Memaparkan catatan dengan label Bawa Masuk Kenderaan Ke Singapura. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bawa Masuk Kenderaan Ke Singapura. Papar semua catatan

Ahad, 7 Disember 2014

Petua: Bagaimana Untuk Membawa Masuk Kenderaan Ke Singapura Melalui Pintu Masuk Darat (Woodlands & Tuas).

Clichere if want to read in English version.



Saya selalu membaca di dalam media sosial terutama dalam group-group Facebook menanyakan prosedur untuk membawa kereta ke Singapura. Memandangkan saya selalu membawa masuk kereta saya ke Singapura kerana bercuti atau melawat saudara-mara saya di sana, maka saya kongsikan pengalaman saya untuk pembaca sekalian.

Namun kali terakhir saya membawa kereta saya adalah pada 30 Julai 2014 yang lepas, iaitu sebelum kadar Permit Kemasukan Kenderaan atau Vehicle Entry Permit (VEP) dan kadar tol di Singapura dinaikan, maka banyak maklumat di dalam ini adalah sebelum kadar-kadar tersebut dinaikan. Namun tidak banyak perubahan kecuali di Woodlands kini tol dikenakan ketika masuk dan keluar Singapura (sebelum ini hanya ketika keluar sahaja). Insya Allah akan saya kemas kini sama ada di dalam catatan ini atau di catatan akan datang.

Sebelum anda ke Singapura, anda perlu melepasi kompleks ICQS Malaysia dulu iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Johor Bahru untuk ke Checkpoint Woodlands dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Tanjung Kupang untuk ke Checkpoint Tuas. Kadar tol adalah seperti di bawah ini atau boleh rujuk laman web PLUS.


Jika menggunakan BSI, anda perlu juga membayar tol untuk lebuhraya EDL E14, walaupun anda tidak menggunakan EDL. Kadarnya adalah:

Kelas 
Ke Singapura
Dari Singapura
0 (motorsikal)
-
-
1 (kenderaan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi)
RM6.80
RM9.70
2 (kenderaan dengan 2 gandar dan 5 atau 6 roda kecuali bas)
RM10.20
RM14.70
3 (kenderaan dengan 3 gandar atau lebih)
RM13.60
RM19.70
4 (teksi)
RM3.40
RM4.80
5 (bas)
RM5.50
RM7.80

Perlu diingatkan bahawa kesemua tol di bandaraya Johor Bahru (kecuali Lebuhraya Senai-Desaru) menggunakan pembayaran elektronik sepenuhnya iaitu dengan menggunakan kad Touch n Go atau alat SmarTAG. Tiada lorong tunai. Jadi sediakan awal-awal kad Touch n Go & alat SmarTAG.

DOKUMEN DIPERLUKAN (JIKA PERTAMA KALI):

1. Pasport pemandu (yang sama yang digunakan ketika cop masuk, tetapi biasanya tidak diperiksa);
2. Cukai jalan kenderaan (pastikan ia masih sah (hidup) sepanjang perjalanan di Singapura, jika tidak boleh ditanggalkan, boleh ambil gambar menggunakan telefon);
3. Wang Singapura SG$10.00 (perlu tukar siap-siap di Malaysia, tidak boleh menggunakan wang lain termasuk Ringgit Malaysia).

Itu sahaja... Namun bawa sekali, jika diminta oleh pihak berwajib, sudah ada:

1. Geran atau salinan geran (tidak perlu disahkan di balai polis);
2. Nota lindungan insurans kereta yang dibawa yang masih sah (untuk yang tidak tahu, insurans kereta Malaysia juga boleh digunakan di Singapura & Brunei).

Jika dijangkakan cukai jalan dan insurans anda akan tamat tempoh semasa perjalanan, maka anda perlu memperbaharui perkara berkenaan dahulu baru boleh membawa masuk kenderaan anda ke Singapura.


Jadi setelah anda menyelesaikan prosedur imigresen dan kastam Malaysia sama ada di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru (ke Woodlands) atau Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang (ke Tuas), maka anda akan melalui pusat pemeriksaan ICA (Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan atau dalam Bahasa Inggeris Immigration and Checkpoint Authority) terlebih dahulu sebelum secara rasmi masuk ke dalam Singapura.

Pertama anda akan beratur untuk menyelesaikan urusan imigresen iaitu pasport anda diperiksa dan di cop. Biasa di sinilah yang sesak sekali malah lebih sesak berbanding sebelah Malaysia (sama ada pergi atau balik). Pastikan jika anda tiada borang imigresen Singapura atau biasa dipanggil white card, anda perlu mencarinya di Malaysia (biasanya ada dapat di pengurup wang sebelum sempadan) atau jika anda ada penumpang, minta salah seorang berjalan ke kaunter imigresen (semasa kenderaan anda sedang beratur) untuk meminta borang. Ini penting agar mengurangkan masa menunggu dan menjaga mood pegawai imigresen. 

Di kaunter ini juga terdapat mesin membaca kad autopass, jika anda sudah mempunyainya, perlu memasukkannya kecuali kali terakhir anda masuk ke Singapura selepas anda memperbaharui cukai jalan anda yang terkini, jika sebelum itu, tidak payah masukan kerana anda perlu ke pejabat LTA (Penguasa Pengangkutan Darat atau Land Transportation Authority) juga untuk mengemaskini.

Setelah anda melepasi pemeriksaan imigresen di mana palang akan dinaikan, maka jika kali terakhir anda membawa Singapura adalah selepas anda memperbaharui cukai jalan terkini anda dan telah memasukan kad autopass anda serta ia tiada masalah, maka teruskan perjalanan ke bahagian kastam pula.

Jika kenderaan anda merupakan pertama kali masuk ke Singapura dan tiada kad autopass, atau kereta anda telah mempunyai autopass tetapi kali terakhir anda masuk ke Singapura adalah sebelum anda memperbaharui cukai jalan terkini anda, maka perlu memasuki pejabat LTA yang terletak selepas kaunter imigresen dan sebelum laluan kastam, biasanya anda perlu masuk ke laluan merah kastam dan parkir kenderaan anda di kawasan parkir depan pejabat LTA. Pastikan bahawa yang ke pejabat LTA adalah pemandu sahaja (penumpang lain sila duduk diam di dalam kereta atau boleh ke tandas, jika perlu) dan sila bawa pasport pemandu sekali. Juga jika anda ambil gambar cukai jalan kenderaan anda (jika ia tidak boleh ditanggalkan). Bawa geran dan nota lindungan insurans, mana tahu diminta (pengalaman saya, kedua-dua ini tidak diminta).

Untuk  kereta yang mempunyai autopass tetapi kali terakhir masuk ke Singapura adalah sebelum memperbaharui cukai jalan terkini, anda cuma perlu minta kemas kini sahaja, dengan memberikan maklumat cukai jalan kepada petugas kaunter LTA, itu sahaja, dan selepas itu boleh teruskan perjalanan.

Untuk yang pertama kali, anda perlu untuk mengisi borang permohonan (maaf pada lain kali akan saya muat naik borangnya) dan setelah siap serahkan borang tersebut bersama maklumat cukai jalan dan pasport kepada petugas kaunter LTA. Jangan lupa juga wang SG$10 untuk kad autopass tersebut. Ia adalah SG$6 untuk bayaran pemprosesan kad (tidak dikembalikan) dan SG$4 untuk isian kad tersebut. 



Anda perlu tambah nilai kad tersebut kerana tol pusat pemeriksaan pun sekarang sudah lebih SG$4 (pergi balik). Ia boleh ditambah di pusat tambah nilai LTA yang ada di Woodlands, Kranji dan Tuas sebelum pulang ke Malaysia. Ia juga boleh ditambah nilai di kedai serbaneka 7-Eleven, Cheers dan banyak lagi. Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web LTA. Kadar VEP dan tol terkini boleh di lihat di sini.

Kategori Kenderaan
Tuas Checkpoint
(ke Malaysia)
Tuas Checkpoint 
(dari Malaysia)
Woodlands Checkpoint
(ke Malaysia)
Woodlands Checkpoint
(dari Malaysia)
Motorsikal
SG$0.50
SG$0.50
-
-
Kereta
SG$3.20
SG$3.20
SG$3.80
SG$2.70
Van/Kenderaan Barangan Ringan*
SG$7.40
SG$7.40
SG$5.80
SG$4.00
Kenderaan Barangan Berat
SG$14.70
SG$14.70
SG$7.70
SG$5.30
Teksi
SG$2.50
SG$2.50
SG$1.90
SG$1.40
Bas
SG$3.90
SG$3.90
SG$3.10
SG$2.20
* Van/Kenderaan Barangan Ringan yang mempunyai 2 gandar atau 6 roda atau kurang.

Perlu diingat kad autopass ini umpama pasport bagi kenderaan anda. Ia tidak boleh digunakan untuk kenderaan lain selain yang didaftarkan. Jika hilang perlu membuat laporan polis di tempat ia hilang (di Singapura atau di Malaysia), dan serahkan kepada LTA untuk pemprosesan kad baru (kena bayar SG$10 lagi) semasa masuk ke Singapura nanti.

Kad autopass ini fungsi utama sebagai kad bayaran tol dan VEP. Bagi tol dan VEP, anda tidak perlu bayar semasa masuk, tetapi semasa keluar dari Singapura, bermakna anda perlu pastikan baki kad anda mencukupi bagi bayaran tersebut sebelum keluar Singapura, di mana kad itu perlu dimasukan ke dalam mesin bacaan kad di kaunter imigresen sebelum keluar. Jika tidak cukup, anda perlu ke pejabat LTA untuk cukupkan dan tambahan denda SG$10.

Peringatan, VEP sehari di Singapura adalah SG$35 namun bagi kenderaan yang masuk selepas pukul 5 petang (jika cuti sekolah Singapura pada bulan Jun dan Disember, selepas pukul 12) hari Jumaat, sepanjang Sabtu dan Ahad dan sebelum jam 2 pagi hari Isnin, tidak akan dikenakan VEP. Juga setiap autopass akan dikecualikan VEP selama 10 hari pada hari-hari yang dikenakan VEP (selepas 2 pagi Isnin hingga sebelum 5 petang Jumaat (12 tengahari ketika cuti sekolah Singapura)).

Kategori Kenderaan
Bayaran VEP di Tuas Checkpoint & Woodlands Checkpoint
Isnin – Jumaat
(2 pagi – 5 petang)*
Isnin – Jumaat
(5 petang – 2 pagi*),
Sabtu, Ahad dan Cuti Am Singapura 
Kereta
SG$35 per hari
Tiada bayaran VEP
Motorsikal
SG$4 per hari
* Semasa cuti sekolah Singapura, bayaran VEP akan dikenakan dari 2 pagi - 12 tengahari.
Setiap  tahun, sebanyak 10 hari secara percuma (tidak perlu bayar VEP) bagi hari-hari yang dikenakan VEP akan diberikan kepada kenderaan yang mempunyai kad autopass ini.

Selain itu, dengan kad autopass ini juga, anda tidak perlu membeli alat untuk bayaran ERP (Electronic Road Pricing) atau kira tol di jalan-jalan tertentu di Singapura. Kerana jika anda melaluinya, ia akan dikenakan kadar rata SG$5 setiap hari. Namun jika anda tidak melaluinya, caj tersebut tidak dikenakan. Jadi jimat, kerana hendak pasang alat ini (seperti alat Smart Tag Touch n Go itu), berharga lebih SG$150!!!

Kad autopass ini juga boleh digunakan di parkir-parkir tertentu, bayaran menaiki MRT dan belian barang di kedai serbaneka 7-Eleven atau Cheer.

Untuk selainnya, saya sertakan sekali brosur berkaitan (brosur lama, sebelum kadar VEP & tol Singapura dinaikan). Selamat memandu ke Singapura dan jangan risau, ia mudah sahaja.












Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Clichere if want to read in English version.