Monday, May 22, 2017

Hari 4 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Salam Sayang Miri.

Bersambung dari Hari 3 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2;
  • Day 4 (this part);
  • Travel Guide - Miri; or 
  • Travel Guide - Brunei.


The Grand Old Lady, Miri, Sarawak.

Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).


Hari 4 (01 Mei 2017 - Isnin (Cuti Hari Pekerja)).

Pagi ini saya perlu bangun awal untuk menghantar Deddy yang perlu bertugas kerana Raja Bahrain (sebuah negara Arab) telah tiba di Kuala Lumpur pada hari sebelumnya. Saya terbangun pada sekitar pukul 4:30 pagi tatkala terdengar bunyi azan Subuh dari telefon bimbit saya dan juga dari luar hotel. Saya kejutkan Deddy sebelum saya masuk ke dalam bilik air untuk membersihkan diri dan mengambil wuduk.

Keluar sahaja dari bilik air, masuk pula Pak Nasir, aik, siapa pula yang hendak balik awal ini? Deddy pula sedang menyiapkan begnya. Saya memakai baju segar dan terus bersolat. Selepas solat, saya menunggu Deddy selesai semuanya, dan bila dia bersedia, kami berdua pun keluar dari bilik. Pak Nasir pun hendak mengikut sekali rupanya. Maka tinggallah Abang Zul di bilik melayan bluesnya. Kami keluar dari hotel dalam pukul 4:55 pagi.

Jalan memang lenggang pagi-pagi buta di Miri ini, kena pula hari ini merupakan hari cuti sempena Hari Pekerja. Dalam masa hampir 10 minit sahaja, sudah sampai di Lapangan Terbang Miri. Kami turunkan Deddy dan bersalam-salaman. Setelah itu, kami pun terus balik ke bilik hotel untuk menyambung usaha kami yang belum selesai, iaitu tidur.

Dalam pukul 7:00 pagi, saya pun menerima panggilan daripada Nizam yang ingin menetapkan tempat kami ingin berjumpa. Nizam ini merupakan sahabat lama saya sejak pengajian di universiti dahulu. Kini tinggal di Miri yang merupakan kampung halamannya dan bertugas sebagai pegawai bomba. Dia sebenarnya menunggu kami ketika kami sampai di Miri, namun saya lupa untuk menelefonnya. Lagipun sudah lewat malamkan ketika kami sampai, tidak akan lah hendak mengganggu. Alah, itu alasan sahaja. Baru tahu yang dia menunggu apabila saya menerima panggilan telefon daripadanya semasa berada di dalam KB Central di Brunei. Saya tidak menjawab kerana pada masa itu ia berada dalam mod perayauan antarabangsa, kalau jawab mahu tinggi bayarannya. Nasib baik pada masa itu ada WiFi (ketika itu pejabat syarikat telekomunikasi Progresif belum lagi dibuka), dapat saya menelefon semula menggunakan aplikasi WhatsApp.

Nizam memaklumkan bahawa dia akan berjumpa dengan kami di Restoran Mee Sapi Kuching. Saya cakap saya akan cuba cari, kerana masih tidak mahir jalan-jalan di Miri ini kecuali ke lapangan terbang dan ke pintu sempadan sahaja. Nizam kata nanti dia akan berkongsi lokasi restoran tersebut. Saya pun bersetuju. Tidak lama kemudian, dia pun berkongsi lokasi melalui aplikasi WhatsApp. Sementara menunggu masa tersebut, saya pun menonton televisyen dan yang lainnya bergilir-gilir membersihkan diri.

Apabila sampai pada pukul 7:50 pagi, kami pun keluar dan terus ke lokasi yang dikongsi lokasinya oleh Nizam tadi. Tempat itu berada di hadapan Kafe Awang Mahyan di Jalan Permaisuri, namun tidak nampak langsung papan tanda Mee Sapi Kuching. Puas mencari juga kami. Nizam pun menelefon, mungkin kerana kami tidak kunjung tiba. Rupanya lokasi yang dikongsi tidak tepat rupanya. Lokasi sebenar adalah di Jalan Parry, tidak jauh dari Imperial Hotel Miri, antara bangunan tertinggi di Miri. Jadi kami menunggu Nizam yang akan mengambil kami di situ.

Beberapa ketika kemudian, berjumpa kami dengan Nizam dengan keretanya. Kami pun mengikuti sampai ke lokasi sebenar. Turun sahaja dari kereta, saya terus bersalam dan memeluk Nizam, maklumlah sudah hampir berbelas tahun tidak jumpa. Hanya berjumpa di dalam alam maya sahaja.

Nizam membawa kami ke meja yang diduduknya, yang duduk bersama isteri dan anaknya yang ada enam orang! Huh, saya kata "Ini semua anak kau ke?". "Ya", jawab Nizam. Huh produktif sungguh. Rupanya dia bergurau sahaja, hanya tiga anak mereka, lagi tiga adalah anak saudara mereka. Buat terkejut sahaja. Sebenarnya tidak hairan, kerana Miri ini adalah tempat asal Nizam ini. Saya masih teringat, masa belajar dahulu, Nizam pernah menceritakan pengalaman dia menaiki bas dari Miri, lebih kurang 14 jam perjalanan!

Kami pun duduk dan berborak mengenai banyak perkara. Isteri Nizam pun agak peramah juga. Walaupun baru berjumpa, tapi kami berborak panjang juga. Sampai lupa untuk memesan makanan. Saya sebenarnya musykil juga juga apa dia Mee Sapi Kuching ini. Oh rupanya, setelah melihat menu dan juga dimaklumkan Nizam, rupanya Mee Sapi Kuching ini adalah Mee Kolok, maklumlah Mee Kolok kan adalah makanan asal dari Kuching. Kena ingat bahawa Miri dan Kuching jaraknya lebih kurang 820 kilometer, lebih kurang Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam juga, malah ia menggunakan jalan lama, bukan lebuhraya. Jadi ada bezanya antara Miri dan Kuching. Cuma Mee Sapi Kuching ini lebih istimewa, ada tambahan urat dan juga tulang serta supnya lebih banyak. Air minuman seperti biasa, Teh C Istimewa.

Memang seronok bila jumpa Nizam ini. Sudahlah badannya agak sado, maklumlah abang bomba la katakan. Sambil-sambil berbual, hidangan yang dipesan pun sampai. Memang "nyaman gilak" kata orang Sarawak, bermaksud, memang sedap sangat. Memang dicadangkan untuk makan di sini bila ke Miri pada masa akan datang.

Lama juga saya dengan Nizam, sampai jam menunjukan hampir pukul 10:00 pagi pun tidak sedar. Hampir dua jam juga berborak. Jadi kami berpisah di sini, namun Nizam kata dia akan berjumpa dengan kami lagi pada pukul 1:00 tengahari di Restoran Melanau Cafe & Catering di tempat komersil berhadapan dengan Lapangan Terbang Miri nanti. "Auk", kata saya. Jadi kami pun berpisah di situ.

Saya dan kawan saya, Nizam di Restoran Mee Sapi Kuching, Miri.

Kami seterusnya menuju ke kawasan Pasar Pusat Miri di mana di bulatan berhampiran pasar ini terdapat sebuah pengurup wang (Profit Achievers Sdn Bhd) yang mana Pak Nasir ingin menukar kembali wang Ringgit Brunei yang tidak luak tersebut kepada Ringgit Malaysia. Rasanya di Miri ini, hanya inilah tempat tukaran wang asing selain di bank. Rasanyalah. Dulu pun saya tukar di sini.

Kemudian kami berjalan sedikit untuk membeli-belah barangan cenderahati di Pusat Kraftangan Miri yang tidak jauh dari pengurup wang tadi, di Jalan High Street. Memang murah juga barang-barang cenderahati di sini. Bolehlah kita memperolehi kemeja T, rantai kunci, magnet peti ais, barangan kraftangan Sarawak, beras Bario, garam bukit Bario dan sebagainya. Juga, kalau yang hendak membeli gambir Sarawak pun ada. Saya membeli magnet peti ais pada harga 4 keping pada harga RM10.00. Tetapi kena carilah untuknya, kerana bukan semua kedai menawarkan harga seperti itu.

Tat kala sibuk membeli belah, terdengar bunyi bising. Rupa-rupanya terdengar orang sedang membuat demonstrasi di depan simpang jalan di antara Pusat Kraftangan Miri ini dengan Pejabat Residen Miri. Bila dengar, ada juga berunsur politik, dan yang tidak menariknya, terdapat bendera Sarawak semasa zaman pemerintahan Rajah Brooke. Hairan juga, tidak ada seorang pun anggota polis yang hadir sepanjang demonstrasi itu. Saya percaya ia adalah perhimpunan haram. Tetapi nasib baik ia berjalan dalam keadaan aman. Dalam masa setengah jam, iaitu masa kami habis membeli barangan di Pusat Kraftangan Miri, mereka pun selesai.

Pejabat Residen Miri.

Pengurup wang di Miri.

Pusat Kraftangan Miri.

Antara di jual di pusat kraf, gambir Sarawak.

Demonstrasi Haram di bandaraya Miri, Sarawak.

Kami pulang ke hotel pada pukul 11:30 pagi, kerana waktu maksima untuk kami daftar keluar adalah pada pukul 12:00 tengahari. Jadi kami ke bilik untuk mengambil barangan kami dan kemudian kami mendaftar keluar. Selesai mendaftar keluar, kami pun berjalan-jalan menuju ke Bukit Kanada.

Sebenarnya tidak jauh mana pun Bukit Kanada dari Raja Inn Hotel. Dekat sangat, cuma perlu menaiki bukit dan jalannya bengkang-bengkok dan sempit pula. Nasib baik masa naik tidak ada kenderaan yang turun. Akhirnya kami sampai di atas dan akan bertemu dengan satu simpang tiga. Kami mengambil simpang ke kanan, kerana ia menunjuk arah ke The Grand Old Lady. Apa dia The Grand Old Lady tu?

The Grand Old Lady ini adalah merupakan tapak pertama pertemuan minyak di Miri juga di Sarawak malah di Malaysia! Telaga minyak pertama adalah di puncak bukit ini. Kini, telaga minyak tersebut sudah tidak lagi aktif dan ia dijadikan tempat tarikan pelancong pula, di mana didirikan tugu peringatan sebagai pendidikan dan peringatan kepada pengunjung.

Juga didirikan sebuah muzium iaitu Muzium Petroleum yang dikendalikan oleh Jabatan Muzium Sarawak. Tetapi pada ketika kami hadir di situ, tutup pula. Jika diikutkan jadual waktu melawat yang ada, sepatutnya ia dibuka kerana hari cuti umum. Namun ia tidak dibuka. Tidak mengapalah, tidak ada rezeki kami.

Di puncak bukit ini juga kita dapat melihat permandangan panorama bandaraya Miri. Kena pula hari ini cuaca agak cerah can cantik. Malah permandangan sebalik bukit ini menghala ke arah daratan juga boleh dilihat jelas. Sempat juga saya membuat FB Live  di Bukit Kanada ini.

Jalan menuju ke Bukit Kanada.

The Grand Old Lady.

Tugu The Grand Old Lady.

Replika telaga minyak lama di Bukit Kanada.

Muzium Petroleum Miri.

Waktu melawat Muzium Petroleum Miri.

Panorama bandaraya Miri dari Bukit Kanada.

Permandangan ke arah darat dari Bukit Canada.

Usai melawat Bukit Kanada, jam menunjukan pukul 12:30 tengahari. Masih awal lagi, lagipun Nizam memaklumkan bahawa dia lambat, dalam pukul 1:30 tengahari baru dia sampai di restoran yang dijanjikan. Jadi kami pun ke pasaraya E-Mart Riam pula. Sengaja untuk menghabiskan waktu. Sebelum tiba di pasaraya ini, sempat kami mengisi minyak kereta sebanyak RM10.00 untuk mencukupkan kembali takat minyak kereta kepada 2 takat minyak sebagai mana yang kami dapat tempohari.

Di pasaraya ini kami cuma berpusing-pusing melihat barangan yang ada sahaja. Cuma saya tersinggah di restoran Sugar Bun iaitu rangkaian restoran makanan segera yang berasal di Sarawak dan terkenal di sana. Saya pun tempohari tidak dapat makan di restoran Jolli Bee di Brunei, jadi saya gantinya dengan makan di Sugar Bun. Saya hendak rasa ayam goreng di situ. Sedap juga. Hidangan set ayam goreng dua ketul dengan air minuman adalah lebih kurang RM15.00. 

Masa menunjukan pukul 1:15 pagi, maka kami pun bertolak dari E-Mart Riam ini menuju ke Restoran Melanau Cafe & Catering. Kami tunggu di dalam kereta sahaja, sementara menunggu Nizam. Dalam pukul 1:25 tengahari, sampai juga Nizam di situ. Saya memang teringin hendak makan umai, namun pada masa itu, kehabisan pula. Begitu juga dengan cencalok Bintulu, pun habis. Memang tidak ada rezeki. Jadi kami makan biasa-biasa sahaja. Kami sambung borak yang tidak habis. Tepat pukul 1:55 tengahari, kami pun berpisah.

Papan menu Sugar Bun di dalam pasaraya E-Mart Riam, Miri.

Lapangan Terbang Miri.


Peta: Perjalanan Hari 4 di sekitar bandaraya Miri.


Kami terus membawa kereta kami ke ruang parkir Lapangan Terbang Miri ini. Sambil itu, saya menghubungi Donz Car Rental bagi urusan pemulangan kereta. Sementara menunggu wakil daripada Donz sampai, kami pun mendaftar masuk untuk penerbangan kami. Semasa kami mendaftar masuk, maka Syafiq daripada Donz pun sampai. Jadi kami pun membuat proses pemulangan di situ selepas kami selesai proses daftar masuk penerbangan. Diberikan kunci dan Syafiq ke kereta untuk memeriksa kereta. Dia pulang semula setelah hampir lima minit dan dia kata semua ok. Diberikan semula RM100.00 secara tunai, iaitu duit cagaran kereta.

Setelah itu kami terus menaiki tingkat atas untuk proses imigresen keluar Sarawak, dan ia berjalan lancar. Alhamdulillah, dapatlah kami semua cop yang ke-22 kami. Kami pun menunggu di dewan menunggu. Masih ada masa, jadi kami bersolat Zuhur jamak dengan Asar. Penerbangan kami kemudiannya ditangguhkan selama hampir sejam dari jadual asal iaitu dari pukul 3:50 petang kepada 4:45 petang.. Jadi sementara menunggu pelepasan untuk masuk pesawat, saya pun sempat tidur.

Pada pukul 4:15 petang, maka panggilan untuk masuk ke dalam pesawat 9M-MSG milik Malaysia Airlines pun kedengaran dan kami mulai masuk ke dalam pesawat. Alhamdulillah, pada pukul 4:40 petang, penerbangan MH2593 berlepas dari Lapangan Terbang Miri menuju ke KLIA.

Dalaman Lapangan Terbang Miri.

Pas pelepasan penerbangan MH2593.


Cop pasport keluar Sarawak di Lapangan Terbang Miri.

Pesawat 9M-8H6 yang parkir di apron Lapangan Terbang Miri.

Pesawat Malaysia Airlines ke Kuching dan menara kawalan Lapangan Terbang Miri.

Penerbangan MH2593 meninggalkan Lapangan Terbang Miri.

Dalam penerbangan, saya melihat di bawah, banyak permandangan yang menarik dan susah ditemui dapat saya lihat. Antaranya permandangan pelantar minyak dari ruang udara, bagi saya, ia sukar dilihat selama ini. Selain itu, saya dapat melihat permandangan Kepulauan Natuna dan Anambas, antara gugusan Kepulauan Riau yang terletak di antara Sarawak dan Semenajung Malaysia. Insya Allah, jika diberikan izin olehNya, saya akan ke sini satu hari nanti. Saya, Deddy dan Pak Nasir ada berborak untuk ke kawasan ini semasa perjalanan ke Brunei ini.

Akhirnya pada pukul 6:30 petang, mendaratlah pesawat kami di landasan terbang kedua KLIA. Semasa di laluan teksi dari landasan terbang ke ruang parkir pesawat, saya ternampak pesawat rasmi Raja Bahrain yang parkir di ruang apron berhampiran dengan Bangunan Terminal Utama KLIA. Akhirnya kami sampai terminal KLIA dan dapat keluar pesawat pada pukul 6:45 petang. Kami bergegas ke stesen bas KLIA dan tiba di situ pada pukul 7:10 malam.

Sebuah pelantar minyak kelihatan dari pesawat kami.

Kami di dalam penerbangan MH2593.

Permandangan Pulau Natuna, Kepulauan Riau, Indonesia dari pesawat kami.

Pesawat Raja Bahrain yang parkir di apron KLIA.

Penerbangan Malaysia Airlines MH2593 berlepas dari Lapangan Terbang Miri.


Peta: Penerbangan dari KLIA ke LT Miri.

Peta Laluan Pesawat Malaysia Airlines MH2593 pada 01 Mei 2017 daripada FlightRadar24.

Penerbangan Malaysia Airlines MH2593 mendarat di KLIA.

Riang kami apabila sampai di bangunan terminal utama KLIA.

Di stesen bas, saya dan Abang Zul menghantar Pak Nasir menaiki bas henti-henti Airport Liner untuk ke Nilai, di mana Pak Nasir akan menaiki keretapi KTM Komuter untuk ke Tampin/Pulau Sebang pula. Selepas Pak Nasir menaiki bas, kami ke kaunter tiket Airport Coach untuk menukar tiket untuk kembali ke KL Sentral. Kami mendapat tiket bas seterusnya iaitu pukul 7:30 malam. Kami terus menaiki bas tersebut, dan ia bergerak meninggalkan KLIA tepat pada masanya.


Tiket bas shuttle untuk perjalanan pulang dari KLIA ke KL Sentral.


Kami sampai di KL Sentral pada pukul 8:30 malam, dan saya berpisah dengan Abang Zul. Saya ke surau KL Sentral untuk solat. Usai solat saya pun menaiki LRT untuk ke stesen LRT yang terdekat dengan rumah saya. Sampai di stesen LRT tersebut, isteri saya sudah sedia menunggu. Akhirnya jam 9:15 malam, saya selamat tiba di rumah, alhamdulillah.

Demikanlah catatan perjalanan saya dan rakan-rakan bagi perjalanan kami merentasi Sarawak ke Brunei, ke Sarawak semula, masuk ke Brunei semula sebelum masuk kembali ke Sarawak dan akhirnya ke Sabah serta perjalanan patah semula demi mendapat 22 buah cop pasport. Sebenarnya itu bukanlah matlamat utama, sebaliknya kami ingin tahun apa yang ada di kawasan yang memang jarang orang yang tiada kepentingan, lalu di situ seperti Limbang, Temburong, Lawas dan Sipitang.

Jadi berakhir sudah kembara keempat saya pada tahun 2017 ini. Insya Allah, akan ada lagi kembara yang akan saya teruskan, iaitu ke Osaka, Jepun pada pertengahan bulan Julai 2017 nanti. Semoga catatan saya ini dapat memberikan manfaat kepada semua terutama yang ingin membuat perjalanan seperti ini. Jumpa lagi di catatan pengembaraan saya pada masa mendatang.

Ingat pesanan Qi Khusairi dalam program kembaranya "The Street", "Jadilah pengembara, bukannya pelancong". Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan... (Exploring the World, Knowing the Life...).

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2;
  • Day 4 (this part);
  • Travel Guide - Miri; or 
  • Travel Guide - Brunei.

Sunday, May 21, 2017

Hari 3 Bahagian 2 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Seharian Di Brunei.

Bersambung dari Hari 3 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2 (this part);
  • Day 4;
  • Travel Guide - Miri; or 
  • Travel Guide - Brunei.

Pintu masuk ke Masjid Omar Ali Saifuddien.


Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).

Hari 3 (30 April 2017 - Ahad) Bahagian 2.

Sampai di Kompleks ICQS Pandaruan, kami tidak terus ke kaunter imigresen. Ini kerana Pak Nasir dan Deddy perlu menyahut panggilan alam dahulu. Setelah selesai, baru kami melakukan prosedur masuk ke dalam Malaysia. Sebaik selesai prosedur tersebut, kami pun meninggalkan kompleks tersebut. Namun kami terlihat, barisan untuk keluar dari Malaysia, agak panjang juga, kira-kira 100 meter juga. Kira tidaklah sesak cuma agak banyak kenderaan sikit.

Kami tidak ke kiri menuju bandar Limbang, sebaliknya membelok ke kanan, yang mana ia adalah jalan menuju ke jeti bot yang menyeberangi Sungai Pandaruan, yang kini tidak digunakan lagi sejak Jambatan Persahabatan dibuka  pada tahun 2013. Sengaja ke situ, untuk melihat tinggalan pintu sempadan lama Malaysia-Brunei.

Sampai di situ, dapat terlihat lagi bangunan yang ditinggalkan, mungkin bangunan pentadbiran bagi perkhidmatan feri tersebut. Tidaklah ada fizikal jeti di sini, cuma ada hujung jalan yang terus menuju tebing Sungai Pandaruan, yang mana dari tebing ini, feri akan membawa kenderaan yang menaikinya ke seberang yang  tidaklah sejauh mana. Tidak silap, tambang feri bagi kereta biasa sekitar RM6.00 atau B$3.00, pada ketika itu. 

Dari situ, memang nampak jeti atau hujung jalan di sebelah Brunei, jadi memang pada masa itu, ia adalah penghujung jalan di Temburong. Jadi tidak hairan ia dinamakan Ujong Jalan. Ketika itu, pasport tetap dicop, cuma agak remeh sikit, di mana kita perlu mengambil cop pasport  di bandar Limbang (sebelah Malaysia) dan di pekan Bangar (sebelah Brunei). Kompleks ICQS Pandaruan hanya ada pada mulai tahun 2010 jika tidak silap saya dan Pos Sempadan Ujong Jalan pun betul-betul beroperasi beberapa ketika sebelum Jambatan Persahabatan dibuka secara rasmi.

Memandangkan kawasan ini sudah tidak lagi beroperasi, kawasan sekitarnya agak semak samun juga, tidak terjaga dan terurus. Namun beberapa papan tanda mengalukan kedatangan ke Limbang/ucapan selamat jalan masih ada. Mungkin tidak lama lagi ia juga akan dimamah usia. Kami berada di situ sekitar lebih sikit dari lima minit, dan kami pun beransur dari situ selepas itu.

 Cop pasport masuk Sarawak di Pandaruan.

Sungai Pandaruan yang menjadi sempadan bahagian Limbang, Sarawak, Malaysia dengan
daerah Temburong, Brunei. Kelihatan bekas jeti sebelah Brunei (gambar diambil dari jeti sebelah Malaysia).

Papan tanda selamat datang ke Limbang di bekas jeti feri Malaysia-Brunei di Pandaruan.


Kami meneruskan perjalanan terus ke Kompleks ICQS Tedungan untuk ke Brunei melalui bandar Limbang. Rasanya perjalanan kali ini mengambil masa kira-kira empat puluh minit juga. Kenderaan agak banyak sikit berbanding semalam bagi kedua-dua arah. Apabila sampai di Kompleks ICQS Tedungan dan Pos Sempadan Kuala Lurah, kami membuat prosedur pemeriksaan imigresen seperti biasa. Cuma di Kuala Lurah, barisan kereta agak panjang sikit, mungkin kerana ramai orang Brunei yang sudah membeli-belah di Limbang, ingin kembali. Tapi lorong untuk keluar dari Brunei lebih panjang sikit, cuma tidak seperti digembar-gemburkan yang mana ketika hari minggu, barisan boleh menjadi berkilometer panjangnya.

 Cop pasport keluar Sarawak di Tedungan.

 Cop pasport masuk Brunei di Kuala Lurah.


Peta: Perjalanan dari ICQS Pandaruan, Limbang ke 
Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Brunei.



Selepas urusan imigresen di Kuala Lurah, saya memandu kereta terus menuju ke pusat bandar Bandar Seri Begawan (BSB). Jika sempat, dapatlah kami bersolat berjemaah di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin. Dulu, semasa saya ke sini sebelum ini, hanya sempat masuk dan solat sunat sahaja, tidak sempat solat berjemaah. Jadi saya mengikut sahaja anak panah serta petunjuk daripada aplikasi Google Maps.

Dalam perjalanan, saya dapat melihat kepesatan pembangunan di sebelah BSB ini. Sambil itu, kami melalui juga beberapa ikon di Brunei ini seperti pintu masuk ke Istana Nurul Iman, istana rasmi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Brunei yang mempunyai lebih dua ribu buah bilik! Memang jalan ini, mengimbas perjalanan yang saya jalanan sebelum ini. Dalam perjalanan ini juga saya terpandang dengan bas-bas henti-henti di Brunei ini yang mana sebelum ini saya belum berkesempatan untuk melihatnya dalam kembara saya sebelum ini.

Memasuki pusat bandar, kelihatan pelbagai bangunan kerajaan dan tarikan pelancong, seperti Bangunan Alat-Alat Kebesaran Diraja Brunei dan Lapau (Bangunan Istiadat DiRaja Brunei). Cuma di pusat bandar ketika ini banyak jalan ditutup, kerana terdapat aktiviti hari tanpa kenderaan di situ.

Akhirnya sampai juga di Masjid Sultan Omar Ali Saifuddin beberapa ketika sebelum azan Zohor. Alhamdulillah, sempat juga kami sampai. Cuaca agak panas juga di BSB ini, malah ketika berjalan dari pintu masuk ke tempat ambil wuduk, ketika memijak lantai tanpa beralas kaki saya terasa seperti dibakar panasnya. Selepas mengambil wuduk, terasa segar, malah lebih lagi tat kala saya memasuki ruang solat masjid ini yang berhawa dingin. Sempat solat sunat beberapa rakaat dan bila iqamah dilaungkan, saya pun solat berjemaah dengan jemaah-jemaah di masjid ini. Ramai juga yang berjemaah, walaupun pada waktu zohor.

Selepas usai solat jemaah, kami semua mengambil kesempatan untuk bergambar di sekitar masjid ini. Cuma sebenarnya kawasan dalam masjid memang tidak boleh diambil gambar, namun saya sempat juga curi-curi ambil ketika keluar dari masjid ini. Ada petugas yang ada cuma pada masa itu, dia agak sibuk sebenarnya, jadi masa itu saya sempat mengambilnya. Di luar masjid memang boleh, jadi ambillah gambar, dan memang cantik kerana waktu tengahari yang bercuaca baik inilah yang sesuai untuk mengambil gambar masjid ini. Malah saya sempat membuat FB Live juga.

Cuma, kawasan tasik buatan di tepi masjid yang juga terdapat perahu batu yang menjadi ikon BSB ini ditutup kerana proses pengubahsuaian yang juga menjadi sebahagian daripada projek menaiktaraf Tebingan Sungai Brunei. 

Bas-bas henti-henti di Brunei.

Masjid Omar Ali Saifuddien.

Jadual lawatan ke dalam masjid.

Kolah mengambil wuduk.

Ruang solat Masjid Omar Ali Saifuddien (diambil secara curi-curi).

Plak maklumat tentang Masjid Omar Ali Saifuddien.

Pintu masuk ke Masjid Omar Ali Saifuddien.


Peta: Perjalanan seharian di Brunei.


Selepas mengambil gambar, ingatkan kami hendak ke Kompleks Yayasan Hasanal Bolkiah di hadapan masjid ini, yang merupakan pusat membeli-belah utama  di pusat bandar BSB ini, yang mana terdapat pelbagai cenderahati Brunei dikatakan dijual di sini, namun sebenarnya Deddy memaklumkan rakannya di Brunei hampir sampai. Jadi kami menunggu sahaja rakannya sampai.

Sementara menunggu, saya pun membawa ke kawasan Tamu Kianggeh di mana saya tidak sempat ke sini sebelum ini. Tamu atau pasar ini merupakan pasar utama di pusat bandar BSB. Kebanyakan dijual di sini adalah barangan keperluan harian, seperti sayura-sayuran dan bahan basah lain. Tidak pula jumpa yang menjual cenderahati pelancong seperti rantai kunci dan sebagainya di sini.

Tatkala di sini dalam beberapa ketika, sampai pula rakan Deddy yang membawa keretanya di kawasan Kianggeh ini. Kami pun semua memasuki kereta dan kemudian mengikut sahaja kereta rakan Deddy ini menuju destinasi. Dalam perjalanan, kami melalui beberapa kawasan termasuk jalan ke lapangan terbang, pintu masuk ke Jabatan Perdana Menteri Brunei dan Stadium Negara Hasanal Bolkiah. Selepas kira-kira 15 minit perjalanan, sampailah kami ke destinasi kami di Kampung Manggis.

Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah.


Papan tanda kadar bayaran parkir di dalam Bandar Seri Begawan.

Bas yang beroperasi di dalam bandar.

Sungai Kianggeh.

Papan tanda Tamu (pasar) Kianggeh.

Tamu Kianggeh.

Keadaan dalaman Tamu Kianggeh.

Destinasi kami kali ini adalah di rumah seorang kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di BSB, yang sedang membuat jamuan bagi menghadapi pra-Ramadan. Kiranya kami ini langkah kanan. Rupanya yang membawa kami ini adalah Encik Hardy Hermanata, Timbalan Pensuruhjaya Tinggi Malaysia di BSB ini rupanya.

Di rumah ini kami menjamu selera dan berbual-bual dengan hadirin majlis ini yang kesemuanya adalah kakitangan Suruhanjaya Tinggi dan keluarga mereka. Banyak juga yang dibualkan dan ada yang bertanya mengenai perjalanan kami ini juga. Setelah hampir sejam, kebanyakan mereka pun beransur pulang dan kami mengikut Encik Hardy ke rumahnya pula.

Rumahnya tidak berapa jauh dari rumah tadi. Kami dijamu juga di rumah ini yang mana isterinya sempat juga memasak sedikit hidangan. Kami juga dapat melihat telatah anak-anak mereka yang merupakan kembar tiga. Selepas setengah jam di rumah Encik Hardy, kami pun kemudian dibawa Encik Hardy ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Sampai di pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia, yang mana ketika itu merupakan hari cuti, tetapi pagarnya dibuka, maklumlah yang membawa kami adalah Timbalan Pensuruhjaya Tinggi sendiri. Dapatlah kami memasuki dan bergambar di sini. Bukan selalu hadir pun. Biasanya cuma dapat gambar di luar pagar sahaja kalau perjalanan saya di negara lain. Setelah seberapa ketika, kami pun beransur untuk ke tempat lain pula. Kami berbesar hati dan mengucapkan jutaan terima kasih atas layanan Encik Hardy berikan kepada kami.

Jamuan di dalam rumah salah seorang petugas Pensuruhjaya Tinggi Malaysia di Brunei.

Papan tanda di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Papan tanda waktu bekerja di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan.

Pintu utama pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Saya dan Timbalan Pensuruhjaya Tinggi Malaysia di BSB, Encik Ardi Hermanata.

Seterusnya, kami ke rumah rakan Deddy, iaitu Encik Sukri Sarbini, seorang diplomat Brunei yang pernah bertugas bersama Deddy di Otawa, Kanada satu ketika dahulu, yang kebetulan pulang ke Brunei pada hari tersebut. Saya pun memandu kereta ke kawasan Mentiri untuk ke rumahnya. Apabila sampai, huh, besar juga rumah ini. Bukan Sukri dan keluarganya sahaja malah semua keluarga adik-beradik dan ibu bapanya juga ada. 

Kami disambut dengan agar besar-besaran juga. Ada jamuan yang bagi saya agak besar juga. Kami dihidangkan dengan nasi Mendi kambing dan ayam. Jadi rezeki jangan ditolak, dan orang sudah memberi, jadi kami perlu merasa, agar kita tidak mencari musuh. Sambil makan, sempat juga kami mengenal keluarga ini dengan berbual-bual. Ini dibawa ke selepas sesi makan juga.

Rupanya bapa Encik Shukri ini, iaitu Lt. Kol. (B) Sarbini, merupakan seorang pegawai kanan di dalam Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei. Beliau pernah acap kali bertugas dengan pembesar Brunei dan juga menjadi pengiring bagi pembesar luar negara yang datang. Banyak juga yang kami bualkan, sehingga ke arah politik juga. Rasa hormat juga pada beliau.

Setelah berbual, kami dibawa ke sekitar kawasan rumah yang luas itu. Saya pun macam mengiakan apa yang dikata oleh Pak Nasir, bukan rumah orang Brunei kalau tidak besar. Setelah hampir dua jam di rumah ini, kami pun meminta diri, kerana saya perlu berjumpa dengan rakan saya, kerana saya risau, dia menunggu saya dari pagi lagi. Layanan keluarga Lt. Kol. (B) Sarbini, memang terbaik dan kami amat-amat berbesar hati dengannya. Malah diucapkan kepada kami, kalau sampai ke Brunei lagi, jangan segan-segan datang lagi.

Setelah itu, saya memandu ke kawasan KFC Kota Batu yang tidak berapa jauh dari rumah Lt. Kol. (B) Sarbini, untuk berjumpa sekejap dengan rakan saya, Nams Najihin. Saya berjumpa sekejap sahaja dengannya, jadilah kerana asalkan kami dapat berjumpa. Nanti tidaklah kata lalu tempatnya tidak dimaklumkan. Memang memohon maaf dengannya, kerana hanya berjumpa sebentar. Lagipun ketika itu hampir masuk waktu Maghrib. 

Setelah kami berjumpa sebentar dengan Nams Najihin, kami memohon diri dengannya untuk meneruskan perjalanan melalui jalan lama Kota Batu menuju ke BSB. Dalam perjalanan, dapat juga kami melihat projek Jambatan Brunei-Temburong merentasi Teluk Brunei. Nanti, siapnya jambatan ini pada tahun 2019, orang Brunei tidak lagi perlu melalui Limbang untuk ke Temburong (Brunei), jadi kurang sikit cop pasport dan juga penggunaan masa ke sana. Ini juga dapat meningkatkan lagi pembangunan di Temburong nanti. 

Ketika hendak masuk ke kawasan pusat bandar BSB, projek Jambatan BSB-Kampung Air nampaknya hampir siap. Jadi orang Kampung Air yang berkereta tidak perlu memandu jauh sehingga lebih 30 minit dari BSB untuk ke Kampung Air yang hanya seberang sahaja dari BSB. Ini juga dapat mengurangkan kereta penduduk Kampung Air yang banyak parkir di kawasan Tebingan Sungai Brunei, yang mana mereka akan ke rumah mereka dengan bot penambang pula. 

Kami sampai di pusat bandar BSB sudah gelap, jadi rasanya kurang sesuai untuk berjalan-jalan di Kampung Air menaiki bot tambang. Walaupun mempunyai perkhidmatan bot pada masa itu, cuma hari sudah gelap, kemungkinan lebih berbahaya jika diteruskan. Kami kemudian mengambil keputusan untuk ke Masjid Jame' 'Asr Hasanal Bolkiah untuk solat Maghrib pula, dan terlupa untuk ke Kompleks Yayasan Hasanal Bolkiah sebenarnya.

Rumah Lt. Kol. (B) Haji Sarbini di Mentiri.

Lt. Kol. (B) Haji Sarbini (kanan) dan anak ke Encik Sukri.

Hidangan yang disajikan.

Gambar kenangan kami dengan Lt. Kol. (B) Haji Sarbini di dalam rumah.

Gambar kenangan kami dengan Lt. Kol. (B) Haji Sarbini di luar rumah.

Perjalanan dari pusat bandar BSB ke Masjid Jame' 'Asr Hasanal Bolkiah cuma sepuluh minit sahaja. Cuma kami terlepas untuk solat berjemaah dengan imam di sini. Kami pun bersolat jemaah sesama kami sendiri sahaja. Sekurang-kurangnya saya dapat membawa rakan-rakan untuk solat di kedua-dua masjid Sultan Brunei ini. 

Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

Tempat wuduk Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah.

Ruang solat Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah (diambil secara curi-curi).

Masjid Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dari jauh (Gadong).

Setelah usai solat di Masjid Jame' 'Asr Hasanal Bolkiah, kami pun ke Pasar Malam Gadong, untuk melihat apa yang boleh dibeli untuk cenderahati. Ramai juga yang ke pasar malam ini, sehingga hendak parkir pun agak susah (jika hendak parkir dekat dengan pasar malam ini). Pasar malam ini tidaklah seperti di Malaysia, ia mempunyai premis berbumbung, malah setiap peniaga mempunyai lot gerai yang agak besar. Malah mempunyai kemudahan yang lengkap seperti singki dan paip.

Banyak yang didapati di pasar malam ini adalah gerai makanan dan juadah. Oleh kerana perut kami sudah penuh tahap maksima, maka memang makanan bukan pilihan untuk dibeli. Terdapat juga kedai menjual pakaian. Cuma tidak ada yang sesuai dijadikan cenderahati. Malah memang tidak ada kedai menjual cenderahati di sini. Ini bermakna, Brunei akan terus menjadi destinasi yang tiada tanda hati buat saya huhuhu. Namun saya dapat juga membeli terung asam Borneo yang bagi saya agak murah harganya. Dengan sepinggan yang mempunyai tiga biji buah terung asam ini berharga B$1.00 (+- RM3.20), saya membeli dua pinggan untuk dijadikan buah tangan ibu dan isteri saya bila pulang nanti.

Setelah setengah jam berada di pasar malam, masa di tangan menunjukkan pukul 8:30 malam. Makan Deddy mencadangkan untuk kami pulang ke Miri terus. Maklumlah, keesokannya pagi, seawal 6:00 pagi, Deddy akan pulang kerana terdapat urusan rasmi kerja, kerana Raja Bahrain telah tiba di Kuala Lumpur pada petang tadi. Jadi saya pun memandu kereta ini terus menuju ke pintu sempadan.

Saya memandu kereta ini melalui Lebuhraya Muara-Kuala Belait. Infrastruktur lebuhraya ini agak baik juga, cuma pada tempat-tempat tertentu, perlu berhati-hati kerana terdapat kereta dari arah bertentangan membuat pusingan U. Pada awalnya, saya agak keliru dengan maksud papan tanda bertulis, "AWAS! KENDERAAN BERPUSING DI HADAPAN". Saya ingatkan ada kereta berpusing seperti puting beliung, rupanya ia bermaksud terdapat kenderaan yang membuat pusingan U. 

Selain itu, terdapat juga beberapa bahagian yang masih menggunakan simpang berlampu isyarat. Jadi jangan terlajak laju, takut terbabas. Perlu diingat, penguatkuasaan had laju agak ketat juga di Brunei ini. Bahagian di antara Sungai Liang dan Kuala Belait masih belum siap sepenuhnya, malah jalan menjadi selorong, kerana kenderaan berlawanan arah menggunakan satu lorong lagi sebagai jalan mereka. Lebuhraya ini hanya sampai ke bulatan Kuala Belait sahaja, di mana selanjutnya menuju ke Pos Sempadan Sungai Tujoh Kuala Belait, jalannya agak kurang cantik. Perlu diingatkan, terdapat tol (sila rujuk catatan Hari 2 Bahagian 1) selepas bulatan Kuala Belait.

Setelah 45 minit perjalanan (laju juga saya bawa kereta), akhirnya sampai juga di Pos Sungai Tujoh Kuala Belait, Brunei. Mudah sahaja urusan imigresen dengan kereta yang hanya ada dua buah di depan kami dan dengan dua lorong dibuka. Selepas selesai urusan, maka secara rasmilah kami keluar dari Brunei. Saya kongsikan matawang Ringgit (Dolar) Brunei yang telah saya gunakan sepanjang kami di Brunei.

Lima minit kemudian, kami pun sampai di Kompleks ICQS Sg. Tujuh pula. Di sini lagi senang, terus masuk ke lorong tanpa ada kereta beratur. Alhamdulillah, tercapai cop ke-21 kami untuk perjalanan ini. Kami meneruskan perjalanan terus ke penginapan kami di Raja Inn Hotel.

Pasar Malam Gadong.

Keadaan di dalam Pasar Malam Gadong.

Perjalanan pulang ke Miri melalui Lebuhraya Muara-Kuala Belait
(tidak berapa jelas, papan tanda bertulis "AWAS, KENDERAAN BERPUSING DI HADAPAN")

Cop pasport keluar Brunei di Sungai Tujoh, Kuala Belait.



BND $1.00 (versi 1996) (masih guna) = +- RM 3.20

BND $1.00 (versi 2011) = +- RM 3.20

B$5.00 = +-RM16.00

B$50.00 = +-RM160.00

Cop pasport masuk Sarawak di Sg. Tujuh.


Peta: Perjalanan dari Pasar Malam Gadong ke Raja Inn Hotel, Miri.


Restoran Kafe Awang Mahyan, Miri.


Sebelum sampai ke hotel, kami singgah makan di Restoran Kafe Awang Mahyan, yang kami tiba pada pukul 10:00 malam, yang dibelanja oleh Deddy. Saya seperti ketangih pula, makanan yang sama seperti sebelum ini, iaitu Mee Kolok dan Teh C.
Selesai makan malam, kami pun ke hotel kami untuk mendaftar masuk dan mendapat kembali bilik yang kami duduk dua malam sebelumnya. Setelah membersihkan diri, saya pun tidur, maklumlah, seharian membawa kereta, penat juga.

Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat catatan:

If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2 (this part);
  • Day 4;
  • Travel Guide - Miri; or 
  • Travel Guide - Brunei.