If want to read in English:
- PreJourney;
- Itinerary;
- Day 1; or
- Day 2 (this part).
09 Ogos 2015 (Ahad).
Pagi ini, saya bangun pada pukul 5:30 pagi. Sebenarnya saya berjanji dengan Pak Din untuk bersiar-siar bagi mengetahui kegiatan pada waktu pagi warga Yangon ini terutama di pusat bandarnya. Pada pukul 6:45 pagi, saya dan Pak Din pun turun dari hotel untuk bersiar-siar ke tempat lebih lanjut di sekitar pusat bandar Yangon ini. Hafiz dan Akmal masih berehat (tidur?) di bilik.
Kami berjalan menuju ke Taman Maha Bondoola dan meneruskan perjalanan selanjutnya. Sasaran kami adalah untuk ke bangunan Secretariat yang mana dahulunya merupakan pusat pemerintahan kerajaan penjajah British dan kemudiannya menjadi pejabat pentadbiran Presiden Myanmar pula.
Dalam perjalanan, kami dapat melihat anak-anak muda bermain futsal di jalan raya sebelah taman tersebut. Namun di taman tersebut tidak berapa ramai orang. Mungkin masa ini bukan masa mereka beriadah, kerana pada masa itu adalah pagi hari minggu, atau di situ bukan tempat popular untuk beriadah atau beristiherat pada pagi minggu.
Kami melalui juga di hadapan Gereja Immanuel Baptist, sebuah gereja Kristian Katolik di sini. Agak banyak kereta diparkirkan di hadapan gereja ini. Kami melihat dan mendengar para jemaah gereja ini, sedang menyanyikan lagu bacaan gospel.
Semasa kami berjalan, kami melintasi beberapa penjaja yang menjual sarapan pagi. Salah satu gerai menjual kuih-muih, yang saya lihat seakan-akan kuih-muih Melayu / Malaysia. Ada satu kuih kelihatan seperti wajik.
Sepanjang perjalanan itu juga, kami melihat beberapa restoran yang mempunyai logo halal sebagaimana gambar atas.
Setelah berjalan dekat setengah jam dari hotel, akhirnya sampai juga kami di bangunan Secretariat ini. Sayangnya, bangunan ini dan kawasan sekitar tidak terjaga dan terbiar. Kami pun tidak boleh masuk. Walaupun sudah tiada penghuni, bagi saya sewajarnya kerajaan Myanmar perlu memelihara bangunan-bangunan ini sebagai objek warisan mereka. Sayang apabila melihat bangunan usia dimamah usia. Bayangkan bangunan seperti Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur menjadi seperti Kellie Castle di Batu Gajah, Ipoh. Kellie Castle pun dipelihara untuk menjadi tarikan pelancongan. Saya percaya jika ia dibaik pulih, ia akan menjadi daya tarikan.
Gambar di atas sengaja di ambil kerana menunjukan beberapa penjaja yang memakai longyi, menolak gerai sorong mereka. Agaknya bersiap-siap untuk berniaga. Antara aktiviti pagi di Yangon.
Kami seterusnya berjalan menuju ke Jalan Strand, iaitu jalan pesisir Sungai Yangon. Namun kami ingat dapat melihat seperti susur siar sungai (esplanade), namun ia tidak begitu. Terdapat pelabuhan yang menghalang kami dari ke pesisir sungai. Hanya dapat melihat kren-kren kontena. Walaupun jarak pelabuhan ini ke muara agak jauh, kira-kira 30 ke 40 kilometer, namun kapal-kapal boleh bermudik ke Pelabuhan Yangon ini.
Pada masa sama, kami terlihat perkhidmatan keretapi keliling bandar (circular train) sedang beroperasi. Menariknya, ia seperti tram, iaitu landasan terletak di atas jalan raya. Setelah agak penat berjalan, Pak Din pun ternampak beca Yangon ini dan memanggilnya untuk menaikinya.
Beca di sini berbeza sikit dengan beca-beca tempat lain. Tempat duduknya terdapat untuk dua penumpang tetapi, seorang menghadap ke hadapan dan lagi seorang menghadap ke belakang. Tempat duduknya pun agak kecil, nasib baik saya boleh mendudukinya. Ingat tidak muat, tapi agak sempit juga la. Sebelum itu, kami bertanya berapa harga untuk perjalanan dari tempat tersebut ke hotel kami. Penunggang beca itu boleh juga bercakap bahasa Inggeris sedikit-sedikit berkata harganya K1000 (+-RM4.00). Boleh juga, agak murah juga.
Kami melalui beberapa bangunan yang mempunyai rekabentuk British-India. Terdapat bangunan yang menjadi pejabat kerajaan seperti pejabat pos dan pejabat kastam. Ada juga menjadi premis komersil seperti hotel. Kelihatan juga kompleks jeti untuk penduduk Yangon ini menaiki bot untuk ke destinasi sekitar Sungai Yangon.
Akhirnya sampai juga kami ke hotel kami setelah berbeca lebih kurang 10 minit. Pak Din membayar K1000 kepada penunggang beca dan saya tambah sedikit sebagai sumbangan ikhlas. Kami naik semula ke hotel.
Dalam pukul 9:00 pagi, kami mendaftar keluar dari hotel, namun kami meminta pihak hotel menyimpan beg-beg kami, kerana kami akan kembali semula. Penat nak mengangkut beg-beg ke sana ke mari. Seperti biasa kami ke Restoran Nilar untuk sarapan yang berat, iaitu nasi biryani, huhuhu. Hanya saya dan Hafiz sahaja. Pak Din dan Akmal tidak masuk ke restoran, dikhabarkan terdapat seseorang membelanja mereka roti canai.
Sebelum itu, dalam perjalanan ke Restoran Nilar, saya sempat mengambil gambar antaranya Mogul Hall dan dapur di sebuah restoran yang masih memakai dapur arang. Setelah usai sarapan, kami mengambil teksi untuk ke Pagoda Shwedagon. Bayaran yang kami dapat ke sana sebanyak K2000 (+- RM8.00).
Perjalanan ke Pagoda Shwedagon ini agak sesak sikit semasa hampir ke pagoda tersebut, kerana terdapat simpang lampu isyarat. Akhirnya kami sampai juga di kaki tangga pintu timur pagoda ini. Huh, kena panjat tangga lagi, tapi diingatkan, perlu membuka kasut dan stokin untuk memasuki pagoda ini waima hendak memanjat tangganya. Kena pakai baju yang menutup bahu dan seluar panjang. Jika tidak membawa beg atau beg plastik, boleh beli di kedai-kedai di sepanjang tangga ini dengan harga K100 (+- RM0.40) sehelai.
Kedai-kedai di sepanjang tangga ini menjual barang-barang keperluan sembahyang untuk agama Buddha, juga menjual cenderahati. Cuma harga dikhabarkan mahal sikit berbanding Pasar Bogyoke yang akan kami singgah nanti. Jadi tidak beli apa-apa di sini. Di atas kedai-kedai ini terdapat seni visual yang berupa lukisan yang timbul, seperti 3D, menceritakan kisah hidup Gautama Buddha.
Kami sampai juga ke puncak tangga tersebut. Namun nampak sangat kami ini pelancong, kami dipanggil oleh penjaga kaunter tiket. Kami diminta US$8 (+- RM33) namun boleh dibayar dalam Kyat, iaitu K8000 (+- RM32 atau sebenarnya +- RM30). Lebih murah.
Sebenarnya amat mudah sahaja hendak masuk, lebih mudah dari masuk Pagoda Sule. Agak ramai juga di sini. Kami diberikan tiket masuk sebagai resit dan diberikan pelekat untuk dilekatkan kepada baju. Namun ia tersilap tulis dengan tarikh 10 Ogos 2015 sedang hari tersebut 09 Ogos 2015.
Pagoda Shwedagon ini merupakan antara pagoda terbesar di dunia, malah ia terbesar di Myanmar. Ia telah berusia 2600 tahun mengikut maklumat yang diperolehi, menjadikan ia pagoda tertua di dunia. Di dalam stupa besar ini, tersimpan rambut-rambut yang dikatakan rambut Gautama Budhha. Untuk maklumat lanjut tentang Pagoda Shwedagon boleh bacanya di Wikipedia Inggeris.
Di puncak stupa pagoda ini, terdapat sebutir berlian, malah stupa ini dilekatkan plat-plat emas sebenar di bahagian atas, dan cat emas di bahagian bawah. Sempat juga saya bergambar di sini, berharga K1000 (+- RM4) bagi saiz 5R.
Setelah lebih sejam di pagoda ini, kami pun keluar dengan menggunakan lif. Memang di pagoda ini, kita boleh melihat jelas permandangan bandaraya Yangon. Kena pula keadaan langit yang cerah, walaupun kelihatan awan mendung sedikit. Kami mengambil teksi untuk ke Pasar Bogyoke dengan harga K2000 (+- RM8) juga. Memang lama sikit hendak lepas simpang lampu isyarat di depan pintu masuk selatan pagoda ini.
Teksi ini membawa kami terus ke hadapan Pasar Bogyoke ini. Pasar ini bukanlah seperti pasar basah harian biasa. Ia lebih seperti Pasar Budaya di Kuala Lumpur. Kita boleh membeli bermacam-macam cenderahati di sini dengan harga yang berpatutan. Namun harga di sini tidaklah murah seperti tempat lain. Sehelai kemeja-T berharga K5000 (+- RM20) dengan kualiti tidaklah bagus sangat. Pemegang kunci boleh didapati dari K1000 (+- RM4) dan magnet peti ais pula dari K1500 (+- RM6) sebuah.
Selain cenderahati, terdapat juga banyak barang-barangan boleh didapati seperti batu-batu permata. Memang murah, cuma saya bukan kaki batu permata. Namun insya Allah akan ke sini untuk membeli batu permata pada masa akan datang.
Setelah lebih sejam setengah, kami pun keluar dari pasar ini.
Di luar pasar ini, terdapat juga banyak penjaja menjual pelbagai barang keperluan, buah-buahan, sayur-sayuran dan banyak lagi. Kami terhenti melihat seorang yang menunjukan skil melukis dengan cat minyak. Bukan cat minyak biasa, tetapi cat yang menggunakan tuppertin (sejenis minyak yang mencairkan cat pekat). Alat yang digunakan cuma berus-berus cat dan pisau nipis yang tirus. Memang mengagumkan dan mengasyikan. Macam mudah sahaja dia melukis. Dekat 15 minit juga kami melihat dia melukis. Harga lukisannya juga ada murah, semurah K1000 (+- RM4.00) untuk saiz kecil dan bertambah mengikut saiz. Saya pun membeli sebuah lukisannya.
Di seberang jalan dari pasar ini, terdapat juga sebuah kuil Hindu dan juga sebuah masjid. Ini menunjukan pelbagai agama bebas dan aman diamalkan di Yangon ini. Berbeza dari gambaran orang yang tidak pernah ke sini.
Kami kemudian ke masjid tersebut, iaitu Masjid Chulia Muslim Dargah untuk solat Zohor berjemaah. Lagipun ketika itu hujan mulai turun. Memang agak bersih masjid ini terutama kolah wuduknya. Cuma di tandasnya, terdapat tandas yang hanya mempunyai pintu dari kaki ke paras lutut. Ngeri saya hendak membuang hajat di situ. Jangan risau, terdapat tandas berpintu biasa.
Kami pun berjemaah di sini. Ruang solat pun berhawa dingin. Agak selesa juga. Usai solat, kami mengunggu untuk hujan teduh sedikit. Memang kami menjadi tumpuan, malah kami berbual dengan beberapa jemaah di sini. Malah ada juga yang boleh berbahasa Melayu.
Kami berjalan kaki menuju ke hotel walaupun keadaan gerimis. Kami menusuri atap kedai-kedai yang ada. Akhirnya setelah 15 minit sampai juga kami di hotel. Pemilik hotel membenarkan kami untuk menggunakan bilik air, maka kami pun membersihkan diri dan menukar baju. Memang hotel ini memberikan perkhidmatan paling baik. Rasanya akan menginap lagi ke sini. Sebelum keluar dari hotel, sempat juha kami bergambar dengan pemilik dan ia ada di page Facebook hotel ini.
Kami kemudian pergi untuk makan tengahari. Hafiz dan Akmal ke Restoran Nilar, manakala saya dan Pak Din ke gerai tosei semalam, cuma kali ini makan capati pula.
Setelah selesai, kami ke Restoran Nilar untuk bertemu dengan Hafiz dan Akmal. Ternampak juga bahawa kad-kad SIM telefon bimbit dijual ditepi jalan sebegitu sahaja.
Setelah berjumpa dengan mereka, kami pun menahan teksi untuk ke lapangan terbang. Harga tambang kami dapat sebanyak K6000 (+- RM24) sahaja kerana teksi kami ini tiada penghawa dingin. Pemandu teksi ini beragama Islam dan kami memang berborak denganya sepanjang jalan. Dia pernah bekerja di Malaysia semasa akhir 1990an, cuma sekarang kurang fasih berbahasa Melayu walaupun boleh faham. Memang petah, dan tidak sedar kami sudah sampai di lapangan terbang.
Kami segera ke balai perlepasan, dan kami menukar baki wang-wang Kyat yang ada. Cuma kami tidak boleh menukar kepada RM, jesteru itu saya meminta untuk ditukarkan kepada US$. Hanya nota wang K1000 sahaja yang saya tukar. Terdapat juga baki wang kecil sebanyak K150 (+- RM0.60) yang dipulangkan semula kepada saya. Saya sertakan nota wang-wang yang saya dapat sepanjang kembara selain yang saya dapat semasa baru sampai semalam.
K100 = +- RM0.40
K500 = +- RM2.00
Pada masa kami sampai, masih belum buka lagi kaunter daftar masuk. Jadi saya berjalan-jalan di balai perlepasan ini untuk menambil gambar mana yang menarik perhatian, antaranya seni visual yang menunjukan Rama dan Sita sedang terbang. Tidak lama kemudian, dari luar, saya melihat kaunter daftar masuk AirAsia pun dibuka.
Di lapangan terbang ini serupa seperti majoriti lapangan di Indonesia dan Filipina, di mana kawasan daftar masuk tidak dibuka kepada orang ramai, khas untuk penumpang sahaja. Ia perlu melepasi pihak keselamatan sebelum boleh untuk daftar masuk. Penumpang biasanya tidak boleh kembali semula ke kawasan umum, kerana terus ke kaunter imigresen di atas.Di lapangan terbang ini serupa seperti majoriti lapangan di Indonesia dan Filipina, di mana kawasan daftar masuk tidak dibuka kepada orang ramai, khas untuk penumpang sahaja. Ia perlu melepasi pihak keselamatan sebelum boleh untuk daftar masuk. Penumpang biasanya tidak boleh kembali semula ke kawasan umum, kerana terus ke kaunter imigresen di atas.
Kami terus dipandu untuk kaunter khas bagi mereka yang telah daftar masuk secara web. Memang mudah, dan di sini tidak ditimbang beg yang di bawa ke dalam kabin. Setelah urusan selesai, kami diberikan pas perlepasan yang baru dan kemudian ke kaunter imigresen di tingkat atas. Urusan imigresen pun mudah begitu juga dengan kastam. Semasa di kaunter imigresen, pasport diberikan bersama-sama bahagian keberangkatan borang imigresen Myanmar yang diberikan semasa masuk ke Myanmar semalam. Ini wajib, jangan sesekali hilangkan. Alhamdulillah, selesai juga di kaunter imigresen dan di kaunter kastam hanya lalu sahaja kerana pegawai kastam Myanmar memberikan isyarat lalu sahaja. Lega.
Rupanya sebelum kami ke pintu perlepasan, terdapat lagi satu lagi pemeriksaan keselamatan. Jadi memandang ia masih awal lagi, maka kami pun duduk di ruang antara pemeriksaan kastam dan pemeriksaan keselamatan. Di sini terdapat banyak kedai-kedai bebas cukai, kedai makanan dan pengurup wang serta kedai menjual cenderahati. Paling bagus terdapat mesin mengurut kaki, dan ia adalah percuma. Dapatlah merehatkan kaki sambil mengecaj telefon bimbit kami. Yang paling beruntung adalah Akmal, sehingga hampir baik sakit kakinya.
Kami kemudiannya meneruskan ke pintu perlepasan dan menunggu penerbangan kami. Ketika itu agak ramai, kerana terdapat penumpang-penumpang penerbangan sebelum kami yang belum masuk ke pesawat mereka. Rupanya pesawat Bangkok Air tersebut dibatalkan atas sebab teknikal. Nasib naik terdapat dua penerbangan lain dengan syarikat lain ke Bangkok pada malam itu. Setelah melihat matahari terbenam, kami pun bersolat di kawasan pintu pelepasan itu.
Masalah itu, memberikan pengaruh kepada pendaratan pesawat AirAsia dari Kuala Lumpur yang kemudian akan membawa kami kembali semula ke Kuala Lumpur. Saya melihat pada aplikasi FlightRadar24, melihat beberapa kali ia berlegar udara sebelum ia mendarat. Akhirnya ia mendarat pada pukul 7:10 malam. Akhirnya pada 7:20 malam, pintu pelepasan untuk kami dibuka pada jam 7:40 malam, ia meninggalkan bumi Yangon. Swarrtotmaal Myanmar.
Di atas pesawat, oleh kerana saya memesan makanan, jadi dapat awal. Melihat saya makan, maka ahli kembara lain pun membeli makanan yang dibelanja oleh Hafiz. Cuma Hafiz tidak belanja saya, sampai hati, hahaha. Selepas makan, saya pun tertidur.
Saya terus ke mesin bayaran parkir seterusnya ke aras 1 untuk ke parkir motorsikal. Saya terus keluar dari klia2 dan akhirnya sampai ke rumah pada pukul 1:00 pagi. Alhamdulillah sampai juga dengan selamat di rumah.
Begitulah coretan kembara saya ke Yangon, Myanmar. Insya Allah saya akan teruskan coretan di blog ini untuk kembara selanjutnya. Insya Allah pada bulan November 2015 ini saya bersama isteri juga Pak Din bersama isterinya akan ke Macau, Hong Kong, Shenzhen dan Guangzhou. Nantikan catatannya. Sehingga itu, berjumpa lagi, selamat mengembara.
Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
If want to read in English:
- PreJourney;
- Itinerary;
- Day 1; or
- Day 2 (this part).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan