Rabu, 11 Februari 2015

Hari 1 (Jakarta & Bandung, Indonesia - 29 Januari hingga 03 Februari 2015) - Antara KL dan Jakarta, Kita Jatuh Cinta.

Dari Pra Percutian.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.



Hari 1 - 29 Januari 2015 (Khamis).


Hari yang ditunggu sudah tiba. Hari ini, saya masih bekerja, kena jimat cuti, agar lain kali boleh pergi lebih lama, pergi lebih jauh, cheh, macam lagu Kaka & Zizan Razak pula, Bawa Daku Pergi, huhuhu... Alhamdulillah, dapat juga pelepasan untuk pulang awal. Maklumlah, masa berlepas dari klia2 pukul 6:50 petang, jadi kena bergerak dari rumah selewat-lewatnya pukul 3:00 petang kerana dijangka perjalanan dari rumah ke stesen LRT dan seterusnya ke KL Sentral dalam sejam dan dari KL Sentral ke klia2 juga ambil lebih sikit dari sejam jika tidak sesak perjalanannya.

Pukul 1:30 tengahari, saya bergerak pulang dari pejabat ke rumah. Sampai di rumah, buat persiapan akhir, solat zohor dan sunat musafir dan pada jam 2:30 petang, saya, isteri dan anak-anak pun keluar dari rumah menuju ke perhentian bas. Anak sulung saya, terpaksa dicutikan sekolah agamanya selama 2 hari dan sekolah kebangsaannya sehari. Menunggu juga bas feeder ke stesen LRT terdekat dengan rumah kami. Akhirnya selepas 15 minit menunggu, sampai juga bas tersebut.


Perjalanan dari rumah saya ke stesen LRT mengambil masa kira-kira 15 minit. Kemudian kami mengambil LRT untuk ke KL Sentral juga. Kena tunggu selama dekat 10 minit kerana masa kami sampai bukanlah waktu puncak yang mana kekerapan LRT agak banyak, kekerapan masa itu setiap sepuluh minit. Perjalanan ke KL Sentral mengambil masa 30 minit, dalam pukul 3:40 petang sampailah kami ke KL Sentral. Kami terus ke tingkat bawah untuk ke terminal bas ke klia2. Kami telah terlepas bas Skybus trip jam 3:30 petang. Ada trip jam 3:45 petang tapi bas Aerobus. Kami telah pun beli tiket bas Skybus yang dibeli bersama dengan tiket kapal terbang AirAsia jadi tidak dapatlah kami menaiki bas Aerobus tersebut. Cuma tiket bas untuk kanak-kanak kami belum beli. Rupa-rupanya sekarang tambang kanak-kanak lebih 3 tahun sama dengan tambang dewasa iaitu RM10.00! Untuk bawah 3 tahun masih percuma. Dulu harga tambang kanak-kanak cuma RM6.00 sahaja, huhuhu. Bermakna, lain kali kalau bawa kanak-kanak lebih 3 tahun kena beli tiket bas Skybus di AirAsia siap-siap. Baru RM7.70 sahaja. Pada masa kami naik, Skybus buat promosi tiket pergi balik cuma RM8.00 sahaja.


Bas kami pun bertolak pada jam 4:05 petang. Perjalanan ke klia2 mengambil masa dekat sejam, walaupun terdapat kesesakan di hadapan Lapangan Terbang Sungei Besi. Jadi pukul 5:05 petang sampailah kami di klia2. Kami tidak perlu lagi untuk daftar masuk kerana sudah mendaftar masuk secara mobile/web. Lagipun kami membawa beg galas (backpacks) yang telah dibahagikan isinya agar tidak lebih 7 kg setiap satu, yang mana tidak perlu didaftar masuk beg kami itu. Kami pun tidak membeli berat beg untuk perjalanan pergi ini. Jadi kami terus ke tingkat 3A, balai berlepas untuk ke tandas dan kemudian ke surau bagi menunaikan solat Asar.



Pada jam 5:50 petang, kami pun ke kaunter imigresen untuk prosedur keluar negara, kemudian pemeriksaan kastam. Seterusnya kami ke sayap K/L kerana pintu pelepasan kami adalah L10, alhamdulillah, tidaklah perlu berjalan jauh. Sebelum sampai ke pemeriksaan keselamatan oleh pihak polis bantuan MAB, kami membuka semua peralatan dan aksesori kami yang mempunyai logam dan cecair seperti tali pinggang, jam tangan, duit syiling dan lain-lain lagi ke dalam beg galas kecil kami. Laptop juga kami keluarkan untuk memudahkan pemeriksaan. Alhamdulillah, mesin pengesan tidak berbunyi, dapat mengurangkan kesesakan, kebetulan pada masa kami memang tiada orang tetapi selepas kami selesai, ramai pula yang sampai di pusat pemeriksaan. Setelah berjalan secara santai dalam 10 minit, sampai juga kami ke pintu L10. Kebetulan juga, kita kami sampai, pintu tersebut dibuka. Terus kami memberikan pas berlepas kami kepada petugas dan kami menunggu di ruang menunggu yang berada di tingkat bawah kerana pintu pesawat masih belum dibuka. 


Akhirnya pada jam 6:25 petang, pintu pesawat pun dibuka, dan kami pun masuk ke dalam pesawat. Seronok dan gembira betul anak-anak kami kerana dapat menaiki pesawat. Ini pertama kali mereka menaiki pesawat AirAsia kerana sebelum ini mereka hanya pernah menaiki pesawat MAS & Malindo Air sahaja.


Pesawat berlepas pada jam 7:05 malam. Maka membelahlah pesawat kami membelah langit senja dan kemudian malam itu. Walaupun sudah makan dengan bekalan yang di bawa (sudah habis sebelum prosedur imigresen), namun perut anak-anak kami masih lapar (hairan kerana di daratan tadi kata sudah kenyang, huhuhu). Nasib baik ada memesan makanan. Jadi makanlah kami dengan makanan yang telah dipesan. Penerbangan kami juga agak penuh dengan sedikit sahaja tempat duduk yang kosong.





Borang Imigresen Indonesia atau 
lebih kita kenali sebagai White Card (atas (luar) dan bawah (dalam)).


Selepas selesai makan, pembantu penerbangan (pramugara/pramugari) mengagihkan borang-borang yang perlu diisi bagi memudahkan urusan prosedur imigresen dan kastam Indonesia. Baik siap awal-awal agak tidak susah semasa di lapangan terbang nanti.



Borang Perisytiharan Kastam Indonesia 
(Jabatan Kastam di Indonesia dikenali sebagai Direktorat Jenderal Bea dan Cukai).


Semasa penerbangan hendak hampir sampai ke Jakarta kira-kira lagi 40 minit, dalam anggaran selepas pulau Bangka di ruang angkasa Laut Jawa, pesawat mengalami sedikit gegaran (air turbulence). Teringat pula tragedi QZ8501 yang terjadi tidak jauh dari kawasan gegaran itu. Tapi alhamdulillah tiada apa-apa. Saya juga menenangkan ahli keluarga saya. 


Setelah melalui penerbangan selama hampir 2 jam, maka pada jam 7:30 malam Waktu Indonesia Barat (WIB) atau pukul 8:30 malam waktu Malaysia (selepas ini saya hanya akan menyatakan WIB iaitu UTC +7 sahaja, bukan waktu Malaysia iaitu UTC +8), kami pun tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa (dalam bahasa Indonesia, Bandar Udara (Bandara) Internasional) Soekarno-Hatta, Jakarta (CGK). Alhamdulillah, tiba juga. Pesawat 9M-AFY parkir di ruang parkir di kawasan Terminal 3. Kami turun dari pesawat ke tarmac dan bas-bas yang akan membawa penumpang-penumpang sudah sedia menunggu di hadapan pesawat. Kami pun menaiki bas tersebut menuju ke bangunan Terminal 3. Perjalanan mengambil masa 10 minit juga.



Kami diturunkan di Pintu Ketibaan A yang mana terus menuju ke kaunter imigresen. Proses imigresen di sini agak lancar dan pantas juga. Memang thumb up saya berikan kepada Departmen Imigrasi Indonesia Terminal 3 CGK. Memang berbeza berbanding dengan pengalaman saya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, Medan sebulan lebih sebelum ini. Jadi semua keempat-empat pasport kami dicop tanpa banyak soal dan senyuman juga diberikan oleh pegawai imigresen terbabit.

Atas sebab ini saya pilih tajuk untuk catatan ini dengan  Antara KL dan Jakarta, Kita Jatuh Cinta berdasarkan lagu Sheila Majid, Antara Anyer dan Jakarta. 



Jangan lupa pegawai terbabit akan memberikan juga secebit keratan daripada borang imigresen terbabit untuk disimpan sepanjang perjalanan kita di Indonesia. Keratan ini tidak boleh dihilangkan di mana ia telah dicop juga menandakan kemasukan kita ke Indonesia. Keratan ini disimpan dan hanya perlu dikembalikan semasa kita meninggalkan Indonesia nanti di mana ia perlu diserahkan kepada pegawai imigresen yang mengurus prosedur urusan keluar kita nanti. Jika hilang, mungkin kesukaran akan berlaku, dan kesukaran ini sebolehnya dielakkan.


Conveyor Belt di tempat ambil bagasi.


Pintu keluar di dewan ketibaan Terminal 3 CGK.

Selesai urusan imigresen, kami terus melalui kawasan pengambilan bagasi. Kami tidak perlu mengunggu kerana tidak mendaftar masuk bagasi kami, di mana semua beg-beg kami dijadikan bagasi kabin sahaja. Jadi terus ke kaunter kastam. DI Terminal 3 CGK ini, semua bagasi termasuk bagasi kabin perlu diimbas di mesin pengimbas. Alhamdulillah, tiada apa perlu dikenakan sebarang cukai, dan kami terus berjalan keluar ke ruang legar Terminal 3 CGK ini.


Ruang legar utama Terminal 3 CGK.


Terminal 3 CGK ini merupakan terminal penerbangan tambang murah bagi CGK. Penerbangan AirAsia (tidak kira AK, QZ (AirAsia Indonesia) dan FD (Thailand AirAsia)) akan menggunakan terminal ini disamping Lion Air, Malindo Air dan Tiger Air serta penyedia perkhidmatan penerbangan murah yang lain. Di sini saya cuba mencari kaunter (atau di Indonesia dipanggil loket) perkhidmatan bas ke Bandung. Namun tidak jumpa.



Kami terus menuju ke kawasan terbuka (tiada penghawa dingin) terminal ini. Rupa-rupanya ruang yang berhawa dingin dikhaskan kepada penumpang-penumpang yang tiba dan berlepas sahaja. Kepada pengunjung lain atau penghantar, mereka tidak dibenarkan masuk dan hanya terhad di kawasan terbuka sahaja.

Di ruang terbuka ini rupanya kaunter-kaunter pengangkutan ke Bandung dan tempat-tempat sekitar Jakarta terletak. Terdapat kaunter Cititrans, Cipaganti, X-Trans dan PrimajasaDi kawasan Terminal 3 CGK ini terdapat liputan WiFi percuma. Sempat juga saya memberitahu Kiki yang kami telah tiba. Pada masa ini juga, saya mengaktifkan kad SIM simPATI Telkomsel yang saya beli semasa kembara saya ke Sumatera Utara lepas. Saya menghantar mesej WhatsApp memaklumkan nombor telefon Telkomsel saya.

Tiba-tiba, telefon Telkomsel saya berbunyi dengan nombor depannya +62. Saya mengagak ia adalah Kiki, kerana hanya dia dan Azmi (rakan pengembara dari Kepulauan Riau), yang tahu nombor telefon ini. Agakan saya benar. Dia memaklumkan bahawa saya ambil Primajasa bas  dan kemudian turun di pool (bahasa Indonesia bagi depoh bas) Primajasa di Caringin.



Saya pun ke kaunter bas Primajasa untuk tiket ke Caringin, Bandung untuk 3 orang (kerana setiap orang berusia 3 tahun ke atas perlu membeli tiket dengan harga sama, tanpa konsesi), yang mana tambang bagi seorang adalah Rp115ribu (+- RM35). Jadi 3 orang (anak saya yang 2 tahun tidak perlu bayar tambang), tambangnya Rp345ribu (+- RM105). Saya memaklumkan kepada kerani kaunter agar berhenti di Caringin, dan dia kata bisa mas (aduh, baru sampai dan ber"mas-mas"). Namun kami perlu tunggu di situ sehingga bas datang pada 8:45 malam. Ketika itu waktu baru pukul 8:15 malam. Tunggulah kami setengah jam di situ.


Namun tidak perlu tunggu setengah jam, pukul 8:35 malam, bas sudah sampai (bas berwarna putih di gambar atas). Kami pun naik bas ini. Saya duduk dengan anak lelaki saya dan isteri saya duduk dengan anak perempuan kami. Nasib baik bas tidak penuh. Bas ini sebenarnya telah ke Terminal 1 dan 2 CGK terlebih dahulu, jadi sudah ada penumpang di dalam bas. Sebenarnya di Terminal 3, hanya kami berempat sahaja yang menaiki bas ini.


Jadi bergeraklah bas ini menuju ke Bandung. Di belakang pemandu iaitu di hadapan tempat duduk kami, terpampang makluman mulai akhir November 2014, bas ini akan berhenti dahulu di Caringin sebelum ke terminalnya di Bandung iaitu di Batu Nunggal. Perjalanan kami agak baik mula-mula, dengan kurang kesesakan. Namun pada jam 9:15 malam, sejurus memasuki Jalan Tol Jakarta-Cikampek dari Jalan Tol Ir. Wiyoto Wiyono (timur Jakarta) ketika hendak masuk ke kota Bekasi, jalan agak sesak sikit dan di sini saya tertidur.

Saya terbangun kira-kira 45 minit kemudian, ketika itu bas tidak lagi terperangkap dalam kesesakan. Bas ini berhenti sebentar di kawasan rehat rawat untuk mengisi minyak dan berjalan kembali setelah 15 minit kemudian. Ketika ini, Kiki dengan murah hati memindahkan Rp5000 nilai pulsa (kredit) ke dalam akaun telefom Telkomsel saya, agar saya boleh berSMS denganya. Banyak kali juga beliau menelefon atau SMS. Akhirnya pada jam 11:45 malam, bas ini pun sampai di Caringin. Kiki sudah sampai untuk mengambil kami.


Kiki pun menghantar kami ke hotel kami di Zodiak @asia Afrika, Bandung. Dapat juga kami melihat suasana kota Bandung pada waktu malam. Agak kurang meriah sikit, maklumlah sudah tengah malam. Namun suasana di Masjid Agung Bandung agak ceria dengan limpahan cahaya lampu di waktu malam. Semasa perjalanan, dapat saya berbrak dengan Kiki, seolah-olah seperti kawan lama, sedangkan baru sahaja pertama kali bertemu. Kenal pun hanya di ruang maya sahaja. 

Selepas 15 minit dari depoh Caringin, kami pun sampai di hotel. Kiki berkata bahawa esok, anak buahnya Riyan akan mengambil kami dan membawa berjalan-jalan ke sekitar Bandung. Jadi kami mengucapkan selamat kepada masing-masing dan saya berterima kasih atas Kiki yang sudi mengambil kami dari turun bas sampai ke hotel. Percuma pula tu. Cuma saya ralat kerana tidak sempat mengambil gambar Kiki, mungkin kerana kepenatan. Perkhidmatan yang Kiki berikan memang terbaik!



Proses daftar masuk agak baik dan kami pun dilayan dan dibawa ke bilik kami bernombor 201. Biliknya agak baik, lebih kurang gaya seperti Tune Hotel dengan tiada almari. Cuma ada rak gantung sahaja. Tapi bagi saya sudah ok. Jadi kerana kami sudah penat dan anak-anak pun sudah beberapa kali tidur, bangun, tidur dan bangun semula, kami pun terus tidur.

Akan bersambung ke Hari 2.


Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English: 
  • Pre Vacation 
  • Itinerary; 
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4; 
  • Day 5; or 
  • Day 6.

Tiada ulasan: