Thursday, June 18, 2015

Hari 1 (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - Terbang Ke Benua Kecil India.

Dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 




30 April 2015 (Khamis)

Eh, sudah hari Khamis lah... Sekejap sahaja sudah tiba hari yang dinanti-nantikan ini. Hari ini saya mohon cuti. Asalnya ingat nak separuh hari sahaja, tapi rasa tidak hendak tergesa-gesa, maka saya ambillah cuti. Lagipun cuti rehat tahunan banyak lagi, belum kira cuti gantian lagi (kerana bertugas hari Sabtu dan Ahad). Pagi ini saya dan isteri mengemas-ngemas beg pakaian kami. Namapun kembara backpacking jadi kami kemas beg galas sahaja la. Tiada beg-beg tarik. 

Oleh kerana Malindo Air ada berikan elaun bagasi sebanyak 20 kg seorang (jadi 40 kg jika digabung) maka kami bawa 3 beg galas! Dua buah beg galas saiz besar (20 liter ke atas) dan satu daypack yang akan dijadikan bagasi kabin. Kena ada juga bagasi kabin (yang dibawa naik sendiri ke kabin kapal terbang), pasal biasalah di lapangan terbangkan ada pemeriksaan keselamatan, terutama di klia2, siap kena buka tali pinggang dan kasut (jika pakai kasut berjenama, kerana ada tetulang besi). Jadi senang, satukan semua benda dalam beg, dan tak perlu susah bersepah di dalam dulang.

Kami bergerak dari rumah pada jam 2:30 petang selepas menghantar anak sulung kami ke sekolah agama. Kami ke klia2 dengan menaiki skuter sahaja. Bukan apa, mudah dan tidak renyah. Lagipun bayaran parkir klia2 untuk motorsikal cuma RM1/hari/masuk je. Skuter mudah, beg-beg galas kami diletakan di tempat letak kaki penunggang di depan. Dengan menaiki Lebuhraya MEX dan Lebuhraya ELITE, dalam masa kurang sejam, sudah sampai di klia2. Bahan api pun rasanya baru pakai dalam RM6.00. Nanti pulang baru tahu berapa digunakan.

Semasa di Lebuhraya ELITE, kami singgah dahulu di R&R Dengkil arah selatan, kerana kami hendak alas perut sahulu. Setelah 30 minit, kami sambung perjalanan. Akhirnya sampai juga klia2 pada jam 4:00 petang. Macam biasa, parkir sahaja di parkir motorsikal di Aras 1 bangunan parkir gateway @ klia2, naik ke Aras 4 bangunan parkir gateway @ klia2, untuk ke Aras 2 bangunan terminal klia2 seterusnya ke Balai Berlepas di Aras 3 bangunan terminal klia2.


Masuk sahaja kami ke balai berlepas, kami melihat paparan skrin besar, melihat maklumat yang perlu. Untuk daftar masuk/drop bag kami perlu ke barisan W dan pintu perlepasan kami di L9. Kami ke barisan W untuk drop bag. Alhamdulillah, sudah masuk untuknya, setelah itu kami terus beransur ke pintu masuk ke perlepasan antarabangsa dan membuat prosedur imigresen (imbas pasport) dan kastam. Senang sahaja, guna autogate dan terus ke pemeriksaan kastam.


Selepas itu, kami pun ke sayap L untuk meneruskan perjalanan ke pintu perlepasan L9, namun agak awal lagi. Lagipun mengikut pengalaman saya, ruang di sayap L ini agak membosankan. Terus kami ke kedai farmasi Caring Pharmacy, untuk membeli beberapa ubat-ubat yang tertinggal, terutama pil herba untuk cirit-birit atau sakit perut, maklumlah, India memang dikenali kebanyakan pelancong, setelah kembali, perut mereka akan mengalami ketidak selesaan. Namun baru perasan yang saya terlupa hendak mengeluarkan wang di mesin ATM CIMB. Sepatutnya saya mengeluarkannya di balai berlepas kerana terdapat mesin ATM CIMB di situ, namun tidak boleh ke sana kerana sudah membuat urusan imigresen.

Namun teringat pula saya yang di Bangunan Satelit (di antara sayap P dan Q) terdapat juga banyak mesin ATM termasuk CIMB. Berjalanlah kami ke sana, lagipun lambat lagi, ada sejam lebih lagi. Setelah dapat keluarkan wang, kembali ke sayap L (jauh juga berjalan, bersenam sebelum mengembara).

Apabila sampai ke pintu pelepasan L9, tetapi dimaklumkan bahawa penerbangan OD0205 telah ditangguhkan selama 2 jam. Jadi kami kembali semula ke Bangunan Satelit untuk makan di Popeye Louisiana Kitchen. Selepas itu, untuk mengisi masa, kami ke ruangan wayang gambar (movie lounge), dapatlah tengok sebuah cerita dari awal hingga habis (saya lupa cerita apa). Apabila jam penunjukan pukul 7:15 malam, kami pun perlahan-lahan kembali ke pintu perlepasan L9.



Saya terus ke surau untuk menunaikan solat maghrib dijamakan dengan isyak, risau tidak sempat. Usai solat, kembali ke pintu L9 di mana isteri saya menunggu, dia memaklumkan kepada saya bahawa penerbangan tangguh lagi sejam, pukul 9:05 malam baru berlepas. Pihak Malindo Air ada memberikan segelas kecil air minuman dan sebungkus biskut. Oklah walaupun saya sebenarnya merasakan boleh sahaja dapat lebih baik lagi. Dalam hati saya juga berdoa agar kalau nak tangguh, biar lebih 6 jam, agar dapat pampasan dari pihak syarikat penerbangan dan syarikat takaful, huhuhu. Lagipun kalau bertolak jam 9 malam bermakna kami akan sampai pada tengah malam, agak payah juga logistik pada masa itu.


Maka menunggulah kami menantikan kemasukan kami ke dalam pesawat. Sambil itu, di atas kaunter, terdapat borang imigresen dan kastam India untuk kegunaan kami. Maka saya ambil dan isikan untuk kedua-dua kami.


Pada masa menunggu itu, terdapat kekecohan berlaku sehingga pihak polis bantuan Malaysia Airport Berhad perlu hadir untuk mententeramkan keadaan. Ia dimulakan oleh sebahagian penumpang warga India dan merebak kepada beberapa orang lain (warga India juga), risau pula petugas Malindo Air kerana pada masa itu, petugasnya kesemuanya wanita. Rupa-rupanya mereka tidak berpuas hati atas penangguhan penerbangan ini, menyebabkan mereka terlepas penerbangan sambungan. Bagi saya begitulah risikonya jika hendak cari murah tapi berlainan penempahan. Sebaiknya, kita perlu beli penerbangan sambungan di dalam satu tempahan agar tidak rugi sepenuhnya, biasa pihak penerbangan akan menggantikan penerbangan sambungan terlepas. Kalau ke berbeza tempahan, maka yang terlepas itu kena ucapkan selamat jalanlah, jika ada insurans, bolehlah tuntut, jika tiada maka perlu dihalalkan, kerana ia silap kita. Begitulah, kita tidak perlu cari murah sangat tanpa mengira kesannya. Akhirnya kekecohan itu berakhir tapi tidak sepenuhnya. Dalam hati mereka tetap sentap, agaknya mereka takut masuk penjara. Sewajarnya orang-orang ini perlu belajar peribahasa "Di Mana Bumi Terpijak, Di Situ Langit Di Junjung".


Akhirnya pada jam 8:50 malam, pihak Malindo Air, telah membuka pintu pelepasan untuk penumpang-penumpang masuk. Yang bagusnya, pihak mereka memanggil kami dulu masuk. Yang lagi sukanya, tempat duduk kami di hadapan sekali di kelas ekonomi. Kira luas sedikit. Alhamdulillah. Sementara orang tiada, bolehlah kami ambil gambar kelas perniagaan di depan kami.



Penerbangan ini sebenarnya dipenuhi kira-kira 90 peratus oleh warga India. Boleh kiralah warga Malaysia dan negara lain. Warga India ini agak sombong walaupun beberapa kali saya cuba hendak memulakan perbualan. Cuma hendak dekat-dekat sampai ke Delhi barulah orang sebelah saya ini hendak berbual. 

Nasib baiklah penerbangan ini dibekalkan dengan makanan panas (ia PERCUMA macam penerbangan bukan tambang murah lain, jika AirAsiaX, jangan harap dapat, kena beli). Lega la pasa penerbangan ini lima setengah jam lamanya, mahu kebulur kalau tidak makan. Lagipun tiada pula pilihan makan semasa mengurus itinerari penerbangan di dalam laman sesawang Malindo Air. Namun kali ini seakan tiada pilihan, hanya diberikan makanan jenis vegetarian sahaja. Dapatlah nasi basmathi dengan kuah dal dan sayur bendi, ngap sahaja la. Air dan biskut juga diberikan, tapi saya simpan sahaja, pasal sebenarnya perut agak penuh juga. Saya ini jika mengembara, selera pun kecil (perut pun mengecil hahaha).


Di dalam penerbangan Malindo Air pesawat Boeing 737-800 ini mempunyai sistem hiburan dalam penerbangan (In Flight Entertaiment (IFE) system), jadi boleh la kita dihiburkan dan tidak termenung atau baca majalah sama berulang kali. Cuma pilihan agak terhad kepada beberapa tayangan wayang gambar dan permainan sahaja dan tiada lain-lain seperti lagu, radio dan sebagainya. (Peringatan juga, jangan lupa bawa sendiri earphone  atau headphone untuk menikmati sistem IFE ini. Pada penerbangan ini tiada pula ditawarkan untuk menyewanya, tapi pada sebelum ini, sewaan headphone adalah sebanyak RM15). Tapi ada maklumat dan peta penerbangan sudah baik untuk saya. Setelah keadaan mulai senyap (warga India ini agak kuat bercakap, menyebabkan kita kurang selesa), barulah saya boleh cuba melelapkan mata dengan memadamkan sinar cahaya IFE.


Akhirnya setelah lima jam penerbangan (dan setelah tiga jam tidur), maka pengumuman pramugari mengatakan penerbangan akan tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi, India (DEL) tidak lama lagi. Keadaan agak gelap kerana pada waktu itu adalah pada pukul 11:45 malam waktu India (2:15 pagi waktu Malaysia). Sempatlah berborak dengan jiran sebelah saya. Dia boleh pula ucapkan selamat bercuti kepada kami tapi dengan muka sinis. Tahulah kami datang waktu salah, iaitu waktu panas. Tapi saya rasa ada hikmahnya.



Tepat jam 12:00 tengah malam, maka mendaratlah pesawat kami di landasan DEL. Alhamdulillah. Pesawat ini akhirnya sampai di terminal, dan kami keluar menuju ke aras ketibaan. Agak besar juga Terminal 3 DEL ini, mungkin kerana persediaan untuk Sukan Komanwel pada tahun 2010 yang lepas.


Satu yang menarik hati saya ketika tiba di lapangan terbang DEL ini, adalah tandasnya, memaparkan imej lelaki India untuk tandas lelaki dan wanita India untuk tandas wanit, seperti di bawah ini. Menarik dan kreatif. Menunjukan juga budaya dan identiti India.



Setelah selesai menyelesaikan urusan yang tertangguh di dalam pesawat, maka kami berjalan menuju ke balai pemeriksaan imigresen. Sambil-sambil itu, ambil gambar di tempat yang "wajib" ambil apabila sampai di lapangan terbang New Delhi.


Itu baru di pintu masuk. Selepas itu, semasa menuruni dengan eskalator, maka sampai juga di balai imigresennya. Ternampak hiasan-hiasan berupa tangan di atas kaunter-kaunter imigresen. Tangan-tangan tersebut adalah "mudra" iaitu ekspresi tangan-tangan penari semasa menari tarian India klasik. Setiap satunya mempunyai maksudnya.


Agak ramai juga yang beratur di kaunter-kaunter imigresen ini. Agaknya kerana pada masa ini merupakan masa puncak penerbangan antarabangsa. Kaunter-kaunter untuk rakyat tempatan dipisahkan dengan warga asing. Rupa-rupanya, rakyat tempatan juga perlu mengisi borang untuk masuk kembali ke negaranya, cuma borangnya agak lain. Nasib baik kami telah mengisi borang awal-awal, terus beratur.

Akhirnya dalam lima belas minit beratur dan dalam kurang lima minit di kaunter imigresen (kami suami isteri ke kaunter bersama), maka kami menerima cop pasport imigresen India pada visa India kami, menandakan secara rasmi kami telah masuk ke dalam India secara sah. Cantik juga cop pasport India yang baru ini.


Seterusnya kami terus menuju ke tempat mengambil bagasi-bagasi kami. Di antara kaunter imigresen dan tempat mengambil bagasi, terdapat kedai bebas cukai, tapi kami teruskan perjalanan, takut terbeli pula, huhuhu.


Rupa-rupanya, tali sawat tempat mengambil bagasi telah tidak bergerak dan bagasi-bagasi kami telah diletakan di atas lantai. Kami ambil sahaja beg-beg kami dan terus melalui lorong hijau kastam dan kami telah berada di dewan ketibaan.

Kelihatan keadaan di sini masih hidup walaupun sudah pukul 12:45 tengahmalam. Ini termasuk juga barisan-barisan kiosk-kiosk yang menawarkan pelbagai perkhidmatan. Terdapat tiga kiosk yang menawarkan jualan kad SIM yang iaitu airtel, Aircel dan Vodafone India. Kiosk Aircel dan Vodafone terletak di sebelah kiri manakana airtel terletak di sebelah kanan pintu keluar dari lorong kastam.



Kami menuju ke kiosk airtel dan bertanyakan berapa harga untuk pek permulaan. Harganya 600! Bersamaan RM36.00! Agak mahal juga, walaupun ia termasuk 500Mb data. Tapi macam mana kami terus beli tanpa ke kiosk Aircel dan Vodafone. Mungkin saya mendapat tahu bahawa liputan airtel adalah terbaik di India. Tapi perlu ingat, sistem telefon tanpa wayar di India tertakluk kepada circle atau kawasan-kawasan yang ditetapkan. Jika keluar dari circle dan masuk ke circle  lain, maka dikira sebagai merayau (roaming) dan ada caj perayauan antara circle, tapi tidaklah mahal. Ini hanya tertakluk kepada perkhidmatan suara dan mesej (SMS dan MMS) dan tidak data. Perkhidmatan data dilitupi seluruh India asalkan mengggunakan penyedia perkhidmatan yang sama.

Jadi sediakan pasport anda untuk mereka fotostat (jika boleh bawa siap-siap, mana tahu mereka tiada mesin fotostat atau rosak) dan juga sediakan juga sekeping gambar pasport anda untuk pendaftaran bagi setiap satu talian. Pek prabayar airtel didatangkan dalam format nano SIM iaitu untuk iPhone5 ke atas, tapi terdapat penyuai kad SIM bagi saiz mini (biasa) dan mikro. Mereka amat baik untuk memasukkan kad SIM ke dalam telefon, tapi bagi saya tidak perlu, kerana mereka agak kasar, sehinggakan apabila hendak pulang, pembaca kad SIM isteri saya patah (kerana petugas ini telah memotong kad SIM isteri saya kerana tidak masuk katanya).

Satu lagi, perkhidmatan atau isyarat tidak dapat dengan serta-merta. Ia perlu ditunggu sehingga sehari baru ia boleh diaktifkan. Bagi kes kami, ia akan diaktifkan pada jam 11:00 paginya dengan menelefon nombor 59059 untuk tujuan pengesahan, baru ia diaktifkan. Itu sebab saya kata tidak perlu bagi petugas itu memasukan kad SIM pada masa itu. Lupa saya hendak memaklumkan, bahawa di India ini, anda kena faham maksud Bahasa Inggeris orang-orang di sana, di mana tidak semuanya fasih. Satu lagi, anda jangan berslang orang Amerika atau British sangat. Nanti anda juga yang susah.



Setelah selesai, kami pun keluar dari balai ketibaan ini untuk mencari pengangkutan. Nasib baik saya di kawasan sini terdapat WiFi, maka saya dapat mencari maklumat tentang bas. Perkhidmatan Metro Delhi sudah tamat pada pukul 11:30 malam. Jadi saya perlu mencari di mana bas bernombor Exp 4 untuk ke stesen keretapi New Delhi.


Keadaan suhu di kawasan ini seperti sama sahaja di Kuala Lumpur. Menarik lagi, terdapat anjing-anjing bebas berkeliaran di kawasan luar balai ketibaan ini. Cuma, anjing-anjing di sini jenis tidak kacau orang, malah buat hal sendiri. Kira tengah-tengah antara anjing Malaysia dan Thailand (anjing di Thailand amat mesra orang pula). Akhirnya sampai juga ke tempat menaiki bas setelah bertanya-tanya beberapa orang (tidak semua boleh bercakap Bahasa Inggeris, itu masalahnya). Cuma kami sebenarnya hampir terlepas, dan kami masuk ketika bas hampir penuh. Alhamdulillah, dapat juga naik.



Bas kami meninggalkan lapangan terbang menuju ke destinasi akhir di Kashmere Gate, di mana di situ merupakan stesen bas ke luar New Delhi. Pembayaran perlu dibuat pada konduktor bas. Tambang kami ke stesen keretapi New Delhi adalah sebanyak ₹75 seorang. Jadi pembayaran sebanyak ₹150 bagi dua orang. Pemanduan bas ini umpama roller coaster juga, terutama semasa di bulatan atau di simpang jalan. 


Perjalanan melalui Terminal 1 lapangan terbang DEL, kemudian melalui lebuhraya, Cannaught Place (atau dalam bahasa Hindi, Rajiv Chowk) dan akhirnya sampai ke stesen keretapi New Delhi. 



Namun ia berhenti di sebelah stesen Metro. Saya ingatkan ia berhenti di sebelah Pahar Ganj. Jadi kami cuba melalui jalan pintas melalui jejantas stesen keretapi, namun ia tidak boleh dilalui kerana ditutup. Maka terpaksalah kami mengikut jalan jauh sikit melalui Jalan DB Gupta. Di sini dapat tengok keadaan jalanan di New Delhi pada sebelah malam. Agak teruk juga, dengan jalan agak berdebu, terdapat tandas terbuka di tepi jalan, malah terdapat orang tidur di tengah-tengah ruang pejalan kaki yang tidak berapa nak ada. Nasib baik mereka tidak tidur di tengah-tengah jalan raya. Di atas jambatan terdapat sekatan polis bagi kenderaan. 



Akhirnya pada pukul 2:15 malam, kami sampai ke hotel kami, Hotel Sita International, yang pada mulanya tutup. Namun apabila saya berkata kami telah tempah, dibukakan juga kepada kami. Agak kelam kabut juga, kerana bilik kami sebenarnya telah diberikan kepada orang lain. Namun kami diberikan bilik ganti yang kurang berkualiti sikit. Jadilah, asalkan dapat rehat. Sudah penat sebenarnya. Akhirnya pada jam 3:00 pagi, dapatlah kami berehat dan tidur.

Bersambung ke Hari 2.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.