Selasa, 9 Disember 2014

Hari 1 (Siem Reap, Kemboja & Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 19 hingga 23 Oktober 2014) - សូមស្វាគមន៍មកកាន់ខេត្តសៀមរាប (Saumosvakom Mokkan Khetta (Selamat Datang Ke) Siem Reap).

Bersambung dari Pra Kembara.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.


19 Oktober 2014 (Ahad)

Memandangkan penerbangan kali ini dijadualkan berlepas pada jam 6:50 pagi dari klia2, maka saya telah bangun seawal pukul 3:00 pagi untuk bersiap. Beg yang akan dibawa telah siap sebelum tidur lagi, cuma dokumen yang diperlukan untuk penerbangan diasingkan siap-siap. Saya membersihkan diri dan bersolat beberapa solat sunat antaranya  solat musafir. Pada pukul 3:35 pagi, isteri saya menghantar saya ke KL Sentral, kerana saya akan menaiki bas Skybus ke klia2 pula.

Perjalanan waktu awal pagi memang kurang kenderaan di jalan raya bandaraya Kuala Lumpur ini. Dalam masa 15 minit, kami sudah sampai di KL Sentral. Setelah bersalaman dan bermaafan dengan isteri, saya segera ke aras bawah, di terminal Skybus dan terus menaiki bas tersebut. Pada jam 4:00 pagi, bas tersebut pun bergerak dari KL Sentral ke klia2. Perjalanan melalui Jalan Istana, Lebuhraya KL-Seremban, Lebuhraya MEX, Lingkaran Putrajaya, Lebuhraya ELITE dan akhirnya sampai ke klia2 dalam masa 45 minit sahaja.

Sampai di terminal bas ekspres di klia2 ini, saya terus ke restoran NZ Curry House yang terletak di terminal ini untuk bersarapan. Ini perlu kerana lepas ini entah bila akan makan. Lagipun di NZ Curry House ini, harganya agak murah sedikit berbanding kedai lain. Namun pada awal pagi ini tidak banyak lauk pauk yang ada. Jesteru itu, saya hanya memesan Nasi Goreng sahaja dan hanya minum air kosong yang dibawa dari rumah. Sambil itu, saya menghantar mesej melalui aplikasi WhatsApp kepada ahli-ahli kembara untuk berkumpul di NZ Curry House ini. Alhamdulillah selepas 10 minit semuanya telah berkumpul. Masing-masing bermalam di klia2 sejak malam sebelumnya.


Setelah selesai bersarapan, kami pun segera ke balai berlepas untuk terus melakukan urusan imigresen dan pemeriksaan kastam. Kami tidak perlu ke kaunter daftar masuk kerana kami telah melaksanakan daftar masuk web dan tidak dikehendaki untuk pemeriksaan dokumen, maka kami boleh terus ke pintu pelepasan. Pintu pelepasan kami di K13, jadi kami tidak perlu berjalan jauh melalui bangunan satelit. Namun pemeriksaan keselamatan sebelum masuk ke kawasan pintu pelepasan agak sesak, mungkin kerana masa ini merupakan masa puncak. Namun ia dapat juga diselesaikan. Selepas itu kami singgah ke sebuah surau yang terletak dalam perjalanan ke pintu pelepasan kerana ketika itu telah masuk waktu subuh.

Bergambar di depan signage klia2 versi Deepavali 2014.

Usai solat subuh, terdapat pengumuman bahawa pintu pelepasan penerbangan kami telah dibuka, maka kami pun terus ke pintu pelepasan dan memang masa kami baik, terus sahaja kami masuk menuju ke dalam perut kapal terbang. Agak penuh juga penerbangan ini, cuma ada beberapa tempat duduk kosong sahaja. Oleh kerana semua penumpang telah ada di dalam perut kapal terbang maka pada jam 6:40 pagi, kapal terbang ini pun bergerak meninggalkan terminal dan menuju ke landasan (runway) dan tepat jam 6:55 pagi, berlepaslah penerbangan AirAsia AK 542 meninggalkan landasan 3 KLIA.


Suasana sama semasa penerbangan seperti biasa-biasa sahaja. Kami ahli-ahli kembara kali ini mula berkenal-kenalan kerana ini pertama kali kami berjumpa (kecuali Halim, Din dan Abe yang memang rakan sekuliah). Sebelum ini kami hanya berkomunikasi melalui aplikasi WhatsApp sahaja. Setelah sejam setengah penerbangan ini, pembantu penerbangan telah memberikan kami borang imigresen (kad ketibaan/pelepasan), borang perisytiharan kesihatan dan borang kastam untuk kami isi. Banyak juga borang yang perlu diisi.





Akhirnya pada jam 7:25 pagi waktu Kemboja (UTC +7) (8:30 pagi waktu Malaysia), kami selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap. Kira penerbangan kami agak cepat juga. Semasa hampir mendarat, dapat kami lihat, sekitar Siem Reap ini seperti banjir, mungkin kerana limpahan dari tasik Tonle Sap. Kira kami ini tiba masih di dalam musim banjir lagi. Lapangan terbang ini kecil sahaja dan tiada jambatan udara dan kami perlu turun ke atas tarmac. Kelihatan tarmac di lapangan terbang ini pun masih basah lagi, mungkin kerana semalamnya ia menerima hujan.




Maka kami pun berjalan kaki menuju ke bangunan terminal. Sambil-sambil tu sembat juga mengambil gambar dan berselfie. Petugas lapangan terbang tidak pula memarahi kami dan seperti setia menunggu gelagat kami. Rasa bersalah pun ada. Akhirnya sampai juga ke balai ketibaan di lapangan terbang ini. Pertama sekali, dikutip borang kesihatan dan ditukarkan dengan notis berwarna kuning seperti di bawah ini.



Seterusnya kami terus beratur ke kaunter imigresen yang berada terus sahaja (gambar di bawah ini). Ini kerana kami merupakan pemegang pasport Malaysia yang mana tiada visa diperlukan untuk lawatan sehingga 30 hari. Jika pemegang pasport negara-negara yang memerlukan visa, kaunter Visa-On-Arrival (VOA) berada di sebelah kiri (seperti gambar di atas). Kelihatan juga mesin ATM Public Bank Cambodia juga ada di kawasan kaunter VOA. Saya tidak pasti ada caj jika menggunakan kad ATM Public Bank Malaysia di sini. Saya pun tidak membawanya.


Urusan pemeriksaan pasport oleh pegawai-pegawai imigresen Kemboja juga agak bagus. Giliran kami pun tidak mengambil masa lama. Pasport diserahkan bersama borang imigresen. Akhirnya secara rasmi di dalam pasport saya menunjukan jejakan kaki saya ke negara kesembilan ASEAN. Cop pasport Kemboja juga agak cantik, siap ada gambar Angkor Wat lagi.



Selepas semua selesai pemeriksaan pasport, maka kami terus menuju ke pintu keluar. Pastikan kita menyimpan keratan borang imigresen yang diberikan bersama pasport yang telah dicop. Periksa dahulu agar cop dan keratan itu ada. Ini kerana jika tiada cop masuk dan keratan itu, umpama kita masuk secara haram, juga bermasalah jika hendak keluar dari Kemboja nanti. Kami tidak perlu menunggu beg kerana semuanya backpackers, hahaha. Selepas conveyor, terdapat kaunter pemeriksaan kastam, namun tiada pegawai dan kami masukan borang kastam ke dalam kotak yang disediakan. Selepas kaunter kastam terdapat sebuah kaunter pengurup wang. 



Sebaik sebelum pintu keluar, terdapat sederetan kaunter syarikat-syarikat telekomunikasi yang menjual kad SIM. Rambang mata juga, petugas-petugas kaunter tidak jemu-jemu memanggil kami ke kaunternya. Terdapat kaunter Metfone, Smart Axiata, Beeline, qb dan Cellcard. Akhirnya kami ke kaunter qb kerana harganya paling murah iaitu kad SIMnya percuma, plan data tanpa had setiap hanya US$1 (+-RM3.30). Jadi saya ambil plan data dua hari dan tambah US$1 untuk nilai kredit untuk panggilan dan sms, jadi semuanya US$3 (+-RM10) sahaja. (Satu pilihan yang salah, sebaiknya anda ambil Cellcard kerana ia adalah telco selular nombor 1 di Kemboja).



Keluar sahaja ke pintu keluar balai berlepas, terus sampai ke kawasan terbuka, tiada bumbung. Penuh juga yang menunggu di kawasan ini, dan Halim terlihat nama saya tertulis di sehelai kertas yang dipegang seseorang. Orang itu adalah Safy iaitu penunggang tuktuk kami. Alhamdulillah, saya memang ada menyuruhnya agar mengambil kami di lapangan terbang. (Maaf kerana saya amat teruja sampai di kawasan luar lapangan terbang sehingga lupa mengambil gambar). Tuktuk di Kemboja terutama di Siem Reap ini berbeza berbanding tuktuk di tempat lain. Ia lebih kepada sebuah pedati yang ditunda oleh sebuah motorsikal. Jadi lebih sesuai digelar penunggang tuktuk daripada pemandu tuktuk. Penunggang tuktuk tidak dilindungi bumbung, terbuka kepada panas dan hujan. Begitulah mereka demi mencari sesuap nasi.



Kami pun keluar dari kawasan lapangan terbang. Memang suasana sekitar Siem Reap ini agak tenang. Pembangunan pun agak rancak. Dilihat juga tidak jauh dari lapangan terbang, ibu pejabat polis wilayah (umpama ibu pejabat polis kontingen negeri) yang agak kecil, kalau di Malaysia umpama balai polis sahaja. Namun banyak juga bangunan-bangunan terutama hotel-hotel dibina, sebahagiannya dengan seni bina Kemboja yang unik. Hotel-hotelnya pun besar-besar, menunjukan ekonomi Siem Reap bergantung kepada industri perlancongan.




Destinasi pertama kami adalah menuju ke cawangan bank Maybank Cambodia dan CIMB Bank Cambodia untuk mengeluarkan wang di mesin ATM. Bagi yang mempunyai kad ATM kedua-dua bank ini, anda tidak perlu menukar wang ringgit anda kepada US$ kerana anda boleh mengeluarkannya di Kemboja tanpa caj daripada bank anda di Malaysia dan hanya sedikit caj daripada bank-bank cawangan Kemboja. Contohnya saya mengeluarkan US$100 di CIMB Bank Cambodia cawangan Siem Reap dan hanya dicaj di akaun saya sebanyak RM330.10 sahaja, lebih kurang harga pasaran (lebih sedikit dari harga pengurup wang di Masjid India dan Ampang Park, RM326.00 pada tarikh yang sama). Yang penting aktifkan kad ATM anda untuk pengeluaran luar negara melalui kaedah yang dianjurkan oleh bank seperti di mesin ATM di Malaysia, atau melalui perbankan internet, atau melalui telefon atau kaedah-kaedah lain.



Setelah itu, kami meminta Safy untuk membawa kami minum pagi. Agak samar-samar juga Safy, mungkin kerana bukan budaya Kemboja untuk minum pagi. Saya menjelaskan agar bawa kami untuk minum kopi. Jadi Safy membawa kami ke sebuah restoran bagi tujuan tersebut. DI restoran ini dapat menunjukan keunikannya, iaitu ia kurang meja, tetapi banyak kerusi baring menghadap ke hadapan yang terdapat beberapa televisyen (ada 5 semuanya) yang mempunyai siaran yang lain-lain. Hanya TV di tengah-tengah sahaja digunakan suaranya melalui pembesar suara. Umpama seperti menonton wayang lah. Kami duduk di bahagian belakang kerusi-kerusi ini, iaitu di hadapan kedai dan meminum kopi Kemboja dan teh jasmin Kemboja. Memang ada kick kopinya, tahan mengantuk sampai ke petang.




Selanjutnya, setelah selesai minum, kami di bawa ke jeti tasik Tonle Sap, iaitu tasik semula jadi terbesar di Asia Tenggara. Teringat pula mata pelajaran Geografi dan Sejarah di sekolah dahulu, kini kami akan melihatnya. Perjalanan ke jeti ini kira-kira 8 kilometer ke selatan bandar Siem Reap. Dalam perjalanan, dapat juga keluasan tasik ini melimpah hingga ke hampir ke pinggir bandar Siem Reap. Pokok dan bunga teratai memang saujana mata memandang, terdapat juga anak-anak kecil menjual pohon teratai muda yang mempunyai biji di dalamnya. Safy berhenti dan membeli seikat yang mempunyai 6 pohon. Diberikan kepada kami untuk merasanya. Perlu dikopek kerana yang boleh dimakan adalah bijinya. Agak sedap, biji mudah yang baru peringkat awal masak. Mungkin seperti rasa biji cempedak yang direbus. Dilihat juga rumah budak yang menjual teratai ini berdekatan dengan tempat jualan. Agak daif.





Kami meneruskan perjalanan, terlihat sebuah masjid di sebelah kiri jalan. Saya memberitahu Safy agar semasa pulang agar singgah ke masjid berkenaan.



Akhirnya sampai juga kami ke kawasan jeti tasik Tonle Sap. Jalan ke jeti ini sebenarnya tidak berapa nak elok jika dibandingkan dengan standard jalan raya di Malaysia. Terdapat becak di sebahagian tempat. Teringat pula jalan dari bandaraya Vientiane ke Buddha Park tempoh hari. Tapi kualiti di sini lebih baik.


Tiket untuk menaiki bot ke perkampungan air di tasik Tonle Sap ini berharga US$15 (+- RM50). Diluar bajet kami, jadi kami hanya duduk di sekitar jeti ini. Terdapat kedai cenderahati yang menjual banyak jenis cenderahati di sini. Antara yang unik adalah arak yang botolkan sekali dengan ular dan kala jengking. Difahamkan, sesiapa yang meminum arak ini akan mendapat memulihkan tenaga batin terutama orang lelaki. Nasib baik baik kami tidak minum arak, rasa jijik pun ada. Tidak mengapa, itu fahaman orang lain. Harga cenderahati di sini agak mahal sedikit. Sebagai contoh, sebuah magnet peti ais berharga US$1 atau US$2. Safy memberitahu bahawa kalau beli di pasar malam lebih murah.


Kami berada di jeti itu lebih sedikit daripada sejam. Dapatlah kami melihat pelancong-pelancong pergi dan datang kembali ke jeti. Mungkin lain masa kami akan ke perkampungan air tersebut. Terdapat juga beberapa orang yang kurang upaya, yang dilihat kehilangan anggota badan, sedang mengadakan persembahan muzik tradisional Kemboja. Mereka ini merupakan mangsa peperangan yang telah berlaku pada masa agak panjang di Kemboja. 



Kami seterusnya kembali ke bandar Siem Reap dan singgah ke masjid yang dilihat tadi. Masjid ini bernama Masjid ar-Rafee'ah, terletak di kawasan perkampungan air. Di kawasan masjid ini terdapat juga kelas-kelas mengajar agama. Jadi jika anda ke sini, saya memohon agar jangan kosong-kosong sahaja, bawa sekalilah alat tulis seperti buku tulis, pensel, pen marker papan putih, pemadam dan sebagainya untuk kelas agama ini. Selain memberikan wang tunai, alat tulis tersebut boleh digunakan oleh anak-anak yang hadir ke kelas ini. Semoga aqidah mereka dapat dipertahankan di bumi orang Islam menjadi minoriti ini.




Di masjid ini, kami juga disapa oleh imam masjid ini Imam Ismail dan kira bilal atau siaknya, saya terlupa pula namanya (yang duduk di tengah-tengah di dalam gambar di atas, gambar kelas dan Imam Ismail saya lupa ambil, mohon maaf). Bilal ini agak fasih berbahasa Melayu dan pernah bekerja di Malaysia iaitu di Pasir Gudang dan Kajang selama 5 tahun. Dia ceritakan juga serba sedikit tentang perkampungan ini. Kebanyakannya tidak duduk tetap dan mengikut pasang surut air tasik Tonle Sap. Jika musim kering, maka mereka akan berpindah ke kawasan lain yang mempunyai air. Mereka ini kiranya penduduk miskin kerana tiada tanah. Begitulah serba sedikit. Kami dimaklumkan juga, masjid ini selalu mendapat sumbangan terutama daripada orang Islam Malaysia, alhamdulillah. Jadi saya beriktikaflah di masjid ini.



Seterusnya, kami ke Restoran Thoba Yana untuk makan tengahari. Terdapat makan seperti nasi goreng, mee sup dan sebagainya di sini. Harganya dari US$3.50 (+- RM12.00) ke atas bagi setiap hidangan. Minuman pula dari US$1 (+-RM3.30). Pada mulanya agak kejutan budaya juga. Tapi biasalah, di negara yang Muslimnya adalah minoriti, harga makanan halal agak mahal. Tapi perut perlu diisi. Minuman saya pesan air teh o ais limau, namun ia agak masam. Tapi sekurang-kurangnya inilah rezeki kami, perlu bersyukur, alhamdulillah.




Setelah usai makan tengahari, maka Safy membawa kami ke Muzium Perang Siem Reap. Tiket masuk ke muzium ini berharga US$5 (+-RM17). Ketika kami sampai, cuaca seolah-olah mahu hujan, tapi hanya gerimis sahaja yang turun. Risau juga, kerana muzium ini sebahagian besarnya terletak di kawasan terbuka. Terdapat seorang guide akan menjadi fasilitator menceritakan apa yang dipamerkan. Terdapat senjata-senjata yang digunakan sepanjang perang saudara yang berlaku sejak tahun 1960an hingga awal 1990an. Bukan sekadar senjata ringan, mahal senjata berat seperti kereta kebal, meriam artileri, bom jet pejuang dan sebagainya. Juga cara-cara periuk api yang banyak memangsakan rakyat Kemboja termasuk guide kami, yang merupakan satu masa dahulu seorang anggota tentera Kerajaan Kemboja. Senjata-senjata ini ada yang buatan blok pro Amerika dan juga blok pro Soviet. Paling teruk antara perang itu adalah perang saudara yang mana paling kejam adalah dari puak Khmer Rouge. Dipaparkan juga antara kaedah siksaan yang kejam terhadap tahanan perang.



Sesungguhnya, apa yang diperolehi di muzium perang ini menyedarkan kami betapa teruknya kesan peperangan, dan kita di Malaysia perlu bersyurkur dengan untungnya kita tidak terjerumus dalam perang. Janganlah kita membawa negara kita ke arah peperangan, teruk kesannya. Ini amat menginsafkan kami.




Setelah lebih sejam di Muzium Perang, kami meminta Safy untuk menghantar kami ke penginapan kami, Advisor Angkor Villa untuk daftar masuk. Alhamdulillah, pada mulanya saya ingatkan hotel kami jauh dari bandar, rupanya dekat sahaja. Biliknya pun agak selesa dengan kemudahan televisyen. Malah boleh dapat siaran TV1 dan TV3 Malaysia. Bolehlah untuk tempat melelapkan mata. Saya memesan kepada Safy untuk mengambil kami pada jam 3 petang (ketika itu baru pukul 12 tengahari), untuk kami berehat dahulu.





Pada jam 3 petang, Safy dan sahabatnya hadir untuk membawa kami ke Angkor National Museum. Tiket masuk ke sini adalah US$12 (+- RM40). Ia agak mahal, jadi hanya saya dan Zain sahaja yang masuk. Secara amnya muzium ini hanya memaparkan sejarah-sejarah kompleks Angkor sahaja. Sejarah-sejarah pemerintahan yang pernah memerintah di kawasan sekitar kompleks Angkor ini. Agak kurang berbaloi sebenarnya, kerana lebih baik buat lawatan ke kompleks Angkor sahaja.






Seterusnya kami dibawa Safy ke tempat yang merupakan tempat pembunuhan beramai-ramai atau Killing Field di Siem Reap. Dikhabarkan, kira-kira beribu-ribu rakyat Kemboja yang tidak berdosa dibunuh oleh Regim Khmer Rouge yang diketuai oleh Pol Pot di situ. Terdapat sebuah wat buddha dibuna dan juga sebuah tugu yang tersusun tengkorak-tengkorang mangsa pembunuhan Khmer Rouge dibina di situ. Melihat tugu tersebut, agak seram juga. Seterusnya, kami meminta Safy untuk menghantar kami pulang ke hotel untuk solat maghrib dan Isyak dan meminta mengambil kami pada jam 8 malam untuk makan malam.




Safy ini memang tepat pada masanya. Tepat jam 8 malam, dia telah menunggu kami di depan hotel. Kami dibawa ke Restoran Muslim Family Kitchen. Malam ini kami makan ala-ala nasi hidang. Antara hidangan utama yang kami pesan adalah Beef Climbing Mountain (Lembu Naik Bukit) yang merupakan keistimewaan kedai ini. Selain itu juga, kami merasa Amok yang merupakan lauk yang unik Kemboja. Selain itu sup dan sayur. Lembu Naik Bukit ini dimasak di depan mata kami, dimana daging lembu dimasak bersama sayur, umpama masak BBQ cara Korea. Memang sedap. Nasi juga agak sedap dan boleh tambah secara percuma. Alhamdulillah, nikmat juga rezeki kami. Harga pun agak murah dengan hanya US$21 (+-RM70) bagi makan sebanyak 6 orang.





Usai makan malam, Safy membawa kami ke pasar malam Siem Reap. Sebenarnya terdapat banyak pasar malam di Siem Reap, namun malam ini Safy membawa yang utama dan yang besar. Hendak ke pasar malam ini perlu menyeberangi sungai dengan jambatan. Jambatan-jambatan ini juga pasar malamnya dihiasi lampu-lampu neon yang cantik dan menarik. Kebetulan tidak jauh dari jambatan yang kami naik, terdapat kedai yang diusahakan oleh orang Melayu Champa. Pemiliknya bernama Rixy Syty (Rissi Siti kot). Harganya pun agak murah, contohnya magnet peti ais dijual 4 buah dengan harga US$1 sahaja. Kemeja-T dijual cuma US$2 sahaja. Jadi saya habis di kedai ini sebanyak US$16 (+- RM50) untuk cenderahati. Lagipun membantu saudara sesama Islam. Dikhabarkan cuma ada 3 kedai yang diusahakan oleh orang Islam. Maklumlah Kemboja pun 95% daripadanya orang beragama Buddha dan Muslim cuma 3% atau 4% sahaja.


Dekat dua jam juga kami berpusing-pusing pasar malam ini. Kalau mahu diurut, ada juga kedai khidmat urutan di sini dari harga US$6 (+-RM20) sejam. Agak murah, tapi mungkin akan datang kerana saya risau, duit saya habis pula. Jadi setelah itu, kami pulanglah ke hotel, kerana esok kami akan meneroka kompleks Angkor.



Bersambung ke Hari 2.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.

Tiada ulasan: