Isnin, 5 Mei 2014

Hari 1 (Kawthoung, Myanmar & Ranong, Thailand - 30 April hingga 03 Mei 2014) - Menjejaki Perbatasan Alam Melayu.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.


Sebenarnya, kembara ini saya terancang ketika sibuk membaca blog-blog pengembara dan pelancong ke selatan Thailand. Lagipun sahaja hendak melihat perbatasan terakhir dunia Melayu.

Kawthoung (disebut Ko Song), satu nama yang agak jarang-jarang kedengaran di telinga rakyat Malaysia. Ia merupakan salah sebuah bandar di negara Myanmar (atau dulu dikenali sebagai Burma), adalah juga merupakan titik daratan terselatan negara Myanmar. Perkataan Kawthoung bermaksud Pulau Dua di dalam bahasa Thai iaitu Ko Song, dieja secara tulisan latin (rumi) dalam bahasa Myanmar. Pulau Dua juga merupakan nama bandar ini dalam bahasa Melayu, kerana penduduk asal kawasan ini adalah orang Melayu. Ini jelas dengan kawasan sekitarnya masih menggunakan nama bahasa Melayu seperti Kampong Tengah, Kampung Hulu, Pulo (pulau) dan sebagainya. Masih ada pengaruh keMelayuan di sini. Nama rantau atau wilayah Kawthoung berada adalah Tanintharyi daripada Tanah Sari juga asal dari nama Melayu. Semasa penjajahan British, bandar ini bernama Victoria Point.



Hati saya agak ingin tahu apa yang ada di sana, selain dalam misi saya untuk menjejakan kaki dan mendapatkan cop pasport bagi kesemua kesepuluh-sepuluh negara di dalam pertubuhan ASEAN.

Saya tidak merancang secara teliti mengenai kembara kali ini. Cuma saya telah bercadang untuk membuat kembara ini di dalam bulan Mei 2014. Ada pilihan sama ada hendak pergi pada cuti Hari Pekerja yang jatuh pada hari Khamis. Jadi saya akan ambil cuti hari Jumaat. Atau pergi pada hari Jumaat malam Sabtu, 09 Mei 2014, kerana hari Selasa, 13 Mei 2014, adalah Hari Wesak, dengan saya mengambil cuti hari Isnin. Kedua-duanya terdapat empat hari cuti.

16 April 2014 (Rabu)

Saya sengaja pergi berjalan-jalan sebentar ke Pudu Sentral. Sambil-sambil tu membuat tinjauan mengenai kembara ini. Ketika ini, saya belum tetapkan sama ada saya hendak pergi atau tidak. Namun, semasa saya bertanya harga tiket Alisan, saya terus beli tiket ini kerana tiket bas ini hanya tinggal 1 tempat duduk sahaja. Jadi saya kira dan beriltizam untuk kembara ini.


23 April 2014 (Rabu)

Pada waktu rehat tengahari, saya ke kawasan Jalan Masjid India untuk menukar wang Peso Filipina (PHP atau ₱) untuk kembara saya Manila pada dua hari selepas itu. Sambil itu, saya tinjau juga nilai Baht Thai (THB atau ฿) untuk kegunaan sepanjang kembara ini di Thailand & Kawthoung, Myanmar (yang mana boleh menggunakan ฿) dan Dolar Amerika Syarikat (USD @ US$), untuk kegunaan pembayaran untuk visa Myanmar nanti.

Saya meninjau 4 buah pengurup wang di situ (boleh rujuk artikel saya mengenai pengurup wang di Masjid India), dan melihat kedai HM Ghazali Ahmad Sdn Bhd telah memberikan kadar terbaik. Saya pun menukar US$ 10.00 dan beberapa ฿ (tidak banyak kerana saya hendak tukar di Changloon atau Dannok nanti, cukup jika berlaku kecemasan sahaja).

 


US$ 10.00 = +-RM 3.26

(Gambar duit-duit ฿ boleh rujuk artikel Kembara Ke Hat Yai)


30/04/2014 (Rabu)

Saya bergerak dari rumah menaiki skuter saya ke Pudu Sentral atau dahulunya dikenali sebagai Puduraya pada pukul 23:00 (11:00 malam). Perjalanan dalam keadaan lancar sahaja, kerana sudah hampir tengah malam. Saya sampai di Pudu Sentral pada jam 23:20 (11:20 malam). Terus saya memakir ke tempat parkir motorsikal di tingkat 2, keadaan parkir yang tertutup dan insya Allah selamat.


Parkir motorsikal ini merupakan parkir berbayar yang diuruskan sendiri oleh pemilik dan pengurus bangunan Pudu Sentral iaitu UDA Mall Sdn Bhd, anak syarikat UDA Holdings Berhad.


Di parkir ini mudah, untuk ke kaunter tukar tiket, cuma tidak jauh dari parkir motorsikal ini. Sampai di kaunter baru saya tahu, yang penjual sebelum ini bukan staf syarikat bas. Dia sudah berhenti, namun dia masih mempunyai kunci pintu. Bahaya juga. Nasib baik, tiket yang diberikan boleh diguna pakai, dan nasib saya baik, masih mempunyai tempat duduk. Untuk masa akan datang, tokey kaunter tersebut suruh saya menelefon dia dulu sebelum beli.


Kemudian saya perasan, bahawa tiket itu hanya membawa saya ke Changloon (pekan kedua terakhir sebelum sampai Bukit Kayu Hitam). Seingat saya, saya meminta untuk ke Hat Yai semasa membeli tiket pada  16 April 2014 yang lepas. Saya kembali bertanyakan kepada kaunter, bagaimana ini boleh berlaku. Saya kemudian diberitahu agar tidak perlu turun di Changloon dan terus duduk di dalam bas untuk terus ke Hat Yai. Saya bertanya lagi, ada tambahan bayarankah? Jawapannya, tiada kerana harga ke Hat Yai adalah RM52 juga. Begitu rupanya.

Setelah itu saya ke platform 5 untuk menunggu bas. Namun yang ada bukan bas saya tapi bas asal. Bas saya merupakan bas tambahan. Tunggu punya tunggu, bas saya masih belum sampai-sampai.

Akan bersambung ke Hari 2.

Atau ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.

Tiada ulasan: