Bersambung dari Hari 1.
If want to read in English:
- Pre Holiday;
- Day 1;
- Day 2 (this part);
- Day 3;
- Day 4 & 5; or
- Itinerary.
Hari 2
13 September 2014 (Sabtu)
Pagi kami dimulakan dengan setelah Subuh, kami berjalan menuju ke pasar pagi yang berdekatan dengan Hotel Golden Crown Plaza (sampai sekarang saya tidak ingat nama pasar ini). Sarapan pagi, kami memasak nasi dengan beras yang kami beli di pasaraya semalam dan berlaukan lauk yang dibeli di pasar malam Lee Garden. Di pasar pagi ini pula belilah beberapa perkara yang diperlukan. Antara yang saya belai adalah telur masin yang telah dimasak, dijual oleh seorang wanita Muslim Thailand (kerana memakai tudung, namun tidak boleh berbahasa Melayu). Agak murah bagi saya, kerana untuk 15 biji, harganya cuma ฿100 (+- RM10) sahaja. Selain itu beli juga kacang-kacang untuk kudapan semasa perjalanan. Selesai ke pasar kami pulang ke hotel.
Dalam jam 9 pagi, kami mendaftar keluar dari hotel dan meneruskan perjalanan kami ke bandar Songkhla (atau nama lama dalam Bahasa Melayu adalah Singgora). Semasa dalam perjalanan, kami di"sapa" (dengan membunyikan hon) oleh sekumpulan penunggang motor berkuasa besar dari Malaysia. Mungkin kerana melihat no plet kereta saya. Saya pun membalas. Tidak berapa jauh juga Songkhla ini dari Hat Yai, dalam 30 kilometer dan dalam 45 minit sahaja (lambat sikit kerana jalan banyak kereta dan perlu menempuh beberapa lampu isyarat). Kami terus ke pantai Samila kerana hendak bergambar dengan patung ikan duyung.
Sebenarnya bukan patung emas ikan duyung ini sahaja, tapi banyak benda lain yang menjadi tarikan pantai Samila ini seperti patung naga yang kepalanya di satu tempat, badannya pula di satu tempat lain dan ekornya di tempat lain, seolah-olah naga ini berada di dalam perut bumi dan ia sangat panjang. Gambar seorang pendeta sedang membaca buka di salah sebuah bulatan dan sebagainya. Pantainya juga agak panjang dan bersih memutih. Patung ikan duyung ini terletak di sebuah tanjung yang mana tidak berapa jauh darinya terdapat sederetan kedai menjual cenderhati. Oleh kerana kami sudah beli cenderahati lebih kurang sama di Hat Yai, tidak perlulah beli lagi.
Kami tidak lama di pantai Samila, kami meneruskan perjalanan kami ke Dongsak, Surat Thani yang berada 320 km dari pantai Samila ini. Jauh lagi perjalanan ini. Tidak lama selepas melewati bandar Songkhla, kami melintasi dua buah jambatan yang merentasi Tasik Songkhla yang merupakan tasik yang terbesar di Thailand. Seperti tidak boleh kami untuk membezakan antara laut dengan Tasik Songkhla ini, kedua-duanya kelihatan hampir sama. Banyak juga sangkar-sangkar ikan terdapat di tasik ini.
Memang sedap memandu di Thailand ini, dengan jalan seumpama lebuhraya yang percuma dan sekurang-kurangnya dua lorong sehala. Eh, rupanya bukan sepanjang jalan nombor 408 ini mempunyai 2 lorong sehala. Selepas 30 kilometer melepasi bandar Songkhla, jalan menjadi dua lorong dua hala (selorong bagi setiap hala), seperti kebanyakan jalan di Malaysia. Huhuhu, terpaksalah perlahan apabila sampai di belakang trak pick up yang perlahan. Namun sempatlah singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak yang kali terakhir diisi di Bukit Bunga. Pengisian penuh kereta Proton Gen-2 saya berjumlah ฿1400 (+- RM140) dengan petrol RON95 gred biasa. Kira-kira hampir dua kali ganda berbanding pengisian penuh di Malaysia yang biasanya dalam RM80.
Permandangan sepanjang perjalanan amat menarik kerana ada yang tiada atau tidak banyak didapati di Malaysia, contohnya, ada beberapa kincir angin yang bertujuan untuk janakuasa elektrik boleh didapati sepanjang laluan ini. Selain itu dapat dilihat sawah padi terbendang luas terutama ketika hendak hampir sampai ke Nakhon Si Tammarat. Alhamdulilah kira-kira 40 kilometer hendak sampai ke bandar Nakhon Si Tammarat, jalan kembali menjadi 2 lorong sehala. Sebenarnya jalan yang selorong sehala ini akan dinaik taraf kepada dua lorong, persediaan sudah ada cuma belum dibina sahaja.
Akhirnya, kami hendak sampai ke bandar Nakhon Si Tammarat (atau nama lama dalam Bahasa Melayu adalah Negara Sri Dharma Raja juga dikenali sebagai Ligor), namun saya mengambil untuk masuk bandar walaupun sepatutnya kalau hendak cepat saya hanya perlu terus ambil jalan nombor 4103 yang bersambung terus, kerana saya ingat saya perlu terus dengan jalan 408. Rupanya agak silap saya ambil jalan ini kerana disebabkan ini saya kehilangan lebih sejam. Ini kerana bandar Nakhon Si Tammarat agak panjang, lalu lintasnya agak sesak dan banyak lampu isyarat. Tetapi dapat juga melihat bandar ini yang mana lampu jalanannya mempunyai binatang-binatang yang ada dalam zodiak Cina.
Di sini juga terlihat ketika hendak sampai ke hujung utara bandar ini, tembok kota pertahanan bandar ini yang masih utuh walaupun tidak semua (maaf, lupa hendak ambil gambar). Dikhabarkan bahawa inilah kota pertahanan kerajaan Langkasuka satu ketika dahulu.
Perjalanan diteruskan di jalan 408 ini sehingga tiba-tiba kami ditahan. Rupanya kami memasuki kem tentera Thailand. Nampak dalam peta macam boleh jalan terus rupanya tidak, ia merupakan kem askar, huhuhu. Terus pengawal pintu masuk itu mengarahkan kami berpusing dan selepas itu saya pun keliru hendak ambil jalan mana. Nasib baik ada jalan kecil yang menuju ke jalan 412 yang merupakan jalan alternatif.
Akhirnya setelah kampung demi kampung di lalui, pekan demi pekan direntasi dan cuaca hujan yang lebat sehinggakan cerah kembali, sampai juga kami ke jeti feri Seatran di Dongsak. Kami sampai di sana pada jam 3:20 petang. Maklumat lanjut pasal feri RORO (feri bawa kenderaan) Seatran boleh layari laman webnya dengan klik pada Seatran.
Sampai sahaja di sana, kami perlu melalui kaunter pembayaran tiket. Jumlah yang perlu dibayar adalah sebanyak ฿845 (+- RM84.50) yang mana tiket feri bagi setiap dewasa (tiket berwarna biru) berharga ฿150 (+- RM15), kanak-kanak ฿75 (+- RM7.50) (tiket berwarna kuning) dan bagi kereta bersama pemandu berharga ฿470 (+- RM47). Sempat juga saya tanya, pukul berapa giliran kami naik feri kepada kerani kaunter tersebut. Beliau berkata dalam pukul 5:30 atau 6 petang. Huh, dah malam baru sampai Ko Samui la nampaknya.
Setelah pembayaran dibuat dan tiket diperolehi, maka saya memarkirkan kereta saya di belakang kereta terakhir beratur di situ. Diperhatikan juga bas-bas ekspres sedang menurunkan penumpang ke balai penumpang untuk mereka menunggu untuk naik ke feri. Setelah selesai, bas-bas ini beratur dan menunggu untuk memasuki feri. Seperti bas-bas ini mempunyai keutamaan untuk memasuki feri dahulu. Oleh kerana lama lagi, maka saya pun berjalan-jalan sekitar balai penumpang untuk melihat keadaannya.
Satu pengumuman telah dibuat, mungkin mengatakan bahawa kenderaan-kenderaan yang menunggu perlu bersedia untuk memasuki feri, agaknya kerana pengumuman di dalam Bahasa Thai. Maka saya kembali semula ke kereta. Nampak juga bas-bas dan sebuah lori mula bergerak menuju ke arah feri. Selesai kenderaan-kenderaan besar berkenaan, barulah kenderaan-kenderaan lebih kecil termasuk kereta kami bergerak. Ketika ini baru sahaja pukul 4 petang.
Namun ia terhenti pada dua kenderaan dihadapan saya. Betullah kata kerani tiket saya tadi, saya punya giliran adalah feri selepas ini. Kami tidak boleh nak bersolat kerana baju kami terkena najis air kecil anak perempuan kami yang terbuang air kecil semasa tidur. Hendak ambil baju di dalam beg agak sukar.
Tetapi tetiba petugas feri mengarahkan tiga kereta di hadapan barisan untuk bergerak menuju feri, dan ia termasuk kereta kami. Alhamdulillah, rezeki kami. Sebelum kereta kami memasuki feri (lagi 300 meter iaitu sebelum memasuki jeti), saya perlu menurunkan penumpang selain saya sebagai pemandu. Itulah peraturannya. Selepas itu, saya bawalah kereta saya terus memasuki feri.
Memang betul, kereta saya adalah kereta terakhir yang masuk ke dalam feri. Setelah kereta saya memasuki feri tersebut, saya mengikut arahan petugas feri tersebut dan memarkirkan kereta saya dan menarik brek tangan. Petugas-petugas feri pula segera meletakkan sesendal kayu pada setiap tayar kereta saya, bagi memastikan kereta tidak bergerak banyak sepanjang perjalanan.
Setelah pasti kereta saya selamat, saya segera menguncikan kereta untuk menaiki dek penumpang di atas untuk duduk bersama-sama keluarga saya. Rupanya mereka baru hendak menaiki feri. Bermengah-mengah juga mereka, kena berjalan jauh rupanya, dan perlu berjalan cepat pasal mereka merupakan penumpang terakhir yang akan naik feri.
Jadi di bawah ini merupakan sebahagian gambar-gambar di dalam feri ini. Feri yang kami naiki ini namanya Seatran 5.
Nampak kereta saya (Proton Gen-2 berwarna kelabu) yang merupakan kenderaan terakhir masuk ke dalam feri. Ini dinamakan rezeki, dan mungkin kerana Allah memakbulkan doa kami, Amin. Alhamdulillah.
Dek penumpang terdapat dua tingkat, iaitu di tingkat tengah-tengah mempunyai bahagian yang berhawa dingin dan juga tiada berhawa dingin. Yang berhawa dingin mempunyai kerusi berkusyen dan yang tidak berhawa dingin hanya tempat duduk plastuk. Harga sama, cuma siapa cepat dapatlah duduk di tempat duduk berhawa dingin. Terdapat juga kedai serbaneka yang jual makanan ringan dan minuman yang berbayar. Harganya pun tidaklah mahal, lebih kurang harga kedai di darat sahaja. Cuma kami tidak membelinya kerana kelihatan seperti tidak halal.
Di dek atas sekali terdapat juga tempat duduk yang open air. Saya dan anak lelaki saya duduk di sini. Memang nyaman sekali setiap kali dihembus angin. Cuma jangan duduk di bahagian belakang feri kerana akan menyedut asap berbau diesel yang dikeluarkan oleh feri ini. Di dek ini juga terdapat ruang tempat duduk VIP, hanya ahli sahaja yang boleh duduk di sini.
Sedang kami duduk menikmati permandangan dari atas feri, saya perasan sepasang penumpang yang duduk di hadapan kami bercakap Bahasa Melayu Malaysia. Jadi saya menegur. Rupanya mereka merupakan sepasang adik beradik yang menaiki penerbangan AirAsia yang mendarat di Surat Thani. Dari lapangan terbang tersebut, mereka mengatakan, mereka menaiki bas transit yang berkolobrasi dengan AirAsia untuk membawa mereka ke Ko Samui. Saya ada tanya berapa tambang, cuma saya terlupa ketika menulis catatan ini. Kami berborak bertukar-tukar pandangan perjalanan kami. Mereka terkejut selepas mengetahui kami ke Ko Samui menaiki kereta.
Setelah satu setengah jam mengharungi ombak (macamlah ombak kuat sangat, walaupun langit nampak gelap sahaja, tapi alhamdulillah tidak hujan dan ombak macam biasa sahaja), sampailah feri kami di jeti di Ko Samui yang terletak di pekan Nathon. Setelah feri selamat berlabuh dan selamat, maka berduyun-duyun kenderaan keluar dari perutnya, termasuklah kereta saya.
Maka, setelah keluar dari feri, saya membawa kereta berpandukan peta Google Maps untuk ke hotel yang kami telah tempah iaitu di Rose Garden Bungalow yang terletak di kawasan Lamai. Makan lalulah kami melalui pekan Nathon yang merupakan seperti pusat pentadbiran kerajaan di Ko Samui ini. Perjalanan ke hotel kira-kira dalam 17 kilometer yang mengambil masa kira-kira setengah jam melalui juga pekan Maret dan Lamai. Akhirnya pukul 6 petang sampai juga kami ke hotel.
Alhamdulillah, pengusaha hotel memang menunggu kami. Rupanya terdapat dua jenis penginapan di sini iaitu chalet kayu dan juga chalet (banglo) batu berkembar. Kami punya adalah yang batu punya, dan saya lihat ia agak berbaloi malah lebih lagi dengan harganya yang cuma RM60 semalam. Yang penting mempunyai akses terus ke pantai. Yang menarik lagi, jiran hotel/resort kami merupakan resort-resort bertaraf 5 bintang seperti Le Meridien dan Conrad. Oleh kerana kepenatan, maka kami hanya duduk sahaja pada malam ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan