Memaparkan catatan dengan label 28 April hingga 01 Mei 2017 - Brunei (melalui Miri Limbang Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)). Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 28 April hingga 01 Mei 2017 - Brunei (melalui Miri Limbang Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)). Papar semua catatan

Rabu, 10 Mei 2017

Hari 1 (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017) - Terbang Kembali Ke aMIRIka.

Bersambung dari Pra Kembara.

Jika mahu lihat catatan:
If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.
Cop pasport masuk Sarawak di Lapangan Terbang Miri.


Petunjuk: Waktu di Brunei adalah UTC +8 iaitu sama dengan waktu Malaysia (UTC +8).

Hari 1 (28 April 2017 - Jumaat).

Hari yang ditunggu-tunggu telah pun tiba. Memang tak sabar rasanya, walaupun sebelum ini pada tahun 2014, saya sudah pun ke Brunei, melalui Miri ini. Saya dapat pelepasan untuk pulang awal dari bekerja di mana saya tidak perlu pulang ke pejabat selepas solat Jumaat.

Pada pukul 4:45 petang, selepas makan lewat tengahari di medan selera di kawasan rumah dengan isteri saya, saya ke stesen LRT yang terdekat dengan rumah saya, ditemani dengan isteri saya, agar dia boleh membawa pulang motorsikal ke rumah kembali. Sampai di stesen, saya terus memasuki ruang berbayar dengan menyentuh MyKad saya yang mana fungsi Touch n' Go nya mempunyai nilai kredit yang saya isikan sebelum ini. Jadi dapatlah tambang LRT ke KL Sentral sebanyak RM3.30. Jika membeli token sehala, harganya RM3.80.

Asalnya saya merancang untuk menaiki motorsikal sahaja ke KLIA, tetapi lewat kebelakangan hari pemergian ini, cuaca di Lembah Klang selalu hujan tidak menentu masanya tetapi waktu petang memang selalu hujan. Jadi saya menukarnya dengan menaiki bas shuttle sahaja ke KLIA dari KL Sentral.

Sampai di KL Sentral pada pukul 5:35 petang, saya terus ke stesen bas shuttle di aras bawah dari stesen LRT. Abang Zul telah menunggu saya di situ. Lantas saya terus ke kaunter bas Airport Coach untuk menukarkan tempahan melalui internet dengan memberikan cetakan emel kepada tiket sebenar bas shuttle. Saya diberikan tiket pergi balik untuk dua orang. Jadi saya berikan salah satu kepada abang Zul.

Kami pun menunggu bas tersebut. Namun apabila sampai waktu bas tersebut patut berlepas iaitu pada pukul 6:00 petang, bas baru sampai, dan perlu menurunkan penumpang terlebih dahulu. Kami hanya menaikinya setelah semua penumpang selesai turun. Bas hanya bergerak meninggalkan KL Sentral pada pukul 6:15 petang. Kemudian, bas ini mengharungi kesesakan lalu lintas  Kuala Lumpur yang memang sesak waktu tersebut kerana waktu orang pulang dari kerja pada hari Jumaat pula tu. Jadi kami mengharunginya dan hanya melepasi kawasan Bukit Jalil di dalam Lebuhraya MEX pada pukul 7:00 malam. Selepas itu jalan agak lancar sehingga ke stesen bas KLIA.

Tiket bas Shuttle pergi balik Airport Coach KL Sentral ke KLIA.

Kami sampai di stesen bas KLIA pada pukul 7:30 malam. Jadi agak bergegas kerana kami belum mencetak pas pelepasan lagi. Nasib baik Deddy Faisal berkata dia akan terus masuk, jadi saya tidak risau tentang dia. Saya risau tentang Pak Nasir yang tidak biasa dengan sistem pengurusan penumpang kapal terbang, yang tidak sama dengan sistem pengurusan pengangkutan awam lain seperti bas ekspres, keretapi atau feri/bot laut!

Saya cuba mencetak pas pelepasan di kiosk daftar masuk menggunakan nombor penempahan tetapi tidak berjaya, jadi kami (saya dan Abang Zul) beratur di kaunter daftar masuk Malaysia Airlines (atau MAS) untuk tujuan mencetak pas pelepasan. Pada masa sama saya cuba menghubungi Pak Nasir, tapi rupanya nombor telefonnya bertukar kerana beberapa hari sebelumnya, telefonnya rosak. Sudah, jadi saya terpaksa berhubung melalui Facebook, tanpa menyedari dia ada menghubungi saya dengan nombor baru. 

Jadi untuk mempercepatkan urusan, saya memohon Abang Zul untuk beraturkan untuk saya dan menghubungi saya apabila giliran sampai. Susah betul jika bila sistem di laman web MAS tidak membenarkan untuk mencetak semula pas pelepasan jika kita mendaftar masuk melalui aplikasi telefon bimbit. Masa itu, saya terlupa yang MAS membenarkan kita menggunakan kod bar 2 dimensi (kod QR) sebagai pas pelepasan. Bila sudah kelam-kabut, semua tidak kena. Saya mencuba lagi mencetak pas pelepasan di kiosk daftar masuk menggunakan nombor e-tiket, alhamdulillah, berjaya.

Jadi saya memanggil Abang Zul agar keluar dari barisan kaunter daftar masuk, lagipun kami memang tidak ada beg yang didaftar masuk, semuanya menjadi beg kabin sahaja. Juga alhamdulillah, Pak Nasir menjawab dan akhirnya bertemu di barisan kaunter daftar masuk A yang berdekatan dengan pintu masuk ke kawasan airside penerbangan domestik KLIA. Jadi kami pun masuk ke dalam dan saya meminta Pak Nasir yang sudah bersolat untuk terus ke pintu pelepasan B8. Saya dan Abang Zul bersolat di surau.

Selepas usai solat, kami segera ke pintu pelepasan B8 dan bertemu dengan Pak Nasir dan juga Deddy Faisal. Jadilah sesi pertemua bagi semua. Saya pun dah lama tidak berjumpa dengan Deddy, berborak panjang dengannya.

Pada pukul 8:50 malam, petugas pintu pelepasan memanggil penumpang untuk menaiki pesawat. Bagi saya agak lambat, kena pula penumpang agak ramai. Memang benar, pesawat hanya meninggalkan terminal pada pukul 9:10 minit dan berlepas meninggalkan KLIA melalui landasan terbang 1, lima minit kemudian.

Nasib baik penerbangan ini adalah penerbangan MAS, jadi ada sistem hiburan interaktif peribadi di setiap tempat duduk. Dapatlah saya melayan jiwa saya dengan saluran radio (biasanya untuk penerbangan domestik, saya hanya layan saluran radio untuk mendengar lagu, tambahan pula ini penerbangan malam). Juga juga menyediakan makan malam, jadi terisi jugalah perut saya ini. Tempat duduk juga selesa juga, maklumlah selama ini cuma menaiki penerbangan AirAsia sahaja. Cuma pramugara dan pramugari MAS sekarang ini agak berumur. Lepas makan malam, saya pun tertidur sambil telinga disajikan dengan halwa telinga lagu-lagu yang menenangkan.

Kami bergambar di dalam penerbangan MH2598 ke Miri.


Peta: Penerbangan dari KLIA ke Lapangan Terbang Miri.


Pesawat kami akhirnya mendarat di Lapangan Terbang Miri pada pukul 11:35 malam setelah 2 jam dan 20 minit terbang di udara. Kami pun keluar dari pesawat, dan terus ke kaunter imigresen untuk urusan imigresen. Ya, walaupun penerbangan ini penerbangan domestik, tetapi oleh kerana Sarawak dan juga Sabah mempunyai kuasa autonomi dalam bidang imigresen, maka kita perlu melalui pemeriksaan imigresen jika penerbangan kita yang memasuki Sarawak itu datangnya dari Semenanjung atau Sabah atau Labuan. 

Saya memberikan pasport (begitu juga yang lain) untuk memasuki Sarawak, walaupun kita masih boleh menggunakan MyKad. Ini kerana jika menggunakan pasport, saya akan mendapat cop masuk ke Sarawak dan dapat menambahkan koleksi cop pasport saya, lagipun inilah misi saya. Jadi cop pertama sudah dapat, tinggal lagi 21 cop lagi.

Jika menggunakan MyKad, kita akan diberikan slip IMM14 yang perlu dijaga sebaiknya seperti menjaga MyKad atau pasport. Jika hilang slip ini, maka kita perlu buat repot polis dan mendapatkan salinan repot untuk diberikan kepada pihak imigresen ketika keluar dari Sarawak ini. Hal ini juga sama di Sabah jika masuk Sabah melalui Semenanjung, Labuan atau Sarawak. Atas sebab inilah saya lebih suka menggunakan pasport apabila ke Sabah atau Sarawak.

Kita perlu menggunakan MyKad atau pasport untuk ke Sarawak atau Sabah. Tidak ada dokumen ini, kita tidak boleh masuk ke dalam negeri-negeri tersebut. Dengan menggunakan dokumen tersebut, orang Semenanjung (atau orang Sarawak biasa panggil orang Malaya) dan orang Sabah boleh berada sehingga 90 hari di bumi Sarawak. Mereka akan menerima cop empat segi seperti di bawah manakala orang Sarawak dianggap balik ke bumi mereka akan menerima cop bulat yang biasa dapat jika warganegara Malaysia pulang ke Malaysia dari luar negara (sekarang agak susah kerana kebanyakan pintu masuk tidak lagi mengecop masuk pasport Malaysia).

Jika perlu duduk lebih 90 hari, maka orang Semenanjung atau Sabah perlu memohon Dokumen Perjalanan Terhad daripada pejabat-pejabat imigresen tertentu (tidak semua pejabat menerima permohonan ini, sila klik untuk Dokumen Perjalanan Terhad maklumat lanjut) sebelum perjalanan. Permohonannya hanya RM5.00 sahaja dan akan mendapat dokumen tersebut seperti pasport antarabangsa juga cuma kulitnya berwarna biru cair dan tanpa cip. Dokumen ini boleh digunakan selama 5 tahun dan boleh dilanjutkan tempoh 5 tahun lagi selepas tamat tempoh 5 tahun tadi. Ia boleh siap dalam tempoh dua jam sahaja.

Setelah selesai urusan imigresen, kami ke bawah untuk ke balai ketibaan. Sudah rasmilah kami sampai ke bumi Sarawak dan bumi aMIRIka ini. Miri secara jenaka oleh orang Brunei menyebutnya sebagai aMIRIka yang berbunyi seperti Amerika, contohnya ke mana hujung minggu ini, di jawab, ke aMIRIka. Jadi sebenarnya ini kali kedua saya ke sini, sebelum ini pada bulan Mac 2014 lepas.

Deddy perlu mengambil beg yang didaftar masuk. Kami menunggu di luar. Saya ketika itu telah menghubungi Donz Car Rental untuk mengambil kereta melalui mesej WhatsApp. Tidak lama kemudian, wakil dari Donz, Syafiq telah menefon saya yang dia telah menunggu di balai ketibaan. Setelah Deddy mendapat begnya, kami pun terus ke tempat yang dijanjikan dan bertemu dengan Syafiq.

Urusan pembayaran terus dibuat, dengan menggunakan kad kredit. Kad debit dan tunai juga diterima. Amat mudah dan juga dokumentasinya sama seperti syarikat kereta sewa yang ternama, cuma tidak mempunyai kaunter sahaja. Sama seperti saya menyewa kereta sewa di Mauritius sebulan sebelum itu. Setelah urusan dokumentasi, sebelum kunci kereta diserahkan, kami ke kereta sewa yang diletakan di depan pintu masuk ke balai ketibaan. mungkin kerana penerbangan kami lewat malam, maka ia boleh sahaja diletakan di situ.

Rupanya kami mendapat kereta Perodua Axia walaupun saya menempah Perodua Viva sahaja. Keadaan kereta pun baik tanpa sebarang kecatatan ketara, jadi saya pun bersetuju dengan keadaannya dan kunci pun diberikan. Memang terbaik betul perkhidmatan kereta sewa Donz, perkhidmatan seperti penyedia sewa ternama tetapi harga seperti kereta sewa individu. Kami boleh mendapat harga RM110/hari, bagi saya murah itu. Insya Allah akan guna dan saya galakan semua menggunakan perkhidmatan daripada Donz.

Cop pasport masuk Sarawak di Lapangan Terbang Miri.

AKereta Perodua Axia yang disewa kami daripada Donz Car Rental
 (gambar diambil ketika Hari 4).

Resit penyewaan kereta dari Donz Car Rental.


Kad perniagaan Donz Enterpise.


Peta: Perjalanan dari LT Miri ke Raja Inn Hotel.


Mendapat sahaja kunci kereta, kami pun ingin terus ke hotel untuk mendaftar masuk. Jalan di Miri ini tidaklah mengelirukan, saya mengikut sahaja panduan daripada aplikasi Google Maps, dan dalam masa 10 minit, sampai sudah ke Raja Inn Hotel, penginapan kami untuk malam tersebut. Terdapat ruang parking di hotel ini, cuma agak penuh, mungkin kerana orang Brunei ramai menginap pada malam itu, maklumlah hari Jumaat dan Ahad adalah hari minggu di Brunei. Tetapi tetap ada juga ruang parkir.

Jadi kami mengejutkan petugas di kaunter yang sudah tidar di situ. Minta maaflah ya. Jadi diuruskan proses daftar masuk dan kami dapat masuk ke dalam bilik kami. Bilik kami sederhana sahaja dengan terdapat dua buah katil saiz queen. Tetapi bersih dan selesa juga. Kami letak sahaja beg, kerana kami hendak cari tempat untuk mengeteh, kata Pak Nasir.

Raja Inn Hotel (gambar diambil ketika Hari 4).

Lobi Raja Inn Hotel.


Jadi kami pun keluar merayau dengan saya memandu kereta. Dah banyak tutup sebenarnya premis di Miri ini. Cuma banyak pub dan kabaret sahaja yang dibuka ketika itu.

Akhirnya kami singgah ke sebuah restoran di Jalan Permaisuri yang masih terbuka dan ramai orang. Di situ saya lihat apa yang istimewa. Deddy memesan mee kolok jadi saya pun sama. Dia memesan teh C, saya pun sama. Bukan copy cat, tetapi memang itu kegemaran saya juga apabila di Sarawak. Ingatkan malam tidak ada jual, jadi bila ada, saya pun pesan lah. Pak Nasir dan Abang Zul saya lupa mereka pesan apa, tidak silap, Abang Zul pesan mee jawa dan Pak Nasir pesan mee kolok goreng.

Tatkala kami usai makan dan bergerak pulang, baru kami perasan restoran itu bernama Kafe Awang Mahyan. Awang Mahyan adalah bekas jurulatih Sarawak pada akhir 1980an dan awal 1990an yang menukar haluan bola sepak Sarawak yang biasa-biasa sahaja kepada kegemilangan. Di bawah kendaliannya, pasukan bola sepak Sarawak digeruni sehingga digelar Bujang Senang, sempena nama seekor buaya yang mengganas ketika itu di salah sebuah sungai di Sarawak, dan juga terkenal dengan slogan Nyap Sayot, bermaksudsentiasa membaham. Insya Allah akan datang lagi pada malam kami pulang dari Brunei nanti.

Kami pun pulang ke hotel untuk berehat kerana kami perlu bangun awal ketika itu. Masa pun dah menunjukan hampir pukul 2:00 pagi. Sampai di hotel, saya menukar baju kepada baju tidur dan terus terlelap.

Bersambung ke Hari 2 Bahagian 1.

Jika mahu lihat catatan: 

If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary;
  • Day 1 (this part);
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.

Selasa, 9 Mei 2017

Itinerari (Brunei (melalui Miri, Limbang & Lawas (Sarawak) & Sipitang (Sabah)) - 28 April hingga 01 Mei 2017).


If want to read in English:

  • PreJourney;
  • Itinerary (this part);
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.

Saya di Masjid Omar Ali Saifuddin, Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.

Panduan:
$ = Dollar/Ringgit Brunei (BND @ BN$ @ B$), matawang Brunei. Secara amnya, kadar tukaran: B$100 = RM3.20 atau RM1.00 = B$0.32.
Waktu tempatan Brunei adalah dengan waktu Malaysia (UTC +8).
Bil
Butir
RM
1
Malaysia Airlines (MAS) : (27 Disember 2016) menempah tiket dari KLIA ke LT Miri, Sarawak, Malaysia (MYY) MH 2598 (28 April 2017) x 4 & dari MYY ke KLIA MH 2593 (01 Mei 2017) x 4, (RM1093.92 keseluruhan menjadi RM273.24/orang).
273.24
2
eTiQa Takaful: (18 Januari 2017) membeli  International World Traveller Care Takaful - Platinum Individu Zon 2 (Negara Asia) selama 5 hari (28 April hingga 02 Mei 2017).
52.20
3
Hotels.com: (24 Mac 2017): penginapan 2 buah katil di Raja Inn Hotel, Miri, Sarawak, Malaysia pada 28 hingga 29 April 2017 berharga RM100.71. Bayaran dikongsi empat orang.
25.18
4
Hotels.com: (24 Mac 2017): penginapan 2 buah bilik berkatil saiz queen di Hotel Seri Malaysia, Lawas, Miri, Sarawak, Malaysia pada 29 hingga 30 April 2017 berharga RM155.80/bilik (jumlah RM311.60). Bayaran dikongsi empat orang.
77.90
5
Hotels.com: (02 April 2017): penginapan 2 buah katil di Raja Inn Hotel, Miri, Sarawak, Malaysia pada 30 April hingga 01 Mei 2017 berharga RM100.71. Bayaran dikongsi empat orang.
25.18
6
Hantar emel kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan,  pada 16 April 2017 untuk memaklumkan kehadiran di Brunei. Juga mengisi borang di sistem e-Konsular untuk tujuan yang sama.

7
Daftar masuk kemasukan penerbangan MH 2598 melalui aplikasi telefon pada 26 April 2017.

8
Airport Coach: Membeli tiket bas shuttle pergi balik dari KL Sentral ke KLIA dan kembali (tarikh dan masa terbuka) pada 28 April 2017.
18.00


Jumlah
RM471.70
Bil
Butir
RM
1
Bertolak dari rumah pada pukul 4:45 petang dengan dihantar oleh isteri ke stesen LRT terdekat. Menaiki LRT ke Stesen LRT KL Sentral dan sampai pada pukul 5:35 petang. Membayar dengan menggunakan kad Touch n' Go.
3.30
2
Bertemu dengan abang Zul. Menukar tempahan tiket kepada tiket sebenar bas shuttle Airport Coach. Menaiki bas trip pukul 6:00 petang dan tiba di KLIA pada pukul 7:30 malam.

3
Mencetak pas pelepasan dan terus ke pintu pelepasan B8. Bertemu dengan Deddy Faisal dan Pak Nasir. Menaiki pesawat untuk penerbangan MH2598 pada pukul 8:50 malam dan pesawat berlepas pada 9:15 malam.

4
Pesawat tiba di Lapangan Terbang Miri pada pukul 11:35 malam. Membuat urusan imigresen masuk ke Sarawak.

5
Keluar dari balai ketibaan, bertemu dengan wakil Donz Car Rental (Shafiq) untuk urusan penyewaan kereta sewa Perodua Viva selama 3 hari berharga RM110/hari  (jumlah RM330) + dokumentasi ke Brunei RM50.00. (Jumlah besar RM380, di bahagi 4).
95.00
6
Terus ke Raja Inn Hotel untuk proses daftar masuk. Keluar kembali untuk makan malam di Restoran Kafe Awang Mahyan, Miri. (Dibelanja oleh Abang Zul, terima kasih). Saya makan mee kolok (RM4.00)dan teh C ais (RM6.50). Selesai makan, pulang ke hotel untuk tidur.



Jumlah
RM98.30
Bil
Butir
Matawang Asing (B$)
RM
1
Daftar keluar dari Raja Inn Hotel Miri pada pukul 6:30 pagi. Bergerak menuju ke ICQS Sg. Tujuh.


2
Mengisi minyak petrol kereta di sebuah stesen minyak Petronas di Miri sebanyak RM49.00. (Dikongsi 4 orang).

12.25
3
Meneruskan perjalanan dan singgah di 7-Eleven belakang E-Mart Tudan untuk membeli air minuman dan makanan ringan.

5.00
4
Singgah makan di Singgah Café, Permy Jaya, Miri, dibelanja oleh Pak Nasir, terima kasih. Saya makan laksa sarawak (RM4.50) dan teh C panas (RM2.00). Meneruskan perjalanan pada pukul 8:00 pagi memasuki Brunei melalui ICQS Sg. Tujuh (Malaysia) dan Pos Sempadan Sungai Tujoh Kuala Belait (Brunei). Alhamdulillah, pintu sempadan tidak sesak. Selepas pemeriksaan imigresen, saya menyerahkan borang khas membawa kereta ke Brunei yang telah disediakan oleh pihak Donz kepada Kastam Brunei (borang tersebut laku selama 3 tahun, jika sudah buat, jika belum perlu membawa geran kereta asal untuk tujuan permohonan di mana setelah geran diberikan untuk diperiksa, maka borang baru diberikan untuk diisi, setelah diisi, barulah dikembalikan untuk kelulusan, selepas lulus, kenderaan boleh dibawa masuk Brunei seberapa kali dalam masa tiga tahun).


5
Singgah di pekan Kuala Belait untuk ke pejabat syarikat telekomunikasi DST untuk membeli kad SIM Easi. Menunggu pejabat dibuka pada pukul 9:00 pagi. Namun di situ tidak menjual kad SIM prabayar Easi untuk pelancong (Easi Tourist) (B$15 (+- RM48.00). Namun staf DST mencadangkan untuk ke syarikat telekomunikasi Progresif yang terletak di pusat membeli-belah KB Central untuk membeli kad SIM pelancong.


6
Kami ke KB Sentral untuk ke pejabat Progresif tetapi perlu menunggu ia dibuka pada pukul 10.00 pagi. Apabila buka, kami semua (kecuali Pak Nasir) membeli kad SIM prabayar untuk pelancong. Ia mempunyai pakej 50 minit panggilan suara tempatan, 50 sms tempatan, 10 minit panggilan antarabangsa, 10 sms antarabangsa dan data 1 GB.
10.00
32.00
7
Setelah selesai, kami pun meneruskan perjalanan dan sampai di Tugu Peringatan Pengeluaran Minyak Ke Seribu Tong di Seria pada pukul 11:00 pagi.


