Memaparkan catatan dengan label 29 Januari hingga 03 Februari 2015 - Jakarta & Bandung Indonesia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 29 Januari hingga 03 Februari 2015 - Jakarta & Bandung Indonesia. Papar semua catatan

Khamis, 12 Februari 2015

Hari 4 (Jakarta & Bandung, Indonesia - 29 Januari hingga 03 Februari 2015) - Meninggalkan Bumi Parahyangan, Menjejaki Bumi Betawi.

Dari Hari 3.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6.




Hari 4 - 01 Februari 2015 (Ahad).

Pagi ini kami bersiap untuk ke Jakarta pula. Kami mengemas kembali beg-beg galas kami dan memasukan segala pakaian dan barang-barang yang telah kami beli sepanjang di Bandung ini. Jadi beg galas 90 liter saya pun menampakan bentuknya. Huh, agak berat juga.


Pada jam 9:45 pagi, kami pun mendaftar keluar dari hotel menuju ke stesen keretapi Bandung sayap selatan. Perjalanan melalui kembali hadapan gedung membeli belah Pasar Baru Trade Center. Suasana agak meriah juga. Perjalanan diteruskan sehingga ke bahagian hadapan sayap selatan stesen keretapi Bandung. Jalan menuju ke stesen ini terhad kepada kenderaan yang mahu ke stesen sahaja.




Di hadapan stesen ini terdapat sebuah lokomotif keretapi lama yang dijadikan tugu. Jadi saya mengambil kesempatan mengabadikan gambar-gambar kenangan di sini antaranya gambar di atas ini.


Kami terus ke memasuki premis stesen pada jam 10:15 minit dan pintu masuk telah dibuka untuk penumpang keretapi Argo Parahyahan ke Jakarta bagi perjalanan pukul 11:00 pagi. Juga pada masa yang sama pengumuman tentang pembukaan pintu itu kedengaran di segenap stesen. Kami ke pintu masuk B, memberikan tiket dan pasport kami untuk diperiksa.



Keretapi kami terletak di platform 6, yang mana ia terletak di bahagian utara stesen ini. Kenalah kami melintas beberapa platform dan landasan keretapi untuk ke sana. Platform di stesen ini agak rendah jadi kemungkinan perlu juga memanjat tangga jika mahu menaiki keretapinya. Akhirnya kami sampai juga koc kami yang terletak di hadapan sekali (koc 1). 



Sementara keretapi belum bergerak lagi, saya segera ke sayap utara stesen ini untuk ke ATM CIMB Niaga untuk mengeluarkan wang saya lagi. Kemudian masuk balik dan kembali ke koc kami. Sempat juga ambil beberapa keping gambar dari sayap utara pula.



Akhirnya tepat pada jam 11:00 pagi, keretapi ini pun bergerak meninggalkan stesen Bandung dan bumi Parahyangan menuju ke stesen Gambir di Jakarta, bumi Betawi pula


Keretapi ini mempunyai dua kelas iaitu eksekutif yang berhawa dingin dan bisnes yang tiada berhawa dingin. Tempat duduk kelas eksekutif keretapi ini memang selesa. Ruang kaki juga luas dan mempunyai tempat rehat kaki. Malah terdapat soket elektrik, jadi bolehlah caj peralatan elektronik yang mana perlu. Terdapat bantal kecil disediakan.





Perumahan di Bandung berlatar belakangkan Gunung Tangkuban Parahu.



Perjalanan menaiki keretapi ini memang memberikan pengalaman yang berbeza. Pada kali ini saya dapat melihat keadaan luar banda pulau Jawa dengan lebih dekat. Satu jam pertama, keretapi ini melalui sawah-sawah padi yang ditanam di lereng bukit. Sawah-sawah padi ini bukan padi bukit atau padi huma tetapi padi sawah biasa yang ditanam di tanah pamah atau tanah dataran. Dengan landasan keretapi melalui celah-celah lereng bukit, iajuga melalui beberapa buah jambatan besi menghubungkan antara satu lurah dengan lurah yang lain. Malah di bawah jambatan ini juga kelihatan sawah padi dan juga anak-anak sungai mengalir. Sambil-sambil itu juga kelihatan lebuhraya bertol yang dibina berdekatan dengan landasan keretapi ini. Jadi saya belanja beberapa gambar permandangan yang saya ambil dari dalam keretapi.








Semasa di dalam perjalanan ini, terdapat kakitangan PT Kereta Api akan memeriksa tiket para penumpang. Juga semasa di tengah-tengah perjalanan, terdapat juga kakitangan lain ada datang untuk bertanya penumpang untuk makan apa. Cuma makanan ini bukan percuma, jadi jika tidak mahu makan, tidak perlu pesan.












Satu ketika selepas sejam setengah di dalam keretapi, hujan mulai turun dan saya pun tidak sedar bila saya tertidur. Apabila saya terjaga, kami telah berada di tanah dataran. Di sini terdapat sawah padi yang sayup jauh mata memandang. Juga kampung-kampung, pekan-pekan kecil di tepi landasan keretapi.






Akhirnya setelah tiga jam, kami sampai di pinggir bandaraya Jakarta atau lebih tepat di kota Bekasi. Jadi nampaklah keretapi ini lalu di kawasan yang padat dengan penduduk. Kelihatan rumah-rumah yang dibina betul-betul selepas pagar landasan keretapi. Teringat suasana Kuala Lumpur pada 25 tahun lalu. Akhirnya pada pukul 2:20 petang, keretapi Argo Parahyangan daripada PT Kereta Api Indonesia sampai juga di stesen Gambir di Jakarta. Stesen ini terletak di sebelah kawasan Monumen Nasional atau Monas. Ia merupakan stesen terakhir Argo Parahyangan namun bukanlah terminal terakhir landasan keretapi ini. Landasan keretapi di sini juga merupakan dibina di atas jejambat bermaksud landasan bertingkat seperti LRT di Kuala Lumpur juga.




Kami meneruskan perjalanan untuk ke hotel kami iaitu ibis Jakarta Kemayoran yang terletak di Jalan Bungur Besar dengan berjalan ke perhentian atau dipanggil di sini sebagai halte perkhidmatan busway Transjakarta Gambir 2 yang hanya terletak di luar pagar selatan stesen keretapi Gambir.


Sistem busway atau BRT Transjakarta merupakan sistem bas yang mempunyai laluan tetap dan terdapat lorong khas di kebanyakan laluan bas ini. Ia umpama sistem tram tapi menggunakan bas. Terdapat perhentian atau halte khas yang mana perlu melalui turnstile yang ada untuk memasukinya. Caj penggunaan adalah Rp2000 (+- 60 sen Malaysia) untuk penggunaan antara 5:00 pagi ke 7:00 pagi dan dari 7:00 pagi ke 11:00 malam, cajnya adalah Rp3500 (+- RM1.05). Selagi tidak keluar kawasan busway  ini maka kita hanya dicaj sekali. Biasanya untuk bertukar laluan, seseorang akan turun di halte dan menunggu bas laluan lain jika menggunakan halte yang sama atau jika perlu transit di halte berdekatan, biasanya terdapat jalan khas bagi mengelakan kita perlu keluar dari kawasan berbayar, agar sentiasa berada di dalam kawasan berbayar, bermakna tidak perlu membayar caj yang lain.





Untuk menggunakan perkhidmatan ini, pengguna kini perlu memberi kad pintar kerana sejak bulan November 2014 pihak Transjakarta telah memansuhkan tiket manual biasa. Kad ini boleh dibeli di setiap halte dengan harga Rp40 ribu (+- RM12) dengan yuran kad sebanyak Rp20 ribu (+- RM6.00) dan bakinya adalah nilai yang ada di dalam kad ini. Kad ini berkonsepkan prabayar. Sebenarnya kad-kad ini adalah kad prabayar yang dikeluarkan oleh bank-bank utama Indonesia seperti Bank Mandiri, Bank BNI, Bank BTN, Bank BRI dan BCA. Kad ini mempunyai RFID yang mana ia perlu disentuh pada pintu turnstile yang ada. Jika kita ada ramai, cukup satu kad sahaja, tidak perlu beli kad yang banyak. Kad ini boleh ditambah nilai di halte Transjakarta, di mesin ATM jika ada kad ATM bank-bank utama Indonesia atau di kedai-kedai serbaneka Indomaret, Alfamart atau 7Eleven. Malah kad ini boleh menjadi medium pembayaran di kedai-kedai serbaneka ini.





Kami dari halte Gambir 2 mengambil bas laluan 2 untuk ke halte Senen dan transit ke laluan 5 untuk ke halte Budi Hartono atau Pasar Baru Timur. Namun perlu berhati-hati untuk menaiki Transjakarta ini. Apabila bas sampai, pastikan berhati-hati semasa melangkah dari atas platform ke dalam bas kerana platform halte agak tinggi dari aras jalan dan ruang antara platform dan bas biasanya agak jauh. Jika terjatuh antara ruang itu agak bahaya. Selain itu, pemanduan bas agak kasar dan ganas, semasa saya menaikinya, beberapa kali kami hampir terjatuh. Selain itu, Transjakarta ini sentiasa penuh dengan orang mungkin kerana perkhidmatannya lebih dipercayai (reliable) tapi bagi saya tidak juga, jadualnya tidak ikut sangat masanya. Mungkin ia lebih baik dari perkhidmatan bas henti-henti biasa. Lagipun Transjakarta semuanya ada penghawa dingin, manakana bas henti-henti kebanyakannya tiada hawa dingin. Kami sampai di halte Budi Hartono dan kemudian berjalan kaki kira-kira 300 meter dan akhirnya sampailah kami ke penginapan kami sepanjang di Jakarta ini iaitu ibis Jakarta Kemayoran.




Kami berehat kira-kira 2 jam dan kemudian kami keluar menuju ke pusat membeli belah Mal Golden Truly yang terletak di Jalan Gunung Sahari, berdepan dengan halte Transjakarta Pasar Baru Timur. Gedung ini tidaklah besar, tapi agak lengkap dengan restora, dan pasaraya Giant. Dapatlah kami membeli barang-barang perlu kerana penginapan kami di tidak ibis Jakarta Kemayoran dipakejkan dengan sarapan pagi.




Setelah selesai membeli apa yang perlu, kami kembali semula ke hotel, namun ternampak sebuah restoran nasi padang iaitu Rumah Makan Surya yang terletak sebelah dengan Mal Golden Truly. Dapatlah kami mengisi perut kami. Setelah selesai kami pun pulang ke hotel.


Akan bersambung ke Hari 5.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 (this part)
  • Day 5; or 
  • Day 6.

Hari 3 (Jakarta & Bandung, Indonesia - 29 Januari hingga 03 Februari 2015) - Sekitar Di Pusat Kota Bandung.

Dari Hari 2.
Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.


Hari 3 - 31 Januari 2015 (Sabtu).

Pagi ini kami bangun dalam keadaan santai, kerana mengikut jadual kami sahaja. Perancangan kami pada hari ini adalah cuma berjalan-jalan di sekitar kawasan hotel kami yang merupakan kawasan pusat kota (pusat bandar) Bandung.




Oleh kerana ramai yang memesan barangan kepada isteri saya, maka saya bawalah isteri saya membeli belah di Pasar Baru. Dari hotel cuma berjalan kaki sahaja, tidak begitu jauh. Dalam perjalanan juga di Jalan Otto Iskandar Dinata iaitu jalan di hadapan Pasar Baru, terdapat juga gerai-gerai tepi jalan dibuka, menjual baju dan barang-barang lain. Lagi bagus, bersebelahan dengan Pasar Baru Trade Center, terdapat sebuah cawangan bank CIMB Niaga, memudahkan jika terdesak untuk "menarik uang" huhuhu.





Pasar Baru Trade Center ini agak besar juga. Dengan 9 tingkat, rambang mata juga walaupun semasa kami pergi ini banyak kedai baru buka. Ada juga tingkat-tingkat yang dikhaskan kain sahaja, atau pakaian muslim/muslimah sahaja, tudung sahaja, pakaian kanak-kanak sahaja, kasut sahaja dan lain-lain lagi. Dekat dua jam juga berpusing-pusing di gedung ini. Kami sempat juga membeli beberapa cenderahati. Sesi pagi ini cuma untuk menyelidik sahaja. Kemudian kami pulang ke hotel untuk berehat.

Selanjutnya pada jam 10:30 pagi, isteri dan anak lelaki saya pergi semula ke Pasar Baru Trade Center, meninggalkan saya dan anak perempuan kami yang telah tidur. Saya cuma bekalkan Rp1 juta sahaja kepada mereka. Agak lama juga mereka, kerana mereka hanya pulang semula ke hotel pada jam 2:30 petang dengan membawa beberapa barang "rampasan perang", hahaha. Saya di hotel cuma layan rancangan televisyen sahaja.






Pada jam 4:00 petang kami berjalan-jalan menuju ke Masjid Agung yang tidak berapa jauh. Di hadapan masjid ini terdapat kawasan lapang yang mempunyai rumput tiruan, yang menjadi tempat rekreasi dan riadah bagi warga Bandung. Ramai juga semasa kami di sana. Memang meriah. Rupa-rupanya kalau di Pasar Baru merupakan kawasan tumpuan bukan warga Bandung, di sini, warga Bandung akan berkumpul bukan untuk berehat tapi untuk membeli belah. Terdapat beberapa gedung membeli belah seperti Plaza Parahyangan, King Shopping Centre, Grand Yogya Kepatihan dan lain-lain lagi di sebelah Masjid Agung. Di sepanjang Jalan Dalem Ketum dan Jalan Dewi Sartika juga banyak gerai-gerai jalanan dan kedai-kedai didirikan.




Kami makan di restoran Texas Chicken di Jl Dewi Sartika. Hidangan Texas Chicken di sini mesti ada nasi dan tiada pula hidangan coleslaw, kentang lenyek (mashed potato) dan biscuit. Jadilah untuk mengisi perut yang kosong. Asalnya ingin makan nasi padang sahaja kerana murah tapi anak-anak tidak makan sangat, jadi saya pilihlah restoran makanan segera ini agar mereka makan, walaupun mahal sikit.




Selesai makan, kami kembali berjalan-jalan, menelurusi lorong-lorong kecil yang menjual barang-barang yang murah. Terbeli juga kami beberapa barangan cuma pesanan ibu saya untuk kasut cucu perempuan kesayangan beliau masih tidak jumpa kerana siaz tiada atau corak tidak menarik. Usai sahaja, pulanglah kami ke hotel.





Akan bersambung ke Hari 4.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part)
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.

Hari 2 (Jakarta & Bandung, Indonesia - 29 Januari hingga 03 Februari 2015) - Berwisata Di Sekitar Bandung.

Dari Hari 1.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.




Hari 2 - 30 Januari 2015 (Jumaat).


Subuh di Bandung pada waktu sekitar 4:30 pagi. Agak awal juga. Agaknya pasal itu juga dan kami terlampau penat, kami tidak mendengar azan Subuh dari Masjid Agung Bandung walaupun masjid tersebut agak dekat. Namun kami tidaklah sampai subuh gajah. Saya terjaga pada pukul 4:50 pagi dan kami solat tidak lama selepas itu.




Waktu sarapan di hotel ini adalah pada pukul 7:00 pagi dan Riyan pula akan mengambil kami pada jam 8:00 pagi. Jadi selepas membersihkan diri dan bersolat, maka selepas itu kami menonton televisyen. Boleh tahan banyak juga saluran-saluran televisyen di hotel ini. Layan juga la, terutama saya menonton TV One dan Metro TV yang merupakan saluran berita di Indonesia. 

Pada pukul 6:30 pagi, kami turun ke bawah untuk melihat sekitar kawasan hotel. Di seberang hotel terdapat sebuah hotel iaitu Golden Flower Hotel yang mempunyai pemilik yang sama dengan rangkaian Hotel Zodiak. Di tingkat bawah hotel tersebut terdapat kedai serbaneka Alfamart, jadi kami ke situ untuk beberapa barang yang tiada atau terlupa bawa.



Jam 7:00 pagi, kami ke tingkat 1 yang menempatkan kafeteria hotel. Alhamdulillah ia telah dibuka. Jadi hari ini kami dapat makan soto nasi dan juga nasi yang berlaukan ayam dan sayur. Bagi saya bolehlah standard makan di hotel ini. Kami makan agak banyak sikit kerana lepas ini makan perlu dibayar.


Selepas sarapan, kami naik balik ke bilik, menantikan Riyan yang akan mengambil kami. Baru rehat sebentar, pada jam 7:45 pagi, Riyan sudah sampai. Tiba di bawah, sebuah Toyota Avanza menanti kami dengan seorang pemandu. Pemandu itulah Riyan, seorang anak muda yang berasal dari Jawa Tengah (terlupa pula tempat yang terperinci, tetapi sebuah desa berdekatan dengan Solo, jika seingat saya). Usianya belum pun mencapai 20 tahun, tapi cekal dalam kehidupan. Destinasi pertama adalah Tangkuban Parahu.



Perjalanan kami melalui kawasan bandar di Bandung, dan di sini agak sesak kerana ketika kami lalu di sini merupakan ketika warga Bandung pergi ke pejabat.Namun Riyan singgah dahulu di sebuah stesen minyak Pertamina untuk mengisi minyak. Di stesen itu terdapat mesin ATM CIMB Niaga, jadi saya ke situ untuk "menarik wang" iaitu istilah Indonesia bagi pengeluaran wang. Selelah selesai, saya kembali ke kereta dan meneruskan perjalanan. 


Setelah dekat sejam meredah kesesakan, kami melepasi kawasan bandar dan memasuki kawasan luar bandar. Sepanjang jalan umpama mendaki bukit. Namun permandangan amat cantik dengan kebun-kebun sayur dan tanam-tanaman memenuhi lanskap permandangan. Memang bumi Bandung atau Jawa Barat ini subur. Melalui juga pekan Lembang. Memang kelihatan tenang sahaja di sini.


Sampai satu ketika, kami melalui kawasan yang tumbuhnya pokok-pokok pain (berdaun tirus) yang seperti pohon krismas. Riyan mengatakan jika bertemu dengan kawasan pokok pain ini, bererti Tangkuban Parahu sudah hampir. Memang benar, tidak berapa lama kemudian, kami tiba di simpang jalan menuju ke Tangkuban Parahu. Jika meneruskan perjalanan, jalan tersebut akan terus ke Subang dan Jakarta. Kami mengambil simpang ke Tangkuban Parahu. Riyan menyatakan bahawa Tangkuban Parahu ini baru sahaj 2 minggu dibuka, kerana sebelum ini ditutup sementara.


Sampai sahaja di pintu masuk, terus wanita yang menjaganya bertanya pada Riyan, dari Malaysia ya, dan sedihnya Riyan kata ya. Terus ditanyakan berapa orang, di mana bayaran dikenakan dengan kadar sama bagi pengunjung berumur 3 tahun ke atas. Setiap seorang pengujung luar Indonesia dikenakan Rp200 ribu (+- RM60) setiap orang bagi kunjungan bukan hari minggu. Jadi kami dikenakan semuanya Rp925 ribu (+- RM278.00)!!! Ini bayaran 3 orang dan bayaran masuk kenderaan. Huhuhu, dah tertangkub saya, lawatan tempat pertama dah kena bayar dekat Rp1 juta. Terus hilang semangat, huhuhu.



Itu sebenarnya nasib baik, kerana kalau hari minggu, kadarnya lebih tinggi, iaitu Rp300 ribu (+- RM90) setiap orang!!! Paling tidak adil, untuk pengunjung warga Indonesia, kadar bayaran masuk 10% dari kadar pengunjung luar negara. Kalau di Malaysia, majoriti tempat perlancongan, kadar bayaran antara warga Malaysia dan pengunjung asing sama sahaja. Jika ada tempat yang berbeza bayaran pun seperti Menara KL, Zoo Negara dan perkhidmatan bas Hop In Hop Off pun kadar warga Malaysia lebih sedikit dari 50% dari kadar warga asing. Memang pengurusan tempat perlancongan di sini ambil kesempatan. Jadi tidak hairan kenapa bilangan pelancong asing di Indonesia tidak seramai di Malaysia atau Thailand atau Singapura. Malah, ramai juga warga Indonesia yang melancong ke negara-negara terbabit.


Kadar Bayaran Masuk Tangkuban Perahu.



Hendak tidak hendak, kerana dah bayar, terpaksalah naik juga. Lagipun kalau ke Bandung, kalau tidak ke Takuban Parahu, tidak sah. Lagipun logo Kota Bandung ini sendiri terdapat imej Gunung Tangkuban Parahu ini. Sebenarnya isu bayaran masuk itu cuma isu permulaan, rupanya ada lagi isu tambahan di Tangkuban Parahu ini. Kena teruskan membaca untuk mengetahuinya. Bagi saya, kepada pembaca-pembaca, dicadangkan tidak perlu pergi ke Tangkuban Parahu ini. Lebih baik ke Kawah Putih di selatan kota Bandung, kerana ada yang mengatakan ia lebih berbaloi dan lebih murah.




Sebenarnya Tangkuban Parahu ini ada ceritanya. Lagenda mengatakan Tangkuban Parahu ini terjadi hasil dari seorang lelaki bernama Sangkuriang yang ingin berkahwin dengan Dayang Sumbi tanpa mengetahui bahawa Dayang Sumbi itu ibunya. Sebelum mengetahui yang Sangkuriang ini anaknya, mereka memang saling mencintai. Namun apabila ternampak kesan parut di kepala Sangkuriang, baru dia tersedar bahawa Sangkuriang adalah anaknya. Jadi bagi menjaga hati Sangkuriang, Dayang Sumbi membuat syarat yang agak mustahil agar Sangkuriang perlu menyiapkan sebuah perahu raksasa bagi hantaran perkahwinan mereka. Sangkuriang dengan bantuan hantu berjaya menyiapkan perahu tersebut dalam masa yang singkat. Namun Dayang Sumbi memberitahu perkara sebenar, maka Sangkuriang pun menendang perahu yang dibuatnya sehingga terjadinya Gunung Tangkuban Parahu ini. Apa-apa pun ini sekadar cerita rakyat sahaja.



Kami terus di bawa Riyan ke Kawah Ratu di puncak Gunung Tangkuban Parahu. Sampai-sampai kami di sana, baru kereta hendak parkir, penjual-penjual jalanan mulai mengerumuni kereta kami. Aduh, saya pun sebenarnya sudah tahu keadaan ini akan berlaku cuma tidaklah sebegini hebat. Sebelum itu, telah beberapa kali saya ingatkan isteri dan anak-anak saya yang jangan bertindak balas atau minat terhadap barang-barang yang dijual. Perlu bertegas. Bukan apa, memang mereka mencari rezeki, cuma pengunjung menjadi tidak selesa. 



Ada yang sehingga menjadi jurucakap tidak rasmi yang menceritakan latar belakang dan kisah Tangkuban Parahu yang tidak seberapa. Nasib baik ada Riyan, jadi kalau nak ambil gambar, saya suruh Riyan sahaja. Risau kalau disuruh penjual-penjual ini, tiba-tiba diminta bayaran. Maaf ya teman-teman warga Indonesia, betullah apa yang dikatakan di blog-blog, perbincangan di FB dan media sosial lain, perbincangan di forum-forum TripAdvisor atau LonePlanet dan maklumat di laman web perlancongan seperti Wikitravel, yang mengatakan Indonesia adalah raja segala scam. Memang benar. Jadi itulah isu yang selanjutnya sebenarnya.




Hati saya perlu cekal, dan saya tahu anak-anak saya hendak membeli barang yang dijual, tapi apabila mereka memandang saya, mata saya memberikan isyarat tidak. Namun pada seorang penjual, saya cuba berikan sedekah Rp10ribu (+- RM3.00) kerana tidak mengenal penat lelah memberikan penerangan, namun ditolak beliau. Beliau siap berkata, "saya ngak mau uangnya, Pak". Tapi sebolhnya beliau membeli tasbihnya. Saya kagum dengan beliau. Sampai ke balai informasi pun diikutinya. Di balai informasi ini adalah beberapa papan bacaan yang memberi maklumat tentang Tangkuban Parahu. Saya juga ada ambil brosur-brosur berkaitan. Namun rupanya juga ia adalah promosi untuk ke Kawah Domas. Walaupun dirayu, saya kata saya tidak berminat. Selepas itu saya kembali ke kereta untuk keluar dari Kawah Ratu dan terus keluar dari kawasan Tangkuban Parahu tanpa ke Kawah Domas. Memang tidak berbaloi, duduk lama-lama pun merimaskan. Penting sekali, iman mesti kuat, bak kata Riyan.



Pokok yang saya lupa namanya. 
Pucuknya jika dimakan awet muda katanya, macam Dayang Sumbi.
Akibat selalu terkena asap gunung berapi, batang kayunya berwarna hitam.



Kami seterusnya dibawa Riyan ke kilang pembuatan kopi termahal di dunia, iaitu Kopi Luwak. Kilang ini terletak di Desa Cikole, itu sebabnya dijenamakan kopinya sebagai Kopi Luwak Cikole. Bagi yang tidak tahu, luwak adalah musang, dan kopi luwak ini merupakan sisa biji kopi yang tidak dapat dihadam oleh musang ini dan dijadikan minuman. 




Kami diberikan penerangan oleh Pak Rizki tentang bagaimana kopi ini diproses. Mula-mula ditunjukan kandang musang yang dibela bagi tujuan ini. Tidak semua musang boleh digunakan bagi tujuan ini. Musang yang digunakan di kilang ini merupakan dari musang pandan. Musang-musang ini ada yang membiakkannya, dan harganya agak mahal. Empunya kilang ini sebenarnya seorang doktor haiwan, maka memang beliau pakar dalam musang-musang ini.




Sijil Halal oleh Majelis Ulama Indonesia.



Musang-musang di sini memang dijaga dengan baik malah makanannya lebih mewah dari kita manusia. Bukanlah hari-hari musang-musang ini diberikan buah kopi sebagai makanan walaupun buah kopi atau lebih tepat selaputnya merupakan kegemaran musang. Hanya 2 kali seminggu, musang-musang ini diberikan makan buah kopi. Hari lain diberikan makan susu, madu, pisang, buah-buahan malah ayam juga agar kemahiran alaminya tidak hilang. Musang-musang ini akan berada di kandang ini kira-kira 5 tahun dan selepas itu dilepaskan ke hutan untuk hidup secara liar.






Antara pokok kopi yang dijadikan hiasan di kawasan kilang.



Hasil buangan biji kopi yang belum tercerna oleh sistem perkumuhan musang ini sahaja yang dijadikan kopi luwak. Ini kerana biji kopi sebenarnya dilindungi oleh tempurungnya dan di luarnya terdapat selaput yang menjadi makanan musang. Jika terdapat biji kopi yang terdedah, maka ia tidak diambil untuk diproses dijadikan kopi luwak. Hasil buangan musang tadi dibersihkan dengan sistem agar ia bersih. Lagipun ia disahkan halal oleh Majelis Ulama Indonesia sendiri.




Kemudian, kami ditunjukan tempat pengeringan biji-biji kopi yang telah terpilih. Kopi dijemur dengan menggunakan cahaya matahari sehingga berhari-hari. Tidak dikeringkan dengan kaedah lain agar mendapat kualiti yang terbaik. Di sini kami diajar mengenali kopi jantan dan kopi betina. Terkejut gak, biji kopi pun ada "jantina". Kebiasaannya yang dijumpai adalah kopi betina iaitu dua biji kopi dalam satu tempurung kopi. Kopi jantan pula hanya sebiji tunggal di dalam satu tempurung kopi. Kopi jantan dikatakan, agak baik untuk prestasi orang lelaki, faham-faham sahajalah maksudnya ya.


Kopi Jantan.



Kopi Betina.



Konon-konon digigir oleh patung musang.


Seterusnya, Pak Rizki membawa kami untuk mencuba bergambar dengan seekor musang yang dipelihara di kilang ini. Musang itu amat jinak, cuma agak takut-takut. Hanya saya sahaja yang berani bergambar dengan musang itu bertenggek dan merayap di bahu saya. Sempat la diambil gambar. Kebetulan saya mebawa beg galas, seboleh-boleh musang itu mencari jalan masuk ke dalam beg itu, untuk bersembunyi atau tidur. Namun nasib baik beg itu ditutup habis. Kalau tak, memang saya bawa musang itu ke Malaysia pula, hehehe.






Selanjutnya, kami diceritakan proses-proses selanjutnya. Ada juga model hands on yang mana kita sendiri boleh mengalami proses itu sendiri. Suka betul anak-anak saya, maklumlah anak bandar, mana merasa semua itu. Memang kopi luwak ini ada khasiatnya, jika tidak kenapa ia boleh terkenal dan boleh dijual. Khasiat kesihatanna boleh dibaca di gambar di bawah ini.



Musang obes (terlampau gemuk) yang diberi nama Chicha.



Proses pemanggangan dan pengisaran biji kopi.



Bukan kami sahaja, VVIP dari Malaysia pun ada datang ke mari. 
Terdapat banner YB Tan Sri Annuar Musa yang pernah ke mari di sini.



Usai melihat proses-proses pembuatan Kopi Luwang Cikole, kami ke kafeteria untuk merasai kopinya. Tapi ia bukan percuma, secawan berharga Rp35 ribu (+- RM10.50). Kami pesan 2 cawan. Kopi luwak sebaiknya diminum tanpa gula, lagipun ia bukan sepahit kopi panggang lain. Jika ditambah gula, rasanya agak masam. Setelah habis minum, saya membeli sekotak kopi luwak yang ada 10 sachet 10 gram setiap satu. Ia berharga Rp275ribu (+- RM82.50) kerana itu paling murah. Kena beli kerana saya penggemar kopi. Kalau yang lain harga lebih tinggi iaitu sekotak yang ada 10 sachet 15 gram setiap satu berharga Rp375ribu (+- RM112.50) dan sekotak 10 sachet 15 gram setiap satu kopi luwak dicampur tongkat ali dan ginseng berharga Rp450 ribu (+- RM135).




Selepas ke kilang Kopi Luwak Cikole, Riyan membawa kami ke ladang strawberry Natural Strawberry Land and Resto. Ini untuk program memetik strawberry. Macam kami tidak pernah petik strawberry, terutama di Cameron Highland, tapi macam mana boleh ke sini pula. Mungkin nak rasa petik strawberry di sini dan mungkin berbeza. Semasa di Kawah Ratu, Tangkuban Parahu tadi, ada rasa strawberry yang dijual penjual jalanan, rasanya agak manis. Di luar ladang ini iaitu di kawasan parkir, juga terdapat penjual jalanan. Namun kami buat tidak kisah.


Rupa-rupanya hendak masuk ke ladang ini kena bayar, setiap orang Rp10 ribu (+- RM3). Itu belum dikira strawberry yang dipetik, perlu ditimbang. Ingatkan dapat makan percuma sepuas hati. Tidak mengapalah, anak-anak teringin nak petik strawberry, lagipun upah mereka tidak merengek atau menangis nak beli barang semasa di Tangkuban Parahu.




Bukan anak-anak sahaja bergembira, ibu dan bapa mereka pun sama. Macam tidak pernah petik strawberry pula. Anak-anak kalau boleh semua nak dipetik. Nasib baik ibu mereka jadi penyelia tidak bertauliah. Kalau tidak terbang duit rupiah nak menimbang strawberry itu nanti.






Siap bergambar lagi dengan replika strawberry raksasa.



Lepas habis memetik strawberry, kami pun kembali ke kaunter untuk menimbang dan membayar hasinya. Dekat sekotak juga kami petik dan ia berharga Rp13 ribu (+- RM4.00). Ok lah, tapi semasa pulang ke hotel, rupanya rasanya masam. Kami juga sempat minum jus strawberry yang memang diberikan sekali dengan bayaran tiket masuk ke ladang ini.




Seterusnya, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pasar Terapung Lembang, eh, dah jadi macam di Thailand pula ada pasar-pasar terapung ni pula. Mungkin untuk memajukan industri pelancongan di Bandung agaknya. Dalam perjalanan, saya ternampak antara pengangkutan yang ada adalah kereta kuda, seperti gambar di bawah.




Dalam perjalanan ke Pasar Terapung Lembang, saya terlihat ada sebuah masjid dan ramai orang berduyun-duyun ke masjid. Alamak, baru teringat bahawa hari ini hari Jumaat. Jadi saya mengingatkan kepada Riyan untuk singgah solat Jumaat selepas ke pasar terapung ini.

Hendak masuk ke pasar ini, perlu membayar tiket. Aduh, di Bandung ini semua tempat pelancongan (objek wisata) kena bayar bayaran masuk. Tiket masuk setiap orang adalah Rp15 ribu (+- RM4.50) dan kenderaan perlu dibayar bayaran masuk Rp10 ribu (+- RM 3.00).




Di sini sebenarnya tidaklah menarik sangat. Seumpama taman tema, di mana terdapat taman arnab, taman tanaman, bot sewaan dan pasar makanan di mana dijual dari atas sampan. Setiap urusniaga perlu menggunakan token yang perlu dibeli di kaunter-kaunter tertentu. Bagi saya harga setiap perkara di sini agak mahal dan tidak berbaloi. Kami sekejap sahaja di sini, kerana hendak mengelak anak-anak kami meminta untuk bermain itu dan ini. Lagipun hendak bersolat Jumaat.


Seterusnya kami di bawa terus ke Kampung Daun. Riyan terlupa yang saya telah berpesan untuk bersolat Jumaat. Oleh kerana kami bermusafir, tidak mengapalah untuk tidak bersolat Jumaat pada hari ini, walaupun hati saya ralat. Ingatkan hendak mendengar khutbah di Indonesia. Mungkin bukan rezeki saya.



Sampai di Kampung Daun, Riyan membawa kami ke kaunter penempahan (reservasi) meja. Kampung Daun ini sebenarnya adalah sebuah restoran yang berkonsepkan alam semula jadi.  Saya memang tidak mengajak Riyan untuk makan sama kerana memang etika mereka tidak makan bersama dengan tetamu Jika kita ajak akan ditolak dengan baik, dan jika mereka makan bersama, dirisaukan ada orang lain akan melapor kepada pihak berkuasa menyebabkan lesen mereka ditarik. 





Memang tenang sahaja di dalam ini. Kami diberikan meja di dalam sebuah pondok. Terdapat juga gerai-gerai kecil yang menjual gula-gula buatan sendiri dan beberapa jenis snek. Untuk memanggil pelayan, pelanggan perlu mengetuk kertung, sejenis pengetuk yang berbunyi, digunakan di kampung-kampung untuk memaklumkan pelbagai situasi seperti kecemasan, panggilan azan solat, memaklum kematian dan sebagainya.



Harga makanan di sini agak mahal sikit dengan kami hanya memesan nasi (yang tersedia ulam-ulam dan sambal), sup ekor (di Indonesia dipanggil sup bontot, sampai isteri saya [un salah faham) dan pizza untuk anak-anak. Layanan agak baik di sini, dengan makanan kami sampai tidak berapa lama kecuali pizza. Sup ekor dihidangkan dalam bekas tembikar dengan lilin di dalamnya. Makanan memang sedap. Ekor lembunya memang sedap dan banyak, terdapat 6 ketul semuanya. Anak-anak kami pun berebut makan ekor lembu tersebut. Pizza hanya sampai ketika makanan kami hampir habis. Pendek kata makanan di sini sangat lazat sekali. Bayaran dibuat di kaunter dan kami membayar Rp170 500 (+- RM51.20).

Di sini juga terdapat surau yang agak besar. Jadi kami solatlah jamak di sini.


Seterusnya kami kembali semula ke kota Bandung dan pertamanya Riyan membawa kami ke Rumah Mode, sebuah gedung membeli belah berkonsepkan factory oulet. Anak lelaki saya mengantuk di sini dan tinggal bersama Riyan di kereta. Walaupun ada barang-barang yang agak mudah seperti pakaian jeans berjenama dan lain-lain lagi, namun tidak menarik minat kami. Bagi saya harganya lebih kurang dengan Malaysia, malah kebanyakan barang di Johor Premium Oulet (JPO) di Kulai, Johor lebih murah.



Seterusnya kami pergi ke beberapa factory outlet, namun tiada yang berkenan juga. Setelah pergi ke beberapa tempat untuk membeli belah tidak membawa hasil, saya meminta Riyan untuk membawa ke tempat tumpuan umum. Riyan membawa ke Jalan Cimpahelas yang mempunyai banyak kedai-kedai di sini. Cuma jalan di sini begitu sesak dengan kereta. Sehingga memerlukan petugas untuk menjaga lalu lintas bagi memudahkan pengunjung memarkir kereta.

Di sini kami menghabiskan hampir Rp1.5 juta (+- RM450.00) membeli pakaian, barangan kulit dan cenderahati. Cuma tidka menariknya, terdapat banyak penjual jalanan juga di sini. Bila nampak kita membeli dengan orang lain, dikerumunnya kita. Setelah sejam setengah di sini, saya meminta Riyan untuk membawa ke kedai kain, untuk memuaskan hati isteri yang mana ramai kenalan (saudara mara dan kawannya) meminta untuk membeli barang.



Kami di bawa ke Jalan Ahmad Yani, tapi agak berbelit la jalan kerana ketika itu merupakan waktu warga Bandung pulang kerja. Banyak jalan yang ditutup dan terpaksa dilencongkan ke jalan lain. Lalu juga kami ke Gedung Sate.

Memburukan lalu lintas, jalan ditutup untuk membenarkan keretapi melintas. Sudahlah itu, bukan sekadar melintas, tetapi kena tunggu keretapi berhenti dahulu kerana terdapat stesen keretapi berhampiran jalan yang ditutup. Kalau di Malaysia, keadaan ini tinggal sejarah, kerana di kebanyakan tempat (hampir semua lintasan keretapi), lintasan keretapinya telah dibina jambatan atau terowong untuk melintasinya. Jadi memang teruk juga keadaan lalu lintas. Cuma tidak seteruk Medan dan Jakarta. Ada juga saya mencuba membantu Riyan agar kereta dapat berjalan, namun sukar juga. Hampir-hampir tangan saya dilanggar. Riyan berkata, "hidup di Bandung dan Jawa memang kejam".


Sampai di kedai kain di Jalan Ahmad Yani, saya tunggu sahaja, dan bila tawar, isteri saya memanggil saya. Setelah selesai, saya meminta Riyan membawa kami ke mesin ATM CIMB Niaga dan kemudian ke stesen keretapi untuk mencetak tiket keretapi. 

Sampai di mesin ATM, saya mengeluarkan wang dan seperti biasa mendapat SMS memaklumkan. Pada pagi tadi saya mengeluarkan Rp1.5 juta dan di caj pada akaun saya sebanyak RM442.50, bermakna saya di caj RM295 bagi setiap Rp1 juta, mahal sikit dari nilai pertukaran saya pada 28 Januari lepas iaitu RM291. Namun pada sebelah petang, saya dicaj sebanyak RM435.00 bagi Rp1.5 juta, iaitu RM290 sahaja lebih, lebih murah. Hairan juga kenapa berbeza, rupanya baru saya teringat, pada sebelah pagi, saya menggunakan Bahasa Inggeris manakala sebelah petang saya menggunakan Bahasa Indonesia. Jadi, gunakan Bahasa Indonesia untuk kadar lebih murah, malah lebih murah dari nilai kadar pertukaran wang di pengurup wang. Tambahan pula, pengeluaran wang di rangakaian CIMB seluruh ASEAN adalah percuma iaitu tiada sebarang caj.



Setelah itu, selepas setengah jam meredah kesesakan lalu lintas, kami sampai ke stesen keretapi Bandung, di sayap utara. Saya ke kaunter tiket, dan dimaklumkan untuk ke mesin khas yang mempunyai pencetak. Memang mudah, cuma masukan nombor tempahan, buat semakan dan terus dicetak.




Setelah itu, saya meminta Riyan untuk menghantar sahaja kami pulang ke hotel kerana masing-masing sudah kepenatan. Hendak melepasi kesesakan pun mengambil masa dekat 45 minit walaupun jarak tidaklah jauh mana. Setelah sampai, saya mengucapkan terima kasih kepada Riyan atas perkhidmatannya dan memaklumkan bahawa kami hanya menggunakan perkhidmatannya hari ini sahaja. Sebelum itu, saya sudah berbincang dengan isteri dan menelefon Kiki bagi tujuan ini. Saya membayar Rp450 ribu (+- RM135.00) bagi sewaan hari tersebut. Sememangnya perkhidmatan Kiki memang mudah dan terbaik. Memang wajar digunakan jika datang ke Bandung lagi.





Sampai di hotel, kami berehat dan terus tertidur kerana kepenatan.


Akan bersambung ke Hari 3.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.