Selasa, 9 Disember 2014

Hari 2 (Siem Reap, Kemboja & Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 19 hingga 23 Oktober 2014) - Angkor, Kehebatan Masa Silam Khmer.

Bersambung dari Hari 1.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.


20 Oktober 2014 (Isnin)

Sepatutnya Safy mengambil kami pada jam 5 pagi, iaitu selepas waktu Subuh (4:40 pagi). Ini adalah untuk melihat Angkor Wat pada waktu matahari terbit. Tapi apakan daya, pada waktu tersebut, hujan amat lebat turun. Safy berkata semalam, jika tidak hujan, dia dan rakannya akan mengambil kami pada jam 5 pagi, namun jika hujan, dia akan ambil jam 8 pagi. Maka kenalah kami tunggu jam 8 pagi untuk melawat kompleks Angkor.


Safy dan rakannya telah ditiba di depan hotel sebelum pukul 8 pagi lagi. Barulah kali ini saya dapat mengambil gambar tuktuknya. Sebelum itu, saya bersarapan di hotel dengan telur goreng dan roti bakar, bolehlah untuk alas perut. Sambil itu, saya melihat juga orang Kemboja bersarapan pagi di kedai di hadapan hotel. Makan sup (dengan mee atau kosong) dan dimakan dengan roti seperti chakoi. Begitu caranya orang Kemboja bersarapan. Nak juga makan bersama tapi was-was dengan kehalalannya yang memang tidak halal.



Maka kami pun bergerak ke hotel menuju ke kompleks Angkor. Semasa perjalanan, kelihatan ramai juga pelancong menunggang basikal untuk ke kompleks Angkor. Selang 10 minit, Safy memberhentikan tuktuknya, dan kami perlu membeli pas di kaunter jualan pas terlebih dahulu. Memang amat ramai sekali pelancong-pelancong di sini. Setiap orang perlu beratur kerana gambar pembeli pas akan diambil dan dicetak pada pas tersebut. Terdapat 3 jenis pas dijual iaitu pas sehari bernilai US$20 (+-RM66) yang membolehkan pemegang pas pergi ke semua tempat di kompleks Angkor (jika boleh) dalam masa sehari. Pas seterusnya adalah pas 3 hari berharga US$40 (+-RM132) yang mana ia boleh digunakan mana-mana 3 hari dalam seminggu ke semua tempat di kompleks Angkor. Pas ketiga adalah pas 7 hari berharga US$60 (+-RM198) yang boleh digunakan mana-mana 7 hari dalam masa sebulan. Kami cuma mengambil pas sehari sahaja.





Setelah mendapatkan pas kami, terus kami ke tempat pertama iaitu Angkor Wat yang merupakan tarikan utama dan kompleks yang terbesar. Memang ramai pelancong di sini. Akhirnya tercapai cita-cita saya untuk ke sini. Saya memang bercita-cita untuk ke sini sejak sekolah lagi.












Terdapat juga beberapa tempat yang tidak dibuka kerana masih dalam pembaik-pulihan. Kami juga mendaki ke tempat paling tinggi di Angkor Wat ini. Sebenarnya Angkor Wat ini sebenarnya merupakan sebuah wat atau rumah ibadat. Malah dikatakan ia merupakan wat untuk permakaman raja-raja Angkor kerana pintu masuknya di sebelah barat, yang merupakan simbol kematian lagi Angkor. Hendak mendaki pun sebenarnya memerlukan tenaga dan kekuatan mental kerana tangganya agak curam.

Sebaiknya, kalau hendak melawak kompleks Angkor ini, tidak perlu membawa anak-anak kecil jika boleh, kerana untuk menjelajahi kawasan ini agak luas, juga terdapat kawasan yang agak berbahaya untuk anak-anak kerana tangga yang curam atau tempat yang tinggi. Lagipun kawasan ini mempunyai patung-patung serta ia adalah kuil, lebih-lebih lagi kuil bagi menghormati kematian seperti Angkor Wat. Jadi, sebaiknya rombongan kita tiada anak-anak kecil. Jika nak bawa pun, bawa yang boleh menjaga diri mereka.






Agak lama juga kami di sini, lebih kurang dekat 3 jam. Itu pun tidak semuanya dapat dilitupi. Di dalam kompleks Angkor Wat ini juga terdapat tempat jual cenderahati, tapi harganya tetap mahal sedikit daripada pasar malam. Namun terdapat juga budak-budak kecil yang menjual cenderhati yang berkeliaran di dalam Angkor Wat. Jika pandai menawar, boleh dapat harga murah sebagai contoh US$1 boleh dapat 5 buah magnet peti ais.


Kami seterusnya ke kawasan  Angkor Thom pula. Angkor Thom ini lebih besar tapi dari segi binaan lebih kecil dari Angkor Wat. Di Angkor Thom ini juga sebenarnya ibu negeri bagi kerajaan Angkor. Kami di sini kira-kira dua setengah jam.








Seterusnya kami ke Ta Prohm iaitu  lokasi pergambaran filem Tomb Raider : Cradle of Life yang dilakonkan oleh Angelina Jolie. Adalah dalam 45 minit di sini. Perasan menjadi Lara Croft jap, hehehe...








Paling menarik pada pendapat saya adalah patung Buddha yang dilindungi oleh akar pokok. Memang menarik.



Setelah selesai, tiga kompleks wat di kompleks Angkor dijelajahi, kami pun kembali ke bandar Siem Reap untuk makan tengahari. Cukuplah tiga, kerana itu pun sudah memakan tenaga. Mungkin yang lain akan dijelajahi di lain masa.

Untuk makan tengahari kami sebenarnya hendak ke sebuah restoran lain namun ia tutup dan kami ke Restoran Muslim Family Kitchen. Memang ramai juga orang Malaysia yang makan di sini. Jumlah keseluruhan makan tengahari kami hari ini sebanyak US$15 (+- RM50), kiranya seorang cuma RM8.50 sahaja.


Seterusnya, selepas makan, Safy membawa kami bersiar-siar di sekitar bandar Siem Reap ini. Sempatlah kami ke Pasar Lama Siem Reap untuk beli beberapa barang. Sambil itu, terjumpa jeep lama tentera Amerika. Sempat juga bergambar dengan jeep itu. Seterusnya, kami kepenatan dan meminta Safy untuk menghantar kami pulang dan kembali mengambil kami pada pukul 7:30 malam untuk menyaksikan persembahan kebudayaan pula malam nanti.

Sampai di hotel, setelah solat jamak qasar, kami pun tidur menghilangkan kepenatan.





Malam itu, setelah selesai solat, Safy pun membawa kami ke Restoran Koulan, yang sebenarnya tidak berapa jauh dari hotel untuk persembahan kebudayaan. Kami perlu membayar US$6 (+- RM20) seorang untuk persembahan tanpa makan dan minum. Kami memilih tanpa makan dan minum kerana makanan di restoran ini tidak halal sebenarnya. Jadi kami di persembahkan dengan 5 jenis tarian selama hampir sejam. Paling menarik bagi saya adalah tarian Apsara yang merupakan tarian tradisional yang agak sukar untuk ditarikan. Kelihatan juga ia seperti tarian Makyong di Kelantan.







Selesai persembahan, kami ke Restoran Thoba Yana untuk makan malam. Kali ini kami memilih untuk makan di tingkat atas, iaitu makan secara bersila. Selepas makan, yang lain mahu berjalan-jalan ke pasar malam lain, namun saya sudah penat dan meminta Safy hantarkan pulang. Sebelum itu, saya serahkan US$15 kepada Zain untuk bayaran perkhidmatan tuktuk Safy selama 2 hari. Sepatutnya cuma bayar US$13 sahaja namun yang selebihnya adalah token tanda penghargaan khidmat terbaik Safy sepanjang dua hari. Semasa selesai dihantar ke depan hotel, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Safy atas khidmat dia yang terbaik. Saya mengatakan bayaran akan dibuat oleh Zain. Semoga dapat berjumpa dengan Safy sekali lagi.


Setelah sampai ke bilik, saya pun terus tidur, kerana esoknya perlukan tenaga demi perjalanan yang jauh iaitu 14 jam dengan menaiki bas.

Bersambung ke Hari 3.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; or 
  • Day 5.

Tiada ulasan: