Selasa, 9 Disember 2014

Hari 3 (Siem Reap, Kemboja & Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon), Vietnam - 19 hingga 23 Oktober 2014) - Duduk Dalam Bas Selama 14 Jam!.

Bersambung dari Hari 2.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; or 
  • Day 5.



21 Oktober 2014 (Selasa)

Pada pagi ini, saya terbangun awal. Mungkin disebabkan saya haus dan bekalan air minuman saya telah habis, maka saya ke kedai serbaneka yang berdekatan dengan hotel untuk membeli air minuman. Di Siem Reap ini dan juga di bandar-bandar utama di Kemboja, barang yang lebih US$1 akan menggunakan matawang US$ manakala barang yang kurang US$1 akan menggunakan matawang Riel Kemboja (KHR atau
 ). Sebenarnya sudah beberapa urusniaga saya mendapat wang Riel ini. Jadi ini antara transaksi yang saya dapat wang Riel. Duit syiling US$ adalah tidak laku. Wang Riel Kemboja ini pun sebenarnya tidak laku di luar negara Kemboja. Jadi baik habiskan wang Riel jika ada.


KHR 100 = +- 4 sen Malaysia

KHR 500 = +- 20 sen Malaysia

KHR 1000 = +- 40 sen Malaysia

KHR 2000 = +- 80 sen Malaysia

Balik dari kedai serbaneka saya bersolat berapa solat sunat sementara menunggu waktu subuh. Setelah saya membersihkan diri dan solat subuh, saya mengejutkan Zain dan menyiapkan beg saya, kerana hari ini kami akan menaiki bas yang dijangka akan mengambil selama 14 jam. Shuttle daripada syarikat Mekong Express akan mengambil kami pada pukul 6:30 pagi ke atas. Lupa pula nak maklum, ketika daftar masuk hotel, saya memohon untuk menghantar kami ke stesen bas, kerana pihak hotel ada menyediakan pengangkutan percuma dari dan ke lapangan terbang dan stesen bas. Kebetulan syarikat Mekong Express ini juga menyediakan shuttle untuk mengambil penumpang-penumpang dari hotel sekitar. Maka pihak hotel telah menguruskan pengangkutan ini.


Kami daftar keluar seawal 6:15 pagi, namun tidak sempat untuk menunggu sarapan pagi yang disediakan hotel mulai jam 7 pagi. Nasib baik ada beli roti kosong pada malam sebelumnya. Bas shuttle sampai di depan hotel pada jam 6:45 pagi, agak lambat sedikit. Namun ketika itu, langit mulai mendung. Shuttle itu kemudian mengambil beberapa penumpang di beberapa hotel lagi. Dalam perjalanan ke stesen bas, hujan yang amat lebat turun, kira memberikan rahmat kepada kami. Kira untung juga sepanjang dua hari lepas di Siem Reap, waktu siang tidaklah selebat ini hujannya, hanya sekadar gerimis, namun hari ini agak lebat.

Kami sampai di stesen bas Siem Reap yang agak jauh dari pusat bandar, kira-kira 6 kilometer pada jam 7:25 pagi. Kami segera membuat pertukaran daripada cetakan emel kami kepada tiket sebenar. Alhamdulillah semua tiket ada kecuali tiket Akmal yang ada sedikit masalah pada sistem, maka Akmal terpaksa menggunakan cetakan emel sebagai tiket. Kesihan, tiada tiket yang dapat dijadikan sebagai cenderahati dapat dibuat oleh Akmal. Di bawah saya sertakan contact Mekong Express kepada yang berminat. Ia bukan ada di Siem Reap sahaja, malah di serata Kemboja dan Vietnam.

 



Jam 7:50 pagi, dalam keadaan hujan lebat, maka bergeraklah bas kami meninggalkan stesen bas Siem Reap menuju ke ibu negara Kemboja, Phnom Pehn. Semasa awal perjalanan, kami berenam yang menempah tiket menggunakan internet telah diberikan bekal yang mana tidak diberikan kepada pembeli tiket biasa. Namun bekal ini tidak boleh dimakan kerana ia merupakan daripada daging babi. Semua penumpang juga diberikan air minuman. Sepanjang perjalanan, terdapat seorang petugas yang akan sentiasa memaklumkan sebarang makluman yang penting kepada penumpang. Bagus juga kaedah ini, seolah-olah menghargai penumpang.




Setelah jalan yang agak baik selama dua jam, maka bas ini berhenti di pekan Kompong Thom untuk berehat selama setengah jam. Kami hanya dapat menggunakan tandas sahaja di restoran tersebut. Oleh itu, saya dan Halim segera ke kedai serbaneka di sebuah stesen minyak untuk membeli snek, kerana kami tidak bersarapan lagi. Takkanlah hendak makan snek serangga seperti di bawah ini kan. Rupanya, banyak snek-snek dan biskut-biskut di Kemboja diimport dari Malaysia. Kami membeli 2 pek biskut tawar dan gula (setiap satu berharga US$2 (+- RM7)) untuk mengalas perut kami. Selepas setengah jam, bas pun bergerak.




Sebaik sahaja bergerak meninggalkan Kompong Thom, jalan berubah dari baik kepada tidak baik selama 5 jam sehingga hampir sampai ke Phnom Penh. Kadang-kadang sudah tidak tahu mana lorong sebenar (sepatutnya kami mengambil lorong kanan), kadang-kadang kami berada di kiri jalan. Jalan penuh becak, dan warna kenderaan pun bertukar mengikut warna tanah. Tidak tahulah keadaan semasa musim kering, mesti berdebukan.




Sepanjang perjalanan juga dapat diperhatikan rumah-rumah orang Kemboja agak tinggi daripada tanah, kira-kira bolehlah buat dua tingkat rumah di Malaysia. Ini mungkin kerana kawasan ini selalu banjir akibat limpahan tasik Tonle Sap. Juga ada juga budaya yang berbeza yang unik, contohnya pada gambar di bawah, yang tergantung pada lori pick-up itu adalah ayam hidup.



Akhirnya sampai juga kami ke Phnom Penh, sebelum tiba di stesen pertukaran bas, kami ada ternampak sebuah masjid yang kubahnya seperti Masjid Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Kira ada juga penduduk Islam di bandaraya Phnom Penh ini.



Kami hanya berhenti sekejap sahaja. Hendak solat pun tidak sempat kerana tiada ruang solat, hanya sempat mengambil wuduk sahaja. Lagipun sebenarnya bas kami ini tiba lambat. Kami tiba pada jam 2:30 petang, sepatutnya pada sejam lepas sudah sampai. Bas ke Saigon pula sepatutnya telah berlepas pada jam 2:00 petang. Jadi kami terus ke kaunter untuk urusan tiket dan menyerahkan pasport kami untuk pentadbiran, kerana nanti kami akan menyeberangi sempadan antarabangsa. Kami bersolat secara duduk di atas kerusi bas yang kebetulan mengadap kiblat. Pada jam 3:00 petang, bas kami ke Saigon (Bandaraya Ho Chi Minh) pun bergerak meninggalkan stesen bas.






Kami melalui tengah-tengah pusat bandaraya Phonm Pehn. Dari dalam bas sahajalah kami dapat ambil gambar Istana DiRaja (Royal Palace), Tugu Kemerdekaan dan sebagainya. Kami juga sempat melihat Kedutaan Malaysia selepas itu. Diperhatikan juga banyak syarikat-syarikat Malaysia terutama bank, kehadirannya nampak di bandaraya ini seperti Maybank, CIMB, RHB, Public Bank dan Hong Leong Bank.






Setelah setengah jam, maka kami melepasi pinggir bandaraya Phnom Pehn ini. Salam sayup-sayup itu, saya terlihat sebuah loji penapis minyak yang mempunyai logo yang dikenali. Ia terpapar logo Petronas. Memang bangga, kerana banyak syarikat negara kita membantu dalam pembangunan ekonomi di Kemboja ini.




Selepas sejam, kami sampai Neak Loeung untuk menaiki feri menyeberangi Sungai Mekong. Seperti diberikan layanan VIP, bas kami masuk melalui laluan khas dan memasuki bot feri tanpa perlu beratur dengan kenderaan lain. Setelah feri ini penuh, maka ia terus meneruskan perjalanan.


Terlihat jambatan yang belum siap, tidak tahulah bila siap, adakah lagi pengalaman menaiki feri ini.




Perjalanan feri ini hanya sekejap sahaja dalam masa sepuluh minit sudah sampai ke pekan Neak Loeung di seberang. Setelah bas kami berada di darat, ia meneruskan perjalanan menuju ke pekan sempadan iaitu Bavet. 



Setelah sejam setengah berjalan, akhirnya kami sampai ke Bavet, dan berhenti di sebuah restoran untuk berehat selama setengah jam. Kami mengambil kesempatan ini untuk membuang air (walaupun dalam bas terdapat tandas). Seperti biasa, hendak makan, makanan yang dijual adalah tidak halal. Saya, Akmal dan Abe mengambil kesempatan untuk bersolat jamak qasar Maghrib dan Isyak dengan sejadah yang saya bawa bersama. Betul-betul selepas Abe selesai solat, bas kami bergerak menuju ke kompleks imigresen Kemboja di Bavet. Dalam perjalanan dapat diperhatikan lori-lori kontena berbaris untuk memasuki sempada dengan Vietnam. Juga diperharikan, banyak kasino ada di Bavet ini.



Sampai sahaja di pintu sempadan sebelah Kemboja, petugas bas Mekong Express memberitahu prosedur yang perlu kami ikuti. Semua pasport diambil dan kami perlu menunggu pasport kami dahulu barulah kami perlu ke kaunter imigresen. Rupa-rupanya pasport kami dicop dahulu dan ke kaunter hanya untuk ambil gambar muka dan juga cap jari kesepuluh-sepuluh jari kami. Memang cekap perkhidmatan oleh Mekong Express. Akhirnya secara rasmi, kami telah keluar dari negara Kemboja ini.




Seterusnya, bas kami membawa kami ke bahagian Vietnam pula yang dinamakan sebagai Moc Bai iaitu pekan terdekat dengan pintu sempadan sebelah Vietnam. Sekali lagi pasport kami diberikan kepada petugas bas. Kami kemudian perlu masuk ke dalam bangunan imigresen bersama-sama segala beg kami. Di situ kami menunggu nama kami dipanggil. Rupanya kami tidak diperiksa, kerana semasa kami mengambil pasport kami, kami terus diarahkan ke kawasan kastam. Di situ saya melihat pasport kami, dan ia telah dicop masuk ke Vietnam. Maka kira lengkaplah 10 negara ASEAN yang telah saya jejaki. Alhamdulillah. Setelah cukup kami berenam, kami membawa beg kami untuk diimbas oleh pihak kastam dan kembali kepada bas kami. Setelah lebih sedikit daripada sejam, urusan sempadan Kemboja dan Vietnam berjaya diselesaikan tanpa sebarang masalah.


Selepas itu, perjalanan bas pun diteruskan dan dalam masa 45 minit telah sampai ke Bandaraya Ho Chi Minh ataupun lebih dikenali dengan nama lamanya Saigon. Setelah lebih sedikit 13 jam berada di dalam bas dari Siem Reap, akhirnya sampailah kami di kawasan Pham Ngu Lao yang merupakan kawasan tumpuan bagi backpackers. Kami perlu berjalan lagi 500 meter untuk ke hostel kami iaitu Budget Saigon Hostel. Sampai sahaja di hostel, ianya tutup! Dan terdapat satu mesej untuk saya, menyuruh ke tempat baru. Rupa-rupanya hostel ini baru sahaja terbakar baru-baru ini, dan kami di pindahkan ke rumah empunya hostel ini.



Sampai sahaja kami di hostel yang baru itu, terus kami daftar masuk dan segera meletakan beg kami. Mana yang belum solat, kami tunggu mereka bersolat dahulu. Setelah itu, kami segera ke kawasan sekitar pasar Ben Tanh, dengan tujuan utama untuk makan terlebih dahulu dan keduanya ingin mencari pakej termurah untuk kami ke Cu Chu Tunnel dan Delta Mekong di My Tho dalam hari yang sama.



Kami ke restoran Serai atas cadangan Zain untuk makan dan di sini kami habiskan 435 000 (+- RM72.00). Seterusnya kami mencari pakej lawatan, tapi banyak kedai dah tutup dan kalau ada pun paling murah US$45 setiap orang  dan katanya susah untuk buat dalam masa sehari. Kalau ada pun kami hendak pergi ke Cu Chi Tunnel sahaja, dan itupun dicaj US$10 setiap orang. Jadi saya dan Akmal beri cadangan, untuk pergi ke Cu Chi Tunnel dengan kaedah bajet.


Hendak jalan-jalan di pasar malam sudah lambat, pasal pada ketika itu sudah melepasi pukul 11:00 malam, dan banyak gerai dah bersiap untuk tutup. Maka kami pun pulang ke hostel untuk membersihkan diri dan tidur.

Bersambung ke Hari 4.

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; or 
  • Day 5.

Tiada ulasan: