Sabtu, 3 Disember 2016

Hari 4 & 5 (Sydney, Australia - 26 hingga 31 Oktober 2016) - Pantai Bondi, Pantai Yang Nyaman & Semoga Jumpa Lagi Australia.

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5 (this part)or 
  • Travel Guide - Sydney. 


Permandangan Pantai Bondi.

Hari 4 (30 Oktober 2016 - Ahad).

Hari ini merupakan hari terakhir kami di Sydney. Mengikut perjanjian asal, kami semua termasuk Ina dan Aida akan bertemu pada pukul 7:00 pagi. Cuma kali ini, kami sengaja melambatkan sedikit setelah sebelum ini kami yang menunggu mereka. Pada pukul 7:15 pagi barulah kami turun bertemu mereka di ruang pantri. Kami menikmati sarapan dahulu sebelum mula bergerak ke destinasi pada pagi ini iaitu ke pantai Bondi.

Setelah menikmati sarapan yang ada, kami pun berjalan menuju ke perhentian bas berhampiran dengan Stesen Keretapi Museum untuk menunggu bas ke pantai Bondi. Sampai di sana, agak ramai juga yang menunggu bas di situ. Akhirnya selepas 15 minit iaitu hampir pukul 8:00 pagi, bas bernombor 380 yang menuju ke pantai Bondi. Perjalanan mengambil masa kira-kira hampir setengah jam.


Peta: Perjalanan dari penginapan ke Pantai Bondi.


Kami sampai juga di pantai Bondi. Inilah pertama kali saya merasakan kenyamanan apabila berada di sebuah pantai. Pada ketika itu, memang agak ramai orang di pantai ini. Agak kagum dengan orang Australia ini yang agak suka bersenam. Tapi saya rasa keadaan cuaca yang membantu sikap ini yang menjadi macam satu budaya. Tidak hairanlah, kalau Australia memang menjadi kuasa sukan dunia. Kalau macam ini cuacanya, saya pun akan selalu bersenam (ye ke?), hehehe...

Macam aktiviti yang mereka lakukan di sini, dari padang rumput ke pasir pantai ke kawasan laut. Ada yang bermain bola sepak atau ragbi sentuh di padang rumput. Di pasir pantai, ada yang main bola tampar pantai dan main frisbee serta kegiatan lain. Di laut pula, memandangkan ombaknya yang sesuai, ramai yang meluncur (surfing). Cuma mata tu jaga-jaga dan niat di hati pun sama, kerana mereka semua memakai pakaian mandi contohnya bikini. 

Di satu sudut, terdapat juga beberapa lukisan mural dilukis di sebuah dinding. Memang ini juga satu tarikan dari segi seni. Menarik juga lukisan-lukisan yang ada. Di kawasan ini juga saya membuat siaran langsung Facebook yang boleh diikuti di  https://www.facebook.com/hadiasad/videos/10210777035005766/.

Setelah beberapa ketika, kami ke bangunan Bondi Pavilion yang mana di sini terdapat beberapa kedai yang terdiri daripada beberapa restoran, kedai fresco dan juga kedai cenderahati. Rakan-rakan ada juga membeli beberapa cenderahati di sini. Saya cuba menahan diri kerana selepas ini agenda kami adalah untuk ke Paddy's Market yang terkenal dengan jualan cenderahati yang murah. Lagipun harga di sini agak mahal sikit, termasuk makanannya. Satu lagi yang hendak dimaklum, sebenarnya Bondi Pavilion mempunyai bilik salinan untuk mandi yang besar dan percuma. Juga, di sini juga terkibar dengan megah, bendera LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual & Transgender), jadi aktiviti yang berkaitan dengannya adalah kebiasaan di sini.

Selepas lebih sikit dari sejam di pantai ini, kami pun  kembali pulang ke penginapan untuk kami mendaftar keluar penginapan kami kerana pendaftaran keluar adalah pada pukul 10:00 pagi.


Permandangan Pantai Bondi.

Pantai Bondi dari sudut pandangan lain.

Pengunjung di Pantai Bondi ini dengan kepelbagaian aktiviti mereka.

Ombak yang bersesuaian untuk aktiviti meluncur ombak (surfing).

Antara seni mural di dinding pesiar kaki di Pantai Bondi.

Bondi Pavilion yang terdapat beberapa restoran dan juga bilik air 
(bendera yang berkibar adalah bendera LGBT!). 

Di penginapan kami pun berkemas dan kemudian mendaftar keluar di kaunter. Kami meminta untuk meninggalkan beg kami di stor khas kerana kami hanya akan ke lapangan terbang pada lewat petang. Jadi setelah beg kami di simpan, kam pun terus ke Paddy's Market yang tidak begitu jauh dari penginapan kami.

Di sini, kami membeli pelbagai cenderahati yang pelbagai di sini. Terdapat kemeja-T, rantai kunci, magnet peti ais, topi malah terdapat juga baju panas. Barang-barang tersebut paling murah di sini berbanding tempat lain. Selain murah, ia juga berkualiti juga. Sebenarnya barang cenderahati di tempat lain sama sahaja yang dijumpai di sini. Kalau di Circular Quay, AUD10.00 (+- RM33.00) boleh membeli 3 set sahaja magnet peti ais yang ada maksima 6 buah magnet, namun di Paddy's Market ini, ia boleh didapati 5 set dengan harga sama. Malah boleh beli satu set sahaja dengan harga AUD2.00 (+- RM6.60) sahaja.

Di samping itu, rupanya di bahagian lain pasar ini, terdapat pasar basah juga yang menjual barang basah seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. Cuma barangan makanan laut dan berasaskan daging tidak dijual (terdapat satu sudut menjual barangan laut cuma ia tertutup dan berasingan dengan bahagian lain). Harga barang-barangan basah ini murah, lebih murah daripada dari pasaraya. Sudahlah murah, ia amat segar pula itu. Kalau tahu di Paddy's Market ini ada jual barangan basah, baik saya ke sini. Contohnya, saya membeli 500 gram buah pir madu sebanyak 10 biji pada harga cuma AUD1.50 (+- RM4.95) sahaja!

Setelah kira-kira dua jam saya berada di situ, saya pun bersama abang Zul, Jeluwi dan Linda pulang ke penginapan. Di situ, kami mengemas beg kami dengan memasukan cenderahati yang kami beli tadi. Kemudian, dalam dekat sejam kemudian, Irda dan Husnul pun kembali.

Paddy's Market di kawasan Haymarket.

Keadaan di dalam Paddy's Market (maaf gambar kurang jelas).

Lagi gambar Paddy's Market dari sudut lain.

Setelah semua selesai mengemas, tiba-tiba rakan-rakan lain kecuali Husnul ingin berjalan-jalan lagi, tujuannya adalah ke Queen Victoria Building (QVB). Ini kerana Jeluwi ingin membeli sesuatu yang berjenama katanya. Lain-lain juga hendak ke sana kerana mereka ada banyak baki lagi wang mereka. Saya tidak mahu mengikut kerana takut terbeli barang yang tidak perlu. Jadi saya dan Husnul tinggal di penginapan, dan kami ditemani oleh Ina dan Aida. 

Kedua-dua mereka memasak jemput-jemput sebagai makan tengahari. Terisi juga, lagipun saya memang kenyang kerana saya makan buah pir yang agak banyak tadi. Selain itu, Husnul membeli makanan goreng di Just Fry di bawah penginapan kami.

Namun pada pukul 2:30 petang, selepas solat jamak Zohor dan Asar, saya terasa gatal kaki dan pergi ke QVB untuk bersama dengan rakan-rakan yang sudah ke sana, kerana rasa mereka sudah pergi agak lama. Sampai di sana, saya tidak jumpa mereka, namun sempat juga saya jalan-jalan di dalamnya. Memang keadaan di dalam QVB ini agak ekslusif dan nampak mewah. Jenama-jenama yang mewah dan terkemuka sahaja di dalamnya, seperti Pandora, Coach dan sebagainya. Nampak juga banyak kedai-kedai di sini mula membuat jualan sempena pra Krismas. Saya terpaksa menahan diri, kerana harga barang-barang di sini agak murah berbanding di Kuala Lumpur, maklumlah harga promosi. Jadi selepas 20 minit, saya pun keluarlah dari QVB dan tersinggah di Woolworth dimana saya terbeli sashimi lagi. Selepas itu pulanglah saya ke penginapan.

Ina dan Aida ingin mengucapkan selamat jalan kepada kami kerana mereka perlu ke tempat kerja sebelum pukul 4:00 petang. Walaupun perkenalan kami tidak sampai sehari, namun rasa seperti kawan lama. 

Bangunan Dewan Bandaran (Town Hall) (kiri) dan Queen Victoria Building (QVB).
Tidak kelihatan (sebelah kiri Town Hall adalah St. Andrew Cathedral.

Queen Victoria Building (QVB).

Patung Ratu Victoria di depan QVB.

Dalaman QVB.

Asalnya kami ingin meninggalkan penginapan pada pukul 5:30 petang, namun rasa bosan melanda, kami pun meninggalkan penginapan pada pukul 4:30 petang. Asalnya Irda ingin menaiki bas shuttle untuk ke lapangan terbang yang kosnya sebanyak AUD16.00 (+- RM52.80), namun apabila bertanya di kaunter, khidmat tersebut sudah tiada kerana akses langsung dari jalan ke penginapan sudah tiada akibat penutupan sebahagian George Street untuk pembinaan tram. 

Jadi saya katalah, kita naik pengangkutan awam sahaja, lagipun tambang kami adalah percuma untuk baki hari ini, kerana pada hari Ahad, tambang pengangkutan awam jika menggunakan kad Opal dihadkan kepada AUD2.50 (+- RM8.25) sahaja, manakala tambang melebihi AUD2.50 itu adalah tidak akan dikena caj. Cuma kali ini saya cadangkan untuk kami mengambil keretapi ke Stesen Keretapi Mascot dan bukan ke Wolli Creek, di mana di Mascot, kami akan mengambil bas untuk ke Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kingston Smith, Sydney (SYD). Dapat jimat caj akses lapangan terbang sebanyak AUD13.40 (+- RM44.22) yang kena bayar walaupun tidak perlu lagi bayar tambang keretapi.

Jadi mereka pun mengikut cadangan saya ini, lagipun kami pun bukan mengejar masa sangat. Jadi kami mula berjalan kaki ke perhentian tram Century Square untuk ke Stesen Central dan seterusnya kami ke platform 23 untuk menaiki keretapi ke Mascot. Sampai ke stesen Mascot, kami berjalan, dan menyeberang Coward Street untuk menunggu bas bernombor 400 di perhentian bas di situ. Cuma berjalan kurang 100 meter sahaja. Bas tersebut kemudian sampai 15 minit kemudian dan sampai di Terminal 1 setelah melalui Terminal 2 (juga dikenali sebagai Terminal Domestik) SYD sebelum itu, lima belas minit selepas itu.


  Peta: Perjalanan dari penginapan ke Stesen Keretapi Mascot.


Peta: Perjalanan bas dari Stesen Keretapi Mascot ke Terminal 1, SYD.


Sampai di Terminal 1 SYD, kami terus ke balai berlepas untuk ke kaunter barisan K, yang mana kaunter AirAsia X terletak di kaunter 10 sehingga 16. Tapi pada masa itu (pukul 6:00 petang) ia belum dibuka lagi, kerana ia dibuka 3 jam sebelum berlepas iaitu pukul 6:50 petang). Jadi kami tunggulah di situ sambil berjalan-jalan di sekeling balai berlepas ini. Sambil itu, sempat juga saya membuat siaran langsung Facebook yang boleh diikuti di  https://www.facebook.com/hadiasad/videos/10210781077066815.

Akhirnya kaunter dibuka untuk mendaftar masuk. Terdapat tiga laluan untuk mendaftar masuk iaitu pertamanya laluan Tempat Duduk Premium (Premium Seat) dan Premium Flex. Keduanya, laluan untuk daftar masuk biasa dan yang ketiga, laluan untuk bag drop iaitu untuk yang sudah mendaftar masuk melalui web atau aplikasi mudah alih. Kami mengambil laluan ketiga. Semasa beratur (orang sudah mula beratur ketika kami sampai, jadi kami tidak mahu beratur dahulu kerana terdapat kerusi berhampiran, kami mula beratur ketika barisan sudah surut sikit), saya melihat sama ada pemeriksaan berat beg yang dibawa ke kabin pesawat ditimbang dan adalah ia ditanda. Saya melihat salah satu kaunter, beg kabin ditimbang namun tiada sebarang tanda, jadi saya meninggalkan beg di kerusi yang mudah saya lihat dari jauh. Ini kerana saya risau, kerana beg saya pasti berat, kerana terdapat tulang besi padanya, maklumlah beg khas untuk mendaki.

Tiba giliran kami mendaftar masuk dan proses bag drop dan mendaftarkan beg untuk didaftar masuk berjalan lancar. Alhamdulillah, kaunter saya tidak menimbang beg kabin. Jadi kami semua diberikan pas pelepasan. Setelah selesai urusan pendaftaran masuk penerbangan, kami terus ke kawasan depan pintu masuk ke kaunter imigresen untuk mengisi borang keluar Australia. Sambil itu saya melihat wang-wang Australia yang saya perolehi sepanjang perjalanan saya di Sydney ini untuk simpanan saya.
  


 Pas Pelepasan Pesawat AirAsia X D7 221, 30 Oktober 2016 dari Sydney ke klia2.

 Borang Keluar Australia Imigresen Australia.


AUD 0.05 (+- RM0.17).

AUD 0.10 (+- RM0.33).

AUD 0.20 (+- RM0.66).

AUD 0.50 (+- RM1.65).

AUD 1.00 (+- RM3.30).

AUD 2.00 (+- RM6.60).

AUD 5.00 baru (+- RM16.50).

Usai mengisi borang, maka kami terus masuk ke airside untuk prosedur imigresen. Alhamdulillah, prosedur imigresen berjalan lancar, tidak seperti semasa masuk ke Australia tempohari. Cuma saya terlupa untuk meminta cop keluar yang mana cop ini tidak wajib untuk pegawai imigresen Australia untuk cop di dalam pasport kita. Cuma Husnul sahaja yang dapat cop, jadi saya kongsikan copnya.

Seterusnya, kami melalui pemeriksaan keselamatan lapangan terbang pula. Kami semua diperiksa dengan mesin pemeriksaan x-ray badan yang agak canggih disamping beg kami juga diimbas oleh mesin x-ray biasa. Sampaikan pasport yang saya simpan di poket belakang seluar saya (saya lupa untuk letak pada dulang pemeriksaan) juga dapat dikesan. Kami semua lepas pemeriksaan ini. Jadi kami terus ke pintu pelepasan 37. 

Oleh kerana masih awal lagi, kerana kami sampai di pintu pelepasan kira-kira pukul 8:00 malam, kami pun berehat di depan pintu pelepasan 30. Tempat menunggu di kawasan ini dikongsi dengan banyak pintu pelepasan. Saya memilih di depan pintu pelepasan 30 kerana terdapat kiosk mengecaj telefon. Sambil itu di sini juga berdekatan dengan tandas dan kawasan agak luas sikit untuk solat, jadi bolehlah kami solat jamak Maghrib dan Isyak.

Cop pasport keluar Australia.


Pesawat 9M-XXY yang menjadi pesawat pulang ke klia2.

Menanti masa untuk memacu berlepas pulang. Selamat Tinggal Sydney.


Pada pukul 9:00 malam, panggilan untuk masuk ke dalam penerbangan D7 221 didengari. Agak awal juga. Jadi kami pun segera ke pintu pelepasan dan masuk ke dalam pesawat. Walaupun awal, namun pesawat AirAsia X ini hanya berlepas meninggalkan Terminal 1 SYD pada pukul 9:45 malam dan berlepas meninggalkan SYD pada pukul 10:10 malam. Jadi, selamat tinggal Sydney dan Australia, semoga saya akan di sini lagi, insya Allah.

Semasa penerbangan, keadaan agak biasa sahaja. Cuma kali ini, pembantu penerbangan adalah bercampur lelaki wanita, tidak seperti penerbangan pergi tempoh hari. Setelah sejam penerbangan, semasa hidangan dihidangkan, baru saya ingat, yang rakan-rakan saya tidak menuntut pengembalian cukai di lapangan terbang tadi. Rasanya banyak juga mereka membeli barang. Tiada rezeki mereka. Lain kali jangan lupa simpan resit dan tuntut cukai yang telah dibayar ye. Setelah selesai makan, lampu kabin pun ditutup untuk tidur. Cuma saya tidak boleh hendak tidur, cuma boleh tidur sejam sahaja, itu pun tidur-tidur ayam sahaja. Jadi ada masa jika abang Zul terbangun saya berborak dengan dia.




Hari 5 (31 Oktober 2016 - Isnin).

Setelah hampir lapan setengah jam penerbangan, akhirnya mendarat juga pesawat 9M-XXY ini di landasan kedua KLIA dan setelah itu ia parkir di pintu L22 di klia2. 

Peta Laluan Pesawat AirAsiaX D7 221 30 Oktober 2016 daripada FlightRadar24.


Kami berswafoto (Bahasa Melayu bagi selfie) setelah tiba di klia2.

Semasa dalam perjalanan menuju ke kaunter imigresen, saya telah memaklumkan isteri saya untuk bersedia di pintu ketibaan. Setelah selesai urusan imigresen, dengan bagasi yang diterima juga agak cepat, maka kami pun berpisah mengikut haluan masing-masing. Abang Zul dan Husnul mengikut saya untuk saya hantar mereka. Setelah selesai menghantar mereka yang memang dalam laluan ke rumah saya, sampailah kami ke rumah kami.

Alhamdulllah, berakhirlah perjalanan saya dan rakan-rakan di Sydney ini, sesungguhnya Sydney ini memang cantik dan menarik juga. Rasanya mungkin saya akan menjejaki kaki saya di sana, insya Allah. Perjalanan saya seterus ini adalah ke Tehran pada bulan Januari 2017, insya Allah, jadi sudi-sudikan untuk mengikuti catatannya nanti.


KembaraGD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey;  
  • Itinerary;
  • Day -1;
  • Day 1;
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5 (this part)or 
  • Travel Guide - Sydney. 

Tiada ulasan: