Sabtu, 10 Mei 2014

Hari 3 (Kawthoung, Myanmar & Ranong, Thailand - 30 April hingga 03 Mei 2014) - Jejakan Singkat Kawthoung.

Bersambung dari Hari 2.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 3 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 2 or 
  • Day 4.




02/05/2014 (Jumaat)

Saya bangun awal pagi pada pukul 03:30 pagi, tapi azan Subuh hanya pada jam 04:57 pagi. Menunggu azan Subuh sambil saya buat persiapan untuk menyeberangi sempadan Thailand-Myanmar nanti. Pukul 05:00 pagi, baru saya solat Subuh. Pada pukul 06:00 pagi, saya bergerak dari hotel berjalan kaki untuk ke jeti, dengan harapan adalah teksi motorsikal ke atau songteaw ke, ada semasa berjalan, bolehlah saya ke sana tanpa banyak  berpeluh. Ini kerana saya tidak pasti yang perkhidmatan itu ada atau tidak? Semasa saya berjalan, saya telah terlepas sebuah songteaw dan sebuah teksi motor. Akhirnya, selepas sepuluh minit berjalan, saya berjaya menahan sebuah teksi motor.  


Semasa saya menaiki teksi motor itu, penunggang itu seperti tahu macam mana saya nak ke Kawthoung  (kalau ke jeti Ranong memanglah nak ke Kawthoung kan), lalu menawarkan khidmat pakej, siap hantar balik hotel! Dalam ฿1000 (+- RM100.00), mak oi, mahalnya. Saya tawar, ingat dapat la dalam separuh, dapat ฿800 (+- RM80.00) sahaja. Macam mana saya boleh terpukau entahlah, agaknya pasal takut dengan keselamatan diri kot, kerana bangsa benua ASEAN ini seperti Thai, Lao, Khmer, Vietnam dan sebagainya memang terkenal dengan kaki pemeras, tapi tidak semuanya. Takut nanti saya tersadai di Kawthoung pula. Saya bagitahu saya nak ke Hat Yai lepas ini. Dia boleh tahu pula bas ke sana akan berlepas pada pukul 10:00 pagi. Mungkin pasal saya hendak kejar bas itu kot yang menyebabkan saya terima pelawaan. Sampai di jeti Pusat Pemeriksaan Imigresen Sapanpla Ranong (nama pusat pemeriksaan di jeti ini) pasa pukul  06:15 pagi. 


Saya ingat pusat pemeriksaan imigresen ini akan dibuka pada 06:30 pagi berdasarkan maklumat yang saya Google, rupanya pada jam 07:30 pagi. Menunggulah saya lagi. Sebenarnya ada dua lagi pusat pemeriksaan imigresen di Ranong ini, iaitu di jeti Andaman Club Ranong tetapi ini khas untuk ke Andaman Club di Kawthoung yang merupakan sebuah resort dan tempat berhibur dan perjudian. Satu lagi di Paknam, di mana saya difahamkan, berdekatan dengan jeti Andaman Club Ranong, tetapi untuk untuk pelabuhan komersil.. 


Saya dikenalkan oleh penunggang teksi motor tadi dengan orang tengah bot. Dia akan uruskan perjalanan bot saya. Saya dikira membuat urusan "visa run" lah ni. Dia berkata, urusan akan ambil masa kira 1 1/2 jam sahaja. Sempat kalau nak kejar bas ke Hat Yai. Hai, itu pun dia tahu. Bersama dia, seorang perempuan agak cantik, asalnya saya ingat orang Thai, namun dia juga mahu buat "visa run". Rupanya dia warga Laos kerana saya terlihat pasport birunya menyatakannya. Pada jam 07:10 pagi, orang mula berbaris di hadapan kaunter imigresen. Saya dapat juga berada di nombor 3 dalam barisan dan orang tengah bot tadi membawa wanita Lao tadi ke belakang saya. Ramai juga yang pegang pasport warna ungu iaitu pasport Myanmar, kira mereka bermudik la ye. Jam 07:20 pagi, kaunter imigresen keluar Thailand pun dibuka, kira awal juga. Giliran saya 3 minit selepas itu. Pegawai imigresen Thai bertanya kepada saya pelbagai soalan dalam bahasa Melayu. La, di sini pun ada pegawai imigresen orang Melayu, saya ingat di sempadan Malaysia-Thai je. Kira mesra juga la, mungkin pasal dia perasan pasport Malaysia & pemiliknya orang Melayu. Sekejap sahaja, terus dicop keluar pasport saya. Pemeriksaan imigresen di Sanpanpla ini hanya ada kaunter berlepas & ketibaan sebelah menyebelah, tiada garisan pemisah kecuali laluan beratur sahaja. Cuma terbaik di pusat pemeriksaan ini, tiada selitan duit diperlukan. Malah siap ada kenyataan, jika ada sebarang permintaan wang, mohon laporkan di Pejabat Imigresen Ranong. Macam inilah bagus.


Suasana dari Jeti Sanpanpla.

Harga untuk warga Myanmar biasa adalah cuma ฿50  (+-RM5.00) sahaja, jika tanpa melalui orang tengah.

Selepas itu saya dibawa ke bot yang membawa kami ke Myanmar. Saya diminta untuk membayar ฿500 (kira-kira RM50.00) kepada orang tengah. Maka saya, wanita Lao dan sepasang warga Myanmar berlayar ke Kawthoung. Bot singgah di jeti pos kawalan imigresen Thai dan Myanmar di tengah laut, bukan untuk dicop tetapi untuk pemeriksaan sahaja. 


Sepatutnya berhenti di pusat kawalan tentera Thai tapi tekong bot cuma menyapa sahaja. Tetapi yang menarik, habis sapaan, enjin bot berhenti, namun dapat dihidupkan selepas beberapa kali usaha. Dapat saya perhatikan yang kami sedang membelahi muara Sungai Kra di sebalah kanan dan Laut Andaman di sebelah kiri kami. 




Semasa di tengah laut berdekatan dengan pulau pemeriksaan tentera Thai, tiba-tiba bot kami mati enjinnya. Sedikit lagi hendak langgar batu semasa kami hanyut. Sempat juga saya ambil gambar dicelah-celah batu di atas terdapat banyak ketam-ketam nipah. Kalau tangkap & buat masak manis masam, sedap ni. Nyam, nyam...




Akhirnya selepas 25 minit, sampai juga di Kawthoung. Akhirnya jejaklah kaki saya ke tanah Myanmar, negara ke-6 di ASEAN yang telah saya jejaki secara rasmi, eh belum lagi, pasport belum dicop, hehehe. 

Jeti Myo Ma di bandar Kawthoung, Tanintharyi, Myanmar



Terus saya ke daratan dan ke pejabat imigresen Myanmar. Oh, rupanya saya salah kaunter, sepatutnya saya perlu ke kanan selepas jeti untuk ke pondok khas untuk warga asing, tapi saya ke kiri yang untuk warga Myanmar. Sampai ke bangunan pegawai imigresen itu tunjukan. 

Inilah bangunan imigresen untuk warganegara bukan Myanmar. Naik dari jeti terus ke kiri, akan jumpa bangunan ini.

 


Sepatutnya saya ekori perempuan Lao tu, huhuhu. Sampai sana, kaunter kosong, eh mana pegawai imigresen dan mana perempuan Lao tu? Rupanya pegawai imigresen tu selamba baring berehat, dengan baju biasa, baji seragam digantung. Muka pegawai imigresen ini macam orang Bangladesh pun ada. Saya serahkan pasport saya beserta US$ 10 yang cantik tu kepadanya. Dia tanya saya hendak tidur di sini atau balik hari, saya kata balik hari, dan terus pasport saya dicop masuk dan keluar pada masa itu juga. Akhirnya secara rasmi, negara ke-6 ASEAN dan negara ke-9 di dalam pasport semasa saya, yang saya terima copnya. Di atas kaunter, terdapat kadar hotel jika ingin menginap di Kawthoung ini. Selepas itu saya keluar ke kawasan pekan Kawthoung ini. 


Kawthoung, bermaksud Pulau Dua dalam Bahasa Melayu (yang mana masih digunakan bagi penduduk Melayu Myanmar) diambil dari bahasa Thai, Ko Song, lagipun Kawthoung disebut Kowsaung dalam bahasa Myanmar. Semasa penjajahan British, tempat ini yang merupakan titik terselatan dalam India British (Myanmar atau ketika itu Burma, adalah sebahagian dari India British yang termasuk negara India, Pakistan, Bangladesh, Sri Lanka dan Nepal ketika ini) dikenali sebagai Victoria Point. 



Saya ke menara jam bandar ini untuk mengambil gambar kenangan. Masyarakatnya pelbagai, ada yang muka kebiasaan orang Myanmar, yang matanya agak sepet tetapi kulit sawo matang, ada muka macam orang Bangladesh dan ada muka macam orang Melayu. Saya ada terdengar ada antara mereka bertutur bahasa Melayu loghat utara. Bangga pula saya. Memang ada tinggalan kerajaan Melayu di sini. Tanah ini dahulunya adalah kepunyaan kerajaan Melayu, malah termasuk antara kawasan pemerintahan kerajaan Melayu Langkasuka. Namun kerana bangsa Burma dan Siam (Thai) bersengketa dan menceroboh pula ke kawasan Melayu sedangkan sebelum ini mereka ada buat perjanjian agar kawasan Melayu ini tidak diganggu. Maka kawasan Tanah Sari atau kini dikenali sebagai rantau Tanintharyi di tenggara Myanmar menjadi "milik" Myanmar. Di sini juga kalau dilihat dalam peta, masih banyak tempat bernama dalam bahasa Melayu seperti Kampong Ulu, Kampung Tengah dan Pulo (pulau yang menempatkan Andaman Club). 



Setelah mengambil beberapa gambar di pekan Kawthoung ini, saya ingat mahu ke bukit yang menandakan titik darat terselatan negara Myamnar, tetapi saya tersedar saya dipanggil oleh jurukemudi bot. Terpaksalah saya ke bot, selamat dia panggil, kalau tak memang saya nak lama di sini, tapi apakan daya, kena kejar bas pukul 10:00 pagi. Cuma sayang, saya tidak dapat ke Victoria Point dan meneroka lebih mendalam lagi Kawthoung ini. Namun ia adalah antara 15 minit yang terindah dalam hidup saya. 


Selepas itu, bot kami (yang sama seperti ke Kawthoung) meluncur kembali di Ranong.


Semasa di pusat pemeriksaan tentera Thai, saya tangkap gambar salah sebuah bot ini terdapat penumpang pakai tudung. Kemungkinan orang dari Thailand atau Myanmar. Menunjukan terdapat orang Islam atau Melayu di perbatasan ini. Sebenarnya di bandar Kawthoung tadi ada juga wanita pakai tudung, cuma saya tidak sempat untuk mengambil gambar.


Selepas diperiksa di ketiga-tiga pos kawalan, terus ke jeti Sanpanpla, Ranong. Setelah saya mengecop masuk ke Thailand balik, saya disapa kembali oleh penunggang teksi motor tadi. Saya minta dibawa ke hotel untuk mengemas beg dan mendaftar keluar. Sampai di hotel, baru saya perasan yang pasport saya diberi visa 15 hari sahaja, sepatutnya 30 hari. Tidak mengapalah, saya akan keluar dari Thailand ini hari itu atau kes luar jangka, esoknya. Cuma lain kali, jika anda berada lama di Thailand, perlu periksa dahulu cop visa anda terlebih dahulu.


Saya daftar keluar dan setia juga penunggang teksi motor ni, setia bermakna. Saya suruhnya tunggu kerana saya mahu tukar wang di bank berdekatan (Krung Thai Bank) kerana bekalan baht saya sudah sedikit. Takut saya dicaj lebih-lebih oleh teksi motor ini, tapi nombor giliran saya agak jauh, kira-kira 30 nombor. Terus saya kembali dan minta penunggang teksi motor itu ke tempat tukar duit yang lebih cepat. Dia bawakan saya ke cawangan Bangkok Bank. Terus berjumpa dengan pengurus bank. Dapatlah bekalan sedikit wang baht. Selepas selesai, terus saya dibawa ke stesen bas, takut terlepas bas pula. 


Masa kami sampai, masa itu juga bas ke Ranong sampai di stesen bas. Untuk tambang keseluruhannya, penunggang teksi itu meminta ฿400 (+- RM40.00). Lebih pula ฿200 (+- RM20.00)  dari asalnya. Tidak mengapalah, khidmat diberi pun baik, saya anggap rezeki dia hari ini. Alhamdulillah, saya dapat juga tiket bas ke Hat Yai berharga ฿420 (+- RM42.00)


Bermulalah perjalanan 8 jam setengah yang memenatkan. Kami berhenti di Lang Suan untuk membuang apa yang patut dan di stesen minyak PTT berhampiran dengan Surat Thani untuk makan. Namun saya tidak boleh makan kerana tiada kedai halal di sini, malah tiada surau. Cuma saya fikir, perlukah saya solat di tengah-tengah kawasan lapang yang akan dipandang oleh orang ramai yang rata-rata bukan Islam. Maka saya ambil keputusan untuk solat di atas bas secara duduk sahaja, untuk elak perhatian orang. Jadi saya mengambil wuduk di singki di luar tandas. 

Gambar bas yang saya ambil ketika berhenti di stesen minyak PTT berhampiran Surat Thani. 

Di atas bas, selepas 15 minit, saya solat duduk atas kerusi untuk jamak qasar Zohor & Asar (walaupun ia hari Jumaat, namun ia luput kerana saya sedang bersafar (musafir)). Itu mendapat perhatian beberapa orang di dalam bas. Saya endahkan sahaja.

Perjalanan pulang ini saya perhatikan harga minyak di stesen-stesen minyak yang dipaparkan di hadapan stesen masing-masing. Harga hampir serupa sahaja sebagaimana pemerhatian saya ketika perjalanan ke Ranong dari Hat Yai. Walaupun ada stesen minyak bersebelahan, harga berbeza antara stesen. Bagi petrol RON 85, harga sekitar ฿30 (+- RM3.00), petrol RON 95, sekitar ฿47 (+- RM4.70) dan RON 97 sekitar ฿50 (+- RM5.00). Tidak hairanlah kalau di sempadan seperti di daerah Khuan Don di Satun, Padang Besar, Dannok dan Betong, banyak dijual petrol seludup Malaysia, kerana harganya lebih separuh lebih murah!!! Itupun ramai rakyat Malaysia tidak bersyukur...


 Jam 18:50 (6:50 petang), bas pun sampai di Stesen Bas Hat Yai. Saya segera meminta salah seorang penunggang teksi motor membawa saya ke Lee Garden untuk bas ke KL. Sampai sahaja, selepas membayar ฿80 (+- RM8.00) kepada penunggang teksi motor itu, saya segera ke kedai ejen syarikat bas Konsortium, tetapi ia telah tutup! Saya segera ke kedai ejen bas Alisan, juga tutup. Alamak macam mana ni, saya terus ke ejen KKKL, nampak ada basnya lagi di luar, harap ada la juga, namun tiket habis... Saya ke ejen Sri Maju di sebelah kedai ejen KKKL, juga habis, tapi saya diminta tunggu untuk pastikan ada bas lain yang ada lagi, namun juga habis. Mahu tidak mahu saya terpaksa beli bas keesokannya pukul 10:00 pagi dengan harga ฿500 sahaja (+- RM50.00), lebih murah dari di Puduraya, siap insurans lagi. Saya beli dengan Sri Maju kerana ejennya agak peramah tidak seperti KKKL tadi. Siap menawar hotel, cuma saya mahu bermalam sahaja, dan saya tahu mana hotel yang agak murah. 


Sambil tu saya tukar lagi wang RM50, BND 10 & CNY 30 di Davis Tour & Travel ini (ejen Sri Maju) dan dapat ฿884 (+- RM88.40) untuk beli barang sedikit seperti cenderahati dan makanan, sementara ada di Hat Yai. 


Saya terus ke Cathay Guest House, tanyakan ada bilik lagi. Alhamdulillah ada, cuma ฿240 (+- RM24.00) sahaja walaupun kemudahan asas dan berkipas sahaja. Alah, saya hendak tidur sahaja. WiFi tiada pun tidak mengapa kerana saya masih ada plan data internet dari kad SIM dtac Happy.


 



Saya meletak beg saya di bilik dan segera saya ke Lee Garden untuk ke pasar malamnya yang agak dikenali bagi sesiapa yang datang ke Hat Yai ini. Saya singgah makan di Restoran Maliam atau Restoran Mariam yang tidak jauh dari hotel saya menginap untuk makan. Restoran ini halal dan dipunyai oleh orang Melayu Thai. Boleh berbahasa Melayu lagi. Saya pesan tom yam campur, kailan ikan masin, telur mata kerbau (tapi dapat telur dadar) dan kerabu sotong. Tapi bahagiannya agak besar, padanlah masa pesan tadi macam terkejut je pelayan tu. Tidak mengapa, dah 2 hari tak jumpa nasi, dan dah lebih 13 jam saya tidak jamah makanan. Memang habis, alhamdulillah. Harga pun dengan ฿310 (+- RM31.00) sahaja.


Ada seekor gajah berjalan di tengah-tengah bandar Hat Yai, satu senario yang tidak akan kelihatan di mana-mana di Malaysia.

Kemeriahan pasar malam di Hat Yai. Penuh dengan orang Malaysia dan Singapura sahaja.


Setelah itu, saya ke pasar malam dan beli berapa barang untuk dibawa pulang. Sambil itu, saya membeli sebungkus pulut mangga berharga ฿50 (+- RM5.00) untuk kudapan malam. Sedap sangat, cuma mangga tidak berapa manis, kira sesuai lah. Tidak banyak gambar saya ambil kerana pada masa selepas ke Ranong, bateri telefon sudah sedikit dan power bank sudah habis terus (terlupa bawa pengecaj), jadi saya tinggalkan telefon di hotel untuk dicaj. Saya balik dan terus tidur.

Akan bersambung ke Hari 4.

Atau ingin melihat:


If want to read in English: 

  • Day 3 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 2 or 
  • Day 4.

Jumaat, 9 Mei 2014

Hari 2 (Kawthoung, Myanmar & Ranong, Thailand - 30 April hingga 03 Mei 2014) - Ranong Yang Direnung.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 2 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.




01/05/2014 (Khamis)

Pukul 01:05 pagi barulah bas yang ditunggu baru sampai di Pudu Sentral ini. Baru sahaja bercadang untuk membatalkan kembara ini. Pukul 01:20 barulah bas ini bergerak menuju ke Hat Yai. Bas ini sebenarnya bagus juga, siap ada WiFi lagi. Memandangkan perjalanan bas ini di waktu malam hari, maka saya tidur sahaja selepas tol Jalan Duta. Saya tersedar dari tidur apabila bas tiba di tol Juru pada pukul 05:30 pagi. Bas ini berhenti sebentar di stesen minyak Shell tidak jauh dari tol Juru ini untuk mengisi minyak. Saya mengambil kesempatanuntuk melakukan ada yang patut. Apabila bas meneruskan perjalanan, saya tidur balik, tapi tidak lama, kerana telefon saya berkumandang bunyi azan Subuh, maka saya mengambil wuduk secara spay air yang memang dibawa dan solat Subuh secara duduk di atas bas. 


Sampai di Changlun pada jam 07:00 pagi, kemudian bas singgah di restoran CTC di tepi lebuhraya menuju ke Bukit Kayu Hitam, selepas persimpangan ke Sintok dan Arau, untuk buat borang ketibaan dan berlepas imigresen Thai oleh syarikat bas di sini. Ia adalah percuma sahaja. Suasana pagi di sini agak berkabus tebal. Sejuk hati memandang.


Di CTC ini, terdapat restoran untuk makan, juga pelbagai perkhidmatan lain seperti pengurup wang asing, perkhidmatan dengan urusan sempadan Malaysia-Thailand, insurans kereta Thailand dan Malaysia dan jualan kad SIM pra bayar bagi kedua-dua negara. Harga makanan di restoran ini agak mahal, melainkan kalau sudah lapar sangat, saya rasa baru saya makan. Begitu juga dengan kad SIM Thailand, harganya mungkin dinaikan sedikit, bagi saya lebih baik saya beli di Dannok atau Hat Yai sahaja. 


Begitu juga dengan kadar tukaran asing oleh pengurup wang di sini, contohnya hendak tukar kepada baht, kalau RM100.00 cuma akan dapat ฿972 sahaja berbanding di masjid India akan dapat ฿978. Namun saya perlu tukar juga kerana saya hanya tukar sidikit sahaja di KL. Selain itu saya juga membuat beberapa matawang lain seperti Ringgit Brunei (BND) (di sini dinyatakan tukaran dengan Dollar Singapura (SGD) kerana nilainya sama) dan Yuan China (Renmenbi/RMB)/CNY) yang ada di dalam simpanan saya. Dapatlah bernafas sikit semasa di Thailand nanti.


 

Inilah bas ekspres yang saya telah naiki untuk ke Hat Yai dari Pudu Sentral.

Pukul 08:05 pagi, bas kami mula bergerak dari CTC menuju ke Bukit Kayu Hitam. Keadaan trafik agak baik dan kurang sesak di sebelah Malaysia (seperti biasa di mana-mana pintu sempadan daratan di Malaysia). Kami sampai di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam Malaysia pada 08:15 pagi dan bas berhenti untuk menurunkan kami bagi urusan keluar dari Malaysia. 


Orang beratur di kaunter pejalan kaki (penumpang bas dikira pejalan kaki), walaupun asalnya saya ingin mendapatkan cop pasport keluar Malaysia (berbentuk segitiga merah) sebagai kenangan, namun oleh kerana banyaknya orang, maka saya mengambil keputusan untuk menggunakan Auto Gate sahaja. Lebih cepat. Saya orang pertama di dalam bas yang berjaya selesai prosedur imigresen Malaysia. Sempat juga saya ambil gambar dan berborak dengan pemandu bas. Macam-macam juga berborak, sambil itu saya meminta agar beliau dapat turunkan saya di stesen bas Hat Yai kerana bas ini akan berhenti di depan pejabat ejen di tengah bandar Hat Yai.


Jam 08:45 pagi, selesai urusan imigresen bagi semua penumpang bas yang saya naiki di imigresen Malaysia, dan kami meneruskan perjalanan ke  Pusat Pemeriksaan Sempadan Sadao pula. Kami cuma sampai di imigresen Thai kira-kira jam 08:45 waktu Thailand (iaitu lambat sejam dari waktu Malaysia, bermakna pukul 09:45 pagi waktu Malaysia, bermakna kita perlu menyesuaikan jam kita agar tidak silap) walaupun jaraknya cuma 1km dari Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam. 

Tanda 0 km Lebuhraya E1 (Lebuhraya Utara Selatan @ NSE), bermulanya NSE di sini.

Trafik agak sesak disebabkan bas-bas perlu menurunkan penumpang untuk pemeriksaan imigresen dan kastam (bermakna perlu membawa sekali semua beg-beg yang dibawa). Juga sesak kerana, setiap kereta yang ingin melaksanakan prosedur imigresen dan urusan masuk kereta ke Thailand, perlu memarkirkan kereta di lapangan letak kereta dan setiap orang yang ada di dalam kereta perlu turun dan beratur di kaunter imigresen (sama juga di mana-mana sempadan Thailand sebagai mana yang pernah saya alami semasa jalan-jalan ke Betong tempohhari). Ini kerana, setiap pengunjung ke Thailand, perlu diambil gambar mukanya semasa urusan imigresen.


Di imigresen Sadao ini (atau sebenarnya Dannok sebenarnya kerana pekan sempadannya adalah Dannok, Sadao terletak 10 km ke utara, mungkin nama Sadao diambil sempena nama daerah atau amphoe dalam bahasa Thai). Biasanya di sini agak cekik darah, di mana borang imigresen tidak diberi, sebaliknya kena guna penulis yang upahnya RM2 (cuma ini tidak perlu kerana borang sudah dibuatkan oleh syarikat bas di CTC tadi) dan kena selit RM2.00 untuk "bayaran" urusan imigresen yang sebenarnya percuma. 


Kali ini saya cuma selit RM1.00 sahaja dalam pasport. Barisan saya agak laju dan juga pendek, mungkin disebabkan kedudukannya di depan berbanding beberapa kaunter yang dibelakang, dari psikologinya nampak kaunter dibelakang itu pendek dari depan, namun sebenar lebih panjang berbanding barisan saya yang melimpah tapi sebenarnya pendek kerana kedudukannya di depan. Alhamdulillah kali ini cuma RM1.00 sahaja. Mungkin kerana itu "bayaran"nya pada masa ini atau kerana orangnya ramai. Saya rasa ada dalam 500 ke 1000 orang pengunjung ke Thailand ini, maka saya rasa berapa banyak pegawai imigresen Thailand akan dapat pada kali ini. Yang penting, inilah antara kos masuk termurah masuk ke yang pernah saya dapat (kecuali di Pengkalan Kubur-Tak Bai yang tiada langsung bayaran). Akhirnya saya selesai dengan prosedur imigresen Thailand dalam masa 15 minit sahaja.


Kemudian tidak ke bas, tetapi terus ke 7-Eleven terdekat dengan sempadan, untuk membeli kad SIM dtac Happy Tourist yang bernilai ฿299 (+- RM30.00) pula (sebelum ini saya membeli kad SIM sama bernilai ฿49 (+- RM5.00), kali ini ambil ฿299 kerana saya akan berada lebih lama di Thailand). Selepas itu saya kembali menaiki bas, sambil itu sempat juga saya beli Pulut Ayam yang berharga RM7.00, buah tembikai dan mangga muda berharga RM5.00 untuk sarapan dan kudapan di dalam bas. Boleh pakai Ringgit di Dannok dan juga beberapa tempat di Hat Yai, boleh tumpukan pakai baht di tempat lain.


Di dalam bas saya masukan kad SIM dtac itu, kemudian saya aktifkan Flexiroam yang memang jadi kaedah saya untuk membuat perayauan antarabangsa telefon saya kerana ia lebih banyak murah berbanding perayauan antarabangsa yang biasa. Cuma RM10 sehari dan dapat kad SIM tempatan, kita cuma bayar harga sms antarabangsa bagi panggilan keluar dan kadar panggilan tempatan di Malaysia bagi terima panggilan masuk. Murahkan, jadi pakailah Flexiroam jika keluar negara. 


Pada jam 09:20 pagi barulah bas bergerak dari Dannok menuju ke Hat Yai. Setelah itu, bas telah sampai di stesen bas Hat Yai jam 10:20 pagi, hanya saya seorang sahaja turun pasal yang lain turun pusat bandar. Semasa di stesen bas ini, saya agak mengagau cari kaunter tiket ke Ranong pasal semua tulisan cacing (tulisan Siam). 



Namun akhirnya dapat juga beli tiket bas ke Ranong selepas tertengok basnya (di dinding bas kerajaan Thai ini ada menyatakan laluannya) dan juga selepas menanya kaunter demi kaunter. Harga tiket bas kerajaan ini berharga ฿420 (kira-kira RM42.00) dari Hat Yai ke Ranong. Bas bergerak ini jam 11:00 pagi dari stesen bas Hat Yai.



Belakang tiket, terdapat jadual waktu bas ini berlepas dari Hat Yai dan Ranong, 3 kali sehari. Dari Hat Yai, jam 07:00 pagi, 11:00 pagi & 21:00 (9:00 malam), dari Ranong pula, jam 06:00 pagi, 10:00 pagi & 20:00 (8:00 pagi).


Semasa membayar tiket bas ini, dapat pula duit syiling ฿5 (bernilai lebih kurang 50 sen Malaysia) yang tidak pernah dapat sebelum ini. Alhamdulillah, dapat juga dijadikan koleksi.


Bas ini, walaupun ekspres, tetapi tetap mengambil penumpang bukan sahaja di stesen-stesen bas bandar-bandar atau pekan-pekan sepanjang laluannya, malahan di tepi jalan juga. Dengan susunan tempat duduk empat tempat duduk sebaris, berbanding kebiasaan tiga tempat duduk sebaris di Malaysia, saya rasa agak kurang selesa sedikit. Kena pula yang duduk di sebelah kita adalah orang lelaki. Tidak mengapa, inilah pengalaman orang mengembara. 

Sambil itu saya merenung ke luar jendela bas melihat permandangan negara Thailand ini yang dahulunya merupakan salah satu dari tanah-tanah orang Melayu.  Nama Ranong berasal dari perkataan Melayu, Rundung. Kira amat sesuai dengan keadaan kini, di mana tanah Rundung/Ranong, milik orang, bukan milik Melayu. Kira orang Melayu perlu mengenang nasib kita yang memang merundung malang kerana kehilangan wilayah-wilayah Melayu kepada bangsa Siam & Burma ini. Saya merenung keluar menembusi kaca tingkap bas, bagaimana keadaan Ranong yang akan sampai selepas ini.


Pukul 14:05 (2:05 petang), bas ini sampai untuk berehat di kawasan rasanya namanya Nong Hong dalam Wilayah Nakhon Si Thamarrat. Semua turun di sini. Saya pun turun untuk ke tandas dan jika boleh untuk makan. Namun restorannya jelas tidak halal. 


Rupanya di ruang belakang tandas terdapat jalan menuju ke surau, alhamdulillah. Maka saya solat jamak qasar berjemaah Zohor Asar dengan beberapa orang Muslim Thai. Sebelahan dengan surat itu, terdapat kedai makan Islam di sini. Namun saya tidak sempat makan, kerana gerak hati saya mengatakan bas mahu berjalan. Memang betul telahan saya, nasib baik tidak tertinggal, kalau tidak, habislah, kerana beg saya ada di dalam bas.


Bas pun bergerak pada jam 14:30 (2:30 petang). Rupanya perjalanan jauh lagi, naik kematu punggung, dengan tempat duduk kecil. Memandangkan saya merasakan saya akan sampai lewat malam dan tidak sempat untuk ke Kawthoung lagipun agak bahaya jika menaiki bot waktu malam, maka saya ke applikasi Agoda, untuk menempah hotel. Saya membaca pelbagai maklumat mengenai pelbagai hotel yang ada di Ranong, akhirnya saya memilih Luang Poj Boutique Hotel. Hotel ini antara termurah dan ada WiFi & pendingin hawa di mana cuma tambah beberapa ringgit sahaja berbanding hotel tiada WiFi & pendingin hawa. Di Agoda ini, kita membayar menggunakan kad kredit dan mengikut matawang asal kita. Harga hotel Luang Poj ini cuma RM51 sahaja semalam.


Dalam perjalanan ini, saya perhatikan juga stesen-stesen minyak yang ada di tepi jalan. Kebanyakannya memaparkan harga-harga minyak-minyak yang ada dijual di premis mereka. Ada banyak, malah sehingga sepuluh jenis harga. Hentak tau minyak jenis apa, tidak berapanampak, dan kalau nampak pun, ia dalam tulisan Thai. Cuma apa yang saya dimaklumkan oleh penumpang di sebelah saya, harga yang atas sekali adalah petrol yang paling murah yang dipanggil gasolin oleh mereka berRON 85. Harga pun berbeza-beza waima stesen yang bersebelahan. Paling murah saya lihat adalah ฿30.25 (+- RM3.025) bagi gasolin RON 85 malah ada sampai ฿30.68 (+- RM 3.068). Ada ternampak tulisan 95 dan 97 di dua tiga stesen, yang saya rasakan RONnya. RON 95 & 97 dipanggil benzin, harga bagi RON 95 adalah dari ฿42 ke ฿44 (+- RM4.20 ke RM4.40), manakala RON 97 sekitar ฿48 ke ฿50 (+- RM4.80 ke RM5.00)

Lima jam kemudian iaitu pukul 19:30 (7:30 malam), setelah 8 1/2 jam perjalanan akhirnya sampai juga di seberang stesen bas Ranong. Sebelum itu, kira-kira sejam sebelum sampai ke stesen Ranong, bas perlu berhenti kerana ada pemeriksaan tentera Thai di tengah-tengah hutan! Memang setiap orang diperiksa dokumen pengenalan diri, termasuk pasport saya yang diperiksa teliti. Alhamdulillah, lepas juga. Di Ranong, basnya sebelah kanan jalan, bukan di stesennya di sebelah kanan jalan. 



Turun sahaja dari bas, terdapat banyak penyedia teksi motor menawarkan perkhidmatan mereka. Saya terus ambil salah satu teksi motor untuk ke hotel dengan bayaran ฿80 (kira-kira RM8.00). Agak mahal dengan perjalanan kira-kira 3 km. Tidak mengapalah, pengalaman. Saya daftar masuk hotel ini dan segera solat jamak Maghrib dan Isyak (secara qasar. 


 

Kad perniagaan hotel ini, perlu ambil agar memudahkan kita untuk pulang balik ke hotel. Boleh juga jika mahu tempah pada masa akan datang.

Keadaan bilik yang selesa dan kemas. Cuma tiada almari sahaja. Bilik saya ini tiada tingkap.

Tandas hotel ini perlu berkongsi dengan bilik lain (kira konsep asrama). Cuma saya bernasib baik, tidak berebut dengan penginap lain.

Keadaan lobi. Banyak barang antik di sini.

Saya segera mengecaj telefon saya yang sudah hendak habis baterinya. Power bank tinggal sikit lagi, namun saya terlupa pula bawa pengecajnya. Soket plag di Thailand ini adalah seperti gambar di bawah, lebih kurang sama di Filipina. Kalau plag 2 pin Malaysia boleh masuk cuma plag 3 pin kena pakai penyuai (adapter). 



Baru sedar kali terakhir saya makan 9 1/2 jam yang lalu (makan pulut ayam di dalam bas). Macam berpuasa pula, baik saya puasa sunat Rejab, huhuhu, tetapi saya adalah minum air sahaja. Sebenarnya tidak rasa lapar, namun bila dah lama, dan bila teringat, laparnya tidak ingat. Jadi saya keluar hotel untuk cari makanan. Rupanya, 7-Eleven dengan hotel selang 3 kedai sahaja. Dan di seberangnya ada kedai makanan muslim. Jadi saya beli air mineral di 7-Eleven dan beli roti telur 2 keping yang berharga ฿15 (+- RM1.50) sekeping (oleh kerana lapar sangat, sampai lupa nak ambil gambar). Akhirnya saya kembali ke hotel dan jam 22:00 (10:00 malam), saya pun tidur. 

Akan bersambung ke Hari 3.

Atau ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 2 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.

Isnin, 5 Mei 2014

Hari 1 (Kawthoung, Myanmar & Ranong, Thailand - 30 April hingga 03 Mei 2014) - Menjejaki Perbatasan Alam Melayu.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.


Sebenarnya, kembara ini saya terancang ketika sibuk membaca blog-blog pengembara dan pelancong ke selatan Thailand. Lagipun sahaja hendak melihat perbatasan terakhir dunia Melayu.

Kawthoung (disebut Ko Song), satu nama yang agak jarang-jarang kedengaran di telinga rakyat Malaysia. Ia merupakan salah sebuah bandar di negara Myanmar (atau dulu dikenali sebagai Burma), adalah juga merupakan titik daratan terselatan negara Myanmar. Perkataan Kawthoung bermaksud Pulau Dua di dalam bahasa Thai iaitu Ko Song, dieja secara tulisan latin (rumi) dalam bahasa Myanmar. Pulau Dua juga merupakan nama bandar ini dalam bahasa Melayu, kerana penduduk asal kawasan ini adalah orang Melayu. Ini jelas dengan kawasan sekitarnya masih menggunakan nama bahasa Melayu seperti Kampong Tengah, Kampung Hulu, Pulo (pulau) dan sebagainya. Masih ada pengaruh keMelayuan di sini. Nama rantau atau wilayah Kawthoung berada adalah Tanintharyi daripada Tanah Sari juga asal dari nama Melayu. Semasa penjajahan British, bandar ini bernama Victoria Point.



Hati saya agak ingin tahu apa yang ada di sana, selain dalam misi saya untuk menjejakan kaki dan mendapatkan cop pasport bagi kesemua kesepuluh-sepuluh negara di dalam pertubuhan ASEAN.

Saya tidak merancang secara teliti mengenai kembara kali ini. Cuma saya telah bercadang untuk membuat kembara ini di dalam bulan Mei 2014. Ada pilihan sama ada hendak pergi pada cuti Hari Pekerja yang jatuh pada hari Khamis. Jadi saya akan ambil cuti hari Jumaat. Atau pergi pada hari Jumaat malam Sabtu, 09 Mei 2014, kerana hari Selasa, 13 Mei 2014, adalah Hari Wesak, dengan saya mengambil cuti hari Isnin. Kedua-duanya terdapat empat hari cuti.

16 April 2014 (Rabu)

Saya sengaja pergi berjalan-jalan sebentar ke Pudu Sentral. Sambil-sambil tu membuat tinjauan mengenai kembara ini. Ketika ini, saya belum tetapkan sama ada saya hendak pergi atau tidak. Namun, semasa saya bertanya harga tiket Alisan, saya terus beli tiket ini kerana tiket bas ini hanya tinggal 1 tempat duduk sahaja. Jadi saya kira dan beriltizam untuk kembara ini.


23 April 2014 (Rabu)

Pada waktu rehat tengahari, saya ke kawasan Jalan Masjid India untuk menukar wang Peso Filipina (PHP atau ₱) untuk kembara saya Manila pada dua hari selepas itu. Sambil itu, saya tinjau juga nilai Baht Thai (THB atau ฿) untuk kegunaan sepanjang kembara ini di Thailand & Kawthoung, Myanmar (yang mana boleh menggunakan ฿) dan Dolar Amerika Syarikat (USD @ US$), untuk kegunaan pembayaran untuk visa Myanmar nanti.

Saya meninjau 4 buah pengurup wang di situ (boleh rujuk artikel saya mengenai pengurup wang di Masjid India), dan melihat kedai HM Ghazali Ahmad Sdn Bhd telah memberikan kadar terbaik. Saya pun menukar US$ 10.00 dan beberapa ฿ (tidak banyak kerana saya hendak tukar di Changloon atau Dannok nanti, cukup jika berlaku kecemasan sahaja).

 


US$ 10.00 = +-RM 3.26

(Gambar duit-duit ฿ boleh rujuk artikel Kembara Ke Hat Yai)


30/04/2014 (Rabu)

Saya bergerak dari rumah menaiki skuter saya ke Pudu Sentral atau dahulunya dikenali sebagai Puduraya pada pukul 23:00 (11:00 malam). Perjalanan dalam keadaan lancar sahaja, kerana sudah hampir tengah malam. Saya sampai di Pudu Sentral pada jam 23:20 (11:20 malam). Terus saya memakir ke tempat parkir motorsikal di tingkat 2, keadaan parkir yang tertutup dan insya Allah selamat.


Parkir motorsikal ini merupakan parkir berbayar yang diuruskan sendiri oleh pemilik dan pengurus bangunan Pudu Sentral iaitu UDA Mall Sdn Bhd, anak syarikat UDA Holdings Berhad.


Di parkir ini mudah, untuk ke kaunter tukar tiket, cuma tidak jauh dari parkir motorsikal ini. Sampai di kaunter baru saya tahu, yang penjual sebelum ini bukan staf syarikat bas. Dia sudah berhenti, namun dia masih mempunyai kunci pintu. Bahaya juga. Nasib baik, tiket yang diberikan boleh diguna pakai, dan nasib saya baik, masih mempunyai tempat duduk. Untuk masa akan datang, tokey kaunter tersebut suruh saya menelefon dia dulu sebelum beli.


Kemudian saya perasan, bahawa tiket itu hanya membawa saya ke Changloon (pekan kedua terakhir sebelum sampai Bukit Kayu Hitam). Seingat saya, saya meminta untuk ke Hat Yai semasa membeli tiket pada  16 April 2014 yang lepas. Saya kembali bertanyakan kepada kaunter, bagaimana ini boleh berlaku. Saya kemudian diberitahu agar tidak perlu turun di Changloon dan terus duduk di dalam bas untuk terus ke Hat Yai. Saya bertanya lagi, ada tambahan bayarankah? Jawapannya, tiada kerana harga ke Hat Yai adalah RM52 juga. Begitu rupanya.

Setelah itu saya ke platform 5 untuk menunggu bas. Namun yang ada bukan bas saya tapi bas asal. Bas saya merupakan bas tambahan. Tunggu punya tunggu, bas saya masih belum sampai-sampai.

Akan bersambung ke Hari 2.

Atau ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.