Memaparkan catatan dengan label 18 Oktober 2015 - Petaling Jaya Selangor Malaysia - PJ City Bus. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 18 Oktober 2015 - Petaling Jaya Selangor Malaysia - PJ City Bus. Papar semua catatan

Ahad, 18 Oktober 2015

Petaling Jaya, Selangor, Malaysia - 18 Oktober 2015 - Bas Percuma PJ City Bus.

Click here if want to read in English version.

Sebelum ini saya ada membuat satu artikel mengenai perkhidmatan bas bandar percuma GoKL di bandaraya Kuala Lumpur. Selain GoKL, terdapat beberapa lagi perkhidmatan bas percuma di sekitar Lembah Klang. Di kawasan perbandaran Subang Jaya & Klang dan bandaraya Shah Alam terdapat Bas Selangorku. Di Pulau Pinang, terdapat pula bas CAT (Central Area Transit) Rapid Penang.

Jadi saya mencuba dahulu salah satunya iaitu PJ City Bus, perkhidmatan bas percuma di bandaraya Petaling Jaya pula. Perkhidmatan ini dimulai pada 14 Mei 2014 di mana boleh rujuk laman MBPJ mengenai PJ City Bus ini. Bas ini adalah inisiatif Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama RapidKL, untuk kemudahan mencapai beberapa kawasan strategik di bawah kawasan pentadbirannya. Sebanyak 10 buah bas digunakan untuk tujuan ini.

Peta Petaling Jaya.


Bas PJ City Bus.

Corak Bas PJ City Bus.

Bas ini menggunakan bas RapidKL kepunyaan Prasarana Malaysia Berhad. Cuma badan luarnya telah diubah catnya dari warna kebiasaan RapidKL kepada warna hijau dengan coraknya seperti di atas.

Laluan asal PJ01 semasa pelancaran.

Pada peringkat awal, terdapat satu laluan yang diperkenalkan iaitu laluan PJ01, yang merangkumi perjalanan dari PJS3 melalui pekan lama Petaling Jaya, pusat bandaraya Petaling Jaya, Seksyen 14, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kembali semula ke pusat bandaraya Petaling Jaya dan kembali semula ke PJS3. Kekerapan bas adalah sebanyak 10 ke 15 minit.

Laluan PJ01 setelah distruktur semula.

Laluan PJ02.


Namun pada bulan April 2015, pihak MBPJ mengstruktur semula dengan membuat dua laluan (boleh rujuk Carta Laluan Bas PJ City Bus MBPJ) iaitu PJ01 memberikan perkhidmatan dari kawasan selatan pusat bandaraya Petaling Jaya iaitu dari PJS3 ke stesen LRT Taman Jaya di pusat bandaraya (boleh lihat carta laluannya di gambarajah laluan warna kuning di atas), dan laluan PJ02 berkhidmat bagi kawasan utara pusat bandaraya, mencakupi stesen LRT Taman Jaya, stesen LRT Asiajaya, kawasan Seksyen 14, Seksyen 19, SS2, Seksyen 17, Seksyen 16, Universiti Malaya, PPUM, kawasan Bukit Gasing dan kembali ke stesen LRT Taman Jaya (boleh lihat carta laluannya di gambarajah laluan warna hijau di atas). Oleh kerana bilangan bas yang digunakan kekal 10 buah, maka kekerapan dilewatkan menjadi setiap 25 minit bagi laluan-laluan baru ini.

(Kemaskini pada 08 Februari 2017) Pada 18 Januari 2016, laluan PJ01 bas PJ City Bus ini telah ditambahkan laluannya sebagaimana laluan asal yang diperkenalkan, dengan melalui Sekyen 14, Seksyen 17, Jalan Universiti, Jalan Gasing dan juga Jalan Changgai. Laluan PJ02 pula ditambah sedikit laluannya meliputi kawasan Taman SEA SS2. Peta laluannya boleh dilihat di sini dan di sini.

Di samping itu, terdapat dua laluan baru iaitu PJ03 dan PJ04 diperkenalkan. Kedua-dua laluan tersebut beroperasi daripada Stesen LRT Taman Bahagian. Laluan Bas PJ City Bus PJ03 menuju ke Kompleks Membeli Belah Paradigm Mall dan Dataran Glomac dan kembali ke Stesen LRT Stesen Bahagian. Laluan Bas PJ City Bus PJ04 pula adalah dari Stesen LRT Taman Bahagia, menuju ke kawasan dalaman Kampung Tunku dan juga kawasan Taman SEA SS2, dan kemudian kembali ke Stesen LRT Taman Bahagian. Peta laluannya boleh dilihat di sini dan di sini. Bas yang digunakan adalah terdiri daripada bas sedia ada dan juga bas elektrik sepenuhnya.

Dalaman bas dari depan.

Dalaman bas dari belakang.

Pada 18 Oktober 2015 lepas, saya mencuba perkhidmatan ini. Saya memulakan perjalanan dari stesen LRT Taman Jaya dengan mencuba laluan PJ01 terlebih dahulu. Memang bas ini menggunakan bas RapidKL sedia ada kerana dalaman bas ini sama dengan ruang dalaman bas RapidKL biasa.

 Paparan Maklumat Perkhidmatan.

Cuma terdapat sedikit perbezaan, di mana terdapat sebuah skrin paparan maklumat perkhidmatan yang memaparkan pelbagai maklumat berkaitan dengan perkhidmatan bas ini. Malah terdapat ingatan mengenai keselamatan dan amaran berkaitan. Serta makluman mengenai perhentian seterusnya. Di dalam bas yang saya naiki ini (PJ City Bus 7), memberikan makluman bersuara juga. Menarik lagi, terdapat perkhidmatan WiFi percuma di dalam bas ini. Cuma capaiannya agak kurang stabil, sekejap agak laju, sekejap agak perlahan. Tapi baik juga secara purata.

Pusat Bandar Petaling Jaya atau juga dikenali "New Town"/"PJ State".

Papan kenyataan PJ City Bus di perhentian bas.

Di perhatikan, sepanjang laluan bas ini, terdapat beberapa perhentian bas mempunyai papan kenyataan mengenai perkhidmatan bas PJ City Bus ini, namun agak banyak juga yang tidak mempunyainya. Namun maklumat di papan kenyataan ini agak mengelirukan atau sudah lapuk, kerana menyatakan laluan PJ01A dan PJ01B. Laluan-laluan ini sudah tidak lagi beroperasi lagi sebenarnya.

Terminal Bas PJ City Bus di Jalan PJS3/2.

Akhirnya saya mengikuti laluan bas ini sehingga ke terminal terakhirnya di Jalan PJS3/2. Masa perjalanan adalah selama lebih kurang 35 minit. Saya menunggu bas untuk kembali semula ke stesen LRT Taman Jaya, dan lebih kurang 15 minit kemudian, bas yang lain (PJ City Bus 4) bergerak meninggalkan terminal. Ia sampai ke stesen LRT Taman Jaya semula setelah 25 minit kemudian.

Saya mencuba pula bas laluan PJ02 yang kebetulan hendak memulakan perjalanan sejurus saya tiba di stesen LRT Taman Jaya. Kali ini perjalanan mengambil masa 40 minit dan saya kembali semula ke stesen LRT Taman Jaya.

Maklumat di belakang bas PJ City Bus.

Jika terdapat sebarang pertanyaan, aduan atau perkara-perkara berkaitan, terdapat pelbagai kaedah kita boleh salurkannya. Terdapat nombor telefon hotline 03-79542020, menerusi faks 03-79541804, melalui sms 33213 dan laman web MBPJ. Pengguna aplikasi media sosial juga boleh menyalurkan respon terbabit melalui Facebook MBPJ dan Twitter @pjcitycouncil. Kita juga boleh mengikuti YouTube MBPJ.

Sesungguhnya perkhidmatan ini amat berguna, terutama kepada warga bandaraya Petaling Jaya selain pengguna-pengguna lain. Sekurang-kurangnya, memudahkan mereka untuk bergerak di dalam kawasan yang perkhdimatan ini dijalankan. Mungkin selepas ini Petaling Jaya akan mula terkenal menjadi kawasan perlancongan pula. Diharapkan agar perkhidmatan ini dapat diperluaskan ke kawasan lain di Petaling Jaya ini.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.