Tuesday, April 28, 2015

Pra Kembara (Delhi & Agra, India - 30 April hingga 05 Mei 2015) - Salam Taj Mahal.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6.

Pengenalan.

Antara impian saya adalah untuk melawat kesemua tujuh keajaiban dunia yang baru. Saya telah melawat Tembok Besar China pada tahun 2003. Saya juga sudah ke Piramid Giza yang merupakan salah satu tujuh keajaiban dunia lama dan dikira hali kehormat tujuh keajaiban dunia baru pada tahun 2013. Taj Mahal merupakan salah satu keajaiban dunia yang baru tersebut dan ia antara paling dekat yang belum saya ziarahi lagi.



Kebetulan, di televisyen ada memaparkan kembali siri lama yang popular di TV3 pada awal 2000an, "Salam Taj Mahal", lakonan Umie Aida dan M. Nasir. Jadi meluap-luap hendak pergi melawat istana cinta Maharaja Kerajaan Mughal India iaitu Shah Jehan terhadap isterinya yang digelar Mumtaz Mahal (bermaksud permata istana dalam bahasa Hindi/Urdu).


Kebetulan ketika ini, Malindo Air mempunyai perkhidmatan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Ghandi, New Delhi, India. Taj Mahal terletak di Agra iaitu 210 kilometer dari Delhi. Kebetulan pada awal November 2014, Malindo Air mengadakan promosi tiket murah ke Delhi dengan semurah RM521 seorang untuk pergi balik. Setelah berbincang dengan isteri yang juga ingin ke sana, kami menempah tiket berdua ke sana pada 05 November 2014. Kiranya ini berbulan madulah kami di sana tanpa anak-anak bersama. Harga yang kami dapat untuk tiket berdua pergi balik adalah RM1042 sahaja.


Pada 29 November 2014 pula, saya mendapat emel daripada pihak Malindo Air, mengatakan penerbangan kami balik ke Malaysia iaitu OD206 pada 04 Mei 2015 (di Malaysia sudah 05 Mei 2015) di awalkan dari pukul 22:40 (10:40 malam) waktu India (UTC +5:30) kepada pukul 22:05 (10:05 malam). Kira diawalkan 35 minit.


Saya menempah Hotel Raj Bed & Breakfast di Agra terlebih dahulu pada 25 Januari 2015 di Hotels.com selama semalam (02 hingga 03 Mei 2015) pada harga RM63.91, namun saya hanya membayar RM49.79 sahaja kerana saya menuntut RM14.13 yang saya kumpul melalui program Welcome RewardsTM  oleh Hotels.com. 


Pada 12 Februari 2015, saya telah menempah Hotel Sita International, New Delhi, India melalui Hotels.com bagi semalam (03 hingga 04 Mei 2015) yang berharga RM82.76 (termasuk cukai). Saya menggunakan Welcome RewardsTM  saya di mana saya mempunyai satu malam percuma sehingga RM77 (tidak termasuk cukai). Jadi saya hanya perlu membayar cukai sahaja iaitu RM12.27 sahaja.


Pagi 14 Februari 2015, saya menempah kembali Hotel Sita International, New Delhi, India melalui Hotels.com, tetapi untuk 2 malam (30 April hingga 02 Mei 2015) pula. Ia berharga RM154.00 (termasuk cukai), bermakna setiap malam berharga RM77.00 sahaja. Maka selesai tempahan penginapan bagi kembara ini. 


Kenapa saya pilih hotel ini, adalah kerana ia berada di kawasan Pahar Ganj, maka ia dekat dengan stesen keretapi New Delhi, bermakna berdekatan dengan beberapa tempat tumpuan utama seperti Masjid Jame, Old Delhi, Connaught Place dan banyak lagi. Kemudahan pengangkutan pun mudah seperti Metro Delhi dan keretapi, maka mudahlah untuk ke dan dari Agra. Lagipun, hotel ini paling murah menyediakan sekali WiFi percuma dan sarapan yang mana tidak disediakan oleh hotel lebih murah lain. Paling penting, ia berada di jalan besar iaitu Jalan DB Gupta, dan bukan di jalan-jalan kecil atau celah-celah bangunan, keselamatan perlu diutamakan.

Sebagaimana yang diketahui, keretapi merupakan mod pengangkutan utama di India, di mana, jaringan landasan keretapi di India merupakan ketiga terpanjang di dunia yang berselerak di serata India. Boleh dikatakan hampir segenap tempat di India dihubungkan dengan jaringan keretapi. Jadi pengurusannya pun agak serabut juga kita melihatnya.

Masalah untuk menempah tiket keretapi India juga menjadi satu masalah bagi kita yang tidak biasa dengan sistem penempahannya, terutama secara online. Jadi saya berkongsi cara-cara penempahannya melalui artikel Petua - Penempahan Tiket Keretapi India Secara Dalam Talian. Boleh rujuknya untuk maklumat lanjut.

Oleh kerana pada tahun 2015, penempahan tiket keretapi India hanya boleh buat 60 hari sebelum hari perjalanan, maka pada 04 Mac 2015, saya mencuba untuk membeli tiket di laman web ClearTrip, dan alhamdulillah ia boleh dilakukan. Untuk perjalanan pergi, saya mengambil perkhidmatan tren Jhelum Express dengan kelas Sleeper (antara kelas termurah) untuk merasai nadi denyut warga India. Harga untuk 2 orang untuk perjalanan 02 Mei 2015 (Sabtu) dari stesen keretapi New Delhi (NDLS) ke Agra Canttoment (AGC) hanya INR () 304.15 (+- RM19.80 mengikut nilai dicaj di dalam penyata akaun bank) sahaja bagi 2 orang (harga seorang sila bahagi dua).


Perlu diingat, di bandaraya Delhi dan Agra, terdapat banyak stesen keretapi. Jadi jangan terkeliru, dan perlu peka dengan stesen berlepas dan tiba. Oleh kerana hotel saya terletak dekat dengan stesen NDLS maka saya ambil dari stesen itu. Di Agra, biasanya keretapi dari Delhi akan berhenti di stesen AGC, walaupun ada stesen lain tetapi untuk laluan dari bandar lain.

Saya membeli juga tiket perjalanan pulang selepas itu, dimana saya menempah perjalanan pulang pada 03 Mei 2015 (Ahad) dengan perkhidmatan NDLS Shatabdi Express kelas CC (Comfort Chair) yang agak mahal sikit, untuk memperolehi pengalaman lain pula, Lagipun mungkin balik Agra, kami penat sedikit. Harga bagi dua orang adalah ₹1143.59 (+- RM78.20 mengikut nilai dicaj di dalam penyata akaun bank) (harga untuk seorang sila bahagi dua). Kiranya harga tiket tidak sampai RM100 bagi dua orang perjalanan pergi dan balik.


Pada 30 Mac 2015, saya dan isteri pergi ke sebuah kedai gambar untuk membuat gambar profail diri untuk permohonan visa India. Saiz gambar profail diri untuk visa India adalah berbeza dengan saiz kebanyakan gambar profail lain. Visa India dan juga Visa Amerika Syarikat ditetapkan (sehingga tarikh artikel ini ditulis) adalah bersaiz 2 inci X 2 inci atau 5 cm X 5 cm dengan muka kita perlu 60% ke 75% dari tinggi gambar (sila lihat gambar di bawah. Jumlah yang perlu dibayar adalah RM30 iaitu masing-masing RM15 untuk setiap daripada kami. Saya juga meminta salinan lembut gambar isteri saya, sepatutnya dicaj RM2, tetapi pengurus kedai itu memberinya secara percuma kepada saya.

Salinan lembut gambar profail diri perlu diambil kerana ia akan digunakan untuk pengisian borang secara online nanti.


Seterusnya untuk maklumat lanjut tentang permohonan visa, saya cadangkan agar melayari laman web IVS WMS Sdn Bhd atau dikenali sebagai Indian Visa Centre Malaysia yang menjadi ejen pemprosesan visa India bagi pihak Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur yang telah disumber-luarkan kepada mereka. Ia wajib dibuat dengan mereka.


Borang perlu diisi secara online terlebih dahulu (kerana pengisian di Indian Visa Centre Malaysia akan dicaj RM20.00, boleh isi dahulu dan cetak bagi mengelak caj ini) di Indian Online Visa Application, yang merupakan laman web rasmi permohonan visa oleh Kementerian Dalam Negeri India. Maklumat lanjut boleh didapati di Indian Visa Online.



Setelah siap, cetak borang tersebut dan pergi ke mana-mana pejabat Indian Visa Centre Malaysia yang terdekat. Pejabatnya ada di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu, Kuching, Ipoh, Melaka dan Seremban. Semua pemohon perlu hadir di pejabat Indian Visa Centre Malaysia kerana perlu diimbas semua cap jari dan muka untuk tujuan pengenalan biometrik. Maklumat lanjut mengenai permohonan visa India boleh membaca artikel saya mengenainya yang telah saya muat naik sebelum ini. 


Saya dan isteri telah pergi ke pejabat Indian Visa Centre Malaysia di Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka pada 06 April 2015. Alhamdulillah, orang agak kurang dari biasa dan tidak sampai 1 jam sudah selesai. Cuma pasportnya hanya boleh diambil selepas 3 hari bekerja iaitu selepas hari Rabu (08 April 2015). Bayaran perlu dibuat hari ini, dimana saya telah membayar sebanyak RM323.20 (sepatutnya cuma RM323.12 sahaja) di kaunter permohonan visa tersebut. 


Pastikan simpan slip pembayaran dan slip nombor giliran disimpan dengan baik untuk tujuan mengambil pasport nanti. Untuk malumat lanjut mengenai pemohonan visa India, boleh layari artikel Petua - Permohonan Visa India di Kuala Lumpur di dalam blog ini.

Saya hairan, kenapa saya tidak boleh membuka pengurusan tempahan penerbangan ini di laman web Malindo Air. Jadi pada petang 07 April 2015, saya menelefon pusat panggilan Malindo Air, untuk menanyakan perkara ini. Alhamdulillah, ia dapat diselesaikan, tapi rupanya saya dimaklumkan ada sedikit perubahan pada masa penerbangan. Jadi saya memuat turun tempahan perjalanannya seperti di bawah ini. Hanya perubahan sedikit sahaja, jadi tidak terkesanlah sangat.


Pada 08 April 2015, saya telah meninjau pengurup-pengurup wang di Masjid India dan Ampang Park untuk melihat kadar tukaran Rupee India (INR atau ), kerana selepas dari tarikh itu, saya kemungkinan akan sibuk dengan tugas-tugas rasmi saya. Akhirnya saya ke pengurup wang Sky Xchange di Selangor Mansion (belakang Balai Polis Masjid India, sila rujuk artikel Petua: Pengurup Wang di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur) yang menawarkan harga terbaik iaitu RM595.00 untuk ₹10 000.



₹1000 (2011) = +-RM60

Pada petang itu, selepas balik kerja, saya terus menuju ke Indian Visa Centre Malaysia di Lebuh Pasar Besar semula untuk mengambil pasport yang sudah siap visa. Waktu pengambilan pasport hanya dari pukul 4:00 petang hingga 5:30 petang sahaja. Masuk sahaja, terus ke kaunter 2, terus berikan resit pembayaran tempoh hari. Tidak sampai dua minit sudah dapat pasport dan resit tadi dicop pasport telah diserahkan.



Pada 23 April 2015, seperti biasa, saya telah menghantar emel kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi, bagi memaklumkan kehadiran kami di India. Ini bagi memudahkan pihak suruhanjaya tinggi dan juga kita jika berlaku sebarang perkara di India nanti. Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah menjawab emel saya pada tengahari hari tersebut. Malah pegawai yang menjawab emel saya memaklum terdapat sistem pendaftaran eKonsular, bagi pendaftaran rakyat Malaysia di luar negara. Jadi pada masa ini dan masa akan datang saya akan menggunakan sistem eKonsular ini apabila hendak ke luar negara lagi.

Sebelah malamnya saya bertemu dengan sahabat saya, Nor Azam Aziz, yang sebelum ini iaitu pada awal tahun 2015, telah mengembara ke India. Oleh kerana beliau masih mempunyai baki wang Rupee India, jadi saya menukar wang tersebut untuk kegunaan saya. Sambil itu, sempatlah berborak-borak tentang pengalaman mengembara dan ambil petua dan tips mengenai perjalanan di India.

₹10 (2007) = +-RM0.60

₹10 (2012) = +-RM0.60 
(*bezanya berbanding versi 2007 (di atas) adalah penggunaan simbol "₹")

₹50 (2014) = +-RM3

₹100 (2014) = +-RM6

₹500 (2007) = +-RM30

₹1000 (2012) = +-RM60
(*bezanya berbanding versi 2011 (di atas) adalah penggunaan simbol "₹")

Bagi persediaan perkara diluar jangkaan, seperti biasa, saya membeli takaful perjalanan antarabangsa daripada eTiQa Takaful (produknya International World Traveller Care Takafulplan Platinum Pasangan bagi 6 hingga 10 hari ke zon 2 iaitu negara-negara Asia yang terpilih (kebanyakan negara Asia termasuk India pada 26 April 2014 berharga RM116.50 sahaja (sebelum saya tolak komisen saya kerana perniagaan saya, HidayahWEALTH, merupakan ejen korporat bagi eTiQa Takaful). Jika anda atau kawan-kawan anda ingin mendapatkan takaful tersebut atau lain-lain takaful, boleh mesej saya melalui Facebook saya atau kaedah-kaedah lain.


Pada 28 April 2015, saya mendaftar masuk penerbangan pergi ke Delhi kami (OD 0205) di laman web Malindo Air dan keesokan harinya saya mencetak pas kemasukan penerbangan di pejabat. Dapat juga duduk di hadapan sekali kelas ekonomi. Di belakang kelas perniagaan. Luas sedikit, dapatlah keselesaan, maklumlah penerbangan 5 jam.


 

Rasanya sudah siap persiapan hendak ke India ini, jadi tinggal menunggu masanya sahaja untuk terbang ke India bagi Salam Taj Mahal...

Bersambung ke Hari 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney (this part);
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4; or 
  • Day 5 & 6. 

Thursday, April 23, 2015

Petua - Penempahan Tiket Keretapi India Secara Dalam Talian.

Click here if want to read in English version.

Sebagaimana yang diketahui, keretapi merupakan mod pengangkutan utama di India, di mana, jaringan landasan keretapi di India merupakan ketiga terpanjang di dunia yang berselerak di serata India. Boleh dikatakan hampir segenap tempat di India dihubungkan dengan jaringan keretapi. Malah, Indian Railway (sebuah perusahan negara India) merupakan majikan ketujuh terbesar di dunia dengan menggajikan lebih 1.5 juta orang kakitangan di bawahnya.

Tiket keretapi boleh dibeli secara biasa iaitu di kaunter tapi agak menyusahkan dan biasanya tiket habis kerana rakyat India memang biasa membeli awal tiket keretapi bukan bila musim perayaan, malah sepanjang tahun. Para pengunjung luar negara biasanya akan pergi ke kaunter International Tourist Bureau yang memang ada di beberapa stesen-stesen utama di bandar-bandar utama (sila klik link untuk maklumat lanjut). Harga pun lebih kurang dan di sini terdapat kuota untuk pelancong. Cuma kuota itu pun biasanya penuh. Satu lagi, untuk ke kaunter ini biasanya agak terpencil dan banyak scam  atau tout (ulat-ulat tiket) akan mengambil kesempatan, akibatnya, kita rugi agak banyak atau malang sekali, kena tipu (duit lesap, tiket pun tiada, silap-silap masuk lokap).

Satu alternatif adalah menempah secara dalam talian (online), cuma ia agak mahal sikit sahaja (kerana caj perkhidmatan oleh penyedia perkhidmatan), tapi sekurang-kurangnya dapat lari dari masalah besar (scam  dan tout yang akan pasti merugikan banyak kita) dan yang penting, tempahan sudah pasti (confirmed). Cuma masalah untuk menempah tiket keretapi secara online adalah jika menempahnya di laman web sebuah lagi perusahan negara India, Indian Railway Catering dan Tourism Corporation Limited (IRCTC), yang bertanggungjawab menjual tiket keretapi bagi pihak Indian Railway, hanya boleh membayar tiket dengan kad kredit atau debit yang dikeluarkan oleh bank-bank India sahaja. Hanya kad American Express tidak kira pengeluar (dalam Idan luar India) boleh digunakan. 


Satu lagi, perlu mempunyai nombor telefon India untuk mendaftar. Jadi untuk mengatasi masalah ini, laman web ClearTrip dan MakeMyTrip boleh digunakan kerana mereka merupakan ejen IRCTC dan menerima kad kredit dan debit dari luar negara. Namun masih perlu menggunakan nombor telefon India kerana untuk menempah perlu juga mendaftar dengan IRCTC. Jadi kebetulan terjumpa blog seorang pengembara Filipina iaitu The Viewing Deck yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Cuma mengambil masa sikitlah. Saya mengikut langkah-langkahnya di blog ini, dan ia berjaya. Alhamdulillah.

Caranya adalah mula-mula perlu mendaftar dengan laman web berkenaan iaitu ClearTrip dan MakeMyTrip. Selepas itu, perlu ke seksyen penempahan keretapi India. Pilih hari dan masa yang diperlukan. Ingat (sehingga masa ini), penempahan awal tiket keretapi India adalah seawal 60 hari sahaja, tidak lebih awal dari itu. Kemudian, jika anda belum mendaftarkan login id dan kata laluan IRCTC, anda perlu mendaftar dahulu tetapi tidak perlu ke laman web IRCTC untuk membuatnya, laman web ClearTrip atau MakeMyTrip akan membantu anda, dengan mengisi maklumat yang akan ditanya. Cuma anda perlu mereka nombor telefon India, seperti saya memberi nombor 834949**** (* adalah nombor pilihan anda). Isikan nombor telefon India rekaan anda di ruangan nombor telefon.

Setelah selesai, satu emel akan dihantar yang menyatakan OTP (online transaction password) emel anda. Jangan klik link pendaftaran lagi kerana ID anda belum boleh aktifkan lagi. Cuma untuk mengaktifkan, anda perlu Mobile OTP  anda kerana sepatutnya OTP ini telah dihantar ke nombor anda pilih seperti 834949**** tadi. Jadi sebagai ganti, anda perlu hantar emel (dengan bahasa Inggeris atau Hindi (jika anda tahu)) ke care@irctc.co.in untuk meminta Mobile OTP dengan menyatakan login ID anda. Pastikan anda menghantar emel dengan emel yang didaftarkan dengan login ID anda sahaja. Lepas itu tunggu.

Mungkin ikut masa dari beberapa minit ke beberapa hari, pihak IRCTC akan menghantar Mobile OTP. Setelah dapat, anda boleh klik link pengaktifan pada emel OTP emel anda dan selesaikan proses pendaftaran. Maka secara rasmi, anda sudah ada akaun IRCTC yang sah.

Seterusnya, anda boleh ke laman web ClearTrip atau MakeMyTrip semula, dan anda perlu rangkaikan login id IRCTC dengan laman web tersebut. Sekali lagi anda akan perlu meminta OTP emel dan mobile OTP dari care@irctc.co.in untuk tujuan tersebut. Ulangi langkah berkenaan dan tunggu (seperti proses tadi). Selepas dapat emel bagi kedua-dua OTP, aktifkan menerusi link emel OTP sebelum ini dan akaun IRCTC dan ClearTrip atau MakeMyTrip telah dirangkaikan. Anda kini sudah boleh menempah perjalanan dengan keretapi India.


Pada tahun 2015 ini, penempahan tiket keretapi India hanya boleh dilakukan selepas 60 hari sebelum hari perjalanan. Sebelum dari itu, ia belum dibuka. Satu lagi, pastikan anda mendapatkan tiket yang pasti. Jika masuk dalam wishlist (senarai menunggu), jika yang menunggu itu banyak, baik anda tidak menempahnya. Kerana kemungkinan anda tidak dapat menaiki keretapi itu ada. Jadi anda boleh mengatur kembali jadual dan itinerari anda. Itu kelebihan menempah secara dalam talian kerana kita boleh melihat senarai menunggu. Jadi tidaklah masa kita membazir atas perkara yang merugikan.

Perlu diingat, di bandaraya besar di India seperti di Delhi dan Agra, terdapat banyak stesen keretapi. Jadi jangan terkeliru, dan perlu peka dengan stesen berlepas dan tiba. Juga semasa menempah perlu lihat jadual perjalanan untuk melihat stesen yang sebenar, kerana tidak semua stesen akan pergi ke destinasi yang kita hendak tuju. Contohnya jika hendak ke Agra dari Delhi, hanya boleh dari stesen New Delhi atau stesen Hajrat Nizamuddin sahaja. Sama juga dari Agra ke Delhi, hanya melalui stesen Agra Cantonment sahaja, bukan dari Agra Fort, Idgah atau Yamuna Bridge. 

Jadi diharapkan tulisan ini dapat membantu rakan-rakan yang ingin mengembara ke India. Semoga ia dapat membantu dan mengelakan kita dari sebarang musibah, kerana India ini memang terkenal dengan syurga para scammers  dan touts. Selamat mengembara dan menggunakan petua ini.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Wednesday, April 22, 2015

Petua - Permohonan Visa India di Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.



Pasport Malaysia merupakan antara pasport paling bernilai di dunia (nombor 9 di dunia), di mana kebanyakan negara di dunia ini memberikan kemasukan tanpa visa sehingga tempoh tertentu. Jadi untuk tujuan melancong (tidak kira cara apa) biasanya tidak begitu lama. Jika tujuan lain yang mengambil masa lama, hendak tidak hendak perlu memohon visa juga.


Peta India

Walaupun begitu, ada negara-negara yang masih memerlukan kita sebagai pemegang pasport Malaysia untuk memohon visa bagi memasuki negara tersebut. Antaranya adalah India, di mana saya akan kongsikan pengalaman saya memohon visa tersebut bagi percutian kembara saya bersama isteri ke Delhi dan Agra.

SEBELUM PERMOHONAN.


Dapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan visa India di laman web ejen pemproses visa ini di Malaysia iaitu, IVS WMS Sdn Bhd atau juga dikenali sebagai Indian Visa Centre Malaysia, di mana pihak Suruhanjaya Tinggi India di Kuala Lumpur yang telah disumber-luarkan perkhidmatan permohonan visa India di Malaysia kepada mereka.



Pastikan anda membuat gambar profail diri di mana-mana kedai gambar dengan menyatakan gambar saiz visa India atau Amerika Syarikat. Saiznya tidak sama dengan saiz gambar visa atau pasport lain. Saiznya adalah 2 inci x 2 inci atau 5 cm x 5 cm. Latar belakang perlu putih dan muka kita hendaklah sekurang-kurangnya 60% dari gambar tersebut. Contohnya adalah seperti gambar saya di atas. Anda juga perlu meminta salinan lembut (softcopy) imej gambar tersebut untuk langkah seterusnya di bawah nanti.


Untuk mengisi borang permohonan visa India, pertama sekali selepas membaca maklumat-maklumat di laman web Indian Visa Centre Malaysia, perlu ke laman web Indian Visa Online. Sila baca maklumat-maklumat di dalamnya kerana ia dalah laman web permohonan visa India yang rasmi yang dibuat oleh pihak Kementerian Dalam Negeri India.


Setelah yakin, maka sila klik pada tab Online Visa Application dan ia akan ke muka Indian Visa Online. Sila isikan maklumat yang diberikan dengan betul dan benar. Sentiasa semak butiran yang diberikan agar tidak ada kesilapan. Semasa mengisi borang ini, pastikan itinerari penerbangan dan itinerari hotel ada di sebelah anda untuk memudahkan pengisian borang. Pastikan sentiasa save setiap kali habis mengisi satu-satu maklumat. Pada peringkat akhir, anda dikehendaki untuk memuat naik gambar profail diri anda. Itu sebabnya salinan lembut gambar anda perlu ada.

Bagi ruangan nama, sila isi nama ikut ejaan di dalam pasport. Namun begitu pihak imigresen India memerlukan nama keluarga (surname), jadi jika anda seorang Melayu seperti saya, yang tiada nama keluarga, boleh ambil contoh nama saya, ABDUL HADI AS AD BIN MOHAMAD, ditulis:
Surname (nama keluarga): MOHAMAD; dan
Given name (nama diberi):  ABDUL HADI AS AD BIN.

Jika orang Cina, contoh LIM AH BENG:
Surname (nama keluarga): LIM; dan
Given name (nama diberi):  AH BENG.

*kemas kini 13 Ogos 2015, berdasarkan maklumat saya perolehi, jika permohonan dibuat di Ipoh dan Pulau Pinang (pusat lain saya tidak ketahui), maklumat yang perlu diisi bagi Surname: BIN MOHAMAD dan Given Name: ABDUL HADI AS AD. Jadi cadangan saya, isi kedua-dua format (permohonan berasingan) agar tidak perlu lagi balik ke rumah/pejabat untuk buat semula atau tidak perlu bayar RM21.20 untuk pihak pusat visa isikan (sila rujuk ke bawah lagi kenapa).

Untuk kemasukan (entry), ambil sahaja kemasukan banyak kali (multiple) kerana harga bagi kemasukan sekali (single), dua kali (double) dan banyak kali (multiple) adalah sama. Jadi lebih untung kalau buat kemasukan banyak kali, manalah tahu dalam masa 6 bulan hendak pergi lagi. Jadi tidak perlu mohon visa lagi. 

Untuk pengetahuan, kebiasaan, visa diberikan adalah sah sehingga 6 bulan dari tarikh kelulusan (biasanya hari permohonan visa), namun apabila sudah masuk, hanya boleh berada di dalam India selama 30 hari dan boleh disambung 15 hari lagi di pejabat imigresen India di dalam India. Bermakna, setiap kali masuk, maksimum boleh berada 45 hari (termasuk hari masuk & keluar) di dalam India.


Pembetulan: Untuk tempoh visa (period of visa), sila letakan tempoh enam (6) bulan, terutama permohonan di Pusat Visa di Pulau Pinang & Ipoh (bukan 1 bulan seperti saya buat). Ini kerana maklum balas dari rakan-rakan yang kena buat borang baru (kena bayar RM21.20).

Setelah itu, selesai pengisian borang dan anda boleh simpan borang permohonan anda dalam format .pdf. Jangan lupa untuk mencetak borang ini untuk di bawa ke Indian Visa Centre yang terdekat. Pastikan segala maklumat adalah betul, kerana jika silap terutama bahagian nama, permohonan anda tidak diterima. Jadi anda perlu buat semula atau bayar RM21.20 untuk khidmat pengisian borang oleh pihak pusat visa (sila rujuk maklumat tersebut di bawah).

Maklumat terkini (19 Oktober 2015)


Laman Web eTourist Visa (eTV).

Kini pemegang visa Malaysia juga mempunyai pilihan untuk membuat visa secara eTourist Visa (eTV), iaitu permohonan visa secara elektronik. Dikhabarkan ia berharga US$60.00 (+- RM250.00) tambah US$2.00 (+- RM8.00) untuk caj perkhidmatan.


HARI PERMOHONAN VISA.

Sebelum ke pejabat Indian Visa Centre Malaysia, pastikan anda membawa perkara-perkara ini (bagi permohonan visa pelancong, jika visa lain lebih kurang sama, cuma ada tambahan, sila rujuk laman web Indian Visa Centre Malaysia):

Wajib ada:
1. Pasport yang masih mempunyai selewat-lewatnya 6 bulan dari tarikh sah tempohnya dari hari terakhir perjalanan ke India;
2. Satu salinan fotostat pasport di bahagian muka maklumat peribadi;
3. Satu salinan tiket penerbangan atau itinerari penerbangan yang statusnya disahkan (confirmed);
4. 2 keping gambar saiz visa India (2 inci x 2 inci atau 5 cm x 5 cm);
5. Borang permohonan yang sudah dicetak;
6. Wang bayaran visa (sila rujuk di bawah).

Stand by:
1. Satu salinan itinerari penginapan yang statusnya disahkan (confirmed);
2. Surat rakan atau saudara mara yang ditumpang menginap, pastikan ada alamat dan nombor telefon yang boleh dihubungi;
3. Satu salinan MyKad (kad pengenalan) (kemas kini 23 Disember 2016, berdasarkan maklumat seorang sahabat);
4. Lain-lain dokumen sokongan yang boleh membantu permohonan.

Setiap pemohon perlu hadir di pejabat Indian Visa Centre Malaysia ini kerana setiap orang akan diimbas secara peribadi setiap jari dan muka pemohon. Kegagalan mana-mana pemohon untuk hadir ke pejabat ini akan mengakibatkan permohonan ditolak.



Jika dilihat di laman web Indian Visa Centre Malaysia, pejabat mereka mempunyai cawangan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan, Kota Kinabalu, Kuching, Ipoh, Melaka dan Seremban. Jadi saya merupakan warga Kuala Lumpur, maka saya ke cawangan Kuala Lumpur yang terletak di Lebuh Pasar Besar, Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka. Alamatnya adalah:

G-01, Ground Floor
Straits Trading Building
No. 2 Lebuh Pasar Besar
50050 KUALA LUMPUR
No. Telefon: +603 26922692
No. Fax: +603 26982692

Alamat cawangan lain boleh didapati di laman web Indian Visa Centre Malaysia.


Kedudukan bangunan yang diduduki Indian Visa Centre Malaysia cawangan Kuala Lumpur ini berhadapan dengan bangunan AgroBank tidak jauh dari Pasar Seni, amat mudah untuk ke sini. Cuma mohon jangan parkirkan kereta atau motorsikal anda di depan pejabat Indian Visa Centre ini kerana ia bukan tempat parkir, pihak berkuasa (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta pihak berkuasa lain) akan menyaman pihak berkenaan.



Masa operasi adalah mengikut operasi tertentu iaitu untuk penghantaran permohonan visa dari pukul 9:00 pagi hingga 2:00 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti am Malaysia & India. Bagi pengambilan pasport pula dari pukul 4:00 hingga 5:30 petang selepas 3 hari bekerja permohonan dihantar (kecuali visa pelajar, 8 hari bekerja) kecuali hari Sabtu, Ahad dan cuti am Malaysia dan India di mana pejabat ditutup.


Masuk sahaja ke premis Indian Visa Centre Malaysia cawangan Kuala Lumpur ini, akan ada satu kaunter informasi berlatar belakang biru yang terdapat logo kerajaan pusat India dan tulisan Indian Visa Centre, perlu ke situ dan serahkan borang permohonan kepada petugas di kaunter ini untuk semakan. Jika borang permohonan dan dokumen diperlukan tiada masalah, petugas ini akan memberikan nombor giliran. Mohon jangan hilangkan nombor giliran ini, kerana rujukan permohonan anda akan berdasarkan nombor giliran ini.


Jika ingin memohon visa seperti saya, pastikan permohonan anda disusun mengikut susunan yang diberitahu oleh pihak pejabat visa India ini, iaitu (saya alih bahasa ke Bahasa Melayu):

1) BORANG PERMOHONAN
    a)  Nama seperti di pasport (boleh baca di atas bagaimana hendak bahagikan nama keluarga dan nama di beri);
      b)  Nombor Pasport yang betul;
      c)  Dua Tandatangan;
      d)  Alamat Lengkap.

2) 2 KEPING FOTO 2"X2" (" bermaksud inci) LATARBELAKANG PUTIH
      a)  Satu digamkan pada ruangan hujung atas kanan;
      b)  Satu lagi distaplerkan di hujung atas kiri.

3) SALINAN FOTOSTAT PASPORT
      (muka surat butiran bergambar sahaja)

4) SALINAN TIKET PENERBANGAN
      (nama dan muka surat itinerari sahaja).


Di sebelah kaunter ini dan di beberapa tempat di dalam premis ini terdapat beberapa kenyataan yang perlu diambil perhatian bagi pemohon-pemohon. Saya kongsikan beberapa makluman yang sempat saya ambil (dialih bahasa ke Bahasa Melayu).

1. Tiada Visa On Arrival* untuk pemegang pasport Malaysia;
2. Biometrik tidak perlu dibuat untuk pemohon atas 70 tahun dan bawah 12 tahun;
3. Sila pastikan di dalam borang permohonan mempunyai ejaan nama mengikut pasport, contohnya seperti nama saya Abdul Hadi As ad bin Mohamad (di dalam pasport tiada tanda ' untuk nama As'ad saya), perlu diisi dengan Surname: Mohamad dan Given Name: Abdul Hadi As ad bin;
*kemas kini 13 Ogos 2015, berdasarkan maklumat saya perolehi, jika permohonan dibuat di Ipoh dan Pulau Pinang (pusat lain saya tidak ketahui), maklumat yang perlu diisi bagi Surname: Bin Mohamad dan Given Name: Abdul Hadi As ad.
4. Pastikan juga nombor pasport yang betul dan gambar juga betul dari segi empunyanya atau saiz/formatnya. Pihak pemproses visa tidak bertanggungjawab jika berlaku sebarang kesilapan. Jika borang silap, perlu buat baru, boleh dibuat di pusat tersebut tetapi dengan bayaran RM20 setiap borang;
5. Setiap permohonan perlu bersama salinan tiket penerbangan atau itinerari penerbangan yang statusnya disahkan (confirmed).  Kalau status menunggu (waiting) atau selainnya, tidak dilayan permohonannya;
6. Pemegang visa pelancong tidak boleh tinggal melebihi 45 hari di dalam India;
7. Perujuk (reference) di India perlu betul dan benar. Jika perujuk adalah hotel di India, statusnya perlulah disahkan (confirmed). Nombor telefon di dalam borang perlulah boleh dihubungi. Jika tidak, permohonan akan ditolak;

* Kepada yang kurang arif, Visa On Arrival atau VOA adalah kemudahan visa yang boleh di mohon semasa sampai ke pos pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang atau Pos Sempadan atau Pelabuhan. Kemudahan VOA ini biasanya dibayar (jika percuma ia dipanggil kemudahan Visa Free atau Pengecualian Visa, contoh ke negara ASEAN diberikan Visa Free selama 30 hari). Antara contoh VOA untuk pemegang pasport Malaysia adalah ke Nepal yang mana ada kemudahan VOA untuk visa US$25 untuk 15 hari, US$40 untuk 30 hari atau US$100 untuk 90 hari.



Seterusnya anda boleh menunggu giliran anda bagi permohonan anda diproses. Jika terdapat beberapa perkara yang belum dilengkapkan, terdapat meja yang siap dengan gam dan stapler untuk kemudahan anda. Pastikan borang anda ditandatangani di muka depan (di bawah bahagian gambar digam) dan di muka belakang. Salah satu gambar perlu digam di borang permohonan dan satu lagi hendaklah distapler sekali dengan borang dan dokumen sokongan.


Terdapat juga kemudahan Premium Lounge untuk mereka yang menginginkan kemudahan tersebut dengan bayaran RM53.00 sahaja termasuk GST. Dengan kemudahan ini, tidak perlu beratur, terus dilayan seperti VIP. Namun saya rasa tidak perlu, kerana semasa saya memohon, agak ramai, tapi saya cuma berada tidak sampai sejam di pusat ini. Tidak perlu membazir.


Jika anda tidak mengisi borang sebelum datang ke pusat ini atau terdapat kesilapan di dalam borang anda atau ingin menukar maklumat (seperti dari sekali kemasukan ke banyak kali kemasukan), anda boleh ke kaunter di belakang (sebelum meja yang ada gam dan stapler) untuk mengisi borang baru. Terdapat petugas-petugas yang akan membantu anda. Tapi ia bukan percuma, setiap borang dicaj RM21.20 sahaja termasuk GST.

Kemudahan-kemudahan lain yang disediakan dan cajnya adalah seperti di bawah:


Perkhidmatan Nilai Tambah
Kadar dalam RM
GST (6%)
Jumlah dalam RM
Khidmat penghantaran kurier
20.00
1.20
21.20 (Semenanjung Malaysia)
Khidmat penghantaran kurier
30.00
1.80
31.80 (Sabah dan Sarawak)
Pesanan teks (SMS)
2.00
0.12
2.10
Pengisian Borang
20.00
1.20
21.20
Gambar
20.00
1.20
21.20
Premium Lounge
50.00
3.00
53.00
Fotostat
0.50
0.03
0.55
Penghantaran pasport ke rumah
50.00
3.00
53.00
Emel/Fax
5.00
0.30
5.30



Sementara menunggu giliran, saya sempat mengambil gambar maklumat tentang visa perniagaan dan visa pelajar. Maaf gambar tidak cantik pula tapi masih boleh baca.


Tiba giliran, terus ke kaunter yang dimaklumkan. Berikan terus borang, pasport dan dokumen sokongan yang diminta sahaja. Jika beri lebih-lebih nanti banyak tanya. Kalau salinan fotostat pasport dan itinerari penerbangan itu wajib beri. Petugas kaunter akan mengimbas kod bar yang ada pada borang untuk mengesan permohonan kita di dalam sistem. Selepas itu, kita akan di minta untuk 2 langkah ke belakang (kalau di cawangan KL terdapat petak biru, berdiri atas petak itu) untuk diambil gambar muka. Kemudian, empat jari (kecuali ibu jari) kiri akan diimbas di mesin pengimbas khas dan lepas itu empat jari kanan (kecuali ibu jari) pula. Setelah itu, kedua-dua ibu jari dimbas. Habis sahaja semua imbasan dibuat, petugas itu akan meminta bayaran yang diperlukan seperti di bawah:

Maklumat terkini (19 Oktober 2015):


Kenyataan kenaikan bayaran visa India.

Mulai 01 Oktober 2015, bayaran visa dinaikkan 19% oleh Kedutaan India di Kuala Lumpur. Senarai bayaran yang baru adalah:



No
JENIS VISA
VISA/
RM
*ICWF/
RM
CAJ KHIDMAT/RM
JUMLAH/
RM
1.
Transit (sekali / 2 kali kemasukan) -  sah 15 hari dari tarikh dikeluarkan - Maksima 72 jam setiap kemasukan.
90.00
8.00
1.56
99.56
2.
Pindahan visa (visa sah dipindahkan dari pasport lama ke pasport baru). Visa mesti sah minima 3 bulan.
23.00
8.00
1.56
32.56
3.
Pelancong (sekali/ 2 kali / banyak kali) - sah 6 bulan (Kecuali negara UK RM491 sehingga 6 bulan).
180.00
8.00
1.56
189.56
4.
Perniagaan / Pekerjaan sahlaku 1 tahun.
538.00
8.00
1.56
547.56
5.
Pelajar (untuk sepanjang kursus atau 5 tahun, mana yang kurang).
336.00
8.00
1.56
345.56
6.
Kemasukan Visa (X) - sahlaku 6 bulan.
359.00
8.00
1.56
368.56
7.
Semua Visa yang sahlaku lebih setahun sehingga lima tahun (untuk visa profesional / perniagaan dan penyelidikan)
896.00
8.00
1.56
905.56

*ICWF: Dana Kebajikan Masyarakat Warga India (Indian Community Welfare Fund), Suruhanjaya Tinggi India, Kuala Lumpur.

Bagi senarai penuh dan bayaran visa bagi pemegang pasport negara-negara lain, boleh rujuk sini.


Setelah menerima pembayaran, petugas itu akan mengeluarkan resit pembayaran bagi setiap permohonan. Beliau akan mengepilkan sekali nombor giliran kita kerana nombor ini menjadi rujukan mereka untuk mengembalikan pasport kita nanti. Sudah selesai urusan permohonan. Cuma tinggal hendak menunggu tiga hari bekerja untuk mengambil pasport yang sudah siap ditampal pelekat visa India pula.


Jika anda ingin membuat salinan fotostat , saya cadangkan jangan buat di dalam pusat visa India ini. Pergi ke kedai alat tulis yang berada tiga kedai sebelah kanan (jika mengadap ke pusat visa ini dari luar), kerana setiap salinan cuma 20 sen sahaja.


HARI PENGAMBILAN PASPORT.



Pada hari ketiga bekerja, iaitu contohnya jika permohonan kita dihantar pada hari Isnin, maka pada petang hari Rabu, kita sudah boleh mengambilnya. Namun ia hanya boleh diambil pada pukul 4:00 hingga 5:30 petang sahaja, hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum Malaysia dan India. Apabila sampai sahaja di pejabat Indian Visa Centre di Kuala Lumpur ini, terus ke kaunter 2, 3 atau 4, berikan slip pembayaran dan nombor giliran semasa membuat permohonan kepada petugas kaunter berkenaan, tunggu dalam seminit dua, dan pasport yang sudah ditampal visa anda sudah boleh diambil. Petugas itu akan menyerahkan kembali slip pembayaran setelah slip berkenaan dicop "PASSPORT COLLECTED" (PASPORT TELAH DIAMBIL).


Contoh Visa India

Jadi itulah serba sedikit yang boleh saya kongsikan pengalaman saya dalam memohon visa India. Semoga ia dapat membantu jika ada di kalangan pembaca ingin memohon visa India dalam perjalanannya. Harap boleh belajar dari kesilapan saya agar tidak dibuat lagi. Mohon terus visa kemasukan banyak kali. Itu sahaja, insya Allah bertemu lagi.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.