Hari 2 - 30 Januari 2015 (Jumaat).
Subuh di Bandung pada waktu sekitar 4:30 pagi. Agak awal juga. Agaknya pasal itu juga dan kami terlampau penat, kami tidak mendengar azan Subuh dari Masjid Agung Bandung walaupun masjid tersebut agak dekat. Namun kami tidaklah sampai subuh gajah. Saya terjaga pada pukul 4:50 pagi dan kami solat tidak lama selepas itu.
Waktu sarapan di hotel ini adalah pada pukul 7:00 pagi dan Riyan pula akan mengambil kami pada jam 8:00 pagi. Jadi selepas membersihkan diri dan bersolat, maka selepas itu kami menonton televisyen. Boleh tahan banyak juga saluran-saluran televisyen di hotel ini. Layan juga la, terutama saya menonton TV One dan Metro TV yang merupakan saluran berita di Indonesia.
Pada pukul 6:30 pagi, kami turun ke bawah untuk melihat sekitar kawasan hotel. Di seberang hotel terdapat sebuah hotel iaitu Golden Flower Hotel yang mempunyai pemilik yang sama dengan rangkaian Hotel Zodiak. Di tingkat bawah hotel tersebut terdapat kedai serbaneka Alfamart, jadi kami ke situ untuk beberapa barang yang tiada atau terlupa bawa.
Jam 7:00 pagi, kami ke tingkat 1 yang menempatkan kafeteria hotel. Alhamdulillah ia telah dibuka. Jadi hari ini kami dapat makan soto nasi dan juga nasi yang berlaukan ayam dan sayur. Bagi saya bolehlah standard makan di hotel ini. Kami makan agak banyak sikit kerana lepas ini makan perlu dibayar.
Selepas sarapan, kami naik balik ke bilik, menantikan Riyan yang akan mengambil kami. Baru rehat sebentar, pada jam 7:45 pagi, Riyan sudah sampai. Tiba di bawah, sebuah Toyota Avanza menanti kami dengan seorang pemandu. Pemandu itulah Riyan, seorang anak muda yang berasal dari Jawa Tengah (terlupa pula tempat yang terperinci, tetapi sebuah desa berdekatan dengan Solo, jika seingat saya). Usianya belum pun mencapai 20 tahun, tapi cekal dalam kehidupan. Destinasi pertama adalah Tangkuban Parahu.
Perjalanan kami melalui kawasan bandar di Bandung, dan di sini agak sesak kerana ketika kami lalu di sini merupakan ketika warga Bandung pergi ke pejabat.Namun Riyan singgah dahulu di sebuah stesen minyak Pertamina untuk mengisi minyak. Di stesen itu terdapat mesin ATM CIMB Niaga, jadi saya ke situ untuk "menarik wang" iaitu istilah Indonesia bagi pengeluaran wang. Selelah selesai, saya kembali ke kereta dan meneruskan perjalanan.
Setelah dekat sejam meredah kesesakan, kami melepasi kawasan bandar dan memasuki kawasan luar bandar. Sepanjang jalan umpama mendaki bukit. Namun permandangan amat cantik dengan kebun-kebun sayur dan tanam-tanaman memenuhi lanskap permandangan. Memang bumi Bandung atau Jawa Barat ini subur. Melalui juga pekan Lembang. Memang kelihatan tenang sahaja di sini.
Sampai satu ketika, kami melalui kawasan yang tumbuhnya pokok-pokok pain (berdaun tirus) yang seperti pohon krismas. Riyan mengatakan jika bertemu dengan kawasan pokok pain ini, bererti Tangkuban Parahu sudah hampir. Memang benar, tidak berapa lama kemudian, kami tiba di simpang jalan menuju ke Tangkuban Parahu. Jika meneruskan perjalanan, jalan tersebut akan terus ke Subang dan Jakarta. Kami mengambil simpang ke Tangkuban Parahu. Riyan menyatakan bahawa Tangkuban Parahu ini baru sahaj 2 minggu dibuka, kerana sebelum ini ditutup sementara.
Sampai sahaja di pintu masuk, terus wanita yang menjaganya bertanya pada Riyan, dari Malaysia ya, dan sedihnya Riyan kata ya. Terus ditanyakan berapa orang, di mana bayaran dikenakan dengan kadar sama bagi pengunjung berumur 3 tahun ke atas. Setiap seorang pengujung luar Indonesia dikenakan Rp200 ribu (+- RM60) setiap orang bagi kunjungan bukan hari minggu. Jadi kami dikenakan semuanya Rp925 ribu (+- RM278.00)!!! Ini bayaran 3 orang dan bayaran masuk kenderaan. Huhuhu, dah tertangkub saya, lawatan tempat pertama dah kena bayar dekat Rp1 juta. Terus hilang semangat, huhuhu.
Itu sebenarnya nasib baik, kerana kalau hari minggu, kadarnya lebih tinggi, iaitu Rp300 ribu (+- RM90) setiap orang!!! Paling tidak adil, untuk pengunjung warga Indonesia, kadar bayaran masuk 10% dari kadar pengunjung luar negara. Kalau di Malaysia, majoriti tempat perlancongan, kadar bayaran antara warga Malaysia dan pengunjung asing sama sahaja. Jika ada tempat yang berbeza bayaran pun seperti Menara KL, Zoo Negara dan perkhidmatan bas Hop In Hop Off pun kadar warga Malaysia lebih sedikit dari 50% dari kadar warga asing. Memang pengurusan tempat perlancongan di sini ambil kesempatan. Jadi tidak hairan kenapa bilangan pelancong asing di Indonesia tidak seramai di Malaysia atau Thailand atau Singapura. Malah, ramai juga warga Indonesia yang melancong ke negara-negara terbabit.
Kadar Bayaran Masuk Tangkuban Perahu.
Hendak tidak hendak, kerana dah bayar, terpaksalah naik juga. Lagipun kalau ke Bandung, kalau tidak ke Takuban Parahu, tidak sah. Lagipun logo Kota Bandung ini sendiri terdapat imej Gunung Tangkuban Parahu ini. Sebenarnya isu bayaran masuk itu cuma isu permulaan, rupanya ada lagi isu tambahan di Tangkuban Parahu ini. Kena teruskan membaca untuk mengetahuinya. Bagi saya, kepada pembaca-pembaca, dicadangkan tidak perlu pergi ke Tangkuban Parahu ini. Lebih baik ke Kawah Putih di selatan kota Bandung, kerana ada yang mengatakan ia lebih berbaloi dan lebih murah.
Sebenarnya Tangkuban Parahu ini ada ceritanya. Lagenda mengatakan Tangkuban Parahu ini terjadi hasil dari seorang lelaki bernama Sangkuriang yang ingin berkahwin dengan Dayang Sumbi tanpa mengetahui bahawa Dayang Sumbi itu ibunya. Sebelum mengetahui yang Sangkuriang ini anaknya, mereka memang saling mencintai. Namun apabila ternampak kesan parut di kepala Sangkuriang, baru dia tersedar bahawa Sangkuriang adalah anaknya. Jadi bagi menjaga hati Sangkuriang, Dayang Sumbi membuat syarat yang agak mustahil agar Sangkuriang perlu menyiapkan sebuah perahu raksasa bagi hantaran perkahwinan mereka. Sangkuriang dengan bantuan hantu berjaya menyiapkan perahu tersebut dalam masa yang singkat. Namun Dayang Sumbi memberitahu perkara sebenar, maka Sangkuriang pun menendang perahu yang dibuatnya sehingga terjadinya Gunung Tangkuban Parahu ini. Apa-apa pun ini sekadar cerita rakyat sahaja.
Kami terus di bawa Riyan ke Kawah Ratu di puncak Gunung Tangkuban Parahu. Sampai-sampai kami di sana, baru kereta hendak parkir, penjual-penjual jalanan mulai mengerumuni kereta kami. Aduh, saya pun sebenarnya sudah tahu keadaan ini akan berlaku cuma tidaklah sebegini hebat. Sebelum itu, telah beberapa kali saya ingatkan isteri dan anak-anak saya yang jangan bertindak balas atau minat terhadap barang-barang yang dijual. Perlu bertegas. Bukan apa, memang mereka mencari rezeki, cuma pengunjung menjadi tidak selesa.
Ada yang sehingga menjadi jurucakap tidak rasmi yang menceritakan latar belakang dan kisah Tangkuban Parahu yang tidak seberapa. Nasib baik ada Riyan, jadi kalau nak ambil gambar, saya suruh Riyan sahaja. Risau kalau disuruh penjual-penjual ini, tiba-tiba diminta bayaran. Maaf ya teman-teman warga Indonesia, betullah apa yang dikatakan di blog-blog, perbincangan di FB dan media sosial lain, perbincangan di forum-forum TripAdvisor atau LonePlanet dan maklumat di laman web perlancongan seperti Wikitravel, yang mengatakan Indonesia adalah raja segala scam. Memang benar. Jadi itulah isu yang selanjutnya sebenarnya.
Hati saya perlu cekal, dan saya tahu anak-anak saya hendak membeli barang yang dijual, tapi apabila mereka memandang saya, mata saya memberikan isyarat tidak. Namun pada seorang penjual, saya cuba berikan sedekah Rp10ribu (+- RM3.00) kerana tidak mengenal penat lelah memberikan penerangan, namun ditolak beliau. Beliau siap berkata, "saya ngak mau uangnya, Pak". Tapi sebolhnya beliau membeli tasbihnya. Saya kagum dengan beliau. Sampai ke balai informasi pun diikutinya. Di balai informasi ini adalah beberapa papan bacaan yang memberi maklumat tentang Tangkuban Parahu. Saya juga ada ambil brosur-brosur berkaitan. Namun rupanya juga ia adalah promosi untuk ke Kawah Domas. Walaupun dirayu, saya kata saya tidak berminat. Selepas itu saya kembali ke kereta untuk keluar dari Kawah Ratu dan terus keluar dari kawasan Tangkuban Parahu tanpa ke Kawah Domas. Memang tidak berbaloi, duduk lama-lama pun merimaskan. Penting sekali, iman mesti kuat, bak kata Riyan.
Pokok yang saya lupa namanya.
Pucuknya jika dimakan awet muda katanya, macam Dayang Sumbi.
Akibat selalu terkena asap gunung berapi, batang kayunya berwarna hitam.
Kami seterusnya dibawa Riyan ke kilang pembuatan kopi termahal di dunia, iaitu Kopi Luwak. Kilang ini terletak di Desa Cikole, itu sebabnya dijenamakan kopinya sebagai Kopi Luwak Cikole. Bagi yang tidak tahu, luwak adalah musang, dan kopi luwak ini merupakan sisa biji kopi yang tidak dapat dihadam oleh musang ini dan dijadikan minuman.
Kami diberikan penerangan oleh Pak Rizki tentang bagaimana kopi ini diproses. Mula-mula ditunjukan kandang musang yang dibela bagi tujuan ini. Tidak semua musang boleh digunakan bagi tujuan ini. Musang yang digunakan di kilang ini merupakan dari musang pandan. Musang-musang ini ada yang membiakkannya, dan harganya agak mahal. Empunya kilang ini sebenarnya seorang doktor haiwan, maka memang beliau pakar dalam musang-musang ini.
Sijil Halal oleh Majelis Ulama Indonesia.
Musang-musang di sini memang dijaga dengan baik malah makanannya lebih mewah dari kita manusia. Bukanlah hari-hari musang-musang ini diberikan buah kopi sebagai makanan walaupun buah kopi atau lebih tepat selaputnya merupakan kegemaran musang. Hanya 2 kali seminggu, musang-musang ini diberikan makan buah kopi. Hari lain diberikan makan susu, madu, pisang, buah-buahan malah ayam juga agar kemahiran alaminya tidak hilang. Musang-musang ini akan berada di kandang ini kira-kira 5 tahun dan selepas itu dilepaskan ke hutan untuk hidup secara liar.
Antara pokok kopi yang dijadikan hiasan di kawasan kilang.
Hasil buangan biji kopi yang belum tercerna oleh sistem perkumuhan musang ini sahaja yang dijadikan kopi luwak. Ini kerana biji kopi sebenarnya dilindungi oleh tempurungnya dan di luarnya terdapat selaput yang menjadi makanan musang. Jika terdapat biji kopi yang terdedah, maka ia tidak diambil untuk diproses dijadikan kopi luwak. Hasil buangan musang tadi dibersihkan dengan sistem agar ia bersih. Lagipun ia disahkan halal oleh Majelis Ulama Indonesia sendiri.
Kemudian, kami ditunjukan tempat pengeringan biji-biji kopi yang telah terpilih. Kopi dijemur dengan menggunakan cahaya matahari sehingga berhari-hari. Tidak dikeringkan dengan kaedah lain agar mendapat kualiti yang terbaik. Di sini kami diajar mengenali kopi jantan dan kopi betina. Terkejut gak, biji kopi pun ada "jantina". Kebiasaannya yang dijumpai adalah kopi betina iaitu dua biji kopi dalam satu tempurung kopi. Kopi jantan pula hanya sebiji tunggal di dalam satu tempurung kopi. Kopi jantan dikatakan, agak baik untuk prestasi orang lelaki, faham-faham sahajalah maksudnya ya.
Kopi Jantan.
Kopi Betina.
Konon-konon digigir oleh patung musang.
Seterusnya, Pak Rizki membawa kami untuk mencuba bergambar dengan seekor musang yang dipelihara di kilang ini. Musang itu amat jinak, cuma agak takut-takut. Hanya saya sahaja yang berani bergambar dengan musang itu bertenggek dan merayap di bahu saya. Sempat la diambil gambar. Kebetulan saya mebawa beg galas, seboleh-boleh musang itu mencari jalan masuk ke dalam beg itu, untuk bersembunyi atau tidur. Namun nasib baik beg itu ditutup habis. Kalau tak, memang saya bawa musang itu ke Malaysia pula, hehehe.
Selanjutnya, kami diceritakan proses-proses selanjutnya. Ada juga model hands on yang mana kita sendiri boleh mengalami proses itu sendiri. Suka betul anak-anak saya, maklumlah anak bandar, mana merasa semua itu. Memang kopi luwak ini ada khasiatnya, jika tidak kenapa ia boleh terkenal dan boleh dijual. Khasiat kesihatanna boleh dibaca di gambar di bawah ini.
Musang obes (terlampau gemuk) yang diberi nama Chicha.
Proses pemanggangan dan pengisaran biji kopi.
Bukan kami sahaja, VVIP dari Malaysia pun ada datang ke mari.
Terdapat banner YB Tan Sri Annuar Musa yang pernah ke mari di sini.
Usai melihat proses-proses pembuatan Kopi Luwang Cikole, kami ke kafeteria untuk merasai kopinya. Tapi ia bukan percuma, secawan berharga Rp35 ribu (+- RM10.50). Kami pesan 2 cawan. Kopi luwak sebaiknya diminum tanpa gula, lagipun ia bukan sepahit kopi panggang lain. Jika ditambah gula, rasanya agak masam. Setelah habis minum, saya membeli sekotak kopi luwak yang ada 10 sachet 10 gram setiap satu. Ia berharga Rp275ribu (+- RM82.50) kerana itu paling murah. Kena beli kerana saya penggemar kopi. Kalau yang lain harga lebih tinggi iaitu sekotak yang ada 10 sachet 15 gram setiap satu berharga Rp375ribu (+- RM112.50) dan sekotak 10 sachet 15 gram setiap satu kopi luwak dicampur tongkat ali dan ginseng berharga Rp450 ribu (+- RM135).
Selepas ke kilang Kopi Luwak Cikole, Riyan membawa kami ke ladang strawberry Natural Strawberry Land and Resto. Ini untuk program memetik strawberry. Macam kami tidak pernah petik strawberry, terutama di Cameron Highland, tapi macam mana boleh ke sini pula. Mungkin nak rasa petik strawberry di sini dan mungkin berbeza. Semasa di Kawah Ratu, Tangkuban Parahu tadi, ada rasa strawberry yang dijual penjual jalanan, rasanya agak manis. Di luar ladang ini iaitu di kawasan parkir, juga terdapat penjual jalanan. Namun kami buat tidak kisah.
Rupa-rupanya hendak masuk ke ladang ini kena bayar, setiap orang Rp10 ribu (+- RM3). Itu belum dikira strawberry yang dipetik, perlu ditimbang. Ingatkan dapat makan percuma sepuas hati. Tidak mengapalah, anak-anak teringin nak petik strawberry, lagipun upah mereka tidak merengek atau menangis nak beli barang semasa di Tangkuban Parahu.
Bukan anak-anak sahaja bergembira, ibu dan bapa mereka pun sama. Macam tidak pernah petik strawberry pula. Anak-anak kalau boleh semua nak dipetik. Nasib baik ibu mereka jadi penyelia tidak bertauliah. Kalau tidak terbang duit rupiah nak menimbang strawberry itu nanti.
Siap bergambar lagi dengan replika strawberry raksasa.
Lepas habis memetik strawberry, kami pun kembali ke kaunter untuk menimbang dan membayar hasinya. Dekat sekotak juga kami petik dan ia berharga Rp13 ribu (+- RM4.00). Ok lah, tapi semasa pulang ke hotel, rupanya rasanya masam. Kami juga sempat minum jus strawberry yang memang diberikan sekali dengan bayaran tiket masuk ke ladang ini.
Seterusnya, kami meneruskan perjalanan menuju ke Pasar Terapung Lembang, eh, dah jadi macam di Thailand pula ada pasar-pasar terapung ni pula. Mungkin untuk memajukan industri pelancongan di Bandung agaknya. Dalam perjalanan, saya ternampak antara pengangkutan yang ada adalah kereta kuda, seperti gambar di bawah.
Dalam perjalanan ke Pasar Terapung Lembang, saya terlihat ada sebuah masjid dan ramai orang berduyun-duyun ke masjid. Alamak, baru teringat bahawa hari ini hari Jumaat. Jadi saya mengingatkan kepada Riyan untuk singgah solat Jumaat selepas ke pasar terapung ini.
Hendak masuk ke pasar ini, perlu membayar tiket. Aduh, di Bandung ini semua tempat pelancongan (objek wisata) kena bayar bayaran masuk. Tiket masuk setiap orang adalah Rp15 ribu (+- RM4.50) dan kenderaan perlu dibayar bayaran masuk Rp10 ribu (+- RM 3.00).
Di sini sebenarnya tidaklah menarik sangat. Seumpama taman tema, di mana terdapat taman arnab, taman tanaman, bot sewaan dan pasar makanan di mana dijual dari atas sampan. Setiap urusniaga perlu menggunakan token yang perlu dibeli di kaunter-kaunter tertentu. Bagi saya harga setiap perkara di sini agak mahal dan tidak berbaloi. Kami sekejap sahaja di sini, kerana hendak mengelak anak-anak kami meminta untuk bermain itu dan ini. Lagipun hendak bersolat Jumaat.
Seterusnya kami di bawa terus ke Kampung Daun. Riyan terlupa yang saya telah berpesan untuk bersolat Jumaat. Oleh kerana kami bermusafir, tidak mengapalah untuk tidak bersolat Jumaat pada hari ini, walaupun hati saya ralat. Ingatkan hendak mendengar khutbah di Indonesia. Mungkin bukan rezeki saya.
Sampai di Kampung Daun, Riyan membawa kami ke kaunter penempahan (reservasi) meja. Kampung Daun ini sebenarnya adalah sebuah restoran yang berkonsepkan alam semula jadi. Saya memang tidak mengajak Riyan untuk makan sama kerana memang etika mereka tidak makan bersama dengan tetamu Jika kita ajak akan ditolak dengan baik, dan jika mereka makan bersama, dirisaukan ada orang lain akan melapor kepada pihak berkuasa menyebabkan lesen mereka ditarik.
Memang tenang sahaja di dalam ini. Kami diberikan meja di dalam sebuah pondok. Terdapat juga gerai-gerai kecil yang menjual gula-gula buatan sendiri dan beberapa jenis snek. Untuk memanggil pelayan, pelanggan perlu mengetuk kertung, sejenis pengetuk yang berbunyi, digunakan di kampung-kampung untuk memaklumkan pelbagai situasi seperti kecemasan, panggilan azan solat, memaklum kematian dan sebagainya.
Harga makanan di sini agak mahal sikit dengan kami hanya memesan nasi (yang tersedia ulam-ulam dan sambal), sup ekor (di Indonesia dipanggil sup bontot, sampai isteri saya [un salah faham) dan pizza untuk anak-anak. Layanan agak baik di sini, dengan makanan kami sampai tidak berapa lama kecuali pizza. Sup ekor dihidangkan dalam bekas tembikar dengan lilin di dalamnya. Makanan memang sedap. Ekor lembunya memang sedap dan banyak, terdapat 6 ketul semuanya. Anak-anak kami pun berebut makan ekor lembu tersebut. Pizza hanya sampai ketika makanan kami hampir habis. Pendek kata makanan di sini sangat lazat sekali. Bayaran dibuat di kaunter dan kami membayar Rp170 500 (+- RM51.20).
Di sini juga terdapat surau yang agak besar. Jadi kami solatlah jamak di sini.
Di sini juga terdapat surau yang agak besar. Jadi kami solatlah jamak di sini.
Seterusnya kami kembali semula ke kota Bandung dan pertamanya Riyan membawa kami ke Rumah Mode, sebuah gedung membeli belah berkonsepkan factory oulet. Anak lelaki saya mengantuk di sini dan tinggal bersama Riyan di kereta. Walaupun ada barang-barang yang agak mudah seperti pakaian jeans berjenama dan lain-lain lagi, namun tidak menarik minat kami. Bagi saya harganya lebih kurang dengan Malaysia, malah kebanyakan barang di Johor Premium Oulet (JPO) di Kulai, Johor lebih murah.
Seterusnya kami pergi ke beberapa factory outlet, namun tiada yang berkenan juga. Setelah pergi ke beberapa tempat untuk membeli belah tidak membawa hasil, saya meminta Riyan untuk membawa ke tempat tumpuan umum. Riyan membawa ke Jalan Cimpahelas yang mempunyai banyak kedai-kedai di sini. Cuma jalan di sini begitu sesak dengan kereta. Sehingga memerlukan petugas untuk menjaga lalu lintas bagi memudahkan pengunjung memarkir kereta.
Di sini kami menghabiskan hampir Rp1.5 juta (+- RM450.00) membeli pakaian, barangan kulit dan cenderahati. Cuma tidka menariknya, terdapat banyak penjual jalanan juga di sini. Bila nampak kita membeli dengan orang lain, dikerumunnya kita. Setelah sejam setengah di sini, saya meminta Riyan untuk membawa ke kedai kain, untuk memuaskan hati isteri yang mana ramai kenalan (saudara mara dan kawannya) meminta untuk membeli barang.
Kami di bawa ke Jalan Ahmad Yani, tapi agak berbelit la jalan kerana ketika itu merupakan waktu warga Bandung pulang kerja. Banyak jalan yang ditutup dan terpaksa dilencongkan ke jalan lain. Lalu juga kami ke Gedung Sate.
Memburukan lalu lintas, jalan ditutup untuk membenarkan keretapi melintas. Sudahlah itu, bukan sekadar melintas, tetapi kena tunggu keretapi berhenti dahulu kerana terdapat stesen keretapi berhampiran jalan yang ditutup. Kalau di Malaysia, keadaan ini tinggal sejarah, kerana di kebanyakan tempat (hampir semua lintasan keretapi), lintasan keretapinya telah dibina jambatan atau terowong untuk melintasinya. Jadi memang teruk juga keadaan lalu lintas. Cuma tidak seteruk Medan dan Jakarta. Ada juga saya mencuba membantu Riyan agar kereta dapat berjalan, namun sukar juga. Hampir-hampir tangan saya dilanggar. Riyan berkata, "hidup di Bandung dan Jawa memang kejam".
Sampai di kedai kain di Jalan Ahmad Yani, saya tunggu sahaja, dan bila tawar, isteri saya memanggil saya. Setelah selesai, saya meminta Riyan membawa kami ke mesin ATM CIMB Niaga dan kemudian ke stesen keretapi untuk mencetak tiket keretapi.
Sampai di mesin ATM, saya mengeluarkan wang dan seperti biasa mendapat SMS memaklumkan. Pada pagi tadi saya mengeluarkan Rp1.5 juta dan di caj pada akaun saya sebanyak RM442.50, bermakna saya di caj RM295 bagi setiap Rp1 juta, mahal sikit dari nilai pertukaran saya pada 28 Januari lepas iaitu RM291. Namun pada sebelah petang, saya dicaj sebanyak RM435.00 bagi Rp1.5 juta, iaitu RM290 sahaja lebih, lebih murah. Hairan juga kenapa berbeza, rupanya baru saya teringat, pada sebelah pagi, saya menggunakan Bahasa Inggeris manakala sebelah petang saya menggunakan Bahasa Indonesia. Jadi, gunakan Bahasa Indonesia untuk kadar lebih murah, malah lebih murah dari nilai kadar pertukaran wang di pengurup wang. Tambahan pula, pengeluaran wang di rangakaian CIMB seluruh ASEAN adalah percuma iaitu tiada sebarang caj.
Setelah itu, selepas setengah jam meredah kesesakan lalu lintas, kami sampai ke stesen keretapi Bandung, di sayap utara. Saya ke kaunter tiket, dan dimaklumkan untuk ke mesin khas yang mempunyai pencetak. Memang mudah, cuma masukan nombor tempahan, buat semakan dan terus dicetak.
Setelah itu, saya meminta Riyan untuk menghantar sahaja kami pulang ke hotel kerana masing-masing sudah kepenatan. Hendak melepasi kesesakan pun mengambil masa dekat 45 minit walaupun jarak tidaklah jauh mana. Setelah sampai, saya mengucapkan terima kasih kepada Riyan atas perkhidmatannya dan memaklumkan bahawa kami hanya menggunakan perkhidmatannya hari ini sahaja. Sebelum itu, saya sudah berbincang dengan isteri dan menelefon Kiki bagi tujuan ini. Saya membayar Rp450 ribu (+- RM135.00) bagi sewaan hari tersebut. Sememangnya perkhidmatan Kiki memang mudah dan terbaik. Memang wajar digunakan jika datang ke Bandung lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan