Selasa, 16 Mei 2017

Hari 3 Bahagian 1 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Tenang di Lawas & Temburong.

Bersambung dari Hari 2 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1 (this part);
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.

Jambatan merentangi Sungai Temburong di pekan Bangar, Temburong, Brunei.


Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).

Hari 3 (30 April 2017 - Ahad) Bahagian 1.

Oleh kerana keadaan bilik hotel yang agak selesa dan juga akibat kepenatan kerana boleh dikatakan hampir 2/3 masa saya yang membawa kereta, maka saya terbangun lewat. Saya bangun pada pukul 5:30 pagi. Mungkin jika di Semenanjung Malaysia, dia dikira awal, belum azan Subuh lagi, tetapi di Sarawak ini terutama di Lawas iaitu bahagian paling timur di Sarawak, ia adalah sudah lambat untuk Subuh, kerana Subuh di Lawas sekitar pukul 4:25 pagi. Buka tingkap, langit sudah warna biru!

Apa lagi saya pun bergegas mengejutkan Abang Zul, membersihkan diri dan kemudian solat. Alhamdulillah sempat juga. Kemudian saya menelefon Deddy dan Pak Nasir di bilik lain, rupanya mereka pun hanyut juga. Nasib baik, kalau tidak Subuh gajah mereka tu. Selepas itu, sempat juga saya membuat FB Live


Di Hotel Seri Malaysia Lawas ini, masa untuk sarapan pagi bermula dari pukul 6:00 pagi sehingga pukul 10:00 pagi. Agak awal juga dan juga agak lama juga. Jadi pada pukul 6:30 pagi barulah kami turun untuk bersarapan pagi. Makanan sarapan di coffee house hotel ini biasa-biasa sahaja, lebih kurang macam rangkaian Hotel Seri Malaysia lain juga. Janji mengenyangkan, alhamdulillah.

Setelah usai bersarapan pagi, kami naik semula ke atas ke bilik untuk berehat sebentar dan kami hanya keluar mendaftar keluar pada pukul 7:30 pagi. Destinasi pertama adalah di depan hotel sahaja, iaitu Tebingan Sungai Lawas. Memang cantik permandangan tepi sungai ini. Juga berhampiran, terdapat sebuah tugu seekor kerbau yang merupakan maskot bagi Lawas.

Tat kala kami asyik mengambil gambar di sekitar kawasan Tebingan Sungai Lawas ini, tiba-tiba sebuah pesawat Twin Otter MASWings terbang di atas Sungai Lawas, di hadapan mata kami, betul-betul tidak jauh dari atas kepala kami (maaf tidak sempat untuk mengambil gambar dan video). Jadi kami seterusnya terus ke Lapangan Terbang Lawas yang terletak kira-kira 2 kilometer dari situ untuk melihat operasi pesawat Twin Otter yang merupakan perkhidmatan kawasan luar bandar (Rural Area Services - RAS) MASWings. Maklumlah, semua kami memang tidak pernah melihat apatah lagi menaiki pesawat kecil ini.


Fajar menyingsing di Lawas, Sarawak.

Keindahan fajar di Lawas, Sarawak.

Lagi fajar menyingsing di Lawas, Sarawak.

Suasana di Tebingan Sungai Lawas.

Lagi suasana di Tebingan Sungai Lawas.

Hotel Seri Malaysia Lawas.

Mercu tanda ebingan Sungai Lawas.

Tugu seekor kerbau berdekatan Tebingan Sungai Lawas.

Sampai di Lapangan Terbang Lawas, memang kecil sahaja bangunan terminalnya, namun ruang parkirnya agak banyak juga. Sangat kecil, umpama sebuah stesen bas di pekan kecil sahaja. Dewannya hanya ada satu sahaja, tetapi terdapat 2 bilik yang setiap satunya menjadi bilik ketibaan dan bilik berlepas. Juga terdapat satu kaunter sahaja, iaitu kaunter perkhidmatan MASWings di tengah-tengah dewan.

Menarik sekali, di kaunter tersebut mempunyai sebuah alat penimbang besar. Rupanya, fungsinya bukan untuk menimbang bagasi, yang mempunyai alat timbang elektronik, namun ia adalah untuk menimbang penumpang. Ini kerana pesawat Twin Otter mempunyai had muatan maksima yang meliputi semua lapan penumpang, dua orang juruterbang dan juga muatan barangan termasuk bagasi. Saya terlupa hadnya, tetapi memang tidak boleh melebihi had tersebut, jika terlebih, maka memang pesawat ini tidak boleh terbang.

Pada hari tersebut, terdapat tujuh penerbangan yang akan mendarat dan berlepas dari lapangan terbang ini, enam darinya adalah dari dan ke Miri dan satu penerbangan sebelah pagi dari dan ke Limbang. Kemudahan agak lengkap juga dengan kaunter imigresen juga ada, dan terdapat mesin pengimbas logam di pintu masuk ke bilik berlepas. Keselamatan juga dititik beratkan juga walaupun lapangan terbang yang kecil.

Terdapat juga sebuah kantin di hujung bangunan terminal ini, di mana di sini memang jelas dapat melihat suasana di atas tarmac apron dan landasan terbang lapangan terbang ini. Memang nampak jelas pesawat Twin Otter yang sedang diselenggara bagi penerbang semula ke Miri. Saya juga ternampak, sebuah jentera bomba yang agak kecil berbanding jentera bomba lapangan terbang lain yang pernah saya lihat. Juga sebuah helikopter milik Sabah Air, yang parkir di hujung apron.

Saya sempat melihat operasi pelepasan penumpang yang menaiki pesawat ini, dan kemudian dua puluh minit selepas mendarat, ia mula berlepas meninggalkan bumi Lawas ini menuju ke Lapangan Terbang Miri pula. Memang ini pengalaman yang mengujakan saya. Memang sukar untuk saya lupakan, dan saya berharap, saya dapat menaiki pesawat Twin Otter tersebut pada satu hari nanti, insya Allah.

Lapangan Terbang Lawas.

Suasana di dalam Lapangan Terbang Lawas.

Jadual penerbangan di Lapangan Terbang Lawas.

Kelihatan pesawat Twin Otter dari kaunter urusan MASWings.

Plak perasmian Lapangan Terbang Lawas.

Balai berlepas Lapangan Terbang Lawas.

Kantin Lapangan Terbang Lawas.

Harga di kantin Lapangan Terbang Lawas.

Sebuah helikopter Sabah Air yang parkir di tarmac Lapangan Terbang Lawas.

Jentera bomba lapangan terbang di Lapangan Terbang Lawas.

Pesawat Twin Otter yang sedang mengambil penumpang.

Pesawat Twin Otter MASWings berlepas dari Lapangan Terbang Lawas.


Selepas selesai di Lapangan Terbang Lawas, maka kami pun berpatah balik ke bandar Lawas dan kami melawat Pasar Besar Lawas ini untuk melihat kegiatan ekonomi yang unik dan istimewa di Lawas ini. Pertamanya, yang menarik, terdapat bangunan yang berasingan untuk pasar menjual daging babi. Inilah yang sepatutnya. 

Kemudian kami ke bangunan utama. Memang banyak barangan yang biasa dilihat seperti sayur-sayuran dan ikan-ikan biasa di dapati, namun ada yang unik juga. Saya terjumpa dengan penjual yang menjual rumpai laut. Ini termasuk juga rumpai laut "latop" yang berbentuk seperti anggur. Rumpai air ini memang kegemaran saya, saya belajar makan pun ketika di Kota Kinabalu beberapa tahun dahulu. Saya membeli dua piring, di mana sepiring berharga RM2.00 sahaja, agak murah dan bayak juga. Peniaga itu memang teruja melihat saya, orang Malaya (Semenanjung Malaysia) pandai memakan latop ini. Saya membeli dua piring kerana satu untuk saya dan satu lagi untuk saya bawa pulang untuk isteri saya. Sebenarnya ia tidak berapa tahan untuk disimpan lebih sehari kerana "buah"nya akan meletup dan mengeluarkan air, menjadikan ia lecuh dan tidak lagi rangup. Tapi saya bawa juga kerana ia murah (alhamdulillah walaupun sebahagian lecuh, tetapi masih boleh dimakan, jadi terubat keidaman isteri saya yang sudah lama tidak makan latop ini.

Secara amnya, harga barangan di pasar ini lebih kurang seperti harga di Kuala Lumpur. Hairan juga, kerana laut tidaklah jauh sangat dari Lawas ini dan bumi Lawas ini subur, sesuai ditanam sayur-sayuran.

Kemudian, kami ke tingkat atas untuk minum pagi. Kami pergi ke sebuah kedai untuk meminum kopi yang dikatakan sedap. Apa lagi, saya meminta air kopi o dan ini diikuti oleh Deddy dan Abang Zul, Pak Nasir sahaja yang minum air teh o. Memang sedap, kerana ia adalah kopi Tenom yang masih segar. Bertambah sedap lagi, melihat anak gadis pemilik kedai ini yang comel, hehehe.

Pasar Besar Lawas.

Pasar khas babi di Pasar Besar Lawas.

ARumpai air yang dijual di Pasar Besar Lawas, terdapat kegemaran saya, latop (sebelah hadapan).

Seorang gadis ayu di Lawas.


Peta: Bersiar-siar sekitar bandar Lawas.


Setelah selesai di bandar Lawas, pada pukul 10:15 pagi, kami pun meninggalkan bandar Lawas menuju ke Temburong melalui Kompleks ICQS Mengkalap dan Kompleks Pos Sempadan Labu. Kedua-dua pintu sempadan agak lengang dan sekejap sahaja prosedurnya. Jadi dapatlah kami cop pasport keempat belas dan kelima belas.

Kaunter pemeriksaan imigresen di ICQS Mengkalap, Lawas.

 Cop pasport keluar Sarawak di Mengkalap.

Pos Sempadan Labu, Brunei.

 Cop pasport masuk Brunei di Labu.


Masuk ke dalam daerah Temburong, Brunei, kali ini kami sengaja singgah di pekan Bangar. Di situ sempat juga kami melihat fasiliti yang ada di pekan ini seperti balai bomba, pejabat naziran pendidikan dan premis-premis perniagaan. 


Paling mengejutkan, saya terjumpa roti Gardenia yang mana ia tidak boleh didapati di bumi Sarawak. Sebantal roti 600 gram berharga B$2.00 (+- RM6.40). Selain itu, banyak juga orang luar Brunei yang berkerja di pekan Bangar ini, contohnya kedai gunting rambut dikendalikan oleh orang Bangladesh dan pembersihan oleh orang Indonesia. Terdapat juga jeti di tepian Sungai Temburong yang mana ia adalah untuk bot ke Bandar Seri Begawan dan juga bot untuk ke kawasan penempatan di pedalaman Temburong. Malah untuk ke Taman Negara Ulu Temburong, di sinilah tempat pintu masuknya.

Setelah dekat setengah jam di pekan Bangar, kami pun bergerak menuju ke sempadan dengan kawasan Limbang, Sarawak. Dalam perjalanan, kami dapat melihat, banyak rumah-rumah yang besar di Brunei ini.

Balai bomba Bangar.

Pejabat pendidikan Bangar.

Saya di depan pejabat pendidikan Bangar.

Jambatan merentangi Sungai Temburong di pekan Bangar, Temburong, Brunei.

Tebingan Sungai Temburong di Bangar.

Kompleks Perdagangan Bangar.

Model rumah tradisi di dalam Kompleks Perdagangan Bangar.

Tiang tanda arah di dalam Kompleks Perdagangan Bangar.

Terdapat roti Gardenia dijual di dalam sebuah kedai di Bangar.

Papan tanda peringatan penggunaan Bahasa Melayu.

Perhentian bas di sebuah sekolah di Temburong.

Salah sebuah rumah besar di Brunei.

Sebuah lagi rumah besar di Brunei.

Cop pasport keluar Brunei di Ujung Jalan.



Peta: Perjalanan dari Lawas ke Pos Sempadan Ujung Jalan, Brunei.


Akhirnya sampailah kami di Pos Sempadan Ujung Jalan. Prosesnya mudah dan sekejap sahaja. Usai sahaja, bergeraklah kami menggunakan Jambatan Persahabatan Malaysia-Brunei untuk ke Kompleks ICSQ Pandaruan di seberang sungai.

Bersambung ke Hari 3 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1 (this part);
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.

Tiada ulasan: