Ahad, 5 April 2015

Kuala Lumpur, Malaysia - 04 April 2015 (Bas Bandar Percuma GoKL).

Click here if want to read in English version.

Perkhidmatan pengangkutan bandar adalah sesuatu yang penting dan kritikal di dalam pembangunan sesuatu bandar. Ia penting terutama dalam pengangkutan manusia yang mahu bergerak dari sesuatu destinasi ke destinasi yang lain. Di dalam bandar, ia lebih lagi, kerana sudah tentu ia melibat lebih banyak manusia. Jesteru itu jika ia tidak diuruskan dengan baik, akan menjadi satu bencana.

Saya telah pergi ke banyak tempat di dunia. Ada yang baik sistem pengangkutan dan ada yang kurang baik. Namun di bandaraya yang menjadi tempat saya bernaung, Kuala Lumpur, telah mengalami perubahan yang ketara berbanding dahulu. Kini, Kuala Lumpur merupakan bandaraya tumpuan orang dari dalam dan luar Malaysia telah mempunyai pelbagai mod pengangkutan yang banyak membantu kehidupan nadi denyut warganya.

Selain mod pengangkutan berasas rel seperti LRT, Monorel dan KTM Komuter serta tidak lama lagi MRT, perkhidmatan bas juga telah berkembang pesat dan moden. Jika dahulu, bandaraya ini dikendalikan bas yang lama, kini armada moden telah dioperasikan terutama oleh RapidKL.


Namun mulai 01 Ogos 2013, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), sebuah agensi kerajaan yang mengawal selia pengangkutan darat di Semenanjung Malaysia, telah memperkenalkan satu perkhidmatan yang tidak pernah terfikir oleh rakyat Malaysia terdahulu.

Perkhidmatan bas bandar GoKL, telah diperkenalkan secara PERCUMA untuk pengguna-pengguna bas di dalam bandar. Ini memberikan satu alternatif yang baik kepada bukan sahaja warga Kuala Lumpur malah boleh menarik pelancong-pelancong dalam dan luar negara untuk mengelilingi salah sebuah bandaraya 7Wonders Baru ini, selain perkhidmatan bas lain seperti RapidKL dan Hop On Hop Off Kuala Lumpur. Sekaligus, memudahkan pengunjung-pengunjung Kuala Lumpur terutama berbajet rendah seperti backpacker untuk pergi ke destinasi pilihan di Kuala Lumpur.

Perkhidmatan bas GoKL ini dikendalikan oleh syarikat Cityliner Sdn Bhd, anak syarikat Konsortium Transnasional Berhad yang merupakan sebahagian dari kumpulan sayrikat Nadicorp Berhad dimiliki oleh usahawan Datuk Nadzmi Salleh bagi laluan Biru dan Merah. Bagi laluan Hijau dan Ungu pula dikendalikan oleh RapidKL (Rangkaian Pengangkutan Awam Deras Sdn Bhd), anak syarikat Prasarana Malaysia Berhad, sebuah syarikat dibawah Kementerian Kewangan Diperbadankan, yang merupakan syarikat pengangkutan awam utama di Kuala Lumpur.

(Kemas kini pada 01 Ogos 2016, kini laluan Biru dan Merah telah diambil alih oleh RapidKL.).


Pada peringkat awal terdapat 2 laluan diperkenalkan iaitu laluan Ungu (Purple line) dan laluan Hijau (Green line). Laluan Ungu merangkumi kawasan sekitar Pasar Seni (perhentian mula/akhir) dan melalui Bukit Bintang. Laluan Hijau pula menghubungkan kawasan KLCC (perhentian mula/akhir) dan Bukit Bintang. Fokus perkhidmatan bas GoKL adalah untuk perhubungan intrabandar dan tidak mencakupi perkhdimatan ke kawasan pinggir bandar yang dikendalikan oleh RapidKL. Kiranya kedua-dua perkhidmatan bas ini melengkapi antara satu sama lain.


Perkhidmatan GoKL ini ditambah laluannya pada 01 Mei 2014 dengan penambahan laluan Merah (Red line) dan laluan Biru (Blue line). Kedua-dua laluan akan bermula dan berakhir di Medan MARA sehingga 01 Disember 2014 dipindahkan ke Terminal Bas Titiwangsa (Pekeliling / Jalan Tun Razak). Laluan Merah akan melalui kawasan Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka sehingga KL Sentral dan kembali ke Terminal Bas Titiwangsa. Manakala laluan Biru pula akan melalui kawasan Hospital Kuala Lumpur (HKL), Kampung Baru dan terus ke Bukit Bintang seterusnya kembali ke Terminal Bas Titiwangsa. Untuk laluan bas GoKL ini, boleh rujuk peta laluan seperti di atas

Bas GoKL boleh dinaiki di mana-mana perhentian, tidak semestinya di perhentian mula/akhir, asakan ia berada di dalam laluan. Ia juga boleh dinaiki bila-bila masa, asalkan di dalam waktu operasi iaitu:

Waktu Operasi
Isnin - Khamis
6:00 pagi - 11:00 malam
Jumaat - Sabtu
6:00 pagi - 1:00 pagi
Ahad
7:00 pagi - 11:00 malam

Kekerapan operasinya pula adalah:

Kekerapan Operasi
Waktu Puncak
Setiap 5 Minit
(7:00 - 9:00 pagi)
(4:00 petang - 8:00 Malam)
Waktu Bukan Puncak
Setiap 10 Minit
(6:00 - 7:00 pagi)
(9:00 pagi - 4:00 petang)
Waktu Lain
Setiap 15 Minit
(6:00 petang - 11:00 malam/1:00 pagi)


Pada hari Sabtu, 04 April 2015, saya bersama keluarga saya telah menggunakan perkhidmatan bas bandar GoKL ini untuk bersiar-siar di Kuala Lumpur. Jadi saya dapat menjimatkan kos parkir kereta dan minyak. Kami dari rumah ke  Terminal Bas Titiwangsa pun menaiki bas RapidKL yang berhenti di Hospital Kuala Lumpur, namun perlu berjalan kaki sedikit untuk ke Terminal Bas Titiwangsa.


Mula-mula kami menaiki bas laluan Merah. Kami dapat merasai bas terbaharu GoKL yang dibuat khas untuk program perkhidmatan bas ini. Difahamkan bas ini baru sahaja ditauliahkan kepada Cityliner Sdn Bhd tidak sampai sebulan. Saya sempat melihat bas-bas ini dibina dan sudah siap di kilang pembuatan bas Badan Bas Sdn Bhd di Sungai Chua, Kajang pada bulan Januari 2015 lepas. Bas-bas baru ini dibuat daripada chasis bas Daewoo dan menggunakan bahan api gas asli untuk kenderaan (Natural Gas for Vehicle -NGV). Ia mematuhi standard Euro 5 bermakna ia lebih mesra alam.


Bas baru ini amat selesa dan bersih. Malah menariknya bas-bas ini akan memaklumkan perhentian semasa dan seterusnya, sebagaimana yang dibuat di dalam perkhidmatan rel RapidKL (LRT dan Monorel) juga KTM Komuter (tren 1Komuter yang baru). Cuma mungkin Ia masih belum lengkap lagi kerana terdapat wayar yang disediakan untuk dipasang paparan seperti televisyen selepas ini. Juga bas-bas baru ini belum dipasang perkhidmatan WiFi percuma lagi. Selain itu, ia hampir lengkap.


Setelah 45 minit menaiki laluan Merah yang melalui Jalan Sultan Azlan Shah (Jalan Ipoh) (dari bangunan PERKIM ke kawasan Chow Kit), Jalan Tuanku Abdul Rahman, Dataran Merdeka, Stesen Keretapi Kuala Lumpur, KL Sentral, Muzium Negara, kembali ke Dataran Merdeka, Jalan Raja Laut sehingga simpang Jalan Sultan Azlan Shah, menuju ke Jalan Pahang melalui Bulatan Pahang dan kembali ke Terminal Bas Titiwangsa.


Kemudian, kami menaiki pula laluan Biru yang membawa kami dari  Terminal Bas Titiwangsa melalui hadapan HKL, melalui kawasan Kampung Baru di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Raja Abdullah sebelum menyusuri Jalan Sultan Ismail. Seterusnya bas laluan Biru ini akan melalui Jalan Raja Chulan (di bahagian belakang pusat membeli belah Pavillion), ke Jalan Bukit Bintang dan kembali ke Jalan Sultan Ismail. Kami turun di Perhentian Bukit Bintang di sebelah cawangan bank HSBC di Jalan Sultan Ismail.


Kami singgah sarapan pagi di sebuah restoran makanan segera di kawasan Bukit Bintang, sebelum kembali ke perhentian Bukit Bintang untuk mengambil bas GoKL laluan Ungu pula untuk ke Pasar Seni. Tanpa menunggu lama, bas laluan Ungu ini pun sampai. Cuma kali ini, kami menaiki bas dipunyai oleh Prasarana.


Bas yang kami naiki kali ini mempunyai   perkhidmatan WiFi percuma. Jadi sempatlah saya memuat naik beberapa gambar ke laman sosial saya. Bas ini melalui Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Tun Perak, Jalan Tun Tan Cheng Lock (hadapan Kotaraya) dan sampai ke Terminal Bas Jalan Sultan Mohammed / Pasar Seni. Di sini kami turun dan kemudian menaiki semula bas lain tetapi laluan sama (laluan Biru) untuk kembali ke perhentian Bukit Bintang. Bas ini pula menyambung perjalanan ke kawasan Bangkok Bank, Jalan Hang Kasturi, Jalan Raja Chulan, Jalan Bukit Bintang dan sampai kembali ke perhentian Bukit Bintang.


Di perhentian ini, kami terus menukar ke bas laluan Hijau (yang menggunakan bas dipinjamkan RapidKL) pula untuk ke KLCC dengan melalui Jalan Sultan Ismail, membelok ke Jalan P. Ramlee, membelok ke Jalan Pinang kemudian melalui Jalan Kia Peng dan Jalan Binjai. Akhirnya ia ke Jalan Ampang sehingga ke perhentian KLCC. Di sini kami menukar bas lain tetapi masih dengan laluan Hijau, meneruskan perjalanan ke Jalan Ampang melalui perhentian MaTiC (Pusat Pelancongan Malaysia) yang perhentian mula/akhir perkhidmatan bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur. Seterusnya ke Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan kembali berhenti ke perhentian Bukit Bintang.


Di maklumkan bahawa perkhidmatan bas GoKL ini tidak berhenti di mana-mana tempat atau mana-mana perhentian bas di sepanjang laluan. Ia hanya akan berhenti di perhentian yang disebutkan di peta laluannya sahaja. Sila rujuk peta laluan untuk mengetahuinya. Cara yang paling mudah adalah jika perhentian tersebut mempunyai papan tanda GoKL seperti gambar di bawah ini, barulah ia mempunyai bas GoKL akan berhenti.


Kami kemudian menaiki bas laluan Biru yang menggunakan bas baru untuk kembali ke Terminal Bas Titiwangsa melalui Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan P.Ramlee, kembali ke Jalan Sultan Ismail (hadapan Hotel Concorde), membelok ke Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi (Sogo), Jalan Raja Laut, Jalan Sultan Azlan Shah (kawasa Chow Kit), Jalan Pahang, Bulatan Pahang dan sampai juga ke Terminal Bas Titiwangsa.

Jadi itulah pengalaman kami sekeluarga yang mengambil masa kira-kira lebih sedikit menaiki bas GoKL untuk berjalan-jalan di bandaraya Kuala Lumpur. Sesunggunya perkhidmatan ini yang merupakan usaha kerajaan banyak memudahkan kehidupan rakyat. Insya Allah saya akan kongsikan juga pengalaman perkhidmatan saya di bandaraya-bandaraya atau bandar-bandar lain di dalam Malaysia (seperti Petaling Jaya atau Georgetown) atau di luar negara untuk perkongsian dengan anda. Semoga ia membantu anda, insya Allah.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan: