Memaparkan catatan dengan label 01 hingga 02 Oktober 2018 - Pontianak Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 01 hingga 02 Oktober 2018 - Pontianak Indonesia. Papar semua catatan

Rabu, 24 Oktober 2018

Hari 2 Bahagian 2 (Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia - 01 hingga 02 Oktober 2018) - Menesuri Tinggalan Kesultanan al-Qadrie.

Bersambung dari Hari 2 Bahagian 1.


Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2 (this part).
Istana Qadriah.


Panduan: 

Rp (IDR) = Rupiah, matawang Indonesia. Secara amnya di dalam perjalanan ini, kadar tukaran: Rp 10 000 = RM3.00 atau RM1.00 = Rp 3333.

Waktu tempatan bagi Indonesia Barat (termasuk pulau Kalimantan) adalah UTC +7 iaitu 1 jam lewat dari waktu Malaysia (UTC +8), contohnya jika Kuala Lumpur pada pukul 4:00 petang, Pontianak adalah pada pukul 3:00 petang. Waktu ini dikenali sebagai Waktu Indonesia Barat (WIB).


02 Oktober 2019 - Selasa (Bahagian 2).

Perjalanan dari Tugu Kemerdekaan ke Istana Qadriah diteruskan walaupun cuaca agak panas. Tambahan pula di tepi Jalan Khatulistiwa ini terdapat banyak pula kilang getah, memang "harum semerbak" juga bau. Oleh demikian, saya memesan kepada Herman agar berhenti di mana-mana Alfamart atau Indomaret (seperti 7Eleven atau KK Mart di Indonesia), untuk saya membeli bekalan air yang sudah berkurangan. Dapatkah saya mengurangkan dahaga.

Jika di selatan Sungai Kapuas di kota Pontianak ini, terdapat banyak Alfamart, namun di sebelah utara ini kelihatan Indomaret menguasai sebahagian besar. Herman pun singgah di sebuah Indomaret di kawasan Siantan Hilir. Jadi saya masuk dan terus ke peti sejuk di hujung tepi untuk mengambil dua botol 600 mililiter air minuman sejuk dan sebotol 1.5 liter yang besar. Terus ke kaunter untuk dibayar kesemuanya Rp10 200 (+- RM3.06 sen). Keluar sahaja, saya memberikan sebotol yang kecil kepada Herman.

Perjalanan diteruskan, kami melalui semula Jambatan Landak yang agak sempit yang telah dilalui tadi. Setelah melaluinya, perjalanan diteruskan dalam beberapa minit dan kemudian di simpang empat sebelum Jambatan Kapuas I, kami membelok ke kanan. Dalam masa lima minit kami sampai di simpang tiga, yang mana ke kiri ke Istana Qadriah dan ke kanan menuju ke Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman al Qadrie. Kami ambil ke kanan. Sampai di kawasan perkarangan masjid, motorsikal diparkir di parkir disediakan dan kami melihat dahulu laman masjid dan tebingan Sungai Kapuas. Memang nampak jelas permandangan kota Pontianak moden dari sini. Selepas itu kami masuk ke masjid kayu yang berwarna kuning dan hijau yang masih utuh ini.

Masjid ini yang juga dikenali sebagai Masjid Jami Pontianak, dikatakan masjid tertua di kota Pontianak ini. Ia dibina pada masa yang sama semasa pembukaan kota Pontianak ini oleh Sultan Syarif Abdul Rahman al Qadrie pada tahun 1771. Masjid ini masih kekal walaupun diperbuat sepenuhnya daripada kayu. Kayu yang digunakan adalah jenis keras seperti kayu berlian. Itu sebab ia masih kukuh, tak telah dek zaman.

Semasa kedatangan kami ke sini, sebahagian daripada masjid ini dalam proses pembaikan, namun masih boleh digunakan. Kami telah disapa oleh pengerusi masjid ini (maaf saya terlupa namanya) yang menceritakan sedikit kisah masjid ini. Sempat juga beliau membenarkan saya mengambil gambar di dalam masjid ini. Kemudian saya menyerahkan sumbangan ke dalam tabung masjid (kata pengerusi berkenaan, ia lebih baik, kerana jika bagi beliau mungkin akan berlaku fitnah atau perkara buruk lain) seperti diamanahkan oleh sahabat-sahabat saya.

Setelah selesai urusan di masjid ini, kami pun keluar dan mengambil motorsikal untuk ke Istana Qadriah yang berdekatan. Herman memberikan wang parkir kepada orang yang menjaga di situ sebanyak Rp2000 (+- RM0.60).





Resit Indomaret.


Jambatan Landak.


Peta: Perjalanan dari Tugu Khatulistiwa ke Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman.

Tebingan di hadapan Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman.

Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman.

Ruang solat Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman.

Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman (aplikasi Weather Shot).



Video Youtube: Sumbangan kepada Masjid Syarif Abdul Rahman, Pontianak 🇮🇩.

Motorsikal dibawa tidak sampai dua minit sudah sampai di laman Istana Qadriah. Di sekitar kawasan istana ini terdapat rumah-rumah yang didiami oleh kaum kerabat keluarga diraja al Qadrie, yang ada kala nampak seperti perumahan setinggan sahaja. Teringat pula saya dengan keadaan Istana Kampung Gelam yang terletak di sebelah Masjid Sultan di Singapura sebelum tahun 2000an, lebih kurang sahaja rupanya. Sekarang sudah jauh berbeza.

Herman memberhentikan motorsikalnya bersebelahan dengan beberapa motorsikal yang diparkirkan di sebelah kanan istana. Terdapat beberapa buah meriam yang diletakan di kawasan laman, tidak silap dalam 13 pucuk kesemuanya. Saya sempat melihat dua pucuk meriam terbabit. Salah satu tertulis VOC bermakna ia asalnya kepunyaan Belanda dan juga satu lagi terpampang jata yang sama dengan yang ada di Kota A'Farmosa di Melaka, bermakna ia asalnya kepunyaan Portugis.

Sebelum memasuki istana ini yang dibina pada tahun 1771, sama seperti masjid tadi, temanya tetap berwarna kuning dan sedikit warna hitam, saya mengambil gambar dahulu sebagai kenang-kenangan. Selepas itu barulah masuk ke dalam istana. Di bawah tangga istana ini, terdapat sedikit jual-jualan yang menjual beberapa cenderahati kota Pontianak.

Menaiki tangga, dan kami di sapa oleh Pak Syarif (saya lupa nama penuhnya) yang merupakan petugas di Istana Qadriah ini. Kami di bawa ke dalam ruang utama atau rasanya dikira balai rong seri Istana ini. Terdapat sebuah singgahsana di hujung ruang ini. Di tepi dinding terdapat banyak artifak-artifak, gambar-gambar dan  maklumat mengenai Kesultanan Pontianak. Jaid Pak Syarif pun menceritakan perkara-perkara yang berkaitan dengan bahan yang ada di sinding tersebut. Sebenar Kesultanan Pontianak masih lagi wujud, cuma tiada kuasa. Malah pada masa kini, ia diwarisi oleh Sultan kesembilannya iaitu Sultan Syarif Machmud Melvin al Qadrie.

Selain itu, terdapat banyak juga menceritakan antara sumbangan Keluarga Diraja ini diantaranya, rupanya jata negara Indonesia adalah hasil sumbangan Sultan Syarif Abdul Hamid al Qadrie, Sultan keenam Pontianak. Paling menarik adalah cermin "Kaca Seribu" yang diperolehi daripada Perancis yang membolehkan kita nampak imej. Di kedua-dua bahagian tepi ruang ini, sebenarnya terdapat bilik-bilik, namun ia tidak dibuka kepada umum. 

Kami berjalan-jalan ke belakang singgahsana, dan terdapat satu lagi ruang yang agak besar. Terdapat beberapa artifak juga di sini. Ada yang terjaga, namun ada juga yang sudah reput dimakan dek zaman.

Bagi saya, Istana Qadriah ini bukti menunjukan kebijakan pembina bangunan zaman dahulu. Walaupun dibina daripada kayu, namun ia masih utuh. Menarik lagi, walaupun di luar panas terik, namun di dalam istana ini tidak terasa bahang malah terasa nyaman sahaja. Agaknya itulah sebabnya kenapa banyak istana lama atau rumah-rumah lama menggunakan kayu, bukan kerana tidak mampu atau mahal jika buat dengan batu, ini kerana keadaan cuaca terutama di Pontianak ini yang betul-betul di Garisan Khatulistiwa yang tidak sesuai dengan binaan batu. Kayu yang digunakan masih tahan dan utuh. Setiap binaan seperti tingkap, pintu, ruang mempunyai sebab musabab dan tujuan dibuat sebegitu. Kagum sebenarnya saya.

Setelah hampir 45 minit kami di dalam Istana Qadriah, kami meminta diri. Saya sempat memberikan sedikit sumbangan di tabung khas, kerana kita tidak perlu memberikan sumbangan terus kepada Pak Syarif.



Peta: Perjalanan dari Masjid Sultan Syarif Abdul Rahman ke Istana Qadriah.


Istana Qadriah.


Saya di depan Istana Qadriah (aplikasi Photo Place).

Pintu masuk ke dalam Istana Qadriah.

Singgahsana Istana Qadriah.

Antara gambar-gambar tergantung antaranya Sultan Pontianak ke-9 (terkini):
Sultan Syarif Machmud Melvin al Qadrie dan permaisuri baginda.

Antara gambar-gambar tergantung di dinding istana.

Senarai Sultan-sultan Pontianak.

Ruang belakang Istana Qadriah.

Cermin "Kaca Seribu" di dalam Istana Qadriah.

Perjalanan kami diteruskan menuju ke Muzium Kalimantan Barat pula. Perjalanan kira agak jauh juga dalam 25 minit, melalui Jambatan Kapuas 1, Jalan Sultan Abdul Hamid, Jalan Veteran dan Jalan Jenderal Ahmad Yani sebelum berpatah balik di Bundaran (Bulatan) Universitas Tanjungpura. Sampai di sana, kami kebetulan masuk bersama-sama dengan pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi berhampiran yang dikatakan ada kuliah atau tugasan di kawasan muzium ini. Kami memarkirkan motorsikal kami bersama-sama motorsikal-motorsikal pelajar-pelajar terbabit, di bahagian belakang muzium ini.

Kami ke bangunan muzium dan di ruang aras bawah terdapat model-model istana (keraton mengikut istilah Bahasa Indonesia) yang ada di Kalimantan Barat. Saya memberikan wang kepada Herman untuk membeli tiket masuk kerana harga tiket masuk ke muzium bagi warga Indonesia adalah Rp3000 (+- RM0.90), sebaliknya bagi warganegara asing, harganya Rp9000 (+- RM2.70)! Lagipun rupa paras saya lebih kurang sahaja dengan orang Indonesia (lebih tepat orang Jakarta), cuma jangan buka mulut sahaja, huhuhu.

Kami pun masuk ke dalam muzium. Muzium ini lebih menceritakan tentang demografi orang-orang di Kalimantan Barat seperti orang Melayu, orang Dayak (orang suku kaum Iban, Kenyah, Penan dan sebagainya di klasifikasikan sebagai orang Dayak di Indonesia) dan orang Cina. Banyak juga artifak sejarah yang ada di sini. 

Semasa kami masih ada di dalam muzium ini, kelihatan petugas seperti mahu menutup muzium ini, sedangkan kami masih di dalam. Masa pun masih menunjukan pukul 2:15 petang. Seperti menghalau pula. Nasib baik bahan yang belum dilihat hanya sedikit sahaja lagi, jadi kami pun keluarlah. Sebenarnya bahan yang ada dalam muzium ini tidak banyak, namun membuka mata juga, mengenai sejarah, budaya dan latar belakang Kalimantan Barat ini.

Jambatan Kapuas I.


Peta: Perjalanan dari Istana Qadriah ke Muzium Kalimantan Barat.

Antara model-model istana di Muzium Kalimantan Barat.

Kaunter tiket Muzium Kalimantan Barat.

Waktu operasi dan kadar tiket Muzium Kalimantan Barat.


Tiket Masuk Muzium Kalimantan Barat.


Pamplet Muzium Kalimantan Barat.


Maklumat mengenai Muzium Kalimantan Barat.

Antara pameran Muzium Kalimantan Barat.

Peta etnik taburan Kalimantan Barat.

Pakaian pengantin Melayu kawasan Sambas.

Pakaian pengantin Melayu kawasan Ketapang.

Pakaian pengantin Melayu kawasan Pontianak.

Muzium Kalimantan Barat.

Muzium Kalimantan Barat.

Seterusnya kami ke Rumah Adat Radakng Pontianak untuk melihat rumah panjang yang besar di Pontianak. Dalam perjalanan, saya meminta singgah di Masjid Raya Muhajidin, iaitu masjid terbesar di Kalimantan Barat. Asalnya saya meminta Herman untuk ke Rumah Betang, yang tidak jauh dari Muzium Kalimantan Barat, cuma mungkin Herman salah dengar. Ada hikmah juga, rupanya jika kami ke sana, ia pun sudah tutup, kerana waktu operasi sama dengan Muzium Kalimantan Barat. Cuma tidak dapatlah melihat pameran mengenai orang-orang Dayak di situ.

Dalam masa dua puluh minit, sampailah kami di Rumah Radakng di Jalan Sutan Syahir, di kawasan Kotabaru. Herman membayar bayaran parkir motorsikal kepada petugas yang ada sebanyak Rp2000 (+- RM0.60). memang kita kena ada wang kecil, kerana boleh dikatakan tiada parkir percuma waima untuk motorsikal di Pontianak ini (juga di seluruh Indonesia). 

Rumah Radakng ini sebenarnya cuma rumah adat sahaja, tiada apa yang ada termasuk pameran. Malah di dalamnya juga ditutup, cuma kita boleh duduk di berandanya. Rumah panjang ini tidaklah seperti rumah panjang tradisi, binaannya agak moden juga. Cuma agak besar dan agak tinggi juga, lebih kurang bangunan lima tingkat juga, mengah juga memanjat tangga untuk ke tingkat atas. Rumah ini hanya digunakan untuk mesyuarat orang-orang Dayak diadakan.

Selepas itu, saya ke Rumah Adat Melayu di sebelah sahaja dengan Rumah Radakng ini. Herman pula mengambil motorsikal dan menunggu saya di depan Rumah Adat Melayu. Sama sahaja fungsi dengan Rumah Radakng, cuma Rumah Melayu ini macam ada aktiviti atau pejabat yang beroperasi di dalamnya. Cuma pada masa itu (hampir pukul 3:00 petang) ia sudah di tutup. Habis mengambil gambar Rumah Melayu ini, saya bertemu dengan Herman yang kebetulan baru sampai di depan pintu masuk Rumah Melayu ini.


Masjid Raya Muhajidin, Pontianak.


Peta: Perjalanan dari Muzium Kalimantan Barat ke Rumah Radakng 
melalui Masjid Raya Muhajidin.

Rumah Radakng.



Resit Parkir Motorsikal Rumah Radakng.


Plak perasmian Rumah Radakng.

Anjung Rumah Radakng.

Rumah Adat Melayu Pontianak.

Seterusnya kami ke Bundaran Universitas Tanjung Pura yang mengambil masa kira-kira dua puluh minit juga untuk sampai dari Rumah Adat Melayu, kerana jalan agak sibuk. Sampai sahaja, motorsikal diparkir bersebelahan dengan Taman Digulis Pontianak. Tujuan sebenarnya adalah kerana di tengah-tengah bulatan ini terdapat sebuah tugu yang berupa sebelas batang buluh runcing. Ia dinamakan Tugu Bambu Runcing atau Tugu Digulis.

Ia dibina pada 1987 bagi memperingati pejuang negara Indonesia seramai sebelas orang tokoh Sarekat Islam yang berjuang memerdekakan Indonesia daripada penjajahan Belanda. Bulatan ini agak sesak juga kerana ia adalah persimpangan antara dua bahagian universiti terbesar di Kalimantan Barat iaitu Universitas Tanjungpura dengan Jalan Jenderal Ahmad Yani yang terdapat banyak pejabat kerajaan dan juga jalan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Supadio.

Di salah satu sudut di bulatan ini juga terdapat sebuah taman iaitu Taman Digulis Pontianak, yang merupakan salah satu taman rekreasi dan riadah bagi warga kota Pontianak. Taman ini terasa seperti beriadah di dalam hutan, terasa amat nyaman juga. Jadi mengambil juga kesempatan untuk mengambil gambar mercu tanda Tugu Bambu Runcing walaupun tidak dapat menyeberang ke tengah-tengah bulatan dan juga mercu tanda Taman Digulis Pontianak. Cuma saya terlupa untuk mengambil gambar di pintu masuk Universitas Tanjungpura sebelah barat sahaja, huhuhu.

Selepas selesai, terus menaiki motorsikal, tanpa perlu membayar bayaran parkir kepada penjaga parkir kerana berada di situ sebentar sahaja. Kami terus menuju ke LTA Supadio kerana nampak hari pun mulai hendak gelap seperti hendak hujan.

Dalam perjalanan, saya ternampak papan tanda Tahu Sumendang Renyah di seberang jalan, jadi saya mengajak Herman untuk minum petang di situ, lagipun rasanya hujan seperti tidak ke arah kawasan Sungai Durian, iaitu kawasan persekitaran LTA Supadio ini. Herman membuat pusingan U dan berhentilah kami di restoran tersebut. Jadi memesan tahu sumendang sebanyak lapan biji yang mana ia berharga Rp1000 (+- RM0.30) setiap biji. Bagi minuman, masing-masing kami mengambil Teh Botol (berharga Rp8000 (+- RM2.40)/botol) sebotol seorang. Kami menjamu selera lebih sikit dari sepuluh minit di sini. Usai minum petang, bayaran Rp24 000 (+- RM7.20) diberikan kepada penjual tahu sumedang itu. Seterusnya, kami ke LTA Supadio untuk menghantar saya.


Peta: Perjalanan dari Rumah Radakng ke Taman Digulis. 


Tugu Bambu Runcing Pontianak.

Taman Digulis Pontianak.

Tahu Sumedang dan Teh Botol di Tahu Sumedang Renyah, Sungai Raya, Pontianak.

Pada jam 4:00 petang, maka sampailah kami di kawasan parkir motorsikal LTA Supadio. Saya mengucapkan terima kasih kepada Herman atas layanan yang diberikan. Saya memberikan Rp110 000 (+- RM33.00) sebagai balasan menggunakan khidmatnya membawa saya ke serata kota Padang, lebih sikit dari yang dijanjikan, maklumlah Herman menggunakan wang untuk membayar bayaran parkir di beberapa tempat. Herman juga membalas malah mengejutkan saya, mencium tangan saya tatkala perpisahan tersebut. Terasa seperti saudara sendiri pula. Insya Allah jika ke Pontianak lagi atau Herman ke Kuala Lumpur, kita akan berjumpa lagi.

Setelah itu, saya berjalan menuju ke bangunan terminal dan Herman membawa keluar motorsikalnya keluar, untuk mengambil isterinya yang akan pulang dari kerja tidak lama lagi. Semoga mereka dapat mengharungi hujan kerana keadaan seperti hendak hujan kembali.

Alhamdulillah, semasa berjalan itu, saya melihat dompet saya, dalam perjalanan kali ini, saya dapat wang nota kerta Rp2000 dan Rp20 000 versi terkini (versi Siri Pahlawan Nasional 2016) sebagai koleksi saya. Cuma tinggal mencari wang nota kerta Rp1000 dan wang syiling Rp100, Rp500 dan Rp1000 yang masih belum diperolehi. Juga terdapat baki Rp50 000 (+- RM15.00) yang tidak dibelanjakan.

Sampai di bangunan terminal, saya terus masuk ke pintu berlepas (pintu keberangkatan mengikut istilah Bahasa Indonesia) untuk memasuki kawasan airside. Saya menunjukan tempahan penerbangan melalui telefon bimbit saya kepada pegawal keselamatan AVSEC LTA Supadio, dan dibenarkan masuk. Kemudian, saya melalui pemeriksaan keselamatan pertama dengan semua alat berlogam perlu ditiadakan dari badan agi tujuan pemeriksaan badan melalui alat pengesan logam. Beg galas saya diimbas oleh mesin x ray. Usai pemeriksaan tersebut, saya terus ke kaunter 31 hingga 33 untuk mencetak kembali pas pelepasan untuk penerbangan AK 479.

Selesai mencetak pas pelepasan, saya tidak naik terus ke balai menunggu di tingkat atas. Saya memeriksa beg saya, dompet saya, telefon bimbit saya dan semua berkaitan agar tiada yang tertinggal. Sempat juga saya lihat di balai berlepas ini seperti biasa terdapat perkhidmatan membalut bagasi juga disebelahnya terdapat mesin runcit automatik Teh Botol. Saya melihat di aplikasi Grab saya, masih ada baki Rp48 000 (+- RM14.40) di dalam e-dompet OVO. Banyak juga, namun harap ia boleh digunakan lagi selepas ini kerana ia sah selama setahun dari transaksi terakhir.

Setelah yakin semuanya baik-baik, maka saya pun menaiki eskalator untuk ke balai menunggu di atas. Pas pelepasan kita perlu diimbas pada mesin pengimbas kod bar, bagi membolehkan kita masuk ke balai menunggu. Apabila dibenarkan masuk, maka pintu akan dibuka secara automatik. Selepas itu, terdapat pemeriksaan keselamatan kedua, yang mana masih sama, tiada benda berlogam di badan kita kerana perlu melalui mesin pengimbas logam dan beg perlu diimbas mesin x-ray. Setelah selesai, barulah kita sampai di balai menunggu domestik.

Saya berjalan-jalan dahulu kerana banyak masa sebenarnya lagi. Seperti biasa di kebanyakan lapangan terbang di Indonesia yang pernah saya gunakan, balai menunggu domestik ini banyak kemudahan dan juga banyak restoran yang membolehkan kita menjamu selera sebelum menaiki pesawat. Antaranya A&W dan CFC, cuma harga memang lebih mahal dari A&W di luar. Malah harga makanan A&W di balai menunggu domestik ini lebih mahal sedikit dari A&W di kawasan landside  LTA Supadio di bawah tadi.

Setelah puas berlegar-legar di balai menunggu domestik, saya mengambil keputusan untuk masuk ke balai menunggu antarabangsa pula. Kita perlu melalui urusan imigresen terlebih dahulu. Setelah selesai imigresen, sekali lagi, sebagai mana di LTA Minangkabau, perlu melalui pemeriksaan keselamatan ketiga yang juga merupakan pemeriksaan kastam. Di sini juga perlu membuka segala kelengakapan berlogam kita. Usai pemeriksaan, kita sudah berada di balai menunggu antarabangsa pula. 

Banyak juga kemudahan di sini, terdapat tandas yang bersih di belakang balai menunggu ini. Di sebelahnya, terdapat suraun yang hanya sebuah sahaja, bermakna ia perlu dikongsi di antara lelaki dan wanita. Terdapat juga tempat mengambil wuduk yang besar juga. Tempat duduk memang banyak. Di sudut-sudut tertentu, terdapat tempat mengecaj elektrik dan juga soket elektrik. Cuma di sini tiada lagi restoran. Terpaksalah jika lapar, perlu tahan lapar.

Oleh kerana tempat duduk yang agak banyak, saya ambil satu sudut yang ada kiosk pengecaj telefon untuk saya caj telefon sambil mengemaskini status di aplikasi internet. Walaupun di LTA Supadio ini terdapat perkhidmatan WiFi percuma, namun baki kuota data telefon saya masih banyak, dan ia lebih laju dan selamat.

Sepatutnya pesawat AirAsia 9M-AJZ sudah sampai mengikut jadual pada 6:00 malam, kerana saya menyemak perjalanan pesawat di dalam aplikasi FlightRadar24, namun ia tidak mendarat kerana cuaca agak buruk di LTA Supadio. Memandangkan pada pukul 6:15 malam ia masih tidak mendarat, maka saya pun ke surau untuk menunaikan solat jamak Maghrib dan Isyak yang mana waktu Maghrib telah masuk pada pukul 6:12 malam di Pontianak (huh, jarak antara waktu Maghrib dan Isyak di Pontianak cuma 30 minit sahaja!).

Akhirnya pada 6:40 malam, mendaratlah pesawat 9M-AJZ di landasan terbang LTA Supadio. Memang boleh nampak kerana LTA Supadio ini kecil sahaja. Jadi saya pun ke pintu pelepasan, dan pada pukul 6:50 malam, penumpang-penumpang dibenarkan masuk ke dalam pesawat. Pada pukul 7.04 malam, pesawat pun meninggalkan bangunan terminal LTA Supadio dan 7.08 malam, berlepaslah penerbangan AK479 meninggalkan bumi Pontianak ini menuju ke klia2. 


Peta: Perjalanan dari Taman Digulis ke LTA Supadio 
melalui Tahu Sumedang Renyah. 



Mercutanda LTA Supadio.


Rp 2000 (Siri 2016).


Rp 20 000 (Siri 2016).


Balai berlepas (kawasan daftar masuk) LTA Supadio.

Kaunter daftar masuk AirAsia di LTA Supadio.

Kaunter balutan bagasi dan mesin runcit automatik Teh Botol.

Balai menunggu domestik LTA Supadio.

Menuju pintu 7 iaitu balai menunggu antarabangsa.


Cop pasport keluar LTA Supadio.

Balai menunggu antarabangsa LTA Supadio.

Paparan maklumat pintu pelepasan penerbangan AK479.

Di dalam penerbangan ini, rupanya juga menyediakan perkhidmatan WiFi Rokki, maka saya pun masuk ke dalam sistem WiFi untuk menikmati kandungan yang ada. Terutama menyambung kembali tontonan yang tidak habis tempohari.

Setengah jam setelah meninggalkan LTA Supadio, hidangan mula diedarkan bagi yang telah buat pra tempahan seperti saya. Kali ini, hidangan kegemaran saya di dalam penerbangan AirAsia, Nasi Ayam Uncle Chin menjadi pilihan dengan air kopi. Alhamdulillah lega juga perut ini. Teralas juga sedikit.

Akhirnya pada jam 9:40 malam waktu Malaysia (selepas ini waktu yang digunakan adalah waktu Malaysia), iaitu setelah sejam 32 minit penerbangan, mendaratlah pesawat 9M-AJZ ini di landasan 33 KLIA. Pada jam 9:46 malam, ia tiba di pintu L7 dan seterusnya ia dibuka dalam 4 minit kemudian. Saya bergegas untuk melakukan urusan imigresen dan kastam, kemudian terus ke stesen bas klia2 untuk menaiki bas Skybus ke KL Sentral trip jam 10:20 malam (kerana saya terlepas seminit untuk bas 10:00 malam).


Pelekat makluman perkhidmatan WiFi Rokki.

Santapan saya di dalam penerbangan AK479.



Peta Penerbangan AK479 02 Oktober 2018 daripada FlightRadar24.

Alhamdulillaj, bas akhirnya tiba di KL Sentral pada pukul 11:10 malam, saya turun sahaja dari bas dan  terus menuju ke parkir motorsikal. Setelah enjin motorsikal dihidupkan, maka teruslah saya membawa motorsikal saya  menuju pulang ke rumah. Apabila sampai di kawasan perumahan saya, saya singgah untuk makan nasi lemak ayam goreng rempah di medan selera kejiranan bersebelahan pada jam 11:30 malam dan tiba di rumah pada jam 11:55 malam.

Syukur kepada Allah yang saya telah selesai dengan perjalanan buat kali ini. Pontianak ini sebenarnya banyak lagi tempat yang boleh kita pergi. Lagipun ia pintu masuk ke bahagian barat Kalimantan. Insya Allah jika berkesmpatan akan datang lagi, mungkin menziarahi Herman sekeluarga. Semoga pengalaman saya ini dapat memberikan panduan dan iktibar kepada yang membaca. 

Insya Allah berjumpa lagi, ingat mengembara ini membuka minda dan meluaskan pemikiran kita. Seperti biasa, saya petik kata-kata Qi Khusairy, "Biar jadi pengembara, jangan jadi pelancong".


Assalamualaikum warahmatullahi wabarukatuh.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan... (Exploring the World, Knowing the Life...).


Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 

  • PreJourney; 
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2 (this part).