Jumaat, 25 Disember 2015

Langkawi, Kedah, Malaysia - 20 Disember 2015 - Penerbangan Sulung Rayani Air.

Click here if want to read in English version.



Penerbangan Rayani Air RN600 selamat tiba di 
Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK).

Rayani Air, iaitu sebuah  syarikat penerbangan baru Malaysia, telah sekian lama membuat promosi mengatakan mereka akan memulakan penerbangan sejak akhir tahun 2013 lagi. Namun tidak juga memulakan perkhidimatannya. Mungkin mengalami pelbagai kesukaran agaknya.

Namun pada bulan November 2015, nampaknya terdapat kemajuan, dengan mengadakan pelbagai ujian penerbangan, kaunter daftar masuk, pengambilan staf-staf dan pelbagai lagi melalui laman Facebook Rayani Air. Akhirnya pada 13 Disember 2015, laman webnya telah dibuka untuk penempahan dan penerbangan sulungnya pula adalah pada 20 Disember 2015. 

Saya cuba menempah penerbangan promosi pada harga RM51.00 untuk harga bersih sehala, namun sudah habis. Jadi saya ingin merasa penerbangan sulung yang belum pernah saya alami, maka saya pun menempahnya pada harga RM190.00 bersih pergi balik. Harga ini masih murah kerana pada masa tersebut merupakan cuti sekolah dan rata-rata syarikat penerbangan lain menawarkan harga tiket melebihi RM400 sehala! Lagipun ia termasuk bagasi 20 kilogram dan sedikit kudapan.


Pengesahan Penerbangan Daripada Rayani Air Melalui E-Mel.



Alhamdulillah, saya tidak sabar pula untuk menaiki penerbangan sulung Rayani Air ini.


20 Disember 2015 (Ahad).

Saya bertolak dari rumah pada pukul 7:30 pagi dengan menunggang skuter ke klia2. Alhamdulillah sampai di klia2 pada pukul 8:15 pagi.


Ikon klia2 sempena Krismas 2015.

Sampai di klia2, saya agak bergegas juga untuk mendaftar masuk. Maklumlah, saya tidak tahu corak pengurusan Rayani Air ini berbanding penerbangan lain. Tapi sebelum mendaftar masuk, sempat juga saya mengambil gambar ikon klia2 yang bertemakan Krismas. Ini merupakan kebiasaan saya. Saya mendapat tahu daftar masuk Rayani Air dibuat di barisan S, juga pintu pelepasan yang akan digunakan adalah J5, jadi saya ambil kesempatan untuk mengambil gambar pesawat ini dari anjung tinjau timur berdekatan dengan barisan S.

Kapal terbang Rayani Air yang sedang parkir.

Kaunter daftar masuk Rayani Air (kaunter S12 hingga S15).

Saya terus ke barisan S setelah dapat mengambil gambar pesawat yang akan digunakan nanti. Kaunter daftar masuk untuk Rayani Air dilaksanakan di kaunter S12 hingga kaunter S15. Saya melihat ramai wakil dari media massa dan cetak sedang menunggu untuk daftar masuk di samping beberapa orang penumpang biasa. Proses daftar masuk agak perlahan, mungkin kerana staf-staf Rayani Air masih belum biasa dengan sistem. Saya menunggu hampir setengah jam dengan hanya dua penumpang di depan saya. Namun semasa saya mendaftar masuk, prosesnya agak pantas juga. Penting sekali, layanan staf daftar masuk Rayani Air kepada saya agak mesra.


Pintu pelepasan J5, pintu bagi penerbangan sulung Rayani Air ini.

Setelah selesai mendaftar masuk, saya terus ke pintu berlepas penerbangan domestik dengan pemeriksaan keselamatan oleh polis bantuan lapangan terbang yang tidak berapa jauh dari kaunter daftar masuk Rayani Air. Agak ramai juga, mungkin kerana ketika itu masih di dalam musim cuti sekolah. Setelah selesai dan melepasi proses pemeriksaan berkenaan, maka saya terus ke pintu pelepasan J5.


Barisan pembantu-pembantu penerbangan bagi penerbangan sulung Rayani Air, RN600.

Barisan pembantu-pembantu penerbangan bagi penerbangan sulung Rayani Air, RN600.

Ketika itu, ramai penumpang yang sudah menunggu tetapi tidak semua lagi. Kebetulan, pembantu-pembantu penerbangan masih belum memasuki pesawat. Jesteru itu ramai penumpang, wakil media dan juga saya mengambil kesempatan untuk mengambil gambar mereka. Memang segak bagi pembantu penerbangan lelaki dan ayu bagi pembantu wanita. Malah saya rasa amat molek kerana pakaian mereka menutupi aurat, selaras dengan tuntutan syariah. Memang selaras dengan polisi syarikat, iaitu penerbangan patuh syariah. Selepas sepuluh minit iaitu pada pukul 9:20 pagi, barulah pembantu-pembantu penerbangan terbabit memasuki pesawat.


Gambar kenang-kenangan saya di pintu pelepasan.

Pas pelepasan bagi penerbangan RN600.

Selepas lima belas minit kemudian, barulah penumpang-penumpang dibenarkan masuk. Bermakna penerbangan ini akan berlepas lambat. Mungkin lebih lambat lagi, kerana sudah pasti ia kehilangan giliran berlepasnya, tambahan pula masa ini adalah masa puncak. Nasiblah.

Keadaan tempat duduk di kelas ekonomi.

Masuk sahaja ke pesawat, saya disapa oleh pembantu penerbangan dengan salam Assalamualaikum. Terasa keIslamannya, alhamdulillah. Kemudian tengok pula tempat duduk pesawat. Terdapat dua kelas, iaitu kelas perniagaan & ekonomi. Sah, memang kapal terbang ini menggunakan pesawat Boeing 737-400 MAS yang lama. Ini kerana kain penutup tempat duduknya tidak ubah dengan yang pernah digunakan oleh pesawat MAS tersebut. Ini memang benar kerana kedua-dua pesawat yang digunakan Rayani Air adalah dibeli daripada pihak MAS. Cuma membezakannya adalah alas kepala yang mempunyai logo Rayani Air. 

Jarak ruang kaki di kelas ekonomi Rayani Air.

Kad maklumat keselamatan bagi pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Ruang kaki tempat duduk tempat duduk pesawat ini biasa-biasa sahaja, dalam 29 inci rasanya. Sesuailah bagi penerbangan domestik yang mempunyai jarak pendek macam Kuala Lumpur - Langkawi ini. Paling menarik adalah beg mabuk udara, mempunyai logo Smiley dan menyatakan agar cepat sembuh. Panel kawalan di atas kepala saya memang jenis Boeing 737-400, agak baik cuma lampu bacaan saya tidak menyala.


Beg mabuk udara Rayani Air.

Panel lampu bacaan, penyaman udara dan bantuan pembantu penerbangan 
pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Memang betul, penerbangan kami ditangguhkan. Pada awalnya dikatakan untuk menunggu anak-anak yatim daripada Institut Tahfiz Islami Klang yang menjadi tetamu khas bagi penerbangan ini. Tapi selepas mereka sampai, penerbangan masih tertangguh. Akhirnya pada pukul 11:00 pagi barulah ia bergerak meninggalkan terminal klia2. Mungkin disebabkan terdapat sedikit upacara, maklumlah penerbangan sulung (namun saya mendapat maklumat dari sumber dipercayai, penangguhan disebabkan untuk menunggu VIP). Bukan apa, suasana dalam kabin agak panas sedikit jika pesawat tidak bergerak.

Salah seorang pembantu penerbangan sedang membuat demonstrasi keselamatan.

Semasa penerbangan ini bergerak di laluan teksi ke landasan terbang, dibacakan doa menaiki kenderaan. Terasa selamat pula, kerana sehingga kini, hanya Rayani Air sahaja yang membacakan doa ini, MAS hanya sejak kebelakangan ini sahaja menyiarkan doa ini di pesawat yang mempunyai alat pandang dengar, manakala penerbangan lain memang tiada. Akhirnya pukul 11:10 pagi, meluncurlah pesawat ini menuju ke Langkawi.

Kudapan ringan untuk kelas ekonomi Rayani Air.

Kandungan di dalam kotak kudapan ringan untuk kelas ekonomi.

Setelah beberapa ketika di udara, pembantu-pembantu penerbangan mula memberikan kepada setiap penumpang, sedikit kudapan ringan. Kudapan ini diberikan di dalam kotak, memang menarik. Isinya pula terdapat sekeping kek cawan, sebungkus kacang dan sepek jus epal. Kiranya ia lebih sedikit daripada pesaingnya. Perlu diingatkan bahawa Rayani Air ini merupakan penerbangan perkhidmatan penuh bukan penerbangan tambang murah seperti AirAsia. Tetapi tambangnya masih murah. 

Sijil penghargaan buat penumpang-penumpang penerbangan pertama Rayani Air.

Akhirnya setelah hampir sejam di udara, sampailah kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK). Memang nampak pesawat ini disirami air oleh dua buah jentera pemadaman api dari pihak bomba lapangan terbang LGK. Cuma saya tidak sempat untuk mengambil gambarnya. Sebagai tanda hati dari pihak Rayani Air, setiap penumpang diberikan sijil perhargaan yang dijadikan kenang-kenangan kepada penumpang-penumpang terbabit.


Rupanya gambar saya diambil oleh pihak media semasa saya menuruni tangga pesawat ini. Ia boleh dilihat di dalam laman Facebook Rayani Air sendiri.

Penerbangan Rayani Air RN600 selamat tiba di LGK.

Pas pelepasan bagi penerbangan RN180.

Saya ke terminal untuk mengambil beg yang saya daftar masuk tadi. Memang lambat sampai, oleh kerana sudah pukul 12:30 tengahari, maka saya terus mendaftar masuk untuk penerbangan pulang. Tidak sempat saya untuk pergi ke pekan Padang Mat Sirat untuk membeli sedikit barangan. Nasib baik masih boleh daftar masuk kerana penerbangan ini juga ditangguhkan.

Keadaan tempat duduk kelas perniaaan pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Keadaan tempat duduk kelas perniaaan pesawat Boeing 737-400 Rayani Air.

Setelah usai mendaftar masuk, saya terus ke pintu berlepas untuk menjalani prosedur pemeriksaan keselamatan dan rupanya pintu pelepasan telah dibuka. Saya terus menaiki pesawat yang parkir berhadapan dengan pintu pelepasan. Namun perlu tunggu juga kerana terdapat upacara khas dari pihak Rayani Air di bangunan terminal. Jadi saya dapat mengambil gambar tempat duduk kelas perniagaan pula.

Pesawat Rayani Air RN180 mula bergerak meninggalkan LGK.

Pesawat RN180 meluncur di udara dari Langkawi ke klia2.

Pesawat hanya bergerak meninggalkan LGK pada pukul 1:30 tengahari dan tiba di klia2 sejam kemudian.

Setelah pulang rupa-rupanya muka saya masuk di dalam liputan oleh pihak media. Ia boleh dikuti di sini atau di sini.

Secara amnya penerbangan Rayani Air ini agak baik dan boleh dipertingkat lagi mutunya. Seperti AirAsia semasa permulaan operasi setelah diambil alih oleh Tony Fernandez dahulu, yang juga dengan hanya dua buah pesawat, saya percaya Rayani Air boleh menjadi hebat seperti AirAsia. Semoga amalan-amalan yang baik seperti pemakaian pakaian menutup aurat, bacaan doa, tidak menyajikan arak dan makanan tidak halal serta lainnya dapat diteruskan. Semoga Rayani Air ini dapat memeriahkan lagi industri penerbangan Malaysia.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



Click here if want to read in English version.

Tiada ulasan: