Khamis, 8 Januari 2015

Hari 5 (Sumatera Utara, Aceh & Riau, Indonesia - 20 hingga 25 Disember 2014) - Medan Penantian.

Bersambung dari Hari 4.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or  
  • Day 6.

24 Disember 2014 (Rabu)

Bas berhenti untuk solat antara selepas sempadan provinsi Aceh dan Sumatera Utara dan sebelum sampai di Pangkalan Beradan pada jam di tangan saya menunjukan pukul 6:15 pagi. Kepala saya masih pening-pening akibat aroma asap rokok keretek yang dilepaskan di dalam pendingin hawa bas. Sebenarnya sudah lewat juga subuh ini kerana cahaya matahari mulai menampakan sinarnya. Saya ke tandas untuk membuang apa yang patut dan membersihkan diri sedikit. Tetapi tandas masjid sedikit sahaja. Memang masjid ini agak kecil dan sempit, dan ia terletak betul-betul di bahu jalan. 

Terpaksa menunggu untuk menggunakan tandas. Apabila sebuah tandas telah kosong, saya masuk dan terlihat di lubang tandas, najisnya tidak dijirus, dan terus, wweeekkk, saya termuntah. Pertama kali dalam hidup saya, saya muntah akibat mabuk perjalanan. Atau sebenarnya saya muntah kerana kegelian. Entahlah. Agak banyak juga muntah yang keluar, habis makan malam saya. Selepas itu saya mendapat kelegaan, alhamdulillah. Dijirus tinggalan saya dan terus saya keluar, mengambil wuduk dan solat Subuh. Usai sahaja, saya terus menaiki bas, selang 5 minit kemudian, bas pun mula bergerak menuju ke Medan.

Saya kepenatan akibat muntah tadi, dan melelapkan mata, lambat lagi hendak sampai, kurang-kurang dua jam lagi. Tapi mata tidak boleh tidur. Pekan Pangakalan Beradan, Tanjung Pura, Stabat (juga dikenali sebagai Langkat) dan Kota Binjai dilepasi. Selepas melepasi Kota Binjai, jalan sudah mula sesak menunjukan sudah hampir sampai ke Medan. Namun perjalanan dari Kota Binjai ke terminal bas Pusaka mengambil masa hampir sejam setengah. Kami sampai di terminal bas Pusaka pada jam 9:15 pagi. 

Turun sahaja di terminal bas, kami mencari tempat untuk berehat. Di terminal ini terdapat juga kemudahan untuk membersihkan diri. Kami bergilir-gilir mandi dan menjaga beg-beg kami. Selepas mandi, perlu memberikan sedikit wang kepada penjaga, dalam kes mandi, perlu bayar Rp3000 (+- RM1.00). Semasa saya keluar, rupanya Pak Darwis dan isterinya telah sampai. Isteri Pak Darwis memberikan kami hasil tangan kerja kaum wanita di kawasan perkampungan tempat mereka duduk, iaitu serbuk halia segera, yang boleh dicampurkan ke dalam minuman. Dalam labelnya ditulis JAHE INSTAN. Jahe adalah halia di dalam Bahasa Indonesia.

Memandangkan jalan di hadapan terminal bas Pusaka ini tidak banyak angkot lalu, Pak Darwis menghantar kami ke jalan yang ada banyak perkhidmatan angkot. Mula-mula dibawa Azmi, kemudian saya, Pak Nasir baru isterinya menaiki kereta eh silap motorsikalnya. Jangan keliru, di Medan mereka memanggil motorsikal itu sebagai kereta, kereta itu sebagai mobil atau motor. Jadi boleh keliru juga kita, huhuhu.

Kemudian kami mendapat angkot, dan kami berpisah dengan Pak Darwis dan isterinya di situ. Kami meminta angkot itu menghantar kami ke terminal bas Makmur, untuk mendapatkan perkhidmatan bas ke Dumai. Perjalanan mengambil masa kira-kira dua jam untuk sampai. Di sini kami melalui beberapa jalan yang sesak dengan kenderaan. Disiplin lalu lintas jangan cakaplah. Dengan angkot yang tiada penghawa dingin dan penumpang selang turun naik dan apabila penuh, tempat agak sempit, bersabarlah kami. Jadi saya tidak hairan kenapa beza perangai orang Indonesia di Malaysia, kerana penghidupan mereka di Indonesia memang sebegini.

Kami melalui beberapa kawasan di kota Medan seperti kampus Universitas Sumatera Utara (USU), pusat membeli-belah Carrefour, kembali ke kawasan Padang Bulan dan akhirnya sampai juga ke terminal bas Makmur yang terletak di kawasan Amplas.


Kesesakan lalu-lintas di Medan.


Kami sampai di terminal bas Makmur pada jam 12:00 tengahari, sejurus sebelum azan Zohor. Terus ke loket (kaunter) bas, dan mendapatkan bas ke sana. Terdapat beberapa perkhidmatan dari pukul 4:00 petang ke pukul 9:00 malam. Kami mendapat bas pukul 6:00 petang, alhamdulillah. Namun perkhidmatan kami itu adalah perkhidmatan ekonomi, yang mana bas kami tiada penghawa dingin. Alamak, macam mana ni, dah lama tidak rasa bas tiada pendingin hawa. Lagilah kuat orang Indonesia ini merokok. Ini kerana pemerhatian bebas yang saya buat, kira-kira 75% lelaki dewasa Indonesia, tidak termasuk remasa awal belasan tahun, adalah perokok. Tidak mengapalah, asalkan dapat bas. Tambang yang kami dapat adalah Rp145ribu (+- RM44).


Pak Nasir bertanyakan kepada saya, hendak ke kita pergi ke Istana Maimun atau tempat-tempat lain di Medan. Saya rasa tidak mahu lagi hendak mengharungi kesesakan lalu lintas Medan lagi. Tidak mengapalah tiada cenderahati. Jadi kami duduk sahaja di terminal bas itu sehingga bas bertolak. Kira-kira enam jam juga kami di situ. Kami rehat & tidur di tempat duduk di situ. Solat terdapat surau (tetapi bahagian lelaki dan wanita hanya dipisahkan dengan sekeping papan sahaja. Masjid pun ada dekat terminal ini. Terdapat juga kantin. Jadi agak selesa juga menunggu di sini.


Akhirnya tiba masa kami berangkat. Bas kami meninggalkan terminal bas pada jam 6:15 petang tanpa menunggu solat Maghrib. Saya berdoa agar adalah berhenti untuk solat. Sembang-sembang dengan orang tempatan, perjalanan sejauh 450 kilometer ini mengambil masa selama 12 jam juga. Huhuhu, memang kematu punggung, kerana ini perjalanan lebih 12 jam ketiga dalam masa 5 hari kami di Sumatera ini. Memang patutpun lambat, pasal jalan utama di Sumatera ini adalah Jalan Lintas Sumatera yang kebanyakannya hanya dua lorong (selorong sehala) dan banyak penempatan ada di bahu jalan ini. Semua kenderaan, dari motorsikal, kereta, lori kontena dan trailer melalui jalan ini. Juga, pemandu suka menekan hon, kerana di sini hon bermaksud saya di sini, sila bagi laluan, harap maklum.

Hendak lepas Medan pun ambil masa dekat dua jam (iaitu hendak sampai ke simpang ke Lapangan Terbang Kualanamu). Jadi saya cuba tidur dengan kebingitan bunyi hon, bau asap rokok kretek dan kadang-kadang air hujan yang masuk melalui lubang udara di bumbung dan tingkat bas. Namun saya cuma boleh tidur-tidur ayam sahaja. Lagipun bas ini tidak disediakan selimut.


Pada pukul 10:30 malam, kami sampai di Simpangampat, di mana bas berhenti untuk berehat. Alhamdulillah, di dalam sebuah restoran Minang, terdapat surau, dapat saya laksanakan solat. Di sebelah surau terdapat juga tandas. Seperti biasa, perlu diberikan sumbangan walaupun kemudahan ini di dalam restoran.

Setengah jam kemudian, bas meneruskan perjalanan menuju ke Dumai. 


Akan bersambung ke Hari 6.


Jika ingin membaca catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Journey
  • Itinerary; 
  • Day 1 Part 1 
  • Day 1 Part 2; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5 (this part); or  
  • Day 6.

Tiada ulasan: