Isnin, 13 Mac 2017

Panduan Kembara - Hanoi (Hanoi & Ha Long, Vietnam - 23 hingga 26 Februari 2017).

Jika mahu lihat catatan: 


If want to read in English: 

  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi (this part); or
  • Travel Guide - Ha Long. 
Mercu tanda Hanoi - Makam Ho Chi Minh.


Hanoi, pula merupakan ibu negara Vietnam. Dengan keluasan 3329 km2, ia mempunyai seramai 7.6 juta penduduk di dalamnya daripada sejumlah 92 juta orang rakyat Vietnam. Ia merupakan bandaraya kedua terbesar di Vietnam selepas Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon). Bandaraya ini mempunyai senibina gabungan timur (China dan tempatan) dan barat terutama senibina Perancis yang dulu merupakan penjajah bagi Vietnam. 
.

 
Peta: Hanoi, Vietnam.


WAKTU
Waktu di Vietnam adalah UTC +7 iaitu sejam lebih lewat dari waktu Malaysia (UTC +8). Contohnya jika di Malaysia pukul 12:00 tengahari, di Hanoi pula pukul 11:00 pagi.


MATAWANG
Vietnam menggunakan matawang Dong Vietnam (VND) dengan singkatan ₫ apabila digunakan di Vietnam. Kadar pertukaran semasa boleh dilihat di sini.

Dominasi yang Dong Vietnam adalah:
Nota kertas & polimer: 100₫, 200₫, 500₫, 1,000₫, 2,000₫, 5,000₫, 10,000₫, 20,000₫, 50,000₫, 100,000₫, 200,000₫, 500,000₫.


500 = +- 10 sen Malaysia

1000 = +- 20 sen Malaysia

2000 = +- 40 sen Malaysia

5000 = RM1.00

10 000 (polimer)= +- RM2.00 

20 000 (polimer)= +- RM4.00

50 000 (polimer)= +- RM10.00

100 000 = +-RM20.00



200 000 (polimer)= +- RM40.00

500 000 (polimer)= +- RM100.00

VISA
Pemegang pasport Malaysia yang ingin ke Vietnam atas tujuan melancong, dikecualikan visa (visa-free) sehingga 30 hari, jadi jika lawatan dalam tempoh itu, tidak perlu mohon visa. Jika ingin membuat lawatan lebih dari masa itu, perlu memohon visa sama ada di Kedutaan Vietnam atau di Jabatan Imigresen Vietnam semasa di dalam Vietnam. Pemegang pasport negara lain atau ingin memohon visa lain boleh rujuk laman web Kementerian Keselamatan Awam Vietnam (juga boleh rujuk artikel Wikipedia).


KETIBAAN

Memasuki Vietnam amat mudah, kita tidak perlu mengisi borang masuk negara yang dikeluarkan pihak imigresen sebagaimana jika masuk ke negara lain. Jadi jangan meminta borang tersebut kerana memang tidak ada. Sampai di kaunter imigresen, serah pasport, itu sahaja.


Udara
Bagi ketibaan langsung dari Malaysia, penerbangan Malaysia Airlines (MAS)AirAsia, Malindo Air dan Vietnam Airlines  menyediakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur. Penerbangan tersebut akan mendarat di Terminal Antarabangsa (juga dikenali sebagai Terminal 2), Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Noi Bai, Hanoi, Vietnam (kod IATAHAN).

Penerbangan domestik Vietnam pula berada di Terminal Domestik (Terminal 1) yang mana dipisahkan sejauh kira-kira lebih sikit dari 1 kilometer dengan Terminal Antarabangsa. Terdapat bas shuttle percuma yang beroperasi di antara kedua-dua lapangan terbang ini, yang perlu diambil di luar Balai Berlepas kedua-dua terminal. Berjalan kaki juga boleh dilakukan di antara kedua-dua terminal ini dengan siar kaki yang bagus, cuma tiada berbumbung.


Perkhidmatan bas shuttle antara Terminal Domestik dan Terminal Antarabangsa HAN.

Pengangkutan ke bandar:
  1. Bas ekspres nombor 86, yang beroperasi dari kedua-dua terminal HAN ke Old Quarter (berhenti di depan Pejabat Pos Hanoi, tepi Tasik Hoan Kiem), berharga 30 000₫ (+- RM6.00) sehala. Beroperasi dari pukul 5:10 pagi dari Old Quarter dan 6:30 pagi dari HAN setiap 20/30 minit;
  2. Bas henti-henti nombor 17 untuk ke timur Old Quarter (Long Bien) dengan harga 9000₫ (+- RM1.80). Hanya beroperasi dari Stesen Bas Terminal Domestik, bermakna perlu berjalan kaki 1 kilometer jika dari Terminal Antarabangsa HAN;
  3. Bas henti-henti nombor 7 untuk ke Stesen Bas My Dinh dengan tambang 9000₫ (+- RM1.80). Beroperasi dari kedua-dua terminal HAN. Dari Stesen My Dinh, boleh bertukar bas lain yang banyak untuk ke serata bahagian di Hanoi;
  4. Bas henti-henti nombor 90 yang beroperasi dari kedua-dua terminal HAN ke Stesen Bas Kim Ma di tengah bandar, kira-kira 2 kilometer dari Tasik Hoan Kiem. Tambangnya juga 9000₫ (+- RM1.80);
  5. Bus shuttle yang akan berhenti di pejabat Vietnam Airlines yang terletak selatan sikit dari kawasan Old Quarter, tetapi mempunyai mod pengangkutan awam dari situ. Berharga 40 000₫ (+- RM8.00) untuk warga asing (alasan insurans) dan 35 000₫ (+- RM7.00) untuk warga Vietnam yang boleh dibeli dari pemandu. Berkemungkinan terdapat caj tambahan jika mempunyai bagasi yang besar;
  6. Teksi, kini tidak lagi mempunyai harga tetap jika dari lapangan terbang. Tambang adalah dari 350 000₫ (+- RM70.00) ke atas;
  7. Uber atau Grab, boleh menggunakan aplikasi perkhidmatan tersebut. Biasanya tambang adalah dari 250 000₫ (+- RM50.00) ke atas.

Keretapi
Terdapat perkhidmatan keretapi yang ektensif ke seluruh Vietnam di Stesen Keretapi Hanoi. Bagi ke timur laut Vietnam seperti ke Hai Phong, Ha Long malah ke Guilin, China, selain Stesen Hanoi, ia juga lebih baik dibeli di Stesen Keretapi Gia Lam. 

Bas
Terdapat banyak stesen bas di bandaraya Hanoi ini yang memberikan perkhidmatan ke seluruh Vietnam malah ke negara-negara jiran seperti Laos, China dan Kemboja, seperti Stesen Bas Gia Lam (terutama ke timur atau timur laut Hanoi seperti Hai Phong dan Ha Long), Stesen Bas My Dinh (untuk ke utara dan barat laut Vietnam) dan Giap Bat (untuk ke selatan Hanoi). Dari stesen-stesen bas ini, terdapat bas-bas henti-henti yang memberikan perkhidmatan dari stesen-stesen bas ini ke segenap tempat di Hanoi termasuk ke Old Quarter dengan merujuk aplikasi Google Maps.


TELEKOMUNIKASI

Kad SIM Prabayar
Bagi pengetahuan, syarikat telekomunikasi tidak membuka kaunter khas menjual kad SIM Prabayar di lapangan terbang. Di situ hanya agen yang menjual kad SIM tersebut. Jadi mereka mengambil kesempatan dengan memberikan harga tinggi. Jadi ia boleh dibeli terus dari cawangan syarikat telekomunikasi atau agen-agennya di tengah bandaraya terutama di Old Quarter, yang lebih murah.

Terdapat beberapa syarikat telekomunikasi di Vietnam antaranya:

  1. Viettel (milik Kementerian Pertahanan Vietnam);
  2. Vinaphone (milik VNPN, sebuah syarikat bawah Kementerian Telekomunikasi Vietnam);
  3. Mobifone;
  4. Vietnamobile;
  5. G-mobile (dahulunya Beeline);
  6. S-Fone (standard CDMA yang tidak bersuaian).

Maklumat lanjut tentang perbandingan produk kad SIM, boleh layari laman web Wikia.

Bagi saya, setiap kali ke Vietnam, saya akan menggunakan perkhidmatan daripada Vinaphone, di mana ia boleh didapati di pejabat VNPT di mana di banyak pejabat pos akan ada kaunter VNPT ini.

Biasanya Vinaphone ini lebih murah daripada Viettel namun dari segi kelajuan dan kawasan liputan adalah sama jika tidak lebih baik.Dalam perjalanan saya pada 23 hinga 26 Februari 2017 lepas, saya menggunakan kad SIM data sahaja DMax sahaja yang mana data pakej saya diberikan 5GB untuk 30 hari dengan harga 150 000₫ (+- RM30.00) di Pejabat Pos Hanoi. Lagipun sekarang sudah boleh menggunakan panggilan telefon menggunakan aplikasi WhatsApp, jadi tidak perlu pakej penggilan suara dan sms. Memang susah untuk mendapat pakej sebesar ini dengan semurah itu.


Kad SIM Vinaphone.

Internet
Kebanyakan hotspot WiFi di bandaraya Hanoi ini mempunyai kata laluan yang perlu diminta daripada pemiliknya termasuk kafe-kafe.


PENGANGKUTAN BANDAR
Pengangkutan bandar di bandaraya Hanoi ini agak banyak namun masanya agak kurang efisyen kerana kesesakan lalu lintas di bandaraya Hanoi ini.

Bas
Mempunyai perkhidmatan yang efisyen dan termurah di bandaraya Hanoi. Mempunyai banyak laluan yang boleh dilihat senarainya (di dalam Bahasa Inggeris)  atau boleh membuka dokumen pdf ini untuk rujukan. Aplikasi Google Maps di dalam telefon pintar juga mempunyai pilihan untuk mengetahui laluan bas ini dengan mengambil pilihan transit, juga boleh membuka laman ini untuk mengetahu laluan dalam bentuk peta.

Sebelum menaiki bas, perlu melihat kadar tambang yang dipaparkan di sebelah pintu depan kerana setiap nombor perkhidmatan bas mempunyai kadar tambang berbeza di antara setiap laluan bas dan kadar tambang tersebut sama sepanjang laluan bas tersebut. Jadi kita akan membayar tambang yang berbeza walaupun laluan dan jarak yang sama kerana kita mengambil nombor laluan yang berbeza. Contohnya untuk ke Stesen Bas Gia Lam, jika kita menaiki bas bernombor 34 akan membayar 7000₫ (+- RM1.40) manakala jika bas bernombor 17 akan membayar 9000₫ (+- RM1.80). Tambang akan dibayar kepada konduktor bas. Di Hanoi ini, kita boleh memberikan wang besar tanpa masalah, tidak seperti konduktor bas di Bandaraya Ho Chi Minh (Saigon).

Jika kita tidak pasti dengan laluan bas, kita boleh bertanya dengan pemandu bas atau konduktornya sebelum menaiki bas itu. Biasanya akan dimaklumkan perhentian yang akan berhenti (dalam Bahasa Vietnam). Apabila hendak turun, boleh menekan loceng. 


Bas henti-henti bandaraya Hanoi.

Keretapi
Terdapat perkhidmatan keretapi dalam bandar (seperti komuter) yang agak murah. Dapat melihat keadaan kehidupan tempatan kerana keretapi melalui di antara ruang sempit celah rumah apabila tiba di kawasan bandar.

Teksi
Seperti tempat lain, teksi amat banyak di Vietnam ini dan setiap teksi mempunyai kadar yang berbeza terutama bagi jarak 1 hingga 10 kilometer (kadar 1 kilometer pertama dan lebih 10 kilometer adalah sama). Disarankan untuk menggunakan teksi Mai Linh berwarna hijau keseluruhan atau putih hijau yang boleh dipercayai.

Teksi Motorsikal
Pilihan yang terbaik terutama bagi pengembara solo. Cepat dan murah terutama untuk melawan kesesakan lalu lintas. Pengguna akan diberi pinjam topi keledar untuk perkhidmatan ini. Sentiasa tetapkan harga tambang sebelum menerima untuk menggunakan perkhidmatan ini.

Uber & Grab

Terdapat juga perkhidmatan Uber dan Grab di Hanoi ini dan ia amat murah. Malah terdapat pilihan teksi motorsikal bagi kedua-dua perkhidmatan (Ubermoto atau GrabBike) tersebut yang lebih murah terutama bagi pengembara solo.

Sewa Motorsikal
Pengunjung ke Hanoi ini boleh menyewa motorsikal terutama di Old Quarter. Biasanya bayaran sewa sebanyak di antara 110 000₫ (US$5.00 atau +- RM22.00) ke 150 000₫ (US$7.00 atau +- RM30.00) per hari sebuah dan perlu diberikan pasport kepada pemilik motorsikal sebagai cengkeram. Minyak yang diberikan agak sedikit sahaja, jadi perlu mencari stesen minyak sebelum memulakan perjalanan. Perlu diingat, sistem lalu lintas di Vietnam berbeza dengan di Malaysia dengan lalu lintas adalah di sebelah kanan jalan (Malaysia di sebelah kiri jalan).

Beca (cyclo)
Terdapat perkhidmatan beca terutama di kawasan Old Quarter, perlu tetapkan harga (tawar menawar) dan tahu apa yang ditawarkan sebelum menaikinya, banyak kes scam berlaku dengan beca ini.

Buggy
Antara perkhidmatan yang ada di bandaraya Hanoi terutama di sekitar Old Quarter dan juga sekitar kawasan lapangan terbang. Setiap buggy mempunyai laluan tetap yang terdapat di depan buggy.

Metro
Sedang giat dibina dan dijangka siap fasa pertama pada suku keempat 2017.


PENGINAPAN
Terdapat banyak penginapan di Hanoi ini dari kadar bajet hingga ke taraf mewah. Hotel bajet banyak terdapat di kawasan Old Quarter yang memudahkan kerana banyak kawasan tarikan dan kemudahan pelancongan adalah di kawasan ini.  Dalam perjalanan ini, saya menginap di dua buah hotel iaitu:


Atrium Hanoi Hotel
32A Dao Duy Tu Street
Hoan Kiem District
Hanoi
10000 Vietnam
Tel:  +84439290366
Fax: +84439290333
Email: info@atriumhanoihotel.com


Pintu depan Atrium Hanoi Hotel.


  Peta: Atrium Hanoi Hotel.

Camel City Hotel
No 8/50 Dao Duy Tu Lane
Hoan Kiem District
Hanoi
10000 Vietnam
Tel: +84439352024 & +84439352025
Fax: +84439352023
Email: info@camelcityhotel.com


Kad perniagaan Camel City Hotel, Hanoi.



Peta: Camel City Hotel, Hanoi.


BEKALAN ELEKTRIK
Soket plug elektrik digunakan di Vietnam adalah dari soket jenis A, jenis C dan jenis D. Bekalan elektrik pula menggunakan voltage 220V 50Hz.



Soket elektrik di Vietnam.



TEMPAT MENARIK / LAWATAN
Sebenarnya terdapat banyak tempat lawatan di Hanoi, terutama muzium dan galeri. Namun saya hanya pergi ke beberapa tempat yang saya kongsikan di bawah:

Tasik Hoan Kiem
Old Quarter, Hanoi. 


Peta: Tasik Hoan Kiem.

Makam Ho Chi Minh
Hùng Vương, Điện Biên, Ba Đình, Hà Nội, Vietnam

Peta: Makam Ho Chi Minh.

Tasik Ho Tay
Tây Hồ, Hanoi
Vietnam 

Peta: Tasik Ho Tay.

Tugu John McCain
7 Thanh Niên, Trúc Bạch, Ba Đình, Hà Nội, Vietnam 

Peta: Tugu John McCain.

Pagoda Tran Quoc
Thanh Niên, Trúc Bạch, Ba Đình, Hà Nội, Vietnam


Peta: Pagoda Tran Quoc.

Selanjutnya boleh merujuk Wikitravel Hanoi dan juga laman web lain untuk tempat-tempat lain.


MAKAN / MINUM
Di bawah ini adalah tempat makanan halal yang dilawati semasa kembara:

Tandoor Restaurant
24 Hàng Bè, Hàng Bạc 
Hoàn Kiếm, Hà Nội
Vietnam
+84438245359

Restoran Tandoor, Old Quarter, Hanoi.


Peta: Restoran Tandoor, Hanoi.



StreetviewRestoran Tandoor.

Halal Food Hanoi
12 Hàng Lược, Hàng Mã
Hoàn Kiếm, Hà Nội
Vietnam


Peta: Halal Food Hanoi.

Selanjutnya boleh merujuk Wikitravel Hanoi dan juga laman web lain untuk tempat-tempat lain.


BELI-BELAH
Dalam perjalanan kembara ini, saya tidak banyak tempat membeli-belah yang saya pergi, jadi saya kongsikan tempat yang saya pergi sahaja di bawah ini.


Sekitar Kawasan Old Quarters

Pasar Malam Old Quarter (Don Xuan)
Sepanjang Jalan Hang Ngang dari bawah landasan keretapi (simpang Jalan Pho Gam Cau) sehingga ke bulatan dekat Tasik Hoan Kiem
(Malam Minggu).



Peta: Pasar Malam Dong Xuan (Old Quarter), Hanoi.

Selanjutnya boleh merujuk Wikitravel Hanoi dan juga laman web lain untuk tempat-tempat lain.


PATUT TAHU
Kaki lima atau ruang siar kaki di Hanoi kebanyakannya akan menjadi tempat parkir motorsikal atau kereta, jadi kena melalui jalan raya untuk berjalan kaki terutama di kawasan Old Quarter. Jadi hati-hati semasa berjalan.


Bagi membeli-belah, pastikan kita dapat menganggarkan harga barangan lebih awal, kerana kebanyakan peniaga di Old Quarter Hanoi ini mengambil kesempatan terhadap pelancong. Rajin-rajin membuat perbandingan di antara gerai-gerai yang ada, barulah mula tawar menawar. Bagi saya, Hanoi ini bukan syurga membeli-belah berbanding bandaraya sebelah selatan, Bandaraya Ho Chi Minh.

Walaupun bagi saya, sikap dan perangai orang Vietnam utara ini lebih lembut berbanding orang Vietnam selatan, namun perlu berhati-hati juga. Banyak juga telah ditipu secara diam-diam dan juga kes penyeluk saku dan ragut banyak berlaku di Hanoi ini.

Cuaca di Hanoi terbahagi kepada dua, iaitu dari Oktober ke Mac adalah musim sejuk dan April ke September adalah musim panas. Musim sejuknya agak sejuk, perlu membawa sekurang-kurangnya jaket windbreaker. Tidak perlu sampai untuk memakai long john.


PETUA
Motorsikal amat banyak dan lalu lintas agak kelam kabut kepada orang luar (orang bukan Vietnam), namun jarang berlaku kemalangan. Mungkin awalnya akan merasa seperti agak mustahil untuk melintas kecuali di persimpangan berlampu isyarat, tetapi banyak dari pemandu/penunggang tidak mengendahkannya. Jadi untuk melintas, pastikan anda melihat keadaan sekeliling untuk memerhatikan arah kenderaan hadir (biasa akan terdapat kenderaan yang bukan arahnya akan datang dari arah tersebut), dan kemudian melintas dengan kadar kelajuan yang sama, penunggang/pemandu akan dapat mengagak arah kita dan dapat mengelak kita. Ini perlu rasa yakin untuk dilakukan. Jika tidak, jangan melintas langsung.

Sila berjalan kaki melawan arus jalan, bermaksud sentiasa berada di kiri jalan, bagi memastikan keselamatan, walaupun banyak kes motorsikal atau kereta melawan arus jalan tersebut. Sekurang-kurangnya dengan berjalan di kiri jalan, ia dapat mengurangkan risiko kecelakaan dan juga kes ragut.

Sentiasa memastikan harga lebih awal ketika membeli dan mengambil perkhidmatan seperti pengangkutan atau pelancongan, atau jika mengambil teksi, gunakan meter. Setelah itu, jika membeli barang, periksa barangan dengan teliti sebelum meninggalkan kedai.


KESIMPULAN
Hanoi ini merupakan salah satu tempat yang sesuai untuk melihat budaya Vietnam utara. Kedapatan makanan halal agak sukar berbanding bandaraya sebelah selatan (Bandaraya Ho Chi Minh) namun ia semakin berkembang. Kebanyakan pelancong tertumpu di Old Quarter namun tempat lain sesuai juga dilawati. 


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1;
  • Day 2;
  • Day 3;
  • Day 4;
  • Travel Guide - Hanoi (this part); or
  • Travel Guide - Ha Long. 

Tiada ulasan: