Memaparkan catatan dengan label Permohonan Visa India Di Kuala Lumpur Malaysia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Permohonan Visa India Di Kuala Lumpur Malaysia. Papar semua catatan

Rabu, 22 April 2015

Petua - Permohonan Visa India di Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.



Pasport Malaysia merupakan antara pasport paling bernilai di dunia (nombor 9 di dunia), di mana kebanyakan negara di dunia ini memberikan kemasukan tanpa visa sehingga tempoh tertentu. Jadi untuk tujuan melancong (tidak kira cara apa) biasanya tidak begitu lama. Jika tujuan lain yang mengambil masa lama, hendak tidak hendak perlu memohon visa juga.


Peta India

Walaupun begitu, ada negara-negara yang masih memerlukan kita sebagai pemegang pasport Malaysia untuk memohon visa bagi memasuki negara tersebut. Antaranya adalah India, di mana saya akan kongsikan pengalaman saya memohon visa tersebut bagi percutian kembara saya bersama isteri ke Delhi dan Agra.

SEBELUM PERMOHONAN.


Dapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan visa India di laman web ejen pemproses visa ini di Malaysia iaitu, IVS WMS Sdn Bhd atau juga dikenali sebagai Indian Visa Centre Malaysia, di mana pihak Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur yang telah disumber-luarkan perkhidmatan permohonan visa India di Malaysia kepada mereka.



Pastikan anda membuat gambar profail diri di mana-mana kedai gambar dengan menyatakan gambar saiz visa India atau Amerika Syarikat. Saiznya tidak sama dengan saiz gambar visa atau pasport lain. Saiznya adalah 2 inci x 2 inci atau 5 cm x 5 cm. Latar belakang perlu putih dan muka kita hendaklah sekurang-kurangnya 60% dari gambar tersebut. Contohnya adalah seperti gambar saya di atas. Anda juga perlu meminta salinan lembut (softcopy) imej gambar tersebut untuk langkah seterusnya di bawah nanti.


Untuk mengisi borang permohonan visa India, pertama sekali selepas membaca maklumat-maklumat di laman web Indian Visa Centre Malaysia, perlu ke laman web Indian Visa Online. Sila baca maklumat-maklumat di dalamnya kerana ia dalah laman web permohonan visa India yang rasmi yang dibuat oleh pihak Kementerian Dalam Negeri India.


Setelah yakin, maka sila klik pada tab Online Visa Application dan ia akan ke muka Indian Visa Online. Sila isikan maklumat yang diberikan dengan betul dan benar. Sentiasa semak butiran yang diberikan agar tidak ada kesilapan. Semasa mengisi borang ini, pastikan itinerari penerbangan dan itinerari hotel ada di sebelah anda untuk memudahkan pengisian borang. Pastikan sentiasa save setiap kali habis mengisi satu-satu maklumat. Pada peringkat akhir, anda dikehendaki untuk memuat naik gambar profail diri anda. Itu sebabnya salinan lembut gambar anda perlu ada.

Bagi ruangan nama, sila isi nama ikut ejaan di dalam pasport. Namun begitu pihak imigresen India memerlukan nama keluarga (surname), jadi jika anda seorang Melayu seperti saya, yang tiada nama keluarga, boleh ambil contoh nama saya, ABDUL HADI AS AD BIN MOHAMAD, ditulis:
Surname (nama keluarga): MOHAMAD; dan
Given name (nama diberi):  ABDUL HADI AS AD BIN.

Jika orang Cina, contoh LIM AH BENG:
Surname (nama keluarga): LIM; dan
Given name (nama diberi):  AH BENG.

*kemas kini 13 Ogos 2015, berdasarkan maklumat saya perolehi, jika permohonan dibuat di Ipoh dan Pulau Pinang (pusat lain saya tidak ketahui), maklumat yang perlu diisi bagi Surname: BIN MOHAMAD dan Given Name: ABDUL HADI AS AD. Jadi cadangan saya, isi kedua-dua format (permohonan berasingan) agar tidak perlu lagi balik ke rumah/pejabat untuk buat semula atau tidak perlu bayar RM21.20 untuk pihak pusat visa isikan (sila rujuk ke bawah lagi kenapa).

Untuk kemasukan (entry), ambil sahaja kemasukan banyak kali (multiple) kerana harga bagi kemasukan sekali (single), dua kali (double) dan banyak kali (multiple) adalah sama. Jadi lebih untung kalau buat kemasukan banyak kali, manalah tahu dalam masa 6 bulan hendak pergi lagi. Jadi tidak perlu mohon visa lagi. 

Untuk pengetahuan, kebiasaan, visa diberikan adalah sah sehingga 6 bulan dari tarikh kelulusan (biasanya hari permohonan visa), namun apabila sudah masuk, hanya boleh berada di dalam India selama 30 hari dan boleh disambung 15 hari lagi di pejabat imigresen India di dalam India. Bermakna, setiap kali masuk, maksimum boleh berada 45 hari (termasuk hari masuk & keluar) di dalam India.


Pembetulan: Untuk tempoh visa (period of visa), sila letakan tempoh enam (6) bulan, terutama permohonan di Pusat Visa di Pulau Pinang & Ipoh (bukan 1 bulan seperti saya buat). Ini kerana maklum balas dari rakan-rakan yang kena buat borang baru (kena bayar RM21.20).

Setelah itu, selesai pengisian borang dan anda boleh simpan borang permohonan anda dalam format .pdf. Jangan lupa untuk mencetak borang ini untuk di bawa ke Indian Visa Centre yang terdekat. Pastikan segala maklumat adalah betul, kerana jika silap terutama bahagian nama, permohonan anda tidak diterima. Jadi anda perlu buat semula atau bayar RM21.20 untuk khidmat pengisian borang oleh pihak pusat visa (sila rujuk maklumat tersebut di bawah).

Maklumat terkini (19 Oktober 2015)


Laman Web eTourist Visa (eTV).

Kini pemegang visa Malaysia juga mempunyai pilihan untuk membuat visa secara eTourist Visa (eTV), iaitu permohonan visa secara elektronik. Dikhabarkan ia berharga US$60.00 (+- RM250.00) tambah US$2.00 (+- RM8.00) untuk caj perkhidmatan.


HARI PERMOHONAN VISA.

Sebelum ke pejabat Indian Visa Centre Malaysia, pastikan anda membawa perkara-perkara ini (bagi permohonan visa pelancong, jika visa lain lebih kurang sama, cuma ada tambahan, sila rujuk laman web Indian Visa Centre Malaysia):

Wajib ada:
1. Pasport yang masih mempunyai selewat-lewatnya 6 bulan dari tarikh sah tempohnya dari hari terakhir perjalanan ke India;
2. Satu salinan fotostat pasport di bahagian muka maklumat peribadi;
3. Satu salinan tiket penerbangan atau itinerari penerbangan yang statusnya disahkan (confirmed);
4. 2 keping gambar saiz visa India (2 inci x 2 inci atau 5 cm x 5 cm);
5. Borang permohonan yang sudah dicetak;
6. Wang bayaran visa (sila rujuk di bawah).

Stand by:
1. Satu salinan itinerari penginapan yang statusnya disahkan (confirmed);
2. Surat rakan atau saudara mara yang ditumpang menginap, pastikan ada alamat dan nombor telefon yang boleh dihubungi;
3. Satu salinan MyKad (kad pengenalan) (kemas kini 23 Disember 2016, berdasarkan maklumat seorang sahabat);
4. Lain-lain dokumen sokongan yang boleh membantu permohonan.

Setiap pemohon perlu hadir di pejabat Indian Visa Centre Malaysia ini kerana setiap orang akan diimbas secara peribadi setiap jari dan muka pemohon. Kegagalan mana-mana pemohon untuk hadir ke pejabat ini akan mengakibatkan permohonan ditolak.



Jika dilihat di laman web Indian Visa Centre Malaysia, pejabat mereka mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu, Kuching, Ipoh, Melaka dan Seremban. Jadi saya merupakan warga Kuala Lumpur, maka saya ke cawangan Kuala Lumpur yang terletak di Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka. Alamatnya adalah:

G-01, Ground Floor
Straits Trading Building
No. 2 Lebuh Pasar Besar
50050 KUALA LUMPUR
No. Telefon: +603 26922692
No. Fax: +603 26982692

Alamat cawangan lain boleh didapati di laman web Indian Visa Centre Malaysia.


Kedudukan bangunan yang diduduki Indian Visa Centre Malaysia cawangan Kuala Lumpur ini berhadapan dengan bangunan AgroBank tidak jauh dari Pasar Seni, amat mudah untuk ke sini. Cuma mohon jangan parkirkan kereta atau motorsikal anda di depan pejabat Indian Visa Centre ini kerana ia bukan tempat parkir, pihak berkuasa (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa lain) akan menyaman pihak berkenaan.



Masa operasi adalah mengikut operasi tertentu iaitu untuk penghantaran permohonan visa dari pukul 9:00 pagi hingga 2:00 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti am Malaysia & India. Bagi pengambilan pasport pula dari pukul 4:00 hingga 5:30 petang selepas 3 hari bekerja permohonan dihantar (kecuali visa pelajar, 8 hari bekerja) kecuali hari Sabtu, Ahad dan cuti am Malaysia dan India di mana pejabat ditutup.


Masuk sahaja ke premis Indian Visa Centre Malaysia cawangan Kuala Lumpur ini, akan ada satu kaunter informasi berlatar belakang biru yang terdapat logo kerajaan pusat India dan tulisan Indian Visa Centre, perlu ke situ dan serahkan borang permohonan kepada petugas di kaunter ini untuk semakan. Jika borang permohonan dan dokumen diperlukan tiada masalah, petugas ini akan memberikan nombor giliran. Mohon jangan hilangkan nombor giliran ini, kerana rujukan permohonan anda akan berdasarkan nombor giliran ini.


Jika ingin memohon visa seperti saya, pastikan permohonan anda disusun mengikut susunan yang diberitahu oleh pihak pejabat visa India ini, iaitu (saya alih bahasa ke Bahasa Melayu):

1) BORANG PERMOHONAN
    a)  Nama seperti di pasport (boleh baca di atas bagaimana hendak bahagikan nama keluarga dan nama di beri);
      b)  Nombor Pasport yang betul;
      c)  Dua Tandatangan;
      d)  Alamat Lengkap.

2) 2 KEPING FOTO 2"X2" (" bermaksud inci) LATARBELAKANG PUTIH
      a)  Satu digamkan pada ruangan hujung atas kanan;
      b)  Satu lagi distaplerkan di hujung atas kiri.

3) SALINAN FOTOSTAT PASPORT
      (muka surat butiran bergambar sahaja)

4) SALINAN TIKET PENERBANGAN
      (nama dan muka surat itinerari sahaja).


Di sebelah kaunter ini dan di beberapa tempat di dalam premis ini terdapat beberapa kenyataan yang perlu diambil perhatian bagi pemohon-pemohon. Saya kongsikan beberapa makluman yang sempat saya ambil (dialih bahasa ke Bahasa Melayu).

1. Tiada Visa On Arrival* untuk pemegang pasport Malaysia;
2. Biometrik tidak perlu dibuat untuk pemohon atas 70 tahun dan bawah 12 tahun;
3. Sila pastikan di dalam borang permohonan mempunyai ejaan nama mengikut pasport, contohnya seperti nama saya Abdul Hadi As ad bin Mohamad (di dalam pasport tiada tanda ' untuk nama As'ad saya), perlu diisi dengan Surname: Mohamad dan Given Name: Abdul Hadi As ad bin;
*kemas kini 13 Ogos 2015, berdasarkan maklumat saya perolehi, jika permohonan dibuat di Ipoh dan Pulau Pinang (pusat lain saya tidak ketahui), maklumat yang perlu diisi bagi Surname: Bin Mohamad dan Given Name: Abdul Hadi As ad.
4. Pastikan juga nombor pasport yang betul dan gambar juga betul dari segi empunyanya atau saiz/formatnya. Pihak pemproses visa tidak bertanggungjawab jika berlaku sebarang kesilapan. Jika borang silap, perlu buat baru, boleh dibuat di pusat tersebut tetapi dengan bayaran RM20 setiap borang;
5. Setiap permohonan perlu bersama salinan tiket penerbangan atau itinerari penerbangan yang statusnya disahkan (confirmed).  Kalau status menunggu (waiting) atau selainnya, tidak dilayan permohonannya;
6. Pemegang visa pelancong tidak boleh tinggal melebihi 45 hari di dalam India;
7. Perujuk (reference) di India perlu betul dan benar. Jika perujuk adalah hotel di India, statusnya perlulah disahkan (confirmed). Nombor telefon di dalam borang perlulah boleh dihubungi. Jika tidak, permohonan akan ditolak;

* Kepada yang kurang arif, Visa On Arrival atau VOA adalah kemudahan visa yang boleh di mohon semasa sampai ke pos pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang atau Pos Sempadan atau Pelabuhan. Kemudahan VOA ini biasanya dibayar (jika percuma ia dipanggil kemudahan Visa Free atau Pengecualian Visa, contoh ke negara ASEAN diberikan Visa Free selama 30 hari). Antara contoh VOA untuk pemegang pasport Malaysia adalah ke Nepal yang mana ada kemudahan VOA untuk visa US$25 untuk 15 hari, US$40 untuk 30 hari atau US$100 untuk 90 hari.



Seterusnya anda boleh menunggu giliran anda bagi permohonan anda diproses. Jika terdapat beberapa perkara yang belum dilengkapkan, terdapat meja yang siap dengan gam dan stapler untuk kemudahan anda. Pastikan borang anda ditandatangani di muka depan (di bawah bahagian gambar digam) dan di muka belakang. Salah satu gambar perlu digam di borang permohonan dan satu lagi hendaklah distapler sekali dengan borang dan dokumen sokongan.


Terdapat juga kemudahan Premium Lounge untuk mereka yang menginginkan kemudahan tersebut dengan bayaran RM53.00 sahaja termasuk GST. Dengan kemudahan ini, tidak perlu beratur, terus dilayan seperti VIP. Namun saya rasa tidak perlu, kerana semasa saya memohon, agak ramai, tapi saya cuma berada tidak sampai sejam di pusat ini. Tidak perlu membazir.


Jika anda tidak mengisi borang sebelum datang ke pusat ini atau terdapat kesilapan di dalam borang anda atau ingin menukar maklumat (seperti dari sekali kemasukan ke banyak kali kemasukan), anda boleh ke kaunter di belakang (sebelum meja yang ada gam dan stapler) untuk mengisi borang baru. Terdapat petugas-petugas yang akan membantu anda. Tapi ia bukan percuma, setiap borang dicaj RM21.20 sahaja termasuk GST.

Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan dan cajnya adalah seperti di bawah:


Perkhidmatan Nilai Tambah
Kadar dalam RM
GST (6%)
Jumlah dalam RM
Khidmat penghantaran kurier
20.00
1.20
21.20 (Semenanjung Malaysia)
Khidmat penghantaran kurier
30.00
1.80
31.80 (Sabah dan Sarawak)
Pesanan teks (SMS)
2.00
0.12
2.10
Pengisian Borang
20.00
1.20
21.20
Gambar
20.00
1.20
21.20
Premium Lounge
50.00
3.00
53.00
Fotostat
0.50
0.03
0.55
Penghantaran pasport ke rumah
50.00
3.00
53.00
Emel/Fax
5.00
0.30
5.30



Sementara menunggu giliran, saya sempat mengambil gambar maklumat tentang visa perniagaan dan visa pelajar. Maaf gambar tidak cantik pula tapi masih boleh baca.


Tiba giliran, terus ke kaunter yang dimaklumkan. Berikan terus borang, pasport dan dokumen sokongan yang diminta sahaja. Jika beri lebih-lebih nanti banyak tanya. Kalau salinan fotostat pasport dan itinerari penerbangan itu wajib beri. Petugas kaunter akan mengimbas kod bar yang ada pada borang untuk mengesan permohonan kita di dalam sistem. Selepas itu, kita akan di minta untuk 2 langkah ke belakang (kalau di cawangan KL terdapat petak biru, berdiri atas petak itu) untuk diambil gambar muka. Kemudian, empat jari (kecuali ibu jari) kiri akan diimbas di mesin pengimbas khas dan lepas itu empat jari kanan (kecuali ibu jari) pula. Setelah itu, kedua-dua ibu jari dimbas. Habis sahaja semua imbasan dibuat, petugas itu akan meminta bayaran yang diperlukan seperti di bawah:

Maklumat terkini (19 Oktober 2015):


Kenyataan kenaikan bayaran visa India.

Mulai 01 Oktober 2015, bayaran visa dinaikkan 19% oleh Kedutaan India di Kuala Lumpur. Senarai bayaran yang baru adalah:



No
JENIS VISA
VISA/
RM
*ICWF/
RM
CAJ KHIDMAT/RM
JUMLAH/
RM
1.
Transit (sekali / 2 kali kemasukan) -  sah 15 hari dari tarikh dikeluarkan - Maksima 72 jam setiap kemasukan.
90.00
8.00
1.56
99.56
2.
Pindahan visa (visa sah dipindahkan dari pasport lama ke pasport baru). Visa mesti sah minima 3 bulan.
23.00
8.00
1.56
32.56
3.
Pelancong (sekali/ 2 kali / banyak kali) - sah 6 bulan (Kecuali negara UK RM491 sehingga 6 bulan).
180.00
8.00
1.56
189.56
4.
Perniagaan / Pekerjaan sahlaku 1 tahun.
538.00
8.00
1.56
547.56
5.
Pelajar (untuk sepanjang kursus atau 5 tahun, mana yang kurang).
336.00
8.00
1.56
345.56
6.
Kemasukan Visa (X) - sahlaku 6 bulan.
359.00
8.00
1.56
368.56
7.
Semua Visa yang sahlaku lebih setahun sehingga lima tahun (untuk visa profesional / perniagaan dan penyelidikan)
896.00
8.00
1.56
905.56

*ICWF: Dana Kebajikan Masyarakat Warga India (Indian Community Welfare Fund), Suruhanjaya Tinggi India, Kuala Lumpur.

Bagi senarai penuh dan bayaran visa bagi pemegang pasport negara-negara lain, boleh rujuk sini.


Setelah menerima pembayaran, petugas itu akan mengeluarkan resit pembayaran bagi setiap permohonan. Beliau akan mengepilkan sekali nombor giliran kita kerana nombor ini menjadi rujukan mereka untuk mengembalikan pasport kita nanti. Sudah selesai urusan permohonan. Cuma tinggal hendak menunggu tiga hari bekerja untuk mengambil pasport yang sudah siap ditampal pelekat visa India pula.


Jika anda ingin membuat salinan fotostat , saya cadangkan jangan buat di dalam pusat visa India ini. Pergi ke kedai alat tulis yang berada tiga kedai sebelah kanan (jika mengadap ke pusat visa ini dari luar), kerana setiap salinan cuma 20 sen sahaja.


HARI PENGAMBILAN PASPORT.



Pada hari ketiga bekerja, iaitu contohnya jika permohonan kita dihantar pada hari Isnin, maka pada petang hari Rabu, kita sudah boleh mengambilnya. Namun ia hanya boleh diambil pada pukul 4:00 hingga 5:30 petang sahaja, hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum Malaysia dan India. Apabila sampai sahaja di pejabat Indian Visa Centre di Kuala Lumpur ini, terus ke kaunter 2, 3 atau 4, berikan slip pembayaran dan nombor giliran semasa membuat permohonan kepada petugas kaunter berkenaan, tunggu dalam seminit dua, dan pasport yang sudah ditampal visa anda sudah boleh diambil. Petugas itu akan menyerahkan kembali slip pembayaran setelah slip berkenaan dicop "PASSPORT COLLECTED" (PASPORT TELAH DIAMBIL).


Contoh Visa India

Jadi itulah serba sedikit yang boleh saya kongsikan pengalaman saya dalam memohon visa India. Semoga ia dapat membantu jika ada di kalangan pembaca ingin memohon visa India dalam perjalanannya. Harap boleh belajar dari kesilapan saya agar tidak dibuat lagi. Mohon terus visa kemasukan banyak kali. Itu sahaja, insya Allah bertemu lagi.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.