ini akan jadi lebih panjang, jadi hendak tahu lebih lanjut, boleh hubungi saya atau anda Google sahaja.






Menyeberangi Sungai Singapura melalui Jambatan Cavanagh, kami ke Muzium Peradaban Asia (Asian Civilisation Museum). Sudah banyak kali saya ke Singapura, ini kali pertama saya ke sini. Masuk pun percuma (sebenarnya kena bayar, tapi mungkin cara saya bercakap bahasa Inggeris seperti orang Singapura cakap maka percuma lah) kecuali jika mahu melihat pameran khas atau persembahan khas yang ada. Pada hari itu, terdapat persembahan khas pada jam 2:30 petang (ketika itu pukul 1:35 tengahari) tapi kami ingin melihat pameran yang ada dulu. Namun bagi saya, pameran di muzium ini agak kurang menarik bagi saya, dan Hafiz pun berfikiran sama, maka kami keluar sahaja setelah berada dalam 20 minit.








Di luar terdapat penjaja jalanan menjual minuman dan ais krim. Hafiz membelanja saya sebotol kecil air mineral sebagai penghilang dahaga. Ini kerana Singapura, walaupun di atas menunjukan ia lebih sejuk berbanding Kuala Lumpur, hakikatnya ia terasa lebih panas, mungkin kerana cuaca pulau dan dekat dengan laut. Kelembapan juga agak tinggi, maka air perlu ada di tangan sentiasa.

Kami segera kembali ke stesen MRT Raffles Place untuk ke stesen MRT Orchard menerusi laluan MRT Utara Selatan (North South) berwarna merah.










Sampai di Orchard, kami sebenarnya sudah sampai di kawasan Orchard Road iaitu kawasan membeli belah utama di Singapura, seumpama Bukit Bintang di Kuala Lumpur atau Thamrin di Jakarta atau Paragon di Bangkok. Kami singgah di beberapa pusat membeli belah di sini seperti ION Orchard, Tangs, Ngee Ann City, The Atria, Paragon, The Centrepoint (Metro), orchardgateway dan Plaza Singapura. Kami cuma lalu sahaja, tidak membeli kecuali makanan kerana tiada tawaran pada masa ini. Kalau hendak perlu tunggu akhir bulan Mei hingga Julai (jika tahun 2015, pada 29 Mei hingga 26 Julai 2015) kerana pada masa ini ada pesta jualan Great Singapore Sale!





Terdapat juga cawangan CIMB Bank di seberang bangunan Paragon (merentasi Bideford Road) di sebelah Masjid Al-Falah.




Sebelum sampai ke Plaza Singapura, kami melalui pintu masuk ke Sri Temasek (kediaman rasmi Perdana Menteri Singapura) dan Istana (kediaman rasmi Presiden Singapura).



Di Plaza Singapura, kami singgah di pasaraya Cold Storage untuk membeli beberapa barang kerana di situ agak murah. Selepas itu, kami ke stesen MRT Dhobi Ghaut yang berada di sebelah sahaja Plaza Singapura, malah terdapat terowong khas ke stesen dari Plaza Singapura. Di stesen Dhobi Ghaut ini terdapat 3 laluan MRT jadi kami mengambil laluan Circle berwarna kuning untuk ke stesen Nicoll Highway bagi ke pusat makanan (medan selera) Golden Mile di Beach Road untuk makan tengahari walaupun sudah pukul 3:30 petang.




Sampai di stesen MRT Nicoll Highway, kami perlu melalui jejantas yang menyeberangi Lebuhraya Nicoll, terserempak dengan polis trafik yang sedang membuat perangkap had laju. Huh, di tengah-tengah bandar pun ada perangkap had laju. Sampai sahaja di hujung jejantas, terdengar bunyi ekzos kereta berbunyi turbo. Nampak gaya macam sudah ada mangsa yang pastilah...




Sayup-sayup dari jejantas merentasi Lebuhraya Nicoll berhampiran Kompleks Golden Mile, jelas kelihatan Stadium Nasional Singapura yang kini diberi nama Singapore Sports Hub.



Akhirnya sampai juga kami di medan selera Golden Mile ini. Saya segera mencari kedai Deen Tiga Rasa yang terkenal dengan hidangan Tulang Merah. Akhirnya jumpa juga, apa lagi saya memesan tulang merah untuk 2 orang makan (6 ketul) dan nasi goreng merah. Lapar beb... Hafiz belanja minum air tebu. Memang menyegarkan.



Memang betul, tulang merah di sini paling tip top, terbaik di pasaran. Lebih sedap dari Restoran Tasneem di hadapan Masjid Sultan, Kampung Glam, Singapura. Nasi gorengnya pun terbaik. Memang dicadangkan untuk ke sini lagi. Lupa pula, tulang yang digunakan untuk masakan tulang merah ini adalah tulang kambing. Sampai 2 hari pun, warna merah di tangan kanan saya tidak hilang. Harga pun memang berpatutan, ikut standard Singapura (SG$16.00 (+- RM44.80).



Setelah usai makan di Golden Mile, kami berjalan kaki ke Masjid Sultan kerana tidak jauh. Bolehlah Hafiz tahu tempat di mana warisan Melayu Singapura terletak. Kami bersolat di sini dan selepas itu membeli sedikit cenderahati di hadapan Masjid.



Setelah itu, kami segera ke terminal bas Queen Street yang tidak berapa jauh dari Masjid Sultan, jalan kaki sahaja. Alhamdulillah, bas memang tunggu masa untuk berjalan, saya menyerahkan e-Tiket Causeway Link untuk ditukarkan dengan tiket bas CW2. Hafiz menaiki bas Singapore Johore Express (SJE) untuk ke terminal bas Larkin Sentral, Johor Bahru untuk ke rumahnya di Pasir Gudang. Kami berpisah di sini. Saya ingatkan bahawa insya Allah, kami akan berjumpa lagi di kembara ke Yangon dan Naypyidaw, Myanmar bulan Ogos 2015 nanti. (Selepas itu baru saya tahu yang bas CW2 rupanya ke Larkin juga, cuma tambang SJE lebih murah iaitu SG$3.00 sahaja). 


Semasa hendak sampai di pusat pemeriksaan Woodlands, kenderaan beratur menuju ke Johor Bahru sejauh kira-kira 5 km. Bas kami mengambil laluan yang kurang sibuk di kawasan perumahan Marsiling (di Woodland Avenue 3) dan berjaya mengelak kesesakan tersebut. Seterusnya sampai pusat pemeriksaan, bas ini mengikuti laluan bas untuk ke bay bas menurunkan kami. Oleh kerana agak ramai, maka lama juga di pusat ini, kira-kira hampir setengah jam juga.



Setelah pasport dicop keluar, saya turun ke bawah semula untuk ke bay bas untuk ke CIQS BSI pula. Punyalah ramai, sampai saya perlu menunggu 2 bas berikut untuk ke seberang tambak (Malaysia). Sampai di CIQS BSI agak cepat kerana bas menggunakan laluan bas dan trafik di atas tambak menuju ke CIQS BSI tidak sesibuk seperti sebelum pusat pemeriksaan Woodlands. Seterusnya saya ke kaunter imigresen dan selesai urusnya secara rasmi balik ke Malaysia. 

Saya turun ke bawah, untuk mengambil bas CWA, namun dimaklumkan ia baru sahaja berlepas. Bermakna saya terlepas bas pukul 6:00 petang. Lalu saya ambil keputusan untuk ke Johor Sentral, dengan berlari untuk mengejar bas tersebut. Alhamdulillah, dapat juga mengejarnya, menaikinya dan bas tersebut bergerak ke Lapangan Terbang Senai pada jam 6:10 petang.


Bas ini sampai di Lapangan Terbang Senai pada jam 6:50 petang. Semasa balik ini baru saya perasan di bulatan sebelum sampai di bangunan terminal Lapangan Terbang Senai ini, terdapat sebuah replika kapal terbang menjadi mercu tandanya. Memang menarik.



Saya mempunyai 3 jam di lapangan terbang ini kerana penerbangan saya adalah pada pukul 10:00 malam. Maka berjalan-jalan saya di sekitar lapangan terbang ini. Seperti saya maklumkan di atas tadi, lapangan terbang ini agak kekurangan tempat duduk di landside. Memang penat juga asyik berdiri dan berjalan sahaja. Jadi dapatlah saya melihat juga secara keseluruhan lapangan terbang ini.

Terdapat kaunter pembungkusan sebelum kaunter pendaftaran masuk, jadi memudahkan untuk membalut bagasi sebelum pemeriksaan keselamatan pra pendaftaran masuk. Bagasi-bagasi yang ingin didaftar masuk perlu diperiksa oleh polis bantuan Malaysia Airport Berhad sebelum boleh didaftar masuk.


Kiosk daftar masuk juga ada beberapa meter sebelum pintu masuk ke kaunter-kaunter pendaftaran. Jika penumpang AirAsia, kita perlu mendaftar di kiosk ini bagi mendapatkan pas pelepasan dan juga teg beg di mana teg ini perlu diletakan pada beg masing-masing yang hendak didaftar masuk. Seterusnya, perlu daftar masuk atau bag drop bagasi secara layan diri. Di lapangan terbang ini merupakan perintis perkhidmatan ini. Saya pun gatal-gatal mencetak pas pelepasan (yang mana saya gunakan ini, bukannya pas pelepasan di telefon bimbit saya) dan teg beg yang mana saya tidak daftar masuk beg saya pun. Cukup hendak rasa pengalaman dan buat cenderahati.


Kemudian saya ke surau untuk menunaikan solat dan ternampak kaunter tuntutan GST daripada pihak Kastam Diraja Malaysia untuk pengunjung luar negara, yang berada di hadapan surau sebelah restoran KFC.


Sementara menunggu masa kemasukan, saya duduk dan makan malam di restoran KFC selepas itu. Pada jam 9:25 malam, saya pun masuk ke dalam balai berlepas di dalam airside


Di sini barulah ada tempat duduk yang boleh tahan banyak. Penerbangan saya adalah antara yang terakhir untuk malam itu (sepatutnya terakhir tetapi terdapat penerbangan syarikat lain yang ditunda penerbangan, menjadikan penerbangan AirAsia AK6409 merupakan penerbangan kedua terakhir), jadi memang agak lengang kawasan airside ini kecuali di hadapan pintu 3 yang menjadi pintu pelepasan pesawat saya.



Akhirnya pada jam 9:55 malam, petugas AirAsia memanggil penumpang-penumpang penerbangan AK6409 untuk menaiki pesawat. Pada jam 10:20 malam, berlepaslah pesawat ini meninggalkan bumi Senai menuju ke Sepang.



Akhirnya pesawat 9M-AQF pun selamat mendarat di landasan 3 KLIA pada jam 11:05 malam dan sampai di pintu J8, 10 minit kemudian. Saya segera keluar dan terus menuju ke mesin pembayaran parkir dan RM1.00 dibayar untuk parkir itu.



Perjalanan pulang mengambil masa 40 minit (huh, terkejut juga saya) dan sebelum saya tiba di rumah, sempat saya mengisi penuh kembali motorsikal saya di stesen minyak terdekat di rumah saya.

Itulah perjalanan pendek saya yang ingin saya kongsikan. Walaupun pendek namun mungkin ia boleh memberikan idea untuk perjalanan anda. Insya Allah, saya akan kongsikan lagi perjalanan saya, insya Allah selepas ini ke Delhi dan Agra, India. Saya mohon untuk pembaca berikan maklum balas terhadap artikel ini. Semoga berjumpa lagi, insya Allah.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney; 
  • Itinerary; or 
  • Day 1 (this part).