Ahad, 11 Mei 2014

Hari 4 (Kawthoung, Myanmar & Ranong, Thailand - 30 April hingga 03 Mei 2014) - Dari Hat Yai Pulang Ke KL.

Bersambung dari Hari 3.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 4 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 2 or 
  • Day 3.



03/04/2014 (Sabtu)

Pada pagi ini, saya bangun pada pukul 04:30 pagi. Siap-siap mandi dan solat Subuh pada jam 5:00 pagi. Usai solat Subuh, saya pun tidur semula. Lewat lagi mahu daftar keluar, lagi 4 setengah jam lagi. 

Kemudian pada pukul 06:45 pagi, saya bangun dan ke kawasan Lee Gardens untuk mencari sarapan pagi. Saya hendak cuba pulut durian pula. Mahal juga harga di kawasan Lee Garden yang berharga ฿80 (+- RM8.00) berbanding semalam saya beli di penjaja di hadapan gedung Odean, hanya ฿50 (+- RM5.00) sahaja. Harga ini juga menyebabkan wang saya berbaki kurang ฿100 untuk masa sehingga tengahari ini. Huhuhu. Durian yang bersama pulut itu juga agak mengkal, menyebabkan saya ralat untuk memakannya.

Sementara menunggu pukul 09:30 pagi untuk daftar keluar hotel, saya membuat persiapan untuk pulang dan juga membaringkan diri di ata katil. Kalau keluar pun, pagi seperti tiada apa di kawasan sekitar Lee Garden kecuali pasar pagi yang berdekatan. 

Pada jam 09:20 pagi, saya mengambil keputusan untuk daftar keluar dan pada jam 09:30 pagi, saya sudah terpacul di hadapan pejabat Davis Tours & Travel ini. Terdapat beberapa orang sedang menunggu bas Sri Maju. Bas KKKL sedang menunggu. Saya memberikan tiket yang diberikan sebelum ini bersama pasport. Kemudian tiket tersebut dipulangkan. Selang 15 minit, saya diberikan tiket seperti di bawah ini dan slip perlindungan insurans.




Bas hanya sampai pada jam 10:20 pagi, dan bergerak menuju ke Dannok pada jam 10:35 pagi. Agak lambat. Saya percaya, saya tidak akan tiba jam 19:00 (7:00 petang) waktu Malaysia di Puduraya. Kami tiba di Pusat Pemeriksaan Sadao di Dannok pada jam 11:40 pagi. Pagi ini tidak seperti dua hari sebelumnya, agak kurang tapi masih ramai orang. Penumpang semua dikehendaki untuk turun bagi pemeriksaan imigresen. Alhamdulillah barisan saya agak cepat, namun RM1.00 perlu juga diberikan kepada staf imigresen bertugas. 



Walaupun sudah dicop keluar, namun saya "menyeludup masuk" ke Dannok untuk membeli pulut ayam untuk menghabiskan baht saya. Saya membayar dengan mencampurkan duit baht dan ringgit. Selepas itu, saya kembali ke dalam bas, dan masih ramai yang belum selesai.


Pada jam 12:05 tengahari waktu Thailand atau 13:05 (1:05 tengahari) waktu Malaysia, akhirnya bas kami melintasi sempadan. Papan tanda Selamat Datang mengalu-alukan kembali kami ke bumi bertuah ini. Alhamdulillah. Tapi tidak rasmi lagi, selagi urusan imigresen Malaysia belum selesai.


Kami semua turun bersama beg-beg dan barang-barang yang dibawa. Barisan agak panjang tapi teratur di kaunter Malaysia. Cuma 2 kaunter dari empat yang dibuka dan pintu Auto Gate ditutup. Barisan melimpah keluar sehingga keluar dari pintu (di mana di luar pintu ini tidak mendapat dingin pendingin hawa. Akibat sedikit kelalutan, saya dapat berbaris yang pendek (dikirakan saya memotong tapi sudah kalut). Tidak sampai lima minit maka sampai giliran saya. Saya tidak meminta untuk mengecop masuk Malaysia kembali di dalam pasport ini kerana pertamanya saya tiada cop keluar dan keduanya, orang agak ramai beratur di belakang, sudahlah saya "memotong" barisan, takkanlah saya hendak lebih-lebih lagi. Selepas pemeriksaan imigresen, kami perlu melalui pemeriksaan kastam pula. Alhamdulillah semuanya selesai.


Akhirnya pada jam 13:40 (1:40 tengahari) maka selesai semua penumpang bas kami dalam menjalani prosedur imigresen dan kastam. Maka kami bergerak dan kemudian berhenti selama setengah jam di restoran Naluri Aman Sdn Bhd di sebelah CTC. Naluri Aman ini lebih kurang sahaja perkhidmatan yang ada seperti CTC. Tambahan di sini ada kedai bebas cukai, tetapi harga saya lihat agak mahal, malah ada harga lebih mahal dari kedai biasa. Oleh kerana saya rasa tergoda, maka saya makan asam laksa di sini walaupun agak mahal. Rasanya oklah.

Bas meneruskan perjalanannya pada pukul 14:10 (2:10 petang). Dalam perjalanan, apabila tiba di Sungai Petani, baru saya teringat saya terlupa untuk solat Zohor ketika di Naluri Aman tadi. Astaghfirullah, macam mana saya terlupa. Saya mengambil wuduk secara spray air dan bersolat jamak qasar Zohor dan Asar secara duduk di dalam bas kerana saya menganggap bas tidak akan berhenti.

Apabila sebelum plaza tol Sungai Dua, bas berhenti di stesen minyak baru Shell untuk isi minyak. Kalau tahu tidak perlu saya solat duduk. Namun oleh kerana saya sudah solat secara duduk, maka saya tidak perlu bersolat lagi. Cuma membuang apa yang patut buang dan membeli makanan ringan di dalam bas. Ketika itu, waktu adalah dalam sekitar pukul 15:15 (3:15 petang).

Kemudian bas meneruskan perjalanan dan pada jam 17:30 (5:30 petang) bas keluar dari Lebuhraya Utara Selatan menuju ke bandaraya Ipoh. Ini adalah untuk menurunkan penumpang yang ingin turun di Ipoh. Bas ini berhenti di depoh bas Sri Maju di Jalan Bendahara, Ipoh, kira-kira 45 minit. Sempat juga saya makan aiskrim di sini.


Perjalanan diteruskan pada jam 18:10 (6:10 petang) dan akhirnya bas ini sampai di terminal Pudu Sentral pada jam 20:25 (8:25 malam). Saya segera ke atas 3 untuk membayar parkir motorsikal saya. Sejumlah RM8.00 perlu dibayar untuk parkiran selama 2 hari 21 jam 41 minit atau 57 jam 41 minit.


Saya sampai di rumah pada jam 21:15 (9:15 malam). Alhamdulillah selesai misi kembara saya pada kali ini.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...


Atau ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 4 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 2 or 
  • Day 3.

Tiada ulasan: