Monday, April 11, 2016

Hari 5 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - 작별 인사 대한민국 (Jagbyeol Insa Daehan Mingug (Selamat Tinggal Korea Selatan)).

Bersambung dari Hari 4.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5 (this part). 

Saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Hari 5 (10 Mac 2016 - Khamis).

Oleh kerana hari ini merupakan hari terakhir kami di bumi Seoul, Korea Selatan, maka pagi ini kami bersenang-senangan dan tidak tergesa-gesa untuk keluar dari penginapan kami. Pada pagi ini, kami mengadakan jamuan untuk menghabiskan bekalan makanan dan minuman kami. Lagipun perancangan kami, kami hanya akan makan di atas pesawat pada pukul 6:00 petang. Jadi kena isi perut untuk tempoh begitu lama.


Saya dalam perjalanan dari penginapan ke stesen metro di Jalan Eujiro 3(sam)-ga.

Kami meninggalkan penginapan pada pukul 10:30 pagi dengan hanya meninggalkan kunci di atas kaunter kerana staf bertugas tiada di kaunternya. Lagipun penginapan kami memag sudah dibayar awal-awal lagi. Kami ke lapangan terbang dengan menaiki Metro Seoul sebagaimana kami datang, cuma arah yang berlawanan. Oleh kerana waktu ini bukan lagi masa puncak, maka perjalanan kami agak lancar. Akhirnya pada hampir pukul 1:00 tengahari, kami pun tiba di Stesen Tren A'Rex Lapangan Terbang Incheon (ICN). Jadi, mendengarlah kami buat kali terakhir lagu kegemaran kami yang selalu dimainkan di platform setiap kali tran Metro Seoul hendak tiba di setiap stesen.


Lagu menandakan ketibaan tren Metro Seoul.



Peta: Perjalanan dari penginapan ke ICN.

Kami keluar melalui pintu keretapi ekspres A'Rex.

Ketika keluar, baru kami perasan bahawa kami keluar melalui pintu perkhidmatan ekspres A'Rex ini. Mungkin kerana gerabak kami antara gerabak ke hadapan. Dalam setelah selesai menyentuh kad T-Money pada pintu keluar, saya yang agak terakhir keluar, bertanya kepada semua kawan-kawan, semua sudah berada di situ kah? Rupa-rupanya, salah seorang kami masih tertinggal di dalam kawasan berbayar kerana baki kad T-Moneynya tidak mencukupi untuk membayar tambang. Nasib baik berdekatan dengan pintu keluar ituy terdapat mesin tambah nilai. Jadi ditambah nilai kad T-Moneynya dan dapatlah dia keluar dari kawasan berbayar.

Saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Oleh kerana kad T-Money saya dan beberapa orang kawan-kawan sepengembara masih berbaki lagi, maka kami ke 7-Eleven yang berada tidak jauh dari pintu masuk A'Rex ini (sila ikut tanda arah) untuk menghabiskan baki kad kami. Sebenarnya kad ini boleh ditebus nilai bakinya, namun saya pilih untuk membeli barang di 7-Eleven bagi menghabiskan nilai kad tersebut. Kalau tebus kembali dan dapat wang, kad tersebut tidak dapat kembali, jadi kalau kita habiskan nilai dalam kad, maka kita dapat simpan kad itu. Jadi dapatlah beli susu pisang dan kimbab salmon untuk kudapan.

Sebuah kereta mewah keluaran KIA yang dipamerkan di Balai Berlepas ICN.

Sebuah kereta mewah keluaran Genesis (jenawa mewah KIA) 
yang dipamerkan di Balai Berlepas ICN.

Seterusnya kami meneruskan perjalanan ke balai berlepas ICN ini untuk proses bag drop kerana kami telah mendaftar masuk melalui laman sesawang AirAsia. Kaunter daftar masuk bagi AirAsiaX adalah di barisan D dari kaunter D9 ke D16. Jadi berjalanlah kami di balai berlepas ini. Agak besar juga dan ramai orang di balai berlepas ICN ini. Sambil-sambil itu ada pameran kereta terkini, jadi tidak dapat beli ambil gambar pun jadilah. 

Mesin penimbang bagasi di beberapa lokasi di Balai Berlepas ICN.

Untuk kepastian dengan berat beg kita, terdapat beberapa lokasi terutama di setiap barisan biasa sebelum memasuki kaunter, akan terdapat mesin penimbang digital. Jadi kita boleh gunakan beg ini untuk tahu tibangan berat beg kita.

Asalnya kami hendak terus mendaftar masuk, tetapi saya lupa yang masa berlepas bagi penerbangan kami telah dianjak lebih lewat sedikit. Sepatutnya akan berlepas pada pukul 2:45 petang dilewatkan sejam. Jadi pada waktu kami sampai itu kalau itu masa asal, memang sudah buka kaunter daftar masuk, rupanya belum buka lagi kerana kaunter daftar masuk hanya akan buka tiga jam sebelum berlepas serta akan tutup sejam sebelum berlepas. Alah kami hanya tunggu lagi dua puluh minit sahaja.

Pas pelepasan AirAsia X.


Sahabat saya yang seorang ini, Mahathir dengan sukarela beratur bagi pihak kami, dan apabila kaunter dibuka, kami pun mendaftar masuk. Saya memberikan itinerari penerbangan sahaja bukan pas pelepasan yang patut dicetak dari laman web, kerana saya hendak dapatkan pas pelepasan yang dicetak di kaunter. Beg yang didaftar masuk kami letakan di tempat daftar masuk beg. Kemudian setelah selesai, beg yang kami bawa masuk sendiri ke dalam kapal terbang (cabin luggage) pula ditimbang agar tidak melebih had (7 kilogram) yang ditetapkan pihak AirAsiaX. Alhamdulillah, semuanya selesai tanpa sedikit masalah. 

Cuma dikalangan kami, terdapat nama yang agak panjang sehingga terdapat beberapa huruf tidak masuk di dalam pas pelepasan (seperti nama saya). Jadi huruf-huruf tersebut perlu bertulis tangan. Seterusnya, kami dikehendaki ke kaunter D16 untuk mendapat pengesahan bagi penambahan huruf tersebut. Tiada pengesahan ini, kita tidak akan boleh untuk memasuki ke kawasan airside seterusnya untuk berlepas dengan pesawat kita. 

Kaunter Kastam Republik Korea untuk pengesahan resit bagi penebusan semula cukai.

Usai proses mendaftar masuk penerbangan, saya mengikut Mahathir nuntuk mengetahui cara untuk menebus semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang telah dibayar. Jadi kita perlu membuat pengesahan resit yang didapati kita di kaunter Kastam Republik Korea.

Kioks untuk mengimbas resit-resit untuk ditebus cukai.

Selepas itu, kita perlu ke kiosk-kiosk untuk mengimbas resit-resit tersebut. Kiosk-kiosk tersebut biasanya terletak dekat dengan kaunter kastam. Jika malas hendak mengimbas di sini, boleh imbas di kiosk yang sama di kaunter pengembalian cukai di dalam kawasan airside. Selepas mengimbas, kita perlu simpan resit itu lagi untuk rujukan jika berlaku apa-apa, dan kita akan diberikan resit untuk dimbas semula di kaunter/mesin pengembalian cukai untuk mendapat wang tunai atau dikreditkan ke dalam akaun kad kredit/debit atau akaun bank, mana yang sesuai. Kaunter/mesin pengembalian cukai ini terletak berdekatan pintu berlepas 24 dan 41 di dalam kawasan airside.



Pelan kedudukan kaunter penebusan cukai GST 
di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.


Setelah semua selesai, kami pun masuk ke kawasan airside, dengan membuat pemeriksaan keselamatan dan prosedur imigresen. Pada pemeriksaan keselamatan, di ICN ini agak ketat, selain perlu pastikan tiada cecair melebihi 100 mililiter dan barangan berasaskan besi diimbas dengan mesin pengimbas x-ray, jika kita mempunyai peralatan elektronik seperti komputer riba, telefon, pemain MP3 dan sebagainya juga perlu diimbas. Setelah itu, kita perlu beratur yang agak panjang juga, mengikut masa juga, macam kami memang ramai kerana masa kami di situ banyak penerbangan keluar. Namun setelah tiba di kaunter, urusannya sekejap sahaja. Sempat juga saya bergurau dengan pegawai imigresen yang memeriksa pasport saya. Siap kata, "Don't forget to come back to Korea, Song Hye-kyo will wait for you. (Jangan lupa kembali semula ke Korea, Song Hye-kyo akan menunggu kamu.)", macam tahu pula saya minat pelakon wanita Korea itu.


Cop keluar imigresen Republik Korea (Korea Selatan).

Kaunter penebusan cukai berhampiran pintu pelepasan 24 ICN.

Selepas keluar dari pemeriksaan imigresen, saya dan Mahathir pergi ke kaunter penebusan cukai berhampiran dengan pintu pelepasan 24 kerana itu paling dekat. Sampai di sana, Mahathir terus ke mesin pengimbas yang mengimbas resit yang diberikan di mesin pengimbas resit tadi, dan wang pun keluar dari ruang khas di mesin tersebut. Setelah itu, satu lagi resit yang menyatakan jumlah wang diperolehi dikeluarkan.

Resit penebusan cukai.

Selesai urusan penebusan cukai, kami semua berkumpul semula dan kemudian bergerak menuju ke platform untuk menaiki keretapi ke bangunan Concourse kerana pintu pelepasan kami adalah di pintu 110. Masa kami tiba di platform, pintu keretapi berbunyi menandakan ia hendak ditutup. Lalu kami berlari dan hanya saya sahaja dapat memasuki tren. Maka tinggallah yang lain di platform. Sampai di bangunan Concourse saya, menunggu mereka namun tidak sampai lagi, lalu saya melawat kedai-kedai bebas cukai di situ. Selepas itu kembali semula ke tempat saya menunggu tadi, tapi masih tidak jumpa mereka, jadi saya ambil keputusan untuk ke pintu pelepasan 110. Di situ saya sempat menunaikan solat kerana ruang menunggu agak besar. Saya guna spray sahaja untuk berwuduk.


Medan selera Food Empire (sayap barat) bangunan Concourse ICN.

Usai solat, saya memeriksa telefon bimbit saya untuk melihat apa yang patut. Di ICN ini mempunyai WiFi yang penggunaannya tanpa had. Ia juga mempunyai kelajuan yang amat pantas. Rupa-rupanya kawan-kawan saya pergi ke medan selera Food Empire di sayap barat (iaitu jika dari eskalor/tangga dari platform keretapi pengantara tadi, perlu ambil kanan, pintu pelepasan 110 pula ke arah kiri iaitu sayap timur). Mulanya saya keliru juga, kerana sebelah sayap timur ada juga medan selera Food Empire tapi tiada mereka, lalu saya ke sebelah sayap barat pula.


Kaunter pembayaran medan selera Food Empire.

Rupanya medan selera Food Empire sebelah barat ini mempunyai gerai makanan halal yang bernama Nimat. Kawan-kawan saya iaitu Fairuz dan Kamal membelanja saya kerana saya memang sudah tiada duit won. Di sini sudah tidak boleh pakai T-Money pun, kalau hendak pakai pun bukan ada baki. Kawan-kawan semua sudah makan, malah Fairuz hendak ke pintu 110 kerana hendak solat. Mereka sudah makan set nasi dengan kari kambing, tapi mereka kata agak pedas, jadi saya ke kaunter pembayaran dahulu untuk memesan makanan.

Alat pemberitahuan pesanan sudah sedia dan resit medan selera Food Empire.

Gerai makanan halal Nimat di medan selera Food Empire (sayap timur) bangunan Concourse ICN.

Saya memesan segulung kimbab daging Bulgogi dan segulung kimbab ayam pedas yang yang mahal sikit berharga  ₩10 500 (+- RM36.80) sahaja berbanding set nasi kari kambing yang mereka makan berharga hanya ₩9500 (+- RM33.30). Tapi yang penting dapat bantu mereka hilangkan pedas. Menariknya, selepas membayar, kita akan menerima sebuah alat pemberitahuan pesanan sudah sedia, dimana alat ini akan berbunyi apabila pesanan kita sudah sedia.

Kimbab Ayam pedas dan kimbab daging Bulgogi.

Sambil-sambil makan, dapat saya melihat koleksi wang syiling Korea Selatan yang saya perolehi sepanjang perjalanan saya di Korea Selatan ini.


₩10 = +- RM0.04

₩50 = +- RM0.18

₩10 (lama - 1973)= +- RM0.35

₩10 = +- RM0.35

₩50 = +- RM1.75

Pesawat 9M-XXV AirAsia X di parkir 110 ICN.

Selepas selesai makan, kami semua ke pintu pelepasan 110 untuk menunggu penerbangan kami. Ketika kami sampai kapal terbang sudah sampai. Dalam tempoh lima belas minit kemudian, petugas yang menjaga pintu membuka pintu pelepasan untuk kami menaiki pesawat 9M-XXV milik AirAsiaX untuk bersedia untuk membawa kami ke Malausia dengan penerbangan D7 505.


Pas pelepasan (bahagian simpanan penumpang).


Akhirnya pada pukul 3:50 petang, pesawat ini bergerak meninggalkan bangunan concourse ICN untuk berlepas ke destinasinya, klia2. Jadi saya meninggalkan bumi Korea Selatan ini. Insya Allah saya akan kembali lagi. 대한민국, 사랑해! (Daehan Mingguk, saranghae! (Korea Selatan, aku cinta padamu!)), huhuhu.


Peta laluan penerbangan AirAsia X D7 505 pada 10 Mac 2016.

Selepas tujuh jam lebih penerbangan, pada pukul 9:50 malam waktu Malaysia (UTC +8), maka mendaratlah kami di klia2. Kami tiba dan turun di pintu Q6 di Bangunan Satelit, dan terus berjalan menuju ke Bangunan Utama klia2. Setelah selesai urusan imigresen, saya mengucapkan selamat kepada semua kawan-kawan yang bersama selama lima hari di Korea Selatan. Isteri saya sudah sedia menunggu di pintu ketibaan. Sebelum terus balik ke rumah, kami berhenti dahulu di Petronas yang ada sebaik keluar dari klia2 untuk bersolat. Setelah itu, kami terus pulang dan tiba di rumah sebaik sebelum tengah malam.

Alhamdulillah selesai juga catatan pengembaraan saya dan rakan-rakan ke Seoul, Korea Selatan ini. Ini menandakan saya telah selamat ke 17 buah negara dalam hidup saya ini. Sedikit sahaja bilangannya, semoga ia dapat bertambah lagi. Semoga catatan pengembaraan ini dapat memberi manfaat kepada yang membacanya. Insya Allah saya akan bersambung lagi dengan kembara saya yang akan datang, harap sedia dan setia menunggu. Insya Allah pada bulan Mei 2016, saya akan ke Taipei, Taiwan pula.

Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
Exploring the World, Knowing the Life...

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5 (this part). 

Sunday, April 10, 2016

Hari 4 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - Bersiar-siar Dalam Kedinginan Seoul.

Bersambung dari Hari 3 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5. 

Saya di halaman Istana Gyeongbokgung.

Hari 4 (09 Mac 2016 - Rabu).

Pagi ini, kami bangun seperti biasa dan makan di penginapan. Kami keluar dari penginapan pada pukul 9:00 pagi. Memandangkan pada waktu awal pagi, hujan membasahi bumi Seoul ini, maka suhunya lebih sejuk berbanding pagi-pagi biasa kami di sini. 

Kami menaiki Metro Seoul Laluan 3 (oren) menuju ke Stesen Gyeongbokgung yang mengambil perjalanan 3 stesen dari Stesen Eujiro 3(sam)-ga. Kami keluar dari stesen dan rekabentuk Stesen Gyeongbokgung ini agak menarik iaitu bertemakan tembok kota lama. Kami mengambil pintu keluar nombor 5 dan kami keluar di laman Muzium Istana Kebangsaan Korea (National Palace Museum of Korea), iaitu di sebelah barat pintu masuk ke kawasan Istana Gyeongbokgung.



Peta: Perjalanan Penginapan ke Istana Gyeongbokgung.

Muzium tidak dibuka lagi pada masa itu, dan hanya akan dibuka pada pukul 10:00 pagi. Bayaran masuk adalah sebanyak ₩3000 (+- RM10.50). Kami memilih untuk tidak memasukinya kerana kebanyakan dari kami hampir habis bajet termasuk saya. Jadi kami ke laman Istana Gyengbokgung untuk melihat Upacara Pertukaran Pengawal Istana.


Halaman Istana Gyeongbokgung dan pintu Hyeungnyemun.

Masa operasi dan harga tiket Istana Gyeongbokgung

Istana Gyeongbukgung adalah istana diRaja utama pada zaman dinasti Joseon. Ia dibina pada tahun 1395 dan merupakan istana yang terbesar di kalangan Lima Istana Agung Seoul yang ada berdekatan. Bayaran masuk ke dalam kawasan istana ini berharga ₩3000 (+- RM10.50) dan ia juga meliputi bayaran masuk ke Muzium Rakyat Kebangsaan (National Falk Museum) yang terletak dalam kompleks istana. Masa operasi istana ini berbeza mengikut bulan, pada masa kami datang ini iaitu bulan Mac, dan sehingga bulan Mei, istana ini dibuka dari pukul 9:00 pagi ke 5:00 petang.


Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung, Seoul, Korea Selatan (Bahagian 1). 

Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung, Seoul, Korea Selatan (Bahagian 2). 

Kami tidak masuk ke dalam kompleks istana ini, cukup berada laman utama istana di antara pintu utama Gwanghwamun dan pintu dalam Hyeungnyemun di mana di sini terletaknya kaunter-kaunter tiket. Di sini juga pada masa-masa tertentu, akan ada Upacara Pertukaran Pengawal Istana Gyeongbokgung. Pada sebelah pagi, ia diadakan pada pukul 10:00 pagi. Jadi inilah tujuan kami hadir ke istana ini.


Saya di halaman Istana Gyeongbokgung.

Gambar Aplikasi Instaweather di halaman Istana Gyeongbokgung.

Upacara pertukaran pengawal ini mengambil masa selama kira-kira setengah jam. Agak ramai juga yang menunggu pertukaran pengawal ini. Menariknya, pengawal tersebut tidak memakai pakaian tentera moden tetapi pakaian tentera tradisional Korea.

Pintu gerbang selatan (Gwanghwamun) dan yang utama Istana Gyeongbokgung.

Saya dan Ketua Pengawal Istana Gyeongbokgung.


Selepas upacara tersebut, pengunjung berpeluang untuk bergambar dengan para pengawal yang ada di Pintu Utama/Selatan Gwanghwamun. Pengawal-pengawal yang bertugas ini agak tinggi dan sasa. Tinggi mereka lebih dari 180 sentimeter. Terasa saya ini pendek pula.


Tugu Raja Sejong di Dataran Gwanghwamun.


Selepas itu, kami menyeberangi jalan di hadapan pintu Gwanghwamun untuk berjalan-jalan di Dataran Gwanghwamun pula. Di sekeliling dataran ini terdapat banyak bangunan-bangunan utama Seoul yang dimiliki oleh pihak kerajaan mahupun swasta. Paling utama, Bangunan Kerajaan Korea Selatan dan Bangunan Pihak Berkuasa Metropolitan Seoul berada di sini.

Di tengah-tengah dataran yang berbentuk segiempat tepat dan memanjang ke arah selatan ini terdapat sebuah tugu. Tugu ini merupakan Tugu Raja Sejong dari Dinasti Joseon, iaitu raja yang paling terkenal di mana zaman baginda merupakan zaman kegemilangan Korea di bawah disnasti Joseon. 

Raja Sejong ini juga yang memperkenalkan tulisan Korea yang dikenali sebagai tulisan Hangul, di mana sistem tulisan ini merupakan sistem tulisan paling sistematik di dunia. Tulisan ini dikatakan paling mudah untuk dipelajari dimana baginda pernah berkata di mana tulisan ini boleh dipelajari oleh seorang bijaksana dalam masa satu pagi dan bagi yang paling dungu akan mengambil masa 10 hari. Sebelumnya, Korea menggunakan tulisan Cina trasional atau dikenali di Korea sebagai Hanja, yang memerlukan untuk menghafal setiap karektor khas bagi setiap perkataan. Tulisan Hanja pun hanya golongan bangsawan sahaja yang mengetahui, jadi Raja Sejong memperkenalkan tulisan Hangul untuk memajukan bangsa Korea. 


Gambar Aplikasi Insta Place di Dataran Gwanghwamun.

Permulaan Sungai Cheonggyecheon.


Seterusnya kami meneruskan perjalanan dan sampai di permulaan Sungai Cheonggeycheon. Sungai ini juga yang mengalir berhampiran penginapan kami dan kami melaluinya pada Hari 1 dan Hari 3 perjalanan ini. Sungai ini memang merupakan sungai utama di Seoul. Dahulu banyak penempatan terletak di tebing sungai ini. Boleh dikatakan ia nadi bandaraya Seoul. Tetapi akibat pembangunan yang tidak terkawal, ia menjadi kotor dan tercemar. Pada pemerintahan Presiden Korea Selatan yang ketiga, Park Chung-hee, telah menutup keseluruhan sungai ini dengan konkrit pada tahun 1958 dan sepuluh tahun kemudian, sebuah lebuhraya dibina di atas turapan konkrit tersebut.


Batu perkisahan pemulihan semula Sungai Cheonggyecheon.

Pada tahun 2003, Datuk Bandar Seoul pada masa itu, Lee Myung-bak telah membuat keputusan untuk meruntuhkan lebuhraya dan membina semula Sungai Chenggyecheon ini untuk menghijaukan kembali serta mengubah suasana bandaraya Seoul agar lebih hidup dan semula jadi. Akhirnya pada September 2005, projek pemulihan Sungai Cheongyecheon ini telah disiapkan dan dibuka secara rasmi. Oleh kerana aliran sebenar sungai ini sudah mati, maka air sebanyak 120 ribu tan perlu dipam dari Sungai Han. Akhirnya sepanjang sungai ini kini menjadi tumpuan bukan sahaja warga kota Seoul tetapi juga menjadi tarikan perlancongan juga.

Aliran Sungai Cheonggyecheon.

Upacara Pertukaran Pengawal di Istana Deoksugung.


Setelah seberapa ketika di Sungai Cheonggyecheon, kami meneruskan perjalanan kaki kami untuk menuju ke Namdaemun. Perjalanan kami terberhenti dengan satu lagi upacara pertukaran pengawal istana, cuma kali ini di Istana Deoksugung pula. Istana ini betul-betul berlawanan dengan permulaan (hulu) Sungai Chenggyecheon tadi.

Setelah lima belas minit, upacara ini pun selesai. Sempat juga saya mengambil informasi mengenai istana ini di mana tiket masuknya berharga ₩1000 (+- RM3.50) sahaja. Namun kami semua tidak memasuki istana ini (insya Allah akan saya masuki kesemua istana ini pada kunjungan akan datang).


Kaunter tiket Istana Deoksugung.


Dalam perjalanan, saya terasa lapar dan singgah di sebuah kedai serbaneka GS25 untuk membeli Gimbab atau dalam Bahasa Jepun dipanggil Onigari atau lebih mudah kita panggil nasi kepal yang mempunyai isi tuna untuk menghilangkan rasa lapar akibat cuaca sejuk. Selain itu tujuan saya adaah untuk menghabiskan wang syiling Korea yang ada pada saya. Harganya adalah ₩800 (+- RM2.80), betul-betul jumlah syiling yang ada. Nasi ini boleh dimakan tetapi kena perhatikan isi yang digunakan. Ini kerana ada isi yang tidak halal juga ada dijual. Kalau isi tuna, salmon atau makan laut lain, insya Allah boleh dimakan.


Gimbab Tuna yang dibeli di kedai serbaneka GS25 semasa berjalan dari Dataran Sejong ke Pasar Namdaemun.


Kami meneruskan perjalanan, dan terjumpa bangunan ibu pejabat konglomerat Samsung berhampiran dengan Namdaemun. Jadi kami ambil kesempatan untuk mengambil gambar bersama.


Saya dan sahabat-sahabat bergambar di hadapan ibupejabat syarikat Samsung.

Pintu gerbang Namdaemun.


Kami meneruskan berjalanan kaki dan akhirnya tiba di kawasan pintu gerbang Namdaemun yang bermaksud Pintu Gerbang Besar Selatan setelah lebih sejam berjalan dari Pintu Gwanghwamun Istana Gyeongbokgung tadi (maklumlah berhenti banyak kali).


Pasar Namdaemun.


Sebenarnya perjalaan kami tidak berhenti di situ kerana destinasi sebenar adalah ke pasar Namdaemun yang tidak berapa jauh dari pintu gerbang Namdaemun ini. Di pasar Namdaemun ini mempunyai banyak barangan yang dijual. Ia bukan seperti pasar tradisi sebagaimana Pasar Gwanjang, tetapi lebih kepada beberapa buah bangunan. 


Keadaan di dalam pasar kerongsang di Pasar Namdaemun.

Pasar kerongsang di Pasar Namdaemun.


Antara yang papular di pasar Namdaemun ini dalah terdapat satu bangunan yang menjual kerongsang yang dibuat disitu juga. Harganya agak murah juga. Kami berhenti di sini dalam empat puluh lima minit kerana ada kawan-kawan yang hendak membelinya sebagai cenderahati. Saya pun terbeli juga, walaupun asalnya tidak mahu beli.


Pintu 5  Pasar Namdaemun.


Setelah selesai, kami berjalan-jalan di sekitar Pasar Namdaemun ini. Terdapat banyak barang yang menarik yang hendak sahaja saya beli seperti buah-buahan segar. Ketika ini merupakan musim strawberi, buah tembikai susu Korea dan sebagainya. Malangnya, budaya Korea memang tiada potongan cubaan rasa. Jadi tidak tahu ia manis atau sebaliknya. (Setelah saya bertanyakan kawan-kawan yang sedang/pernah duduk atau melancong di Korea, rupanya buah-buahan memang manis, peniaga di Korea tidak menipu pembeli). Jadi kami tidak membelinya, walaupun harga di sini antara termurah.

Destinasi seterusnya adalah ke Menara Namsan. Kami tetap berjalan kaki untuk ke sana, kerana bagi saya ia tidak begitu jauh, dan demi ingin menjimatkan wang kami (atau lebih kepada saya, huhuhu). Dalam perjalanan (masih dalam kawasan Pasar Namdaemun), kami membeli jagung rebus, keledek rebus dan kebab yang sedap di makan panas-panas dalam cuaca sejuk ini.


Pandangan Menara Namsan dari jauh.

Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.


Setelah dalam lima belas minit berjalan dari Pasar Namdaemun, maka kami sampai di kaki bukit Bukit Namsan ini. Untuk mendaki bukit menuju ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan, kami ada pilihan untuk memanjat tangga atau menaiki lif funikular yang tiada bayaran. Jadi kami mengambil pilihan menaiki lif funikular ini untuk mendapat pengalaman. Lagipun di Malaysia tiada sistem seperti ini. Terasa seperti menaiki kereta kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang pula, cuma ia agak pendek.


Lif funikular dari kaki bukit Namsan ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan (Bahagian 1). 

Pintu masuk Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.

Permandangan Menara Namsan dan Kereta Kabel Namsan.


Sampai di Stesen Bawah Kereta Kabel, saya bertanya kepada kawan-kawan saya, sama ada hendak menaiki ke Menara Namsan kah? Kerana tambang menaiki kereta kabel pun sudah ₩8500 (+- RM29.80). Itu belum lagi hendak naik Menara Namsan lagi dengan tambahan ₩8500 (+- RM29.80). Jadi kami tidak jadi untuk menakluki Bukit Namsan. Kami duduk seketika di stesen kereta kabel, di mana saya baru perasan Kedutaan China terletak disebelah stesen ini. Ramai pula yang beratur untuk memohon visa atau berurusan dengan pihak konsular China agaknya.


Kaunter tiket di Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan.

Lif funicular dari kaki bukit Namsan ke Stesen Bawah Kereta Kabel Namsan (Bahagian 2). 



Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Myeondong ke Jongno 5(O)-ga.

Kami kembali turun ke bawah dan berjalan menuju ke stesen Merro Seoul terdekat iaitu Stesen Myeondong kira-kira 1 kilometer dari kaki Bukit Namsan. Dari situ kami mengambil tren Laluan 4 (biru tua) melalui 4 stesen untuk bertukar laluan di Stesen Dongdaemun untuk ke Laluan 1 (biru tua) bagi ke Stesen Jongno 5(o)-ga iaitu satu stesen selepasnya. Tambang cuma ₩1250 (+- RM4.40). Tujuan kami adalah untuk kembali ke Pasar Gwanjang, untuk membeli kain fabrik.


Kain-kain sutera Korea yang dibeli di Pasar Gwanjang.


Di Pasar Gwanjang, kami mencari kedai-kedai yang menjual kain sutera Korea. Setelah mencari, akhirnya kami menjumpainya, bukan satu kedai tetapi banyak juga. Kesemua kedai-kedai ini menjual kain yang sudah dipotong 4 meter. Kain-kainnya pun merupakan berbidang 45. Harganya pun mengejutkan kami iaitu cuma ₩10 000 (+- RM35.00) sepasang! Ini menyebabkan saya tidak dapat menahan diri lalu membeli juga tiga pasang (dan akhirnya duit saya tinggal kurang ₩10 000 (+- RM35.00)  sahaja, huhuhu). Selepas itu, sementara menunggu kawan-kawan saya selesai membeli-belah, saya cuba bertanya di sebuah kedai tukang jahir, berapa harga jika saya menempah sepasang suit dua pieces (kot dan seluar), dan dijawab cuma ₩40 000 (+- RM140.00) dengan kain yang agak cantik. Cuma ia boleh siap 10 hari.


Penutup lubang jalan di Seoul.

Usai kawan-kawan membeli belah, kami berjalan kaki untuk pulang ke penginapan. Di sini kami baru faham, rupanya setiap kawasan di sini memang mempunyi perniagaan yang terfokus. Contohnya satu blok kawasan menjual hanya barangan pertukangan (hardware) iaitu di kawasan penginapan kami. Kawasan lain kalau menjual peralatan elektrik, maka hanya menjaul peralatan eletrik sahaja, begitu juga yang lain. Akhirnya selepas dua puluh minit iaitu pada pukul 5:00 petang kami sampai di penginapan kami. Saya berehat dahulu dan kemudian membersihkan diri untuk bersolat.



Peta: Perjalanan Metro Seoul dari Euljiro 3(sam)-ga ke Itaewon.

Pada pukul 7:30 malam, walaupun saya tidak mahu mengikut, setelah dipujuk, akhirnya saya akur untuk mengikut mereka untuk makan malam di Itaewon. Ini pun setelah mereka ingin membelanja saya makan. Jadi kami ke Itaewon dan terus mencari restoran yang sesuai untuk makan malam. Sementara itu, Mahathir sibuk mencari susu pisang yang berkotak agar mudah untuk dimasukan ke dlam bagasi untuk pulang Malaysia. Akhirnya menjumpai walaupun bukan jenama Binggrae di kedai pasaraya di Itaewon. Kami kemudiannya ke Foreign Restaurant untuk makan Nasi Baryani Kambing berharga ₩11 500 (+- RM40.30). Kedai ini yang merupakan restoran India Utara yang halal juga ada menawarkan hidangan buffer yang terdiri dari makanan India Utara dan Korea pada harga ₩17 500 (+- RM61.30).


Kad perniagaan Foreign Restaurant, Itaewon.



Resit makan malam kami di Foreign Restaurant, Itaewon.

Setelah usai makan, kami pun  berpecah dimana saya dan dua lagi sahabat balik ke penginapan, manakala baki empat orang meneruskan perjalanan untuk ke Dongdaemun untuk membeli-belah habis-habisan saat akhir. Apabila sampai di pebginapan, saya mula mengemas beg saya dan apabila selesai, saya menonton televisyen . Masa inilah saya terjebak menonton drama bersiri Descendants of the Sun di saluran KBS2, tidak tahu pun yang drama ini semakin popular dan menjadi trend semasa. Saya melekat tengok drama ini pasal ada pelakon wanita Song Hye-kyo, minat sejak drama Autumn In My Heart lagi. Pelakon lelakinya, Song Joong-ki, sejak keluar dari kerahan tentera ini, nampak macho sikit, dulu kurus kering sahaja dia ni, muka budak-budak la dulu. Menariknya, tengok tanpa sari kata, terpaksa guna Google Translate untuk faham sikit-sikit. Selepas itu layan cerita lain. Saya pun tidak sedar bila saya tertidur.

Bersambung ke Hari 5.

Jika mahu lihat: Pra KembaraItinerari, Hari 1Hari 2Hari 3 Bahagian 1 atau Hari 3 Bahagian 2

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1; 
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4 (this part); or 
  • Day 5.