Memaparkan catatan dengan label 14 hingga 16 Januari 2016 - Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon) Vietnam. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 14 hingga 16 Januari 2016 - Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon) Vietnam. Papar semua catatan

Isnin, 25 Januari 2016

Hari 3 (Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 14 hingga 16 Januari 2016) - Selamat Tinggal Saigon.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; or 
  • Day 3 (this part).

Pesawat 9M-AJB yang parkir di pintu L18, klia2.


Hari 3 - 16 Januari 2016 (Sabtu).

Memandang pada malam sebelumnya, kami (saya dan dan isteri saya) tidur agak awal iaitu dalam pukul 10:00 malam, maka pagi ini, saya bangun agak awal. Jadi kami mengambil kesempatan untuk mengemas barang-barang kami. Oleh kerana barang kami melebihi 14 kilogram yang dihadkan untuk bagasi kabin, maka saya membeli bagasi yang akan didaftar masuk tambahan sebanyak 25 kilogram yang dicaj sebanyak RM50.00 di dalam laman web AirAsia. Ini gerak hari sebenarnya, kerana ia cuma beza RM5.00 sahaja dari caj bagasi tambahan 20 kilogram yang dicaj RM45.00. Tapi rasanya tidaklah sampai perlu beli 30 kilogram (dicaj RM90.00) atau 40 kilogram (RM180.00).

Memandangkan di hotel kami terdapat alat penimbang, maka saya ke bawah untuk meminjam alat tersebut bagi dibawa ke bilik kami. Memang betul bagasi tambahan (terdiri dari barang-barang dibeli isteri saya dan beg-beg Deuter yang akan saya jual) kami yang kami buat dua bungkusan, berjumlah 24 kilogram. Beg galas kami yang akan jadi bagasi kabin pula, masing-masing mempunyai berat lebih sikit dari 7 kilogram. Ini perlu diurus, kerana pengalaman saya, di Lapangan Terbang SGN nanti, semua bagasi tidak kira bagasi daftar masuk atau bagasi kabin akan ditimbang. Kami tidak mahu membayar lebih pada benda-benda yang tidak sepatutnya kami bayar.

Setelah selesai, kami berehat, bersolat dan menunggu untuk sarapan pagi yang hanya akan dibuka pada pukul 6:30 pagi. Tepat pukul 6:30 pagi, kami ke bangunan sebelah untuk bersarapan pagi. Kebetulan semasa kami bersarapan, kakak-kakak ipar saya pun bersarapan sama.

Habis bersarapan, isteri saya bersalam-salaman dengan kakak-kakaknya kerana perlu pulang ke Malaysia pada sebelah pagi. Selepas itu, mereka meneruskan "misi" mereka di Pasar Ben Thanh dan kami berjalan ke perhentian bas terdekat untuk ke lapangan terbang SGN.

Papan tanda perhentian bas no. 152 berhampiran Mifuki Inn Hotel.

Memang untung kami menginap di Mifuki Inn ini kerana perhentian bas untuk bas nombor 152 hanya 50 meter sahaja dari hotel. Perhentian ini merupakan satu perhentian selepas Stesen Bas Ben Thanh menuju ke lapangan terbang. Ia terletak di sebelah stesen minyak Petrolimex, berhampiran Hotel New World. Memang dekat sangat. Kami menunggu bas tidak lama, tidak sampai lima minit sudah sampai. Maka saya bayarkan tambang sebanyak ₫10 000 (+- RM2.00) untuk dua orang.

Selepas 20 minit, maka sampailah kami di perhentian bas di balai ketibaan terminal antarabangsa SGN. Kami pun ke lif untuk ke tingkat 3 untuk ke balai berlepas. 


Tanda arah ke tangga dan lif menuju ke balai berlepas (tingkat 3) dari tingkat 1 SGN.

Dahulunya kalau hendak masuk ke balai berlepas bagi tujuan mendaftar masuk, hanya penumpang sahaja dibenarkan. Kini saya mencuba untuk masuk bersama isteri saya bagi membantu dia mendaftar masuk, maklumlah ini pertama kali dia menaiki kapal terbang seorang diri. Alhamdulillah dapat juga kami masuk bersama. Pihak keselamatan lapangan terbang tidak berapa hendak memeriksa sangat itinerari penerbangan. Sejurus masuk ke balai berlepas, saya dapat melihat dua kaunter perkhidmatan membungkus bagasi bagi setiap pintu masuk (terdapat dua pintu masuk ke balai berlepas SGN ini). Harga bagi kotak kecil ₫80 000 (+- RM16.00) dan besar sikit ₫100 000 (+- RM20.00). Bagi pembungkusan plastik Secure Pack yang bertujuan untuk mengelakan bungkusan/bagasi dari diceroboh/dibuka, bayarannya adalah ₫80 000 (+- RM16.00).


Perkhidmatan pembungkusan bagasi di terminal antarabangsa SGN.

Memandangkan isteri saya tiada bagasi, maka kami terus ke kaunter daftar masuk yang sudah dibuka. Saya terus ke kaunter penumpang tanpa bagasi daftar masuk untuk mendaftar masuk semula isteri saya. Sebenarnya kami telah awal lagi mendaftar masuk secara web, namun di SGN ini, kita perlu mendaftar masuk sekali lagi untuk pengesahan. Lagipun setiap beg termasuk bagasi kabin perlu ditimbang. Alhamdulillah lepas.

Setelah selesai urusan, saya menghantar masuk isteri saya untuk pemeriksaan keselamatan dan kastam. Kemudian saya memerhati sahaja dari jauh semasa dia menjalani pemeriksaan imigresen untuk keluar dari Vietnam. Saya mula beredar setelah dia selesai prosedur imigresen tersebut, menuju ke pintu pelepasan.

Semasa keluar dari balai berlepas, kebetulan terdapat penggambaran drama atau filem Vietnam, dan saya termasuk ke dalam penggambaran tersebut secara tidak sengaja. Agaknya lepas ini, saya termasuk ke dalam layar wayang atau layar televisyen kot, huhuhu.

Saya kembali ke bawah dan tidak terus menaiki bas, sebaliknya saya ke terminal domestik SGN ini. Dapatlah saya melihat keadaan dan suasana terminal domestik SGN pula.

Suasana terminal domestik SGN.

Dalam masa saya berjalan-jalan di terminal domestik ini, saya terlihat kaunter perkhidmatan pembungkusan bagasi di terminal ini lebih murah, iaitu hanya ₫50 000 (+- RM10.00) sahaja bagi kotak dan pembungkusan plastik Secure Pack. Lebih murah berbanding di terminal antarabangsa. Jadi nanti apabila saya kembali ke SGN ini untuk penerbangan saya, akan saya ke sini untuk perkhidmatan tersebut.

Setelah itu saya pun kembali ke hotel dengan menaiki bas. Semasa sampai di stesen Ben Thanh, saya terjumpa seorang sahabat saya di Saigon yang merupakan warga Saigon, orang Vietnam. Rasa bersalah pula tidak memaklum kehadiran saya di Saigon. Bukan apa, tidak hendak menyusahkannya kerana saya hanya sekejap sahaja di Saigon. Akhirnya kami duduk berborak di Restoran Hajah Basiroh di Malaysian Street.

Kami berborak kira-kira hampir sejam, hanya minum sahaja, walaupun ditawarkan untuk makan. Saya memaklumkan saya perlu untuk mendaftar keluar hotel dan mengejar penerbangan. Lalu kami berpisah. Saya segera ke hotel dan membuat persiapan terakhir. Sempat juga saya masak dan makan Maggi yang masih ada dalam beg saya.

Tepat pukul 12:00 tengahari, saya dengan membawa bagasi-bagasi saya turun untuk mendaftar keluar hotel. Seterusnya, saya terus ke perhentian bas tadi untuk menunggu bas. Kebetulan terjumpa sekali kakak-kakak ipar saya, yang mana mereka ingat saya sudah lebih awal ke lapangan terbang. Bas datang tidak lama kemudian, dan Idah membelanja kami tambang ke lapangan terbang. Kali ini, setiap orang dikenakan tambang ₫10 000 (+- RM2.00) iaitu ₫5000 untuk tambang biasa dan tambahan ₫5000 untuk bagasi. Saya walaupun mempunyai bagasi yang banyak, tetapi dikenakan tambang yang sama.

Perkhidmatan pembungkusan bagasi di terminal domestik SGN.

Setelah 25 minit, kami sampai di lapangan terbang dan terus ke terminal domestik untuk perkhidmatan bungkusan. Memang banyak boleh dijimatkan. Setelah selesai, kami ke tingkat 2 terminal antarabangsa kerana kaunter daftar masuk penerbangan masih belum dibuka. Di tingkat 2 ini terdapat kerusi dan meja, yang paling penting ada penghawa dingin, sejuk sikit kami. Kalau tunggu di tingkat 3, kami perlu tunggu di ruang tanpa penghawa dingin. 

Di tingkat 2, kami sempatlah untuk bersolat dan mengecaj telefon bimbit kami, kerana banyak soket elektrik. Terdapat juga medan selera cuma kami tidak makan kerana hidangannya tidak halal.

Setelah mendapat makluman pintu pelepasan dibuka, maka kami ke tingkat 3 untuk ke balai pelepasan bagi proses daftar masuk di kaunter daftar masuk. Alhamdulillah, proses daftar masuk berjalan lancar.

Setelah itu, kami menuju ke pusat pemeriksaan keselamatan dan kastam. Bagus, kerana kali ini kedua-dua proses itu disatukan. Sebelum ini, ia adalah proses berbeza di mana proses keselamatan dijalankan sebelum prosedur imigresen dan pemeriksaan kastam pula selepas imigresen. Agak makan masa, terutama bagi yang mengejar penerbangan. Alhamdulillah kini ia dapat disingkatkan.

Seterusnya, kami menjalani proses prosedur imigresen keluar Vietnam. Oleh kerana kemungkinan masa kami menjalani proses ini merupakan masa puncak agaknya, jadi proses beratur agak lama. Kena pula banyak kaunter ditutup, mungkin kerana makan tengahari. Setelah dekat setengah jam, semasa hampir tiba giliran saya, banyak pula dibuka. Proses imigresen agak lancar dan cepat juga. Tiada masalah salah faham seperti saya alami pada kunjungan tahun 2014 lepas.


Cop imigresen keluar dari Vietnam melalui 
Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, Vietnam.

Selepas usai urusan imigresen, kami ke pintu pelepasan 9 untuk menunggu penerbangan kami. Agak lama juga kerana penerbangan kami hanya akan berlepas lagi dua jam lagi. Maka sempat juga saya tidur di pintu pelepasan sambil mengecaj telefon bimbit saya. Selepas itu saya bangun dan masih banyak masa lagi, lalu saya berjalan-jalan di kawasan airside terminal antarabangsa SGN ini. Hendak beli barang pun, kedai-kedai di sini hanya terima bayaran dan Dollar Amerika Syarikat (US$) sahaja. Selamat sikit duit saya.

Akhirnya pada pukul 3:45 petang, pintu pelepasan dibuka untuk penerbangan kami. Pesawat kami berlepas dari SGN pada pukul 4:45 petang, terlewat dari masa sebenar kerana terdapat banyak pesawat perlu berlepas pada waktu sama dengan pesawat kami. Jadi kena tunggu giliranlah.


Pas pelepasan penerbangan AK 523 pada 16 Januari 2016.

Carta perjalanan penerbangan AK 523 pada 16 Januari 2016 (daripada FlightRadar24).

Penerbangan kami mengambil masa hampir sejam 45 minit juga. Dalam penerbangan, saya menahan diri untuk makan, agar rasa nikmat apabila makan makanan Malaysia apabila tida di klia2 nanti. Pada pukul 7:20 malam waktu Malaysia (UTC +8, sejam awal dari waktu Vietnam), akhirnya pesawat 9M-AJB AirAsia pernerbangan AK 523 tiba di klia2 dan parkir di pintu L18.

Pesawat 9M-AJB yang parkir di pintu L18, klia2.

Kami terus ke kawasan mengambil bagasi dan bersolat dahulu kerana bagasi akan tiba lambat. Jadi saya mengucapkan selamat kepada kakak-kakak ipar saya dan terus bersolat. Usai solat, terus ke tempat mengambil bagasi dan terus menjumpai bagasi-bagasi saya. Saya terus menelefon isteri saya untuk mengambil saya di tempat mengambil penumpang di balai ketibaan. Sampai di sana, terus jumpa kereta isteri saya dan kami terus ke restoran makanan Thai yang biasa kami makan di pekan Salak.

Sampai di sana, malangnya, restoran tersebut ditutup kerana proses ubah suai, maka kami terus pulang ke rumah. Kami singgah untuk makan di Restoran Asam Pedas Sejati di Kampung Pandan, Ampang, Selangor. Setelah kenyang, alhamdulillah, kami pun pulang ke rumah dan sampai pada pukul 10:00 malam.

Jadi itulah catatan perjalanan pendek saya ke Saigon, Vietnam. Insya Allah, saya akan kembali membuat catatan kembara pada kembara akan datang. Insya Allah akan ke Korea pula pada bulan Mac 2016 ini.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; or 
  • Day 3 (this part).

Ahad, 24 Januari 2016

Hari 2 (Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 14 hingga 16 Januari 2016) - Kali Pertama Bersolat Jumaat Di Bumi Vietnam.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)or 
  • Day 3. 


Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman.


Hari 2 - 15 Januari 2016 (Jumaat).

Pagi di Saigon ini agak awal. Subuh pun masuk pada pukul 4:45 pagi. Pukul 6 pagi sudah mula hendak terang. Tetapi di hotel kami dan juga hotel-hotel lain, waktu sarapan pagi adalah pada pukul 6:30 atau 7:00 pagi. Agak lewatlah juga, kerana suasana ketika itu seperti pukul 8:00 atau 8:30 pagi di Malaysia. Tapi masih awal berbanding di Indonesia, pukul 8:00 pagi baru hendak buka sarapan pagi.

Kuil Sri Mahariaman di Jalan Trudong Dinh, Saigon.

Jadi, sebelum bersarapan, saya keluar berjalan-jalan untuk mengambil angin pagi, di kawasan sekitar hotel.  Dalam berjalan-jalan itu, saya melalui sebuah kuil Hindu, iaitu Kuil Sri Mahariaman, yang hanya satu blok dari hotel kami. Rupa-rupanya, ada juga kuil Hindu di Saigon ini. Selain itu, dapat dilihat orang-orang di Saigon lepak dan bersarapan di tepi kaki lima jalan. Mereka duduk di atas bangku kecil yang mempunyai meja kecil juga. Saya berjalan sampai ke pasar Ben Thant. Ketika ini, kebanyakan pekedai di dalam pasar ini baru sedang membuka kedai masing-masing. Kemudian saya kembali ke hotel untuk bersarapan. Kami bersarapan di Mifuki Hotel iaitu sebelah hotel penginapan kami.


Orang-orang Saigon sedang bersarapan pagi di kaki lima jalan.

Matahari terbit di Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon).

Orang-orang Saigon sedang bersarapan pagi di kaki lima jalan.

Usai bersarapan, saya membawa kami semua ke pasar Ben Thanh untuk mereka menyesuaikan diri mereka di sana. Bukan apa, saya hendak mereka tahu mana hendak pergi bila ke situ selepas ini. Di pasar Ben Thanh tidak lama, sekitar setengah jam sahaja, kerana saya ingin membawa mereka ke tempat membeli-belah barangan borong di Saigon, iaitu di pasar Binh Tay atau yang tidak biasa, memanggilnya Chinatown, di Daerah (District) 6 Saigon.

Pintu masuk selatan pasar Ben Thanh.

Bulatan Ben Thanh.

Kami berjalan menuju ke stesen bas Ben Thanh yang bertentangan pasar Ben Thanh melalui Bulatan Ben Thanh. Macam biasa, cabaran di Saigon ini adalah menyeberang jalan, kerana motorsikal agak banyak. Petuanya, bila motorsikal agak sikit sahaja (agak sukar nak tunggu saat ini), seberang sahaja. Jika motorsikal tidak surut, bermakna kita perlu seberang dengan selamba, terus berjalan dengan kadar kelajuan yang sama, kerana motorsikal akan cuba mengelak kita. Jangan tiba-tiba hendak berhenti ke apa, teruskan perjalanan, tahulah motorsikal-motorsikal ini hendak mengelak. Penunggang motorsikal wanita di Saigon ini lebih profesional bawa motorsikal berbanding "rakan sejawat" di Malaysia, huhuhu.


Pasar Ben Thanh dan Bulatan Ben Thanh.

Isteri saya dan kakak-kakaknya sedang menunggu bas di stesen bas Ben Thanh.

Di Stesen Bas Ben Thanh, kami menunggu bas nombor 1 yang akan membawa kami ke Stesen Bas Cho Lon yang tidak berapa jauh dari Pasar Binh Tay. Kami tunggu tidak lama, dalam masa tidak sampai lima minit, sudah sampai bas ini.

Bas nombor 1 Saigon.

Tiket bas nombor 1 Saigon.

Kadar tambang bas ini dari Stesen Bas Ben Thanh ke Stesen Bas Cho Lon adalah cuma 5000 (+- RM1.00) sahaja, kerana ia berada dalam kawasan bandaraya Saigon. Tambang bas henti-henti di Saigon ini, jika perjalanan kurang 18 kilometer, hanya 5000 (+- RM1.00), kalau antara 18 ke 30 kilometer, ₫6000 (+- RM1.20) dan ₫7000 (+- RM1.40) jika antara 30 ke 40 kilometer. Saya tidak pasti, ada bas henti-henti Saigon mempunyai trip perjalanan lebih 40 kilometer. Bas nombor satu ini perlu membayar tambang di pemandu bas, sebagaimana bas RapidKL di Kuala Lumpur, tiada konduktor. Tiketnya pun dicetak melalui pencetak termal pada masa itu juga. Warna bas ini pada masa kami menaikinya adalah warna biru, tidak seperti laluan lain, berwarna hijau (juga bas nombor 152, sebelum ini pada perjalanan ke Saigon pada Oktober 2014, ia berwarna biru).

Suasana bas nombor 1 Saigon.

Stesen bas henti-henti Cho Lon, Saigon.

Setelah hampir setengah jam, kami sampai juga ke ke Stesen Bas Henti-henti Cho Lon di Daerah 6 Saigon. Sebelah stesen bas henti-henti adalah stesen bas antara bandar, di mana bas antara bandar ke luar bandaraya Saigon boleh diambil di sini. Ia adalah slaah satu dari beberapa stesen bas antara bandar di Saigon. Kami berjalan kaki ke Pasar Binh Tay. 


Stesen bas antara bandar Cho Lon, Saigon.

Peta: Perjalanan dari stesen bas Ben Thanh ke stesen bas Cho Lon.

Peta: Perjalanan berjalan kaki dari stesen bas henti-henti Cho Lon ke pasar Binh Tay.

Ramai orang Malaysia yang tidak kenal dengan nama Pasar Binh Tay (Chợ Bình Tây - Bahasa Vietnam), kerana ramai yang memanggilnya Chinatown. Ini sebahagian benar, kerana pasar ini berada di dalam kawasan Chinatown Saigon, iaitu Zon 1 (Phường 1 - Bahasa Vietnam), Daerah 6, Saigon, satu kawasan lebih besar. Pasar ini menjual banyak barang dari barangan basah ke kain-kain baju, kasut, beg dan sebagainya. Di sini terdapat zon-zon khas bagi barang-barang tersebut, ia tidak bercampur. Kebanyakan barang lebih murah beli di sini berbanding Pasar Ben Thanh. Biasanya di Pasar Binh Tay ini, barang dibeli borong, tetapi kalau hendak beli runcit-runcit (sikit-sikit) pun boleh juga.

Pasar Binh Tay di Chinatown, Saigon.

Setelah menunjuk tempat dan cara untuk balik ke hotel kepada isteri saya dan kakak-kakaknya, saya pun meminta diri untuk pulang. Sempat juga saya membeli kacang gajus panggang (yang pecah) berharga cuma ₫120 000 (+- RM24.00) sekilogram, kerana murah. Kalau jenis biasa harganya dua kali ganda, harga yang biasa didapati, malah ada tempat lebih murah, cuma di sini sahaja saya jumpa yang pecah dijual begitu murah, biasa dijual tidak jauh berbeza dari jenis biasa. Jadi adalah kudapan sambil-sambil berjalan.

Saya berehat sekejap di hotel untuk menghilangkan penat, kerana cuaca di Saigon ini agak panas, dan ia memenatkan badan. 


Bangunan kaunter tiket Istana Kemerdekaan Saigon.

Pada pukul 11:00 pagi, saya berjalan kaki dari hotel menuju ke Istana Kemerdekaan (Independence/Reunification Palace) yang tidak saya masuki pada kunjungan lepas, namun ketika saya sampai, kaunter tiket yang telah diubahsuai ditutup sementara. Harga masuk ke sini masih sama iaitu ₫30 000 (+- RM6.00), namun oleh kerana hari ini hari Jumaat, saya hendak berkejar untuk solat Jumaat, jadi saya malas hendak tunggu.

Pejabat Pos Besar Saigon.

Suasana di dalam Pejabat Pos Besar Saigon.

Seterusnya, saya ke kawasan Gereja Notre Dame Saigon dan Pejabat Pos Besar Saigon. Sahaja untuk mengimbau kembali kunjungan ke sini sebelum ini. Selain itu, sebenarnya, saya ingin mencari pejabat cawangan syarikat telekomunikasi selular untuk membeli kad SIM, bagi memudahkan perhubungan saya dengan isteri saya. Selain itu, boleh melanggan perkhidmatan data internet, kerana saya agak berjalan, bukan duduk setempat, malas hendak minta kata laluan WiFi. Memang melambak hotspot WiFi di Saigon ini, yang percuma boleh dikira. Kalau duduk area Malaysia Street itu lainlah cerita.


Gereja Notre Dame Saigon.

Pejabat cawangan Mobifone di sebelah Pejabat Pos Besar Saigon.

Masuk keluar pejabat pos tidak jumpa, akhirnya jumpa juga pejabat cawangan Mobifone dan VNPT (yang mempunyai perkhidmatan selular VinaPhone) di sebelah pejabat pos ini (perlu berjalan menuju selatan kemudian belok ke kiri di Jalan Nguyen Du apabila berjumpa kedai serbaguna Shop & Go). 


Pejabat cawangan VNPT dan VinaPhone di sebelah Pejabat Pos Besar Saigon.

Kad SIM prabayar MAX SIM VinaPhone.

Saya bertanyakan harga kad SIM prabayar, di Mobifone diberikan harga permulaan ₫100 000 (+- RM20.00) dengan nilai kredit ₫50 000 (+-RM10.00). Saya ke sebelah untuk mengetahui harga VinaPhone pula, dan ia berharga ₫35 000 (+- RM7.00) tanpa sebarang kredit. Jadi saya mengambil kad SIM prabayar VinaPhone MAX SIM tersebut, dan menambah ₫100 000 (+- RM20.00) untuk bayaran data 600MB sebanyak ₫70 000 (+- RM14.00)  dan bakinya untuk nilai kredit. Saya membeli satu lagi kat SIM untuk isteri saya dengan menambah nilai ₫10 000 (+- RM2.00) untuk nilai kreditnya.

Kupon tambah nilai ₫10 000 VinaPhone.

Kupon tambah nilai ₫100 000 VinaPhone.


Panggung Opera Saigon.

Saya kemudian berjalan kaki menuju ke Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman untuk bersolat Jumaat. Dalam perjalanan, dapat melihat banyak bangunan termsuk banginan Panggung Opera Saigon.


Masjid Pusat Saigon juga dikenali Masjid Musulman.

Sampai di masjid, masih belum dikumandang azan lagi, walaupun pada telefon bimbit saya sudah menunjukan waktu Zohor sudah masuk. Jemaah ada dan semakin bertambah. Saya pun beriktikaf di masjid ini sementara menunggu azan dan khutbah.


Jemaah sedang menunggu solat Jumaat.

Setelah setengah jam menunggu, pada pukul 12:45 tengahari, azan Jumaat pun berkumandang. Kemudian lima belas minit kemudian, khutbah di berikan oleh khatib dalam bahasa Arab, kemudiannya dalam bahasa Inggeris dan akhir sekali dalam bahasa Vietnam. Pertama kali saya mendengar khutbah dalam tiga bahasa sekali. Usai khutbah, khatib tadi tidak mengimamkan solat Jumaat, ia berpindah kepada seorang lelaki yang memperingatkan jemaah dalam bahasa Melayu pula. Memang antarabangsa betul masjid ini, dapat mendengar empat bahasa dalam satu waktu. Akhirnya solat Jumaat ini selesai pada pukul 1:45 tengahari. 


Khutbah sedang diperdengarkan.

Dataran Bandaraya Ho Chi Minh.

Keluar dari masjid, terdapat beberapa pengemis yang saya kira majoritinya adalah bukan Islam berada di depan pintu masuk. Juga terdapat juga penjual makanan halal jalanan menjual makanan. Saya membeli popia Vietnam satu bungkus yang terdapat 4 gulung berharga ₫30 000 (+- RM6.00) untuk saya makan di hotel nanti. 

Dewan Bandaraya & Dataran Bandaraya Ho Chi Minh.

Tugu Ho Chi Minh di depan Dewan Bandaraya Saigon.

Saya pun berjalan pulang ke hotel, melalui Dataran Bandaraya Saigon. Kali ini saya mengambil gambar lagi kerana ia lebih terang dan nampak pada waktu siang. Juga gambar tugu Ho Chi Minh dan bangunan Dewan Bandaraya Saigon juga. Sampai di hotel saya berehat sampai waktu petang dengan menonton televisyen dan melayari internet.


Saya berselfie di depan tugu Ho Chi Minh.

Peta: Perjalanan berjalan kaki saya sekitar pusat bandaraya Saigon.

Restoran Halal Amin.

Pada waktu malam, isteri saya dan kakak-kakaknya pulang ke hotel. Kemudian mereka mengajak saya untuk makan malam, jadi saya membawa mereka ke Restoran Halal Amin yang sudah berubah tempat (bertentangan dengan kedudukan asal mereka ketika kunjukan saya sebelum ini). Restoran ini antara yang termurah di Malaysian Street dan ia sudah naik taraf berbanding sebelum ini. Namun harga makanannya masih sama. Di sini, saya memesan pho iaitu makanan utama orang Vietnam. Isteri saya dan kakak-kakaknya pun sama. Suka juga mereka dengan makanan ini. Harga semangkuk pho ini hanya ₫50 000 (+- RM10.00) berbanding dua atau tiga kali ganda di restoran halal sekitarnya. Kali ini, Kak Yah membelanja sekali lagi dan Idah belanja air kopi ais selepas makan. 

Pho Ayam Kuayteow.

Pho Daging Kuayteow.

Setelah usai makan, kakak-kakak ipar saya meneruskan usaha membeli belah mereka di pasar malam Ben Thanh pula. Saya dan isteri juga membeli belah, cuma kami ada sasaran, untuk membeli kasut untuk ibu dan anak-anak kami, juga beg-beg galas Deuter untuk jualan saya. Jika berminat boleh hubungi saya. Setelah selesai, kami pun pulang untuk merehatkan diri. Ingat hendak berkemas untuk pulang ditangguhkan kerana kepenatan.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)or 
  • Day 3.