If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3 Part 1;
- Day 3 Part 2;
- Day 4; or
- Day 5 (this part).
Hari 5 (10 Mac 2016 - Khamis).
Oleh kerana hari ini merupakan hari terakhir kami di bumi Seoul, Korea Selatan, maka pagi ini kami bersenang-senangan dan tidak tergesa-gesa untuk keluar dari penginapan kami. Pada pagi ini, kami mengadakan jamuan untuk menghabiskan bekalan makanan dan minuman kami. Lagipun perancangan kami, kami hanya akan makan di atas pesawat pada pukul 6:00 petang. Jadi kena isi perut untuk tempoh begitu lama.
Saya dalam perjalanan dari penginapan ke stesen metro di Jalan Eujiro 3(sam)-ga.
Kami meninggalkan penginapan pada pukul 10:30 pagi dengan hanya meninggalkan kunci di atas kaunter kerana staf bertugas tiada di kaunternya. Lagipun penginapan kami memag sudah dibayar awal-awal lagi. Kami ke lapangan terbang dengan menaiki Metro Seoul sebagaimana kami datang, cuma arah yang berlawanan. Oleh kerana waktu ini bukan lagi masa puncak, maka perjalanan kami agak lancar. Akhirnya pada hampir pukul 1:00 tengahari, kami pun tiba di Stesen Tren A'Rex Lapangan Terbang Incheon (ICN). Jadi, mendengarlah kami buat kali terakhir lagu kegemaran kami yang selalu dimainkan di platform setiap kali tran Metro Seoul hendak tiba di setiap stesen.
Lagu menandakan ketibaan tren Metro Seoul.
Peta: Perjalanan dari penginapan ke ICN.
Kami keluar melalui pintu keretapi ekspres A'Rex.
Ketika keluar, baru kami perasan bahawa kami keluar melalui pintu perkhidmatan ekspres A'Rex ini. Mungkin kerana gerabak kami antara gerabak ke hadapan. Dalam setelah selesai menyentuh kad T-Money pada pintu keluar, saya yang agak terakhir keluar, bertanya kepada semua kawan-kawan, semua sudah berada di situ kah? Rupa-rupanya, salah seorang kami masih tertinggal di dalam kawasan berbayar kerana baki kad T-Moneynya tidak mencukupi untuk membayar tambang. Nasib baik berdekatan dengan pintu keluar ituy terdapat mesin tambah nilai. Jadi ditambah nilai kad T-Moneynya dan dapatlah dia keluar dari kawasan berbayar.
Saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.
Oleh kerana kad T-Money saya dan beberapa orang kawan-kawan sepengembara masih berbaki lagi, maka kami ke 7-Eleven yang berada tidak jauh dari pintu masuk A'Rex ini (sila ikut tanda arah) untuk menghabiskan baki kad kami. Sebenarnya kad ini boleh ditebus nilai bakinya, namun saya pilih untuk membeli barang di 7-Eleven bagi menghabiskan nilai kad tersebut. Kalau tebus kembali dan dapat wang, kad tersebut tidak dapat kembali, jadi kalau kita habiskan nilai dalam kad, maka kita dapat simpan kad itu. Jadi dapatlah beli susu pisang dan kimbab salmon untuk kudapan.
Sebuah kereta mewah keluaran KIA yang dipamerkan di Balai Berlepas ICN.
Sebuah kereta mewah keluaran Genesis (jenawa mewah KIA)
yang dipamerkan di Balai Berlepas ICN.
Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke balai berlepas ICN ini untuk proses bag drop kerana kami telah mendaftar masuk melalui laman sesawang AirAsia. Kaunter daftar masuk bagi AirAsiaX adalah di barisan D dari kaunter D9 ke D16. Jadi berjalanlah kami di balai berlepas ini. Agak besar juga dan ramai orang di balai berlepas ICN ini. Sambil-sambil itu ada pameran kereta terkini, jadi tidak dapat beli ambil gambar pun jadilah.
Mesin penimbang bagasi di beberapa lokasi di Balai Berlepas ICN.
Untuk kepastian dengan berat beg kita, terdapat beberapa lokasi terutama di setiap barisan biasa sebelum memasuki kaunter, akan terdapat mesin penimbang digital. Jadi kita boleh gunakan beg ini untuk tahu tibangan berat beg kita.
Asalnya kami hendak terus mendaftar masuk, tetapi saya lupa yang masa berlepas bagi penerbangan kami telah dianjak lebih lewat sedikit. Sepatutnya akan berlepas pada pukul 2:45 petang dilewatkan sejam. Jadi pada waktu kami sampai itu kalau itu masa asal, memang sudah buka kaunter daftar masuk, rupanya belum buka lagi kerana kaunter daftar masuk hanya akan buka tiga jam sebelum berlepas serta akan tutup sejam sebelum berlepas. Alah kami hanya tunggu lagi dua puluh minit sahaja.
Sahabat saya yang seorang ini, Mahathir dengan sukarela beratur bagi pihak kami, dan apabila kaunter dibuka, kami pun mendaftar masuk. Saya memberikan itinerari penerbangan sahaja bukan pas pelepasan yang patut dicetak dari laman web, kerana saya hendak dapatkan pas pelepasan yang dicetak di kaunter. Beg yang didaftar masuk kami letakan di tempat daftar masuk beg. Kemudian setelah selesai, beg yang kami bawa masuk sendiri ke dalam kapal terbang (cabin luggage) pula ditimbang agar tidak melebih had (7 kilogram) yang ditetapkan pihak AirAsiaX. Alhamdulillah, semuanya selesai tanpa sedikit masalah.
Cuma dikalangan kami, terdapat nama yang agak panjang sehingga terdapat beberapa huruf tidak masuk di dalam pas pelepasan (seperti nama saya). Jadi huruf-huruf tersebut perlu bertulis tangan. Seterusnya, kami dikehendaki ke kaunter D16 untuk mendapat pengesahan bagi penambahan huruf tersebut. Tiada pengesahan ini, kita tidak akan boleh untuk memasuki ke kawasan airside seterusnya untuk berlepas dengan pesawat kita.
Kaunter Kastam Republik Korea untuk pengesahan resit bagi penebusan semula cukai.
Usai proses mendaftar masuk penerbangan, saya mengikut Mahathir nuntuk mengetahui cara untuk menebus semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah dibayar. Jadi kita perlu membuat pengesahan resit yang didapati kita di kaunter Kastam Republik Korea.
Kioks untuk mengimbas resit-resit untuk ditebus cukai.
Selepas itu, kita perlu ke kiosk-kiosk untuk mengimbas resit-resit tersebut. Kiosk-kiosk tersebut biasanya terletak dekat dengan kaunter kastam. Jika malas hendak mengimbas di sini, boleh imbas di kiosk yang sama di kaunter pengembalian cukai di dalam kawasan airside. Selepas mengimbas, kita perlu simpan resit itu lagi untuk rujukan jika berlaku apa-apa, dan kita akan diberikan resit untuk dimbas semula di kaunter/mesin pengembalian cukai untuk mendapat wang tunai atau dikreditkan ke dalam akaun kad kredit/debit atau akaun bank, mana yang sesuai. Kaunter/mesin pengembalian cukai ini terletak berdekatan pintu berlepas 24 dan 41 di dalam kawasan airside.
Pelan kedudukan kaunter penebusan cukai GST
di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.
di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.
Setelah semua selesai, kami pun masuk ke kawasan airside, dengan membuat pemeriksaan keselamatan dan prosedur imigresen. Pada pemeriksaan keselamatan, di ICN ini agak ketat, selain perlu pastikan tiada cecair melebihi 100 mililiter dan barangan berasaskan besi diimbas dengan mesin pengimbas x-ray, jika kita mempunyai peralatan elektronik seperti komputer riba, telefon, pemain MP3 dan sebagainya juga perlu diimbas. Setelah itu, kita perlu beratur yang agak panjang juga, mengikut masa juga, macam kami memang ramai kerana masa kami di situ banyak penerbangan keluar. Namun setelah tiba di kaunter, urusannya sekejap sahaja. Sempat juga saya bergurau dengan pegawai imigresen yang memeriksa pasport saya. Siap kata, "Don't forget to come back to Korea, Song Hye-kyo will wait for you. (Jangan lupa kembali semula ke Korea, Song Hye-kyo akan menunggu kamu.)", macam tahu pula saya minat pelakon wanita Korea itu.
Cop keluar imigresen Republik Korea (Korea Selatan).
Kaunter penebusan cukai berhampiran pintu pelepasan 24 ICN.
Selepas keluar dari pemeriksaan imigresen, saya dan Mahathir pergi ke kaunter penebusan cukai berhampiran dengan pintu pelepasan 24 kerana itu paling dekat. Sampai di sana, Mahathir terus ke mesin pengimbas yang mengimbas resit yang diberikan di mesin pengimbas resit tadi, dan wang pun keluar dari ruang khas di mesin tersebut. Setelah itu, satu lagi resit yang menyatakan jumlah wang diperolehi dikeluarkan.
Resit penebusan cukai.
Selesai urusan penebusan cukai, kami semua berkumpul semula dan kemudian bergerak menuju ke platform untuk menaiki keretapi ke bangunan Concourse kerana pintu pelepasan kami adalah di pintu 110. Masa kami tiba di platform, pintu keretapi berbunyi menandakan ia hendak ditutup. Lalu kami berlari dan hanya saya sahaja dapat memasuki tren. Maka tinggallah yang lain di platform. Sampai di bangunan Concourse saya, menunggu mereka namun tidak sampai lagi, lalu saya melawat kedai-kedai bebas cukai di situ. Selepas itu kembali semula ke tempat saya menunggu tadi, tapi masih tidak jumpa mereka, jadi saya ambil keputusan untuk ke pintu pelepasan 110. Di situ saya sempat menunaikan solat kerana ruang menunggu agak besar. Saya guna spray sahaja untuk berwuduk.
Medan selera Food Empire (sayap barat) bangunan Concourse ICN.
Usai solat, saya memeriksa telefon bimbit saya untuk melihat apa yang patut. Di ICN ini mempunyai WiFi yang penggunaannya tanpa had. Ia juga mempunyai kelajuan yang amat pantas. Rupa-rupanya kawan-kawan saya pergi ke medan selera Food Empire di sayap barat (iaitu jika dari eskalor/tangga dari platform keretapi pengantara tadi, perlu ambil kanan, pintu pelepasan 110 pula ke arah kiri iaitu sayap timur). Mulanya saya keliru juga, kerana sebelah sayap timur ada juga medan selera Food Empire tapi tiada mereka, lalu saya ke sebelah sayap barat pula.
Kaunter pembayaran medan selera Food Empire.
Rupanya medan selera Food Empire sebelah barat ini mempunyai gerai makanan halal yang bernama Nimat. Kawan-kawan saya iaitu Fairuz dan Kamal membelanja saya kerana saya memang sudah tiada duit won. Di sini sudah tidak boleh pakai T-Money pun, kalau hendak pakai pun bukan ada baki. Kawan-kawan semua sudah makan, malah Fairuz hendak ke pintu 110 kerana hendak solat. Mereka sudah makan set nasi dengan kari kambing, tapi mereka kata agak pedas, jadi saya ke kaunter pembayaran dahulu untuk memesan makanan.
Alat pemberitahuan pesanan sudah sedia dan resit medan selera Food Empire.
Gerai makanan halal Nimat di medan selera Food Empire (sayap timur) bangunan Concourse ICN.
Saya memesan segulung kimbab daging Bulgogi dan segulung kimbab ayam pedas yang yang mahal sikit berharga ₩10 500 (+- RM36.80) sahaja berbanding set nasi kari kambing yang mereka makan berharga hanya ₩9500 (+- RM33.30). Tapi yang penting dapat bantu mereka hilangkan pedas. Menariknya, selepas membayar, kita akan menerima sebuah alat pemberitahuan pesanan sudah sedia, dimana alat ini akan berbunyi apabila pesanan kita sudah sedia.
Kimbab Ayam pedas dan kimbab daging Bulgogi.
Sambil-sambil makan, dapat saya melihat koleksi wang syiling Korea Selatan yang saya perolehi sepanjang perjalanan saya di Korea Selatan ini.
₩10 = +- RM0.04
₩50 = +- RM0.18
₩10 (lama - 1973)= +- RM0.35
₩10 = +- RM0.35
₩50 = +- RM1.75
Pesawat 9M-XXV AirAsia X di parkir 110 ICN.
Selepas selesai makan, kami semua ke pintu pelepasan 110 untuk menunggu penerbangan kami. Ketika kami sampai kapal terbang sudah sampai. Dalam tempoh lima belas minit kemudian, petugas yang menjaga pintu membuka pintu pelepasan untuk kami menaiki pesawat 9M-XXV milik AirAsiaX untuk bersedia untuk membawa kami ke Malausia dengan penerbangan D7 505.
Pas pelepasan (bahagian simpanan penumpang).
Akhirnya pada pukul 3:50 petang, pesawat ini bergerak meninggalkan bangunan concourse ICN untuk berlepas ke destinasinya, klia2. Jadi saya meninggalkan bumi Korea Selatan ini. Insya Allah saya akan kembali lagi. 대한민국, 사랑해! (Daehan Mingguk, saranghae! (Korea Selatan, aku cinta padamu!)), huhuhu.
Peta laluan penerbangan AirAsia X D7 505 pada 10 Mac 2016.
Selepas tujuh jam lebih penerbangan, pada pukul 9:50 malam waktu Malaysia (UTC +8), maka mendaratlah kami di klia2. Kami tiba dan turun di pintu Q6 di Bangunan Satelit, dan terus berjalan menuju ke Bangunan Utama klia2. Setelah selesai urusan imigresen, saya mengucapkan selamat kepada semua kawan-kawan yang bersama selama lima hari di Korea Selatan. Isteri saya sudah sedia menunggu di pintu ketibaan. Sebelum terus balik ke rumah, kami berhenti dahulu di Petronas yang ada sebaik keluar dari klia2 untuk bersolat. Setelah itu, kami terus pulang dan tiba di rumah sebaik sebelum tengah malam.
Alhamdulillah selesai juga catatan pengembaraan saya dan rakan-rakan ke Seoul, Korea Selatan ini. Ini menandakan saya telah selamat ke 17 buah negara dalam hidup saya ini. Sedikit sahaja bilangannya, semoga ia dapat bertambah lagi. Semoga catatan pengembaraan ini dapat memberi manfaat kepada yang membacanya. Insya Allah saya akan bersambung lagi dengan kembara saya yang akan datang, harap sedia dan setia menunggu. Insya Allah pada bulan Mei 2016, saya akan ke Taipei, Taiwan pula.
Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
Exploring the World, Knowing the Life...
Jika mahu lihat catatan:
- Pra Kembara;
- Itinerari;
- Hari 1;
- Hari 2;
- Hari 3 Bahagian 1;
- Hari 3 Bahagian 2; atau
- Hari 4.
If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3 Part 1;
- Day 3 Part 2;
- Day 4; or
- Day 5 (this part).