Memaparkan catatan dengan label 29 November 2015 - Klang Selangor Malaysia - Bas Selangorku Klang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 29 November 2015 - Klang Selangor Malaysia - Bas Selangorku Klang. Papar semua catatan

Isnin, 21 Disember 2015

Klang, Selangor, Malaysia - 29 November 2015 - Bas Percuma Bas Selangorku Klang (MPKlang).

Click here if want to read in English version.

Jika sebelum ini, saya ada membuat tulisan mengenai perkhidmatan bas percuma GoKL di Kuala Lumpur dan PJ City Bus di Petaling Jaya, kali ini saya akan berkongsi pengalaman menaiki satu lagi perkhidmatan bas percuma di Lembah Klang iaitu Bas Selangorku Klang. Untuk maklumat lanjut pengenai perkhidmatan ini, boleh melayari laman web Bas Selangorku Klang  di laman web rasmi Majlis Perbandaran Klang (MPKlang).

Bas Selangorku Klang.

Perkhidmatan bas percuma ini telah dimulakan mulai 01 Julai 2015 dan beroperasi di tempat-tempat utama di bandar Klang. Perkhidmatan sama juga dilancarkan pada tarikh yang sama di bandaraya Shah Alam dan perbandaran Subang Jaya, insya Allah, saya akan buat liputan dalam masa terdekat.

Stesen Bas Bandar Klang.

Bas Selangorku Klang.

Perhentian pertama dan utama bagi perkhidmatan bas ini adalah di Wisma Hafiz yang berhadapan dengan stesen bas Bandar Klang. Ia akan melalui 12 buah lokasi di sekitar bandar Klang. Perkhidmatan bas ini beroperasi dari pukul 6:00 pagi hingga 10:00 malam dan berkerapan setiap 15 minit. Laluan pertama Bas Selangorku Klang ini menggunakan nombor KLG1.

Laluan bas ini boleh rujuk di bawah:

Laluan Bas Selangorku Klang.

1. Wisma Hafiz;
2. Stesen Keretapi Klang;
3. Kompleks Mahkamah Klang;
4. Padang Sultan Suleiman;
5. SK Sri Istana;
6. SMK Convent;
7. Pejabat Syabas Klang;
8. Pejabat Jabatan Agama Islam Selangor Klang;
9. Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Klang;
10. Hotel Goldcourse;
11. SRJK (C) Pin Hwa Klang;
12. Sekolah Tinggi Klang;
dan kembali ke Wisma Hafiz.

(Kemaskini pada 08 Februari 2017: Mulai 15 April 2016, laluan Bas Selangorku Klang yang kini dikenali sebagai Bas SMART Selangor Klang telah diubah sedikit laluannya (berdasarkan makluman di dalam laman web MPK), dengan kini tidak melalui kawasan bandar, sebaliknya banyak meliputi kawasa Klang Selatan. Laluan barunya adalah seperti gambar di bawah ini:


Laluan Baru Bas SMART Selangor Klang (mulai 15 April 2016)

Setiap perhentian bas bagi perkhidmatan bas ini, terdapat tiang yang mempunyai papan tanda laluan Bas Selangorku Klang ini. Namun hanya tiang ini sahaja yang ada bagi kebanyakan 11 buah perhentian bas. Jika ada pondok pun adalah pondok bas sedia ada. Terdapat juga, pondok bas baru dibina tetapi umpama melepaskan batok di tangga sahaja. Ini berbeza dengan di Petaling Jaya. Saya percaya dalam masa terdekat, pihak MPKlang akan membina lebih banyak lagi pondok bas, harapannya.

Tiang perhentian bas bagi Bas Selangorku Klang.

Bas Selangorku Klang bersedia untuk bergerak.

Peta laluan bas Bas Selangorku Klang di dalam bas.

Saya dan keluarga saya menaiki bas ini pada 29 November 2015 (Ahad) lepas, setelah menziarah saudara kami di Klang. Kami menaikinya mulai pukul 11:30 pagi. Bas yang digunakan adalah daripada pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), maka memang samalah dengan sebahagian armada RapidKL Bus dan juga PJ City Bus.

Keadaan di dalam Bas Selangorku Klang dari depan.

Keadaan di dalam Bas Selangorku Klang dari belakang.

Di dalam bas ini juga terdapat liputan WiFi percuma. Didapati sepanjang perjalanan, WiFi ini agak baik kelajuannya dan jarang putus-putus. Ini kerana perjalanan bas ini sepenuhnya melalui bandar Klang.

Terdapat TV kecil di hadapan Bas Selangorku Klang.

Perjalanan kami ini, kami dapat melihat beberapa kawasan yang jarang kami lalui seperti kawasan Istana Alam Shah. Jarak perjalanan bagi perkhidmatan ini agak pendek berbanding keempat-empat laluan GoKL dan dua laluan PJ City Bus. Cuma ia terpaksa melalui kesesakan di Bulatan Simpang Lima dan di atas Jambatan Kota.

Secara amnya, perkhidmatan ini amat wajar cuma terdapat beberapa perkara perlu diperbaiki seperti prasarana di perhentian-perhentiannya terutama di Wisma Hamzah perlulah dinaik taraf. Selain itu, perlu ada perkhidmatan ke tempat utama lain seperti ke Terminal Bas Ekspres di Klang Sentral, Meru atau ke kawasan Bukit Tinggi atau Pelabuhan Klang. Namun apa yang dibuat oleh pihak MPKlang dan kerajaan negeri Selangor ini merupakan langkah awal dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk warga Klang /Selangor khususnya dan rakyat Malaysia amnya. Ia juga mungkin dapat menjadi daya penarik kepada pelancong/pengembara untuk menjelajahi Bandar DiRaja Selangor ini.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.