Jumaat, 2 Mei 2014

Hari 2 (Manila, Filipina - 25 hingga 27 April 2014) - Mabuhay Maynila.

Sambungan dari Hari 1.

Jika mahu lihat: Hari 3.

If want to read in English: 

  • Day 2 (this part), 
  • Day 1 or 
  • Day 3





26/04/2014 (Sabtu)

Memang tidak berapa selesa duduk di dalam perut pesawar Zest Air ini. Nak tidur, tak dapat tidur, apatah lagi tidur yang nyenyak. Ini menyebabkan rasa tidak sabar untuk nak sampai ke Manila. Bilalah nak sampai ini.

Sambil itu, di dalam pesawat, setiap penumpang termasuk warganegara Filipina diberikan borang imigresen dan borang kastam untuk diisi. Prosedur biasa.

 
Masa yang ditungggu sudah tiba. Pesawar Z2941 telah mendarat di NAIA jam 04:30 pagi. Perjalanan dari landasan utama ke tempat letak pesawat di Terminal 4 NAIA mengambil masa 15 minit juga. Tapi lebih lama menunggu ketika kapal terbang  parkir di atas tarmac. Difahamkan, dewan imigresen penuh. Lagipun tempat duduk saya di belakang pesawat. Maka giliran saya dan penumpang lain di belakang pesawat lebih lama. Pukul 05:30 baru keluar dari kapal terbang. 

Terminal 4 ini sebenarnya adalah terminal untuk penerbangan domestik Filipina. Namun oleh kerana industri penerbangan Filipina terutama tambang murah, maka sebahagian terminal ini digunakan untuk penerbangan antarabangsa bagi syarikat penerbangan tambang murah seperti Zest Air (Kini AirAsia Zest). Kami semua menaiki bas yang disediakan oleh syarikat AirAsia Zest ke terminal, namun tak sampai seminit sampai di terminal, huhuhu. Hendak tergelak pun ada, macam jalan kaki pun boleh, namun sudah ada kemudahan, bersyukur, alhamdulillah.

Mak hai, memang penuh balai imigresen Terminal 4 NAIA ni. Sampai melimpah keluar ke luar pintu. Hampir-hampir orang yang terakhir dalam barisan beratur di atas tarmac tempat parkir kapal terbang. Beratur lebih kurang 20 minit kerana barisan dipecah tiga kemudiannya kerana terdapat tiga kaunter imigresen yang dibuka daripada empat, dewan imigresen ini tak sebesar mana, kira-kira 3/4 daripada besar kelas di sekolah biasa di Malaysia. Kebetulan barisan saya merupakan barisan terlaju.


Akhirnya secara rasmi saya sampai ke Filipina... Mabuhay!!! 


Selepas melepasi kaunter imigresen Filipina, adalah kawasan untuk mengambil bagasi. Terdapat 3 landasan bagasi yang agak kecil, kawasan ini pun begitu kecil, seperti 2 1/2 kelas di sekolah biasa di Malaysia. Terminal 4 ni kecil, rasa besar sikit dari Lapangan Terbang Bintulu yang lama atau kecil sikit dari Lapangan Terbang Alor Setar yang lama. Selepas keluar kawasan mengambil bagasi, sudah keluar ke kawasan terminal, tiada balai ketibaan.


Di hadapan terminal ini terdapat tempat tunggu penumpang yang terletak di bawah khemah. Juga tempat jualan syarikat penerbangan di dalam kontena sahaja. Teksi-teksi banyak terdapat di sini, cuma tidak kelihatan bas atau jeepney (pengangkutan unik Filipina, lebih kurang angkot di Indonesia atau songteaw di Thailand).

Saya terus berjalan kaki menuju ke stesen LRT Baclaran, yang jaraknya 1.5 km dari terminal. Berjalan di hadapan sedikit, terdapat banyak gerai-gerai agensi perlancongan juga menjadi pengurup wang. Cuma saya lihat tiada papan kadar tukaran, jadi saya agak sangsi dengan kadar pertukarannya, nasib baik saya telah tukar ₱3650 di KL. Tidak perlulah nak tukar lagi setakat ini.

Sepanjang perjalanan, saya dapat melihat keadaan kehidupan di Filipina. Keadaan sungai yang berwarna hitam dan berbau. Jeepney menurunkan penumpang di tengah-tengah jalan. Saya pun tidak sedar, bahawa jalan tersebut merupakan jalan dua hala, tapi seolah-olah menjadi jalan sehala, dengan kenderaan menghala ke Manila mengambil jalan yang hendak ke Lapangan Terbang. Namun tiada kemalangan berlaku dan tiada bunyi hon, seolah-olah mereka memahami pemikiran pemandu lain.

Perjalanan di teruskan dan melalui "pekan" Baclaran. Terdapat penjaja meniaga di tepi jalan dan ada juga pasar. Jalan seperti ditutup kerana tiada kenderaan lain selain Jeepney di sini. Macam-macam penjaja menjual di sini, kebanyakan barang keperluan asas. 

Terdapat juga restoran makanan segera seperti McDonald's dan Jolly Bee iaitu rangkaian makanan segera dicipta dan dipunyai oleh rakyat Filipina (teringat semasa membuat kajian semasa saya belajar di universiti dulu, mengenai Jolly Bee ini). Sebelum sampai ke stesen LRT, jalan di bawah stesen ini betul-netul ditutup, kerana terdapat pasar ala-ala uptown atau Jalan Petaling di KL. Banyak juga barang murah, namun saya rasa balik nanti, insya Allah saya singgah.


Lalu saya naik ke stesen LRT ini. Sebelum dapat membeli tiket, satu pemeriksaan terhadap beg akan dibuat oleh pengawal keselamatan stesen. Agak ketat juga di sini. Setiap pengawal memegang kayu sepanjang 1/2 meter untuk menguis isi kandungan dalam beg. Memandangkan isi pertama yang pengawal nampak di dalam beg saya adalah tuala, maka dilepaskan sahaja. Dia bercakap Tagalog dengan saya. Nampak sangat saya ni macam orang tempatan, huhuhu.

Saya ke kaunter tiket dan meminta untuk membeli tiket sehala ke stesen United Nations Avenue. Ia berharga ₱15 sahaja (kira-kira RM 1.10). Saya naik ke atas, dan kedengaran pintu masuk LRT ingin ditutup. Pintu terdekat dengan saya adalah untuk penumpang wanita sahaja, maka saya pecut ke pintu lain di gerabak yang lain (terdapat 2 gerabak bagi setiap perkhidmatan), nasib baik sempat. Pada ketika ini, penumpang tidak begitu ramai, namun tiada tempat duduk. LRT laluan 1 di Manila ini begitu kecil, LRT di KL lebih besar malah Monorel KL juga lebih luas. DI stesen seterusnya, iaitu stesen EDSA, LRT mulai padat, ini kerana stesen ini merupakan stesen yang berhubung dengan stesen MRT-3 Taft Avenue. Stesen ini berdekatan tetapi tidak bersama, bermakna, perlu keluar sistem untuk memasuki sistem lain.


Juga semasa saya melihat keluar dari dalam tren, kelihatan juga terdapat rumah atau lebih tepat, setinggan di atas bangunan. Memang Manila ini padat dengan orang, maklumlah, penduduknya kalau di dalam kawasan Metro Manila, terdapat dekat 12 juta orang, manakala, jika dikira dalam keseluruhan kawasan bandar (urban) lebih 21 juta orang!!! . Selepas 15 minit selepas berlepas dari stesen Baclaran, maka sampai stesen United Nations Avenue. 

Turun sahaja stesen, baru perasan, bahawa jika kita tersalah arah, atau ingin menukar arah, maka terpaksa kita keluar dari sistem, kemudian turun ke atas jalan, menyeberangi jalan dan naik semula ke stesen, beli kembali tiket dan tunggu semula tren. Serupa seperti sistem di stesen LRT Star (kini LRT Laluan Ampang) di Masjid Jamek dulu (kini tidak lagi). Tidak ke naya.


Kemudian saya berjalan kaki lagi 10 minit untuk sampai ke Casa Bocobo Hotel, iaitu hotel yang saya menginap. Memang dekat dengan kawasan perlancongan. Kira di tengah-tengah bandarlah.

Saya pun mendaftar masuk, lagipun sudah bayar dengan AirAsiaGo hotel ini untuk 2 malam, walaupun saya tidak tidur pada malam pertama. Hotel ini memang saya cadangkan jika anda mahu melancong atau mengembara di Manila. Di bawah ini adalah risalah (leaflet) dan kadar bilik hotel ini jika anda merupakan pelanggan walk-in. Anda boleh merujuknya dan menghubunginya untuk maklumat dan tempahan, atau ke laman web tempahan hotel.


Bilik saya merupakan bilik jenis Bilik Petite. Di hotel ini siap ada WiFi percuma di lobi dan di bilik. Juga bersama pakej saya, disediakan sarapan pagi percuma.


Saya meletak beg di bilik dan turun bersarapan. Sebenarnya restoran di hotel ini tidak halal, dan di dalam menu terdapat pork strip dan bacon, yang jelas tidak halal. Juga daging lembu dan ayam yang tidak tahu kehalalannya, namun saya terpaksa makan juga, kerana ini dikira darurat, di tempat orang. Saya pun cuma makan nasi bawang putih, fish & chips, dan telur mata kerbau beserta air jus nenas. Bolehlah alas perut, cuma tidak kenyang sahaja (sepanjang kembara ini memang saya cuma alas perut sahaja, tiada sendawa langsung). 

Setelah selesai, saya naik balik sambung tidur, konon nak balas demdam kerana tidak dapat tidur dalam pesawat. Agak mengantuk juga masa ini.. Sambil tu, hendak caj iPhone saya ini. Plag di Filipina ni berbeza dengan Malaysia. Ia lebih kurang seperti yang diguna di Thailand. Saya memang membawa penyuai sejagat (univesal adapter), jadi tiada masalah.



Jam 10:00 pagi saya terbangun, terus membersihkan diri. Untuk pengetahuan, waktu Malaysia dan Filipina adalah sama,cuma Filipina lebih awal terbit mataharinya, kira-kira 1 1/2 jam awal dari di KL. Saya rasa saya tidak boleh tidur pula, dan hati pula merasa tidak sabar-sabar hendak melawat Manila ini. Pukul 10:30 pagi, saya mula berjalan ke SM Manila City cari kad SIM. Nampaklah jeepney semasa dalam perjalanan. Jeepney ini merupakan dahulunya merupakan jeep tentera Amerika Syarikat yang dulu merupakan penjajah Filipina dan mempunyai pangkalan tentera yang banyak di seluruh Filipina. Apabila jeep ini ingin dibuang sebagai skrap, ramai yang mengambilnya dan diubahsuai menjadi Jeepney ini. Banyak juga yang dihias. Tambang bagi 4 km pertama adalah ₱8 (+-55 sen Malaysia) dan ₱1 setiap kilometer seterusnya. Laluannya pula adalah tetap. Namun saya buat masa ini tidak berapa berani mahu naik kerana terdapat beberapa kes, penumpang dirompak oleh pemandu jeepney ini.


Sepanjang perjalanan, saya melalui Kalaw Avenue dan Taft Avenue. Kelihatan bendera Filipina dan Amerika Syarikat giat dipasang, kerana pada lusanya iaitu pada 28 April 2014, Presiden Obama akan mengadakan lawatan ke Filipina setelah melawat Malaysia 3 hari. Kira Padanlah ada kawan mengatakan saya ni macam Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat pula, hehehe. Pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur giat dijalankan. 

Selepas berjalan kira-kira 15 minit, sampailah juga ke komplek membeli belah SM Manila City ini.  Sebelum memasuki kompleks ini, pemeriksaan beg dan badan dilakukan untuk mencari senjata api kerana ia dilarang. Agak ketat juga keselamatan di Manila. Mungkin kerana di sini sering berlaku perkara yang tidak diingini (bersyukur, semasa sepanjang di sini, saya tidak mengalami sebarang perkara tersebut, minta jauh). Selepas itu, saya mencari dari satu tingkat ke satu tingkat cawangan syarikat telekomunikasi SMART. Agak lengkap juga pusat membeli belah ini, ada panggung wayang, ada pasaraya, ada gedung pakaian dan lain-lain. Puas mencari, tidak jumpa, rupanya jumpa juga, dan saya sudah lalu pada awal carian.


Saya memilih SMART pasal ada menawarkan pakej prabayar internet LTE tanpa had yang murah (50 peso) & pakai nano SIM. Semua 100 sahaja (iaitu harga SIM sebanyak 50 dan 50 lagi pra isi, guna untuk internet tambahan tapi lupa, terus dicaj dengan harga biasa). Beli juga isian semula 100 sahaja.




Selesai dengan SMART, saya ke Starbucks SM Manila City pula. Harga Starbucks di sini lebih murah dari di Malaysia (yang paling murah di antara negara-negara pernah saya pergi). Saya membeli segelas minuman Frapuccino istimewa saiz venti dengan ₱18 sahaja (+- RM13.50). Kalau di Malaysia kira-kira RM18.00 untuk minuman Frapuccino istimewa. Istimewa juga adalah baristanya. Agak peramah, dan pertanyaannya juga mendebarkan hati saya. Bila saya bercakap bahasa Inggeris dan tidak boleh bercakap Tagalog, beliau dapat tahu saya ini bukan orang Filipina. Maka siap tanya saya ni datang mana dan seorang sahaja ke!!! Terpaksa bohong sunat, mengatakan kawan saya tunggu... Dugaan dan cubaan.


Dalam Starbuck itu saya aktifkan Flexiroam yang memang jadi kaedah saya untuk membuat perayauan antarabangsa telefon saya kerana ia lebih banyak murah berbanding perayauan antarabangsa yang biasa. Cuma RM10 sehari dan dapat kad SIM tempatan, kita cuma bayar harga sms antarabangsa bagi panggilan keluar dan kadar panggilan tempatan di Malaysia bagi terima panggilan masuk. Murahkan, jadi pakailah Flexiroam jika keluar negara.

Selepas itu saya ke Intramuros yang tidak berapa  jauh dari situ. Semasa ke sana, saya di hadapan lalu Dewan Bandaraya Manila & tugu perjuangan kemerdekaan (yang terletak di hadapan dewan bandaraya) selepasnya. 



Intramuros, merupakan kota lama penjajah Sepanyol berdinding batu yang mengelilingi kota lama Manila. Ia merupakan perkataan Sepanyol bermaksud di dalam (Intra) batu (muros). Saya memasuki dari sebelah jalan Victoria Street. Banyak kesan sejarah di sini. 



Saya meninjau salah satu kota di dalam Intramuros iaitu Baluarte De Dilao. Di sini dapat lihat kaki langit Manila digabung antara permandangan kota lama dan kota modennya.



Saya singgah juga di kota Baluarte San Gabriel dan Puerta de Isabel II.


Di Manila ini terutamanya di dalam Intramuros, banyak terdapat tugu-tugu personaliti sejarah. Antara saya ambil adalah tugu Raja Filipe De Rey Sepanyol yang merintis penerokaan bangsa Sepanyol ke dunia yang tidak diketahui. Tugu ini terletak berdekatan dengan Puerta de Isabel II.


Banyak juga saya jumpa di sepanjang jalan, cuma saya tidak dapat kongsi semuanya. Antara tempat utama yang perlu dilawati di dalam Intramuros ini adalah Manila Cathedral iaitu gereja besar utama di Manila. 


Kemudian saya singgah lama sikit di Fort Santiago yang tidak berapa jauh dari Manila Cathedral, kerana ada Jose Rizal Shrine di sini. Harga masuk 75 dewasa dan 30 kanak-kanak.


Di sini terdapat banyak taman-taman yang membolehkan orang ramai berkelah di sini. Terdapat juga patung-patung seperti di bawah, untuk bergambar. Saya lupa personaliti bagi patung di atas, tetapi saya tahu patung-patung di bawah ini adalah patung bagi General Vicente Lim dan General Douglas MacArthur, personaliti tentera yang utama semasa Perang Dunia Kedua di Filipina.



Kemudian saya ke Fort Santiago, di mana di sinilah terdapatnya Rizal Shrine dan bilik terakhir Dr Jose Rizal, pejuang kemerdekaan Filipina, sebelum dihukum bunuh.

(Ada pula yang "bergaya" duduk di pinti gerbang Fort Santiago masa gambar ini diambil...)



Puing-puing bangunan menempatkan bilik penjara terakhir Dr Jose Rizal.



Jejak-jejak terakhir dalam hidup Dr Jose Rizal.

Kemudian saya ke Rizal Shrine, sebuah memorial yang memaparkan kisah kehidupan dan perjuangan Jose Rizal menentang penjajahan hingga dihukum bunuh oleh penjajah Sepanyol pada 30 Disember 1896 di Bagumbayan (kini dikenali sebagai Luneta atau Rizal Park), Manila (di mana tempat ini sekarang dikenali sebagai Rizal Park). Di dalam memorial ini, disusun seumpama Jose Rizal berada pada alam nyata ketika ini. Jadi kalau nak tau lebih lanjut, datanglah ke Rizal Shrine ini.

Senario perbicaraan Jose Rizal.

Jose Rizal ketika hari-hari terakhir (beliau menulis puisi terakhir Mi último adiós (di dalam bahasa Sepanyol bermaksud "Salam Terakhirku")


Potret ketika Jose Rizal ditembak oleh askar Sepanyol.
Foto dimabil sejurus sebelum Jose Rizal ditembak oleh askar Sepanyol.

Dr Jose Rizal merupakan seorang doktor bertauliah, graduan perubatan dari 
Universidad Central de Madrid.


Juga dipamerkan adalah beberapa barang simpanan peribadi Dr Jose Rizal seperti kad namanya ketika mempraktikkan ilmu perubatan di Hong Kong dan peralatan pembedahan beliau. Selain seorang yang bijak, beliau juga minat dalam seni, di mana lakaran, lukisan dan arca hasil buatan beliau juga dipamerkan di sini.





Selain itu, bahan-bahan peringatan lain bagi memperingati beliau seperti matawang Peso Filipina dan setem juga dipamerkan.


Saya juga mengambil gambar sekitar di Fort Santiago ini. Fort Santiago merupakan bahagian paling hujung Intramuros mengadap ke Teluk Manila. Namun kini, ia terletak ke dalam daratan kerana penambakan telah dubuat selepas itu untuk membuat pelabuhan moden Manila.



Perbandaran San Nicolas dan Bandaraya Binondo yang moden di seberang Sungai Pasig jelas kelihatan.

Pelabuhan Manila yang tidak berapa jauh dari Fort Santiago.

Peta Intramuros.


Kemudian saya menusuri tembok barat Intramuros di St Lucio Street. Sebenarnya saya mahu ke Muzium, tetapi bila sampai, rupanya ia ditutup kerana di dalam kerja-kerja ubahsuai dan pemuliharaan. Sempat juga saya mengambil gambar rumah tradisional di Filipina. Lebih kurang seperti rumah di Malaysia sahaja.


Saya terlalu pula di hadapan Taman St Lucio, yang memaparkan plak-plak yang memaparkan muka-muka presiden-presiden Filipina dari awal kemerdekaan daripada Amerika Syarikat.



Ini merupakan bangunan University of the City of Manila yang dulunya merupakan kawasan kepunyaan mubaligh Jesuit (salah satu kumpulan mubaligh dalam Kristian Roman Katolik). Ia tidak jauh dari pintu Puerta Real. 


Dari pintu keluar General Luna Street di Puerta Real saya berjalan pulang ke hotel dan sampai pada  jam 14:00 (2:00 petang). Mengurut kaki yang mulai rasa kejang dan sambil itu, melayan televisyen melihat stesen kabel yang agak banyak (dekat 60 saluran ada di hotel ini).


Pukul 16:30 (4:30 petang) saya keluar kerana perut terasa lapar. Sambil itu, saya perlu mencari kabel iPhone5 saya, yang telah buat hal dengan tak boleh caj iPhone saya. Sudahlah bateri saya tinggal 40 peratus sahaja. Saya pergi menuju ke Sta Monica Street untuk cari makanan halal, selepas saya Google.

Semasa berjalan menuju ke restoran halal terbabit, saya terjumpa pusat membeli belah Robinson dan terus mencari kabel iPhone. Alhamdulillah,jumpa juga di beberapa kedai, namun ia agak mahal walaupun bukan yang asli. Paling murah berharga ₱55. Akhirnya jumpa juga dengan harga 40  untuk bukan asli tetapi gred A, beli juga. Sudah terdesak ini.


Kembali kepada misi mencari restoran makanan halal. Jelas kelihatan, bandaraya Manila ini agak berselirat wayar dan kabelnya. Jalan pun agak sempit dengan kereta yang banyak. Kaki lima agak tidak bersih dan sempit. Tapi pengguna jelas seperti tahu sahaja apa yang hendak dilakukan oleh orang lain.


Akhirnya jumpa juga restoran halal terbabit iaitu Fharmiza Restaurant yang kini bernama I.S. Restaurant. Saya makan nasi, sup daging, ikan seperti umai (rasa macam singgang pun ada) & air kosong sejuk tanpa had harga 110. Alhamdulillah, dapat juga makan tanpa was-was. Kedai ini dibukan 24 jam.



Usai sudah makan petang merangkap makan tengahari dan makan malam, hehehe. Di Manila ni saya cuma makan dua kali sehari, selain tu cuma kudap-kudap kecil sahaja. Saya sudah bayar makanan pada masa saya mengambilnya. Saya terus keluar dan ternampak satu lagi kedai makanan halal, selang tiga kedai dari restoran I.S. tadi. Jadi kalau mahu makanan halal di Manila yang dekat dengan Rizal Park & Intramuros, boleh mentelurusi ke Sta Monica Street. Cuma hati-hati, kedai tidak halal pun ada. Hendak tahu halal ayau tidak, di dalam kedai ada tergantung surah al Quran, pekerjanya memakai tudung (bagi wanita) dan berikan salam, jika menjawabnya, maka Islamlah.


Saya terus berjalan menuju ke pantai. Saya sebenarnya ingin melihat matahari terbenam di Teluk Manila ini, namun masih awal lagi. Rupanya jalan Sta Monica Street ini memang terus ke pantai, tetapi perlu melintasi jalan besar Roxas Boulevard. Pantainya tidaklah berapa cantik, tapi masih boleh mandi manda. Tak kira usia tua muda mandi di sini. Yang telanjang bulat (kanak-kanak lah) pun ada. Disamping itu, ada juga penjaja menjual pelbagai barangan seperti jagung rebus dan bakar, sotong kering bakar, pop corn, kacang goreng, makanan ekzotik Filipina dan macam-macam lagi.


Saya menelusuri persisir pantai Manila ini. Pantai sedia ada ini adalah pantai tebus guna, bukan pantai asal sebenarnya. Namun permandangannya Teluk Manila agak cantik juga. Rupanya Kedutaan Amerika Syarikat terletak di pantai ini. Seperti biasa di mana-mana Kedutaan Amerika Syarikat, ia dikawal ketat.


Padanlah saya lihat, jalan berdekatan dengan pantai, menghala ke selatan (lapangan terbang NAIA) tiada kereta, sebaliknya mereka terpaksa jalan asal di sebelah pantai asal. Jalan ke utara, berjalan seperti biasa. (Diingatkan, di Filipina, kita akan memandu menggunakan jalan sebelah kanan dan memandu di sebelah kiri kenderaan, sama seperti Amerika Syarikat dan negara Eropah). Rupa-rupanya ada festival rupanya. Kira saya bernasib baiklah dapat merasai Festival Aliwan ini. Memang saya ada baca di dalam majalah Travel3Sixty di dalam pesawat AirAsia mengenainya. Dapat juga saya melihat di depan mata.







Festival ini disertai oleh pelbagai wilayah dan daerah di seluruh Filipina. Mereka ini akan berarak dan membuat persembahan sepanjang jalan. Orang pun agak ramai menyaksikan festival ini. Masing-masing menunjukan keunikan dan kekretifan mereka dalam pelbagai tarian dan muzik. Agak menarik sekali. Kira masa saya menyaksikannya merupakan acara kemuncak festival ini, berdasarkan papan promosi yang ada berdekatan.



Sambil itu, semoat juga saya menangkap gambar stesen minyak berdekatan. Pam minyak terletak di atas, teringat saya stesen Petronas di persimpangan Jalan Tun Razak, Jalan Pasar dan Jalan Cochrane di KL berhadapan Masjid Jamek Alam Shah, satu ketika dahulu menggunakan pam jenis ini. Namun kini di situ atau di tempat lain di Malaysia, saya tidak ketemunya lagi. Dapat diperhatikan juga harga minyak di sini. Untuk minyak petrol RON 95, ia berharga ₱53.20 seliter bersamaan lebih kurang RM4.00 seliter. Diesel pula berharga ₱44.95 seliter bersamaan RM3.37 seliter.


Dapat tangkap gambar sikit sahaja di Festival Aliwan kerana bateri iPhone saya telah kehabisan. Lagipun saya tertinggal power bank di hotel. Jesteru itu saya pulang ke hotel pada jam 19:00 walaupun tak habis. 

Saya merasa penat selepas seharian berpanas dan berjalan. Sampai sahaja di hotel, terus saya tertidur. Jam 21:30 (9:30 malam), saya terbangun kerana saya terasa lapar, lalu saya pergi ke 7-Eleven (ada bersepah di sini sama juga dengan pengurup wang, dimana banyak juga diantara mereka adalah orang Islam), untuk membeli roti dan tambah nilai 100, kerana mahu hubungi keluarga di tanah air.

Sampai di hotel, saya membuka dompet saya dan terlihat kepada matawang peso yang ada dalam simpanan ketika ini. Entah sempat simpan entah kena belanja esok...

Syiling ₱1 = +- 7.5 sen (Malaysia)

Syiling ₱5 = +- 37.5 sen (Malaysia)

Syiling ₱10 = +- 75 sen (Malaysia)

₱20  = +- RM 1.50

₱100 (logo BSP lama) = +- RM 7.50

Kemudian saya melayan WhatsApp dengan kawan-kawan dengan lekanya. Jam 00:30 (12:30 tengah malam) pada 27 April 2014, barulah saya tidur.


Akan bersambung ke Hari 3.

Atau ingin melihat Hari 1.

If want to read in English: 

  • Day 2 (this part), 
  • Day 1 or 
  • Day 3.

Tiada ulasan: