Ahad, 19 Februari 2017

Selayang, Selangor, Malaysia - 06 Februari 2017 - Bas Percuma Bas SMART Selangor Selayang (MPS).

Click here if want to read in English version.

Bas SMART Selangor Selayang yang berhenti di Stesen LRT Gombak.

Pada 06 Februari 2017, saya telah mencuba satu lagi perkhidmatan bas percuma di Lembah Klang iaitu Bas SMART Selangor Selayang yang beroperasi di dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS). Bas SMART Selangor ini adalah antara inisiatif Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk kawasan tersebut khususnya dan semua orang amnya untuk ke tempat-tempat tumpuan utama seperti pejabat-pejabat kerajaan dan tarikan pelancongan. Selain Selayang, inisiatif ini juga terdapat di kesemua 11 kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan di Selangor (kecuali Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang mempunyai inisiatif sendiri, PJ City Bus, yang mana ia adalah pencetus idea Bas SMART Selangor ini). 

Saya telah mencuba lima daripadanya (sila klik padanya untuk melihat catatan blog ini terdapat perkhidmatan berkenaan) iaitu KlangAmpang Jaya, KajangShah Alam dan Subang Jaya. Insya Allah saya akan mencuba di kawasan lain pula selepas ini. Perasmian Bas SMART Selangor Selayang telah diadakan pada 13 Mei 2016

Pandangan sisi kanan Bas SMART Selangor Selayang.

Laluan Bas SMART Selangor Selayang.

Bas ini yang menggunakan nombor MPS1 bermula dari Selayang Mutiara melalui kawasan Pusat Bandar Selayang yang terletaknya Stadium Selayang dan ibupejabat MPS. Juga, ia melalui juga Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dan Ibupejabat Polis Daerah Gombak sebelum ke Selayang Jaya bagi ke dua-dua kompleks membeli-belah utama di Selayang iaitu Selayang Mall dan Selayang Capital serta Hospital Selayang yang berdekatan. Bas ini akan ke kawasan Selayang Baru dan melalui Jalan Sungai Tua untuk ke Batu Caves yang mana ia akan melalui masjid daerah Gombak iaitu Masjid Amaniah dan juga tarikan perlancongan utama di kawasan Gombak iaitu Kuil Dewa Murugan Batu Caves.

Seterusnya, bas ini akan melalui di kawasan komersil Taman Sri Gombak (SG1) dan juga Taman Greewood sebelum melalui Jalan Gombak mulai persimpangan Masjid Ash-Sharif Batu 6 Gombak. Bas ini kemudiannya akan masuk ke Sungai Pusu dan melalui di hadapan pintu masuk Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan seterusnya melalui Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) untuk ke Taman Melati terus ke Stesen LRT Gombak. Perjalanan akan mengambil masa kira-kira satu jam jika tiada halangan lalulintas. Bas ini akan kembali dengan laluan yang sama menuju kembali ke Selayang Mutiara. Bas ini beroperasi dari pukul 6:00 pagi sehingga 10:00 malam dan akan beroperasi setiap setengah jam.

Bas yang digunakan adalah daripada armada bas RapidKL (Rapid Bus), ini kerana, pihak Kerajaan Negeri Selangor melalui MPS menyewa bas dari Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bagi tujuan perkhidmatan ini. Dilihat, bas yang diperuntukan adalah sebanyak empat buah bas dengan kesemuanya daripada model Alexender Dennis (ADL) Enviro 200. Di dalamnya terdapat kemudahan makluman perhentian semasa dan seterusnya yang dipaparkan di kedua-dua skrin di dalam bas ini dan mempunyai suara yang menyatakannya juga. Terdapat WiFi percuma juga di dalam bas ini.

Stesen LRT Gombak dari MRR2.

Keadaan dalaman Bas SMART Selangor Selayang.

Pada percubaan saya menaiki bas ini, saya memulakannya dari pada Stesen LRT Gombak. Saya dari Stesen LRT Gombak dari pukul 10:00 pagi dan tiba di Stadium Selayang pada pukul 11:00 pagi. Setelah dua puluh minit berurusan di sebuah agensi kerajaan di situ, saya pun pulang semua ke Stesen LRT Gombak dengan menaiki bas pada pukul 11:30 pagi di perhentian Stadium Selayang dan tiba di destinasi pada pukul 12:40 tengahari kerana terdapat kesesakan di Kuil Dewa Murugan Batu Caves (kerana tiga hari selepas itu adalah Hari Thaipusam).

Video: 1 Minit Semasa Menaiki Bas Percuma SMART Selangor Selayang. 

Berselisih dengan Bas SMART Selangor Selayang yang lain di Selayang Baru.

Pintu masuk Selayang Mall.

Perhentian bas Ibupejabat Polis Daerah Gombak.

Pandangan Pejabat Tanah dan Daerah Gombak dari Persiaran 1 Selayang.

Antara contoh perhentian bas Bas SMART Selangor Selayang.

Pintu masuk Majlis Perbandaran Selayang.

Stadium Selayang dari Persiaran 1.

Masjid Amaniah (masjid daerah Gombak), Batu Caves.

Pintu masuk Kuil Dewa Murugan, Batu Caves.

Stesen bas Taman Greenwood, Gombak.

Masjid Ash-Sharif, Batu 6 Gombak.

Saya dan Bas SMART Selangor Selayang di Stesen LRT Gombak.

Dari pemerhatian saya, perkhidmatan Bas SMART Selangor Selayang ini agak sesuai, kerana kawasan pentadbiran MPS ini mempunyai gabungan kawasan perbandaran dan juga luar bandar. Tidak seperti perkhidmatan yang sama di kawasan perbandaran lain yang mana ia hanya berhenti di perhentian yang ditetapkan sahaja, perkhidmatan Bas SMART Selangor Selayang ini berhenti di setiap perhentian bas yang ada di sepanjang laluannya, asalkan mempunyai tiang perhentian bas (tidak semestinya tiang bas Bas SMART Selangor sahaja). Cuma tidak semua perhentian bas ini mempunyai bumbung atau tempat duduk, ada yang hanya mempunyai tiang sahaja. Malah ada yang memang tidak ada kawasan untuk memberhentikan bas tanpa menghalang jalan sedia ada. 

Paling utama sekali, hanya beberapa perhentian sahaja mempunyai logo Bas SMART Selangor (menandakan Bas SMART Selangor Selayang melaluinya) dan kesemua perhentian bas ini tidak mempunyai papan maklumat atau peta laluan Bas SMART Selangor Selayang. Ini perlu diambil tindakan oleh pihak MPS atau yang terbabit.

Perkhidmatan ini memang diperlukan terutama bagi pelajar-pelajar sekolah yang mana terdapat banyak sekolah yang ada di laluan Bas SMART Selangor Selayang ini. Juga memudahkan warga Selayang dan Gombak untuk berurusan dengan agensi kerajaan yang biasanya terdapat di Selayang dan Batu Caves. Mereka juga dapat membeli-belah bahan keperluan harian kerana Bas SMART Selangor Selayang ini kerana ia melalui pelbagai pasar, pasaraya dan pusat membeli-belah. Memang ia dapat mengurangkan beban penduduk di situ juga.

Selain itu juga, pelancong juga dapat menggunakan bas ini untuk ke kawasan pelancongan terutama di Batu Caves dan juga dapat melihat kehidupan kawasan kampung yang tidak jauh dari pusat bandaraya Kuala Lumpur. 

Sesungguhnya, perkhidmatan bas percuma ini memang dialu-alukan. Ia dapat membantu penduduk tempatan malahan juga dapat menaikan kegiatan ekonomi tempatan.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan: