Saturday, September 26, 2015

Kuala Lumpur, Malaysia - 23 September 2015) - Bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.

Baru-baru ini, kawan-kawan saya ada memberitahu tentang Bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur (HOHO KL) mengadakan promosi tiket RM5.00 untuk pemegang MyKad (rakyat Malaysia la tu). Saya pun ke laman webnya pada hari tersebut (19 September 2015, Sabtu) dan betullah, promosi itu berlangsung dari 01 September hingga 30 November 2015. Malah promosi ini juga terdapat perkhidmatan Bas Hop On Hop Off Penang.



Langkah untuk dapat harga promosi ini amat mudah. Cuma ke laman web, klik ke link promosi terbabit, dan isikan borang online. Amat mudah. Tiket hanya akan diberikan kepada 200 pemohon pertama setiap hari. Ia boleh digunakan sehingga hari Ahad minggu terbabit. Cuma saya tidak tidak mengisinya pada hari terbabit, kerana hari tersebut dan esoknya (20 September 2015, Ahad), saya mempunyai hal yang lain.




Pada 21 September 2015, hari Isnin, saya segera mengisi borang untuk saya dan isteri. Alhamdulillah, pihak Elang Wah Sdn Bhd, pemilik perkhidmatan ini telah menghantar emel untuk saya cetak, kerana cetakan ini perlu diberikan di dalam bas ketika menaikinya nanti. Jika tiada cetakan ini, tambang harga promosi tidak dapat, jadi kena bayar RM19.00 untuk perkhidmatan ini, huhuhu.




23 September 2015 (Rabu)

Pada 23 September 2015, saya mengambil cuti setelah dua hari cuti sakit akibat sakit kaki. Lagipun esoknya cuti Hari Raya Aidiladha, dan mempunyai perancangan. Jadi saya awalkan percubaan saya untuk menaiki bas ini. Sebelum menaiki bas ini, saya dan isteri makan tengahari Nasi Arab di Suria Restaurant (review di blog SantapanGD). Semasa makan, saya memikirkan, dari mana kami akan bermula dari 23 perhentian yang ditetapkan iaitu:


1. Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC);
2. Menara KL;
3. P. Ramlee;
4. Pusat Konvensyen KL & Aquaria;
5. Karyaneka;
6. Bintang Walk;
7. Tengkat Tong Shin;
8. China Town (Jalan Sultan);
9. Pasar Seni;
10. Little India (Jalan Tun Sambanthan (Brickfields));
11. KL Sentral;
12. Muzium Negara;
13. Istana Negara;
14. Taman Tasik Perdana;
15. Taman Burung KL;
16. Masjid Negara;
17. Dataran Merdeka;
18. Medan MARA;
19. Raja Laut;
20. Bulatan Pahang (Pekeliling/Terminal Titiwangsa);
21. Titiwangsa (Istana Budaya);
22. Citibank;
23. KLCC.


Jadi memandangkan kami hampir dengan MaTiC di Jalan Ampang, maka kami ke sana setelah usai makan. 


Namun, keadaan di situ agak menyukarkan kami untuk memakir motorsikal kami, maka kami mengambil keputusan untuk ke kawasan Bukit Bintang. Setelah tiba dan memakirkan motorsikal kami di Bukit Bintang, kami segera ke perhentian bas Bintang Walk untuk menunggu bas. Dalam masa 10 minit, sampai juga bas Hop On Hop Off ini.



Kami pun naiklah ke dalam bas ini dan bertanya kepada konduktor, yang mana di dalam emel menyatakan bahawa kami akan naik pada 24 September 2015, tapi bolehkah kami naik hari ini? Dia membolehkan kami, jadi alhamdulillah, dapat juga kami naik pada hari tersebut. Jadi kami berikan RM10.00 untuk tambang dua orang, salinan bercetak emel juga diberikan dan kami diberi tiket untuk pemegang MyKad berharga RM19.00. Kiranya kami dapat diskaun RM14.00!



Tiket ini perlu disimpan dan ia boleh digunakan selama 24 jam, iaitu jika menaiki pada jam 4:30 petang, maka ia boleh digunakan sehingga 4:30 petang keesokan harinya. Sepanjang tempoh itu, pengguna boleh menaiki dan turun dari bas ini bila-bila masa semasa perkhidmatannya. Perkhidmatan bas Hop On Hop Off KL ini beroperasi dari pukul 9:00 pagi sehingga 8:00 malam setiap hari. Bas akan sampai selang 20 ke 30 minit. Cuma kami di sini mendapat ekstra sejam kerana kami menaiki pada pukul 3:30 petang dan tiket kami akan laku sehingga 4:30 petang keesokan harinya.


Tempat duduk di tingkat bawah bas HOHO KL.

Tempat duduk di tingkat atas berbumbung HOHO KL.


Kami meneruskan masuk ke tempat duduk. Terdapat dua tingkat tempat duduk. Tingkat bawah, tidak banyak tempat duduknya. Kami terus ke atas, dan di tingkat atas ini, dibahagikan kepada dua ruang, iaitu ruang tertutup berbumbung dan ruang terbuka. Terdapat pintu yang memisahkan ruang tertutup (berbumbung) dengan ruang terbuka di tingkat atas bas HOHO KL. Lupa pula di ruang tertutup di kedua-dua tingkat terdapat pendingin hawa. Jadi ruang terbuka memang tiada pendingin hawalah.

Saya di ruang terbuka tingkat atas bas HOHO KL.


Di ruang terbuka, terdapat skrin di hadapan sekali, jadi bukanlah tiada apa-apa hadangan. Bahaya juga jika tiada hadangan, nanti kalau brek, takut nanti tergolek pula ke hadapan dan ke bawah kemudiannya. Terdapat sistem siar raya yang akan memberikan maklumat tentang tempat yang perhentian-perhentian juga mercu tanda-mercu tanda yang dilalui.





Bas ini bergerak agak perlahan dan berhati-hati, maklumlah bas dua tingkat. Jika dibawa agak tergopoh-gapah, rasanya mahu pening dan bahaya bagi penumpang di tingkat atas bas ini.



Penumpang-penumpang bas ini jika mahu turun dan menaiki bas ini, perlu ke perhentian yang telah diletakan penanda perhentian bas HOHO KL ini seperti di gambar di atas ini, yang menunjukan perhentian nombor 11 iaitu di KL Sentral. Jika ingin menaiki atau turun di tempat lain memang tidak akan dilayan.





Agak ramai juga penumpang-penumpang yang kebanyakannya merupakan pelancong-pelancong asing yang menaiki bas HOHO KL ini. Sampai tingkat bawah pberdiri sampai penuh. Nasib baik tingkat atas tidak boleh berdiri (peraturan oleh Suruhanjaya Pengakutan Awam Darat - SPAD). Ini permandangan dari tingkat atas, di mana penumpang-penumpang di perhentian Muzium Negara ingin menaiki bas ini.




Sepanjang perjalanan bas HOHO KL ini, walaupun jerebu masih menyelubungi angkasa Kuala Lumpur, namun masih dapat dilihat keindahan bandaraya Kuala Lumpur ini. 



Sepanjang perjalanan menaiki bas HOHO KL ini, kami tidak turun, kerana kami merupakan warga kota Kuala Lumpur, jadi kami sudah ke hampir semua tempat yang menjadi persinggahan bas HOHO KL ini. Cuma kami belum pernah ke Istana Negara yang baru sahaja. 



Nasib kami baik, kerana inilah bas terakhir yang akan ke Istana Negara kerana untuk selepas pukul 5:00 petang, bas-bas HOHO KL akan tidak memasuki kawasan Istana Negara ini disebabkan ia akan ditutup untuk lawatan. Namun kami tidak dapat turun kerana jika kami turun, sudah tentu tiada bas akan mengambil kami kecuali kami tunggu keesokan harinya, huhuhu. Jadi bergambarlah dari atas bas sahaja.



Seterusnya ba sini melalui kawasan Taman Tasik Perdana atau nama terkininya Taman Botanikal Perdana yang merupakan sebahagian dari Taman Warisan Tun Abdul Razak yang merangkumi keseluruhan kawasan hijau di sekeliling Taman Tasik Perdana ini.

Semasa bas ini lalu di hadapan Dataran Merdeka, saya terlihat sebuah buggy yang sedang mengambil penumpang di situ. Rupanya pihak DBKL menyediakan juga perkhidmatan buggy bagi perkhidmatan mengelilingi Taman Botanikal Perdana. Harganya RM4.00 bagi sehari. Insya Allah saya akan mencubanya selepas ini.


Seterusnya, bas ini akan melalui Jalan Raja Laut, kawasan Titiwangsa dan kembali ke kawasan KLCC. Jadi sempat juga saya berselfie di hadapan Menara Berkembar KLCC yang mana agak sukar didapati kerana ia berada di atas Jalan Ampang. Jadi inilah gambar yang dapat mengambarkan kebanggaan warga kota Kuala Lumpur. Semasa kami melihat di jalanan, terdapat juga orang yang terkejut kami menaiki bas ini. Mungkin kerana bas ini agak mahal untuk warga kota Kuala Lumpur biasa untuk naik, kerana kami ada pilihan untuk menaiki bas RapidKL atau GoKL juga pengangkutan awam lain. Mereka tidak tahu agaknya yang HOHO KL ini sedang mengadakan promosi.


Ketika hendak hampir sampai ke Bukit Bintang, kami pulang semula ke bahagian tertutup kerana ketika itu, kawasan tersebut sedang mengalami kesesakan jalan raya, maklumlah hari bekerja.


Akhirnya sampai juga kami semula ke Bintang Walk. Jadi inilah pengalaman yang dapat saya kongsikan sepanjang perjalanan menaiki perkhidmatan bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur. Apa lagi, gunakan peluang sementara ada promosi untuk menaiki HOHO KL, pengalaman lain dari yang lain. Tengoklah berapa gembiranya kami, hahaha.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Tuesday, September 8, 2015

Itinerari (Pulau Ketam, Klang, Selangor, Malaysia - 05 September 2015).

Jika mahu baca Catatan.
Click here if want to read this part or the Story in English version.



Bil
Butir
RM
1
Bertolak dari rumah bersama keluarga dengan memandu kereta pada pukul 9:00 pagi. Singgah ke rumah sahabat di Aman Budiman (tiba jam 10:00 pagi), Shah Alam untuk urusan perniagaan (merupakan pelanggan takaful keluarga saya).

2
Bertolak dari rumah sahabat saya ke Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang, Selangor pada pukul 11:20 pagi. Tiba pada pukul 11:50 tengahari. Parkir di lot parkir di hadapan Balai Polis Pelabuhan Klang.

3
Membeli tiket feri sehala ke Pulau Ketam di kaunter tiket Terminal Penumpang Pelabuhan Selatan untuk 2 dewasa dan 1 kanak-kanak (Tambang: Dewasa RM7.00/orang/hala, Kanak-kanak RM4.00/orang/hala).

18.00
4
Menaiki feri pada jam 12:20 tengahari dari Pelabuhan Klang dan sampai di Jeti Pulau Ketam pada pukul 12:55 tengahari.

5
Makan telur dadar tiram (saiz kecil RM10.00) dan telur dadar lala (saiz kecil RM5.00).

15.00
6
Bersiar-siar ke sekitar kawasan pekan Pulau Ketam.

7
147.35
8
Bersolat zohor di Balai Islam Pulau Ketam.

9
Pelbagai.
20.00
10
Bertolak pulang ke Pelabuhan Klang dengan feri pukul 4:00 petang dan sampai pada pukul 4:40 petang. Beli tiket feri di dalam feri. Harga sama dengan semasa pergi.


18.00
11
Bertolak pulang ke rumah. Sampai ke rumah pada pukul 6:00 petang. Bayaran tol.
5.00
12
Anggaran penggunaan petrol kereta.
20.00
Jumlah
243.35
Jumlah perbelanjaan keseluruhan:
RM243.35





KembaraGD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan.


Jika mahu baca Catatan.
Click here if want to read this part or the Story in English version.

Monday, September 7, 2015

Pulau Ketam, Klang, Selangor, Malaysia - 05 September 2015 - Misi Menjejaki "Wilayah" Terasing Lembah Klang.

Jika mahu baca Itinerari.
Click here if want to read this part  or Itinerary in English version.




05 September 2015 (Sabtu)

Pulau Ketam. Sudah lama saya mendengar nama tempat ini. Walaupun agak dekat, memang dekat, malah saya hampir sampai ke tempat ini, namun masih belum pernah sampai ke tempat ini. Rasanya sudah tidak terkira saya ke Pelabuhan Klang, setiap kali itu juga saya terlihat papan tanda menuju ke Pulau Ketam, namun tidak sampai juga ke sana. Kiranya "wilayah" ini adalah wilayah terasing di Lembah Klang, walaupun ia dekat sahaja.

Kebelakangan ini, saya sudah beberapa kali saya melalui ruang udara daerah Klang ini, setiap kali itulah saya melihat Pulau Ketam dari udara. Tidak kira atas urusan kerja atau kembara terutama kembara ke Medan, Pulau PinangPekanbaruIndia dan Yangon. Melihat feri dan bot yang berlayar dari Pelabuhan Klang ke Pulau Ketam dari udara menyebabkan semangat saya ke situ meluap-luap. Apatah lagi apabila membaca beberapa blog berkaitan dan beberapa rakan kembara ke sana, memuncakan lagi perasaan itu.

Lalu pada hari ini, setelah saya, isteri dan anak-anak menziarah rakan kami yang juga merupakan client perniagaan takaful keluarga kami, di Aman Budiman berdekatan dengan Meru, Klang, yang mana dia telah menjalani pembedahan. Kami datang untuk mengambil dokumen agar dia dapat menuntut beberapa perbelanjaan yang telah dibuat.



Setelah selesai, kami ke Pelabuhan Klang melalui pekan Meru kemudian ke bandar Klang dan akhirnya sampai kami ke Pelabuhan Klang. Sampai sahaja simpang di hujung pekan, kami mengambil jalan terus untuk ke jeti ke Pulau Ketam.


Selepas simpang itu, terdapat sebuah stesen bas yang agak besar juga di sebelah kanan jalan. Jika dari Pasar Seni di Kuala Lumpur, terdapat bas Cityliner 703 dan Causewaylink 58K mengadakan perkhidmatannya ke situ, bagi yanag mahu menaiki bas untuk ke Pelabuhan Klang seterusnya ke Pulau Ketam.


Untuk yang membawa kereta, terdapat beberapa pilihan untuk meletakan kereta sebelum menaiki feri ke Pulau Ketam. Saya meletakan kereta saya di tepi jalan Persiaran Raja Muda Musa. Di sini terdapat petak-petak letak kereta yang mana ia adalah percuma sahaja terutama di hadapan Balai Polis Pelabuhan Klang. Cuma biasanya, di sini petak parkirnya sentiasa penuh. Nasib baik saya di sini, masih terdapat petak parkir kosong, alhamdulillah.


Satu lagi, kita boleh letak kereta di tempat letak kereta di tempat parkir KTM (Car Park) Sdn Bhd di sebelah stesen KTM Komuter Pelabuhan Klang. Kadarnya adalah RM1.00 untuk 2 jam pertama dan 50 sen bagi setiap jam seterusnya.


Bagi yang biasa menaiki sistem pengangkutan berrel, terdapat stesen keretapi KTM Komuter Pelabuhan Klang. Kadar tambang KTM Komuter dari KL Sentral ke Pelabuhan Klang adalah RM4.30 untuk dewasa dan RM2.20 untuk kanak-kanak dan warga emas.



Tidak jauh dari stesen KTM Komuter adalah jeti feri ke Pulau Ketam. Nama komersilnya adalah Terminal Penumpang South Port. Terminal ini adalah khas untuk ke Pulau Ketam sahaja. Untuk jeti ke destinasi antarabangsa iaitu ke Tanjung Balai (Asahan), Sumatera Utara, Indonesia (destinasi terdekat ke Medan dan Aceh) dan Dumai, Riau, Indonesia (destinasi terdekat ke Pekanbaru, Padang, Palembang dan pelbagai destinasi di Indonesia), iaitu di bangunan Kompleks Dato' Shaari Jihin, perlu belok ke kanan untuk terminal antarabangsa. Kompleks Dato' Shaari Jihin adalah baru disiapkan dalam tempoh tiga tahun manakala Terminal Penumpang South Port baru sahaja tahun ini siap dibaik pulih. Nampak memang agak moden kedua-dua terminal ini.

Satu lagi pilihan jika menggunakan kereta, boleh memarkirkan kereta di sini dengan kadar bayaran RM5.00 setiap kali masuk. Cuma biasanya di sini agak penuh.


 

Terminal Penumpang South Port ini dibuka dari pukul 7.00 pagi ke 7.00 malam. Jadual bagi perkhidmatan feri ke Pulau Ketam terdapat pada gambar di atas.


Agak berbeza keadaan jeti ini sekarang ini berbanding dahulu iaitu semasa jeti ini digunakan untuk ke Pulau Ketam dan ke destinasi antarabangsa. Dahulu agak usang. Kini ia lebih bersih dan sistem pengudaraan lebih baik, kerana konsepnya yang terbuka. Terdapat kedai runcit juga dibuka. Tempat duduk juga agak baik. Fasiliti lain juga agak baik dengan tandasnya agak bersih. Cuma perlu bayar 50 sen setiap kali masuk.


Cuma kaunter tiket feri dan bot laju ke Pulau Ketam cuma dibuat dengan membuka meja sahaja. Tiada kaunter tiket biasa.

Kadar tiket feri adalah seperti berikut:
Dewasa                                         : RM7.00 (sehala) atau RM14.00 (pergi-balik);
Kanak-kanak (5 hingga 12 tahun) : RM4.00 (sehala) atau RM8.00 (pergi-balik);
Kanak-kanak (bawah 5 tahun)      : Percuma.

Kadar tiket bagi bot laju pula adalah: RM10.00/orang/hala. 







Terdapat sebuah patung berbentuk seekor ketam gergasi berwarna emas di terminal tersebut. Baru sahaja diletakan di situ. Apa lagi bergambar kenanganlah kami dengan patung ketam ini. Konon-kononnya saya di tangkap ketam dan anak-anak saya menarik saya bagi menyelamatkan saya.


Terminal ini bersebelahan sahaja dengan Pelabuhan Selatan, Pelabuhan Klang ini. Memang jelas dapat melihat aktiviti di dermaga pelabuhan ini. Ketika itu, air laut pun sedang pasang.



Sebenarnya kami menunggu feri pukul 12:30 tengahari walaupun ketika itu baru pukul 11:50 pagi. Namun kami dimaklumkan bahawa kami boleh ke jeti untuk menaiki feri, kerana feri sudah sampai. Apa lagi kami pun segera ke feri tersebut. Kedengaran siren atau hon dari feri menunjukan sudah sedia untuk berlepas. Nasib kami baik, kami boleh menaiki feri tersebut kerana memang cukup-cukup penuh apabila kami sampai. Rupanya, jika penuh, feri ini akan terus berlepas tanpa perlu tunggu jadual.



Kami cuma duduk di tempat duduk hadapan yang hanya mempunyai bangku sahaja. Tempat duduk biasa yang mempunyai tempat baring telah penuh. Tidak mengapa, bukan lama sangat pun. Feri ini pun berlepas tidak lama kemudian.

Bagi makluman, jika menaiki bot laju, ia lebih laju cuma perlu menunggu juga sehingga bot penuh baru ia bergerak. Difahamkan setiap bot laju berkapasiti sehingga 15 orang penumpang.



Perjalanan kami membelah Selat Klang. Kami nampak sepanjang perjalanan, permandangan yang pertama kali kami lihat. Permandangan Tanjung Harapan, Pelabuhan Utara, seterusnya feri memudiki sungai atau selat yang membelah Pulau Klang dan Pulau Mat Zain. Pastikan tiket yang dibeli di terminal tidak dihilangkan kerana ia akan diperiksa oleh konduktor. Jika tidak membeli tiket di kaunter, boleh membeli tiket feri ini melalui konduktor.


Sampai di hujung selat, kami dapat melihat banyak kelong-kelong dibina di situ. Tidak lama kemudian, kami memasuki perairan Pulau Ketam dan mula nampak rumah-rumah dibina di pesisir pantai Pulau Ketam ini. Kami  beruntung kerana feri ini tidak ke Kampung Sungai Lima, Pulau Ketam. Cuma singgah beberapa jeti kecil untuk menurunkan penumpang.



Dari dalam feri, saya ternampak sebuah stesen minyak terapung milik Pertubuhan Nelayan yang digunakan untuk mengisi tank minyak bot-bot nelayan.


Setelah lebih sikit dari setengah jam, maka sampailah kami di jeti utama Pulau Ketam. Jeti ini dibina dari konkrit, agak kukuh. 




Terdapat banyak basikal dan juga terdapat motorsikal elektrik diparkir di atas jeti ini. Juga sebuah kedai runcit beroperasi di atas jeti ini. Sewa basikal pun ada.



Kami meneruskan perjalanan ke arah daratan. Berhenti sekejap di atas jambatan yang menghubung jeti dengan kawasan perumahan kerana saya ingin mengambil gambar selut lumpur yang kelihatan banyak ketam-ketam kecil yang saiznya besar sikit dari ketam kecil di tempat lain. Juga terdapat beberapa ekor ikan belacak / tembakul, sahaja untuk mengenalkan haiwan-haiwan tersebut kepada anak-anak kami.


Di hujung jambatan jeti ini, terdapat papan tanda yang menandakan ini adalah Pulau Ketam. Di belakangnya terdapat sebuah hotel iaitu Hotel Sea Lion. Terdapat juga sebuah restoran makanan lain di sebelahnya yang mana terdapat juga perkhidmatan sewa basikal yang agak murah iaitu RM5.00 untuk sehari atau sebahagiannya. Kami tidak menyewa kerana rasanya kami hanya berjalan-jalan di kawasan berdekatan sahaja. Berjalan di hadapan sedikit, terdapat satu lagi hotel, iaitu Pulau Ketam Inn.






Kami meneruskan perjalanan ke dalam kawasan perumahan. Terdapat banyak kemudahan yang ada dan disediakan bagi kegunaan penduduk-penduduk dini. Terdapat balai bomba sukarela, klinik kesihatan kerajaan dan terdapat sebuah balai Islam di sini.



Berjalan ke hadapan lagi, terdapat tugu pintu gerbang yang dibina sempena Jubli Perak Pemerintahan Sultan Sallehuddin Abdul Aziz iaitu almarhum ayahanda Sultan Selangor sekarang, Sultan Sharafuddin Idris Shah, pada tahun 1985, dikekalkan sehingga kini. Terdapat juga sebuah balai polis selepas itu.



Memang tiada kenderaan bermotor di sini. Kenderaan bergandar atau mempunyai lebih 2 roda tidak kelihatan di Pulau Ketam ini. Cuma perlu berhati-hati kerana sekarang ini motorsikal elektrik agak popular, dan ia agak senyap. Tahu-tahu sudah di belakang, jadi hati-hati.

Kami sebenarnya sudah sampai di kawasan pekan Pulau Ketam ini. Papan tanda jalan di sini seperti papan tanda jalan di Kuala Lumpur iaitu berlatar belakang biru bertulisan putih, tidak seperti papan tanda jalan di Klang yang berlatar belakang warna kuning keorenan bertulisan berwarna merah.



Suasana di kawasan pekan agak hidup juga walaupun ada kedai-kedai yang tidak dibuka. Terdapat juga beberapa hotel di sini. Saya tertaik dengan sebuah gerai yang menjual telur dadar tiram (oyster omelette atau o-chien) dan telur dadar lala. Ia adalah hidangan kegemaran saya dan isteri. Harganya pun agak murah iaitu untuk telur dadar tiram berharga RM10 untuk hidangan kecil, RM12 untuk sederhana dan RM15 untuk besar. Lagi telur dadar lala pula adalah RM5 untuk kecil, RM8 untuk sederhana dan RM10 untuk besar.


Kami memesan kedua-dua hidangan bersaiz kecil. Walaupun kecil, namun agak banyak. Macam tahu-tahu saya agak kepingin untuk menikmati telur dadar tiram. Dapat juga saya menikmatinya. Hidangan ini dimasak oleh pekerja Indonesia walaupun pemiliknya berbangsa Cina Malaysia.


Selesai makan telur dadar, kami teruskan berjalan. Terdapat juga orang Melayu menjual di sini walaupun hampir ke semua premis perniagaan, pemilik adalah orang Cina. Contohnya gerai apam balik di bawah ini. Harga yang dijual lebih kurang sama dengan harga jualan di tanah besar. Apam balik ini contohnya, dijual sekeping RM2.00. Selain kedai berasaskan makanan, terdapat juga kedai runcit dan kedai menjual makanan laut kering dan makanan ringan berasaskan makanan laut.



Terdapat satu kreativiti orang di sini yang saya tidak jumpa di tempat lain. Terdapat troli-troli yang dikuasakan dengan penjana petrol, jadi penolaknya tidak menggunakan tenaga sangat untuk menolaknya. Inilah satu-satunya kenderaan bermotor yang saya temui di Pulau Ketam ini.



Seterusnya yang terdapat di Pulau Ketam ini adalah tokong Cina yang berada hujung barisan kedai di Jalan Satu Pekan, Pulau Ketam ini.



Walaupun hanya basikal dan motorsikal elektrik menguasai jalan-jalan di Pulau Ketam ini, namun tanda arah jalan di atas jalan ini tetap ada. Bagi mengurangkan risiko kemalangan. Namun adalah ia diikuti, mungkin ya, mungkin tidak.


Sebahagian besar di Pulau Ketam ini adalah perumahan penduduk-penduduknya. Di depan agak lawa juga rumah mereka. Majoriti sekarang sudah membina rumah berasakan batu. Namun terdapat juga yang berasaskan kayu. Di belakang rumah yang mana terdapat sungai, maka terdapat jeti mini di setiap rumah.





Setelah berjalan-jalan di kawasan perumahan dekat sejam, kami kembali semula ke pekan Pulau Ketam. Dapatlah lihat aktiviti-aktiviti lain seperti gerai minuman tebu (macamlah di tempat lain tidak pernah tengok). Memang di pekan ini tiada bengkel kereta atau motorsikal, tetapi bengkel basikal yang menjadi tumpuan, hahaha. 




Satu lagi yang hairan, terdapat papan tanda loga lama syarikat minyak Caltex walaupun tiada kenderaan bermotor di Pulau Ketam ini.


Banyak juga saya ternampak, di bumbung-bumbung rumah-rumah di sini, mempunyai cakera parabola. Saya tidak tahu ia untuk perkhidmatan televisyen atau sistem komunikasi lain. Jika televisyen, setahu saya ia diharamkan dalam undang-undang Malaysia. Saya harap ia untuk tujuan lain.




Perut kami pun mulai lapar. Kami pun singgah di Restoran Kim Hoe untuk makan tengahari dengan makanan laut ala cina. Cerita tentang makan tengahari ini boleh diikuti di blog makanan saya iaitu SantapanGD melalui catatan 05 September 2015 - Restoran Kim Hoe, Pulau Ketam, Klang, Selangor - Makanan Laut Cara Cina. Kebetulan, ketika kami di situ, hujan pun turun. Jadi kami makan sambil menunggu hujan teduh.


Usai makan,kami menuju ke Balai Islam untuk menunaikan solat Zohor. Saya yang selesai awal, mengambil peluang untuk berjalan-jalan lagi di pekan Pulau Ketam ini. Terjumpa cawangan bank Maybank di Jalan Tiga Pekan. Jangan sangka di tempat agak terpencil ini tiada bank.


Kami pun pulang ke jeti untuk kembali ke tanah besar. Ketika itu sudah pukul 3:20 minit. Air laut kelihatan sudah suruh. Menariknya ketam-ketam di atas selut seperti berdiri seolah-olah ingin melambai pemergian kami ini. Kelihatan juga feri sudah hampir sampai ke jeti.




Kami pun menunggu di tempat duduk yang ada di jeti bagi menunggu penumpang yang tiba naik ke jeti. Kami antara penumpang hendak ke Pelabuhan Klang yang pertama sampai di jeti tersebut. Lagipun perjalanan seterusnya adalah pukul 4:00 petang.





Ketika feri ini sampai, terdapat sebuah bot kayu yang mempunyai bangku-bangku penumpang yang telah menunggu kehadiran feri ini. Apabila feri berlabuh, bot kayu ini juga berlabuh ke sebelah feri. Ia menurunkan penumpang ke feri dan juga mengambil penumpang dari feri. Rupanya ia adalah bot pengantara (feeder) ke bahagian lain di Pulau Ketam.


Kami kemudian masuk ke dalam feri seletah penumpang yang tiba selesai naik, kerana di dalam feri berhawa dingin. Terdapat juga tayangan cerita Cina berbahasa Kantonis. Layan jugalah. Kelihatan satu-satu penumpang mulai masuk ke dalam feri. Feri ini tidak jalan lagi, kerana menunggu bot kayu membawa penumpang yang ingin ke feri tersebut. Setelah ia tiba, maka tepat jam 4:00 petang, feri ini bergerak meninggalkan Pulau Ketam.


Perjalanan pulang kami walaupun agak penat tetapi tidak mahu tidur kesemuanya, walaupun agak kepenatan. Mungkin seronok melihat televisyen. Oleh kerana kami hanya membeli tiket sehala, maka untuk perjalanan pulang ini kami membeli melalui konduktor sahaja. Harganya sama sahaja.




Semasa hendak hampir tiba ke Pelabuhan Klang, keadaan laut agak bergelora dilihat dari dalam feri. Cuma di dalam feri ini tidaklah terasa terumbang-ambing. Stabil sahaja.


Alhamdulillah setelah setengah jam, sampai juga feri ini di Terminal Penumpang South Port. Saya pun berjalan ke arah kereta untuk mengambil keluarga di terminal.

Masuk sahaja dalam kereta, anak-anak kami terus tidur. Nampaknya mereka memang teruja menaiki feri rupanya. Kami kemudian tiba di rumah kami sejam selepas itu.

Inilah pengalaman kami ke Pulau Ketam. Tercapai juga keinginan saya ke sana. Sememang pulau ini agak sesuai untuk dikunjungi dan sekarang ia mempunyai banyak fasiliti yang lengkap. Malah terdapat hotel juga. Sesuai bagi mereka yang ingin melarikan diri dari hiruk-pikuk kota. Ia juga adalah syurga bagi yang suka mengambil gambar apatah lagi kaki pancing. 



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu baca Itinerari.
Click here if want to read this part  or Itinerary in English version.