Jumaat, 6 November 2015

Pra Kembara (Macau, Hong Kong, Shenzhen & Guangzhou, Guangdong, China - 09 hingga 15 November 2015) - Kembara Muara Sungai Mutiara (Pearl River/Zhujiang (珠江).

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7.

Pengenalan.

Sejak 16 Mac 2015, AirAsia telah membuat pembayang untuk promosi akan datang bermula pada 23 Mac 2015 (Isnin). Setelah beberapa hari, akhirnya promosi tersebut adalah program setiap 3 bulan iaitu promosi tempat duduk percuma (namun perlu bayar cukai lapangan terbang dan beberapa caj lain). Cuma kali ini agak lambat sikit, kerana kali terakhir promosi ini berlangsung adalah pada pertengahan November 2014 lepas. 


Iklan promosi tempat duduk percuma AirAsia pada 22 Mac 2015.

Namun bagi ahli program kesetiaan AirAsiaBIG, seperti saya, seperti biasa juga sehari sebelum iaitu 22 Mac 2015 iaitu hari Ahad (lebih mudah saya membuat carian di rumah), akan diadakan promosi early bird sebelum promosi sebenar di AirAsia. Saya terlupa untuk berjaga pada pukul 12:00 tengah malam 22 Mac 2015 itu, kerana kepenatan kerana membuat kenduri doa selamat pada hari sebelumnya di rumah saya.

Bangun pagi pada 22 Mac 2015, selepas solat subuh, baru saya teringat promosi ini, lalu melayari laman web AirAsiaBIG. Saya ingin mencari tiket ke Hong Kong, tapi tiada promosi. Tetapi ke Macau terdapat promosi 0 mata. Apa lagi, ligatlah jari jemari ini mencari tarikh yang sesuai.



Itinerari Penerbangan AirAsia.

Akhirnya, saya berjaya menempah tiket perjalanan pergi balik dari klia2 ke Macau pada 09 hingga 14 November 2015 pada harga RM190 sahaja (bayaran cukai lapangan terbang sahaja) bagi 2 orang iaitu untuk saya dan isteri saya. Saya menggunakan mata ganjaran AirAsiaBIG yang ada sebanyak 4800 mata untuk menebus untuk makanan semasa penerbangan kami. Alhamdulillah akhirnya dapat juga kami ke Macau dan Hong Kong. Kami juga merancang untuk ke Shenzen dan Guangzhou, China jika ada masa.


Pada hari yang sama, saya memaklumkan "kejayaan" saya memperolehi tiket penerbangan tersebut di dalam beberapa group Facebook dan WhatsApp. Rupanya, salah seorang rakan maya saya, tuan Zainudin Selamat (FB atau Google+nya), yang mengikuti blog KembaraGD ini, (di mana saya mengenalinya setelah beliau memberikan komen di dalam posting petua membawa kenderaan ke Thailand), telah mengambil contoh itinerari penerbangan saya, dan cuba membelinya, namun beliau tidak dapat harga yang murah kerana sudah kehabisan kuota. Namun beliau sanggup membeli juga dengan tambahan wang. Jadilah kami rakan sepengambara.

(Beliau kemudian mengikut saya dan dua lagi sahabat kembara saya ke kembara pendek ke Yangon, Myanmar pada bulan Ogos 2015).




Di atas adalah peta Delta Sungai Mutiara (Pearl River di dalam Bahasa Inggeris atau Zhujiang (珠江) dalam Bahasa Cina loghat Mandarin  di mana terletaknya Macau, Hong Kong, Shenzhen dan Guangzhou yang akan kami lawati nanti. Macau dan Hong Kong merupakan dua Wilayah Pentadbiran Khas (Special Administration Region (SAR)) negara China yang mana walaupun kedua-duanya merupakan sebahagian daripada negara China, namun kedua-dua wilayah ini mempunyai kuasa autonomi yang agak besar, di mana kedua-duanya mentadbir semua urusan termasuk urusan imigresen tetapi kuasa pertahanan dan hal ehwal luar negara ditadbir oleh kerajaan pusat negara China di Beijing.


Shenzhen dan Guangzhou merupakan dua bandaraya di dalam wilayah Guangdong di mana Guangzhou merupakan ibu kotanya. Guangzhou merupakan bandaraya yang sudah agak lama, sehinggakan ia menjadi tempat persemadian sahabat Rasullah SAW, Saad bin Abi Waqas yang meninggal dunia di sini. Shenzhen pun bandar yang agak muda, di mana pada akhir dekat 1970an, ia masih sebuah kampung tetapi kini, ia menjadi pusat bandaraya yang menempatkan kira-kira lebih 10 juta orang!


Kesemua penduduk di tempat-tempat ini kecuali Shenzhen menggunakan bahasa Cina loghat Kantonis (keluarga loghat Yue) yang merupakan bahasa ibunda bagi wilayah selatan China seperti Guangdong dan Guangxi. Cuma Shenzhen, lingua francanya adalah bahasa Cina loghat Mandarin iaitu bahasa kebangsaan negara China, kerana kebanyakan penduduknya adalah pendatang dari serata pelusuk negara China.



Passport/Wallet iOS untuk Hotels.com bagi tempahan di New China Guest House, Kowloon, Hong Kong.

Pada 14 September 2015, saya telah menempah penginapan di Hong Kong melalui laman web Hotels.com di New China Guest House yang terletak di Kowloon atau lebih tepat di kawasan Chungking Mansion, tempat yang strategik dan popular di kalangan backpackers di Hong Kong. Harga semalam adalah lebih kurang RM121, dan saya menempah tiga malam dan setiap malam dua bilik (untuk Pak Din dan isteri), menjadikan jumlah bayaran adalah RM726 (RM121 x 3 malam x 2 bilik).



Passport/Wallet iOS untuk Hotels.com bagi tempahan di Guangzhou Taisheng Hotel, Guangzhou, China.

Selepas itu, saya menempah pula penginapan di Guangzhou di laman web yang sama. Saya memilih hotel Guangzhou Taisheng Hotel, yang agak dekat dengan Jalan Beijing di Guangzhou. Harganya agak murah iaitu RMB* 130 atau RM89 bagi setiap bilik setiap malam, pada masa tersebut. Namun pembayaran adalah di kaunter, pihak Hotels.com tidak mengecaj pada masa tersebut. Jadi jika mengikut kadar pertukaran asing yang diberikan pada masa itu, jumlahnya adalah RM356 (RM89 x 2 malam x 2 bilik). Harap-harap nilai matawang ringgit terhadap RMB tidak jatuh lagilah.

*(RMB (Renminbi) atau Yuan China (CNY atau CN¥ atau ¥) adalah matawang China).



Kad Perniagaan pengurup wang  S&S Multimax Trade Sdn Bhd.

Kaunter pengurup wang pengurup wang  S&S Multimax Trade Sdn Bhd.

Pada 17 September 2015, sewaktu saya berjalan-jalan di Wangsa Walk Mall, saya ternampak sebuah pengurup wang di situ iaitu S&S Multimax Trade Sdn Bhd. Kadarnya lebih kurang, malah terdapat matawang lebih rendah jika dibeli di sini. Cuma tidak banyak saya tukar cuma HK$1100 dan MOP$2100 sahaja di situ.

1(HK$ = Dollar Hong Kong (HKD) adalah matawang Hong Kong).

2(MOP$ = Pataca Macau (MOP) adalah matawang Macau).

Selain itu, saya ada menukar di pengurup-pengurup wang biasa di Masjid India. Saya tidak ke Ampang Park kerana stok wang kecil HK$ (HK$100 ke bawah) tiada di situ pada masa itu. Cuma yang ada stok HK$200 ke atas. MOP$ memang tiada terus. Jadi saya tumpu penukaran di kawasan Masjid India. Di bawah antara dominasi-dominasi HK$, MOP$ dan RMB yang saya dapat semasa tukaran-tukaran wang tersebut.


Untuk pengetahuan, matawang kertas MOP$ ini dikeluarkan oleh dua buah bank perdagangan utama di Macau iaitu Bank of China (BoC) (sebuah bank dari China) dan Banco Nacional Ultramarino (BNU) (sebuah bank dari Portugal yang sudah lama bertapak di Macau), dengan kebenaran dan dilesenkan oleh kerajaan Macau SAR.


MOP$10 (BoC (2008-semasa)) = +- RM6.00


MOP$20 (BoC (2003-lama)) = +- RM12.00



MOP$20 (BoC (2008-semasa)) = +- RM12.00


MOP$20 (BNU (versi 2005 cetakan 2010-semasa)) = +- RM12.00

MOP$100 (BoC (2008-semasa)) = +- RM60.00


Namun saya terkejut melihat nilai MOP$ tidak sama di antara pengurup-pengurup wang. Ada yang menjual MOP$100 pada harga RM45.00, kira murah kalau nak banding harga semasa (secara nominal MOP$ lebih rendah 3% dari HK$, bermakna jika nilai jualan HK$100 oleh peniaga adalah RM56.00, bermakna nilai jualan MOP$ oleh peniaga dalam RM54.50). Namun ada juga yang menjual pada harga RM57.50! Saya dah tercakap nak beli, maka terbelilah saya. 

Saya kira pengurup wang tersebut mark up 6% atas matawang yang sukar diperolehi sebagai mana yang saya lihat pada Lira Turki (TRY atau TL) yang mana biasanya saya lihat kadar berlainan antara pengurup wang, sehingga beza RM1 bagi TL1! Jadi lepas ni saya tukar di Macau sahajalah bagi MOP$. Hendak beli yang jual RM45, stok dah habis pula. Kena beli di Macau sahajalah.

Bagi Hong Kong pula, kerajaan Hong Kong SAR telah menganugerahkan dan melesenkan tiga buah bank perdagangan utama Hong Kong untuk mencetak matawang bagi HK$20, HK$50, HK$100, HK$500 dan HK$1000, iaitu Bank of China (Hong Kong) (BoC (HK)) (anak syarikat BoC di Hong Kong), Hongkong and Shanghai Banking Corporation (HSBC) (sebuah bank antarabangsa berpusat di London, United Kingdom) dan Standard Chartered Bank (SCB) (juga sebuah bank antarabangsa berpusat di London, United Kingdom). Bagi dominasi HK$10 pula, kerajaan Hong Kong SAR melalui Perbendaharaan (Treasury) sendiri mencetak dominasi tersebut.

 HK$ 10 (2007-semasa) = +- RM6.00

 HK$ 20 (HSBC (versi 2003 cetakan 2008-lama)) = +- RM12.00


HK$ 20 (HSBC (versi & cetakan 2010-semasa)) = +- RM12.00


HK$ 50 (HSBC (versi 2003 cetakan 2007-lama)) = +- RM30.00

HK$ 100 (HSBC (versi 2003 cetakan 2006-lama)) = +- RM60.00

HK$ 100 (HSBC versi 2010 cetakan 2014-semasa)) = +- RM60.00

HK$ 100 (BoC (HK)) (versi 2012 cetakan 2014-semasa)) = +- RM60.00



Yuan China (CNY) atau juga dikenali sebagai Renmenbi (RMB) dikeluarkan oleh kerajaan China oleh Bank Rakyat Negara China (People's Bank of China中国人民银行 (Zhongguo Renmin Yinhang (pinyin))) yang merupakan bank pusat negara China.

1 jiao (2008) = +- RM0.07

5 jiao (2013) = +- RM0.35

RMB1 (syiling-2006) = +- RM0.70

 RMB1 (kertas-1999) = +- RM0.70


RMB5 (2005) = +- RM3.50



RMB10 (1999) = +- RM7.00


RMB10 (2005) = +- RM7.00


RMB20 (2005) = +- RM14.00


RMB50 (2005) = +- RM35.00


RMB100 (2005) = +- RM70.00

Beberapa duit-duit syiling dan kertas RMB ini sebenarnya adalah koleksi saya setelah pulang dari Beijing (Mac 2003) dan Shanghai (November 2013 iaitu setelah pulang dari menunaikan haji di tanah suci Makkah dan Madinah) disamping dari pertukaran wang untuk kembara kali ini.

Untuk perjalanan feri dari Macau ke Hong Kong terdapat dua syarikat yang memberikan perkhidmatan iaitu TurboJet dan Cotai Water Jet. Di Macau terdapat dua buah pelabuhan yang boleh dipilih untuk berlepas iaitu Terminal Feri Pelabuhan Luar Macau (Outer Harbour Ferry Teminal) dan Terminal Feri Taipa. Manakala di Hong Kong, terdapat dua pelabuhan iaitu Terminal Feri Hong Kong - Macau di Sheung Wan di bahagian pulau Hong Kong dan Terminal Feri Hong Kong China di Kowloon (sebelah semenanjung tanah besar) selain pelabuhan Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong yang juga terdapat perkhidmatan dari/ke Macau. Selain itu, saya membaca laman web Lapangan Terbang Antarabangsa Macau untuk mengetahui perkhidmatan yang disediakan.




Pengesahan Tempahan Feri TurboJet.

Pada 27 September 2015, saya telah menempah tiket feri dari Terminal Feri Pelabuhan Luar Macau ke Terminal Feri Kowloon dengan TurboJet. Ini kerana kami tidak tahu keadaan di sana, risau tidak dapat tiket. Dengan harga HK$153/orang/hala (+- RM87.54 pada 27 September 2015), ia agak berpatutan. Lagipun Terminal Feri Pelabuhan Luar yang terletak di Semenanjung Macau lebih dekat dengan kawasan Senado Square dan Terminal Feri Kowloon lebih dekat dengan penginapan kami di Hong Kong.


Untuk perjalanan keretapi di negeri China pula, yang mana seperti kebiasaan, saya akan melayari laman web The Man In Seat Sixty One (Seat61.com) yang sentiasa menjadi rujukan saya bagi perjalanan keretapi seluruh dunia. Asalnya, saya ingin menempah secara online namun cajnya agak mahal dari US$5 ke US$15 (+- RM20.00 ke RM60.00) per orang per tiket per perjalanan. Agak mahal. Jadi saya bercadang beli di sana.


Saya merangka untuk menaiki keretapi biasa dari Shenzhen ke Guangzhou sebagai pilihan utama, namun jika tidak dapat keretapi tersebut, kami boleh sahaja menaiki laju yang mahal sikit. Walaupun mahal, namun perkhidmatan keretapi laju di China masih murah berbanding negara lain seperti Jepun, Korea atau negara-negara Eropah. Jadi jika teringin menaiki keretapi laju, boleh ke China. Untuk perjalanan dari Guangzhou ke Zhuhai iaitu bandar sempadan dengan Macau, sudah tertentu perkhidmatan keretapi laju China menjadi pilihan kerana Stesen Keretapi Zhuhai Gongbei hanya beberapa minit berjalan kaki ke pintu sempadan China-Macau di Gongbei (China) - Portas de Cerco (Macau). Jadual perjalanan keretapi di China boleh didapati di laman web ChinaTrainGuide.



Borang Pesanan Keretapi China bagi keretapi konvensional.


Borang Pesanan Keretapi China bagi keretapi laju.

Melalui laman Seat61.com, saya mendapat contoh satu borang bagi memesan tiket keretapi di China, kerana saya pernah menghadapi kesukaran untuk membeli tiket semasa percutian saya bersama keluarga ke Shanghai dan Suzhou pada November 2013 lepas, kerana saya hanya boleh berkomunikasi dengan bahasa Mandarin yang asas sangat, tidak faham jika orang negara China bercakap laju (biasanya) dan berloghat yang pekat.



Sijil Perlindungan International World Traveller Care Takaful eTiQa Takaful.

Pada 07 Oktober 2015, saya telah membeli International World Traveller Care Takaful dari eTiQa Takaful, di mana saya mengambil plan Platinum bagi pasangan (suami isteri) untuk perjalanan 6 hingga 10 hari ke zon 2 iaitu negara-negara Asia yang terpilih (kebanyakan negara Asia termasuk Macau, Hong Kong dan China) berharga RM116.50 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Ada pilihan lebih murah iaitu plan Perak yang berharga RM68.50 dan plan Emas berharga RM80.50, tetapi saya memilih plan Platinum kerana perlindungannya lebih baik. Kalau berjalan dengan pasangan atau keluarga, lebih baik ambil pakej pasangan atau keluarga kerana ia lebih murah dengan perlindungan yang sama. Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain. Ini bagi persediaan jika berlaku apa-apa diluar jangka, sekurang-kurangnya ada "kusyen".


Macau dan Hong Kong tidak memerlukan kita memohon visa untuk memasuki negaranya. Jika melawat ke laman web Pasukan Polis Keselamatan Awam Macau, agensi yang bertanggungjawab terhadap terhadap urusan imigresen Macau, Malaysia antara di dalam senarai negara yang tidak perlu visa sehingga 30 hari bagi setiap kemasukan. Di dalam laman web Jabatan Imigresen Hong Kong SAR, pemegang pasport Malaysia tidak perlu visa sehingga 90 hari bagi setiap kemasukan. Jadi, tidak perlu risau pasal visa, jika ke dua-dua wilayah ini.

Contoh Visa China.

Tetapi untuk memasuki ke negara China, visa adalah diperlukan (maklumat menerusi laman web kerajaan pusat China). Jadi saya ke Pusat Perkhidmatan Permohonan Visa China di Kuala Lumpur di bangunan Tingkat 5, Hampshire Place, Jalan Mayang Sari off Jalan Ampang/Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 08 Oktober 2015 (Khamis) untuk memohon visa untuk masuk ke negara China untuk kami semua. Proses permohonan agak mudah. Setelah memohon, pulang, dan empat hari bekerja kemudian iaitu pada 13 Oktober 2015 (Selasa), pergi ambil nombor untuk pengambilan pasport di tingkat 6 pula, tunggu nombor dipanggil, buat bayaran dan pasport beserta visa sudah sedia. Untuk tahu lebih lanjut boleh rujuk artikel blog KembaraGD ini mengenai Petua - Permohonan Visa China di Kuala Lumpur.


E-mel saya ke Perwakilan Malaysia.

Saya menghantar e-mel kepada Kedutaan Malaysia di BeijingKonsulat General Malaysia di Guangzhou dan juga kepada Konsulat General Malaysia di Hong Kong untuk memaklumkan kehadiran kami di sana. Saya juga melengkapkan maklumat kami di dalam sistem eKonsular. Semua ini bagi memudahkan pentadbiran pihak kedutaan/konsular dan Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri Malaysia), jika ada sebarang perkara yang berkaitan, terutama jika berlaku perkara luar jangkaan. Ia juga akan memudahkan kita juga.


Saya ada Google, untuk mengetahui kad SIM prabayar di sana, kerana biasanya kad prabayar ini lebih murah dari penggunaan perayauan antarabangsa (international roaming) oleh syarikat telekomunikasi negara kita, mengikut pengalaman sayalah. Ini penting bukan kerana data sahaja, tetapi untuk mudah bagi kita menghubungi orang lain, terutama jika kita bukan pergi secara solo/berseorangan. Contohnya jika rakan kita sesat, bolehlah dia menghubungi kita. Jadi penggunaan nombor telefon tempatan amat menjimatkan, malah pernah dalam pengalaman saya dalam menggunakan khidmat perayauan antarabangsa, harga panggilan cuma dalam 10 saat (tidak kira memanggil atau menerima), dicaj RM5.00 lebih, membolehkan kita membeli kad SIM prabayar negara itu (kes ini di Thailand).


Jadi di Macau, terdapat 3 syarikat telekomunikasi selular iaitu: CTM, 3 Macau dan SmarTone Macau. Manakala Hong Kong pula terdapat 4 penyedia perkhidmatan iaitu: csl, 3 HK, SmarTone HK dan Chine Mobile (HK). Bagi negara China pula terdapat tiga iaitu China Telecom, China Mobile dan China Unicom. Setiapnya mempunyai syarikat penyedia perkhidmatannya tersendiri. Maklumlah Hong Kong dan Macau, kedua-duanya adalah Wilayah Pentadbiran Khas. Jadi boleh lantik sendiri untuk kegiatan di dalam wilayah masing-masing, walaupun di dalam China juga. Jenuh juga tu nak cari produk yang sesuai.



Laman web i-Sim dan promosi terkini.

Tetapi saya terjumpa link untuk syarikat i-Sim Hong Kong. i-Sim ini yang mana pakejnya lebih murah, sebenarnya percuma pun. Hanya dengan memuat turun aplikasinya di telefon pintar, kemudian di Hong Kong nanti cuma klik sahaja iklan di aplikasi, kita akan boleh mendapat kredit darinya yang boleh digunakan untuk penggunaan suara, sms atau data. Amat berbaloi. Tapi hanya pakai di Hong Kong sahaja untuk suara, sms dan data dan di China untuk suara. Kad SIM ini pun hanya sah 7 hari dari tarikh pengaktifan. Cuma perlu cari (boleh rujuk laman webnya) di tempat pengambilan kad SIM percuma ini.


Kemudian terdapat promosi dari i-Sim dimana dengan menjadi ahli dengan membayar cuma HK$98 (+- RM56) setahun, di mana akan dapat 6 kad SIM percuma dalam setahun dengan pakej data tanpa had di Hong Kong, Macau dan Taiwan, panggilan suara tempatan dan sms tempatan di Hong Kong dan Macau, semua dengan PERCUMA, serta dengan sedikit bayaran untuk Taiwan dan China. Dalam masa promosi juga, untuk 2000 kad pertama, akan dihantar ke rumah atau pejabat tidak kira di Hong Kong atau luar Hong Kong, dengan percuma. Saya pun melanggan perkhidmatan ini. Lagipun sesuai untuk guna ini bersama isteri dan rakan sepengembara. Sekurang-kurangnya sudah boleh dipakai awal-awal lagi di Macau.



Kad SIM i-Sim (HK-TW-MO)

Pada 19 Oktober 2015, saya menerima pos daripada Hong Kong. Bermakna saya telah menerima tiga pek kad SIM i-Sim (HK-TW-MO) daripada i-Sim. Alhamdulillah. Agak cepat juga penghantarannya. Sempat juga saya menerimanya sebelum kami berangkat. Ingatkan tidak sempat. Kad SIMnya pun terdapat dalam bentuk SIM biasa (Mini), SIM Mikro dan SIM Nano.


Pas pelepasan bagi penerbangan AK182 (web).


Pada 26 Oktober 2015, saya pun mendaftar masuk penerbangan secara web di laman web AirAsia untuk penerbangan ke Macau bagi semua kami. Tuan Zainudin pun sudah memberikan itinerari penerbangan kepada saya awal-awal lagi. Jadi daftarkan untuknya dan isterinya sekali.


Pas pelepasan bagi penerbangan AK187 (web).

Kemudian untuk penerbangan pulang ke klia2 pula, saya mendaftar masuk penerbangan secara web bagi semua kami, pada malam 31 Oktober 2015, setelah kepenatan, kerana hampir seharian di sekitar Kuala Lumpur, menjadi peserta kepada pertandingan mencari harta karun (Backpackers' Hunt) sempena program Backpackers' Day anjuran pelajar-pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM).



Sambil-sambil menunggu hari hendak pergi, saya pun membuat beberapa kajian di laman-laman web berkaitan, blog-blog dan memuat turun beberapa aplikasi iPhone di App Store Apple. Antara yang penting adalah aplikasi bahasa Kantonis, feri Macau - Hong Kong, sistem tren MTR Hong Kong dan lain-lain, agar dapat digunakan di sana nanti. 

Alhamdulillah, selesai juga persediaan untuk ke Macau - Hong Kong - Wilayah Guangdong, China ini. Harap-harap tiadalah yang terkurang. Harapannya juga agar perjalanan kami semuanya berjalan lancar. Insya Allah.

Bersambung ke Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part); 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 Part 1; 
  • Day 2 Part 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6 & 7.

Tiada ulasan: