Bersambung dari Hari 4.
If want to read in English:
- Pre Journey
- Itinerary;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4 (this part);; or
- Day 5.
23 Oktober 2014 (Khamis)
Hari terakhir Kembara KH/VN (kod kembara ini yang diberikan oleh saya sendiri). Pagi ini, kami masih ada sedikit masa untuk melawat sekitar kawasan pusat bandar Saigon ini, yang mempunyai tarikannya yang tersendiri. Walaupun ibu negara Vietnam adalah Hanoi, di utara, namun Saigon ini lebih besar dari segi keluasan, bilangan penduduk, kepesatan dan juga pusat ekonomi utama Vietnam.
Oleh kerana penerbangan pulang kami adalah waktu petang, pada pukul 4:20 petang, walaupun pada asalnya penerbangan pulang kami adalah pada waktu malam (jam 9:10 malam). Jadi adalah sedikit masa untuk melawat sekitar pusat bandar. Lagipun hostel kami tidak jauh dari tempat-tempat yang hendak di lawati. Antara yang dirancang untuk dilawati adalah:
1. War Remnant Museum (Muzium Peninggalan Perang);
2. Gereja Notre Dame Saigon;
3. Pejabat Pos Saigon;
5. Bangunan Dewan Perbandaran Saigon lama (old Municipal Hall buiding);
6. Dewan Teater Perbandaran Saigon;
7. Masjid Musulman, Saigon;
Jadi itulah itinerari lawatan pada pagi ini, yang akan berakhir di pasar Ben Thanh, seterusnya ke Malaysian Street untuk makan tengahari.
Oleh kerana penerbangan pulang kami adalah waktu petang, pada pukul 4:20 petang, walaupun pada asalnya penerbangan pulang kami adalah pada waktu malam (jam 9:10 malam). Jadi adalah sedikit masa untuk melawat sekitar pusat bandar. Lagipun hostel kami tidak jauh dari tempat-tempat yang hendak di lawati. Antara yang dirancang untuk dilawati adalah:
1. War Remnant Museum (Muzium Peninggalan Perang);
2. Gereja Notre Dame Saigon;
3. Pejabat Pos Saigon;
5. Bangunan Dewan Perbandaran Saigon lama (old Municipal Hall buiding);
6. Dewan Teater Perbandaran Saigon;
7. Masjid Musulman, Saigon;
Senarai harga Budget Saigon Hostel.
Pada jam 8:00 pagi, kami ke bawah hostel untuk makan sarapan. Saya memang menantikan sarapan ni pasal suka makan roti perancis (baton atau mini baguette). Memang lembut, roti di Deli France di Kuala Lumpur pun tidak boleh lawan kelembutan dan kesedapan roti ini. Tambahan pula dengan kopi Vietnam yang disediakan, memang kaw. Pencuci mulut dengan pisang montel, nyummy.
Jam 8:30 pagi kami memulakan perjalanan kami dari hostel kami. Destinasi pertama adalah Muzium Peninggalan Perang di Jalan Vo Van Tan, kira-kira hampir 2 kilometer dari hostel kami. Sambil berjalan, saya melihat sekeliling. Antaranya yang menarik hati saya (sebenarnya sejak datang ke Saigon ini, baru kali ini nak ambil gambar) adalah keserabutan wayar elektrik di atas kepala kami. Memang serabut, sebagaimana di Thailand juga. Kalau di Malaysia ni, mahu kena masuk berita TV atau akhbar, huhuhu...
Selanjutnya, kami melalui salah satu taman. Memang di dalam bandaraya Saigon ini mempunyai banyak taman. Di dalam taman juga tidak putus-putus orang bersenam dan pelbagai aktiviti lain. Bunga-bunga dan tumbuhan juga dijaga baik. Pohon-pohon agak rendang, dapat meredupkan suasana dan kehangatan siang di Saigon ini.
Dalam perjalanan ini juga, saya sempat mengambil gambar, bagaimana motorsikal-motorsikal yang memang banyak di Saigon ini disusun di parkir motor. Memang teratur,dan terjaga, kerana ada petugas yang akan menyusun motor-motor ini. Tidaklah macam di Kuala Lumpur, parkir motorsikal memang huru hara, tidak berdisiplin.
Seterusnya perjalanan diteruskan, dan kami terjumpa pula Dewan Teater Boneka Air Saigon. Asalnya memang saya hendak ke sini pada hari pertama sampai di sini, tetapi tidak sempat. Esok malamnya pula terpula agenda ini. Tapi rasanya pada waktu ini, tiada persembahan, tidak mengapalah, lain masa datang ke Saigon akan ke sini, insya Allah.
Sebelah dewan teater boneka air tersebut, terdapat sebuah kelab rakyat tempatan. Dapatlah dari luar, kami melihat warga emas Saigon sedang berlatih menari, mungkin sebagai mengisi masa lapang atau sebagai senaman. Tidak lama kemudian, terdapat seorang lelaki tua sedang mengandar sesuatu menegur kami. Asalnya kami buat tidak layan sahaja, tapi dia masih berusaha, malah siap menyuruh saya dan Halim mengandar barang yang dikandarkan itu. Huh, memang berat. Rupanya yang dikandarnya itu adalah barang jualan, iaitu kelapa yang disejukkan di dalam air berais. Dia masih mengikut kami, seolah-olah tahu kami hendak ke Muzium Peninggalan Perang. Ketika hampir sampai, dia sempat menahan saya dan memaksa membeli 2 biji kepala darinya dengan harga ₫100 000 (+- RM16) setiap satu. Alamak, saya dah kena scam, yang selama ini amat saya jauhi. Ahli kembara lainnya meninggalkan saya. Lalu saya menawar beli satu sahaja (tidak sampai hati kerana dia sudah tebuk kedua-dua kelapa tersebut), dan akhirnya dapat beli satu kepala dengan harga ₫50 000 (+- RM8). Lagipun itu sahaja duit dong yang besar yang tinggal. Saya anggap bersedekah, cuma caranya semacam tidak molek. Begitulah cara orang mencari rezeki. Ingatan kepada saya agar berhati-hati pada masa hadapan.
Kaunter tiket Muzium Peninggalan Perang.
Akhirnya, kami sampai juga ke Muzium Peninggalan Perang ini. Alhamdulillah, Zain menawarkan untuk membelanja kami bayaran masuk muzium, yang berharga ₫15 000 (+- RM 2.50) setiap seorang, bermakna dia membayar ₫90 000 (+- RM15). Terima kasih banyak diucapkan.
Kereta Kebal Sherman & Helikopter Chinook.
Di dalam muzium ini dipaparkan banyak tinggalan-tinggalan peperangan seperti senjata berat yang dirampas daripada tentera Amerika Syarikat macam kereta perisai, kereta kebal (seperti model Sherman), helikopter (model Chinook dan Huey) dan kapal terbang (seperti jet pejuang F-5).
Helikopter Huey.
Antara bahan siksaan: Gilotin.
Selain itu juga, dipamerkan tentang bagaimana kekejaman askar Amerika Syarikat dan kuncunya Vietnam Selatan menahan tahanan perang dan bagaimana mereka menyeksa tahanan-tahanan ini.
Selanjutnya pameran-pameran berkaitan Perang Vietnam sebanyak 3 tingkat. Banyak gambar saya ambil, cuma saya tidak sampai hati untuk menyiarkan di sini. Memang banyak pengajaran dapat diperolehi di dalam Perang Vietnam ini. Memang amat dicadangkan datang ke sini bagi mendapat perspektif Vietnam tentang perang ini yang mana selama ini kita hanya dimomokkan dengan perspektif Amerika Syarikat. Sesungguhnya ramai yang menjadi mangsa peperangan ini.
Setelah selesai lawatan di Muzium Peninggalan Perang, kami berjalan kami semula dan melalui di hadapan Istana Penyatuan (Reunification Palace) atau juga dikenali sebagai Istana Kemerdekaan atau Istana Presiden. Bangunan ini merupakan kediaman presiden negara Vietnam Selatan (pro Amerika Syarikat) sebelum ia dirampas oleh tentera Vietcong (Vietnam Utara - pro komunis), di mana pintu pagarnya dilanggar oleh kereta kebal bernombor 843 yang replikanya dipamerkan di laman istana ini. Jatuh bangunan ini bermakna kalahnya Vietnam Selatan dan Amerika Syarikat dan bersatunya dua negara Vietnam menjadi satu.
Untuk masuk ke Istana Penyatuan ini, tiket berharga ₫30 000 (+- RM5) tetapi kami tidak masuk. Cukuplah bergambar dari luar.
Sayup-sayup kereta kebal 843 di halaman Istana Penyatuan.
Kaunter tiket Istana Penyatuan.
Dihadapan Istana Penyatuan terdapat taman lagi. Memang orang Saigon suka duduk di taman. Malah yang menarik, setiap pokok di taman ini diberikan nombor. Memang taman ini dijaga dengan baik.
Gereja Notre Dame Saigon (kiri) dan Pejabat Pos Saigon (kanan).
Tidak jauh dari taman ini, sampailah kami ke destinasi seterusnya iaitu Gereja Notre Dame dan Pejabat Pos Saigon yang sebelah menyebelah. Memang banyak pelancong berada di sini. Memang ia merupakan tempat tumpuan pelancong. Kedua-dua bangunan ini merupakan peninggalan penjajah Perancis. Di dalam Pejabat Pos Saigon, masih terdapat perkhdimatan pejabat pos yang masih aktif. Juga banyak kedai cenderahati terdapat di dalam pejabat pos ini. Cuma harga agak mahal sikit.
Di luar bangunan pejabat pos, terdapat pergambaran iklan, jadi saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar model wanita Vietnam, hehehe...
Pejabat Pos Saigon.
Oleh kerana saya terlupa membawa air minuman, kami semua kehausan, jadi saya pergi ke kedai serba guna di depan pejabat pos ini. Di sini saya menghabiskan duit dong saya untuk membeli air minuman botol (mineral).
Setelah menghilangkan dahaga kami, kami meneruskan perjalanan kami ke bangunan Dewan Perbandaran Saigon lama. Namun dataran di hadapan bangunan ini ditutup untuk projek pembangunan antaranya pembinaan stesen MRT Saigon. Jadi gambar dari tepi sahajalah yang dapat diambil.
Perjalanan kami diteruskan, dan kami terjalan dihadapan Dewan Teater Perbandaran Saigon. Memang menarik bangunan-bangunan tinggalan penjajah Perancis yang masih dijaga oleh pihak berwajib.
Bangunan pejabat dan bilik kelas di Masjid Musulman, Saigon.
Akhirnya kami sampai ke Masjid Musulman yang terletak di sebelah hotel Shereton Saigon. Masjid ini 1935 oleh peniaga berketurunan India Muslim. Ini antara beberapa masjid yang ada di bandaraya Saigon, menunjukan Islam subur d bumi Vietnam ini. Terdapat juga kelas agama di sini. Paling menarik, terdapat kenyataan di dalam Bahasa Melayu di dalam masjid ini. Sempat kami bersolat Dhuha, kerana waktu Zohor masih belum masuk lagi. Di sekitar masjid ini terdapat juga kedai makanan halal, yang menggunakan Bahasa Melayu di dalam menunya.
Dalam perjalanan pulang ke pasar Ben Thanh dari Masjid Musulman, saya terpandang sebuah bangunan yang terdapat papan tanda Maybank.
Bangunan tertinggi di Saigon: Bangunan Bitexco Financial.
Kami meneruskan perjalanan, kerana kami perlu kejar masa, hendak makan tengahari lagi, solat dan bergegas ke lapangan terbang. Namun jalan yang kami ambil melalui bangunan tertinggi di Saigon iaitu bangunan Bitexco Financial. Di bangunan ini, terdapat tarikan baru iaitu Saigon Sky Deck, di mana boleh melihat permandangan sekitar bandaraya Saigon di atasnya. Tiketnya berharga ₫200 000 (+- RM32) setiap seorang bagi sekali naik. Namun bukan rezeki saya kerana duit dong saya sudah habis dan rakan-rakan juga tidak mahu naik. Lagipun kami berkejar dengan masa. Terus kami meneruskan perjalanan.
Setelah 20 minit berjalan dari Masjid Musulman, akhirnya kami sampai ke pasar Ben Thanh. Saya sempat membeli magnet peti ais untuk ketua pejabat saya (kena bagi yang cantik punya). Malah siap boleh tawar lagi sehingga dapat 50% dari harga asal. Boleh dibayar dengan matawang ringgit Malaysia sahaja. Siapa kata di pasar Ben Thanh tidak boleh tawar. Di bawah ini merupakan pelan pasar Ben Thanh. Malah terdapat juga plan jenis elektronik.
Makan tengahari kami kali ini adalah di Kedai Halal Amin yang terdapat di Malaysian Street. Kedai ini adalah paling murah dengan harga makanan kami (saya dan Zain memesan Pho, bihun sup Vietnam dan 4 yang lain nasi goreng) setiap satu berharga hanya ₫50 000 (+- RM8). Kami bayar dengan duit ringgit Malaysia sahaja.
Di bawah ini adalah antara duit-duit dong Vietnam yang dapat saya kumpul sepanjang perjalanan kami di Vietnam selain ₫100 000 yang saya dapat semasa menukar wang sebelum kembara.
VND (dong) ₫500 = +- 8 sen Malaysia
VND (dong) ₫1000 = +- 16 sen Malaysia
VND (dong) ₫2000 = +- 32 sen Malaysia
VND (dong) ₫5000 = +- 80 sen Malaysia
VND (dong) ₫10 000 (polimer)= +- RM1.60
VND (dong) ₫20 000 (polimer)= +- RM3.20
VND (dong) ₫50 000 (polimer)= +- RM8.00
Setelah selesai makan, kami segera pulang ke hostel. Kami telah daftar keluar sebelum kami berjalan tadi dan meninggalkan beg kami di depan kaunter. Jadi ada kami yang bersolat dan membersihkan diri mana yang sempat. Saya siap menukar baju. Dalam masa 15 minit kami segera berjalan menuju ke perhentian bas terdekat untuk mengambil bas henti-henti bernombor 152 untuk ke lapangan terbang. Menunggu di stesen bas tidak lama, dalam 5 minit terus dapat bas. Tiket ke lapangan terbang adalah đ5000 (+- 80 sen Malaysia) sahaja. Baru saya perasan, saya masih ada ₫5000 terakhir di dalam beg saya. Alhamdulillah. Dalam masa 20 minit sampailah kami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Soon Nhat, Saigon, Vietnam.
Setelah sampai di tingkat 1 (aras tanah), kami naik ke aras 3 untuk memasuki balai pelepasan. Walaupun kami sudah daftar masuk secara web, namun kami masih perlu ke kaunter daftar masuk tanpa bagasi khas untuk yang telah daftar masuk, bagi memeriksa dokumen. Semasa kami sampai, kaunternya belum buka lagi tetapi di kaunter lain telah ramai yang beratur. Di kaunter kami, kami antara yang pertama. Namun baru saya tahu yang di sini akan menimbang bagasi kabin yang akan dibawa masuk. Ahli-ahli kembara lain, mula mengemas beg agar cukup-cukup sekitar 7 kilogram. Namun saya memang risau kerana walaupun nampak kecil, tapi berat beg saya pasti berat, kerana saya menyusun isi kandungan beg saya dengan optima, dengan menggulung pakaian dengan kaedah tentera (saya mempunyai latar belakang ketenteraan). Memang betul, apabila saya menimbang beg saya, ia seberat 11 kilogram lebih. Macam mana ini, saya pun bersiap-siap dengan kad kredit, mana tahu tidak lepas.
Kaunter dibuka, saya mengumpul semua pasport dan pas masuk (boarding pass) saya dan rakan-rakan walaupun berlainan nombor tempahan. Kemudian saya diperiksa akhir sekali. Semua telah selesai, beg di timbang, saya segera menurunkan beg saya di hadapan kaunter. Ditimbang beg orang lain dulu. Nampak gaya, petugas itu tidak meletakan sebarang tanda, maka saya mendapat idea. Satu demi satu beg ditimbang, semuanya lepas kerana berat sekitar 6 hingga 8 kilogram. Pada beg terakhir, saya mengambil beg Akmal yang telah ditimbang untuk ditimbang sekali lagi, beg saya pula diambil oleh Halim, seolah-olah telah ditimbang. Beberapa rakan terkejut dengan tindakan saya, namun senyap, tapi petugas itu tidak sedar juga dan berkata "All bags are passed, you can proceed to immigration, thank you (Semua beg lepas, anda boleh terus ke imigresen, terima kasih)". Alhamdulillah. Selamat.
Seterusnya kami segera bergerak untuk urusan imigresen. Sebelum itu, kami membuka semua beg kami untuk membuang yang mempunyai logam berbahaya (seperti pisau, gunting, benda tajam) dan barang-barang cecair yang lebih 100ml serta menyimpan barang yang mempunyai logam seperti tali pinggang, kasut, jam tangan, telefon bimbit dan sebagainya ke dalam beg untuk pemeriksaan keselamatan sebelum imigresen dan selepas imigresen. Ya, terdapat dua kali pemeriksaan.
Setelah selesai pemeriksaan pertama, kami ke kaunter imigresen. Zain, Halim, Din dan Abe di kaunter lain, saya dan Akmal di kaunter lain. Kaunter saya dan Akmal agak lama sedikit pemeriksaan kerana pegawai imigresen menanyakan di mana cop keluar Malaysia. Mungkin dia tidak pernah memeriksa orang Malaysia kot. Saya memaklumkan bahawa pemegang pasport Malaysia tiada cop kerana kami menggunakan cip dan pintu automatik. Pegawai tersebut bertanyakan kawan setugasnya, dia pula dimarahi, kerana sudah apa yang saya kata itu benar. Dengan sipu-sipu dia mengecop pasport saya. Akmal pun ditahan lama juga. Apa-apa pun semuanya berjaya menyelesaikan prosedur imigresen Vietnam. Secara rasmi kami sudah keluar dari Vietnam.
Seterusnya ke pemeriksaan keselamatan kedua. Di sini agak ketat, namun kami lepas juga dengan jayanya, yeah...
Kami ke pintu berlepas nombor 16. Cuaca di luar mula hujan dengan lebat. Nampak gaya macam tertunda pula penerbangan kami. Sudah ada beberapa penerbangan yang ditunda. Sambil itu saya meneroka airside lapangan terbang ini.
Tiba-tiba, kami diumumkan untuk bertukar pintu pelepasan ke pintu 9 pula. Saya segera ke pintu 16 dan memaklumkan rakan-rakan saya yang masih tidak sedar. Maka kami semua ke pintu 9 pula.
Hujan semakin teduh tidak lama kemudian, dan pada jam 3:30 petang, terlihat sebuah kapal terbang AirAsia mendarat dan menuju ke arah pintu 9 dengan bendera Malaysia di hadapan kapal terbang tersebut. Alhamdulillah nampak gaya penerbangan kami mengikut jadual.
Pada jam 4:00 petang, kami pun mula menaiki kapal terbang tersebut dan 20 minit kemudian, kapal terbang ini bergerak dan kemudian berlepas meninggalkan bandaraya Saigon.
Sejam 45 minit kemudian kami sampai ke terminal klia2. Alhamdulillah, kembara ini selesai dengan jaya tanpa sebarang masalah yang besar. Kami bersalaman dan kemudian berpisah menuju ke destinasi masing-masing.
Saya menunggu isteri saya mengambil kerana dia membawa bersama ibu mertua saya (ibunya) untuk dihantar ke rumah kakak ipar saya (kakaknya) di Salak Tinggi. Setelah menghantar ibu mertua saya, kami ke pekan Salak (tempat biasa kami makan kalau ke kawasan sekitar KLIA) untuk makan. Selesai, makan kami pun pulang ke rumah kami.
Alhamdulillah, selesai sudah catatan pengembaraan ke dua negara ASEAN. Ini juga bermakna saya telah menjejaki kesemua kesepuluh-sepuluh negara ASEAN. Tercapai juga impian saya, dalam masa 6 bulan saya telah menjejaki semua negara tersebut.
Semoga catatan ini dapat memberikan maklumat kepada pembaca agar dapat gambaran jika mahu ke sini. Harap boleh setia membaca catatan saya selepas ini, insya Allah pengalaman ke Sumatera Utara (Medan) dan Aceh pada bulan Disember 2014 nanti.