Jumaat, 9 Mei 2014

Hari 2 (Kawthoung, Myanmar & Ranong, Thailand - 30 April hingga 03 Mei 2014) - Ranong Yang Direnung.

Bersambung dari Hari 1.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 2 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.




01/05/2014 (Khamis)

Pukul 01:05 pagi barulah bas yang ditunggu baru sampai di Pudu Sentral ini. Baru sahaja bercadang untuk membatalkan kembara ini. Pukul 01:20 barulah bas ini bergerak menuju ke Hat Yai. Bas ini sebenarnya bagus juga, siap ada WiFi lagi. Memandangkan perjalanan bas ini di waktu malam hari, maka saya tidur sahaja selepas tol Jalan Duta. Saya tersedar dari tidur apabila bas tiba di tol Juru pada pukul 05:30 pagi. Bas ini berhenti sebentar di stesen minyak Shell tidak jauh dari tol Juru ini untuk mengisi minyak. Saya mengambil kesempatanuntuk melakukan ada yang patut. Apabila bas meneruskan perjalanan, saya tidur balik, tapi tidak lama, kerana telefon saya berkumandang bunyi azan Subuh, maka saya mengambil wuduk secara spay air yang memang dibawa dan solat Subuh secara duduk di atas bas. 


Sampai di Changlun pada jam 07:00 pagi, kemudian bas singgah di restoran CTC di tepi lebuhraya menuju ke Bukit Kayu Hitam, selepas persimpangan ke Sintok dan Arau, untuk buat borang ketibaan dan berlepas imigresen Thai oleh syarikat bas di sini. Ia adalah percuma sahaja. Suasana pagi di sini agak berkabus tebal. Sejuk hati memandang.


Di CTC ini, terdapat restoran untuk makan, juga pelbagai perkhidmatan lain seperti pengurup wang asing, perkhidmatan dengan urusan sempadan Malaysia-Thailand, insurans kereta Thailand dan Malaysia dan jualan kad SIM pra bayar bagi kedua-dua negara. Harga makanan di restoran ini agak mahal, melainkan kalau sudah lapar sangat, saya rasa baru saya makan. Begitu juga dengan kad SIM Thailand, harganya mungkin dinaikan sedikit, bagi saya lebih baik saya beli di Dannok atau Hat Yai sahaja. 


Begitu juga dengan kadar tukaran asing oleh pengurup wang di sini, contohnya hendak tukar kepada baht, kalau RM100.00 cuma akan dapat ฿972 sahaja berbanding di masjid India akan dapat ฿978. Namun saya perlu tukar juga kerana saya hanya tukar sidikit sahaja di KL. Selain itu saya juga membuat beberapa matawang lain seperti Ringgit Brunei (BND) (di sini dinyatakan tukaran dengan Dollar Singapura (SGD) kerana nilainya sama) dan Yuan China (Renmenbi/RMB)/CNY) yang ada di dalam simpanan saya. Dapatlah bernafas sikit semasa di Thailand nanti.


 

Inilah bas ekspres yang saya telah naiki untuk ke Hat Yai dari Pudu Sentral.

Pukul 08:05 pagi, bas kami mula bergerak dari CTC menuju ke Bukit Kayu Hitam. Keadaan trafik agak baik dan kurang sesak di sebelah Malaysia (seperti biasa di mana-mana pintu sempadan daratan di Malaysia). Kami sampai di Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam Malaysia pada 08:15 pagi dan bas berhenti untuk menurunkan kami bagi urusan keluar dari Malaysia. 


Orang beratur di kaunter pejalan kaki (penumpang bas dikira pejalan kaki), walaupun asalnya saya ingin mendapatkan cop pasport keluar Malaysia (berbentuk segitiga merah) sebagai kenangan, namun oleh kerana banyaknya orang, maka saya mengambil keputusan untuk menggunakan Auto Gate sahaja. Lebih cepat. Saya orang pertama di dalam bas yang berjaya selesai prosedur imigresen Malaysia. Sempat juga saya ambil gambar dan berborak dengan pemandu bas. Macam-macam juga berborak, sambil itu saya meminta agar beliau dapat turunkan saya di stesen bas Hat Yai kerana bas ini akan berhenti di depan pejabat ejen di tengah bandar Hat Yai.


Jam 08:45 pagi, selesai urusan imigresen bagi semua penumpang bas yang saya naiki di imigresen Malaysia, dan kami meneruskan perjalanan ke  Pusat Pemeriksaan Sempadan Sadao pula. Kami cuma sampai di imigresen Thai kira-kira jam 08:45 waktu Thailand (iaitu lambat sejam dari waktu Malaysia, bermakna pukul 09:45 pagi waktu Malaysia, bermakna kita perlu menyesuaikan jam kita agar tidak silap) walaupun jaraknya cuma 1km dari Kompleks Imigresen Bukit Kayu Hitam. 

Tanda 0 km Lebuhraya E1 (Lebuhraya Utara Selatan @ NSE), bermulanya NSE di sini.

Trafik agak sesak disebabkan bas-bas perlu menurunkan penumpang untuk pemeriksaan imigresen dan kastam (bermakna perlu membawa sekali semua beg-beg yang dibawa). Juga sesak kerana, setiap kereta yang ingin melaksanakan prosedur imigresen dan urusan masuk kereta ke Thailand, perlu memarkirkan kereta di lapangan letak kereta dan setiap orang yang ada di dalam kereta perlu turun dan beratur di kaunter imigresen (sama juga di mana-mana sempadan Thailand sebagai mana yang pernah saya alami semasa jalan-jalan ke Betong tempohhari). Ini kerana, setiap pengunjung ke Thailand, perlu diambil gambar mukanya semasa urusan imigresen.


Di imigresen Sadao ini (atau sebenarnya Dannok sebenarnya kerana pekan sempadannya adalah Dannok, Sadao terletak 10 km ke utara, mungkin nama Sadao diambil sempena nama daerah atau amphoe dalam bahasa Thai). Biasanya di sini agak cekik darah, di mana borang imigresen tidak diberi, sebaliknya kena guna penulis yang upahnya RM2 (cuma ini tidak perlu kerana borang sudah dibuatkan oleh syarikat bas di CTC tadi) dan kena selit RM2.00 untuk "bayaran" urusan imigresen yang sebenarnya percuma. 


Kali ini saya cuma selit RM1.00 sahaja dalam pasport. Barisan saya agak laju dan juga pendek, mungkin disebabkan kedudukannya di depan berbanding beberapa kaunter yang dibelakang, dari psikologinya nampak kaunter dibelakang itu pendek dari depan, namun sebenar lebih panjang berbanding barisan saya yang melimpah tapi sebenarnya pendek kerana kedudukannya di depan. Alhamdulillah kali ini cuma RM1.00 sahaja. Mungkin kerana itu "bayaran"nya pada masa ini atau kerana orangnya ramai. Saya rasa ada dalam 500 ke 1000 orang pengunjung ke Thailand ini, maka saya rasa berapa banyak pegawai imigresen Thailand akan dapat pada kali ini. Yang penting, inilah antara kos masuk termurah masuk ke yang pernah saya dapat (kecuali di Pengkalan Kubur-Tak Bai yang tiada langsung bayaran). Akhirnya saya selesai dengan prosedur imigresen Thailand dalam masa 15 minit sahaja.


Kemudian tidak ke bas, tetapi terus ke 7-Eleven terdekat dengan sempadan, untuk membeli kad SIM dtac Happy Tourist yang bernilai ฿299 (+- RM30.00) pula (sebelum ini saya membeli kad SIM sama bernilai ฿49 (+- RM5.00), kali ini ambil ฿299 kerana saya akan berada lebih lama di Thailand). Selepas itu saya kembali menaiki bas, sambil itu sempat juga saya beli Pulut Ayam yang berharga RM7.00, buah tembikai dan mangga muda berharga RM5.00 untuk sarapan dan kudapan di dalam bas. Boleh pakai Ringgit di Dannok dan juga beberapa tempat di Hat Yai, boleh tumpukan pakai baht di tempat lain.


Di dalam bas saya masukan kad SIM dtac itu, kemudian saya aktifkan Flexiroam yang memang jadi kaedah saya untuk membuat perayauan antarabangsa telefon saya kerana ia lebih banyak murah berbanding perayauan antarabangsa yang biasa. Cuma RM10 sehari dan dapat kad SIM tempatan, kita cuma bayar harga sms antarabangsa bagi panggilan keluar dan kadar panggilan tempatan di Malaysia bagi terima panggilan masuk. Murahkan, jadi pakailah Flexiroam jika keluar negara. 


Pada jam 09:20 pagi barulah bas bergerak dari Dannok menuju ke Hat Yai. Setelah itu, bas telah sampai di stesen bas Hat Yai jam 10:20 pagi, hanya saya seorang sahaja turun pasal yang lain turun pusat bandar. Semasa di stesen bas ini, saya agak mengagau cari kaunter tiket ke Ranong pasal semua tulisan cacing (tulisan Siam). 



Namun akhirnya dapat juga beli tiket bas ke Ranong selepas tertengok basnya (di dinding bas kerajaan Thai ini ada menyatakan laluannya) dan juga selepas menanya kaunter demi kaunter. Harga tiket bas kerajaan ini berharga ฿420 (kira-kira RM42.00) dari Hat Yai ke Ranong. Bas bergerak ini jam 11:00 pagi dari stesen bas Hat Yai.



Belakang tiket, terdapat jadual waktu bas ini berlepas dari Hat Yai dan Ranong, 3 kali sehari. Dari Hat Yai, jam 07:00 pagi, 11:00 pagi & 21:00 (9:00 malam), dari Ranong pula, jam 06:00 pagi, 10:00 pagi & 20:00 (8:00 pagi).


Semasa membayar tiket bas ini, dapat pula duit syiling ฿5 (bernilai lebih kurang 50 sen Malaysia) yang tidak pernah dapat sebelum ini. Alhamdulillah, dapat juga dijadikan koleksi.


Bas ini, walaupun ekspres, tetapi tetap mengambil penumpang bukan sahaja di stesen-stesen bas bandar-bandar atau pekan-pekan sepanjang laluannya, malahan di tepi jalan juga. Dengan susunan tempat duduk empat tempat duduk sebaris, berbanding kebiasaan tiga tempat duduk sebaris di Malaysia, saya rasa agak kurang selesa sedikit. Kena pula yang duduk di sebelah kita adalah orang lelaki. Tidak mengapa, inilah pengalaman orang mengembara. 

Sambil itu saya merenung ke luar jendela bas melihat permandangan negara Thailand ini yang dahulunya merupakan salah satu dari tanah-tanah orang Melayu.  Nama Ranong berasal dari perkataan Melayu, Rundung. Kira amat sesuai dengan keadaan kini, di mana tanah Rundung/Ranong, milik orang, bukan milik Melayu. Kira orang Melayu perlu mengenang nasib kita yang memang merundung malang kerana kehilangan wilayah-wilayah Melayu kepada bangsa Siam & Burma ini. Saya merenung keluar menembusi kaca tingkap bas, bagaimana keadaan Ranong yang akan sampai selepas ini.


Pukul 14:05 (2:05 petang), bas ini sampai untuk berehat di kawasan rasanya namanya Nong Hong dalam Wilayah Nakhon Si Thamarrat. Semua turun di sini. Saya pun turun untuk ke tandas dan jika boleh untuk makan. Namun restorannya jelas tidak halal. 


Rupanya di ruang belakang tandas terdapat jalan menuju ke surau, alhamdulillah. Maka saya solat jamak qasar berjemaah Zohor Asar dengan beberapa orang Muslim Thai. Sebelahan dengan surat itu, terdapat kedai makan Islam di sini. Namun saya tidak sempat makan, kerana gerak hati saya mengatakan bas mahu berjalan. Memang betul telahan saya, nasib baik tidak tertinggal, kalau tidak, habislah, kerana beg saya ada di dalam bas.


Bas pun bergerak pada jam 14:30 (2:30 petang). Rupanya perjalanan jauh lagi, naik kematu punggung, dengan tempat duduk kecil. Memandangkan saya merasakan saya akan sampai lewat malam dan tidak sempat untuk ke Kawthoung lagipun agak bahaya jika menaiki bot waktu malam, maka saya ke applikasi Agoda, untuk menempah hotel. Saya membaca pelbagai maklumat mengenai pelbagai hotel yang ada di Ranong, akhirnya saya memilih Luang Poj Boutique Hotel. Hotel ini antara termurah dan ada WiFi & pendingin hawa di mana cuma tambah beberapa ringgit sahaja berbanding hotel tiada WiFi & pendingin hawa. Di Agoda ini, kita membayar menggunakan kad kredit dan mengikut matawang asal kita. Harga hotel Luang Poj ini cuma RM51 sahaja semalam.


Dalam perjalanan ini, saya perhatikan juga stesen-stesen minyak yang ada di tepi jalan. Kebanyakannya memaparkan harga-harga minyak-minyak yang ada dijual di premis mereka. Ada banyak, malah sehingga sepuluh jenis harga. Hentak tau minyak jenis apa, tidak berapanampak, dan kalau nampak pun, ia dalam tulisan Thai. Cuma apa yang saya dimaklumkan oleh penumpang di sebelah saya, harga yang atas sekali adalah petrol yang paling murah yang dipanggil gasolin oleh mereka berRON 85. Harga pun berbeza-beza waima stesen yang bersebelahan. Paling murah saya lihat adalah ฿30.25 (+- RM3.025) bagi gasolin RON 85 malah ada sampai ฿30.68 (+- RM 3.068). Ada ternampak tulisan 95 dan 97 di dua tiga stesen, yang saya rasakan RONnya. RON 95 & 97 dipanggil benzin, harga bagi RON 95 adalah dari ฿42 ke ฿44 (+- RM4.20 ke RM4.40), manakala RON 97 sekitar ฿48 ke ฿50 (+- RM4.80 ke RM5.00)

Lima jam kemudian iaitu pukul 19:30 (7:30 malam), setelah 8 1/2 jam perjalanan akhirnya sampai juga di seberang stesen bas Ranong. Sebelum itu, kira-kira sejam sebelum sampai ke stesen Ranong, bas perlu berhenti kerana ada pemeriksaan tentera Thai di tengah-tengah hutan! Memang setiap orang diperiksa dokumen pengenalan diri, termasuk pasport saya yang diperiksa teliti. Alhamdulillah, lepas juga. Di Ranong, basnya sebelah kanan jalan, bukan di stesennya di sebelah kanan jalan. 



Turun sahaja dari bas, terdapat banyak penyedia teksi motor menawarkan perkhidmatan mereka. Saya terus ambil salah satu teksi motor untuk ke hotel dengan bayaran ฿80 (kira-kira RM8.00). Agak mahal dengan perjalanan kira-kira 3 km. Tidak mengapalah, pengalaman. Saya daftar masuk hotel ini dan segera solat jamak Maghrib dan Isyak (secara qasar. 


 

Kad perniagaan hotel ini, perlu ambil agar memudahkan kita untuk pulang balik ke hotel. Boleh juga jika mahu tempah pada masa akan datang.

Keadaan bilik yang selesa dan kemas. Cuma tiada almari sahaja. Bilik saya ini tiada tingkap.

Tandas hotel ini perlu berkongsi dengan bilik lain (kira konsep asrama). Cuma saya bernasib baik, tidak berebut dengan penginap lain.

Keadaan lobi. Banyak barang antik di sini.

Saya segera mengecaj telefon saya yang sudah hendak habis baterinya. Power bank tinggal sikit lagi, namun saya terlupa pula bawa pengecajnya. Soket plag di Thailand ini adalah seperti gambar di bawah, lebih kurang sama di Filipina. Kalau plag 2 pin Malaysia boleh masuk cuma plag 3 pin kena pakai penyuai (adapter). 



Baru sedar kali terakhir saya makan 9 1/2 jam yang lalu (makan pulut ayam di dalam bas). Macam berpuasa pula, baik saya puasa sunat Rejab, huhuhu, tetapi saya adalah minum air sahaja. Sebenarnya tidak rasa lapar, namun bila dah lama, dan bila teringat, laparnya tidak ingat. Jadi saya keluar hotel untuk cari makanan. Rupanya, 7-Eleven dengan hotel selang 3 kedai sahaja. Dan di seberangnya ada kedai makanan muslim. Jadi saya beli air mineral di 7-Eleven dan beli roti telur 2 keping yang berharga ฿15 (+- RM1.50) sekeping (oleh kerana lapar sangat, sampai lupa nak ambil gambar). Akhirnya saya kembali ke hotel dan jam 22:00 (10:00 malam), saya pun tidur. 

Akan bersambung ke Hari 3.

Atau ingin melihat 


If want to read in English: 

  • Day 2 (this part), 
  • Day 1, 
  • Day 3 or 
  • Day 4.

Tiada ulasan: