Bersambung dari Hari 3.
If want to read in English:
- Pre Holiday
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4 & 5 (this part); or
- Itinerary.
Hari 4
15 September 2014 (Isnin)
Hari ini hari terakhir kami di Ko Samui. Kami bangun awal kerana hendak mengejar feri pukul 8 pagi agar kami berada di tanah besar pada jam 10 pagi. Tapi bila bersama keluarga ini ada sahaja yang lambat, akhirnya pada jam 7:30 pagi baru daftar keluar hotel dan bergerak.
Semasa perjalanan, sempatlah isteri saya mengambil senarai harga minyak di sebuah stesen minyak. Tetapi harga di sini lebih mahal berbanding di tanah besar. Harga minyak di Thailand berbeza mengikut tempat, malah ada kalanya sebelah menyebelah pun berbeza.
Akhirnya, hampir jam 8 pagi sampailah kami ke kawasan kenderaan berkumpul untuk memasuki feri Seatran. Namun sebenarnya kami terlepas feri awal kerana ia telah pun bergerak pada jam 7:30 pagi tadi. Harga tiket masih sama seperti di Dongsak. Kira-kira 25 minit menunggu, bersama-sama beberapa kenderaan lain, kami pun mula memasuki feri. Cuma pada ketika ini, feri tidak berapa penuh seperti feri yang kami guna semasa datang ke Ko Samui tempohari.
Feri mula bergerak pada jam 9 pagi, kali ini kami menaiki feri Seatran 8. Sebenarnya kedua-dua feri iaitu Seatran 5 dan Seatran 8 ini merupakan feri yang telah digunakan di Jepun. Kira feri terpakai lah ini. Feri Seatran 8 ini lebih besar dan lebih selesa. Bentuk pun agak berbeza berbanding Seatran 5.
Kemudahan di feri ini lebih baik, siap ada perkhidmatan mengurut dengan ฿300 bagi urutan kaki selama 45 minit. Kira boleh urut dua orang lah semasa perjalanan. Namun terdapat seorang penumpang telah menggunakan khidmat ini, maka hanya isteri saya sahaja dapat menggunakan khidmat urutan ini. Lagipun hanya ada seorang pengurut sahaja walaupun disediakan tiga kerusi di dalam feri ini.
Saya dan anak lelaki saya bersiar-siar disekeliling feri ini, dan untungnya feri ini, kita boleh berada di bahagian hadapan feri. Memang jelas permandangan berbanding semasa datang, cuaca agak mendung. Jadi nampak juga pulau-pulau Taman Maritim Nasional Ko Ang Thong.
Selepas satu setengah jam, maka sampailah feri kami di jeti feri Seatran di Dongsak. Kami pun segera ke kereta kami untuk keluar dari perut feri ini.
Semasa keluar, sempat juga isteri saya mengambil gambar patung besar kura-kura yang seolah-olah mengucapkan selamat jalan kepada kami.
Sebelum bergerak lebih jauh, saya ke stesen minyak PTT terdekat dengan jeti untuk mengisi minyak kereta dan ahli keluarga saya ke kedai serbaneka 7-Eleven untuk membeli beberapa barang kudapan sepanjang perjalanan. Setelah minyak diisi, kira-kira ฿1250 (+-RM125.00), kami ke tandas dan selepas itu saya membeli air kopi Mocha ice blended di kiosk Amazon Cafe yang ada di kebanyakan stesen minyak PTT. Rasa seperti minuman sama di fresco terkenal seperti Starbucks, The Coffee Beans and Tea Leaves, San Francisco Coffee dan lain-lain. Cuma harganya amat murah, lebih sparuh dari harga di fresco tersebut. Saya membelinya dengan harga ฿60 (+- RM6.00) segelas.
Kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Nakhon Si Tammarat (NST) menggunakan jalan bernombor 401 dan apabila di bandar NST, kami mengambil jalan bernombor 403 pula. Saya sebenarnya terlepas jalan pintas 4103 sebenarnya, tapi tidak mengapalah. Kemudian kami bertemu dengan jalan utama bernombor 41 menuju ke Hat Yai. Dalam perjalanan, singgah beberapa kali di stesen minyak PTT kerana tandas-tandas di stesen itu memang bersih. Disamping membeli air kopi ice blended di Amazon Cafe. Dah ketagih kot, lagipun duit Baht Thailand masih ada banyak lagi.
Akhirnya pada jam 2 petang kami sampai bandar Hat Yai. Kami tidak singgah kerana merasakan ia tidak perlu dan terus mengambil jalan menuju ke Sadao. Sampai di pekan besar pertama bernama Khlong Ngae, kami singgah ke Tesco Lotus untuk membeli beberapa benda yang murah di Thailand. Antara belian kami adalah beras Wangi Siam yang agak murah di mana harga semurah ฿120 (+- RM12.00) sekampit 5 kilogram. Kami ambil 4 kampit dan sekampit beras pulut 5 kilogram berharga ฿170 (+- RM17.00). Kami letakkan di bawah beg pakaian kami. Dekat setengah juga kami di situ.
Pada jam 3 petang kami meneruskan perjalanan menuju ke pintu sempadan Ban Prakob melalui pekan Na Thawi. Kami sebenarnya boleh terus ke Sadao (Dannok) tetapi saya tidak pernah melalui pintu sempadan Ban Prokob sebelum ini, lagipun kami menggunakan kereta, jadi inilah peluang hendak lalu pintu sempadan ini.
Setelah hampir 45 minit memandu, akhirnya sampai juga kami ke kompleks kastam Thailand di Ban Prakob. Komppleks ini baru siap, malah jalan menuju ke kompleks ini nampak seperti baru diturap dan kesan potongan bukit masih merah lagi. Jalan ke kompleks ini tidak melalui pekan kecil Ban Prokob.
Setelah mengambil beberapa gambar kenangan, kami terus ke kaunter pandu lalu imigresen. Kompleks ini agak lengang, sangat lengang, sehinggakan hanya kereta saya sahaja melaluinya sepanjang pemeriksaan di Thailand dan Malaysia. Setelah semua pasport dicop (tanpa perlu memberi atau menyelit sebarang wang sama ada Ringgit Malaysia atau Baht Thai), saya memandu ke kaunter kastam untuk menyerahkan kembali permit membawa kereta ke Thailand kepada pihak kastam. Ini penting kerana ia umpama kita membawa keluar kereta kita. Kegagalan menyerahkan borang ini, akan didenda sebanyan ฿200 (+- RM20.00) setiap hari! Saya juga perlu mengisi sekeping borang perisyitharan untuk dikepilkan sekali permit tersebut. Pastikan juga permit itu ditandatangani di ruangan keluar.
Akhirnya secara rasmi kami keluar dari Thailand tapi masih belum rasmi masuk Malaysia. Dilihat juga kenyataan Selamat Datang Ke Malaysia telah dilindungi oleh pagar Thailand. Sebenarnya kompleks ICQS Kota Putra atau lebih dikenali sebagai Durian Burung ini lebih 5 tahun siap. Sebelah Thailand baru sahaja siap. Kira memang sengaja bahagian Thailand sengaja menutup pintu gerbang Malaysia.
Seterusnya urusan di sebelah Malaysia. Urusan imigresen amat lancar sejali, dengan setiap pasport diimbas tapi tidak dicop. Sayangnya, tiada kenangan. Seterusnya saya memandu ke kaunter kastam pula. Pegawai kastam berkenaan menyuruh kami berhenti dan bonet kami diperiksa. Banyak jugalah di tanya, namun saya jawab dengan tenang. Alhamdulillah lepas juga.
Seterusnya, memandangkan kami masih belum bersolat Zohor dan Asar, maka kami singgah sebentar di Kompleks ini untuk bersolat. Selain surau, terdapat kantin juga di sini. Di sini juga litupan telefon Malaysia masih tidak dapat namun talian dtac di telefon saya masih kuat, malah boleh melayari internet kerana litupannya dalah 3G.
Setelah setengah jam berada di kompleks ICQS Kota Putra ini, kami perlu bergegas kerana kompleks ini akan ditutup pada jam 6 petang, kalau lambat, mahu kami terperangkap dalam Komples ICQS ini.
Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Nerang melalui Durian Burung dan pekan Padang Terap. Di Durian Burung, saya mengisi minyak RM30 di stesen minyak Shell. Kebetulan di sebelah stesen tersebut terdapat sebuah gerai menjual makanan, yang istimewa Mee Udang, jadi makanlah kami di situ. Makan 3 dewasa dan 2 kanak-kanak dalam RM40.00. Memang Mee Udang di situ terbaik kerana menggunakan udang galah dan agak banyak juga udangnya.
Seterusnya kami meneruskan perjalanan mulai pukul 7 malam dari Kuala Nerang untuk ke Kulim, bagi menumpang rumah kakak sepupu isteri saya. Namun baru diketahui beliau tiada di rumah. Kemudian ibu saya menelefon kawannya di Taiping yang saya panggil Auntie Chor untuk menumpang bermalam. Alhamdulillah ada.
Jadi berjalanlah kami melalui jalan lama melalui Naka, Sungai Tiang, Jeniang, Kuala Ketil, Kulim, Junjong, Sungai Bakap, Jawi, Nibong Tebal, Transkerian dan Parit Buntar. Di Parit Buntar baru saya mengisi minyak dengan pebuh di stesen minyak Petronas. Seterusnya, meneruskan perjalanan di Jalan Persekutuan 1 melalui Bagan Serai, Kamunting dan akhirnya sampailah ke rumah Auntie Chor.
Kami disambut oleh Auntie Chor dan suaminya Uncle Ucop yang dah memang unpama keluarga sendiri. Kami makan malam di sana dan tidurlah kami semalam di situ.
Hari 5
16 September 2014 (Selasa)Setelah bersarapan di rumah Auntie Chor & Uncle Usop, pada jam 9 pagi, kami pun bergerak dari Taiping menuju ke KL. Saya mengambil tol Kuala Kangsar untuk masuk ke Lebuhraya Utara Selatan dan mengaktifkan applikasi Waze di dalam telefon saya. Pasal hendak tahu keadaan lalu lintas dan juga sebarang kehadiran penguatkuasa seperti polis sepanjang perjalanan. Agak laju juga saya bawa kereta, kerana pada hampir pukul 12 tengahari saya sudah sampai di plaza Tol Jalan Duta. Terdapat perangkap had laju di Gopeng yang saya perolehi di Waze dan kelipan lampu hapadan kereta di arah berlawanan. Terima kasih.
Itulah coretatan serba sedikit percutian sekeluarga saya menggunakan kereta ke Ko Samui. Kepada pembaca, bolehlah ambil perkongsian ini untuk percutian, pengembaraan atau perjalanan anda. Pendapat saya, jika ke Selatan Thai, berkenderaan sendiri memang lebih menjimatkan terutama jika anda berjalan lebih dari dua orang. Lagipun anda boleh membawa peralatan sendiri untuk memasak. Jadi jimat dari perbelanjaan makanan, kerana harga makanan bermasak yang halal di negara minoriti Muslim adalah mahal.
Selain itu anda boleh beli beberapa benda yang murah di Thailand dan mahal di Malaysia seperti beras dan gula, tapi pandai-pandai lah nak beli kuantiti banyak mana dan nak urus letak mana. Kerana kastam Malaysia dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sedia memeriksa kenderaan anda di sempadan. Jika kurang nasib baik, kena cukai dan denda. Satu lagi, pendapat saya, percutian di Selatan Thai adalah lebih murah daripada bercuti di Malaysia sendiri. Bukan tidak patriotik tapi itu pendapat saya.
Semoga catatan ini membantu anda. Sehingga di lain coretan, Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...
If want to read in English:
- Pre Holiday;
- Day 1;
- Day 2;
- Day 3;
- Day 4 & 5 (this part); or
- Itinerary.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan