Jumaat, 8 April 2016

Hari 3 Bahagian 1 (Seoul, Korea Selatan - 06 hingga 10 Mac 2016) - Pengalaman Menaiki Keretapi Ke DMZ.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1 (this part)
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5. 

Saya berselfie bersama Keretapi DMZ.

Hari 3 (08 Mac 2016 - Selasa) Bahagian 1.

Oleh kerana telah mengetahui bahawa keretapi DMZ hanya akan berlepas dari Stesen Keretapi Seoul pada pukul 9:22 pagi, maka pagi ini kami agak bersantai sedikit. Kami hanya keluar dari penginapan kami pada pukul 8:30 pagi. Perjalanan kami ke Stesen Seoul Station sama dengan perjalanan kami ke sana pada semalamnya.

Tiket keretapi DMZ dari Stesen Seoul ke Dorasan.

Tiba sahaja di Stesen Keretapi Seoul, macam biasa di mana-mana sahaja, kami singgah dahulu di kedai serbaneka Storyline untuk membeli banana uyu. Aduh, sudah ketagih kami. Kami kemudiannya duduk di kawasan menunggu, kerana masih ada setengah jam lagi untuk keretapi berlepas. Kita boleh melihat platform keretapi kita serta waktu yang sepatutnya akan menaiki keretapi sebelum ia berlepas di papan paparan elektronik di atas pintu pelepasan.



Saya di hadapan pintu pelepasan di Stesen Keretapi Seoul.

Keadaan platform-platform di Stesen Seoul.

Tetapi saya merasakan kami sudah boleh pergi ke platform kerana nombor platform sudah diketahui iaitu platform 5, kerana ia sudah dipaparkan. Ini kerana walaupun tiada kerdipan lagi tanda kami boleh segera ke platform untuk menaiki tren berkenaan, tetapi tiada pemeriksaan diadakan di pintu pelepasan. Jadi kami mungkin boleh menggunakan masa ini untuk mengambil gambar platform-platform di Stesen Seoul dan juga gambar tren Keretapi DMZ yang mungkin agak unik.

Secara amnya, keretapi-keretapi di stesen ini bercampur di antara keretapi biasa dan keretapi bekelajuan tinggi seperti ITX dan KTX.

Saya berselfie bersama Keretapi DMZ.

Keretapi DMZ.

Betul telahan saya, Keretapi DMZ sememangnya sudah sedia dan keretapi ini juga unik terutama dari segi paparan luarannya. Keretapi ini merupakan keretapi biasa yang berkuasa diesel. Ia tidak menggunakan lokomotif tetapi lebih kepada sistem modular unit iaitu lokomotif (kepala keretapi) dan gerabak penumpang merupakan satu gerabak. Keretapi ini mempunyai empat buah gerabak kesemuanya. Perkhidmatan keretapi ini juga mempunyai khidmat pramugari, di mana salah seorang pramugari ini menunggu penumpang-penumpanya (iaitu kami) untuk menaiki keretapi ini. Jadi sebelum naik kami mengambil kesempatan untuk bergambar dengan keretapi ini juga bersama pramugarinya yang cantik. Dapat juga saya bergambar dengan wanita Korea yang agak cantik juga, huhuhu.

Saya bergambar dengan salah seorang pramugari Keretapi DMZ.

Keadaan dalaman Keretapi DMZ.

Rajah menunjukan kedudukan destinasi bagi perkhidmatan Keretapi DMZ.

Keadaan dalaman Keretapi DMZ ini dihias agak cantik juga. Terasa seperti ceria sahaja menaiki keretapi ini walaupun sebenarnya keretapi ini menuju ke kawasan konflik iaitu DMZ (DeMilitarized Zone - Zon Tanpa Tentera), iaitu zon sempadan antara Korea Selatan dan Korea Utara, yang secara teknikalnya masih lagi berperang! Sebelum keretapi ini bergerak, sempat juga saya berjalann-jalan ke semua gerabak yang ada. Keretapi ini tidak penuh. Jika penuh rasanya dalam 250 orang boleh dimuat dengan semuanya duduk. Kalau boleh berdiri, jumlah itu boleh digandakan. Tetapi jumlah yang pergi rasanya kurang dari 30 orang sahaja. Ini termasuk pelancong dari Korea Selatan sendiri.

Stesen-stesen hentian Keretapi DMZ.

Keretapi antarabandar ITX sedang berhenti di platform sebelah.

Semasa keretapi ini mula bergerak, sebuah keretapi antarabandar jarak dekat, ITX berhenti di platform sebelah iaitu platform 4. Jadi perlahan-lahan keretapi ini bergerak menuju ke utara meninggalkan Stesen Seoul. Menariknya, pada masa itu, paparan televisyen di dalam gerabak memaparkan gambaran pergerakan keretapi dari depan keretapi. Pada masa sama saya melihat bahawa keretapi ini akan berhenti di empat stesen sebelum tiba di stesen terakhir di Stesen Dorasan yang terletak di dalam zon DMZ.

Borang kemasukan ke DMZ.

Semasa keretapi ini bergerak, di televisyen dipaparkan maklumat yang perlu diketahui oleh penumpang-penumpang seperti perhentian-perhentian, tempat menarik yang akan dilawati di DMZ, prosedur-prosedur berkaitan dan sebagainya. Pramugari juga memberikan kami borang kemasukan ke DMZ yang perlu diisi sebelum masuk ke dalam zon DMZ. Seumpama hendak masuk ke negara lain pula.

Selepas selesai mengisi borang tersebut, saya ke tandas untuk menyahut panggilan alam. Huh, begitu bersih juga tandas di dalam tren ini, sebagaimana tandas-tandas awam lain di Seoul. Selepas keluar, saya ke kantin tren ini, ya tren ini ada kantin cuma menjual makanan dan minuman ringan serta barang cenderahati. Saya hanya akan beli ketika pula nanti kerana kami semua akan kembali semula ke Seoul dengan keretapi ini juga. 

Tandas di dalam Keretapi DMZ.

Turun di Stesen Imjingang.

Stesen Imjingang. 

Setelah sejam lima belas minit keretapi ini meluncur di landasannya dan setelah berhenti di tiga buah stesen, maka keretapu ini tiba di Stesen Imjigang, iaitu stesen terakhir di tanah awam sebelum masuk ke dalam zon DMZ. Semua penumpang dikehendaki untuk turun, kerana kami perlu menjalani pemeriksaan keselamatan. Kami juga perlu membawa borang kemasukan ke DMZ yang kami isi tadi.

Sedang menanti giliran pemeriksaan keselamatan oleh Tentera Korea Selatan di Stesen Imjingang. 

Kami semua di bawa ke bangunan Stesen Imjingang, di mana kami di sini perlu beratur dan kami diperiksa seorang demi seorang oleh pihak tentera darat Korea Selatan. Apabila tiba giliran saya, saya memberikan borang tersebut kepada tentera yang bertugas. Ditanya tentang kewarganeraan saya, dan saya menjawab Malaysia. Terdapat juga beberapa soalan lain cuma saya lupa, yang penting kita perlu jawab dengan tenang, yakin dan tegas. Selepas itu, kami diberikan satu keratan borang kemasukan (terdapat dua keratan) dan sekeping tag pas khas penumpang Keretapi DMZ ini yang perlu dipakai pada sebilang masa (alamak terguna istilah tentera pula, huhuhu) sepanjang berada di DMZ.

Pas khas penumpang Keretapi DMZ diberikan selepas pemeriksaan.

Memasuki kawasan DMZ.

Sedang bergerak di atas jambatan keretapi baru sambil melihat puing-puing jambatan lama.

Permandangan Sungai Imjin dan sebatang tiang jambatan keretapi lama.

Kami kemudian kembali menaiki keretapi DMZ semula untuk meneruskan perjalanan ke stesen terakhir di Stesen Dorasan. Selepas melepasi Stesen Imjingang, memang jelas memasuki kawasan memang dikawal ketat oleh tentera. Pagar besi dan kawat berduri tidak putus dari pandangan. Selang beberapa saat, keretapi ini melalui jambatan besi yang menjadi pengantara antara zon awam dan zon DMZ. Jambatan ini melintasi Sungai Imjin yang sungainya agak berlumpur. Dapat juga dilihat adalah puing-puing tiang-tiang jambatan keretapi yang lama yang dimusnahkan semasa Perang Korea 1950-53.

Taman tugu peringatan tentera-tentera antarabangsa.

Hampir sampai Stesen Dorasan.

Selepas sampai ke tebing sungai yang satu lagi, maka secara lahiriah, kami memasuki kawasan DMZ. Terdapat sebuah taman peringatan tentera-tentera antarabangsa yang bertujuan untuk memperingati tentera-tentera negara-negara yang terbabit di dalam Perang Korea 1950-1953. Tidak jauh dari situ, kami hampir sampai ke Stesen Dorasan. 

Pos kawalan sebelum sampai 

Depoh keretapi di Stesen Dorasan.

Walaupun DMZ ini singkatan dari DeMilitarized Zone atau dalam Bahasa Melayunya adalah Zon Tanpa Tentera, tapi sebenarnya kawasan inilah paling banyak tentera sebenarnya. Pergi mana-mana ada sahaja tentera. Pos kawalan memang berdekatan antara satu sama lain sampai tidak boleh dikira.


Peta: Perjalanan Metro Seoul & Kererapi Ko-Rail dari Euiliro 3(sam)-ga ke Dorasan.

Antara monumen yang ada di Platform Penyatuan di Stesen Dorasan.

Sampai sahaja kami di Stesen Dorasan, kami pun turun dari keretapi dan berjalan menuju ke bangunan stesen. Sebelum ke bangunan, dapat banyak juga monumen-monumen yang ada. Oleh kerana pihak tentera dan staf keretapi KoRail di Stesen Dorasan ini asyik meminta kami segera ke bangunan stesen, maka kami tinggalkan monumen-monumen tersebut. Rasanya balik nanti boleh lihat dengan lebih lanjut.

Platform Penyatuan di Stesen Dorasan.

Pintu ketibaan di Stesen Dorasan.

Memang bangunan Stesen Dorasan dibina dengan begitu moden dan agak besar juga. Ini sebenarnya merupakan propaganda oleh pihak Korea Selatan yang mana mereka memang bersedia untuk menyatukan kedua-dua Korea sebagai satu negara, tetapi perlu mengikut acuan mereka. Secara halus, mereka mengatakan bahawa Korea Utara lah yang menghalang mereka dari menyatukan kedua-dua Korea ini. Di stesen ini, salah seorang kawan saya sempat mengambil gambar tentera darat Korea Selatan walaupun sebenarnya tidak boleh diambil gambar tentera-tentera ini.

Gambar salah seorang anggota tentera Republik Korea (Korea Selatan).

Tiket pakej lawatan DMZ dari Stesen Keretapi Dorasan.

Sampai di dalam banguan stesen, kami semua termanggu-manggu apa yang hendak dibuat. Rupanya kami perlu beratur di kaunter tiket untuk membeli pakej lawatan DMZ. Terdapat dua pilihan, iaitu pakej lawatan ke empat tempat dan akan berjalan kaki di dalam Terowong Ketiga DMZ berharga ₩8800 (+- RM30.80). Satu lagi pakej, itinerari yang sama, cuma di Terowong Ketiga DMZ akan menaiki monorel berharga ₩12 200 (+- RM42.70). Kami semua mengambil pakej kedua, kerana kesemua penumpang mengambil pakej kedua.


Bas yang membawa kami dalam sesi lawatan DMZ.

Selepas selesai membeli tiket, kami perlu segera menaiki bas yang sedia menunggu di hadapan stesen. Apabila sampai di pintu bas, kami perlu memberikan tiket untuk diperiksa, keratan borang kemasukan DMZ untuk disimpan oleh pemandu dan pemandu pula memberikan kami satu lagi tas pas khas yang menjadi penanda pengguna pakej lawatan dan juga menjadi nombor tempat duduk di dalam bas.


Pas khas yang menjadi penanda pengguna pakej lawatan dan 
juga menjadi nombor tempat duduk di dalam bas.

(Maaf kabus) Kawasan tanpa bangunan dipagari dengan kawat berduri 
dan makluman bahaya periuk api.

Setelah semua penumpang menaiki bas sebagaimana jumlah tiket yang dijual, maka bergeraklah bas ini menuju ke destinasi pertama iaitu Kawasan Tinjauan Dora (Dora Observation). Dalam perjalanan, saya ternampak di kawasan tiada bangunan, akan dipagari dengan kawat berduri. Rupanya, di kawasan-kawasan ini tertanam banyak periuk api sehinggakan kawasan ini dikenali sebagai kawasan paling banyak periuk api di dunia. Selain itu, terdapat banyak berek-berek tentera didirikan sepanjang perjalanan. Perjalanan ini pada mulanya menggunakan lebuharaya selebar enam lorong, kemudian memasuki jalan kecil dan kemudiannya menaiki bukit yang agak curam.

Antara berek-berek tentera di DMZ.

Saya di hadapan Kawasan Tinjauan Dora, di DMZ.

Akhirnya setelah lima belas minit perjalanan, sampailah kami di Kawasan Tinjauan Dora. Di sini kami di bawa ke dewan persembahan untuk mendapat taklimat tentang perbatasan di kawasan sekitar Dorasan ini.

Memasuki dewan persembahan di Kawasan Tinjauan Dora.

Peta kawasan DMZ.

Sedang mencari tempat duduk di dalam dewan persembahan.

Taklimat diberikan oleh dua orang iaitu satu bagi Bahasa Korea dan satu lagi bagi Bahasa Inggeris. Kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar apa lagi mengambil video sepanjang taklimat ini dan juga di kawasan sekitar bangunan Kawasan Tinjauan ini. Taklimat ini adalah merupakan taklimat tentang apa yang ada di dalam kawasan Korea Selatan dan juga sebelah Korea Utara. Memang jelas juga. Oh lupa hendak maklum, DMZ ini merupakan kawasan pemampan sejauh 2 kilometer ke dalam setiap negara Korea dari Garisan Penandaan Tentera (Military Demarcation Line - MDL) yang merupakan sempadan de facto bagi kedua-dua Korea. Namun bagi saya, taklimat ini sebenarnya lebih berat kepada kepentingan Korea Selatan, pendek kata lebih kepada propaganda mereka.

Tirai di buka, terbentang kawasan DMZ sebelah Dorasan serta sebahagian Bandaraya Gaeseong (Kesong), Korea Utara.

Panorama kawasan DMZ kawasan Dorasan dari Kawasan Tinjauan Dora.

Selepas taklimat, kami dibawa keluar dari dewan taklimat dan dapat melihat dengan lebih jelas di kawasan tinjuan utama. Terdapat juga teropong disediakan namun perlu memasukan wang syiling sebanyak ₩500 (+- RM1.75) untuk 3 minit sahaja. Di sini juga tidak boleh mengambil gambar, namun saya mencuri-curi ambil gambar panorama ketika tiada anggota tentera menjaga. Namun ketika hendak selesai mengambil gambar tersebut, saya ditegur. Nasib baik tidak diambil telefon bimbit saya, kerana saya segera menyelesaikannya dan meminta maaf dalam Bahasa Inggeris dan Korea (Mian, Mian). 

Selepas itu, kami kembali ke bas kami. Memandangkan ada masa lagi, kami mengambil gambar di kawasan yang dibenarkan dan ke kedai cenderhari untuk membeli cenderhari. Seperti biasa saya membeli magnet peti ais di sini. Hendak beli benda lain, agak mahal juga. Tepat pukul 12:00 tengahari, kami pun menaiki bas dan bergerak menuju ke Kampung Tongilchon untuk makan tengahari.

Kawasan tinjau di Dora Observation.

Bas berhenti di sebuah restoran untuk makan tengahari. Nasib baik makan tengahari ini tidak termasuk dalam pakej, di mana perlu beli sendiri. Sudahlah tidak halal, kerana terdapat hidangan berasaskan daging merah (tidak tahu jenis apa), jadi kami hanya duduk di luar walaupun keadaan agak sejuk. Suasana di Kampung Tongilchon ini lebih sejuk dari Seoul. Kampung Tongilchon ini merupakan satu-satunya kampung berpenduduk di sepanjang kawasan DMZ (bukan hanya di kawasan Dorasan tetapi sepanjang DMZ dari pantai barat ke pantai timur sejauh 250 kilometer) di sebelah Korea Selatan. 

Nasib baik kami ada membawa sedikit makan berupa roti, serunding daging dan air minuman. Semasa kami makan, terdapat seekor anjing juga berminat untuk makan. Anjing ini tidak seperti anjing di Malaysia suka menyakat orang, anjing di sini agak takut-takut. Kami bagilah makan sikit, tidak sangka makan roti Gardenia dan serunding daging. Terdapat seorang pelancong Jepun juga berminat dengan serunding daging kami.

Muzium Kampung Tongilchon di dalam kawasan DMZ.

Setelah setengah jam di situ, bas kami membawa kami puna ke Muzium Kampung Tongilchon . Muzium ini menceritakan lebih lanjut mengenai Kampung Tongilchon dari segi sejarah, budaya, kehidupan, ekonomi dan sebagainya.

Model Kampung Tongilchon.

Melihat kawasan DMZ dan Korea Utara dari Kampung Tongilchon.

Setelah itu, sebelum kami menaiki bas, saya sempat mengambil gambar sekitar kampung dan juga kawasan DMZ serta Korea Utara. Memang dekat sangat. Selanjutnya bas membawa kami ke Terowong Ketiga DMZ pula.

(Ketika kami mengadakan lawatan di DMZ ini sebenarnya pihak Korea Utara telah melancarkan serangan roket di tempat lain di Korea Selatan. Ini pun kami perolehi ketika menonton berita pada waktu malam dan perkembangan semasa di laman sosial. Keesokannya perkhidmatan keretapi DMZ ini dihentikan seketika. Tidak hairanlah pada ketika lawatan kami terdapat banyak tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang kebetulan membuat eksersais ketenteraan. Jadi kita perlu berhati-hati jika mahu ke DMZ ini. Pastikan memaklumkan kepada pihak kedutaan negara anda terlebih dahulu).

Bersambung ke Hari 3 Bahagian 2.

Jika mahu lihat catatan: 
If want to read in English: 
  • Pre Journey; 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 Part 1 (this part)
  • Day 3 Part 2; 
  • Day 4; or 
  • Day 5. 

Tiada ulasan: