Friday, December 25, 2015

Langkawi, Kedah, Malaysia - 20 Disember 2015 - Penerbangan Sulung Rayani Air.

Click here if want to read in English version.



Penerbangan Rayani Air RN600 selamat tiba di 
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK).

Rayani Air, iaitu sebuah  syarikat penerbangan baru Malaysia, telah sekian lama membuat promosi mengatakan mereka akan memulakan penerbangan sejak akhir tahun 2013 lagi. Namun tidak juga memulakan perkhidimatannya. Mungkin mengalami pelbagai kesukaran agaknya.

Namun pada bulan November 2015, nampaknya terdapat kemajuan, dengan mengadakan pelbagai ujian penerbangan, kaunter daftar masuk, pengambilan staf-staf dan pelbagai lagi melalui laman Facebook Rayani Air. Akhirnya pada 13 Disember 2015, laman webnya telah dibuka untuk penempahan dan penerbangan sulungnya pula adalah pada 20 Disember 2015. 

Saya cuba menempah penerbangan promosi pada harga RM51.00 untuk harga bersih sehala, namun sudah habis. Jadi saya ingin merasa penerbangan sulung yang belum pernah saya alami, maka saya pun menempahnya pada harga RM190.00 bersih pergi balik. Harga ini masih murah kerana pada masa tersebut merupakan cuti sekolah dan rata-rata syarikat penerbangan lain menawarkan harga tiket melebihi RM400 sehala! Lagipun ia termasuk bagasi 20 kilogram dan sedikit kudapan.


Pengesahan Penerbangan Daripada Rayani Air Melalui E-Mel.



Alhamdulillah, saya tidak sabar pula untuk menaiki penerbangan sulung Rayani Air ini.


20 Disember 2015 (Ahad).

Saya bertolak dari rumah pada pukul 7:30 pagi dengan menunggang skuter ke klia2. Alhamdulillah sampai di klia2 pada pukul 8:15 pagi.


Ikon klia2 sempena Krismas 2015.

Sampai di klia2, saya agak bergegas juga untuk mendaftar masuk. Maklumlah, saya tidak tahu corak pengurusan Rayani Air ini berbanding penerbangan lain. Tapi sebelum mendaftar masuk, sempat juga saya mengambil gambar ikon klia2 yang bertemakan Krismas. Ini merupakan kebiasaan saya. Saya mendapat tahu daftar masuk Rayani Air dibuat di barisan S, juga pintu pelepasan yang akan digunakan adalah J5, jadi saya ambil kesempatan untuk mengambil gambar pesawat ini dari anjung tinjau timur berdekatan dengan barisan S.

Kapal terbang Rayani Air yang sedang parkir.

Kaunter daftar masuk Rayani Air (kaunter S12 hingga S15).

Saya terus ke barisan S setelah dapat mengambil gambar pesawat yang akan digunakan nanti. Kaunter daftar masuk untuk Rayani Air dilaksanakan di kaunter S12 hingga kaunter S15. Saya melihat ramai wakil dari media massa dan cetak sedang menunggu untuk daftar masuk di samping beberapa orang penumpang biasa. Proses daftar masuk agak perlahan, mungkin kerana staf-staf Rayani Air masih belum biasa dengan sistem. Saya menunggu hampir setengah jam dengan hanya dua penumpang di depan saya. Namun semasa saya mendaftar masuk, prosesnya agak pantas juga. Penting sekali, layanan staf daftar masuk Rayani Air kepada saya agak mesra.


Pintu pelepasan J5, pintu bagi penerbangan sulung Rayani Air ini.

Setelah selesai mendaftar masuk, saya terus ke pintu berlepas penerbangan domestik dengan pemeriksaan keselamatan oleh polis bantuan lapangan terbang yang tidak berapa jauh dari kaunter daftar masuk Rayani Air. Agak ramai juga, mungkin kerana ketika itu masih di dalam musim cuti sekolah. Setelah selesai dan melepasi proses pemeriksaan berkenaan, maka saya terus ke pintu pelepasan J5.


Barisan pembantu-pembantu penerbangan bagi penerbangan sulung Rayani Air, RN600.

Barisan pembantu-pembantu penerbangan bagi penerbangan sulung Rayani Air, RN600.

Ketika itu, ramai penumpang yang sudah menunggu tetapi tidak semua lagi. Kebetulan, pembantu-pembantu penerbangan masih belum memasuki pesawat. Jesteru itu ramai penumpang, wakil media dan juga saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar mereka. Memang segak bagi pembantu penerbangan lelaki dan ayu bagi pembantu wanita. Malah saya rasa amat molek kerana pakaian mereka menutupi aurat, selaras dengan tuntutan syariah. Memang selaras dengan polisi syarikat, iaitu penerbangan patuh syariah. Selepas sepuluh minit iaitu pada pukul 9:20 pagi, barulah pembantu-pembantu penerbangan terbabit memasuki pesawat.


Gambar kenang-kenangan saya di pintu pelepasan.

Pas pelepasan bagi penerbangan RN600.

Selepas lima belas minit kemudian, barulah penumpang-penumpang dibenarkan masuk. Bermakna penerbangan ini akan berlepas lambat. Mungkin lebih lambat lagi, kerana sudah pasti ia kehilangan giliran berlepasnya, tambahan pula masa ini adalah masa puncak. Nasiblah.

Keadaan tempat duduk di kelas ekonomi.

Masuk sahaja ke pesawat, saya disapa oleh pembantu penerbangan dengan salam Assalamualaikum. Terasa keIslamannya, alhamdulillah. Kemudian tengok pula tempat duduk pesawat. Terdapat dua kelas, iaitu kelas perniagaan & ekonomi. Sah, memang kapal terbang ini menggunakan pesawat Boeing 737-400 MAS yang lama. Ini kerana kain penutup tempat duduknya tidak ubah dengan yang pernah digunakan oleh pesawat MAS tersebut. Ini memang benar kerana kedua-dua pesawat yang digunakan Rayani Air adalah dibeli daripada pihak MAS. Cuma membezakannya adalah alas kepala yang mempunyai logo Rayani Air. 

Jarak ruang kaki di kelas ekonomi Rayani Air.

Kad maklumat keselamatan bagi pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Ruang kaki tempat duduk tempat duduk pesawat ini biasa-biasa sahaja, dalam 29 inci rasanya. Sesuailah bagi penerbangan domestik yang mempunyai jarak pendek macam Kuala Lumpur - Langkawi ini. Paling menarik adalah beg mabuk udara, mempunyai logo Smiley dan menyatakan agar cepat sembuh. Panel kawalan di atas kepala saya memang jenis Boeing 737-400, agak baik cuma lampu bacaan saya tidak menyala.


Beg mabuk udara Rayani Air.

Panel lampu bacaan, penyaman udara dan bantuan pembantu penerbangan 
pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Memang betul, penerbangan kami ditangguhkan. Pada awalnya dikatakan untuk menunggu anak-anak yatim daripada Institut Tahfiz Islami Klang yang menjadi tetamu khas bagi penerbangan ini. Tapi selepas mereka sampai, penerbangan masih tertangguh. Akhirnya pada pukul 11:00 pagi barulah ia bergerak meninggalkan terminal klia2. Mungkin disebabkan terdapat sedikit upacara, maklumlah penerbangan sulung (namun saya mendapat maklumat dari sumber dipercayai, penangguhan disebabkan untuk menunggu VIP). Bukan apa, suasana dalam kabin agak panas sedikit jika pesawat tidak bergerak.

Salah seorang pembantu penerbangan sedang membuat demonstrasi keselamatan.

Semasa penerbangan ini bergerak di laluan teksi ke landasan terbang, dibacakan doa menaiki kenderaan. Terasa selamat pula, kerana sehingga kini, hanya Rayani Air sahaja yang membacakan doa ini, MAS hanya sejak kebelakangan ini sahaja menyiarkan doa ini di pesawat yang mempunyai alat pandang dengar, manakala penerbangan lain memang tiada. Akhirnya pukul 11:10 pagi, meluncurlah pesawat ini menuju ke Langkawi.

Kudapan ringan untuk kelas ekonomi Rayani Air.

Kandungan di dalam kotak kudapan ringan untuk kelas ekonomi.

Setelah beberapa ketika di udara, pembantu-pembantu penerbangan mula memberikan kepada setiap penumpang, sedikit kudapan ringan. Kudapan ini diberikan di dalam kotak, memang menarik. Isinya pula terdapat sekeping kek cawan, sebungkus kacang dan sepek jus epal. Kiranya ia lebih sedikit daripada pesaingnya. Perlu diingatkan bahawa Rayani Air ini merupakan penerbangan perkhidmatan penuh bukan penerbangan tambang murah seperti AirAsia. Tetapi tambangnya masih murah. 

Sijil penghargaan buat penumpang-penumpang penerbangan pertama Rayani Air.

Akhirnya setelah hampir sejam di udara, sampailah kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK). Memang nampak pesawat ini disirami air oleh dua buah jentera pemadaman api dari pihak bomba lapangan terbang LGK. Cuma saya tidak sempat untuk mengambil gambarnya. Sebagai tanda hati dari pihak Rayani Air, setiap penumpang diberikan sijil perhargaan yang dijadikan kenang-kenangan kepada penumpang-penumpang terbabit.


Rupanya gambar saya diambil oleh pihak media semasa saya menuruni tangga pesawat ini. Ia boleh dilihat di dalam laman Facebook Rayani Air sendiri.

Penerbangan Rayani Air RN600 selamat tiba di LGK.

Pas pelepasan bagi penerbangan RN180.

Saya ke terminal untuk mengambil beg yang saya daftar masuk tadi. Memang lambat sampai, oleh kerana sudah pukul 12:30 tengahari, maka saya terus mendaftar masuk untuk penerbangan pulang. Tidak sempat saya untuk pergi ke pekan Padang Mat Sirat untuk membeli sedikit barangan. Nasib baik masih boleh daftar masuk kerana penerbangan ini juga ditangguhkan.

Keadaan tempat duduk kelas perniaaan pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Keadaan tempat duduk kelas perniaaan pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Setelah usai mendaftar masuk, saya terus ke pintu berlepas untuk menjalani prosedur pemeriksaan keselamatan dan rupanya pintu pelepasan telah dibuka. Saya terus menaiki pesawat yang parkir berhadapan dengan pintu pelepasan. Namun perlu tunggu juga kerana terdapat upacara khas dari pihak Rayani Air di bangunan terminal. Jadi saya dapat mengambil gambar tempat duduk kelas perniagaan pula.

Pesawat Rayani Air RN180 mula bergerak meninggalkan LGK.

Pesawat RN180 meluncur di udara dari Langkawi ke klia2.

Pesawat hanya bergerak meninggalkan LGK pada pukul 1:30 tengahari dan tiba di klia2 sejam kemudian.

Setelah pulang rupa-rupanya muka saya masuk di dalam liputan oleh pihak media. Ia boleh dikuti di sini atau di sini.

Secara amnya penerbangan Rayani Air ini agak baik dan boleh dipertingkat lagi mutunya. Seperti AirAsia semasa permulaan operasi setelah diambil alih oleh Tony Fernandez dahulu, yang juga dengan hanya dua buah pesawat, saya percaya Rayani Air boleh menjadi hebat seperti AirAsia. Semoga amalan-amalan yang baik seperti pemakaian pakaian menutup aurat, bacaan doa, tidak menyajikan arak dan makanan tidak halal serta lainnya dapat diteruskan. Semoga Rayani Air ini dapat memeriahkan lagi industri penerbangan Malaysia.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Thursday, December 24, 2015

Hari 2 hingga Hari 4 (Batam, Kepulauan Riau, Indonesia - 04 hingga 07 Disember 2015) - Warisan Melayu Di Batam.

Sambungan dari Pra Kembara & Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Itinerary;
  • PreJourney & Day 1;  or
  • Day 2 - Day 4 (this part).


Papan tanda Rumah Limas Potong
di Kampung Melayu Batu Besar, Batam.

Hari 2 - 05 Disember 2015 (Sabtu).


Hari ini, sepanjang hari sebenarnya adalah program Dialog Kawasan Selatan selama sehari suntuk di bangunan pentadbiran pemerintah kota Batam (pemerintah kota ini kiranya macam Majlis Perbandaran atau Dewan Bandaraya di Malaysia lah). Pengangkutan dari hotel ke tempat program disediakan oleh penganjur.


Sesi Dialog Kawasan Selatan di Bangunan Pemerintah Kota Batam.

Macam juga yang dibincangkan, dari sejarah asal usul masyarakat Melayu di Nusantara ini, kepada sosial, politik malah dari segi budaya dan makanan juga dibincangkan. Paling banyak dibincangkan adalah dari segi Bahasa Melayu itu sendiri. Rasa bangga pun ada, sampaikan ingin menjadi pendaulat bahasa, budaya dan jati diri sebagai orang Melayu.

Permandangan Batam Centre dari Bangunan Pemerintah Kota Batam.

Tapi saya selalu berada dalam keadaan tumpuan 100 peratus dalam sesi dialog ini. Kebanyakan masa, dialog dibincangan teramat ilmiah, rasa bosan pun ada, jadi ada masa ambil masa untuk merehatkan diri. Seperti gambar di atas, saya ambil dari aras empat bangunan pentadbiran pemerintah kota Batam ini.


Peta Batam Centre.

Malah, sampaikan saya keluar dari bangunan, untuk berjalan-jalan sekitar Batam Centre ini. Kiranya Batam Centre ini merupakan pusat pentadbiran bagi kota Batam. Di sini terletaknya pelbagai agensi pemerintah Indonesia tidak kisah perintah pusat, provinsi mahupun kota. Pusat perdagangan utama di Batam ini lebih kepada kawasan Nagoya.

Barisan mesin ATM di Mega Mall Batam Centre.

Saya ke Mega Mall Batam Centre walaupun ketika itu belum buka lagi. Berhampiran pintu baratnya, terdapat sebarisan mesin ATM. Antara mesin-mesin ATM ini adalah dari BII Maybank dan CIMB Niaga. Saya mengeluarkan Rp50 ribu di mesin ATM CIMB Niaga (kerana saya hanya membawa kad ATM CIMB Islamic Malaysia sahaja) bagi mengetahui berapa kadar jumlahnya. 


Slip pengeluaran wang di mesin ATM CIMB Niaga Batam Centre.

Memang teramat berbaloi, sudahlah tiada caj bagi pengeluaran ini, kadar Rp50 ribu hanya RM15.40 sahaja, bermakna hanya RM308 sahaja bagi RP1 juta. Lebih murah dari kadar di pengurup wang di Malaysia. 

Makluman SMS mengenai pengeluaran wang CIMB Niaga.

Pintu masuk/keluar Pelabuhan Batam Centre.

Kemudian saya saja ke Pelabuhan Batam Centre pula untuk melihat keadaan di sana. Memang ramai orang di sana. Sambil itu dapat melihat kaunter tiket, pengurup wang, penjualan kad sim dan sebagainya. Kaunter tiket telah diubah tempatnya dari tingkat 1 dahulunya ke tingkat bawah. Pengurup wang pula ada beberapa buah, dan mereka bersaing untuk mendapatkan pelanggan. Kadarnya pun agak menarik, jadi jika ada tunai Ringggit Malaysia, di Batam ini, lebih baik tukar di pengurup wang di Pelabuhan Batam Centre, kadarnya cuma RM300 bagi Rp1juta. Bagi kad sim pula, tidak perlu beli di sini kerana agak mahal, lagipun terdapat bangunan TelkomSel dan Indosat Ooredoo tidak jauh dari situ. Bayangkan kad sim sahaja tanpa data dijual pada harga Rp50 ribu dari harga muka Rp10ribu!

Suasana di dalam Pelabuhan Batam Centre.

Kiosk jualan kad sim di bangunan TelkomSel Batam.

Jadi saya berjalan ke bangunan TelkomSel yang berada seberang jalan sahaja dari pintu timur Megamall, untuk membeli kad sim. Nasib baik kaunter Grapari (kaunter khidmat pelanggan TelkomSel diberi nama sedemikian), dibuka walaupun di hari Sabtu dan Ahad. Kaunter Indosat Ooreedo yang tidak jauh darinya (jika dilihat di peta di bawah, ia terletak dari Bank Tabungan Negara (BTN) sahaja), tidak dibuka pada hujung minggu.

Peta kedudukan Grapari TelkomSel Batam.

Saya saya membeli dua keping pek permulaan kad sim simPATI dari TelkomSel yang hanya berharga Rp10 ribu (+- RM3.00) sekeping. Terdapat juga pek pakej lain dari TelkomSel seperti kartuHalo (yang berharga Rp3ribu (+-RM0.90)) dan Kartu As (yang berharga Rp5 ribu (+-RM1.50)) yang lebih murah, cuma saya sudah biasa dengan simPATI sejak dahulu, dan berpuas hati dengan perkhidmatannya. Bagi setiap pek tersebut, terdapat nilai prabayar berdasarkan harga muka, iaitu jika Rp10 ribu macam simPATI, maka terdapat nilai Rp10 ribu di dalamnya. 


Pek kad sim simPATI TelkomSel.

Salah satu kad sim tersebut, saya tambah dengan pakej data (di Indonesia disebut paket internetan) sebanyak Rp60 ribu (+-RM18.00) bagi data sebanyak 20 Gigabyte yang sah selama 2 bulan. Jadi semuanya saya bayar Rp80 ribu (+- RM24.00 sahaja). Boleh guna jika ke Indonesia lagi dalam masa 2 bulan. Talian telefon pula boleh pakai 3 bulan dari tarikh belian, dan boleh dilanjutkan jika menambah nilai (isi ulang pulsa kata orang Indonesia). Kemudian saya pulang bagi mengikuti program semula.

Kad sim simPATI TelkomSel.

Setelah hampir waktu tengahari, makan tengahari disediakan oleh pihak penganjur. Saya rasa saya hendak pulang ke hotel kerana agak kepenatan. Penganjur tidak menyediakan pengangkutan untuk pulang pada ketika ini, hanya disedia pada waktu petang sahaja, maka saya pun pulang dengan berjalan kaki. Sampat juga mengambil gambar mercu tanda Batam Centre, iaitu tulisan "WELCOME TO BATAM" di sebuah bukit mengadap Batam Centre. Saya ada mengambil gambar di sini setiap kali saya ke sini. Boleh rujuk di sini

Mercu tanda Batam Centre.

Barisan penjaja jalanan berhampiran Masjid Raya Batam.

Penjual es durian sedang menyediakannya.

Dalam perjalanan, saya sempat melihat sebarisan penjaja jalanan menjual pelbagai jenis makanan dan minuman di tepi jalan, bersebelahan Masjid Raya Batam. Saya membeli es durian, sejenis minuman berasaskan durian. Bukan perisa durian digunakan tetapi durian sebenar! 

Gerai jalanan es durian berhampiran Masjid Raya Batam.

Minuman ini dicampurkan dengan pelbagai jenis bumbu dan ditambahkan gula melaka (di Indonesia dipanggil gula Jawa). Terlupa juga, ditambah dengan pulut. Memang sedap. Terdapat banyak saiz, dari kecil (Rp10 ribu (+- RM3.00)), sederhana (Rp15 ribu (+- RM4.50)) dan besar (Rp20 ribu (+- RM6.00)). Saya ambil saiz kecil sahaja. Cukup sekadar mencuba.

Es Durian.

Saya berehat di hotel sehingga tertidur. Tidak sedar sampai waktu petang. Sampaikan rombongan pulang. Namun alhamdulillah, dapat juga sijil perhargaan untuk program tersebut.

Sijil Penghargaan sempena program Dialog Kawasan Selatan.

Gambar ibu saya di depan Dataran Engku Putri.

Ibu saya mengajak saya untuk berjalan-jalan. Saya cadangkan ke Mega Mall Batam Centre kerana ia dekat dan tidak perlu mengambil pengangkutan seperti teksi. Kebetulan, kabel pengecaj telefon saya terputus, jadi saya perlu untuk membelinya dengan kadar segera.

Masjid Raya Batam.

Kami pun berjalan kaki pergi dan balik ke sana dan membeli barang-barang di sana. Sambil-sambil itu, mengambil gambar kenang-kenangan dengan ibu saya. Dalam perjalanan pulang, kami singgah ke Masjid Raya Batam untuk bersolat. Pada waktu malam, kami berjalan-jalan di sekitar hotel di Jalan Bungur, terdapat banyak restoran makan. Memang agak hidup kawasan itu. 

Sebenarnya di Dataran Engku Putri, masih terdapat Kenduri Seni Melayu, namun oleh kerana kepenatan dan majlis itu berlarutan sampai melewati tengah malam, saya tidak ke majlis tersebut.


Hari 3 - 06 Disember 2015 (Ahad).

Makam Nong Isa di Nongsa, Batam.

Pada pagi ini, kami dibawa untuk berjalan-jalan sekitar kawasan Nongsa di Batam ini. Destinasi pertama adalah Makan Nong Isa. Nong Isa atau pun Raja Isa merupakan pengasas moden Batam pada 186 tahun lepas iaitu pada tahun 1829. Beliau merupakan daripada keluarga kerabat diraja Kesultanan Riau. Batam sebenarnya bukannya baru dibuka pada masa berkenaan. Malah Batam sebenarnya lebih awal lagi daripada Singapura. Dikatakan sebelum Sang Nila Utama atau Parameswara, mengikut dari sumber yang mana, sebelum ke Singapura, atau ketika itu diberi nama Temasik, terlebih dahulu sampai ke Batam dahulu, barulah ke Singapura.

Nama Nongsa diambil dari nama Nong Isa, lalu menjadi Nongsa.

Ibu saya di papan tanda Makan Nong Isa.

Setelah menziarahi makan Nong Isa, kami dibawa pula ke Kampung Melayu Batu Besar, juga terletak di kawasan Nongsa. Kami ke kampung ini adalah kerana terdapat majlis mengalu-alukan kehadiran kami, dan majlis ini adalah kerjasama antara pemerintah kota Batam dengan penduduk kampung ini.

Rumah Limas Potong, Kampung Melayu Batu Besar, Batam.

Papan tanda Rumah Limas Potong.

Kampung ini dipilih kerana terdapatnya satu-satunya rumah kampung Melayu yang asli yang masih tertinggal di Batam. Di Batam, akibat pesatnya pembangunan dan kemodenan, penduduk-penduduknya mengubai suai rumah mereka dan sudah tiada lagi rumah Melayu asli yang tinggal, kecuali rumah ini. Rumah ini bereka bentuk Limas Potong, hampir sama dengan rumah Limas Johor cuma ada perbezaan sedikit. Rumah ini pun sebenarnya hampir-hampir menjadi korban untuk dimusnahkan, namun ia dibeli oleh pihak pemerintah kota Batam untuk dijadikan warisan dan daya penarik oleh Dinas Wisata (Jabatan Pelancongan), Pemerintah Kota Batam.

Bergambar di Rumah Limas Potong.

Sejarah Singkat Raja Isa (Nong Isa).

Maklumat Rumah Limas Potong.

Di dalam rumah ini, terdapat pameran-pameran yang menunjukan warisan Melayu Batam amnya. Terdapat kisah dan bahan-bahan berkaitan Nong Isa dan Batam seterusnya ke maklumat tentang rumah Limas Potong ini.

Pameran Persandingan Melayu Batam.

Katil lama.

Banyak juga artifak-artifak lama yang ada di dalam rumah ini. Malah pengunjung boleh merasainya seolah-olah duduk di rumah tersebut pada zaman terdahulu. Terkenang saya dengan perkakas-perkakas lama yang kini sudah tiada lagi.

Dapur lama.

Gotong-royong menyediakan juadah makan tengahari.

Selepas itu, kami melawat dan ada yang membantu penduduk Kampung Melayu Batu Besar ini, bergotong royong menyiapkan juadah makan tengahari. Dapatlah kami melihat masakan yang bakal kami makan.

Gotong-royong menyediakan juadah makan tengahari.

Gotong-royong menyediakan juadah makan tengahari.

Gotong-royong menyediakan juadah makan tengahari.

Surau al Ikhlas, Kampung Teluk (Kampung Melayu Batu Besar), Batam.

Terdapat sebuah surau berhampiran dengan rumah Limas Potong ini. Ada antara kami menunaikan solat sunat di surau ini.

Di sini saya mendapat maklumat bahawa asalnya, kampung ini bernama Kampung Teluk dan penduduknya kebanyakannya merupakan nelayan. Memang dekat sangat pantai dengan kampung ini. Namun bagi menjaga warisan Melayu, kampung ini dipelihara oleh pihak pemerintah kota Batam dan diberikan nama baru sebagai Kampung Melayu Batu Besar, bagi mengekalkan keMelayuan.

Batu Besar dipilih kerana di sebelah laut berhampiran dengan kampung ini terdapat sebuah batu besar (maaf saya tidak mengambil gambarnya). Dikatakan, walau pasang besar mana laut, batu itu tidak akan tenggelam. Jika tenggelam, bermakna kawasan daratan akan banjir. Juga, dikatakan, batu tersebut menjadi tempat berpijak oleh Sang Nila Utama atau Parameswara ketika sampai di pulau Batam ini.

Pentas majlis.

Seterusnya, kami kembali ke laman rumah Limas Potong, dan kami disajikan dengan persembahan lagu-lagu Melayu asli, dari keroncong ke joget, ke zapin ke langgam dan sebagainya. Telor (slang) yang digunakan oleh pengacara majlis, saling tidak tumpah dengan telor Bahasa Melayu yang dipertuturkan oleh orang Melayu Johor. Cuma terdapat beberapa istilah Bahasa Indonesia digunakan, jika tidak memang saya ingat yang mengacarakan majlis itu orang Johor.

Persembahan lau-lagu tradisi Melayu.

Persembahan joget.

Selain lagu-lagu, diselitkan jenaka dan seloka, disamping pengacara majlis berinteraksi dengan hadirin. Ada juga persembahan joget diadakan. Memang masih terpelihara budaya dan kesenian Melayu di Batam ini.

Persembahan silat.

Makan tengahari dipersembahkan.

Walikota Batam kemudiannya hadir ke majlis ini. Uniknya, beliau bersama hadiri duduk bersila bersama kami untuk majlis tersebut. Upacara silat menyambut kehadiran beliau ke majlis ini. 

Hidangan makan tengahari.

Sebenarnya majlis ini agak banyak aktivitinya seperti ucapan dan sebagainya, namun saya ringkaskan sehingga acara yang kami nantikan, iaitu upacara makan tengahari. Menariknya, setiap hidangan dimakan secara berempat orang ini dipersembahkan oleh orang kampung. Terasa macam orang besar-besar pula. 

Hidangannya kebanyakannya makanan laut yang segar-segar seperti ketam dan udang. Selain itu terdapat juga hidangan asli Johor-Riau seperti asam pedas (yang ini merupakan versi Batam) dan sotong masak dakwat. Disampingkan dengan sambal kicap dan sambal Melayu (seperti sambal belacan di Semenanjung Malaysia). Memang sedap sekali.

Hadirin sedang menjamu selera.

Habis jamuan, saya bersiar-siar ke sekeliling dan sempatlah merasa aiskrim kon yang dijual oleh penjual jalanan.

Akhirnya, Walikota pun meminta diri kerana perlu menghadiri jemputan jamuan perkahwinan di Singapura. Kami pun beransur dari majlis berkenaan tidak lama selepas itu.

Penjual airkrim.

Pusat Membeli-belah Nagoya Hill.

Destinasi kami adalah ke kawasan sekitar pusat membeli-belah Nagoya Hill. Ada yang pulang terus ke hotel, juga asalnya saya ingin pulang, tetapi saya kemudiannya bertukar fikiran untuk bersama dengan ibu saya dan rakan-rakannya.

Sebenarnya Nagoya Hill ini tidaklah murah mana pun. Cuma jika ingin membeli cenderahati berkaitan Batam atau Singapura terutama kemeja T, bolehlah beli di sini. Kita boleh dapat kemeja T sepuluh helai dengan harga Rp95 ribu (+- RM28) sahaja. Kalau magnet peti ais, rantai kunci dan sebagainya, agak mahal juga. Memandangkan saya sudah mempunyai magnet peti ais bertema Batam dan Singapura, maka saya tidak membelinya di sini. 

Suasana dalam Pusat Membeli-belah Nagoya Hill.

Peta perjalanan Hari 3.

Kami di sini lebih dua jam. Setelah itu kami pun kembali ke hotel dan saya hanya berada di hotel dan kawasan sekitar hotel untuk baki hari ini. Saya pun tidak ke Dataran Engku Putri untuk program malam terakhir Kenduri Seni Melayu.


Hari 4 - 07 Disember 2015 (Isnin).

Pagi ini kami bersiap untuk pulang ke Malaysia seterusnya kembali ke kediaman kami. Kami meninggalkan hotel setelah mendaftar keluar pada pukul 9:00 pagi dan dihantar ke Pelabuhan Batam Centre. Di sana, kami perlu mengumpulkan pasport dan voucer tiket pulang untuk diserahkan kepada kaunter tiket yang berkenaan untuk mendapatkan tiket dan pas pelepasan untuk feri kembali ke Johor Bahru.

Tiket feri Batam Centre ke Johor Bahru.


Resit Cukai Pelabuhan Batam Centre (depan).

Semasa di kaunter tiket, dimaklumkan bahawa perlu diberikan sekali dengan cukai pelabuhan sebanyak Rp115 ribu (+- RM35) setiap orang. Nampaknya ia telah naik sebanyak Rp50 ribu kerana sebelum ini ia hanya Rp65 ribu sahaja. Tetapi resitnya masih menunjukan harga cukai asal. 

Sebelum ini, apabila saya menaiki feri dari Singapura, apabila pulang, tidak perlu bayar cukai pelabuhan ini, kerana sudah dibayar sekali semasa tempahan. Sewajarnya pihak feri ke Johor Bahru ini mencontohi apa yang dilakukan oleh feri dari Singapura ini.

Sebenarnya, cukai pelabuhan telah dibayar sekali kepada urusetia, namun kami tidak mengetahuinya, kerana tiada sebarang taklimat sepanjang perjalanan ini dari pihak mereka. Namun kami dapat menuntut kembali cukai pelabuhan tersebut kemudiannya.

Kami mendapat perjalanan pukul 11:30 pagi untuk ke Johor Bahru.


Resit Cukai Pelabuhan Batam Centre (belakang).

Pada pukul 11:00 pagi, kami terus masuk balai berlepas untuk prosedur imigresen Indonesia, dan seterusnya menunggu untuk memasuki feri. Di situ saya sempat berborak dengan seorang lelaki Malaysia yang dalam perjalanan pulang dari Jambi, setelag menjadi pengadil dalam acara sukan tinju di sana. Beliau merupakan saudara Balkhis (facebook: Balkhis Hisboxer).


Cop pasport keluar Indonesia (Batam Centre).

Banyak perkara saya berborak dengan saudara Balkhis dan rupanya dia dahulu merupakan ahli sukan tinju yang mewakili negara. Dia hendak pulang ke Seremban dengan menaiki keretapi. Juga dia juga minat mengembara dan ingin mengikut saya setelah menyatakan saya merupakan seorang pengembara juga. Insya Allah kami akan bersama.

Sehinggakan kami menyambung berborak di dalam (di atas sebenarnya) feri. Nampak gaya, sama sahaja pengalaman menaiki feri dari Batam, tiket dan pas pelepasan semuanya diambil oleh pekerja feri. Tiada sebarang cenderahati atau bukti ditinggalkan. Di dalam feri, kami terus menaiki ruang terbuka di tingkat atas, kerana ia lebih berangin dan menyegarkan (tetapi apabila sampai di rumah saya, berhari-hari juga saya kena kesan terbakar (sun burnt) huhuhu). Di atas itu juga berborak juga dengan ahli rombongan bersama saya, Cikgu Salleh (Facebook: Cikgu Salleh) dari Tangkak.

Saya dan saudara Balkhis.

Sampai sahaja di Berjaya Waterfront pada pukul 2:00 petang (waktu Malaysia, UTC +8), saya dan ibu saya terus berjalan menuju ke balai ketibaan. Melaksanakan prosedur kemasukan imigresen ke Malaysia. Selepas itu mengucapkan selamat tinggal kepada mana yang sempat dan terus berjalan ke luar pagar Berjaya Waterfront. Jika menaiki teksi dari dalam pagar terutama di pintu masuk Terminal Feri, teksi akan mengenakan RM25. Namun jika di luar, dapat lebih murah. Sampai sahaja, terus kami ke teksi pertama yang kami jumpa. Terus ditawarkan RM20, namun saya menawarnya sehingga dapat RM15 sehingga ke Terminal Larkin Sentral, alhamdulillah.


Tiket bas ekspres City Express dari Larkin ke TBS.

Dalam masa 15 minit, sampailah kami di Larkin, terus saya mencuba untuk bertanyakan di kaunter tiket City Express, terus mendapat tiket bas 2:30 petang. Ketika itu pun sudah pukul 2:25 petang. Alhamdulillah. Harga tiket ke Larkin adalah RM34.30 bagi dewasa dan RM25.70 bagi warga emas. 

Bas ekspres kami naiki.

Kami segera ke platform C34 seperti yang dimaklumkan oleh kerani kaunter tiket. Nasib baik pemandu berkenaan berkata ia tidak berlepas pada masa ditetapkan kerana terdapat beberapa penumpang belum sampai. Jadi saya sempat untuk bersolat dan membeli beberapa bekalan makanan di dalam bas. Setelah selesai, saya kembali ke platform. Kebetulan di platform sebelah, terdapat bas percuma bandaraya Johor Bahru JB1 berhenti untuk mengambil penumpang. Insya Allah, satu hari nanti akan mencubanya.

Bas akhirnya berlepas pada jam 2:50 petang.

Bas percuma Johor Bahru JB1.

Bas ini mengambil penumpang di terminal bas Taman Ungku Tun Aminah, Skudai dan seterusnya bergerak menuju ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur. Namun terdapat beberapa kemalangan menyebabkan perjalanan agak lambat. Sempat berhenti sebentar di hentian sebelah Yong Peng arah utara. Nasib baik Bas City Express ini tidak berhenti keluar. Bagus juga bas ini.


Kad prabayar food court TBS.

Akhirnya sampai juga kami di TBS pada pukul 7:30 malam. Saya menelefon isteri saya untuk mengambil kami. Sementara menunggunya, kami bersolat dahulu dan saya sempat makan sedikit di food court TBS ini. Di sini, ia menggunakan sistem kad prabayar untuk bayaran makanan.


Resit Home Town Yong Tow Foo Wangsa Melawati.

Akhirnya pada pukul 8:15 malam, isteri saya sampai bersama anak-anak kami. Saya pulang dan singgah di ome Town Yong Tow Foo Wangsa Melawati untuk makan malam. Kami sampai di rumah pada pukul 9:45 malam. 



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Itinerary;
  • PreJourney & Day 1;  or
  • Day 2 - Day 4 (this part).