8
Setelah setengah jam di tugu tersebut, meneruskan perjalanan ke Pos Sempadan Kuala Lurah untuk memasuki Limbang, Sarawak pula. Sampai di Pos Sempadan Kuala Lurah sekitar 12:15 tengahari. Kereta agak banyak tetapi sesak tidak panjang mana pun, dalam hampir 10 minit berbaris, giliran kereta kami pun tiba. Selesai urusan di imigresen Brunei (borang kemasukan kenderaan hanya diberikan ketika masuk ke Brunei sahaja), kami terus ke ICQS Tedungan untuk urusan masuk ke Malaysia. Setelah itu, kami pun ke bandar Limbang yang mengambil masa hampir setengah jam dari ICQS Tedungan.


9
Sampai di bandar Limbang hampir pukul 1:00 petang. Kami berjalan-jalan sekitar Dataran Jubli Emas yang juga bersambung dengan Tebingan Sungai Limbang. Kemudian kami makan tengahari di sebuah restoran berdekatan (saya makan nasi campur lauk sayur dan ayam serta air Teh C ais (RM7.50)), ia dibelanja oleh Deddy, terima kasih.


10
Selepas makan tengahari, kami meneruskan perjalanan pada pukul 2:30 petang. Sampai di ICQS Pandaruan pada pukul 2:45 petang dan Pos Sempadan Ujung Jalan 5 minit kemudian. Berada di bumi Temburong, Brunei selama 25 minit dan kemudian sampai Pos Sempadan Labu. Selesai urusan di imigresen Brunei, kami melalui ICQS Mengkalap, Lawas, Sarawak, pada pukul 3:15 petang. Selesai urusan imigresen Sarawak, kami meneruskan perjalanan di bumi Lawas, Sarawak selama hampir 45 minit melewati sisi bandar Lawas, untuk sampai di Pos Sempadan Merapok (Sarawak) -  Sindumin (Sabah).


11
Di Pos Sempadan Merapok - Sindumin, kami memberikan pasport untuk diperiksa dan di cop. Menariknya urusan kedua-dua imigresen negeri dijalankan pada tingkap kaunter dan pegawai yang sama. Selesai urusan kami berhenti sekejap di Sindumin untuk solat di Masjid Sahabat, iaitu masjid dua negeri (Masjid berada di Sabah tetapi pintu masuk kenderaan kena melalui bahagian di Sarawak, kami hanya parkir di tepi jalan dan memasuki melalui pintu pejalan kaki).


12
Setelah solat, kami menruskan perjalanan ke pekan Sipitang namun jalan agak sesak kerana dikatakan terdapat satu pesta di situ. Ingin kami singgah turun tapi agak sukar mendapat parkir, jadi kami pulang semula ke Pos Sempadan Sindumin - Merapok untuk masuk semula ke Sarawak kerana kami telah tempah penginapan di Hotel Seri Malaysia Lawas. Mengisi minyak petrol kereta di sebuah stesen minyak Petronas di Lawas sebanyak RM50.00. (Dikongsi 4 orang).

12.50
13
Kami tiba di hotel di Lawas pada pukul 6:30 petang dan terus mendaftar masuk.


14
Pada pukul 8:00 malam, kami pun keluar semula untuk jalan-jalan sekitar bandar Lawas. Sempat membeli kudapan di kedai runcit yang masih buka.

10.00
15
Kami makan malam di restoran makanan segera Singapore Chicken Rice (SRC) yang popular di Sarawak (ada banyak cawangan). Makan nasi ayam kukus set (sekitar RM12.00/orang) dan dibelanja oleh Deddy, terima kasih.


16
Setelah selesai makan malam, kami pun pulang ke hotel untuk tidur.



Jumlah
$ 10.00
RM71.75
Bil
Butir
B$
RM
1
Kami bersarapan di hotel dan kemudian daftar keluar pada pukul 8:00 pagi. Kami singgah di Pasar Besar Lawas untuk melawat. Saya sempat membeli dua piring  rumpai air yang dinamakan oleh masyarakat tempatan "Latop" (RM2.00/piring), berupa seperti anggur kecil. Memang sedap. Kemudian kami naik ke tingkat atas untuk minum pagi, kami pekena kopi o Kopi Tenom, hanya RM1.30/cawan. Dibelanja oleh Pak Nasir, terima kasih. Memang sedap sangat. Saya pun keluarkan sebungkus latop tadi yang mana terdapat cuka di atas meja kami. Saya pun tak sabar hendak menjamahnya sampai habis, huhuhu. Lagi satu saya simpan untuk orang di rumah (masih tahan apabila sampai di rumah walaupun lecuh sikit).

4.00
2
Kami meneruskan perjalanan pada pukul 10:00 pagi untuk ke Bandar Seri Begawan (BSB), Brunei. Kami melalui ICQS Mengkalap dan Pos Sempadan Labu. Singgah sebentar di pekan Bangar. Setelah 20 minit di Bangar, kami meneruskan perjalanan ke BSB melalui Pos Sempadan Ujung Jalan, ICQS Pandaruan, pekan Limbang, ICQS Tedungan dan Pos Sempadan Kuala Lurah. Dalam banyak-banyak pusat pemeriksaan sempadan, hanya Pos Sempadan Kuala Lurah sahaja yang agak banyak kereta, itu pun kami berbaris kira-kira empat kereta sahaja. Memang nasib kami baik kerana tidak sesak walaupun pada hari minggu. Kami akhirnya sampai di Masjid Ali Omar Saifuddin di BSB pada pukul 12:30 tengahari, tepat-tepat waktu zohor masuk.


3
Kami solat di masjid tersebut. Usai solat kami berjalan-jalan di sekitar pusat bandar. Kami singgah di Tamu Kianggeh untuk cari cenderahati tetapi tidak jumpa (sepatutnya kami ke Kompleks Yayasan Sultan Hasanal Bolkiah, di depan Masjid Ali Omar Saifuddin).


4
Rakan Deddy, En. Hardy Hermanata, Timbalan Pensuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei, telah menjemput kami ke rumah salah seorang kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei yang terletak di Kg Manggis, kerana terdapat sedikit jamuan. Setelah sejam di rumah tersebut, beliau sendiri menjemput kami ke rumahnya, tidak jauh dari rumah tadi (dalam setengah jam berada di situ),  dan kemudian membawa kami melawat ke pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brunei.


5
Setelah hampir 20 minit kami di Suruhanjaya Tinggi Malaysia, kami memohon diri daripada En. Hardi dan kemudian ke rumah seorang lagi rakan Deddy, En. Sukri Sarbini, seorang diplomat Brunei yang kebetulan berada di Brunei pada ketika itu. Kami berada di situ agak lama sehingga pukul 6:00 petang.


6
Setelah di jamu selera dan berbual terutama dengan bapa En. Sukri, Lt. Kol. (B) Sarbini, kami pun meminta diri pada pukul 6:00 petang dan saya berjumpa seketika rakan saya En. Najihin di Kota Batu. Tidak lama kerana kami hendak mengejar solat Maghrib di Masjid Jamek Asr Hasanal Bolkiah. Namun tidak sempat, kerana jalan yang saya lalu adalah jalan lama Kota Batu-BSB. Dalam perjalanan sempat juga kami melihat pembangunan Jambatan ke Temburong dan Jambatan ke Kg Air. Kami melalui pusat bandar BSB dan terus ke Masjid Jamek Asr Hasanal Bolkiah untuk solat.


7
Setelah usai solat, kami pun ke Pasar Malam Gadong. Saya membeli terung asam Borneo yang agak besar untuk ole-ole ibu saya. Harga agak murah, dengan sepiring yang mempunyai tiga biji hanya B$1.00 sahaja. Saya ambil 2 piring.
2.00
6.40
8
Setelah itu, masa menunjukan pukul 8:30 malam. Kami pun mengambil keputusan untuk pulang ke Miri. Kami menggunakan Lebuhraya Muara-Kuala Belait dan sampai di Pos Sempadan Sungai Tujoh Kuala Belait pada pukul 9:15 malam dan melalui ICQS Sg Tujuh 15 minit kemudian kerana banyak kereta di sebelah Brunei. Kami sampai di Restoran Awang Mahyan pada pukul 10:00 malam. Sekali lagi saya makan mee kolok dan teh C ais dan makan malam kami dibayar Deddy, terima kasih.


9
Kami sampai semula di Raja Inn Hotel pukul 10:45 malam, mendaftar masuk dan terus berehat.



Jumlah
$ 2.00
RM10.40
Bil
Butir
RM
1
Saya bangun awal pukul 4:30 pagi untuk membersihkan diri dan mengejutkan Deddy yang mana penerbangan pulang ke KLIA pada pukul 6:00 pagi. Dia terpaksa balik awal kerana terdapat tugas rasmi yang perlu dilaksanakan (Keberangkatan Datang Raja Bahrain (negara Arab) ke Malaysia). Setelah siap, pada pukul 5:00 pagi saya menghantar Deddy ke Lapangan Terbang Miri. Sampai di sana, kami pun berpisah, dan saya kembali ke hotel untuk terus menyambung tidur saya setelah solat Subuh (azan di Miri pukul 5:40 pagi).

2
Pada 8:00 pagi, kami bertiga berjumpa dengan rakan satu kuliah saya di universiti dulu, Nizam yang kini tinggal dan bertugas sebagai Pegawai Bomba di Miri. Kami berjumpa di Restoran Mee Sapi Kuching. Di belanja saya Mee Sapi Special (Mee Kolok + Keting Lembu, sepatutnya ada tulang tetapi kehabiskan pada masa itu). Semua sarapan kami dibelanja oleh Nizam, terima kasih banyak. Nizam hadir dengan keluarga sekali. Lama juga kami berbual, maklumlah sudah lama tidak berjumpa.

3
Setelah selesai, kami berpisah sementara, yang mana kami ke Pusat Kraftangan Miri untuk membeli cenderaharti. Saya membeli magnet peti ais empat keping sahaja. Pak Nasir juga sempat menukar wang Brunei yang tidak digunakan di pengurup wang berdekatan.
10.00
4
Setelah itu, kami ke Bukit Canada untuk melawat The Grand Old Lady, telaga minyak pertama di Sarawak dan di Malaysia. Terdapat juga Muzium Petroleum tetapi tidak dibuka pada hari tersebut. Di bukit ini juga dapat melihat permandangan keseluruhan bandaraya Miri dan sekitarnya. Mengisi minyak petrol kereta di sebuah stesen minyak Petronas di Miri sebanyak RM10.00. (Dikongsi 4 orang).
2.50
5
Setelah itu, kami pun pulang ke hotel untuk mengambil barangan kami dan kemudian mendaftar keluar. Setelah itu kami berjalan-jalan sekitar bandaraya Miri untuk menghabis masa. Kemudiannya ke pasaraya E-Mart Riam untuk tujuan sama, dan saya sempat makan ayam goreng Sugar Bun, kerana teringin (Sugar Bun adalah restoran makanan segera yang terkenal di Sarawak).
15.00
6
Setelah itu, seperti dijanjikan dengan Nizam, kami ke Restoran Melanau Café dan Catering yang terletak berhadapan dengan Lapangan Terbang Miri. Kami berjumpa lagi dengan Nizam yang membelanja kami makan tengahari. Cuma kami tidak ada rezeki untuk makan umai dan cencalok Sarawak.

7
Setelah mengucapkan selamat tinggal kepada Nizam, kami pun ke Lapangan Terbang Miri dan memulangkan kereta kami kepada Donz. Setelah itu kami mendaftar masuk dan kemudian membuat prosedur imigresen dan mengunggu penerbangan pulang kami ke Semenanjung Malaysia.

8
Walau bagaimanapun, penerbangan kami dilewatkan dan kami hanya berlepas pada pukul 4:45 petang walaupun jadual asal adalah 3:50 petang.

9
Kami tiba di KLIA pada pukul 6:45 petang. Kami sampai di stesen bas KLIA pada pukul 7:10 petang dan sempat menghantar Pak Nasir menaiki bas henti-henti tempatan ke pekan Nilai untuk beliau sambung menaiki tren KTM Komuter untuk pulang ke Alor Gajah melalui Tampin/Pulau Sebang. Kami menukar tiket bas shuttle Airport Coach ke KL Sentral, dan mendapat tiket pukul 7:30 malam.

10
Kami sampai di KL Sentral pada pukul 8:30 malam dan saya berpisah dengan Abang Zul di situ. Saya bersolat di surau KL Sentral dan setelah selesai, saya ke stesen LRT untuk pulang ke stesen LRT terdekat dengan rumah saya. Sampai di sana isteri saya sudah tiba untuk mengambil saya dan saya pun tiba di rumah.



$ 0.00
RM27.50
Jumlah perbelanjaan keseluruhan:
$ 12.00
RM679.65



Saya di The Grand Old Lady, Miri, Sarawak.


Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...



If want to read in English:
  • PreJourney;
  • Itinerary (this part);
  • Day 1;
  • Day 2 Part 1;
  • Day 2 Part 2;
  • Day 3 Part 1;
  • Day 3 Part 2; or
  • Day 4.