Rabu, 10 Mei 2017

Hari 1 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Terbang Kembali Ke aMIRIka.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.
Cop pasport masuk Sarawak di Lapangan Terbang Miri.


Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).

Hari 1 (28 April 2017 - Jumaat).

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Memang tak sabar rasanya, walaupun sebelum ini pada tahun 2014, saya sudah pun ke Brunei, melalui Miri ini. Saya dapat pelepasan untuk pulang awal dari bekerja di mana saya tidak perlu pulang ke pejabat selepas solat Jumaat.

Pada pukul 4:45 petang, selepas makan lewat tengahari di medan selera di kawasan rumah dengan isteri saya, saya ke stesen LRT yang terdekat dengan rumah saya, ditemani dengan isteri saya, agar dia boleh membawa pulang motorsikal ke rumah kembali. Sampai di stesen, saya terus memasuki ruang berbayar dengan menyentuh MyKad saya yang mana fungsi Touch n' Go nya mempunyai nilai kredit yang saya isikan sebelum ini. Jadi dapatlah tambang LRT ke KL Sentral sebanyak RM3.30. Jika membeli token sehala, harganya RM3.80.

Asalnya saya merancang untuk menaiki motorsikal sahaja ke KLIA, tetapi lewat kebelakangan hari pemergian ini, cuaca di Lembah Klang selalu hujan tidak menentu masanya tetapi waktu petang memang selalu hujan. Jadi saya menukarnya dengan menaiki bas shuttle sahaja ke KLIA dari KL Sentral.

Sampai di KL Sentral pada pukul 5:35 petang, saya terus ke stesen bas shuttle di aras bawah dari stesen LRT. Abang Zul telah menunggu saya di situ. Lantas saya terus ke kaunter bas Airport Coach untuk menukarkan tempahan melalui internet dengan memberikan cetakan emel kepada tiket sebenar bas shuttle. Saya diberikan tiket pergi balik untuk dua orang. Jadi saya berikan salah satu kepada abang Zul.

Kami pun menunggu bas tersebut. Namun apabila sampai waktu bas tersebut patut berlepas iaitu pada pukul 6:00 petang, bas baru sampai, dan perlu menurunkan penumpang terlebih dahulu. Kami hanya menaikinya setelah semua penumpang selesai turun. Bas hanya bergerak meninggalkan KL Sentral pada pukul 6:15 petang. Kemudian, bas ini mengharungi kesesakan lalu lintas  Kuala Lumpur yang memang sesak waktu tersebut kerana waktu orang pulang dari kerja pada hari Jumaat pula tu. Jadi kami mengharunginya dan hanya melepasi kawasan Bukit Jalil di dalam Lebuhraya MEX pada pukul 7:00 malam. Selepas itu jalan agak lancar sehingga ke stesen bas KLIA.

Tiket bas Shuttle pergi balik Airport Coach KL Sentral ke KLIA.

Kami sampai di stesen bas KLIA pada pukul 7:30 malam. Jadi agak bergegas kerana kami belum mencetak pas pelepasan lagi. Nasib baik Deddy Faisal berkata dia akan terus masuk, jadi saya tidak risau tentang dia. Saya risau tentang Pak Nasir yang tidak biasa dengan sistem pengurusan penumpang kapal terbang, yang tidak sama dengan sistem pengurusan pengangkutan awam lain seperti bas ekspres, keretapi atau feri/bot laut!

Saya cuba mencetak pas pelepasan di kiosk daftar masuk menggunakan nombor penempahan tetapi tidak berjaya, jadi kami (saya dan Abang Zul) beratur di kaunter daftar masuk Malaysia Airlines (atau MAS) untuk tujuan mencetak pas pelepasan. Pada masa sama saya cuba menghubungi Pak Nasir, tapi rupanya nombor telefonnya bertukar kerana beberapa hari sebelumnya, telefonnya rosak. Sudah, jadi saya terpaksa berhubung melalui Facebook, tanpa menyedari dia ada menghubungi saya dengan nombor baru. 

Jadi untuk mempercepatkan urusan, saya memohon Abang Zul untuk beraturkan untuk saya dan menghubungi saya apabila giliran sampai. Susah betul jika bila sistem di laman web MAS tidak membenarkan untuk mencetak semula pas pelepasan jika kita mendaftar masuk melalui aplikasi telefon bimbit. Masa itu, saya terlupa yang MAS membenarkan kita menggunakan kod bar 2 dimensi (kod QR) sebagai pas pelepasan. Bila sudah kelam-kabut, semua tidak kena. Saya mencuba lagi mencetak pas pelepasan di kiosk daftar masuk menggunakan nombor e-tiket, alhamdulillah, berjaya.

Jadi saya memanggil Abang Zul agar keluar dari barisan kaunter daftar masuk, lagipun kami memang tidak ada beg yang didaftar masuk, semuanya menjadi beg kabin sahaja. Juga alhamdulillah, Pak Nasir menjawab dan akhirnya bertemu di barisan kaunter daftar masuk A yang berdekatan dengan pintu masuk ke kawasan airside penerbangan domestik KLIA. Jadi kami pun masuk ke dalam dan saya meminta Pak Nasir yang sudah bersolat untuk terus ke pintu pelepasan B8. Saya dan Abang Zul bersolat di surau.

Selepas usai solat, kami segera ke pintu pelepasan B8 dan bertemu dengan Pak Nasir dan juga Deddy Faisal. Jadilah sesi pertemua bagi semua. Saya pun dah lama tidak berjumpa dengan Deddy, berborak panjang dengannya.

Pada pukul 8:50 malam, petugas pintu pelepasan memanggil penumpang untuk menaiki pesawat. Bagi saya agak lambat, kena pula penumpang agak ramai. Memang benar, pesawat hanya meninggalkan terminal pada pukul 9:10 minit dan berlepas meninggalkan KLIA melalui landasan terbang 1, lima minit kemudian.

Nasib baik penerbangan ini adalah penerbangan MAS, jadi ada sistem hiburan interaktif peribadi di setiap tempat duduk. Dapatlah saya melayan jiwa saya dengan saluran radio (biasanya untuk penerbangan domestik, saya hanya layan saluran radio untuk mendengar lagu, tambahan pula ini penerbangan malam). Juga juga menyediakan makan malam, jadi terisi jugalah perut saya ini. Tempat duduk juga selesa juga, maklumlah selama ini cuma menaiki penerbangan AirAsia sahaja. Cuma pramugara dan pramugari MAS sekarang ini agak berumur. Lepas makan malam, saya pun tertidur sambil telinga disajikan dengan halwa telinga lagu-lagu yang menenangkan.

Kami bergambar di dalam penerbangan MH2598 ke Miri.


Peta: Penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Miri.


Pesawat kami akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Miri pada pukul 11:35 malam setelah 2 jam dan 20 minit terbang di udara. Kami pun keluar dari pesawat, dan terus ke kaunter imigresen untuk urusan imigresen. Ya, walaupun penerbangan ini penerbangan domestik, tetapi oleh kerana Sarawak dan juga Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam bidang imigresen, maka kita perlu melalui pemeriksaan imigresen jika penerbangan kita yang memasuki Sarawak itu datangnya dari Semenanjung atau Sabah atau Labuan. 

Saya memberikan pasport (begitu juga yang lain) untuk memasuki Sarawak, walaupun kita masih boleh menggunakan MyKad. Ini kerana jika menggunakan pasport, saya akan mendapat cop masuk ke Sarawak dan dapat menambahkan koleksi cop pasport saya, lagipun inilah misi saya. Jadi cop pertama sudah dapat, tinggal lagi 21 cop lagi.

Jika menggunakan MyKad, kita akan diberikan slip IMM14 yang perlu dijaga sebaiknya seperti menjaga MyKad atau pasport. Jika hilang slip ini, maka kita perlu buat repot polis dan mendapatkan salinan repot untuk diberikan kepada pihak imigresen ketika keluar dari Sarawak ini. Hal ini juga sama di Sabah jika masuk Sabah melalui Semenanjung, Labuan atau Sarawak. Atas sebab inilah saya lebih suka menggunakan pasport apabila ke Sabah atau Sarawak.

Kita perlu menggunakan MyKad atau pasport untuk ke Sarawak atau Sabah. Tidak ada dokumen ini, kita tidak boleh masuk ke dalam negeri-negeri tersebut. Dengan menggunakan dokumen tersebut, orang Semenanjung (atau orang Sarawak biasa panggil orang Malaya) dan orang Sabah boleh berada sehingga 90 hari di bumi Sarawak. Mereka akan menerima cop empat segi seperti di bawah manakala orang Sarawak dianggap balik ke bumi mereka akan menerima cop bulat yang biasa dapat jika warganegara Malaysia pulang ke Malaysia dari luar negara (sekarang agak susah kerana kebanyakan pintu masuk tidak lagi mengecop masuk pasport Malaysia).

Jika perlu duduk lebih 90 hari, maka orang Semenanjung atau Sabah perlu memohon Dokumen Perjalanan Terhad daripada pejabat-pejabat imigresen tertentu (tidak semua pejabat menerima permohonan ini, sila klik untuk Dokumen Perjalanan Terhad maklumat lanjut) sebelum perjalanan. Permohonannya hanya RM5.00 sahaja dan akan mendapat dokumen tersebut seperti pasport antarabangsa juga cuma kulitnya berwarna biru cair dan tanpa cip. Dokumen ini boleh digunakan selama 5 tahun dan boleh dilanjutkan tempoh 5 tahun lagi selepas tamat tempoh 5 tahun tadi. Ia boleh siap dalam tempoh dua jam sahaja.

Setelah selesai urusan imigresen, kami ke bawah untuk ke balai ketibaan. Sudah rasmilah kami sampai ke bumi Sarawak dan bumi aMIRIka ini. Miri secara jenaka oleh orang Brunei menyebutnya sebagai aMIRIka yang berbunyi seperti Amerika, contohnya ke mana hujung minggu ini, di jawab, ke aMIRIka. Jadi sebenarnya ini kali kedua saya ke sini, sebelum ini pada bulan Mac 2014 lepas.

Deddy perlu mengambil beg yang didaftar masuk. Kami menunggu di luar. Saya ketika itu telah menghubungi Donz Car Rental untuk mengambil kereta melalui mesej WhatsApp. Tidak lama kemudian, wakil dari Donz, Syafiq telah menefon saya yang dia telah menunggu di balai ketibaan. Setelah Deddy mendapat begnya, kami pun terus ke tempat yang dijanjikan dan bertemu dengan Syafiq.

Urusan pembayaran terus dibuat, dengan menggunakan kad kredit. Kad debit dan tunai juga diterima. Amat mudah dan juga dokumentasinya sama seperti syarikat kereta sewa yang ternama, cuma tidak mempunyai kaunter sahaja. Sama seperti saya menyewa kereta sewa di Mauritius sebulan sebelum itu. Setelah urusan dokumentasi, sebelum kunci kereta diserahkan, kami ke kereta sewa yang diletakan di depan pintu masuk ke balai ketibaan. mungkin kerana penerbangan kami lewat malam, maka ia boleh sahaja diletakan di situ.

Rupanya kami mendapat kereta Perodua Axia walaupun saya menempah Perodua Viva sahaja. Keadaan kereta pun baik tanpa sebarang kecatatan ketara, jadi saya pun bersetuju dengan keadaannya dan kunci pun diberikan. Memang terbaik betul perkhidmatan kereta sewa Donz, perkhidmatan seperti penyedia sewa ternama tetapi harga seperti kereta sewa individu. Kami boleh mendapat harga RM110/hari, bagi saya murah itu. Insya Allah akan guna dan saya galakan semua menggunakan perkhidmatan daripada Donz.

Cop pasport masuk Sarawak di Lapangan Terbang Miri.

AKereta Perodua Axia yang disewa kami daripada Donz Car Rental
 (gambar diambil ketika Hari 4).

Resit penyewaan kereta dari Donz Car Rental.


Kad perniagaan Donz Enterpise.


Peta: Perjalanan dari LT Miri ke Raja Inn Hotel.


Mendapat sahaja kunci kereta, kami pun ingin terus ke hotel untuk mendaftar masuk. Jalan di Miri ini tidaklah mengelirukan, saya mengikut sahaja panduan daripada aplikasi Google Maps, dan dalam masa 10 minit, sampai sudah ke Raja Inn Hotel, penginapan kami untuk malam tersebut. Terdapat ruang parking di hotel ini, cuma agak penuh, mungkin kerana orang Brunei ramai menginap pada malam itu, maklumlah hari Jumaat dan Ahad adalah hari minggu di Brunei. Tetapi tetap ada juga ruang parkir.

Jadi kami mengejutkan petugas di kaunter yang sudah tidar di situ. Minta maaflah ya. Jadi diuruskan proses daftar masuk dan kami dapat masuk ke dalam bilik kami. Bilik kami sederhana sahaja dengan terdapat dua buah katil saiz queen. Tetapi bersih dan selesa juga. Kami letak sahaja beg, kerana kami hendak cari tempat untuk mengeteh, kata Pak Nasir.

Raja Inn Hotel (gambar diambil ketika Hari 4).

Lobi Raja Inn Hotel.


Jadi kami pun keluar merayau dengan saya memandu kereta. Dah banyak tutup sebenarnya premis di Miri ini. Cuma banyak pub dan kabaret sahaja yang dibuka ketika itu.

Akhirnya kami singgah ke sebuah restoran di Jalan Permaisuri yang masih terbuka dan ramai orang. Di situ saya lihat apa yang istimewa. Deddy memesan mee kolok jadi saya pun sama. Dia memesan teh C, saya pun sama. Bukan copy cat, tetapi memang itu kegemaran saya juga apabila di Sarawak. Ingatkan malam tidak ada jual, jadi bila ada, saya pun pesan lah. Pak Nasir dan Abang Zul saya lupa mereka pesan apa, tidak silap, Abang Zul pesan mee jawa dan Pak Nasir pesan mee kolok goreng.

Tatkala kami usai makan dan bergerak pulang, baru kami perasan restoran itu bernama Kafe Awang Mahyan. Awang Mahyan adalah bekas jurulatih Sarawak pada akhir 1980an dan awal 1990an yang menukar haluan bola sepak Sarawak yang biasa-biasa sahaja kepada kegemilangan. Di bawah kendaliannya, pasukan bola sepak Sarawak digeruni sehingga digelar Bujang Senang, sempena nama seekor buaya yang mengganas ketika itu di salah sebuah sungai di Sarawak, dan juga terkenal dengan slogan Nyap Sayot, bermaksudsentiasa membaham. Insya Allah akan datang lagi pada malam kami pulang dari Brunei nanti.

Kami pun pulang ke hotel untuk berehat kerana kami perlu bangun awal ketika itu. Masa pun dah menunjukan hampir pukul 2:00 pagi. Sampai di hotel, saya menukar baju kepada baju tidur dan terus terlelap.

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.

Tiada ulasan: