Friday, September 30, 2016

Hari 2 (Colombo, Sri Lanka - 09 hingga 12 September 2016) - ආයුබෝවන් ශ්රී ලංකා! (āyubōvan śrī laṁkā! (Apa Khabar Sri Lanka!)).

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part); or
  • Day 3 & 4. 

Saya di depan Stesen Keretapi Colombo Fort, Colombo, Sri Lanka.


Hari 2 (10 September 2016 - Sabtu).

Akhirnya tiba juga penerbangan ini pada sejam selepas tengah malam (waktu Sri Lanka (UTC +5:30), dua setangah jam lebih awal dari waktu Malaysia (UTC +8:00)). Kami keluar dari pesawat dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo, Sri Lamka (CMB) di pintu 6.

Kami tidak terus ke kaunter imigresen untuk membiarkan kaunter imigresen yang tengah ramai itu, nanti apabila sudah surut barisannya, barulah kami beratur. Jadi kami pergi ke tandas untuk menyelesaikan urusan tertunggak dan bersiar-siar di sekeliling kawasan airside untuk menghabiskan masa kami. Lagipun kami akan duduk menunggu di balai ketibaan sementara menunggu hari siang.

Dalam masa itu, kami terihat terdapat kaunter telco Mobitel, salah satu syarikat telekomunikasi di Sri Lanka, sebelum sampai di kaunter imigresen. Namun apabila tanya, pakej yang dijual agak mahal dan tidak semua pakej yang dijual sebagaimana yang dipaparkan di laman web dijual. Selanjutnya, di kaunter imigresen, kita boleh minta kad SIM prabayar dari telco Dialog secara percuma. Cuma nanti perlu tambah nilailah nanti.

Apabila kami melihat kaunter imigresen semakin susut dengan orang, maka kami pun ke meja yang mempunyai borang kemasukan ke Sri Lanka untuk mengisi borang terbabit. Kemudian, kami pun terus ke kaunter yang sudah tiada orang lagi. Saya serahkan pasport bersama borang tadi dan salinan emel makluman visa transit kami.

Namun kami dimaklumkan bahawa kami tidak layak untuk visa transit. Kami diminta untuk memohon visa pelancong dengan harga US$40.00 (+- RM164.00) setiap orang. Saya bertanya bukan US$35.00 (+- RM143.50)? Namun pegawai terbabit berkata harga berkenaan untuk permohonan online (web) sahaja. Saya sudah nampak dia ini hendak menipu kerana harga permohonan di web cuma US$35.00 sahaja. Entah kenapa pada masa itu, saya ikut sahaja, mungkin kerana jika saya tanya lebih-lebih, tidak boleh masuk pula. Jadi saya menyerahkan dengan duit not Dollar Amerika Syarikat sebanyak US$80.00 (+- RM328.00) bagi dua orang (termasuk untuk abang Zul). 

Setelah wang diberikan, maka pegawai terbabit terus ke pejabat visa untuk memproses visa pelancong (lebih tepat Pengesahan Perjalanan Elektronik - Electronik Travel Authorisation (ETA), kerana jika ikutkan ke Sri Lanka tiada visa, cuma kena bayar yuran pemprosesan ETA sahaja, tapi itu pun dah mahal). Kira-kira lima belas minit menunggu juga, pada masa itu baru saya teringat, kenapalah kami tidak mohon secara online sahaja, kerana terdapat WiFi percuma di CMB ini. Tidak mengapalah, sudah terjadi. Cuma lain kali jika tidak lepas visa transit, boleh memohon visa lain melalui online sahaja. Jimat US$10.00, huhuhu.

Selepas permohonan diluluskan, maka pasport kami dilekakan pelekat visa dan dicop masuk ke dalam Sri Lanka. Maka secara rasmi, inilah negara (yang mempunyai imigresen sendiri) ke-19 saya.

Kawasan airside CMB

Saya dan abang Zul yang baru tiba di CMB.

Terdapat kaunter telco Mobitel Sri Lanka sebelum kaunter imigresen Sri Lanka.


Borang Kemasukan Ke Sri Lanka.

Cop Masuk ke Sri Lanka & Visa Pelancong Sri Lanka.

Selepas prosedur masuk imigresen ke Sri Lanka selesai, kami pun berjalan melepasi beberapa kedai bebas cukai di kawasan airside ketibaan antarabangsa di CMB ini. Menariknya, kedai-kedai bebas cukai di sini menjual peralatan elekrik seperti mesin basuh, peti ais, televisyen dan sebagainya. Ini agak unik kerana jarang yang menjual barang-barang ini di lapangan terbang. Mungkin ia disasarkan kepada orang Sri Lanka yang pulang ke Sri Lanka. Kalau kita hendak beli, kena fikir juga berat bagasi nanti. 

Kedai peralatan elektrik bebas cukai selepas pemeriksaan imigresen.

Seterusnya kami ke tingkat bawah yang mana perlu terus jika hendak ambil bagasi dan jika tiada bagasi, boleh belok kanan dan terus melalui pemeriksaan kastam dan terus tiba di Balai Ketibaan CMB ini. Apabila sampai di balai ini, akan ternampak barisan penggurup wang dan di sebelah kanan, terdapat sebarisan agensi-agensi pelancongan. Jika kita terus ke belakang barisan pengurup wang, akan ada kelima-lima kaunter syarikat telekomunikasi yang ada di Sri Lanka iaitu Mobitel, Dialog, Airtel Sri Lanka (anak syarikat Airtel India), Etisalat Sri Lanka (anak syarikat Etisalat UAE) dan Hutch (anak syarikat Hutchinson Whampoa Hong Kong - empunya jenama 3 (Hong Kong, Macau, Indonesia, UK, Ireland, Itali, Austria, Denmark dan Sweden).

Di situ juga terdapat barisan bangku/kerusi yang boleh kita duduk. Tujuannya adalah untuk penjemput duduk menunggu orang dijemput, namun kami menggunakannya sementara menunggu hari siang. Tujuan kami duduk di sini kerana di sini masih mempunyai penghawa dingin, jadi kualiti  udaranya agak baik. Selain itu, jika kami keluar, mungkin sukar untuk masuk kembali, kerana di luar agak kurang mesra pengguna, dengan tiada tempat duduk disediakan. Lagipun untuk masuk ke dalam balai ketibaan ini, perlu membayar caj Rs.300 (+- RM10.50). Malah kalau orang luar hendak buat pengumuman atau paging dalam istilah Bahasa Inggeris dikena kan caj Rs.100 (+- RM3.50). Walaupun murah (ia ke murah?), tetapi kami kena jaga wang Rupee Sri Lanka yang ada, demi keberlangsungan perjalanan ini.

Kami menunggu sahaja di dalam kerana tiada guna jika kami ke pusat bandar Colombo pada keadaan masih gelap. Lagipun bas yang ada di luar merupakan bas "swasta" kerana bas kerajaan hanya beroperasi pada pukul 5:00 pagi sehingga 6:00 petang sahaja. Harga tiketnya pun lebih mahal. Sempat juga saya tidur di sini seketika. Ketika saya terjaga, saya meninjau kadar kad SIM yang dijual di kaunter syarikat telekomunikasi, namun di situ ia dijual pakej yang mahal, rata-rata menjual pakej Rs. 1300 (+- RM45.50) dan hanya Hutch sahaja yang menjual pakej Rs. 499 (+- RM17.50). Saya tidak membelinya mana-mana pakej kad SIM kerana mahal dan tidak membeli kad SIM Hutch kerana risau dengan kawasan liputannya. 

Abang Zul mengajak saya untuk minum air panas di kafeteria di tingkat atas balai ini. Ketika itu, saya ternampak barisan mesin ATM berada di sebelah kiri balai jika kita berada dari pintu selepas pemeriksaan kastam, dan tidak jauh dari tangga ke kafetaria serta ke tandas. Kami minum air Nescafe. Alhamdulillah, lega juga kerana air panas masuk ke dalam perut, cuma rasanya agak manis, seumpana seorang gadis Kelantan membuat air nescafe. Di sini, banyak juga saya berborak dengan abang Zul.

Selepas itu, ketika pukul 4:40 pagi, suara azan berbunyi dari telefon bimbit saya, menandakan telah masuk waktu Subuh di Colombo. Jadi kami mengambil wuduk dari dalam tandas dan solat di kubikel kosong berdekatan dengan tangga ke kafeteria. Berbalik kepada tandas tadi, di Sri Lanka, tandasnya mempunyai paip di dalamnya termasuk tandas di CMB ini, jadi agak mudah bagi kebiasaan kita yang perlukan air untuk beristinjak/cebuk.

Usai solat, abang Zul mengajak saya untuk menukar duit, kerana dia tidak yakin dengan jumlah yang dibawa. Jadi saya meninjau kaunter yang berikan kadar terbaik dan kami pun ke kaunter tersebut untuk menukarkan Ringgit Malaysia kami ke Rupee Sri Lanka. Kadar kami dapat adalah RM1.00 akan mendapat Rs.34.50. Jadi saya menukar RM50 dan mendapat Rs.1735.

Balai ketibaan CMB.

Balai ketibaan CMB.

Mesin-mesin ATM di balai ketibaan CMB.

Resit Pertukaran Wang (Ringgit Malaysia ke Rupee Sri Lanka) di CMB.

Selepas itu, kami pun keluar dari Balai Ketibaan CMB ini. Keluar sahaja dari pintu keluar, kami beluk ke kiri dan terus berjalan menuju ke hujung bangunan. Di hujung bangunan ini akan terdapat ruang parkir bas yang berpagar. Kami pandang kanan dan di luar pagar terdapat sebuah bas sedang parkir di bawah pokok. Itulah bas yang kami cari, bas pantas ke pusat bandar Colombo bernombor 187-E3 yang berhawa dingin.

Jadi kami ke bas tersebut dan konduktornya mengajak kami naik. Jadi kami naik, nampak agak penuh tetapi tempat duduk di belakang ada kosong. Di tempat duduk di hadapan terdapat dua orang wanita bertudung yang saya rasa mereka adalah orang Melayu, kemungkinan dari Malaysia juga. Cuba menegur mereka tetapi seperti tidak melayan. Begitulah orang kita, kebiasaan agak sombong juga dengan sesama kita. Tidak mengapalah.

Jadi kami tunggu di dalam bas ini sehingga ia berjalan 10 minit kemudian dengan semua tempat duduk penuh dan terdapat beberapa orang yang berdiri. Ketika bas ini bergerak, konduktor pun pergi ke setiap penumpang untuk mengambil bayaran tambang. Tambang bas ini sehingga ke stesen terakhir di Terminal Bas Colombo Central adalah Rs. 120 (+- RM4.20). Jadi bas ini bergerak menuju ke pusat bandar dengan menggunakan Lebuhraya E3.

Lebuhraya E3 ini menjajar di pesisir Tasik Negombo. Saya dapat melihat keadaan suasana pagi di sepanjang jalan ini. Kadang-kadang sekali imbas, keadaan di sini lebih kurang dengan permandangan di Malaysia terutama di Pantai Timur, dengan pokok kelapa melambai. Rumah-rumah di sini juga agak ringkas binaannya. 

Selepas 30 minit, bas ini mula memasuki bandaraya Colombo. Bagi saya Colombo agak bersih, malah lebih bersih daripada bandaraya di India seperti Delhi dan Agra yang pernah saya pergi. Di bandaraya ini, terdapat banyak patung Buddha, kerana majoriti orang Singhala iaitu kaum terbesar di Sri Lanka beragama Buddha. Kalau dilihat sungai-sungai dan saliran-salirannya, juga agak bersih dan tidak kotor, berbeza dengan jirannya di utara.

Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike, Colombo, Sri Lanka (CMB).

Bas ekspres 187-E3.

Memasuki bandaraya Colombo.



Peta: Perjalanan bas 187-E3 ke stesen bas Colombo Central.

Setelah empat puluh lima minit bergerak, akhirnya bas ini tiba di stesen bas Colombo Central. Stesen ini berbentuk C. Susun aturnya, saya teringat dengan stesen bas di bandar-bandar kecil di Malaysia seperti Tanjung Malim, Taiping dan Muar. Lebih kurang itulah. Jadi tujuan seterusnya adalah kami ingin ke stesen keretapi Colombo Fort. Jadi kami bertanya dengan konduktor, dan dia menunjukan arahnya, jadi kami ikut sahaja arahnya.

Terminal bas Central Colombo.

Platform bas 187 di terminal bas Central Colombo.

Terminal bas Central Colombo.

Suasana pagi di kawasan sekitar stesen bas Colombo Central ini agak ramai juga dengan manusia. Kena pula dengan terdapat pasar di sebelah stesen bas ini. Rupanya kawasan ini terletak di dalam kawasan Colombo Fort sebenarnya.

Kami pun berjalan menuju ke Stesen Keretapi Colombo Fort. Dalam perjalanan, kami dapat lihat banyak juga restoran atau kedai makan di sepanjang perjalanan. Cuma awalnya kami hairan kerana kebanyakan kedai makan ini terdapat nama hotel pada namanya. Hendak kata ada penginapan pada premis tersebut, tiada juga. Rupanya istilah hotel di sini merujuk kepada restoran. Jadi jangan keliru.

Di samping itu terdapat juga banyak kedai-kedai peralatan telekomunikasi di sini. Mungkin kerana di sini adalah tempat tumpuan warga tempatan. Selain itu, boleh dikatakan kawasan Colombo Fort ini macam-macam ada.

Suasana di kawasan Colombo Fort.


Peta: Berjalan kaki dari stesen bas Colombo Central ke stesen keretapi Colombo Fort.

Kami akhirnya sampai juga di sini. Stesen Keretapi Colombo Fort menjadi mercu tanda utama kami di Colombo. Kami pun sebenarnya tidak tahu kenapa kami ke sini. Mungkin kerana masih awal untuk ke pengipan agaknya. Agaknya kerana bagi membiasakan dengan kawasan ini, manalah tahu kalau jadi apa-apa, di sini menjadi seperti "ibu pejabat" kami. Terdapat WiFi percuma di kawasan stesen keretapi ini. Cuma entah kenapa seperti tidak berfungsi sahaja walaupun sudah beberapa kali masuk ke dalam salurannya.

Saya di depan Stesen Keretapi Colombo Fort, Colombo, Sri Lanka.

WiFi Percuma di stesen keretapi Colombo Fort (katanya).


Tatakala begitu, saya terjumpa kaunter cawangan bagi syarikat telekomunikasi Mobitel di Stesen Keretapi Colombo Fort ini. Walaupun masa menunjukan masih hampir pukul 7:00 pagi, kaunter sudah pun dibuka. Lalu saya bertanya, pakej prabayar SIM Pelancong masih ada kah? Ada, malah dijual pakej terendah yang berharga Rs. 499 (+- RM17.50). Apa lagi, saya pun belilah pakej yang itu. Abang Zul pun sama-sama membelinya. Penting komunikasi ini di samping internet. Memang kami perlukan perkhidmatan suara dan sms kerana jika jadi apa-apa pada talian internet, sekurang-kurangnya masih boleh berkomunikasi. Itu sebab saya seperti mewajibkan pembelian kad sim ini.

Setelah mendapat kad SIM masing-masing, kami dimaklumkan bahawa kad SIM ini masih dapat proses pengaktifan dan ia hanya boleh digunakan dalam tempoh 15 minit selepas itu. Ok tidak mengapa, jadi kami mencari kedai makan untuk minum pagi.

Kaunter cawangan telco Mobitel Sri Lanka.

Plan SIM Pengembara Prabayar Mobitel Sri Lanka.


Kad SIM Mobitel Sri Lanka

Kami singgah di sebuah restoran berdekatan dengan stesen keretapi. Di luar, restoran ini terdapat tulisan dalam bahasa Arab, Allah, Muhammad dan Masya Allah. Kami pun masuk dan memberi salam. Alhamdulillah, ia dijawab, jadi insya Allah makanan di sini halal.

Cuma makanan berat belum tersedia, seperti nasi baryani ayam, ia hanya tersedia pada waktu makan tenagahari. Jadi kami minta air sahaja. Kami disajikan juga dengan pelbagai jenis roti dan sandwich. Cuma dibayar apa yang diambil sahaja. Namun kami tidak ambil satu pun, kerana satu, perut masih lagi penuh dan belum lapar dan keduanya, ia tidak nampak seperti menyelerakan.

Kami memasukan kad SIM yang kami beli tadi ke dalam telefon kami, cuma ia masih belum digunakan. Agaknya masih awal pagi lagi kot. Dalam masa itu, baru perasan, kenapa kami tidak membeli kad SIM biasa sahaja dan kemudian melanggan pakej data internet biasaa yang ditawarkan kepada orang tempatan, kan ia lebih jimat. Tidak mengapalah.

Setelah dalam setengah jam, kami pun selesai dan membayar minuman kami. Sekurang-kurangnya, kami sudah ada air minuman botol sebagai bekalan. 

Pelbagai jenis roti di restoran kami sarapan pagi.

Kami kemudian mengambil keputusan untuk ke penginapan terlebih dahulu. Sebelum itu kami ke kaunter Mobitel sekali lagi, dan bertanyakan kenapa kad SIM masih belum aktif. Petugas kaunter yang agak mesra dan boleh berbahasa Inggeris dengan baik itu memaklumkan perlu tunggu lagi. Tidak mengapa, kami aku. Memang betul, tidak lama kemudian, talian telefon tersebut aktif dengan kami menerima pelbagai mesej sms dan kami juga mula menerima mesej WhatsApp.

Kami berpatah balik ke kawasan sekitar Colombo Central tadi. Dalam perjalanan, saya dapat melihat sebuah menara yang agak tinggi masih dalam pembinaan. Ia adalah Menara Teratai Colombo (Colombo Lotus Tower), yang merupakan apabila siap nanti akan menjadi mercu tanda baru Colombo. Katanya apabila siap nanti, ia akan berketinggian setinggi 350 meter.

Kami melalui pasar di sebelah Stesen Bas Colombo Fort, di sini. Pasar ini dinamakan Pasar Bandar Lama (Old Town Market). Banyak barangan yang boleh didapati di sini. Antara yang memikat mata saya adalah terdapat cili yang paling pedas di dunia dijual di sini iaitu cili Devil's.

Menara Teratai (Lotus Tower) yang masih dalam pembinaan.

Cili Devil's (Syaitan) yang terpedas di dunia.

Pasar Bandar Lama Colombo (Old Town Market).


Kami berjalan mencari penginapan kami berdasarkan aplikasi Google Maps. Kami melalui jalan-jalan di Colombo ini. Bangunan di sini nampak agak usang dan tidak terjaga sangat. Paling tinggi pun adalah bangunan 3 tingkat. Apabila sampai di Jalan Moors Lama (Old Moor Street), kawasan ini bertema kawasan rempah, kerana banyak kedai-kedai menjual rempah, juga barangan berasakan makanan seperti beras, dijual di sini. Malah banyak lori-lori sedang memunggah barang sama ada dipunggah masuk atau dipunggah keluar. Rupanya, Jalan Moors Lama ini, merupakan pusat rempah bagi seluruh Sri Lanka. Dari sini, barang-barang makanan kering ini akan diagihkan ke seluruh Sri Lanka melalui lori.

Di celah-celah kedai-kedai ini, kami pun terjumpalah penginapan kami. Jika di dalam Hotels.com, nama yang diberikan adalah City Motel, tetapi nama sebenarnya adalah CityRest Motel. Nasib baik di dala Hotels.com terdapat gambarnya, jadi tidaklah terkeliru. Kami kemudian ke kaunter dan berkata kami tidak mahu daftar masuk dahulu. Nampaknya petugas disitu tidak faham dan ingin daftar masuk juga kami. Nasib baik pemiliknya datang dan faham. Dia memaklukan bahawa polisi hotel ini, penginapan adalah 24 jam, bermakna jika kami mendaftar masuk sekarang, iaitu pukul 8:00 pagi, bermakna, masa daftar keluar selewat-lewatnya pada pukul 8:00 pagi keesokannya. Jadi kami memang merancang untuk berjalan-jalan lagi, dan hanya akan daftar masuk pada waktu petang. Jadi pemilik motel itu membenarkan kami meletakkan beg kami. Jadi ringan sikit beg kami.


Paling penting, kami mengambil flyer penginapan ini kerana itu yang ada untuk merujuk maklumat tentang penginpan ini. Biasanya di tempat lain akan ada kas perniagaan. Tidak mengapalah, asalkan ada, kami ambil.

Keadaan di Old Moor Street.

Sebuah lori di Old Moor Street.

CityRest Motel, Colombo.

Peta: Berjalan kaki stesen keretapi Colombo Fort ke CityRest Motel.

Flyer CityRest Hotel.

Kami meneruskan perjalanan berjalan-jalan di sekitar pusat bandaraya Colombo ini. Pertamanya kami ke Masjid Besar Colombo di Jalan Moors Baru (New Moors Street). Namun ia masih dalam proses pengubahsuian, banyak pembinaan lagi. Jadi kami teruskan ke tempat lain. Banyak juga yang kami temui, antaranya Bangunan Dewan Bandaraya Colombo lama. Kami teruskan juga, dan kemudian terjumpa dengan Masjid Merah (Red Mosque). Cantik juga masjid ini. Nama sebenarnya adalah Masjid Jamiul Alfar yang dibina pada tahun 1908. Malangnya ketika kami di sana, ia nampak seolah-olah ditutup (rupanya tidak, memang pintu masuk diletakan papan sebegitu). Semasa bergambar dengan masjid ini, kami ternampak bas pelancong dua tingkat CityTour, seumpama bas Hop On Hop Off. Cuma harganya agak mahal, sekitar US$30 (+- RM123.00) untuk menaikinya. 


Bangunan Dewan Bandaraya Colombo lama.

Red Mosque (Masjid Jamiul Alfar), Colombo.

Bas pelancong dua tingkat.

Kami meneruskan perjalanan dan saya terpandang salah seorang chaiwalla (pembuat teh - perkataan Hindi yang saya gunakan, istilah dalam bahasa Singhala saya tidak pasti), sedang membancuh teh tarik di tepi jalan. Saya bertanya dengan abang Zul, hendak minum teh kah? Dia pun bersetuju. Saya berani minum kerana memang nampak air yang digunakan adalah air panas dijerang di depan mata kami. Jadi kami memesan  dua gelas. Semasa kami memesan, baru kami tahu bahawa kawasan ini adalah kawasan Muslim, dan chaiwalla ini pun seorang muslim.

Kami pun melihat cara-cara teh tarik Colombo dibuat. Lebih kurang sama dengan cara di Malaysia. Sambil itu, kami ditegur oleh salah seorang yang ada di situ. Kami melayan juga tegurannya itu, tetapi dengan hati-hati, takut dia merupakan scammer. Banyak juga maklumat yang kami perolehi dari dia. Teh pun siap, rasanya pun agak baik juga, cuma agak manis. Susu yang digunakan adalah susu krimer pekat manis tin, bukan susu segar seperti di Chadni Chowk, Delhi.

Seorang chaiwalla sedang membancuh teh.

Teh tarik Sri Lanka.

Setelah selesai minum dan abang Zul belanja teh ini (secawan berharga Rs.30 (+- RM1.05), kami teruskan perjalanan. Melalui hadapan seberang jalan dengan Stesen Keretapi Colombo Fort, kami menelusuri jalan-jalan di Colombo Fort ini. Tidak jauh dari stesen keretapi, kami melalui hadapan ibu pejabat syarikat telekomunikasi negara Sri Lanka, Sri Lanka Telecom (SLT), seumpama TM di Malaysia, yang khusus untuk sistem telekomunikasi bukan selular. Syarikat telekomunikasi selular Mobitel adalah anak syarikat SLT. Di sini juga terdapat kedai telekom SLT yang juga menjadi cawangan bagi Mobitel. Cuma belum buka lagi. Rata-rata agensi kerajaan dan premis swasta membuka operasinya dari pukul 10:00 pagi di sini. Waktu tutup bagi agensi kerajaan pula adalah pada pukul 5:00 petang.

Kami meneruskan perjalanan, dan rupanya kami sampai ke pusat pentadbiran dan perdagangan utama Colombo satu ketika dulu, iaitu pada zaman penjajahan British dan pada masa sebelum pusat pentadbiran Sri Lanka dipindahkan ke Sri Jayawardenepura Kotte, di pinggir bandaraya Colombo. Rasanya ini baru betul-betul Colombo Fort, lagipun di sini masih ada lagi tinggalan kota lama Colombo. Di sini terdapat banyak bangunan lama tinggalan penjajah British dan Belanda. Banyak bank-bank di sini antaranya Bank of Ceylon (BoC), HSBC, Standard Chartered dan sebagainya. Cuma banyak bangunan ditinggalkan dan juga ada yang tidak diselenggara dengan baik. 

Sambil berjalan, terumpa pula Menara Jam dan kemudian di belakangnya terdapat ibupejabat bagi Tentera Laut Sri Lanka.  Di sini juga terdapat pejabat Bank Pusat Sri Lanka (Central Bank of Sri Lanka), dan juga banyak juga pejabat kerajaan di sini. Kami juga melewati memercu tanda moden Colombo iaitu Kompleks Pusat Dagangan Dunia Colombo, dengan bangunan berkembar tiga (dua lebih kurang sama rekabentu, cuma yang ketiga, ibu pejabat BoC lain darinya, ia agak bulat). 

Di seberang Pusat Dagangan Dunia Colombo, terdapat sebuah hotel mewah iaitu The Kingsbury. Kami juga dapat melihat Bangunan Parlimen lama Sri Lanka yang kini menempatkan pelbagai pejabat kerajaan.

Antara barisan bangunan lama tinggalan penjajah di Colombo Fort.

Menara jam lama Colombo.

Kompleks bangunan Pusat Dagangang Dunia Colombo.

Hotel mewah The Kingsbury berhampiran Galle Face.


Peta: Berjalan kaki CityRest Motel ke pantai Galle Face Green.


Akhirnya sampailah kami ke destinasi kami, iaitu pantai Galle Face dan datarannya Galle Face Green. Di sini kami dapat melihat deruan ombak yang agak kuat juga. Tidak hairanlah, kenapa di dalam internet, banyak dikatakan bahawa di pantai Galle Face (yang agak panjang sebenarnya pantai ini) merupakan tempat meluncur air juga. Ombak begitu kuat sehingga kami nampak buih-buih berterbangan di udara pantai ini.

Di Galle Face Green, terdapat sehelai bendera Sri Lanka yang berkibar megah kerana angin yang agak kuat di pantai Galle Face ini. Walaupu  cuaca agak panas, tetapi angin yang bertiup, menyebabkan tidak terasa panasnya. Ramai juga pengunjung dari dalam dan luar negara di sini. 

Di sekitar kawasan ini terutama di selatan, banyak terdapat bangunan-bangunan moden yang terdiri dari hotel-hotel mewah dan bangunan pejabat. Kiranya kawasan ini merupakan kawasan ekonomi baru bagi Colombo. Seberang jalan dari Galle Face Green, juga sedang giat pembinaan beberapa buah hotel mewah.

Kami di sini agak lama juga, hampir dua jam di sini.

Pantai Galle Face.

Pantai Galle Face (beach), Colombo, Sri Lanka (video 1). 

Bendera Sri Lanka berkibar di Galle Face Green.

Pantai Galle Face berlatar belakang 
Pelabuhan Colombo dan Pusat Dagangan Dunia Colombo

Ombak yang menghempas pantai Galle Face.

Pantai Galle Face (beach), Colombo, Sri Lanka (video 2). 

Setelah seberapa ketika di pantai Galle Face, kami pun ingin balik ke kawasan Stesen Keretapi Colombo Fort untuk makan tengah hari. Dalam perjalanan, kami disapa oleh seorang yang agak kemas. Sebenarnya dia ini adalah scammer, namun cara pendekatan tidak nampak macam scammer, dengan menegur kami secara spontan, bukan nampak hendak scam. Namun kalau dah terkena hendak buat macam mana. Setelah kami selesa dengannya (dia menceritakan sejarah bangunan parlimen lama), barulah dia membuka cerita tentang ada gudang jualan yang menjual pelbagai barangan Sri Lanka dengan harga murah. Namun dia berkata ia telah berlansung beberapa hari dan akan tamat hari ini dan akan tutup pada pukul 12:30 tengahari kerana gudang tersebut gudang kerajaan. Menariknya, semasa dia berkata itu, tidak semena-mena sebuah auto (tuktuk) telah berada di sebelah kami. Masa itu kami rasa macam sudah kena scam. Tetapi kami rasa apa salahnya kalau kami pergi tengok. Jadi kami naiklah auto tersebut.

Kami pun dibawa oleh auto tersebut ke kawasan pembangunan moden atau kawasan ekenomi baru Colombo yang saya cakap tadi. Kawasan ini bernama Kollupitiya. Akhirnya dalam lima minit kami sampai ke "gudang" yang dicakapkan tadi. Rupanya kedai batu permata rupanya.

Pandangan belakang pemandu auto (tuktuk).

Kami berselfie di dalam auto.


Peta: Perjalanan menaiki auto (tuktuk).

Apabila masuk ke dalam kedai ini, saya sudah cuba mencari jalan untuk keluar awal juga cara untuk tidak membeli. Kaedah ini lebih kurang sama seperti di negara lain seperti China (terutama Beijing, jadi itu sebab kalau pakej pelancongan ke Beijing agak murah, kerana perlu ke tempat-tempat seperti ini setiap hari), Yangon, Delhi dan sebagainya. Namun begitu kami mengikut sahaja arusnya. Kami kemudian di bawa ke tingkat atas. Di sini bermulalah agenda sebenar. Dibuat demonstrasi dan kemudian tawaran kepada kami. 

Apabila nampak seperti kami berdua yang duduk bersama tidak ada kesan, dipisahkan kami agar kami boleh dimakan pujuk jika seorang-seorang. Saya memang tidak minat batu permata dan rupanya abang Zul pun sama. Jadi abang Zul kata, dia tidak minat namun isteri kami yang minat dan kami balik ke hotel untuk ambil mereka (terpaksa berbohong). Kali ini mereka siap tawar shuttle percuma untuk membawa "isteri" kami. Kami berkeras, dan kebetulan ada pengunjung lain, kami berani dan bertegas untuk keluar sendiri. Kami pun cuba keluar dan menariknya, kami boleh tidak jumpa tangga tadi. Tapi selepas saya bersalawat, akhirnya jumpa juga. 

Di bawah, kami kena melalui bahagian menjual teh Sri Lanka pula. Namun kami nekad untuk keluar dan terus keluar. Sampai di luar, pemandu auto dengan terkejut melihat kami. Agaknya macam sekejap sahaja, jadi kami terus meminta untuk dihantar ke Stesen Keretapi Colombo Fort walaupun boleh sahaja minta hantar ke penginapan. Ini kerana kami risau, pemandu auto ini juga sebahagian dalam scam ini.


Antara batu permata yang dipamerkan.

Kad Perniagaan Gem Bureau Colombo (scam).


Dalam perjalanan ke Stesen Keretapi Colombo Fort, saya terlihat sebuah kereta terkecil di dunia iaitu Tata Nano. Sempat juga saya menangkap gambarnya. Comel sahaja kereta ini. Dapat juga menenangkan hati yang kami amat berdebar selepas hampir terkena scam ini.

Sampai sahaja di depan Stesen Keretaapi Colombo Fort atau sebenarnya lebih tepat di perhentian bas Petta, kami pun turun, seterusnya membayar tambang auto. Asalnya, kata scammer di Galle Face tadi hanya Rs.150 (+- RM5.25) untuk pergi balik, namun kali ini diminta Rs. 300 (+- RM10.50). Tidak mengapalah, kami bayarlah. Penting sekali, terlepas dari mulut buaya dan harimau. Syukur, alhamdulillah.

Kami seterusnya mencari makan di restoran yang ada, tetapi akhirnya ke restoran yang di seberang jalan dengan Stesen Bas Colombo Central juga, iaitu Hotel Razick. Kami masing-masing memesan nasi biryani ayam. Cuma nasi biryani di sini tidak banyak kuah dan kurang rasa sikit. Ayamnya pun adalah ayam goreng. Tidak boleh banding nasi biryani di Malaysia mahupun Indialah. Asalkan halal dan mengenyangkan.

Kereta Tata Nano.


Restoran Hotel Razick, berdepan stesen bas Colombo Station.

Nasi Biryani Sri Lanka.

Alhamdulillah, selepas makan, kami pun berjalan pulang ke penginapan. Di Colombo ini, sebenarnya stesen bas agak banyak, namun dekat-dekat. Ia bergantung kepada destinasi kita. Kami melalui Stesen Bas Colombo Central yang merupakan stesen bas untuk bas-bas ke utara pinggir bandaraya Colombo, termasuk lapangan terbang. Tidak jauh di belakangnya, terdapat stesen bas Gunasinghapura yang dikatakan stesen bas bagi antarabandar pula seperi ke Kandy atau Hatton. Bas-bas di Sri Lanka ini sama sahaja rupanya untuk bas henti-henti bandar, luar bandar dan antarabandar. Ia menggunakan bas jenis Ashok Lanka Leyland, seumpama seperti bas Sri Jaya dahulu (bas utama di Kuala Lumpur pada zaman sebelum pertengahan tahun 1990an iaitu sebelum diambil alih oleh Intrakota dan seterusnya RapidKL).

Bas berhawa dingin malah bangunan berhawa dingin adalah satu kemewahan di Sri Lanka. Jadi bagi saya, kita selaku rakyat Malaysia harus bersyukur kerana kemudahan yang biasa dapat malah bagi kita bertaraf ekonomi, ia adalah bertaraf mewah dan kelas pertama di Sri Lanka. Namun tidak hairan sebenarnya, kerana tambang pengangkutan awam berjadual seperti bas dan keretapi (hanya milik kerajaan sahaja, yang swasta sebaliknya) adalah murah. Namun perkara lain terutama terbabit dengan pelancongan, harganya lebih mahal dari di Malaysia, contohnya kalau orang asing menaiki auto, memang ditekan harganya. Itu sebab saya ada prinsip untuk kurang menaiki pengangkutan awam tidak berjadual ini. Malah sampai popular frasa "naik tuktuk (auto), kena ketuk".

Dalam perjalanan, kami ternampak juga motorsikal dijual di depan pusat membeli belah People's Park (seumpama seperti Bazzar MARA di bandar-bandar kecil). Cuma lebih menarik, auto pun dijual pada harga Rs. 100 ribu (+- RM3500.00). Rasa seperti hendak beli dan bawa balik Malaysia, huhuhu.

Kami melalui Jalan Moors Lama, dan terasa lebih kuat pula bau rempah. Pada masa itu kelihatan agak lebih aktif. Kami sampai di penginapan, dan kemudian mendaftar masuk. Bilik yang kami dapat ala kadar sahaja dengan hanya diberikan tuala dan sabun. Rasa agak mahal juga harga penginapan di Colombo ini. Kemudahannya pun ala kadar dan tiada penghawa dingin. Bersyukurlah, sekurang-kurangnya ada tempat penginap. Jadi kami pun berehat sampai pukul 5:00 petang.

Antara bas-bas yang berada di stesen bas Gunasinghapura.

Auto baru yang hendak dijual di kompleks membeli-belah Peoples' Park Complex.

Kami keluar kembali pada pukul 5:30 petang untuk ke pantai Galle Face semula. Kami berjalan kaki dan akhirnya sampai di sana pada pukul 6:15 petang. Semasa perjalanan, dapat melihat keadaan dalam gerabak keretapi komuter di perhentian keretapi Secretariat yang agak padat dan gerebaknya ringkas. Malah ada penumpang yang suka duduk di depan pintu yang tidak tertutup.

Semasa di bulatan di depan bangunan Parlimen lama, kami dihampiri oleh lelaki yang hendak scam kami, tetapi buka lelaki yang sama pada pagi tadi. Kali ini kami buat tidak layan dan terpaksa sombong. Alhamdulilah, terlepas juga. Nampak juga auto yang memang menunggu. Jadi sudah jelas modus operandi mereka.

Kami di pantai Galle Face dapat melihat matahari terbenam di Lautan Hindi. Cuma tidak secantik yang diharapkan kerana keadaan berawan dan cuaca kurang baik yang boleh nampak di kawasan lautan. Namun orang di sini pada masa ini lebih ramai dari semasa kami datang pagi tadi.

Suasana matahari terbenam di pantai Galle Face.

Suasana matahari terbenam di pantai Galle Face.

Keadaan meriah di pantai Galle Face di kala senja.

Menariknya pada sebelah malam ini di pantai Galle Face, terdapat gerai-gerai makanan dibuka. Kebanyakan gerai ini menjual makanan ringan dan air minuman. Ada juga yang menjual kudapan makanan laut. Kudapan tersebut rupanya wadey versi Sri Lanka. Jadi kami pun mencuba makan di sini. Harga wadey udang dengan ada lima ekor udang sederhana besar berharga Rs. 30 (+- RM1.05). Begitu juga dengan harga wadey biasa. Pratha pula berharga Rs. 50 (+- RM1.75), manakala wadey ketam kecil berharga Rs. 60 (+- RM2.10). Saya mengambil wadey udang dan wadey ketam manakan abang Zul mengambil wadey biasa dan wadey ketam. 

Agak unik juga kerana sos diletakan mempunyai rasa yang tidak pernah dirasai. Kami membeli kudapan ini di gerai yang dipunyai oleh orang Muslim, grai nombor 19 jika tidak silap. Ada tulisan Allah Muhammad dan gambar kaabah. Pemiliknya pun menjawab salam dan agak fasih berbahasa Inggeris.

Rasa nikmat juga menikmati kudapan ini sambil ditiup bayu angin Lautan Hindi. Cuma keadaan agak gelap sedikit di pantai Galle Face ini. Agaknya lebih baik diterangkan sikit pada waktu sudah gelap agar lebih selamat dan lebih terkawal sedikit pergerakan pengunjung.

Selain itu terdapat juga gerai yang menjual makanan yang boleh dipesan seperti nasi goreng, cuma bilangannya tidak banyak. Malah terdapat juga gerai ini yang halal. Jadi bagi saya, di Colombo, masalah makanan halal tidak sukar. Malah jika tidak jumpa makanan halal, makanan vegetarian untuk penganut Buddha pun boleh kita makan sebenarnya.

Antara gerai menjual pelbagai kudapan makanan laut di pantai Galle Face.

Makan malam kami di pantai Galle Face.

Kami kemudian berjalan balik, sekali lagi kami cuba hendak discam dengan cara yang sama, cuma kali ini lelaki yang berkenaan berpakaian tidak berapa kemas. Jadi untuk nampak tidak sombong, kami bercakap dengan Bahasa Melayu sahaja. Kami kata kami tidak tahu berbahasa Inggeris dan hanya bercakap Melayu sahaja. Nampak gaya cara ini berjaya, sekurang-kurangnya tidaklah nampak sombong sangat. (Cara ini nasib sebenarnya, kerana ada seorang sahabat saya yang selepas itu ke Colombo juga, cuba buat perkara sama, cuma nasib dia terkena dengan orang yang boleh berBahasa Melayu, maklumlah, Bahasa Melayu kini menjadi bahasa dunia, cuma ramai orang-orang tertentu di Malaysia masih tidak boleh atau tidak mahu berBahasa Melayu dengan baik walaupun telah menjadi warganegara Malaysia, satu yang amat memalukan).

Kami singgah ke pasar di sebelah Stesen Keretapi Colombo Fort yang dinamakan sebagai Petta World Market, untuk melihat-lihat apa yang ada. Secara amnya pasar ini menjual pakaian, namun di sini juga saya terjumpa kedai menjual cenderahari seperti rantai kunci, magnet peti ais, patung-patung berkaitan Sri Lanka, kemeja T dan sebagainya. Cuma kedainya tidak banyak dan perlu dicari di dalam pasar ini. Saya membeli magnet peti ais yang berharga Rs. 150 (+- RM5.25) sebuah. Harga kemeje T agak mahal, dalam Rs. 700 (+- RM24.50) sehelai, jadi saya tidak jadi membeli kemeja T. Sri Lanka atau Colombo masih belum mesra pengunjung lagi terutama jenis bajet murah ini, jadi memang sukar mencari barangan cenderahati jenis-jenis ini. Ini pun nasib baik terjumpa.

Seterusnya kami berjalan menuju ke Pasar Terapung Petta. Cuma dari Stesen Keretapi Colombo Fort ke situ, jalannya (Jalan W E Bastian Mawatha) agak gelap tidak berlampu. Kena pula kami berjalan melawan arus, maka silau dari lampu kenderaan memburukan suasana. Jadi kalau nak datang ke pasar terapung ini, kena sama ada siang, namun tidak nampak cahaya lampu yang menarik pada waktu malam, atau melalui cara lain iaitu melalui celah-celah kedai di seberang Stesen Bas Colombo Central dan kemudian melalui Stesen Bas Bastian Mawatha dan akhirnya sampai di pasar ini yang berhadapan dengan Stesen Bas Bastian Mawatha.

Di pasar ini sebenarnya lebih kurang sahaja dengan pasar Petta World Market sahaja. Tetapi suasananya agak menarik, maklumlah pasar terapung. Kena pula dibelakang pasar ini merupakan landasan keretapi, jadi apabila keretapi bergerak, memang unik sekali. Kami tidak lama di pasar ini.

Abang Zul di pintu masuk Pasar Terapung Petta.

Pasar Terapung Petta.


Peta: Berjalan kaki pada sebelah petang & malam.


Kami kemudian terus pulang ke penginapan dan semasa perjalanan, kami membeli air minuman botol sebagai bekalan untuk tidur. Air di penginapan dijual agak mahal dan kedai-kedai runcit di sekitar penginapan ditutup pada waktu malam. Apabila sampai di penginapan, kami ke bilik, membersihkan diri dan berborak. Kami pun tidak sedar bila masa kami tertidur.

Bersambung ke Hari 3 & 4.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 (this part; or
  • Day 3 & 4.