Memaparkan catatan dengan label 12 hingga 16 September 2014 - Ko Samui Thailand. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label 12 hingga 16 September 2014 - Ko Samui Thailand. Papar semua catatan

Jumaat, 5 Disember 2014

Hari 4 & 5 (Ko Samui, Thailand - 12 hingga 16 September 2014) - Pulang Ke Ibu Pertiwi.

Bersambung dari Hari 3.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday 
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5 (this part)or 
  • Itinerary.



Hari 4
15 September 2014 (Isnin)

Hari ini hari terakhir kami di Ko Samui. Kami bangun awal kerana hendak mengejar feri pukul 8 pagi agar kami berada di tanah besar pada jam 10 pagi. Tapi bila bersama keluarga ini ada sahaja yang lambat, akhirnya pada jam 7:30 pagi baru daftar keluar hotel dan bergerak.

Semasa perjalanan, sempatlah isteri saya mengambil senarai harga minyak di sebuah stesen minyak. Tetapi harga di sini lebih mahal berbanding di tanah besar. Harga minyak di Thailand berbeza mengikut tempat, malah ada kalanya sebelah menyebelah pun berbeza.


Akhirnya, hampir jam 8 pagi sampailah kami ke kawasan kenderaan berkumpul untuk memasuki feri Seatran. Namun sebenarnya kami terlepas feri awal kerana ia telah pun bergerak pada jam 7:30 pagi tadi. Harga tiket masih sama seperti di Dongsak. Kira-kira 25 minit menunggu, bersama-sama beberapa kenderaan lain, kami pun mula memasuki feri. Cuma pada ketika ini, feri tidak berapa penuh seperti feri yang kami guna semasa datang ke Ko Samui tempohari.









Feri mula bergerak pada jam 9 pagi, kali ini kami menaiki feri Seatran 8. Sebenarnya kedua-dua feri iaitu Seatran 5 dan Seatran 8 ini merupakan feri yang telah digunakan di Jepun. Kira feri terpakai lah ini. Feri Seatran 8 ini lebih besar dan lebih selesa. Bentuk pun agak berbeza berbanding Seatran 5.





Kemudahan di feri ini lebih baik, siap ada perkhidmatan mengurut dengan ฿300 bagi urutan kaki selama 45 minit. Kira boleh urut dua orang lah semasa perjalanan. Namun terdapat seorang penumpang telah menggunakan khidmat ini, maka hanya isteri saya sahaja dapat menggunakan khidmat urutan ini. Lagipun hanya ada seorang pengurut sahaja walaupun disediakan tiga kerusi di dalam feri ini. 







Saya dan anak lelaki saya bersiar-siar disekeliling feri ini, dan untungnya feri ini, kita boleh berada di bahagian hadapan feri. Memang jelas permandangan berbanding semasa datang, cuaca agak mendung. Jadi nampak juga pulau-pulau Taman Maritim Nasional Ko Ang Thong.





Selepas satu setengah jam, maka sampailah feri kami di jeti feri Seatran di Dongsak. Kami pun segera ke kereta kami untuk keluar dari perut feri ini.



Semasa keluar, sempat juga isteri saya mengambil gambar patung besar kura-kura yang seolah-olah mengucapkan selamat jalan kepada kami.


Sebelum bergerak lebih jauh, saya ke stesen minyak PTT terdekat dengan jeti untuk mengisi minyak kereta dan ahli keluarga saya ke kedai serbaneka 7-Eleven untuk membeli beberapa barang kudapan sepanjang perjalanan. Setelah minyak diisi, kira-kira ฿1250 (+-RM125.00), kami ke tandas dan selepas itu saya membeli air kopi Mocha ice blended di kiosk Amazon Cafe yang ada di kebanyakan stesen minyak PTT. Rasa seperti minuman sama di fresco terkenal seperti Starbucks, The Coffee Beans and Tea Leaves, San Francisco Coffee dan lain-lain. Cuma harganya amat murah, lebih sparuh dari harga di fresco tersebut. Saya membelinya dengan harga ฿60 (+- RM6.00) segelas.


Kami meneruskan perjalanan menuju ke bandar Nakhon Si Tammarat (NST) menggunakan jalan bernombor  401 dan apabila di bandar NST, kami mengambil jalan bernombor 403 pula. Saya sebenarnya terlepas jalan pintas 4103 sebenarnya, tapi tidak mengapalah. Kemudian kami bertemu dengan jalan utama bernombor 41 menuju ke Hat Yai. Dalam perjalanan, singgah beberapa kali di stesen minyak PTT kerana tandas-tandas di stesen itu memang bersih. Disamping membeli air kopi ice blended di Amazon Cafe. Dah ketagih kot, lagipun duit Baht Thailand masih ada banyak lagi.

Akhirnya pada jam 2 petang kami sampai bandar Hat Yai. Kami tidak singgah kerana merasakan ia tidak perlu dan terus mengambil jalan menuju ke Sadao. Sampai di pekan besar pertama bernama Khlong Ngae, kami singgah ke Tesco Lotus untuk membeli beberapa benda yang murah di Thailand. Antara belian kami adalah beras Wangi Siam yang agak murah di mana harga semurah ฿120 (+- RM12.00) sekampit 5 kilogram. Kami ambil 4 kampit dan sekampit beras pulut 5 kilogram berharga ฿170 (+- RM17.00). Kami letakkan di bawah beg pakaian kami. Dekat setengah juga kami di situ.

Pada jam 3 petang kami meneruskan perjalanan menuju ke pintu sempadan Ban Prakob melalui pekan Na Thawi. Kami sebenarnya boleh terus ke Sadao (Dannok) tetapi saya tidak pernah melalui pintu sempadan Ban Prokob sebelum ini, lagipun kami menggunakan kereta, jadi inilah peluang hendak lalu pintu sempadan ini.


Setelah hampir 45 minit memandu, akhirnya sampai juga kami ke kompleks kastam Thailand di Ban Prakob. Komppleks ini baru siap, malah jalan menuju ke kompleks ini nampak seperti baru diturap dan kesan potongan bukit masih merah lagi. Jalan ke kompleks ini tidak melalui pekan kecil Ban Prokob.





Setelah mengambil beberapa gambar kenangan, kami terus ke kaunter pandu lalu imigresen. Kompleks ini agak lengang, sangat lengang, sehinggakan hanya kereta saya sahaja melaluinya sepanjang pemeriksaan di Thailand dan Malaysia. Setelah semua pasport dicop (tanpa perlu memberi atau menyelit sebarang wang sama ada Ringgit Malaysia atau Baht Thai), saya memandu ke kaunter kastam untuk menyerahkan kembali permit membawa kereta ke Thailand kepada pihak kastam. Ini penting kerana ia umpama kita membawa keluar kereta kita. Kegagalan menyerahkan borang ini, akan didenda sebanyan ฿200 (+- RM20.00) setiap hari! Saya juga perlu mengisi sekeping borang perisyitharan untuk dikepilkan sekali permit tersebut. Pastikan juga permit itu ditandatangani di ruangan keluar.


Akhirnya secara rasmi kami keluar dari Thailand tapi masih belum rasmi masuk Malaysia. Dilihat juga kenyataan Selamat Datang Ke Malaysia telah dilindungi oleh pagar Thailand. Sebenarnya kompleks ICQS Kota Putra atau lebih dikenali sebagai Durian Burung ini lebih 5 tahun siap. Sebelah Thailand baru sahaja siap. Kira memang sengaja bahagian Thailand sengaja menutup pintu gerbang Malaysia.


Seterusnya urusan di sebelah Malaysia. Urusan imigresen amat lancar sejali, dengan setiap pasport diimbas tapi tidak dicop. Sayangnya, tiada kenangan. Seterusnya saya memandu ke kaunter kastam pula. Pegawai kastam berkenaan menyuruh kami berhenti dan bonet kami diperiksa. Banyak jugalah di tanya, namun saya jawab dengan tenang. Alhamdulillah lepas juga.


Seterusnya, memandangkan kami masih belum bersolat Zohor dan Asar, maka kami singgah sebentar di Kompleks ini untuk bersolat. Selain surau, terdapat kantin juga di sini. Di sini juga litupan telefon Malaysia masih tidak dapat namun talian dtac di telefon saya masih kuat, malah boleh melayari internet kerana litupannya dalah 3G.

Setelah setengah jam berada di kompleks ICQS Kota Putra ini, kami perlu bergegas kerana kompleks ini akan ditutup pada jam 6 petang, kalau lambat, mahu kami terperangkap dalam Komples ICQS ini.


Kami meneruskan perjalanan ke Kuala Nerang melalui Durian Burung dan pekan Padang Terap. Di Durian Burung, saya mengisi minyak RM30 di stesen minyak Shell. Kebetulan di sebelah stesen tersebut terdapat sebuah gerai menjual makanan, yang istimewa Mee Udang, jadi makanlah kami di situ. Makan 3 dewasa dan 2 kanak-kanak dalam RM40.00. Memang Mee Udang di situ terbaik kerana menggunakan udang galah dan agak banyak juga udangnya.



Seterusnya kami meneruskan perjalanan mulai pukul 7 malam dari Kuala Nerang untuk ke Kulim, bagi menumpang rumah kakak sepupu isteri saya. Namun baru diketahui beliau tiada di rumah. Kemudian ibu saya menelefon kawannya di Taiping yang saya panggil Auntie Chor untuk menumpang bermalam. Alhamdulillah ada.

Jadi berjalanlah kami melalui jalan lama melalui Naka, Sungai Tiang, Jeniang, Kuala Ketil, Kulim, Junjong, Sungai Bakap, Jawi, Nibong Tebal, Transkerian dan Parit Buntar. Di Parit Buntar baru saya mengisi minyak dengan pebuh di stesen minyak Petronas. Seterusnya, meneruskan perjalanan di Jalan Persekutuan 1 melalui Bagan Serai, Kamunting dan akhirnya sampailah ke rumah Auntie Chor. 

Kami disambut oleh Auntie Chor dan suaminya Uncle Ucop yang dah memang unpama keluarga sendiri. Kami makan malam di sana dan tidurlah kami semalam di situ.



Hari 5
16 September 2014 (Selasa)

Setelah bersarapan di rumah Auntie Chor & Uncle Usop, pada jam 9 pagi, kami pun bergerak dari Taiping menuju ke KL. Saya mengambil tol Kuala Kangsar untuk masuk ke Lebuhraya Utara Selatan dan mengaktifkan applikasi Waze di dalam telefon saya. Pasal hendak tahu keadaan lalu lintas dan juga sebarang kehadiran penguatkuasa seperti polis sepanjang perjalanan. Agak laju juga saya bawa kereta, kerana pada hampir pukul 12 tengahari saya sudah sampai di plaza Tol Jalan Duta. Terdapat perangkap had laju di Gopeng yang saya perolehi di Waze dan kelipan lampu hapadan kereta di arah berlawanan. Terima kasih.

Itulah coretatan serba sedikit percutian sekeluarga saya menggunakan kereta ke Ko Samui. Kepada pembaca, bolehlah ambil perkongsian ini untuk percutian, pengembaraan atau perjalanan anda. Pendapat saya, jika ke Selatan Thai, berkenderaan sendiri memang lebih menjimatkan terutama jika anda berjalan lebih dari dua orang. Lagipun anda boleh membawa peralatan sendiri untuk memasak. Jadi jimat dari perbelanjaan makanan, kerana harga makanan bermasak yang halal di negara minoriti Muslim adalah mahal. 

Selain itu anda boleh beli beberapa benda yang murah di Thailand dan mahal di Malaysia seperti beras dan gula, tapi pandai-pandai lah nak beli kuantiti banyak mana dan nak urus letak mana. Kerana kastam Malaysia dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) sedia memeriksa kenderaan anda di sempadan. Jika kurang nasib baik, kena cukai dan denda. Satu lagi, pendapat saya, percutian di Selatan Thai adalah lebih murah daripada bercuti di Malaysia sendiri. Bukan tidak patriotik tapi itu pendapat saya.

Semoga catatan ini membantu anda. Sehingga di lain coretan, Assalamualaikum dan salam sejahtera.



Kembara GD - Terokai Dunia, Kenali Kehidupan...

Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3; 
  • Day 4 & 5 (this part)or 
  • Itinerary.

Hari 3 (Ko Samui, Thailand - 12 hingga 16 September 2014) - Samui, Memang Indah.

Bersambung dari Hari 2.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part); 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.

Hari 3
14 September 2014 (Ahad)

Pagi di pantai Lamai, Ko Samui memang amat mendamaikan. Setelah solat subuh, saya sekeluarga duduk untuk melihat matahari terbit di ufuk timur. Walaupun dapat lihat sebahagian sahaja kerana kaki langit timur di tempat kami duduk dilindungi oleh sebuah tanjung. Kena pula hotel kami duduk di dalam teluk berhampiran dengan tanjung tersebut. Namun suasananya memang amat mendamaikan. Anak lelaki saya tidak sabar-sabar untuk mandi laut, namun memandang laut masih surut masa itu, jadi tidak berapa sesuai hendak mandi. Ini kerana terdapat rumput rumpai laut, batu karang mati dan banyak lagi benda yang agak keras dan kadang kala tajam berada di dasar laut yang agak landai. Jadi untuk mandi perlu tunggu air pasang sedikit.


Kembali semula ke chalet untuk bersarapan. Kena buat sendiri kerana tiada makanan disediakan kecuali air minuman botol. Nasib baik ada disediakan cerek elektrik. Sebenarnya, kami ada membawa periuk nasi kecil untuk memasak, tu sebab kami sibuk membeli bahan-bahan mentah untuk dimasak. Masak ala kadar sahaja, asal boleh hilang lapar dan tidak perlu beli makanan di luar yang kerana sememangnya makanan halal begitu mahal di kawasan ini. Juga kami membawa penyuai plug (plug adapter) kerana suis plug di Thailand berbeza dengan di Malaysia.


Selepas bersarapan, kami mula berjalan-jalan ke sekitar Pulau Samui ini (dalam Bahasa Thai, ko itu bermaksud pulau). Jika semalam kami datang dari arah Nathon, kini kami mengambil arah sama menuju ke arah pekan Chaweng, yang merupakan pekan terbesar dan menjadi tumpuan umum di Samui ini. Pada masa itu masih awal dalam pukul 8:30 pagi. Jalan menuju ke Chaweng ada tempat menaiki bukit sedikit, tetapi di kawasan berbukit inilah banyak resort-resort yang mewah dibina. Permandangan pun amat cantik. Tidak hairanlah kenapa ramai yang datang ke pulau ini.

Selepas memandu dalam keadaan santai selama 20 minit, maka sampailah ke pekan Chaweng. Melintasi Hospital Bangkok, memang di hadapan hospital ini terdapat sebuah restoran makanan halal, namun kami sudah ada makanan sendiri, buat apa makan kan. Duit boleh dijimatkan. Pekan ini masih lagi tidur, mungkin kerana ia agak hidup di waktu malam.

Terdapat beberapa pasaraya di pekan ini antaranya Makro dan Tesco Lotus yang dibuka seawal pukul 8 pagi berbanding di kawasan-kawasan lain yang hanya dibuka mulai 10 pagi. Kira hendak mencari pasaraya amat mudah di Ko Samui ini. Tesco Lotus sahaja terdapat 3 atau 4 cawangan di pulau ini, yang terletak di pekan-pekan. Kami tidak singgah kerana lebih kepada hendak bersiar-siar.

Di simpang ke lapangan terbang, kami mengambil jalan ke lapangan terbang. Dah nama bersiar-siar, lagipun dapat diketahui bahawa Lapangan Terbang Antarabangsa Ko Samui agak unik dari segi binaan dan konsep. Itu sebab kami ke sana. Sepanjang perjalanan terdapat banyak kawasan penginapan yang kos rendah di sini. Juga kedai serbaneka terutama berjenama "Family Mart" memang bersepah, boleh dikatakan setiap selang 300 meter terdapat satu cawangan kedai serbaneka ini.

Dalam perjalanan menuju ke lapangan terbang ini juga terlihat sebuah resort yang di halaman hadapannya terdapat beberapa patung yang agak besar yang bertemakan bola sepak, diperbuat daripada buah kelapa. Memang unik. Unik lagi, jalan yang menuju ke lapangan terbang kecil sahaja, umpama jalan kampung.



Akhirnya sampai juga ke lapangan terbang ini. Sebelum sampai, kita akan sampai di sebuah mini pekan yang mana terletaknya simpang T (simpang 3), yang mana ke kanan, kita akan menuju ke terminal atau balai ketibaan, kerana terdapat papan tanda seperti kapal terbang mendarat. Jika ke kiri pula, kita akan ke terminal atau balai berlepas berdasarkan papan tanda kapal terbang berlepas.

Lapangan terbang ini memang unik kerana apa bila kita ke sini, seumpama bukan berada di dalam lapangan terbang tetapi berada di sebuah resort. Memang menarik. Konsepnya juga lebih terbuka dan tidak tertutup, maka lebih mesra alam, cuma saya terfikir kalau hujan lebat, macam mana keadaannya.





Seterusnya kami menuju kembali ke Chaweng tetapi mengikut jalan lain. Terjumpa pula dengan satu-satunya pusat membeli belah di Samui ini iaitu Central Festival Mall. Hendak masuk tetapi masih tutup. Tapi kalau masuk pun seperti mall biasa sahaja.



Kami meneruskan perjalanan lagi mengelilingi pulau Samui ini. Teringat pula seperti Pulau Langkawi. Cuma pulau ini berada di Teluk Siam atau Laut China Selatan bukan di Selat Melaka atau Laut Andaman seperti Pulau Langkawi. Sebenarnya ada banyak tempat menarik yang patut kami pergi seperti air terjun, mini zoo, wat-wat dan sebagainya, tapi tujuan percutian ini pun adalah percutian, maka kami cuma bersiar-siar sahajalah.

Sampai kembali ke pekan Nathon. Kebanyakan pekan ini adalah sehala. Banyak kedai-kedai menjual cenderahati dan banyak juga premis-premis yang memberikan perkhidmatan berkaitan pelancongan kerana pekan Nathon boleh dikatakan pintu masuk utama. Ini disebabkan beberapa jeti terletak di pekan ini. Jika mahu ke pulau-pulau berdekatan seperti Ko Pha Ngan atau Ko Tao, juga boleh dari jeti-jeti ini. Namun ada juga jeti lain di pulau ini.

Kami singgah dahulu di Tesco Lotus di pekan ini untuk membeli beberapa barang keperluan. Rupanya cawangan di sini dibuka lebih awal iaitu seawal 6 pagi (5 pagi di Malaysia). Setelah itu, kami meneruskan perjalanan menuju balik ke hotel, tetapi singgah di pekan kecil Khao Pom, kerana nampak pasar tempatan. Saja hendak melihat keadaan pasar tempatan. Di sini, kami terjumpa kedai menjual dapur arang yang sudah tidak jual lagi di Malaysia. Harga pun murah dari ฿130 (+-RM13) bagi yang kecil hingga ฿200 (+- RM20) bagi yang besar. Kecil tu boleh la untuk masak kuali atau periuk biasa, yang besar tu boleh memasak sebuah kawah. Boleh buat masak bakar-bakar. Cukup lah saya beli yang paling kecil, tidak larat hendak beli yang besar.



Setelah itu kami teruskan perjalanan mengikut jalan lain yang tidak dilalui sebelum ini. Di sini kami dapat lihat suasana kampung dan ada kawasan yang masih belum diterokai dengan pesat. Terdapat sebuah lagun yang airnya biru kehijauan, yang memang indah dilihat. Setelah sejam bersiar-siar, kami semula ke jalan utama di pekan Maret.

Destinasi kami seterusnya adalah kawasan yang dinamakan sebagi Hinta Hinyai atau mungkin diterjemahkan dalam Bahasa Melayu Batu Datuk Batu Nenek.



Tidak perlu dinyatakan kenapa nama tempat ini dinyatakan sebegini, kerana dari gambar-gambar dapat dinyatakan kenapa. Ada batu yang kelihatan seperti alat sulit wanita dan lelaki. Dikhabarkan pada zaman dahulu, terdapat sepasang suami isteri hidup bahagia sehingga usia tua mereka. Sehinggakan ketika mati pun mereka ingin bersama, dan ketika mereka dimatikan, mereka berubah menjadi batu. Ini kisah yang saya perolehi dari seorang penduduk tempatan. Entah betul entah tidak. terpulang hendak percaya. Bagi saya, bentu batu ini hanyalah kebetulan.

Jalan hendak masuk ke tempat ini agak sempit, maka perlu berhati-hati. Malah jalan masuk ke tempat ini juga tidak jelas. Jadi jika berada di kawasan Maret, perlu berhati-hati. Jika berjalan dari pekan Nathon, perlu melihat ke kanan jalan untuk melihat pintu gerbang tertulis "Hinta Hinyai". Jika dari Chaweng atai Lamai, maka perlu melihat ke kiri. Ia terletak di sebuah pekan mini.



Jika hendak membeli cenderahati bertemakan Ko Samui, boleh beli di kawasan ini. Cenderahati seperti kemeja T, magnet peti ais, rantai kunci, makanan riingan tempatan dan sebagainya boleh didapati. Seperti gambar kami sekeluarga ini, terdapat beberapa jurugambar akan mengambil gambar kita sebelum kita memasuki kawasan Hinta Hinyai ini dan apabila pulang sudah siap gambarnya, cuma kita tidak dipaksa untuk membelinya. Harga pun murah, cuma ฿150 (+- RM15) sahaja.

Satu lagi, parkir di kawasan ini pun agak terhad. Parkir dikenakan antara ฿20 (+- RM2) hingga ฿50 (+- RM5) setiap kali parkir. Selepas lebih sejam setengah di Hinta Hinyai, kami pun pulang ke hotel kami.


Aktiviti sepanjang petang di hotel adalah mandi laut dan duduk di tepi pantai. Memang aman tenteram. Ini sebenarnya aktiviti utama. Lama juga buat aktiviti ini, boleh kata sepanjang petang itu lah. Memang seronok bila kami sekeluarga bersama. Ada masa setelah penat atau panas berehat dan tidur sekejap, lepas itu sambung balik bila bangun. Semasa waktu mahu senja baru berhenti sepenuhnya. Puas hati apabila dapat menghabiskan masa bersama keluarga.



Pada malamnya, kami ke pekan Lamai, kerana difahamkan pada hari Ahad malam Isnin bermula dari pukul 5 atau 6 petang sehingga pukul 11 atau 12 malam, akan diadakan pasar malam di sini. Banyak barang yang murah-murah di sini. Jersi, kemeja-T, seluar tomoi dan pakaian antara barang yang dijual. Makanan pun ada seperti pad thai dan sebagainya. Cuma kehalalannya diragui. Tapi terdapat juga makanan halal malah di simpang jalan terdapat sebuah gerai yang menjual burger Ramly!!! Terkejut dibuatnya, harga pun lebih kurang Malaysia dari ฿35 (+- RM3.50). Saya membeli magnet peti ais di sini dimana dengan 8 keping berharga ฿100 (+- RM10.00) sahaja. Kalau nak beli beg galas jenama Deuter, Wolfpacks, Northern Star dan sebagainya pun ada. Murah-murah. 



Di sini juga saya terjumpa kedai tukaran wang asing, cuma kadarnya kurang menarik sikit. Lagipun di pekan Chaweng terdapat cawangan CIMB Thai, jadi jika anda pemegang akaun CIMB, baik ke sana untuk mengeluarkan wang, ia lebih baik.



Kalau ke Thailand tidak sah jika tidak mengurut atau "massage". Kira kunjungan kami tidak sah kerana tidak mengurut. Maklumlah, datang bersama anak-anak. Tapi harga agak murah, kira macam harga standard di Thailand. Memanggil-mangil pekerja mereka untuk datang ke kedai mereka. Memang berderet kedai urutan ini.

Selepas itu, kami pulang untuk tidur, kerana esok kami akan berjalan jauh, nak balik ke tanah air tercinta.



Akan bersambung ke Hari 4 & 5.


Jika mahu lihat: 

If want to read in English: 
  • Pre Holiday
  • Day 1; 
  • Day 2; 
  • Day 3 (this part); 
  • Day 4 & 5; or 
  • Itinerary.