Bersambung dari Hari 5.
Jika ingin membaca catatan:
- Pra Kembara;
- Itinerari;
- Hari 1 Bahagian 1;
- Hari 1 Bahagian 2;
- Hari 2;
- Hari 3, atau
- Hari 4.
If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1 Part 1;
- Day 1 Part 2;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5; or
- Day 6 (this part).
25 Disember 2014 (Khamis)
Perjalanan bas masih diteruskan dan malangnya bas ini tidak berhenti untuk solat subuh. Kami sampai di terminal bas Dumai pada jam 6:35 pagi, sudah lepas waktu syuruk di Dumai. Nampak gaya saya dan Pak Nasir perlu berpisah dengan Azmi kerana pemandu angkot shuttle ke pelabuhan mengatakan feri ke Batam akan bertolak pada pukul 7:00 pagi. Jadi kena berkejarlah. Jadi kami bersalam dan berpeluk dengan Azmi dan berharap semoga berjumpa lagi. Angkot yang kami naik pun berbeza.
Pada jam 7:00 pagi, angkot yang kami naik berlepas dari terminal bas. Kami ke pelabuhan dahulu untuk menurunkan beberapa penumpang yang akan menaiki feri domestik, yang akan berhenti ke Bengkalis, Tanjung Pinang, Tanjung Balai Karimun dan Batam, mungkin penumpang feri yang sama dengan Azmi. Kemudian, angkot menghantar kami ke kedai kaunter tiket feri Indomal Express di Jl Jenderal Sudirman. Angkot yang kami naik ini sebenarnya percuma sahaja, kerana telah dibayar oleh syarikat bas untuk membawa penumpang ke jeti pelabuhan.
Kami diminta untuk diberikan pasport untuk urusan pembelian tiket. Pengurus kaunter tiket mengatakan tiket ke Melaka pukul 10:00 pagi telah habis, begitu juga feri tambahan pada pukul 12:00 tengahari. Bagaimanapun dia memberikan kami tempat duduk untuk feri tambahan pukul 2:00 petang alhamdulillah. Cuma kasihan kepada Pak Nasir, baki wang bayaran feri itu, diambil terus oleh pemandu angkot itu, atas alasan duit rokok katanya.
Silap saya juga, sepatutnya saya perlu menempah tiket feri ini awal-awal lagi, kerana saya telah ada nombor telefon kaunter ini (sila rujuk catatan Pra Kembara). Kalau tempat awal, mungkin kami dapat naik feri pukul 10:00 pagi punya. Tidaklah masa berbazir begitu sahaja. Memang kembara ini masa banyak dibazirkan mengunggu. Agaknya macam manalah kalau orang Indonesia balik kampung sempena hari lebaran (hari raya) ya. Berhari-hari baru sampai kampung.
Saya terpaksa mengambil tiket ke Melaka kerana Pak Nasir pun akan ke Melaka, jadi mudah saya untuk kembali ke Kuala Lumpur melalui Melaka Sentral. Dari Dumai, terdapat perkhidmatan feri setiap hari. Kalau ke Pelabuhan Klang, hanya ada pada Hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja. Ke Port Dickson pula pada Isnin, Selasa, Khamis, Jumaat dan Sabtu, tapi susah sikit pasal pengangkutan ke Kuala Lumpur sukar sikit berbanding dari Melaka, yang ada bas setiap setengah jam, dan banyak penyedia bas ekspres.
Indomal Express sebenarnya perkhidmatan antarabangsa bagi PT Pelnas Lestari Indomabahari dan rakan kongsi Malaysia Rupat Follow Me Sdn Bhd. PT Pelnas Lestari Indomabahari sendiri mempunyai perkhidmatan domestik yang dinamakan Dumai Express. Kaunternya terdapat di sebelah kaunter Indomal Express. Kami tidak dapat pasport ketika itu, tapi perlu menunggu sehingga pukul 10:00 pagi katanya. Jadi kami perlu duduk di sekitar dahulu, risau kerana jika tiada pasport, mungkin akan jadi sesuatu yang tidak diingini.
Teg beg Feri Indomal Express.
Jadi kami bersarapan di sebelah kaunter Indomal Express ini. Memang kebiasaan di Indonesia ini, sarapan pagi sudah makan berat, iaitu makan nasi putih berlauk. Dari dalam kedai, saya melihat papan yang berwarna warni, serupa yang didapati di Medan. Banyak yang mengucapkan tahniah atas kejayaan, perkahwinan, kelahiran atau apa-apa yang menggembirakan. Setelah itu, saya berjalan-jalan di sekitar, dan menjumpai masjid. Jadilah, subuh gajah pun subuh gajahlah, jadi saya tunaikan solat subuh walaupun sudah pukul 9:30 pagi. Solat sekali bersama beberapa solat sunat.
Sudah pukul 10:00 pagi, masih belum dapat pasport kami. Kami tunggu lagi, akhirnya pada jam 10:30 pagi, kami dapat pasport kami. Dapatlah kami berjalan-jalan di sekeliling bandar Dumai ini. Bandar Dumai ini tidaklah besar sangat. Kemudahan pun tidaklah moden sangat, sama sahaja bandar-bandar dan pekan-pekan di Sumatera lain. Tidak begitu bersih pun.
Kami berjalan-jalan di Jl Jenderal Sudirman dari satu kedai ke satu kedai. Kemudian ke Jl Sultan Syarif Kasim. Singgah ke sebuah kedai emas untuk Pak Nasir menukar sedikit Ringgit Malaysia kepada Rupiah Indonesia. Selepas itu kami terjumpa sebuah pasar dan berjalan-jalan ke dalamnya. Harga barang-barang yang dijual amat murah jika dibandingkan dengan Malaysia. Antara yang saya beli adalah setengah kilogram ikan kerisi masin yang bernilai Rp20ribu (+- RM6.00) sahaja.
Di Kota Dumai, persimpangan Jalan (Jl.) Jendral Sudirman dan Jl. Sultan Syarif Kasim.
Boarding Pass Indomal Express.
Kemudian kami kembali ke kaunter Indomal Express untuk mengambil tiket, boarding pass, dan resit cukai pelabuhan. Pada pukul 12:30 tengahari, kami menaiki angkot khas yang disediakan pihak Indomal Express untuk ke jeti penumpang, Pelabuhan Dumai. Alhamdulillah, di Dumai, tiket feri adalah termasuk bayaran cukai pelabuhan sekali.
Di pelabuhan, rupanya penumpang feri pukul 12:00 tengahari belum menaiki feri lagi. Suasana di bangunan ini juga agak panas, ada beberapa alat pendingin hawa tapi tidak dibuka. Menjadikan saya tidak sabar nak balik ke tanah tumpah darah saya.
Di sini terdapat surau untuk bersolat, namun saya risau hendak pergi ke situ, kerana terletak selepas pemeriksaan imigresen. Tandas pun terletak di situ. Rupanya boleh masuk dengan selamba sahaja. Dapatlah bersolat Zohor dijamakan dengan Asar. Tapi untuk pengetahuan, surau ini surau uniseks, iaitu tiada yang mengasingkan lelaki dan wanita. Sudah jadi budaya di Indonesia kot.
Rupanya feri kami ditunda kerana pada pukul 2:00, feri jam 12:00 baru berlepas, dan feri dari Melaka belum sampai. Pada ketika itu juga, kami sebagai penumpang feri pukul 2:00 petang dipanggil untuk pemeriksaan imigresen. Kena beratur panjang, namun alhamdulillah lepas dengan tiada masalah.
Kaunter Imigresen, Pelabuhan Penumpang Dumai.
Rupanya kena tunggu lagi, di ruangan menunggu selepas pemeriksaan imigresen. Pada pukul 2:30 petang barulah feri dari Melaka sampai. Kami kena tunggu untuk proses pembersihan feri dan sebagainya.
Akhirnya pada jam 3:00 petang kami dapat menaiki feri kami. Setelah 20 minit kemudian, berlepaslah feri kami ini menuju ke Melaka. Selamat tinggal Sumatera.
Keadaan kapal yang berlabuh di Selat Dumai.
Jeti Penumpang Dumai.
Nombor pendaftaran feri.
Inilah pengalaman pertama saya menyeberangi Selat Melaka. Jika sebelum ini hanya melalui udara sahaja atau hanya menyeberanginya ke Pulau Langkawi atau Pulau Pinang juga Pulau Pangkor dari tanah besar Semenanjung Malaysia. Kini saya menyeberangi antara dua negara pula.
Sepanjang perjalanan hampir 3 jam kami ini, kami hampir berselisih dengan beberapa kapal-kapal besar seperti kapal kontena dan kapal tangki. Ini kerana kami melintasi laluan perkapalan tersibuk di dunia. Memang kapal tidak putus-putus berlayar di Selat Melaka ini.
Permandangan bandaraya Melaka dari Selat Melaka.
Nampak kurang jelas kerana cuaca mendung.
Alhamdulillah, setelah hampir 3 jam, akhirnya pada pukul 7:00 malam waktu Malaysia (awal sejam dari waktu Indonesia), kami sampai ke Kompleks ICQS Melaka yang serba moden. Kompleks ini baru setahun lebih digunakan. Kami terus ke laluan untuk rakyat Malaysia dan tidak sampai 10 saat, urusan imigresen selesai.
Di Kompleks ICQS (Imigresen, Kastam, Kurantin & Keselamatan) Melaka,
sejurus selepas keluar dari pemeriksaan imigresen Malaysia setelah sampai dari Dumai.
Kami telah ditunggu oleh anak Pak Nasir di luar kompleks dan kemudian mereka menghantar kami ke Melaka Sentral. Mereka hantar saya sehingga ke pintu depan Melaka Sentral. Saya mengucapkan selamat tinggal kepada Pak Nasir dan anaknya. Rasa sedih pula kerana dekat seminggu kami mengembara. Tapi pertemuan dan perpisahan itu adat manusia biasa. Insya Allah, ada rezeki dan kesempatan, kita akan mengembara lagi.
Seterusnya saya pergi ke mencari tiket ke Kuala Lumpur dan alhamdulillah mendapat tiket bas yang paling awal pada jam 8:30 malam (ketika saya sampai di Melaka Sentral, pukul 7:30 malam), dengan bas KKKL, dengan harga RM13.40. Jadi dapatlah saya bersolat dan makan malam dahulu. Pada jam 8:20 malam, saya menaiki bas dan sepuluh minit kemudian tayar bas KKKL ini bergolek meninggalkan Melaka Sentral.
Saya tidak sedar bila saya tertidur, namun saya tersedar ketika bas sudah berhenti di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada pukul 10:15 malam. Nasib baik bangun, kalau tak, jadi benda lain pula. Isteri saya sampai 10 minit kemudian dan kami sampai ke rumah kami beberapa minit sebelum pukul 11:00 malam.
Itulah pengalaman saya mengembara ke utara Sumetera sehingga tidak sedar telah melalui 3 buah provinsi. Banyak pengalaman yang didapati, secara amnya dapatlah saya mengetahui bagaimana sebenarnya Sumatera ini, yang sebelum ini hanya dapat dari orang lain sahaja. Insya Allah segala kenangan di kembara ini akan menjadi kenangan dalam hidup saya, dan juga dapat saya kongsikan kepada siapa yang memerlukan.
Insya Allah, akan bersambung pula ke trip yang akan datang, insya Allah percutian sekeluarga ke Jakarta dan Bandung pada akhir Januari/awal Februari sempana cuti Hari Wilayah Persekutuan dan Thaipusam nanti.
Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
Jika ingin membaca catatan:
- Pra Kembara;
- Itinerari;
- Hari 1 Bahagian 1;
- Hari 1 Bahagian 2;
- Hari 2;
- Hari 3;
- Hari 4; atau
- Hari 5.
If want to read in English:
- Pre Journey;
- Itinerary;
- Day 1 Part 1;
- Day 1 Part 2;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4;
- Day 5; or
- Day 6 (this part).