Ahad, 18 Oktober 2015

Petaling Jaya, Selangor, Malaysia - 18 Oktober 2015 - Bas Percuma PJ City Bus.

Click here if want to read in English version.

Sebelum ini saya ada membuat satu artikel mengenai perkhidmatan bas bandar percuma GoKL di bandaraya Kuala Lumpur. Selain GoKL, terdapat beberapa lagi perkhidmatan bas percuma di sekitar Lembah Klang. Di kawasan perbandaran Subang Jaya & Klang dan bandaraya Shah Alam terdapat Bas Selangorku. Di Pulau Pinang, terdapat pula bas CAT (Central Area Transit) Rapid Penang.

Jadi saya mencuba dahulu salah satunya iaitu PJ City Bus, perkhidmatan bas percuma di bandaraya Petaling Jaya pula. Perkhidmatan ini dimulai pada 14 Mei 2014 di mana boleh rujuk laman MBPJ mengenai PJ City Bus ini. Bas ini adalah inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama RapidKL, untuk kemudahan mencapai beberapa kawasan strategik di bawah kawasan pentadbirannya. Sebanyak 10 buah bas digunakan untuk tujuan ini.

Peta Petaling Jaya.


Bas PJ City Bus.

Corak Bas PJ City Bus.

Bas ini menggunakan bas RapidKL kepunyaan Prasarana Malaysia Berhad. Cuma badan luarnya telah diubah catnya dari warna kebiasaan RapidKL kepada warna hijau dengan coraknya seperti di atas.

Laluan asal PJ01 semasa pelancaran.

Pada peringkat awal, terdapat satu laluan yang diperkenalkan iaitu laluan PJ01, yang merangkumi perjalanan dari PJS3 melalui pekan lama Petaling Jaya, pusat bandaraya Petaling Jaya, Seksyen 14, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kembali semula ke pusat bandaraya Petaling Jaya dan kembali semula ke PJS3. Kekerapan bas adalah sebanyak 10 ke 15 minit.

Laluan PJ01 setelah distruktur semula.

Laluan PJ02.


Namun pada bulan April 2015, pihak MBPJ mengstruktur semula dengan membuat dua laluan (boleh rujuk Carta Laluan Bas PJ City Bus MBPJ) iaitu PJ01 memberikan perkhidmatan dari kawasan selatan pusat bandaraya Petaling Jaya iaitu dari PJS3 ke stesen LRT Taman Jaya di pusat bandaraya (boleh lihat carta laluannya di gambarajah laluan warna kuning di atas), dan laluan PJ02 berkhidmat bagi kawasan utara pusat bandaraya, mencakupi stesen LRT Taman Jaya, stesen LRT Asiajaya, kawasan Seksyen 14, Seksyen 19, SS2, Seksyen 17, Seksyen 16, Universiti Malaya, PPUM, kawasan Bukit Gasing dan kembali ke stesen LRT Taman Jaya (boleh lihat carta laluannya di gambarajah laluan warna hijau di atas). Oleh kerana bilangan bas yang digunakan kekal 10 buah, maka kekerapan dilewatkan menjadi setiap 25 minit bagi laluan-laluan baru ini.

(Kemaskini pada 08 Februari 2017) Pada 18 Januari 2016, laluan PJ01 bas PJ City Bus ini telah ditambahkan laluannya sebagaimana laluan asal yang diperkenalkan, dengan melalui Sekyen 14, Seksyen 17, Jalan Universiti, Jalan Gasing dan juga Jalan Changgai. Laluan PJ02 pula ditambah sedikit laluannya meliputi kawasan Taman SEA SS2. Peta laluannya boleh dilihat di sini dan di sini.

Di samping itu, terdapat dua laluan baru iaitu PJ03 dan PJ04 diperkenalkan. Kedua-dua laluan tersebut beroperasi daripada Stesen LRT Taman Bahagian. Laluan Bas PJ City Bus PJ03 menuju ke Kompleks Membeli Belah Paradigm Mall dan Dataran Glomac dan kembali ke Stesen LRT Stesen Bahagian. Laluan Bas PJ City Bus PJ04 pula adalah dari Stesen LRT Taman Bahagia, menuju ke kawasan dalaman Kampung Tunku dan juga kawasan Taman SEA SS2, dan kemudian kembali ke Stesen LRT Taman Bahagian. Peta laluannya boleh dilihat di sini dan di sini. Bas yang digunakan adalah terdiri daripada bas sedia ada dan juga bas elektrik sepenuhnya.

Dalaman bas dari depan.

Dalaman bas dari belakang.

Pada 18 Oktober 2015 lepas, saya mencuba perkhidmatan ini. Saya memulakan perjalanan dari stesen LRT Taman Jaya dengan mencuba laluan PJ01 terlebih dahulu. Memang bas ini menggunakan bas RapidKL sedia ada kerana dalaman bas ini sama dengan ruang dalaman bas RapidKL biasa.

 Paparan Maklumat Perkhidmatan.

Cuma terdapat sedikit perbezaan, di mana terdapat sebuah skrin paparan maklumat perkhidmatan yang memaparkan pelbagai maklumat berkaitan dengan perkhidmatan bas ini. Malah terdapat ingatan mengenai keselamatan dan amaran berkaitan. Serta makluman mengenai perhentian seterusnya. Di dalam bas yang saya naiki ini (PJ City Bus 7), memberikan makluman bersuara juga. Menarik lagi, terdapat perkhidmatan WiFi percuma di dalam bas ini. Cuma capaiannya agak kurang stabil, sekejap agak laju, sekejap agak perlahan. Tapi baik juga secara purata.

Pusat Bandar Petaling Jaya atau juga dikenali "New Town"/"PJ State".

Papan kenyataan PJ City Bus di perhentian bas.

Di perhatikan, sepanjang laluan bas ini, terdapat beberapa perhentian bas mempunyai papan kenyataan mengenai perkhidmatan bas PJ City Bus ini, namun agak banyak juga yang tidak mempunyainya. Namun maklumat di papan kenyataan ini agak mengelirukan atau sudah lapuk, kerana menyatakan laluan PJ01A dan PJ01B. Laluan-laluan ini sudah tidak lagi beroperasi lagi sebenarnya.

Terminal Bas PJ City Bus di Jalan PJS3/2.

Akhirnya saya mengikuti laluan bas ini sehingga ke terminal terakhirnya di Jalan PJS3/2. Masa perjalanan adalah selama lebih kurang 35 minit. Saya menunggu bas untuk kembali semula ke stesen LRT Taman Jaya, dan lebih kurang 15 minit kemudian, bas yang lain (PJ City Bus 4) bergerak meninggalkan terminal. Ia sampai ke stesen LRT Taman Jaya semula setelah 25 minit kemudian.

Saya mencuba pula bas laluan PJ02 yang kebetulan hendak memulakan perjalanan sejurus saya tiba di stesen LRT Taman Jaya. Kali ini perjalanan mengambil masa 40 minit dan saya kembali semula ke stesen LRT Taman Jaya.

Maklumat di belakang bas PJ City Bus.

Jika terdapat sebarang pertanyaan, aduan atau perkara-perkara berkaitan, terdapat pelbagai kaedah kita boleh salurkannya. Terdapat nombor telefon hotline 03-79542020, menerusi faks 03-79541804, melalui sms 33213 dan laman web MBPJ. Pengguna aplikasi media sosial juga boleh menyalurkan respon terbabit melalui Facebook MBPJ dan Twitter @pjcitycouncil. Kita juga boleh mengikuti YouTube MBPJ.

Sesungguhnya perkhidmatan ini amat berguna, terutama kepada warga bandaraya Petaling Jaya selain pengguna-pengguna lain. Sekurang-kurangnya, memudahkan mereka untuk bergerak di dalam kawasan yang perkhdimatan ini dijalankan. Mungkin selepas ini Petaling Jaya akan mula terkenal menjadi kawasan perlancongan pula. Diharapkan agar perkhidmatan ini dapat diperluaskan ke kawasan lain di Petaling Jaya ini.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Khamis, 15 Oktober 2015

Petua - Permohonan Visa China di Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.




China merupakan sebuah negara yang memerlukan pemegang pasport Malaysia untuk membuat visa, jika ingin memasuki negaranya atas apa sahaja urusan. Menariknya, kalau ke Hong Kong atau Macau, pemegang pasport Malaysia tidak perlu visa sehingga 30 hari (Macau) atau 90 hari (Hong Kong) walaupun kedua-dua wilayah itu berada di dalam China. Ini kerana China mengamalkan dasar satu negara dua sistem, di mana Hong Kong dan Macau, kedua-duanya merupakan Wilayah Pentadbiran Khas yang diberikan kuasa autonomi yang luas kecuali dasar luar negara dan pertahanan yang dikawal oleh kerajaan pusat China.




SEBELUM PERMOHONAN

Terdapat beberapa langkah untuk kita memohon visa China. Pertama, sila layari laman web Pusat Perkhidmatan Permohonan Visa China di Malaysia (Chinese Visa Application Service Center at Malaysia), untuk maklumat berkaitan permohonan visa China. Melalui laman web ini, kita boleh mengisi borang secara dalam talian (online) di borang permohonan Visa China Dalam Talian (Online). Sila berikan maklumat yang diminta. 


Laman utama laman sesawang Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Malaysia.

Setelah itu, borang tersebut boleh disimpan dalam format .dat (sila hingga ke hujung proses untuk tujuan ini), di mana kita simpan di dalam penstoran kita sendiri, supaya kita boleh mengisi di masa yang lain. Selain itu, melalui format .dat itu, kita boleh menggunakannya untuk permohonan akan datang, cuma ubah beberapa maklumat berkaitan. Setelah selesai semua data diisi, boleh disimpan di dalam bentuk format .pdf, untuk kita cetak, dan cetakan ini dihantar semasa permohonan di Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China nanti. Sila rujuk Kategori Visa China untuk mengetahui jenis visa yang perlu dimohon.


Selain itu, jika anda jenis kurang selesa atau sukar sikit dengan cara tersebut, anda boleh memuat naik borang tersebut dan cetaknya melalui link borang dalam format pdf. Cuma selepas dicetak, anda boleh isi sendiri dengan menggunakan pen hitam atau biru secara manual (old school). Juga borang ini juga terdapat nanti di Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China, jadi tidak perlu risau jika tidak mengisinya sebelum ke pusat tersebut.

Di dalam borang tersebut, kita boleh pilih untuk kekerapan kemasukan dari sekali, dua kali atau banyak kali. Namun kemasukan banyak kali agak sukar diberikan, melainkan jika terdapat rekod anda pernah ke China sebelum ini.Biasanya visa China akan diberikan tempoh sah laku selama tiga bulan dari tarikh permohonan, terutama bagi sekali atau dua kali kemasukan. Kita perlu masuk ke China pada tempoh tersebut. Kemasukan di luar masa tiga bulan tersebut tidak sah kerana visa telah tamat tempoh. Setiap kemasukan pula adalah maksimum berada di China selama 30 hari sahaja.



Borang Permohonan Visa China (muka surat 1).

Borang Permohonan Visa China (muka surat 2).

Borang Permohonan Visa China (muka surat 3).

Borang Permohonan Visa China (muka surat 4).

Di sini saya kongsikan permohonan untuk visa jenis L iaitu untuk pelancongan. Di bawah saya berikan dokumen sokongan bagi permohonan visa China jenis L (pelancongan):

1.  Borang yang telah siap diisi;


2.  Pasport asal yang masih mempunyai tempoh laku sekurang-kurangnya 6 (enam) bulan dari tarikh tamat tempoh. Pasport tersebut juga perlu mempunyai 2 muka surat kosong sebelah-menyebelah;


3.  Sekeping salinan fotostat pasport iaitu pada muka surat maklumat dan gambar peribadi;


4.  Dua keping (mulai 01 Ogos 2016 - kemaskini 15 Oktober 2016, sebelum ini cuma sekepinggambar bersaiz pasport dengan latar belakang berwarna putih. Contoh format gambar adalah seperti di bawah;

Format Gambar Peribadi.


5.  Satu salinan itinerari penerbangan atau tiket penerbangan pergi balik;

6.  Satu salinan bukti penempahan hotel (kini ia adalah pilihan sahaja, kalau ada bawa, mana tahu pihak pusat visa meminta pula) atau surat jemputan individu/organisasi dari China (ini pula hanya untuk visa jenis lain selain jenis L-melancong).

7. Kesemua pasport lama yang telah tamat tempoh, untuk disemak. Jika tiada (hilang atau sebagainya), perlu mendapatkan laporan polis bagi kehilangan pasport berkenaan. (Mulai 01 Ogos 2016, kemaskini 15 Oktober 2016). Sudah tidak perlu lagi (kemaskini 21 Oktober 2016).

Semua dokumen di atas tidak dipulangkan setelah dihantar permohonannya, maka fotostat siap-siap terlebih dahulu bagi mana dokumen berkaitan.



PROSES PERMOHONAN VISA.

Setelah siap kesemua keperluan tersebut, bolehlah ke Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China yang terdekat. Terdapat dua Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Malaysia iaitu di Kuala Lumpur dan di Kuching. Jadi saya kongsikan permohonan bagi Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Kuala Lumpur. Kita boleh mendapat maklumat mengenai pusat ini terutama lokasi, alamat, maklumat perhubungan dan waktu perniagaan. Selain itu, di bawah, terdapat pamflet Pusat Visa China di Malaysia bagi Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, juga terdapat peta menggunakan Google Maps bagi kedudukan Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Kuala Lumpur.


Pamflet Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Malaysia versi Bahasa Melayu (bahagian luar).

Pamflet Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Malaysia versi Bahasa Melayu (bahagian dalam).

Pamflet Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Malaysia versi Bahasa Inggeris (bahagian luar).

Pamflet Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Malaysia versi Bahasa Inggeris (bahagian dalam).


Peta ke Pusat Visa China KL.

Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di Kuala Lumpur terletak di Hampshire Place Office, Jalan Mayang Sari off Jalan Ampang/Jalan Tun Razak. Bangunan ini terletak sebelah kompleks pejabat Megan Phileo Promanade dan tidak jauh dari pejabat lama pusat ini di Plaza RHB Investment Bank (dahulu Plaza OSK) di Jalan Ampang.


Permandangan bangunan Hampshire Place Office dari Jalan Tun Razak (bawah jejambat).

Jika memandu dari Jalan Tun Razak / Jalan Ampang sila ambil simpang berhampiran Ampang Park. Sila ambil simpang ke Kampung Baru. Sama juga jika dari arah selatan, sila ambil susur Menara Tabung Haji untuk ke simpang Ampang Park. Perlu jalan terus di simpang tersebut. Manakala jika dari arah Hospital Kuala Lumpur / PWTC, sila ambil susur di Perpustakaan Negara dan jalan terus sehingga bertemu dengan Menara Intermark / hotel Double Tree by Hilton di sebelah kiri (kira-kira 3 simpang lampu isyarat), kemudian sila ambil pusingan U di hadapan bangunan tersebut. Ok di sini merupakan titik pertemuan semua arah yang saya sebutkan di atas. Teruskan perjalanan, dan sila cepat-cepat menyusur ke kiri jalan. Kemudian akan nampak bangunan ini pada susur pertama sebelum simpang ke Jalan Yap Kwan Seng. Sila ambil susur pertama itu.

Permandangan bangunan Hampshire Place Office dari Jalan Mayang Sari off Jalan Ampang.

Stesen LRT dan perhentian bas terdekat adalah di Ampang Park. Jadi dari situ perlu berjalan sehingga melepasi Plaza RHB Investment Bank (yang berada seberang jalan dengan Bangunan Citibank dan Wisma MCA). Selepas itu terdapat sebatang jalan, sila berjalan menyelusuri jalan tersebut. Dalam kira-kira 150 meter akan terjumpa bangunan Hampshire Place Office ini di sebelah kiri jalan, sebelum bertemu dengan Jalan Tun Razak. 

Petunjuk Urusan Mengikut Tingkat.

Untuk membuat urusan permohonan visa ini, sila ke tingkat 5. Bagi pembayaran dan kutipan pasport beserta visa yang telah siap, sila berurusan di tingkat 6. Tingkat 6 juga urusan bagi permohonan visa China oleh syarikat agen pelancongan.

Masa Perniagaan Bahagian Permohonan Individu Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di KL.

Masa urusan bagi pusat ini adalah pada 9.00 pagi sehingga 3.00 petang untuk permohonan, iaitu di tingkat 5 pada hari Isnin hingga Jumaat. Bagi urusan pembayaran dan kutipan di tingkat 6, ia dibuka sehingga pukul 4.00 petang. Pusat ini ditutup pada cuti am Malaysia sahaja, maka pada cuti am di negara China, ia tetap dibuka melainkan ia juga jatuh pada cuti am Malaysia.

Barisan di depan pejabat Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di KL sebelum pukul 9:00 pagi.

Jika anda datang awal sebelum pukul 9.00 pagi, anda akan mendapati situasi seperti di atas, iaitu orang beratur untuk menunggu pusat ini dibuka. Hanya waktu ini sahaja pusat ini sesak. Waktu lain, pusat ini agak selesa untuk berurusan, kebiasaannya. 

Kaunter pemeriksaan borang permohonan visa China.

Jika anda telah siap mengisi borang dan mempunyai dokumen-dokumen sokongan yang disenaraikan di atas, maka sila terus ke kaunter pemeriksaan dokumen untuk diperiksa dokumen dan jika lengkap, anda akan diberikan nombor. Jika borang belum diisikan, di kaunter ini atau juga terdapat beberapa meja tulis di sekitar pusat ini, disediakan borang dan pen untuk pengisian borang. Apabila sudah selesai, boleh kembali ke kaunter pemeriksaan dokumen untuk diperiksa dokumen dan pengambilan nombor giliran.

Kaunter perkhidmatan tambahan.

Jika terdapat beberapa dokumen yang tidak lengkap atau tertinggal, terdapat kaunter perkhidmatan tambahan yang menyediakan perkhidmatan fotostat, mengambil gambar dan percetakan. Namun ia agak mahal kerana bagi fotostat dokumen (seperti salinan muka surat maklumat diri di pasport) ia dicaj 50 sen/keping. Bagi perkhidmatan pengambilan gambar, berharga RM18 dan percetakan dicaj RM2.00 bagi setiap keping. Jadi sebaik-baiknya, sediakan awal-awal dokumen yang telah dimaklumkan di atas.

Kadar harga perkhidmatan tambahan (maaf gambar tidak jelas).

Nombor giliran.

Setelah borang dan dokumen-dokumen sokong lengkap, nombor akan diberikan dan sila tunggu di tempat duduk yang disediakan.

Kaunter permohonan visa China.

Nombor telah dipanggil.


Biasanya nombor giliran anda akan dipanggil dalam tempoh yang tidak lama, bermakna anda tidak menunggu lama untuk dilayan. Memang perkhidmatan di sini agak efisyen. Keadaan di pusat ini juga agak selesa. Apabila nombor anda dipanggil, sila ke kaunter yang dimaklumkan. Serahkan pasport, borang dan dokumen-dokumen sokongan kepada kerani di kaunter tersebut. Di sini borang anda akan diperiksa sekali lagi bersama pasport anda. 

Anda boleh memilih untuk pemprosesan permohonan visa anda sama ada pemprosesan biasa (4 hari bekerja), pemprosesan ekspres (3 hari bekerja) atau pemprosesan cepat (2 hari bekerja). Namun bayarannya berbeza, iaitu lebih cepat lebih mahal. Cajnya boleh dirujuk pada Kadar bayaran atau Jadual Bayaran di bawah. Maklumkan kepada staf yang bertugas di kaunter pilihan tempoh pemprosesan yang dipilih.


Jika semuanya tiada masalah, maka anda akan diberikan slip borang kutipan seperti di bawah untuk diserahkan semasa kutipan pasport bervisa yang telah siap nanti. Jangan hilangkan slip ini, jika hilang, anda tidak boleh mengutip pasport anda! Di dalam slip ini terdapat nombor rujukan bagi permohonan anda. Dengan nombor rujukan ini, kita boleh melihat status permohonan melalui dalam talian. Untuk pengetahuan anda, pembayaran visa tidak dibuat semasa proses permohonan ini, tetapi ia akan dibuat semasa proses kutipan pasport nanti.



Slip Borang Kutipan.



KUTIPAN PASPORT.


Selepas dua atau tiga atau empat hari bekerja, bergantung pada pemilihan perkhidmatan pemprosesan, maka pasport bervisa anda sudah boleh diambil. Jadi terus ke pejabat kutipan Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di KL ini di tingkat 6 di bangunan yang sama. Sila bawa sekali slip borang kutipan, bagi tujuan ini.

Waktu perniagaan bagi Perkhidmatan Pembayaran dan Kutipan Pusat Visa Perkhidmatan Permohonan China di  Kuala Lumpur

Apabila sampai ke kaunter pertanyaan, berikan slip borang kutipan kepada staf yang bertugas untuk diberikan nombor giliran. 

Kaunter Pertanyaan di tingkat 6.
Kaunter pembayaran dan kutipan di sebelah kanan dan kaunter permohonan oleh ejen pelancongan di sebelah kiri.

Kawasan Kaunter Permohonan oleh Ejen Pelancongan (sebelah kiri).

Kawasan Kaunter Pembayaran dan Kutipan (sebelah kanan).

Nombor giliran untuk urusan pembayaran dan kutipan.

Apabila dapat nombor sila ke kanan kerana di situ terletak kawasan kaunter pembayaran dan kutipan. Sila duduk di tempat duduk di sediakan. Kawasan ini sama seperti di kaunter permohonan di tingkat 5, agak selesa. Tunggu sehingga nombor giliran dipanggil. Kaunter-kaunter pembayaran adalah dari kaunter 32 ke kaunter 34.


Kaunter masih belum dibuka.

Semasa saya sampai pada pukul 8:55 pagi, kaunter pembayaran dan kutipan masih belum buka. Kiranya, kaunter pengambilan nombor dibuka 5 minit lebih awal sebelum waktu operasi.

Kaunter dibuka.

Kemudian tepat jam 9:00 pagi kaunter-kaunter berkenaan dibuka. Perkhidmatan agak sistematik dan pantas juga. Apabila nombor sila ke kaunter pembayaran yang ditetapkan. Bayar dahulu mengikut kadar bayaran yang ditetapkan sebagai mana jadual di bawah, di kaunter pembayaran. Di sini barulah dapat diketahui permohonan anda berjaya atau sebaliknya. Namun kedua-dua keputusan tetap perlu membayar bagi mendapatkan pasport semula.



Jadual Bayaran Perkhidmatan Permohonan Visa China di Malaysia.


Pembayaran boleh dilakukan dengan tunai, kad debit atau kad kredit. Resit akan diberikan sebaik sahaja pembayaran dibuat.

Resit pembayaran permohonan visa China.

Setelah pembayaran dibuat, sila ke kaunter 35 ke kaunter 37 untuk mengutip pasport yang siap bervisa dengan memberikan slip borang kutipan kepada staf yang bertugas. Sila tunggu kerana proses ini tidak lama. Tidak lama kemudian, pasport bervisa China anda telah siap sudah sedia untuk diberikan. Sila semak pasport dan visa anda sebelum meninggalkan kaunter. 


Contoh pelekat visa China.

Jadi kini proses permohonan visa China telah selesai, semoga selamat dalam perjalanan ke sana. Insya Allah.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Selasa, 6 Oktober 2015

Petua: Pengurup Wang di Jalan Tun Sambanthan (Brickfields) & Nu Sentral, Kuala Lumpur.

Click here if want to read in English version.


Sebelum kita berjalan ke luar negara, antara perkara yang wajib kita lakukan adalah menukar wang kepada wang yang digunakan di negara berkenaan. Sebelum ini saya ada berkongsi petua mengenai pengurup wang di kawasan Masjid India dan di dalam kompleks Ampang Park, kali ini saya berkongsi mengenai pengurup-pengurup wang yang ada di satu lagi kawasan tumpuan utama yang ada banyak pengurup wang, iaitu di kawasan Brickfields atau Jalan Tun Sambanthan serta kompleks membeli belah yang ada di kawasan itu, Nu Sentral.


Jalan Tun Sambanthan, Kuala Lumpur.

Kawasan Jalan Tun Sambanthan ini amat mudah dikunjungi kerana kompleks pelbagai mod pengangkutan di Kuala Lumpur iaitu KL Sentral terletak di kawasan ini. Jadi jika kita hendak ke luar negara sama ada melalui KLIA atau menggunakan keretapi, boleh menukar wang asing di kawasan ini, tetapi bukan setiap waktu, hanya pada waktu perniagaan pengurup wang tersebut.


Jika di Jalan Tun Sambanthan, bertentangan dengan pejabat Poslaju, terdapat sebuah pengurup wang, iaitu KL Remit Xchange. Di sini juga menawarkan perkhidmatan pengiriman wang ke negara-negara tertentu seperti Indonesia dan India.


Betul-betul di kaki tangga / eskalator menaiki ke jejantas untuk ke Nu Sentral, berhampiran dengan stesen Monorel KL Sentral, di dalam sebuah kedai emas, terdapat sebuah pengurup wang iaitu Global Millennium Trading atau GMT. 



Memasuki kompleks membeli-belah Nu Sentral, yang mana ia bersambung antara stesen Monorel KL Sentral dengan KL Sentral itu sendiri, terdapat tiga buah pengurup wang yang terletak di aras LG iaitu searas dengan Jalan Tun Sambanthan. Aras G bagi KL Sentral adalah searas dengan aras G KL Sentral.

Panduan Nu Sentral (bahagian pengurup wang).

Kita menuruni jejantas di tangga / eskalator sebelah luar Nu Sentral, kemudian apabila tiba di bawah, sila ke kanan untuk memasuki pintu yang ada di situ.

Pintu masuk berhampiran tangga/eskalator jejantas.

Memasuki pintu tersebut, apabila pandang di sebelah kiri, akan terlihat pejabat Malindo Air. Jadi jika terdapat apa-apa urusan berkaitan dengan Malindo Air, boleh ke sini.

Pandangan kiri selepas pintu masuk.

Selang dua kedai selepas itu, terdapat sebuah pengurup wang iaitu dari sebuah cawangan syarikat Jalinan Duta. Di dalam kompleks KL Sentral, terdapat sebuah lagi cawangan pengurup wang ini.



Kembali semula ke pintu tadi, jika kita berjalan terus, selang sebuah kedai di sebelah kanan iaitu kedai serbaneka myNews.com, terdapat sebuah lagi pengurup wang, iaitu GMT, di mana ia adalah cawangan bagi Global Millennium Trading tadi.


Bagusnya, di hadapan pengurup wang GMT ini, terdapat pusat mesin ATM, yang mana ketika ini hanya mesin ATM CIMB Bank sahaja yang beroperasi.


Kita pergi ke kawasan ruang legar utama, iaitu di tengah-tengah pusat membeli belah Nu Sentral ini, di kawasan tersebut terdapat sebuah pengurup wang yang memang jelas kewujudannya iaitu pengurup wang Spectrum Forex.




Secara keseluruhannya, kadar di kawasan Jalan Tun Sambanthan dan Nu Sentral ini lebih kurang sama dengan kawasan Masjid India atau Ampang Park. Cuma dalam pemerhatian saya, kadar di dalam Nu Sentral lebih baik dari pada di luar (Jalan Tun Sambanthan). Untuk rujukan lebih baik, boleh melihat laman web (sila klik link pada nama pengurup wang) untuk melihat kadar terkini matawang asing. Namun kadarnya berbeza antara satu cawangan dengan cawangan yang lain.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat bagi yang merancang perjalanan ke luar negara atau yang ingin melabur secara wang fizikal matawang asing ini.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.