Khamis, 1 Mei 2014

Hari 1 (Manila, Filipina - 25 hingga 27 April 2014) - Lambaian Filipina.

Jika mahu lihat: 



If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2 or 
  • Day 3.



Pra Kembara.

21/04/2014 (Isnin).




Saya gatal-gatal tangan melihat laman web AirAsia, kemudian saya terlihat iklan AirAsiaGo, sebuah agensi perlancongan yang juga merupakan anak syarikat AirAsia. Iklan ini amat menarik minat saya, iaitu tempah hotel dan dapat tiket penerbangan percuma. Saya mencari untuk ke Manila, Filipina kerana negara itu perlukan saya menaiki kapal terbang, tidak seperti negara ASEAN lain yang boleh dihubungi melalui jalan darat atau laut yang tidak begitu lama (menaiki feri ke Filipina dari Sabah memerlukan masa dekat sehari!!!). Saya sebenarnya dalam sasaran untuk menjejaki kaki ke semua negara ASEAN.


Terkejut saya, apabila saya cuma meninjau tarikh 25 ke 27 April 2014 iaitu hujung minggunya, terdapat tawaran tiket kapal terbang percuma. Saya tidak segera menempahnya, sebaliknya membuat istikharah dan berfikir terlebih dahulu.


22/04/2014 (Selasa).

Awal pagi saya, di tempat kerja, saya meninjau lagi laman AirAsia, namun tawaran semalam sudah tiada tiket percuma untuk balik ke KL pada 27 April 2014. Kecewa juga. Tidak dapat hendak merasai mengembara ke Manila. Selang lima minit, saya saya tengok lagi. Alamak, ada balik tawaran tiket penerbangan pergi balik percuma!!! Apa lagi saya pun tempah, saya memilih hotel Casa Bocobo kerana ia terletak berdekatan dengan Intramuros, Rizal Park dan juga dengan stesen United Nations di sistem LRT-1 Manila. Asalnya saya mahu tempah sebuah hostel (saya lupa namanya) di Ayala, tapi pasal ia hostel dan jauh sikit dari Intramuros serta jaraknya hampir sama jauh dengan Casa Bocobo jika dari lapangan terbang, saya memilih Casa Bocobo kerana ia mahal sikit tapi agak berbaloi.


Akhirnya, setelah pembayaran dibuat, dapatlah saya ke Manila dengan hanya RM341.75 siap tiket penerbangan dan hotel serta mendapat pula BIG Point sebanyak 79 mata. Mana nak dapat.. Walau saya agak kurang selesa dengan AirAsia kebelakangan ini, tapi kalau ada rezeki harga murah, kita ambil la... Jadi insya Allah saya menaiki AirAsia Zest buat pertama kali,serta pertama kali ke luar negara dengan AirAsia (sebelum ini saya ke Shanghai dengan AirAsiaX bukan dengan AirAsia).


23/04/2014 (Rabu).


Setelah saya pulang dari kerja, saya singgah di kawasan Jalan Masjid India (boleh rujuk artikel Pengurup Wang di Jalan Masjid India, untuk maklumat lanjut) untuk meninjau kadar tukaran Ringgit Malaysia ke Peso Filipina (PHP atau ₱). Salah satu kedai iaitu H. M. Ghazali Ahmad Sdn Bhd. (kedainya terdapat papan tanda Mina Enterprises (M) Sdn Bhd di Malayan Mansion), memberikan kadar terbaik berbanding kedai lain dan tempat-tempat lain yang pernah saya tinjau. Tukarannya ₱100 boleh ditukar dengan RM7.60. Antara contoh resit pertukarannya (ada beberapa kali tukar sebenarnya).


Dapatlah saya nota-nota seperti di bawah ini  Saya memudahkan pengiraan dengan setiap ₱10 bernilai lebih kurang RM0.75.


₱50 (logo Banco Sentral ng Pilipinas (BSP) lama) = +- RM 3.75
  

₱100 (logo BSP baru) = +- RM 7.50


₱500 (lama) = +- RM 37.50


₱500 (baru) = +- RM 37.50


₱1000 (lama) = +- RM 65.00


25/04/2014 (Jumaat).

Hari yang dinanti telah tiba. Setelah pulang dari kerja, selepas usai solat Asar, maka saya pun mengemas keperluan dan beg untuk ke Manila. Bertolak dari rumah 20:45 (8:45 malam), selepas Isyak. Saya terus menaiki skuter saya melalui Lebuhraya NKVE dan ELITE. Sepanjang perjalanan, keadaan lalu lintas begitu lancar, dengan tiada kesesakan lalu lintas berlaku. Agaknya jika saya mengambil laluan MRR2 ke Lebuhraya Utara Selatan ke Selatan atau melalui Putrajaya mahupun mengikut Lebuhraya MEX, agaknya perlu melalui kesesakan terlebih dahulu (merujuk kepada aplikasi Waze dan Google Maps). Sampai LCCT sejam kemudian, dan terus menuju ke kawasan memarkir motorsikal di LCCT. Agak banyak motorsikal yang memarkir di sini namun masih ada juga ruang kosong untuk skuterku parkir untuk lebih kurang dua hari (3 malam 2 hari), huhuhu.



Terus ke terminal LCCT, mencari kaunter daftar masuk kendiri (self check-in), kerana biasanya waktu malam, kaunter daftar masuk manual AirAsia agak sesak, lagipun tidak mahu dicaj RM10.00. Lagipun semudah ABC sahaja.


Tetapi yang kurang sedapnya, kena sahkan pula dokumen. Sebelum ini tidak perlu. Tapi yang penting dah ada nombor tempat duduk. Saya pun pergi ke kaunter pengesahan tiket. Bertugas cuma dua kaunter sahaja, walaupun yang berbaris agak panjang. Sudahlah tu, urusan seorang penumpang mengambil masa lama. Tiba giliran saya (setelah menunggu lebih kurang 7 orang di depan saya, dan kemudian ada dekat 20 orang di belakang saya) kira-kira 35 minit kemudian, kes saya tidak dapat diselesaikan dan petugas terbabit menyatakan agar saya boleh terus ke balai pelepasan.


Saya tidak terus ke pintu masuk ke balai imigresen untuk pelepasan, saya pusing-pusing LCCT ini dahulu kerana masih ada kira-kira 40 minit sebelum masa untuk pelepasan ke kapal terbang. Ini kerana inilah mungkin kali terakhir saya menggunakan LCCT ini, kerana pada 02 Mei 2014, klia2 akan memulakan operasi dengan semua syarikat kecuali yang ada kaitan dengan AirAsia yang akan mula beroperasi pada 09 Mei 2014.

Setelah kira-kira 15 minit, barulah saya ke pintu pelepasan, namun saya ditahan oleh petugas AirAsia kerana berkata saya perlu mengesahkan dokumen dahulu. Saya katakan saya sudah beratur dekat 40 minit dan mereka di kaunter pengesahan telah kata saya boleh teruskan. Dengan muka yang kurang mesra, beliau seperti ingin berkeras tapi kemudiab melepaskan saya pula. Memang ini saya agak kurang minat dengan tingkah laku staf-staf AirAsia terutama pengurusan daratan yang agak kurang mesra dan biasa berkasar dengan penumpang, malah pengalaman saya, atendan penerbangan AirAsia (dalam kes saya AirAsiaX dari Shanghai ke KL) pun tidak mesra penumpang.


Urusan keselamatan dengan pihak polis bantuan lapangan terbang (sebelum dan selepas urusan imigresen) dan urusan imigresen dilaksanakan dengan lancar tanpa sebarang masalah. Memang pihak AirAsia lebih sudu dari kuah, mungkin doktrinisasi oleh pihak pengurusannya juga yang agak kasar walaupun dengan pihak kerajaan.

Saya menunggu di hadapan pintu berlepas untuk menunggu penerbangan saya. Pada jam 23:40 (11:40 malam) untuk memasuki pesawat. Saya menaiki pesawat Zest Air yang lama (syarikat ini baru diambil alih oleh AirAsia). Rupanya pesawat ini belum bersedia sebenarnya untuk berlepas. Keadaan kabin pesawat ini agak serupa dengan pesawat AirAsia yang lain cuma, warna pembalut kulit kerusi lebih kepada warna kelabu kecoklatan berbanding AirAsia yang biasa berwarna hitam. Kerusi pesawat Zest Air ini juga kurang selesa berbanding kerusi pesawat AirAsia biasa, begitu juga keseluruhan kabin. Nasiblah, tidak mengapa, pengalaman buat saya. Walaupun untuk 3 jam lebih.


Akhirnya, pesawat ini berlepas dari landasan 1, KLIA menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino (NAIA), Manila, Filipina pada jam 01:10 pagi pada Sabtu 26/04/2014, setelah lebih sejam berada di dalam perut kapal terbang.

Akan bersambung ke Hari 2.

Atau ingin melihat  Hari 3.

If want to read in English: 

  • Day 1 (this part), 
  • Day 2 or 
  • Day 3.

Tiada ulasan: