Memaparkan catatan dengan label 12 hingga 16 September 2014 - Ko Samui Thailand. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 12 hingga 16 September 2014 - Ko Samui Thailand. Papar semua catatan

Khamis, 4 Disember 2014

Hari 2 (Ko Samui, Thailand - 12 hingga 16 September 2014) - Hat Yai Ke Samui, Nampak Dekat Tapi Jauh.

Bersambung dari Hari 1.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.



Hari 2
13 September 2014 (Sabtu)

Pagi kami dimulakan dengan setelah Subuh, kami berjalan menuju ke pasar pagi yang berdekatan dengan Hotel Golden Crown Plaza (sampai sekarang saya tidak ingat nama pasar ini). Sarapan pagi, kami memasak nasi dengan beras yang kami beli di pasaraya semalam dan berlaukan lauk yang dibeli di pasar malam Lee Garden. Di pasar pagi ini pula belilah beberapa perkara yang diperlukan. Antara yang saya belai adalah telur masin yang telah dimasak, dijual oleh seorang wanita Muslim Thailand (kerana memakai tudung, namun tidak boleh berbahasa Melayu). Agak murah bagi saya, kerana untuk 15 biji, harganya cuma ฿100 (+- RM10) sahaja. Selain itu beli juga kacang-kacang untuk kudapan semasa perjalanan. Selesai ke pasar kami pulang ke hotel.



Dalam jam 9 pagi, kami mendaftar keluar dari hotel dan meneruskan perjalanan kami ke bandar Songkhla (atau nama lama dalam Bahasa Melayu adalah Singgora). Semasa dalam perjalanan, kami di"sapa" (dengan membunyikan hon) oleh sekumpulan penunggang motor berkuasa besar dari Malaysia. Mungkin kerana melihat no plet kereta saya. Saya pun membalas. Tidak berapa jauh juga Songkhla ini dari Hat Yai, dalam 30 kilometer dan dalam 45 minit sahaja (lambat sikit kerana jalan banyak kereta dan perlu menempuh beberapa lampu isyarat). Kami terus ke pantai Samila kerana hendak bergambar dengan patung ikan duyung.


Sebenarnya bukan patung emas ikan duyung ini sahaja, tapi banyak benda lain yang menjadi tarikan pantai Samila ini seperti patung naga yang kepalanya di satu tempat, badannya pula di satu tempat lain dan ekornya di tempat lain, seolah-olah naga ini berada di dalam perut bumi dan ia sangat panjang. Gambar seorang pendeta sedang membaca buka di salah sebuah bulatan dan sebagainya. Pantainya juga agak panjang dan bersih memutih. Patung ikan duyung ini terletak di sebuah tanjung yang mana tidak berapa jauh darinya terdapat sederetan kedai menjual cenderhati. Oleh kerana kami sudah beli cenderahati lebih kurang sama di Hat Yai, tidak perlulah beli lagi.


Kami tidak lama di pantai Samila, kami meneruskan perjalanan kami ke Dongsak, Surat Thani yang berada 320 km dari pantai Samila ini. Jauh lagi perjalanan ini. Tidak lama selepas melewati bandar Songkhla, kami melintasi dua buah jambatan yang merentasi Tasik Songkhla yang merupakan tasik yang terbesar di Thailand. Seperti tidak boleh kami untuk membezakan antara laut dengan Tasik Songkhla ini, kedua-duanya kelihatan hampir sama. Banyak juga sangkar-sangkar ikan terdapat di tasik ini.

Memang sedap memandu di Thailand ini, dengan jalan seumpama lebuhraya yang percuma dan sekurang-kurangnya dua lorong sehala. Eh, rupanya bukan sepanjang jalan nombor 408 ini mempunyai 2 lorong sehala. Selepas 30 kilometer melepasi bandar Songkhla, jalan menjadi dua lorong dua hala (selorong bagi setiap hala), seperti kebanyakan jalan di Malaysia. Huhuhu, terpaksalah perlahan apabila sampai di belakang trak pick up yang perlahan. Namun sempatlah singgah di sebuah stesen minyak untuk mengisi minyak yang kali terakhir diisi di Bukit Bunga. Pengisian penuh kereta Proton Gen-2 saya berjumlah ฿1400 (+- RM140) dengan petrol RON95 gred biasa. Kira-kira hampir dua kali ganda berbanding pengisian penuh di Malaysia yang biasanya dalam RM80.


Permandangan sepanjang perjalanan amat menarik kerana ada yang tiada atau tidak banyak didapati di Malaysia, contohnya, ada beberapa kincir angin yang bertujuan untuk janakuasa elektrik boleh didapati sepanjang laluan ini. Selain itu dapat dilihat sawah padi terbendang luas terutama ketika hendak hampir sampai ke Nakhon Si Tammarat. Alhamdulilah kira-kira 40 kilometer hendak sampai ke bandar Nakhon Si Tammarat, jalan kembali menjadi 2 lorong sehala. Sebenarnya jalan yang selorong sehala ini akan dinaik taraf kepada dua lorong, persediaan sudah ada cuma belum dibina sahaja.

Akhirnya, kami hendak sampai ke bandar Nakhon Si Tammarat (atau nama lama dalam Bahasa Melayu adalah Negara Sri Dharma Raja juga dikenali sebagai Ligor), namun saya mengambil untuk masuk bandar walaupun sepatutnya kalau hendak cepat saya hanya perlu terus ambil jalan nombor 4103 yang bersambung terus, kerana saya ingat saya perlu terus dengan jalan 408. Rupanya agak silap saya ambil jalan ini kerana disebabkan ini saya kehilangan lebih sejam. Ini kerana bandar Nakhon Si Tammarat agak panjang, lalu lintasnya agak sesak dan banyak lampu isyarat. Tetapi dapat juga melihat bandar ini yang mana lampu jalanannya mempunyai binatang-binatang yang ada dalam zodiak Cina.

Di sini juga terlihat ketika hendak sampai ke hujung utara bandar ini, tembok kota pertahanan bandar ini yang masih utuh walaupun tidak semua (maaf, lupa hendak ambil gambar). Dikhabarkan bahawa inilah kota pertahanan kerajaan Langkasuka satu ketika dahulu. 

Perjalanan diteruskan di jalan 408 ini sehingga tiba-tiba kami ditahan. Rupanya kami memasuki kem tentera Thailand. Nampak dalam peta macam boleh jalan terus rupanya tidak, ia merupakan kem askar, huhuhu. Terus pengawal pintu masuk itu mengarahkan kami berpusing dan selepas itu saya pun keliru hendak ambil jalan mana. Nasib baik ada jalan kecil yang menuju ke jalan 412 yang merupakan jalan alternatif. 



Akhirnya setelah kampung demi kampung di lalui, pekan demi pekan direntasi dan cuaca hujan yang lebat sehinggakan cerah kembali, sampai juga kami ke jeti feri Seatran di Dongsak. Kami sampai di sana pada jam 3:20 petang. Maklumat lanjut pasal feri RORO (feri bawa kenderaan) Seatran boleh layari laman webnya dengan klik pada Seatran.

 




Sampai sahaja di sana, kami perlu melalui kaunter pembayaran tiket. Jumlah yang perlu dibayar adalah sebanyak ฿845 (+- RM84.50) yang mana tiket feri bagi setiap dewasa (tiket berwarna biru) berharga ฿150 (+- RM15), kanak-kanak ฿75 (+- RM7.50) (tiket berwarna kuning) dan bagi kereta bersama pemandu berharga ฿470 (+- RM47). Sempat juga saya tanya, pukul berapa giliran kami naik feri kepada kerani kaunter tersebut. Beliau berkata dalam pukul 5:30 atau 6 petang. Huh, dah malam baru sampai Ko Samui la nampaknya.



Setelah pembayaran dibuat dan tiket diperolehi, maka saya memarkirkan kereta saya di belakang kereta terakhir beratur di situ. Diperhatikan juga bas-bas ekspres sedang menurunkan penumpang ke balai penumpang untuk mereka menunggu untuk naik ke feri. Setelah selesai, bas-bas ini beratur dan menunggu untuk memasuki feri. Seperti bas-bas ini mempunyai keutamaan untuk memasuki feri dahulu. Oleh kerana lama lagi, maka saya pun berjalan-jalan sekitar balai penumpang untuk melihat keadaannya.


Satu pengumuman telah dibuat, mungkin mengatakan bahawa kenderaan-kenderaan yang menunggu perlu bersedia untuk memasuki feri, agaknya kerana pengumuman di dalam Bahasa Thai. Maka saya kembali semula ke kereta. Nampak juga bas-bas dan sebuah lori mula bergerak menuju ke arah feri. Selesai kenderaan-kenderaan besar berkenaan, barulah kenderaan-kenderaan lebih kecil termasuk kereta kami bergerak. Ketika ini baru sahaja pukul 4 petang.


Namun ia terhenti pada dua kenderaan dihadapan saya. Betullah kata kerani tiket saya tadi, saya punya giliran adalah feri selepas ini. Kami tidak boleh nak bersolat kerana baju kami terkena najis air kecil anak perempuan kami yang terbuang air kecil semasa tidur. Hendak ambil baju di dalam beg agak sukar.

Tetapi tetiba petugas feri mengarahkan tiga kereta di hadapan barisan untuk bergerak menuju feri, dan ia termasuk kereta kami. Alhamdulillah, rezeki kami. Sebelum kereta kami memasuki feri (lagi 300 meter iaitu sebelum memasuki jeti), saya perlu menurunkan penumpang selain saya sebagai pemandu. Itulah peraturannya. Selepas itu, saya bawalah kereta saya terus memasuki feri.


Memang betul, kereta saya adalah kereta terakhir yang masuk ke dalam feri. Setelah kereta saya memasuki feri tersebut, saya mengikut arahan petugas feri tersebut dan memarkirkan kereta saya dan menarik brek tangan. Petugas-petugas feri pula segera meletakkan sesendal kayu pada setiap tayar kereta saya, bagi memastikan kereta tidak bergerak banyak sepanjang perjalanan.

Setelah pasti kereta saya selamat, saya segera menguncikan kereta untuk menaiki dek penumpang di atas untuk duduk bersama-sama keluarga saya. Rupanya mereka baru hendak menaiki feri. Bermengah-mengah juga mereka, kena berjalan jauh rupanya, dan perlu berjalan cepat pasal mereka merupakan penumpang terakhir yang akan naik feri. 

Jadi di bawah ini merupakan sebahagian gambar-gambar di dalam feri ini. Feri yang kami naiki ini namanya Seatran 5.









Nampak kereta saya (Proton Gen-2 berwarna kelabu) yang merupakan kenderaan terakhir masuk ke dalam feri. Ini dinamakan rezeki, dan mungkin kerana Allah memakbulkan doa kami, Amin. Alhamdulillah.

Dek penumpang terdapat dua tingkat, iaitu di tingkat tengah-tengah mempunyai bahagian yang berhawa dingin dan juga tiada berhawa dingin. Yang berhawa dingin mempunyai kerusi berkusyen dan yang tidak berhawa dingin hanya tempat duduk plastuk. Harga sama, cuma siapa cepat dapatlah duduk di tempat duduk berhawa dingin. Terdapat juga kedai serbaneka yang jual makanan ringan dan minuman yang berbayar. Harganya pun tidaklah mahal, lebih kurang harga kedai di darat sahaja. Cuma kami tidak membelinya kerana kelihatan seperti tidak halal.

Di dek atas sekali terdapat juga tempat duduk yang open air. Saya dan anak lelaki saya duduk di sini. Memang nyaman sekali setiap kali dihembus angin. Cuma jangan duduk di bahagian belakang feri kerana akan menyedut asap berbau diesel yang dikeluarkan oleh feri ini. Di dek ini juga terdapat ruang tempat duduk VIP, hanya ahli sahaja yang boleh duduk di sini.


Sedang kami duduk menikmati permandangan dari atas feri, saya perasan sepasang penumpang yang duduk di hadapan kami bercakap Bahasa Melayu Malaysia. Jadi saya menegur. Rupanya mereka merupakan sepasang adik beradik yang menaiki penerbangan AirAsia yang mendarat di Surat Thani. Dari lapangan terbang tersebut, mereka mengatakan, mereka menaiki bas transit yang berkolobrasi dengan AirAsia untuk membawa mereka ke Ko Samui. Saya ada tanya berapa tambang, cuma saya terlupa ketika menulis catatan ini. Kami berborak bertukar-tukar pandangan perjalanan kami. Mereka terkejut selepas mengetahui kami ke Ko Samui menaiki kereta.



Setelah satu setengah jam mengharungi ombak (macamlah ombak kuat sangat, walaupun langit nampak gelap sahaja, tapi alhamdulillah tidak hujan dan ombak macam biasa sahaja), sampailah feri kami di jeti di Ko Samui yang terletak di pekan Nathon. Setelah feri selamat berlabuh dan selamat, maka berduyun-duyun kenderaan keluar dari perutnya, termasuklah  kereta saya.




Maka, setelah keluar dari feri, saya membawa kereta berpandukan peta Google Maps untuk ke hotel yang kami telah tempah iaitu di Rose Garden Bungalow yang terletak di kawasan Lamai. Makan lalulah kami melalui pekan Nathon yang merupakan seperti pusat pentadbiran kerajaan di Ko Samui ini. Perjalanan ke hotel kira-kira dalam 17 kilometer yang mengambil masa kira-kira setengah jam melalui juga pekan Maret dan Lamai. Akhirnya pukul 6 petang sampai juga kami ke hotel.






Alhamdulillah, pengusaha hotel memang menunggu kami. Rupanya terdapat dua jenis penginapan di sini iaitu chalet kayu dan juga chalet (banglo) batu berkembar. Kami punya adalah yang batu punya, dan saya lihat ia agak berbaloi malah lebih lagi dengan harganya yang cuma RM60 semalam. Yang penting mempunyai akses terus ke pantai. Yang menarik lagi, jiran hotel/resort kami merupakan resort-resort bertaraf 5 bintang seperti Le Meridien dan Conrad. Oleh kerana kepenatan, maka kami hanya duduk sahaja pada malam ini.


Akan bersambung ke Hari 3.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1; 
  • Day 2 (this part)
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.

Rabu, 3 Disember 2014

Hari 1 (Ko Samui, Thailand - 12 hingga 16 September 2014) - Pengalaman Berkereta Jarak Jauh Di Thailand Buat Pertama Kali.

Bersambung dari Pra Percutian.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.


Hari 1
12 September 2014 (Jumaat)

Setelah selesai melaksanakan tugas pada dua hari sebelumnya, hari ini saya memohon kebenaran kepada ketua saya untuk memberikan pelepasan untuk hari ini. Sebenarnya hari ini pun perlu bertugas tapi saya sudah laksanakan tugas yang lebih pada hari sebelumnya, maka saya dapat diberikan pelepasan. Lagipun hari ini merupakan hari perjalanan.


Sepanjang di Dungun, kami sekeluarga duduk di Hotel UiTM Dungun. Bagi saya, hotel ini boleh diinapi dan suasananya sesuai kerana terletak di tepi pantai. Aman dan tenteram sahaja keadaannya. Cuma bagi yang bajet, kurang sesuai kerana harganya seperti hotel biasa.




Selepas bersarapan di coffee house hotel, maka kami memulakan perjalanan kami pada jam 8:30 pagi, dari Dungun ke Hat Yai melalui Jalan Persekutuan 3. Jalan pun agak cantik dengan dua lorong setiap hala. Umpama memandu di lebuhraya, cuma perlu berhenti di lampu isyarat yang ada di pekan-pekan dan kampung-kampung tertentu. Permandangan jalan tepi pantai memang cantik. Melewati pekan Marang selepas sejam memandu dan selepas setengah jam kemudian, sampai juga kami di bandaraya Kuala Terengganu pada jam 10:00 pagi.


Kami singgah dahulu di tempat yang wajib disinggahi jika ke Kuala Terengganu iaitu Pasar Kedai Payang. Namun tidak semua kedai buka. Jika gerai-gerai barang keperluan harian memang sudah buka, tapi barang cenderahati dan pakaian seperti songket, batik dan barangan tembaga belum dibuka. Kami sempat juga membeli beberapa barang seperti buah-buahan, makanan dan minuman untuk bekalan perjalanan. Semasa berjalan di dalam pasar, sempat juga ambil gambar yang agak unik seperti sangkar-sangkar burung yang cantik buatannya. 


Sebelum pulang, kami pusing lagi satu pusingan di tingkat atas, untuk lihat mana tahu ada kedai cenderahati yang sudah dibuka. Ada juga yang sudah buka, memang cantik  hasil pertukangan tembaga dan lain-lain lagi. Harga pun boleh lah berpatutan. Kebetulan terdapat sebuah kedai menjual rantai kunci dan magnet peti ais telah buka. Harga pun agak murah iaitu 2 set magnet (setiap set mempunyai 3 buah magnet) berharga RM10 sahaja. Apa lagi ambillah kami 2 set magnet.


Setelah sejam berada di Pasar Kedai Payang, maka kami meneruskan perjalanan dengan bersiar-siar di pusat bandaraya Kuala Terengganu. Sempatlah memandu melalui kawasan penduduk berketurunan Cina di sini. Juga, di kawasan Tebingan (Esplanade) di tebing Sungai Terengganu. Dahulunya kawasan ini merupakan belakang kedai yang agak kotor, kini diindahkan menjadi kawasan tarikan perlancongan pula.



Kemudian, kami meneruskan perjalanan ke Taman Tamadun Islam, kerana kami hendak ke Masjid Kristal. Saya memang tidak pernah berkunjung ke sini, kerana kunjungan terakhir saya ke Kuala Terengganu, masjid ini belum siap pembinaannya. Agak lama tidak hadir ke Kuala Terengganu ini. Semasa perjalanan, kami menemui Muzium Negeri Terengganu, namun kami tidak singgah kerana risau kekangan masa. Kami perlu meneruskan perjalanan untuk ke Taman Tamadun Islam. Akhirnya sampai juga. Termakbul impian isteri saya untuk sampai ke sini.




Kami ambillah banyak gambar di sini. Saya juga sempat solat beberapa solat sunat di Masjid Kristal ini. Kebetulan semasa kami di sini, terdapat sebuah majlis akad nikah sedang dijalankan. Memang masjid ini agak popular dijadikan tempat majlis akad nikah. Memang masjid ini amat indah.



Lebih setengah jam diambil di sini. Kemudian kami ke Kampung Losong untuk membeli kerepok lekor yang popular itu untuk dijadikan bekalan makanan kami seterusnya. Setelah merasa beberapa batang keropok lekor baik yang rebus mahupun yang goreng, pendapat saya rasanya kurang sedikit berbanding keropok lekor di sempadan Kemaman, Terengganu dan Cherating, Pahang. Lebih kurang hampir jam 12:00 tengahari, kami meninggalkan bandaraya Kuala Terengganu ini.


Saya memandu melusuri Jalan Persekutuan 3 melalui bandar Permaisuri dan Jertih. Cuma jalan di sini menjadi jalan selorong setiap hala, kecuali selepas bandar Jertih sehingga sempadan Kelantan. Perjalanan diteruskan memasuki negeri Kelantan dan selepas beberapa kilometer, kami mengambil Jalan Persekutuan 4 menuju ke pekan Bukit Bunga, Jeli melalui bandar Machang dan Tanah Merah. Dapatlah melihat keadaan sekeliling dan juga Sungai Kelantan di mana dapat lihat jambatan keretapi.

Pada mulanya, saya ingin bersolat Jumaat dahulu, namun memandangkan bermusafir, dan lebih mudah kalau kami melakukan solat jamak qasar sahaja, di mana hanya perlu berhenti sekali sahaja, maka kami mengambil keputusan untuk solat sahaja di Thailand.

Maka, sampai di pekan Bukit Bunga pada jam 1:45 tengahari, saya mengisi minyak sehingga penuh dahulu, kerana harga minyak di Thailand lebih mahal. Setelah itu kami terus ke Kompleks ICQS Bukit Bunga untuk prosedur imigresen. Kompleks ini agak lengang dan tidak berapa banyak kenderaan. Alhamdulillah, sekejap sahaja prosesnya, dimana pasport kami dicop keluar Malaysia setelah diimbas tanpa perlu diminta. Alhamdulillah, ada juga cenderahati dari Bukit Bunga.



Seterusnya, sebelum kami keluar dari kompleks tersebut, terdapat pemeriksaan kastam dan polis. Saya memang sudah bersedia dari awal dokumen yang diperlukan terutama polis, di mana kita perlu kemukakan sama ada geran kereta atau salinan geran yang telah dicop sahkan di balai polis. Alhamdulillah, apabila diminta, dokumen tersebut ada, jadi kami dilepaskan untuk melalui Jambatan Muhibbah Malaysia-Thailand yang merentasi Sungai Golok. Jambatan ini merupakan jambatan kedua selepas jambatan pertama di pekan Rantau Panjang, Malaysia dan Sungai Kolok, Thailand.



Jambatan tersebut hanya dalam 300 meter sahaja. Di hujung jambatan tersebut, terdapat pejabat imigresen dan kastam Thailand yang hanya terdiri daripada dua buah kontena sahaja. Amat berbeza berbanding dengan sebelah Malaysia yang kompleksnya agak besar dan moden.




Kereta kami diletakan sebelum pejabat-pejabat kontena ini, dan kami semuanya (lima orang) turun untuk melaksanakan urusan imigresen sebelah Thailand pula. Pegawai imigresen tersebut seperti tidak bersedia untuk menerima pemeriksaan pasport. Mungkin kerana di sini kebanyakan pemeriksaan imigresen berkait dengan pemeriksaan pas sempadan sahaja. Selepas 5 minit menunggu, barulah kami mendapat borang imigresen atau dikenali sebagai white form yang perlu diisi bagi memasuki Thailand jika menggunakan pasport. Kami berlima tidak layak menggunakan pas sempadan kerana kami bukan asal kawasan bersempadan dengan Thailand dan alamat di dalam kad pengenalan kami di Kuala Lumpur. Setelah dapat borang tersebut, kami pun giat mengisi borang-borang tersebut. Setelah siap, perlu beratur lagi untuk pemeriksaan pasport. Perlu hadir setiap orang kerana imigresen perlu mengambil gambar setiap orang yang berkenaan.



Setelah selesai urusan imigresen, saya ke dalam pejabat kontena kastam Thailand pula. Diketuk pintu tidak berjawab. Berkali-kali dan lama juga saya ketuk, akhirnya saya ambil keputusan untuk masuk. Ternampak seorang yang berT-Shirt biasa sedang baring menonton televisyen. Dia terus memarahi saya (dalam Bahasa Melayu loghat Kelantan, nasib baik saya faham) dan kemudian mengomel-ngomel dalam Bahasa Thai pula. Saya letakan geran kereta dan pasport saya untuk diperiksa. Pastikan pasport tersebut telah dicop masuk Thailand dan pemilik pasport tersebut pemandu dan pemilik kereta tersebut. Jika bukan, perlu buat surat kebenaran daripada pemilik kereta dalam Bahasa Inggeris atau Thai (jika tahu) untuk tujuan membawa kereta.

Pegawai kastam tersebut bertanya dengan kasar kepada saya, sama ada saya hendak bawa kereta saya ke Buketa (pekan terdekat) sahaja ke, kalau ya, tidak perlu permit. Saya menjawab saya hendak bawa sehingga Ko Samui. Terus dia senyap dan memproses. Sekejap sahaja, kerana kereta saya sudah ada rekod memasuki Thailand beberapa kali sebelum ini. Semasa permit di bawah ini dicetak, seorang lagi pegawai Kastam Thailand masuk, rupanya ini pegawai yang bertugas. Terus dia mengambil permit yang sudah siap cetak, diperiksa dan disahkan. Dia menyerahkan permit ini dan senyum kepada saya serta mengucapkan selamat datang ke Thailand (dalam loghat Kelantan). Amat berbeza dengan rakan sejawat dia.



Akhirnya, secara rasmi, orang dan kereta telah disahkan masuk ke dalam negara Thailand ini secara sahnya. Lega, walaupun tidak berapa ramai orang, tapi agak lama juga. Tapi paling bagus, tiada sesen atau sebaht pun bayaran tidak diberikan. Tiada selitan RM1 dan sebagainya. Bagus.



Kami memasuki semula kereta kami dan meneruskan perjalanan. Sejurus melepasi pejabat-pejabat kontena tersebut, terdapat lencongan yang membawa kereta kami melalui pemeriksaan tentera Thailand. Alhamdulillah lepas juga. Tidak beberapa jauh dari pintu sempadan, saya berhenti di sebuah premis (hendak kata kedai tidak serupa kedai) untuk membuat insurans kereta Thailand. Perlu buat untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini. Di sini harganya ฿190 (+- RM19). Boleh dibayar dengan menggunakan Baht Thailand atau Ringgit Malaysia (RM). Saya memilih bayar pakai RM sahaja. Bakinya pun diberikan dengan RM.


Setelah selesai dengan urusan insurans, perjalanan diteruskan dengan kami melalui pekan Buketa. Sebenarnya jalan yang sebenar tidak melalui pekan ini, namun saya sengaja mengambil jalan ke pekan ini, untuk melihat keadaan pekan ini. Pekannya agak ringkas sahaja.


Habis sahaja melewati pekan Buketa, saya meneruskan perjalanan dan seterusnya sampai ke pekan Waeng. Kami singgah bersolat di sebuah masjid di pekan ini. Kami bersolat jamak qasar zohor dan asar.

Usai solat, kira-kira pukul 2 petang waktu Thailand (pukul 3 waktu Malaysia), kami meneruskan perjalanan kira-kira 270 kilometer dengan berpandukan Google Maps melalui pekan Sungai Padi, dan merentasi Wilayah Narathiwat, Pattani dan Songkhla. Memandangkan jalan kami lalu ini merupakan bertaraf lebuhraya, maka ia tidak merentasi bandar-bandar besar seperti Narathiwat dan Pattani, cuma lalu dipinggir sahaja. Memang cantik jalanraya-jalanraya di Thailand. Sudahlah tiada tol, kurang berlubang atau jalan bertampal. Kualitinya lebih baik dari di Malaysia. Pihak berwajib di Malaysia seperti Jabatan Kerjaraya (JKR) atau pihak-pihak berkuasa tempatan perlu belajar dari Thailand dalam kualiti jalanrayanya.


Jalan berjalan lancar, cuma cuaca ada tempat, kami tempuhi hujan lebat, dan ada tempat cerah sahaja. Semasa berada di dalam wilayah Narathiwat dan Pattani, banyak tempat juga diadakan sekatan jalanraya daripada pihak tentera dan polis Thailand. Beberapa kali juga ditahan, namun kami kata mahu ke Hat Yai, dilepaskan. Alhamdulillah.




Akhirnya, pada jam hampir 5:30 petang setelah memandu lebih kurang 3 setengah jam, maka sampai juga kami di hadapan Tune Hotel Hat Yai. Di hotel ini terdapat ruangan parkir kereta yang dijaga oleh pengawal keselamatan. Saya mengatakan kami mahu daftar masuk, lalu dijaganya kereta kami, namun dengan Bahasa Inggerisnya yang terhad, dia menyuruh kami mendapatkan pas untuk parkir kereta untuk kemudahan parkir kemudiannya di kaunter. Bagus juga khidmat mereka ini. Jadi kami pun terus mendaftar masuk hotel ini.





Kami diberikan 2 bilik yang sebelah menyebelah yang mana terdapat pintu yang menghubungkan kedua-dua bilik ini. Khidmat kaunter di hotel ini amat baik. Kepada yang biasa dengan konsep Tune Hotel ini, semuanya perlu tambah, namun alhamdulillah, kerana tempahan kami melalui Hotel.com maka semua telah masuk seperti penggunaan televisyen dan pendingin hawa sepanjang masa dan tidak dicatu. Semua maklumatnya telah dimasukan ke dalam kad kunci bilik. Juga termasuk, penggunaan tuala dan peralatan mandi. Cuma kekurangan bilik kami (dan juga bilik-bilik lain) adalah tiada cerek air, air minuman botol dan almari. Hanya palang berserta beberapa penyangkut sahaja disediakan. Boleh la, lagipun kami hanya duduk semalam sahaja.







Dapat juga dari dalam bilik-bilik kami, melihat permandangan bandar Hat Yai termasuk bangunan hotel Lee Garden. Kira hotel ini tidak berapa jauhlah dari kawasan pasar malam di kawasan sekitar Lee Garden itu.



Kami rehat sebentar dan bersolat jamak maghrib dan qasar isyak. Di Hat Yai, waktu Maghrib pada ketika itu adalah pada jam 6:10 malam, ketika ini pun sudah gelap langitnya. Pada jam 7:30 malam, kami semua pun keluar untuk bersiar-siar sambil mencari makan. Destinasi pertama adalah pasar terapung Klong Hae.


Ini kali pertama kami ke sini kerana setiap kali saya ke sini, ia tutup kerana ia hanya dibuka pada hari Jumaat hingga Ahad jam 3 petang hingga 10 malam. Saya hadir di Hat Yai di luar waktu tersebut sebelum ini.



Kami berada di pasar ini lebih kurang dalam sejam setengah dan dapatlah beli beberapa air minuman dari peniaga yang berada di atas sampan yang diisi di dalam bekas tembikar yang berharga antara ฿20 ke ฿30 (+-RM2 ke RM3) setiap satu. Sambil itu, beli makanan yang kebanyakannya halal kerana majoriti penjual di sini merupakan orang Islam Thailand. Orang pun agak ramai di sini terutama orang Malaysia. Tempat hendak makan pun ada cuma masa kami hendak duduk, seperti tiada tempat kosong. Tapi tak lama pun. Selain peniaga sampan, terdapat juga gerai-gerai di atas darat. Cuma saya rasa tidak puas makan di sini kerana ia lebih kepada street food

Selepas itu kami menuju ke jambatan berdekatan pasar ini untuk ambil gambar. Rupa-rupanya terdapat pasar malam di hujung jambatan ini, cuma kami ambil keputusan untuk tidak ke sana. 


Ada juga persembahan secara langsung di pentas di pasar ini, cuma tidak berapa nak faham kerana menggunakan Bahasa Thai. Kemudian kami pun pulang menuju hotel.



Sebelum sampai ke hotel, kami singgah ke pasaraya Big C semasa perjalanan pulang. Ini kerana kami ingin membeli beberapa barang keperluan yang ada jual di pasaraya ini. Semasa di dalam pasaraya ini, terperasan terdapat tulisan jawi yang bermaksud kurang enak didengar (boleh rujuk gambar di atas). Mungkin mereka tidak perasan...


Sampai di hotel, kami memarkir kereta dan seterusnya mencari kedai makan kerana perut seperti tidak terisi penuh. Berjumpa salah sebuah restoran ini. Alhamdulillah lega juga perut kami. Cuma seperti biasa, makanan halal di sini mahal sikit berbanding di Malaysia. Kami membayar ฿450 (+- RM45) untuk makanan yang biasanya hanya berharga RM30 lebih di Malaysia. Apa-apa pun syukur.


Selepas menjamu selera, kami ke sebuah cawangan bank CIMB Thai yang berada tidak jauh dari situ untuk mengeluar wang. Jika anda mempunyai akaun bank CIMB Bank atau CIMB Islamic di Malaysia dan mempunyai kad ATM, anda boleh mendapatkan wang Baht Thailand di mesin ATM tanpa sebarang caj sama ada di pihak CIMB Malaysia atau CIMB Thailand. Malah ia lebih murah berbanding anda menukar wang anda di tukaran wang asing. Dengan syarat, anda perlu aktifkan perkhidmatan pengeluaran wang anda di ATM atau perbankan internet CIMB Clicks atau cara-cara lain yang ditawarkan. Gunakanlah ia, sememangnya ia berbaloi.



Sudah ada duit barulah boleh ke pasar malam di Lee Garden. Saya singgah dulu ke salah sebuah 7-Eleven di sebelah pasar Pink Lady untuk membeli kad-kad SIM untuk saya, isteri dan ibu saya. Saya punya saya ambil pakej ฿299 (+-RM30) yang siap internet tanpa had untuk seminggu dan yang lainnya pakej ฿49 (+-RM5) agar mudah kami berhubung tanpa perlu perayauan antarabangsa yang mahal.



Seterusnya kami meronda sepanjang pasar malam dan membeli beberapa cenderahati seperti T-Shirt dan makanan. Setelah habis meronda dan membeli, kami pulang ke hotel untuk tidur, kerana esok perjalanan yang jauh akan kami tempuh lagi.


Akan bersambung ke Hari 2.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1 (this part)
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.